Sunday, February 28, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Ketiga Belas

Orang kampung bila ada kenduri kendara, mereka sumbang menyumbang. Gotong royong. Bukan sahaja dari segi tenaga dan masa bahkan juga wang ringgit. Saudara dekat kenalah bagi lebih. Begitu juga kawan rapat. Tanam modal. Melabur. Simpanan. Nanti bila sampai giliran akan terima pula sumbangan dari saudara mara dan rakan-rakan.

Hingga tahun-tahun 70an, sumbang menyumbang ini (kadang-kadang ada yang namakan salam kaut. Bila bersalam kaut apa yang ada di tangan tetamu. Kalau tidak dikaut jatuh pula ke tanah. Malu tetamu. Maruah dia.) Yang masih saya ingat ialah apabila ada saudara mara yang akan mengadakan majlis kenduri kahwin, masing-masing yang datang akan membawa dua atau tiga ekor ayam. Kira tuan rumah tidak perlu membeli ayam. Selepas kenduri, masih banyak lagi ayam yang tidak perlu disembelih. Ayam kampung. Segar, enak, lemak dan menyelerakan. Langsung tidak bimbang keracunan, penyakit dan masalah hormon seperti sekarang. Ayam kampung natural. Ori kata orang sekarang.

Selain daripada itu, ada yang membawa gula, beras, bawang, ubi kentang dan sebagainya. Nanas berguni-guni. Kelapa berpuluh-puluh dilonggok. Kadang-kadang tuan rumah perlu beli rempah atau sedikit rempah ratus. Itu Sahaja. Lepas kenduri, makanan banyak, beras berguni, bawang berbakul, ayam berekor-ekor. Seminggu dua tidak perlu berbelanja. Kalau rezeki melimpah boleh beli kebun seekar atau dua ekar. Masa itu seekar baru RM300 sahaja. Kira boleh kenduri selalu.

Cara berfikir orang kampung berbeza. Tetamu yang diundang untuk makan pada hari kenduri sahaja, tidak menyumbang banyak. Masa dulu-dulu mungkin RM2 hingga RM3 sahaja. Tetapi mereka yang dijemput rewang akan menyumbang lebih. Logiknya kerana mereka diberi penghormatan untuk rewang. Duitnya sahaja tidak kurang RM20. Itu tidak termasuk ayam, gula dan beras. Adik beradik mungkin RM100. Kita kena ingat orang dulu-dula adik beradik berbelas orang. Kalau 12 orang, seorang RM100, maka sekali kenduri boleh beli empat ekar kebun getah.
Pada pagi hari kenduri, masing-masing ada tugas khas. Ada yang membantu memasak. Ada yang membancuh air minuman. Ada yang membasuh pinggan. Ada yang mengangkat hidangan. (Masa itu tidak ada buffet. Makan berhidang dengan dulang.) Bila tamat petang itu semunya akan lepak selepaknya. Semua kira tidak cukup tangan. Saya kira yang paling letih ialah mereka yang berulang alik dari bangsal memasak, mengangkat hidangan ke balai tetamu. Dari bangsal membawa hidangan dan dari balai membawa dulang kosong. Berkilometer perjalanan mereka berulang alik. Tidak boleh mengular. Jika ada, maka yang lain akan pengsan. Tidak terlayan. Jika orang kaya lagi teruk. Jemputannya beribu-ribu. Selepas Zohor adalah masa yang paling kalut.

Bab yang lain-lain saya tidak banyak masalah. Membasuh pinggan pada saya masalah yang paling besar. Sekarang kita semua senang. Air paip buka sahaja 24 jam. Menyembur-nyembur air keluar. Tadah air, bubuh sabun, basuhlah apa sahaja yang hendak dibasuh. Masa dulu-dulu tidak mungkin air diangkut dari parit atau kolam, jika ada. Tentulah akan terlalu meletihkan. Satu alternatif sahaja yang pada perkiraan orang kampung sangat mudah dan memudahkan. Beli beberapa guni abuk papan. Sental pinggan, mangkul, dulang, dudu dan gelas. Selesai bersih. Boleh pembaca bayangkan?

Masa dulu-dulu kilang papan banyak. Abuk papan memang dibuang-buang. Tetapi oleh kerana ada kegunaan baru, maka abuk papan dijual dan mendatangkan hasil. Setiap ada kenduri kahwin, abuk papan menjadi pencuci pinggan mangkuk. Masa dulu-dulu konsep kebersihan dan kesihatan taken for granted. Nampak bersih, cukup. Tidak ada cerita bakteria, kuman, virus, kulat. Apapun tidak pernah difikirkan. Dengan basmalah, makanan disuap, minuman diteguk. Alhamdulillah penyakit terhindar. Mungkin mereka ikhlas, yakin dan berserah kepada Allah. Allah beri perlindungan.

