Sunday, October 12, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Iskandariah Kota Alexander The Great

Perpustakaan Iskandariah ini antara yang terbesar di dunia. Tentunya banyak koleksi kelasik. Koleksi vintage. Koleksi zaman bahari. 



Kembara manusia tidak ada sudahnya selagi hayat dikandung badan.  Ada sahaja tempat yang dapat diziarahi. Dinikmati keberadaannya. Yang pastinya dalam kembara kita menemui banyak yang unik. Kelainan-kelaianan yang seharusnya kita kembalikan kepada Yang Maha Mencipta. Bahawa kesemuanya itu untuk kita akur dengan Yang Maha Besar. Yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Lazimnya kita hanya bermimpi berada di sesuatu tempat yang jauh. Tempat yang pada perkiraan kita tidak mungkin dapat kita jejaki dengan kaki kita sendiri.  Atau mungkin kita hanya berkesempatan menatap gambar atau menonton filem, video dan dokumentari sahaja. Kebanyakan kita berserah dengan ketidakmungkinan untuk menziarahi tempat-tempat yang tidak terjangkau fikiran. Apatah lagi dari segi kemampuan kewangan. Ketidakmampuan masa.

Namun begitu ramai orang yang berkesempatan berada di tempat-tempat yang berbeza. Pada waktu yang berbeza. Pada suasana yang berbeza. Kesempatan kembara mungkin datang tanpa diduga. Tidak dirancangkan dengan pasti. Allah menggerakkan kita untuk berada di sesuatu tempat pada masa dan kesempatan yang tertentu. Dari satu titik masa ke satu titik masa yang berbeza. Dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Maka kembara kita itu semakin panjang. Semakin lama. Tentunya banyak berjalan banyak pemandangan. Banyak pengalaman peribadi yang terhimpun. Ianya bukan koleksi peribadi yang eksklusif. Tetapi koleksi untuk dikongsi dengan orang lain kerana sesuatu yang terpendam tiada manfaatnya. Perkongsian memberikan keindahan penceritaan. Keindahan pengalaman. Keterujaan bagi yang membaca. Bahawa di luar sana banyak yang perlu dilihat. Didengar. Diinsafi kewujudannya. Untuk disyukuri kerana kita diberi kesempatan oleh Allah untuk menyaksikannnya. Secara peribadi. Pengalaman primer dan bukan sekunder.

Sewaktu kecil dahulu penulis banyak membaca novel atau cerita-cerita dari Timur Tengah. Nama-nama bandar di Mesir biasa dibaca. Laut Tengah atau Laut Tenang selalu melewati pembacaan. Dalam subjek Geografi apatah lagi. Laut Mediterranean rupanya dijejak juga akhirnya. Malah orang di Mesir menamakannya laut Putih. Walau apapun namanya laut itu adalah laut yang sama. Melingkari negara-negara yang dahulunya gagah perkasa. Siapa yang tidak kenal Yunani atau Greece sekarang. Antara negara yang awal menunjukkan kegagahannya di sekitar laut Mediterranean. Mereka membina kekuatan di bumi Anbia seperti Jordan, Syria dan Mesir. Dari sejarah mereka wujudnya Alexander the Great. Pahlawan gagah inilah yang dikatakan membuka Iskandariah. Alexanderia dalam bahasa mereka. Ketika itu Alexander dalam perjalanan ke Siwa. Lokasi Iskandariah menarik perhatiannya. Lalu dibangunkan sebuah bandar yang cantik di tepian Laut Mediterranean. Cantiknya memukau hingga sekarang. Diwarnai pula dengan sejarahnya yang tersendiri. Bangsa Rom pernah berada di sini. Semasa Perang Dunia II, Utara Afrika menjadi rebutan antara German, Itali dan tentera bersekutu yang lain.

Rasanya tiada lengkap berada di Mesir tanpa menjejak kaki ke Iskandariah. Terlalu banyak yang perlu dilihat. Perpustakaannya antara yang terbesar di dunia. Makam-makam beberapa orang nabi. Makam-makam sahabat. Makam Lokman al-Hakim yang Allah abadikan dalam al-Quran. Begitu juga para ulamak yang terkenal di Mesir. Iskandariah memang menarik dalam banyak hal. Pantainya memanjang cantik. Laut Mediterranean yang tenang menghembuskan angin yang segar. Dari airnya yang biru terasa damai di jiwa. Yang paling istimewa ialah terasa penuh dan puas dalam hati dapat berada di suatu tempat yang dahulunya cuma dalam ingatan. Dalam pembacaan. Rupanya realitinya Allah izinkan untuk ditatap dengan mata sendiri. Syukur alhamdulillah. Langkah-langkah perjalanan bagai mimpi ini mengizinkan sesuatu yang indah dalam ingatan. Tatapan mata yang selalu menyegar. Andainya, ya andainya boleh kekal abadi di sini. Tentu sahaja ingin bersama berada di setiap tempat yang indahnya bukan buatan manusia. Kita hanya mampu mengusahakan dengan sedikit izin Allah. Yang Maha Berkuasa sahaja yang menganugerahkan segala keindahanNya. Sedikit masa untuk menikmati segalanya. Seharusnya kita menjadi makhluk yang perlu banyak bersyukur.

