Friday, March 26, 2010

Masjid Zahir - Solat Jumaat di Alor Setar: Mencari Kemuliaan Jumaat.

Jumaat hari ini 26 Mac 2010, saya berkesempatan solat Jumaat di Masjid Zahir, Alor Setar. Kebetulan tajuk khutbahnya ialah mengenai hari Jumaat. Bergema masjid kerana imam memiliki suara yang lantang, besar dan power. Suaranya keluar sebiji-sebiji. Mengesankan kepada yang mahu mendengar. Maksud saya, entahlah, ramai sangat yang mengantuk bila khutbah dibaca. Begitulah setiap minggu. Begitulah di mana-mana masjidpun. Di bandar begitu. Di kampung juga begitu.

Hanya beberapa negeri lagi yang hujung minggunya hari Jumaat. Seingat saya Kedah, Kelantan dan Terengganu. Yang lainnya bertukar kepada hari Ahad. Rasanya baik kita singkap kembali sejarah hari mengikut agama-agama samawi. Agama langit iaitu Islam, Kristian, Yahudi dan Agama Nabi Daud a.s. Begitu juga ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi-Nabi yang lain.

Orang Yahudi, sudah ditentukan. Hari kemuliaan mereka ialah hari Sabtu. Keingkaran mereka menghormati hari mulia mereka ini mengakibatkan sebahagiaan daripada mereka menjadi kera. Ianya terjadi apabila pada hari Sabtu mereka menangkap ikan sedangkan perkara itu dilarang dilakukan pada hari Sabtu. Sewaktu saya di Amerka Syarikat dan Kanada dulu, hari Sabtu menyaksikan orang-orang Yahudi dan keluarga mereka berduyun-duyun ke synagogue mereka. Dalam perjalanan pulang mereka beriring-iringan sesama mereka. Pakaian mereka kemas dan bersih. Ada pula kopiah kecil di kepala mereka.

Bila agama Kristian tiba, hari Ahad menjadi hari kebesaran mereka. Mereka tidak bekerja pada hari Ahad. Mereka ke gereja. Pakaian mereka juga cantik dan kemas. Pada ketika ini ada dua hari mulia bagai agama samawi. Hari Sabtu untuk orang Yahudi dan hari Ahad untuk orang Kristian. Bila Islam datang, Allah menganugerahkan hari Jumaat sebagai hari kemuliaan kepada orang Islam. Kemuliaan Islam diserlahkan pada hari Jumaat. Ianya mendahului hari Sabtu dan hari Ahad. Ini adalah isyarat bahawa Islam adalah lebih baik dan lebih utama berbanding dengan agama-agama yang lain.

Sebenarnya, Islam menganjurakan supaya semua orang-orang yang pergi solat Jumaat mempamerkan penampilan yang terbaik. Di samping berpakaian bersih, kemas dan cantik disunatkan juga memakai bau-bauan yang menyegarkan jemaah yang lain. Bagi mazhab yang lain tuntutannya berbeza sedikit. Jika mandi itu sunat mengikut mazhab Syafi'i, wajib pula hukumnya bagi mazhab Hambali. Ia adalah situational. Orang mazhab Syafi'i kerap mandi. Bagi mazhab Hambali, penganutnya ramai tinggal di tempat yang kurang air. Mandi mereka berkala. Maka mandi sebelum Jumaat menjadi wajib.

Apabila hari cuti hujung minggu ditukar dari hari Jumaat ke hari Ahad ada beberapa isu perlu difikirkan. Kita banyak menggunakan pertimbangan ekonomi dan pertimbangan politik. Maknanya kita menolak pertimbangan agama, pertimbangan Allah. Jika hendak diukur keuntunagan dari keduanya tentulah ganjaran Allah lebih besar kerana akhirat tiada tolok bandingnya dari segi nikmatnya.