Biasanya orang kampung, bila kenduri kendara tidak lupa menyediakan berkat untuk tetamu dan untuk orang rewang. Untuk tetamu ukurannya kecil. Lauk pauknya ala kadar. Lazimnya (sebungkus makanan yang dibekalkan kepada tetamu untuk dibawa pulang) ada lauk khas seperti ayam masak kicap dan sambal goreng. Untuk anak-anak yang ditinggalkan di rumah. Orang kampung bila bertandang ke rumah pengantin, tidak membawa anak. Hanya yang dijemput secara spesifik sahaja membawa anak.

Orang yang rewang, bungkusannya besar. Ayamnya seperempat ekor. Lauk-pauk yang lain juga banyak. Untuk tetamu hanya oleh-oleh untuk anak-anak yang ditinggalkan. Untuk orang rewang, saguhati kerana berpenat berhari-hari. Sementara memulihkan dan merawat tenaga, makanan banyak dan boleh diulang-ulang makan.

Adat ini semakin berkurangan nampaknya. Makanan sekarang sangat mewah. Hari-hari boleh makan sedap. Masa dulu-dulu hanya waktu kenduri kahwin sahaja berpeluang makan nasi minyak. Sekarang nasi beriani boleh dibeli di mana-mana. Datanglah ke Batu Pahat, hari-hari ada nasi beriani gam atau beriani power. Jika hendak mengetahui rasanya datanglah. Silakan. Maaf. Kena bayar sendiri. Lauknya ada ayam, ada kambing dan ada pula daging rusa dan arnab.

Majlis kenduri macam tidak sah jika tidak ada hiburan. Ketika itu pastinya ada pancaragam. Live. berkumandanglah lagu-lagu keroncong, asli, samba, rumba, caca, masri, langgam, zapin, ghazal. Mungkin lagu Arab, Hindi. Ada juga Mat Saleh sesat di kampung. Kira meriahlah. Saya seperti teringat orang menyanyikan lagu A Rahman yang bernama Tidurku Di Rumput Yang Basah. Seingat saya lagu itu suatu ketika ditujukan kepada arwah ibu saya. Mungkin ada lelaki yang perasaan kot. Cerita lama. Masa dulu-dulu. Cubalah berjinak-jinak dengan Klasik Nasional. Nanti boleh dengar lagu tersebut. Penyanyinya A Rahman bapa kepada R Ismail. Rasanya bait keduanya ialah Berselimut Embun Yang Tinggi. Sayu suara A Rahman. Klasik Nasional banyak mengingatkan saya masa dulu-dulu yang masih segar dalam ingatan.

Tradisi hiburan ini kekal sampai sekarang. Bezanya sekarang ada DJ profesional. Ada karaoke lagi. Masa dulu-dulu jika tidak ada pancaragam, maka dihidangkan lagu-lagu piring hitam. Banyaklah lagu P Ramlee, R Azmi, Jasmi, Momok Latif, Saloma, Aziz Jaafar, Ahmad Daud, Normadiah, Zaharah Agus, Syed Hamid dan ramai lagi. Panjang senarainya. Rujuklah lagi Klasik Nasional.

Maaflah, saya mohon untuk komen bab hiburan. Islam tidak melarang tetapi hendaklah dijaga batas-batasnya. Pertama senikata lagu biarlah yang sopan dan Islamik. Keduanya jika live atau unplugged, pakaian penyanyi dan tingkah lakunya hendaklah dipelihara. Kita hendak berhibur di samping mendapat barakah majlis. Jangan pula terlalu kuat. Cukup sekadar didengar dalam balai. Tetamu hendak bersembang dengan saudara mara dan sahabat handai yang sudah lama tidak ditemui. Jika bingit telinga, bukan sahaja selera hendak berbual terbantut, selera makanpun boleh jadi terbantut. Jiwa jadi tidak tenteram. Usah ikutkan sangat orang muda. Didik mereka supaya berhibur ala kadar. Sekadar hiburkan diri. Tidak pula mengganggu orang lain yang tidak perlukan hiburan. Sama-samalah kita hormat menghormati.

Malam selepas hari kenduri, masih ramai lagi orang berkumpul. Melek-melekan, kata orang Jawa. Berjaga malam maksudnya. Meramaikan dan meraikan pengantin. Akan diadakan majlis membaca berzanji/rawi untuk mengingati Rasulullah. Pengantin memang belum boleh bersama walaupun hati terlonta-lonta. Belum masa. Esok bila saudara mara sudah pulang. Bila periuk belanga yang hitam legam sudah disental, bila rumah sudah hampir selesai dikemas, barulah boleh bersama. Kesian pengantin. Seksa dibuatnya. Pengantin perempuan tidur sendiri dalam bilik. Pengantin lelaki ada sahaja halangannya supaya tidak tidur dengan isterinya.

