Thursday, February 11, 2010

Bertemu Ahlul Bait

Tahun lalu saya ditanya oleh Ustaz Zahazan tentang seorang insan yang bernama Habib Ali yang tinggal di Batu Pahat. Dalam pertemuan di pejabatnya di Telaga Biru itu saya hanya terpinga-pinga kerana tidak pernah mendengar nama tersebut apatah lagi bertemu dengan insannya. Saya dan isteri saya jadi penasaran, malu yang amat sangat. Menurut Ustaz Zahazan, insan ini diziarahi oleh ramai orang dari seluruh dunia yang mengetahui tentang asal usul dirinya. Maka saya dan isteri saya berjanji akan mencari insan istimewa ini sekembalinya kami ke Batu Pahat nanti.

Sepulangnya kami dari Kuala Lumpur, saya dan isteri membuat risikan untuk mengesan insan yang dicari. Maklumat yang kami terima tidak memberangsangkan kerana tidak ramai orang Batu Pahat yang mengetahui wujudnya insan yang dicari. Dari cebisan-cebisan maklumat yang kami kumpul akhirnya menemukan kami insan tersebut. Namanya Habib Ali. Maaf, nama penuhnya belum saya ketahui.

Saya sukar mencari kesempatan untuk menziarahi insan ini. Isteri saya berkesempatan menziarahinya bersama beberapa orang lain. Ia mendiami sebuah rumah di Kampung Solok Wan MOh, Jalan Kluang, Batu Pahat. Rumahnya betul-betul di belakang Batu Pahat Mall. Ia tinggal bersama anaknya. Isterinya telah lama meninggal dunia. Tanyalah orang di situ. InsyaAllah rumahnya mudah dicari.

Habib Ali sudah tidak keluar rumah. Hidupnya beribadat sahaja. Jika ingin menziarahinya hanya selepas waktu 'Asar sahaja. Itupun bukan setiap hari. Ada jadual tertentu. Bagi yang biasa, tahu jadual tersebut. Ramai orang yang mengulang-ngulang menziarahinya. Nikmat menemuinya. Mereka tahu kenapa insan ini perlu diziarahi. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam.

Mereka yang menziarahi Habib Ali datang dari Yamen, Arab Saudi, Indonesia, Singapura, dari seluruh semenanjung Malaysia. Malah dikatakan Yusuf Islam (Cat Steven) pernah mengunjunginya. Semuanya datang untuk mendapat barakah dari insan istimewa ini. Menurut Ustaz Zahazan, ia berasa malu apabila dimarahi oleh seorang dari Indonesia kerana tidak pernah menziarahi Habib Ali. Saya terlebihlah malunya kerana dilahirkan di Batu Pahat, dibesarkan di Batu Pahat, bekerja di Batu Pahat dan sekarang tinggal di Batu Pahat tetapi tidak mengetahui wujudnya Habib Ali.

Petang semalam, Khamis 11 Februari 2010, saya berjaya menemuinya. Allahu Akbar. Subhanallah. Orangnya sudah agak uzur. Agak kurus. Tubuhnya sederhana tinggi. Misai, kening dan janggutnya memutih tetapi lembut dan kemas. Kulitnya putih kuning. Hidungnya mancung. Sangat mancung. Bibirnya nipis. Matanya tajam. Duduknya gagah. Kerana keuzurannya, ia perlu dibantu apabila hendak berdiri dan dipapah apabila hendak berjalan.

Pertemuan saya dengannya hanya sekitar 15 minit sahaja. Ada beberapa orang lain yang turut menziarahinya waktu itu. Tazkirahnya ringkas mengenai makanan. Agak kurang jelas kedengaran kerana suaranya agak perlahan. Yang penting doa yang dibacakan olehnya di akhir pertemuan petang itu. Mudah-mudahan Allah mengkabulkan doanya kepada kami yang hadir. Mudah-mudahan ada barakahnya kepada kami petang itu.

Habib Ali adalah ahlul bait. Keturunan Nabi Muhammad SAW dari sebelah Sayidina Ali k.w. Saya tidak pasti sama dari Sayidina Hassan atau Sayidina Hussin. Menurut silsilahnya Habib Ali adalah generasi yang ke-30 dari Rasulullah SAW. Bertemu dengan ahlul bait mudah-mudahan mendapat barakah. Itulah yang dicari oleh orang-orang yang menziarahinya. Jika dari Rasulullah SAW kita akan mendapat syafaatnya, maka dari keturunannya kita mendapat barakah.

Ziarahlah. Habib Ali sudah semakin uzur. Sementara hayatnya masih ada, bertemulah dengannya. Rasulullah sudah tiada. Keturunannya masih ada yang boleh kita temui. Sementelahan pula ia ada di Batu Pahat, di Johor, di Malaysia. Jika orang dari negara luar sanggup datang untuk beberapa minit yang penuh barakah, perjalanan mereka yang lama, jauh dan tinggi kosnya, mengapakah tidak kita. Carilah barakah itu sementara Habib Ali masih ada.

Cuma dalam pertemuan singkat semalam, saya melihat kembali arwah datuk saya yang telah meninggal dunia pada tahun 1962 dahulu. Wajah Habib Ali saling tak tumpah seperti arwah datuk saya. Hidung datuk saya kurang mancung. Saya melihat kembali kening, misai dan janggut putih yang sinonim dengan wajah datuk saya. Terkedu saya sebentar. Kenangan lama mengimbau kembali.

Selawat dan salam ke atasmu wahai Rasulullah. Ya sofwatullah. Ya habibullah. Selawat dan salam ke atas keluarga keturunanmu. Selawat dan salam ke atas para sahabatmu. Selawat dan salam ke atas Habib Ali ahlul bait keturunan Nabi Muhammad, Rasulullah SAW.