Maka ramai pula yang menyalahgunakan keistimewaan bercuti pada hari Jumaat. Menghormati dan mengimarahkan masjid pada hari Jumaat tidak lagi dilakukan. Ramai yang berkelah atau berjalan-jalan atau mengadakan kenduri kendara hingga melupakan masjid. Yang dituntut ialah menumpukan perhatian dan tindakan untuk memuliakan hari Jumaat. Bagi lelaki, mandi awal-awal serta wudu', pilih pakaian yang bersih, pakai kemas-kemas, pergi awal ke masjid, baca doa masuk masjid, baca doa i'tiqaf, solat sunat tahiyyatul masjid dan membaca al-Quran. Jangan makan tengahari sebelum solat Jumaat. Nanti mata menjadi berat dan mudah tertidur. Rugi tidak mendengar khutbah. Bimbang pula hilang pahala Jumaat. Elok tidur sebentar sebelum ke masjid. Boleh hilangkan mengantuk ketika mendengar khutbah.

Di negeri-negeri yang bekerja pada hari Jumaat lain pula ceritanya. Hari itu hari bekerja. Ada beberapa perkara yang terlepas pandang hingga mengurangkan peluang menambahkan pahala. Walaupun hari itu ramai orang berpakaian baru, bersih dan kemas, tetapi apabila sampai tengahari pakaian itu sudah hilang serinya. Mungkin ada percikan kuah kari di bahagian hadapan, bekas pen di bahagian lengan, comot di bahagian kaf dan macam-macam kotoran lain.

Peluang mandi memang terlepas. Tidak ramai yang mandi di pejabat. Tidak ramai pula yang menukar pakaian. Ramai pula yang terlupa mengenakan bau-bauan. Itu belum kira memotong kuku dan menggosok gigi. Ramai pula yang lambat ke masjid kerana makan dahulu. Sampai di masjid khutbah sudah bermula. Ada pula yang sampai sesudah khutbah kedua bermula. Seperti biasa ramai yang datang awal menempah tempat di saf paling belakang. Datang lewat balik awal. Kadang-kadang, saf di belakang penuh sesak sedangkan saf di depan banyak yang kosong. Takut pula terputus saf. Ramai yang tidak perihatin tentang hal ini. Selepas solat, tidak ada langsung minat mengaminkan doa. Berdoalah semuoa hari tu barakah. Berdoalah semoga minggu itu barakah. Berdoalah semoga bulan itu, tahun itu, hidup itu barakah. Hari Jumaat barakah doa yang dipanjatkan.

Anak-anak muda dan kanak-kanak pula banyak yang berada di luar masjid semasa khutbah dibaca. Mereka berbual, menghisap rokok atau termenung tidak tentu pasal. Kebisingan kanak-kanak di bahagian belakang masjid sangat mengganggu. Tidak khusus' jemaah yang lain. Mungkin jika AJK masjid lebih mesra jemaah, boleh dibenarkan kanak-kanak yang mumaiyyiz dan sudah berkhatan untuk masuk ke saf-saf di hadapan. Latih mereka menjadi bahagian penting kepada masjid.

Saya pernah solat Jumaat di sebuah masjid di Langkawi. Hampir dengan Burau Bay. Sebelum membaca khutbah, imam meminta semua orang yang ada di luar masjid supaya masuk. Katanya, "Hangpa yang duduk kat luaq tu mai masuk. Hang semua tak masuk, aku tak baca khutbah ni." Alangkah baiknya jika seruan yang serupa dilaksanakan di semua masjid. Jangan mulakan khutbah selagi mereka tidak masuk ke masjid. Pada peringkat awal, akan rasa pelik. Lama-kelamaan akan jadi bisa. Alah bisa tegal biasa.

Bapa-bapa sepatutnya mempastikan anak-anak mereka berada di dalam masjid. Masuk beriringan supaya anak dapat tempat di saf yang sesuai. Bukan di belakang yang mungkin akan menghapus pahala sahaja. Mungkin mengganggu jemaah lain.

Hari Jumaat hari mulia. Muliakannya dengan melakukan yang terbaik, yang dituntut agama, seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. InsyaAllah

1 comment:

  1. Salam Tuan Hj...

    Terima kasih untuk perkongsian tentang hari Jumaat...

    Di sini saya ingin berkongsi tentang hari Jumaat... jika kita ingin berpuasa pada hari Jumaat, seelok2nya dituruti dengan hari Sabtu bermakna Jumaat dan Sabtu. Ini untuk membezakan agama kita, Islam dengan agama Yahudi... di mana pada hari Sabtu, para penganut agama ini turut berpuasa...

    Wallahu'alam...
    Sekian...

    ReplyDelete