Malam sebelum hari kenduri selalu juga diadakan majlis berinai. Betul-betul macam dalam cerita Hindi. Pengantin akan diinai oleh sahabat atau saudara mara. Nantinya akan merah semua jari jemari. Bila jarinya merah kita tahulah bahawa dia sudah dimiliki. Sudah menjadi isteri orang. Meranalah yang melambat-lambatkan hasrat. Putih mata sambil menjilat jari. Melepas jadinya. Sebab itu perkara yang baik jangan dilambat-lambatkan. Rezeki akan ke tangan orang lain.

Malam selepas hari majlis diadakan majlis berdamai. Orang dulu emak yang carikan jodoh. Kira percaya sahajalah pilihan ibu. Masa nikah pun tidak dapat melihat wajah isteri. Masa bersanding hendak menjelingpun tidak berani. Nama sahaja makan berdamai. Kenalpun tidak. Berhari-hari lamanya baru kenal. Yang ada tiga bulan belum kenal lagi. Suatu permulaan tanpa cinta tetapi mereka berkasih sayang, anak berbelas-belas, kekal abadi ke akhir hayat. Syahdukan? Allahu Akbar. Bilangan mereka yang bercerai berai sangat sedikit berbanding orang sekarang. Majlis kahwin mereka sederhana sahaja. Untuk saudara mara dan sahabat handai. Peminat memang tidak ada. Mungkin pilihan ibu bapa ada barakahnya. Restu mereka adalah doa mereka. Restu ibu bapa adalah juga restu Allah. Sentuhan hati ibu penting diberi perhatian. Nalurinya halus.

Kawan saya orang Perak. Mengamuk keluarganya kerana malam pertama tidak dibenarkan tidur bersama isterinya. Ini satu lagi hal yang harus dibincangkan sebelum majlis kahwin diadakan. Semua jenis adat di tempat pengantin perempuan hendaklah diterangkan kepada pihak lelaki. Begitu juga pihak lelaki hendaklah menyatakan adatnya bila datang. Berkompromilah. Jika adat itu ada kaitannya dengan agama, patuhlah pada hukum hakamnya. Jika adat hanya adat, ketepikanlah. Ambil yang lebih baik kepada kedua mempelai yang sudah lama kerinduan. Mereka sudah sah bersuami isteri. Sudah ada lesen antarabangsa. Kenapa masa ini mereka dihalang-halangi sedangkan semasa bercinta dan bertunang bebas berdua. Maaf, emosi sedikit. Kita kena kembali kepada yang hak. Seperti saya kata pada pos yang lain, bertunang jangan lama-lama. Tiga bulan mungkin memadai. Atau yang lebih baik, bertunang terus nikah. Lepas itu apa jadipun tidak ada yang dirisaukan. Masa dikendurikan jika pengantin perempuan sudah mengandung, lagi baik. Sambut bayi sekali. Bukan sambut pengantin sahaja. Yang penting menjaga agama itu lebih tinggi haknya. Jaga adat hendaklah bersendikan agama. Bukan sebaliknya.

Begitulah. Masa dulu-dulu di kampung. Harmoninya adat, murninya niat, bahagianya hasrat. Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Tidak perlu banyak bicara. Tidak perlu banyak karenah. Biasa sahaja. Tidak ada kerisauan yang mengganggu fikiran. Semuanya berjalan lancar. Kenduri sempurna, dapat menantu, makanan banyak pula yang berbaki. Tingginya semangat gotong royong mereka.

Sesekali ada orang kampung yang masih mengundang saya menghadiri majlis kenduri kendara di kampung saya. Kebetulan besan saya yang pertama orang kampung saya sendiri. Kawan saya masa muda-muda dahulu. Saya di Ipoh, besan saya di kampung. Anak saya bertemu suaminya di Michigan USA. Jodoh mereka. Ikan di laut, asam di darat. Dalam periuk bertemu juga.

Masa dulu-dulu dikampung. Hanya ingatan kerana walaupun saki bakinya masih ada, saya sudah menjadi orang asing. Sudah lama keluar dari lingkungannya. Sudah tidak mengikutinya lagi. Masih ada amalan lama yang diteruskan. Biarkan orang kampung dengan kebahagian mereka. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik. Diberkati Allah jua. InsyaAllah.

5 comments:

  1. kalau la ibu bapa hari ni boleh menjodohkan anak mereka ikut cara macam dlu... kan bagus..
    kalau skarang, ibu bapa nak anak2 berjaya... soal kawin mcm tak wujud...

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. zaman sudah berubah. kena ada kompromi. anak berkenan, ibu bapa beri restu. atau ibu bapa carikan, anak-anak setuju. ibu bapa halus pertimbangannya kerana mereka inginkan menantu yang seperti anak sendiri. anak pilih pasangan utk dirinya sendiri. jarang fikir bahawa pasangannya akan ada ibu bapa mertua.

    ReplyDelete
  4. SELAMAT TINGGAL SEMALAM
    SEMALAM TIDAK AKAN KEMBALI

    ReplyDelete
  5. yang ada hanya harapan akan datang.

    ReplyDelete