5 comments:

  1. Salam ziarah pakcik.Saya tumpang bersyukur kerana pakcik sudah berkesempatan menziarahi Habib Ali.Saya masih mengimpikan untuk sampai ke sana,moga Allah permudahkan.Saya hanya mampu memandang ke arah rumahnya,moga Allah permudahkan urusan untuk berziarah pula.InsyaAllah.

    ReplyDelete
  2. segerakanlah menziarahinya kerana sudah uzur sangat nampaknya.

    ReplyDelete
  3. InsyaAllah,hajatnya nak berziarah selepas cuti tahun baru cina ni.

    ReplyDelete
  4. APAKAH ADA KETURUNAN AHLUL BAIT?

    Dlm Al Quran yang menyebut 'ahlulbait', rasanya ada 3 (tiga) ayat dan 3 surat.

    1. QS. 11:73: Para Malaikat itu berkata: "Apakah kamu merasa heran tentang ketetapan Allah? (Itu adalah) rahmat Allah dan keberkatan-Nya, dicurahkan atas kamu, hai ahlulbait. Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah".

    Ayat ini jika dikaitkan dengan ayat sebelumnya, maka makna 'ahlulbait' adalah terdiri dari isteri dari Nabi Ibrahim.

    2. QS. 28:12: Dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mau menyusukan(nya) sebelum itu; maka berkatalah Saudara Musa: 'Maukahkamu aku tunjukkan kepadamu 'ahlulbait' yang akan memeliharanya untukmu, dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?

    Ayat ini jika dikaitkan dengan ayat sebelumnya, maka makna 'ahlulbait' adalah meliputi Ibu kandung Nabi Musa As. atau ya Saudara kandung Nabi Musa As.

    3. QS. 33:33: "...Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu 'ahlulbait' dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya".

    Ayat ini jika dikaitkan dengan ayat sebelumnya QS. 33: 28, 30 dan 32, maka makna para ahlulbait adalah para isteri Nabi Muhammad SAW.

    Sedangkan ditinjau dari sesudah ayat 33 yakni QS. 33:34, 37 dan 40 maka penggambaran ahlulbaitnya mencakup keluarga besar Nabi Muhammad SAW. para isteri dan anak-anak beliau.

    Jika kita kaitkan dengan makna ketiga ayat di atas dan bukan hanya QS. 33:33, maka lingkup ahlul bait tersebut sifatnya menjadi universal terdiri dari:

    1. Kedua orang tua Saidina Muhammad SAW, sayangnya kedua orang tua beliau ini disaat Saidina Muhammad SAW diangkat sbg 'nabi' dan rasul sudah meninggal terlebih dahulu.

    2. Saudara kandung Saidina Muhammad SAW, tapi sayangnya saudara kandung beliau ini, tak ada karena beliau 'anak tunggal' dari Bapak Abdullah dengan Ibu Aminah.

    3. Isteri-isteri beliau.

    4. Anak-anak beliau baik perempuan maupun laki-laki. Khusus anak lelaki beliau yang berhak menurunkan 'nasab'-nya, sayangnya tak ada yang hidup sampai anaknya dewasa, sehingga anak lelakinya tak meninggalkan keturunan.

    Bagaimana tentang pewaris tahta 'ahlul bait' dari Bunda Fatimah?. Ya jika merujuk pada QS. 33:4-5, jelas bahwa Islam tidaklah mengambil garis nasab dari perempuan kecuali bagi Nabi Isa Al Masih yakni bin Maryam.

    Lalu, apakah anak-anak Bunda Fatimah dengan Saidina Ali boleh kita anggap bernasabkan kepada nasabnya Bunda Fatimah?. ya jika merujuk pada Al Quran maka anak Bunda Fatimah dengan Saidina Ali tidaklah bisa mewariskan nasab Saidina Muhammad SAW.

    Kalaupun kita paksakan, bahwa anak Bunda Fatimah juga ahlul bait, karena kita mau mengambil garis dari perempuannya (Bunda Fatimah), maka untuk selanjutnya yang seharusnya pemegang waris tahta ahlul bait diambil dari anak perempuannya seperti Fatimah dan juga Zainab, bukan Hasan dan Husein sbg penerima warisnya.

    Dengan demikian sistim nasab yang diterapkan itu tidan sistim nasab berzigzag, setelah nasab perempuan lalu lari atau kembali lagi ke nasab laki-laki, ya seharusnya diambil dari nasab perempuan seterusnya.

    Bagaimana Saidina Ali bin Abi Thalib, anak paman Saidina Muhammad SAW, ya jika merujuk pada ayat-ayat ahlul bait pastilah beliau bukan termasuk kelompok ahlul bait. Jadi, anak Saidina Ali bin Abi Thalib baik anak lelakinya mapun perempuan, otomatis tidaklah dapat mewarisi tahta 'ahlul bait'.

    Kesimpulan dari tulisan di atas, maka pewaris tahta 'ahlul bait' yang terakhir hanya tinggal bunda Fatimah. Berarti anaknya Saidina Hasan dan Husein bukanlah pewaris tahta AHLUL BAIT.

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah ada cerita panjanmg dari saudara. Secara ilmiahnya saya tidak ada apa-apa. Cuma kerana nasab lelaki tidak ada dari Rasulullah maka benarlah pada pendapat umum. Rasanya darah Rasulullah mengalir dalam seluruh keturunannya melalui Fatimah. Kata orang sekarang DNAnya. Imam Syafie sendiri sewaktu hendak ditahan pemerintah mendakwa dirinya ahlul bait sehingga pemerintah ketika itu tidak jadi menangkapnya.

    Wallahu'alam.

    ReplyDelete