Sesungguhnya setiap perjalanan memberikan pengajaran. Kita memahami perubahan yang tidak sama dengan yang selalu kita alami di negara sendiri. Perubahan musim yang kitarannya menghambat antara satu sama lain. Sekarang sudah tiba musim luruh (autumn/fall). Baru sahaja ditinggalkan musim panas (summer). Menjelang tiba musim dingin (winter). Nanti akan tiba kemeriahan musim bunga (spring) yang indah. Banyak yang bertukar. Pertukaran dan perubahan itu dinanti. Ada yang diharap. Jika hati kita hidup dan dihidupkan kita akan berada dalam suasana yang selalu mengharap pada Allah. Bersyukur atas nikmatnya. Menjadi hamba yang taat. Menjauhi laranganNya. Sesungguhnya hidup ini pasti mati sudahnya. Nikmati semasa hidup. Semoga mendapat nikmat dariNya sesudah mati. Insyaallah.

Berbulan merancang untuk sampai di sini. 


Apa istimewanya dinding perpustakaan ini? Bagi yang teliti dapat mengamatinya. Setiap tulisan semua bangsa dalam dunia ini terdapat pada bahagian luar dinding perpustakaan ini. 



Di hadapan Universiti Iskandariah. Fakulti Perdagangan.





Sebuah kota di pinggir laut.


Berselfie sebentar. 


Laut dan nelayan terpisah tiada. Bot dan kapal mereka menyatukan seni dan laut.


Sebuah laut luas yang sesungguhnya tenang. Alun dan ombaknya cukup lembut. Biru yang mengasyikkan.


Sesekali menyendiri dalam keriuhan di sekeliling. 


 
Di hadapan Institut Nasional Kajian Laut Mesir.


Sebuah kereta kuda.


Tidak naik kereta kuda. Cukup berdiri di sebelah kuda yang menariknya. Bukan gambar tetapi memang sebuah kereta kuda yang selalu membawa pelancong merasainya seperti orang-orang terdahulu. 


.
Ibu-ibu yang bersama dalam rombongan kami. Seorang sahaja yang masih cik. Yang lain puan-puan atau madam bagi orang Arab.


Di luar makam Abu Dardak. Sahabat Nabi yang disemadikan di Iskandariah. 


Sebuah makam yang istimewa di tengah kota Iskandariah.


Anak-anak yang mengikuti kuliah Perubatan di Universiti Iskandariah ini menjamu kami sebagai jamuan pra Eid al-Adha. Terima kasih banyak-banyak.


Di sebuah jalan lama. Di hadapan bangunan lama. Namun sangat hampir dengan Laut Mediterranean.



Bergambar bersama rakan serombongan. Hajjah Normadiah. Berasal dari Nilai. 



Poster sebuah pementasan teater.


Berselfie lagi.


Di Mesir banyak banyak keledek. Mereka hanya membakarnya seperti dalam gambar ini. Tidak ada yang digoreng atau dibuat pengat. Tidak juga dibuat keria atau inti karipap. Atau dibuat kuih lain. 




Esoknya ialah Eid al-Adha. Seekor lembu ditambat di situ. Lembu itu disembelih di situ juga.



Saiz lembu itu sudah cukup lumayan dagingnya. Mereka menyembelih lembu-lembu yang sihat dan berisi pebuh dengan daging. Jika diagihkan kepada yang berhak memang puas hati. Ramai yang merasa nikmatnya daging ibadah qurban dari lembu bersaiz sebegitu. 



Tuesday, October 7, 2014

Bingkisan Dai Kaherah: Berqurban Apa Sahaja


Di tepi-tepi jalan banyak dijual kambing bebiri atau lembu. Yang paling banyak bilangannya ialah kambing.


Darah haiwan ibadah qurban mengalir di jalanraya. Merah pekat menyala. Ini berlaku di Iskandariah. Di kawasan penempatan lama. Hampir dengan pantai Laut Mediterranean. Mereka menyembelih haiwan tersebut di dalam sebuah kedai.


Malaysia menyambut Eid al-Adha pada hari Ahad. Di Mesir dan di negara Arab yang lain hari raya tersebut disambut pada hari Sabtu. Inilah kali pertama melihat sendiri keghairahan Muslim di negara Arab mengagungkan Eid al-Adha berbanding Eid al-Fitr. Pada pandangan penulis perbezaan ini ialah dari segi persepsi agama dan komersilism. Pada Eid al-Adha kebanyakan urusan bercuti selama seminggu penuh. Sama ada universiti, sekolah, pejabat malah syarikat perniagaan sekalipun. Maknanya 10 Zulhijjah memang cuti. Ditambah pada hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Setiap hari selama empat hari ini mereka melaksanakan ibadah qurban. Betul-betul beribadat. Tiada adat dan tiada komersilism. Sedangkan pada Eid al-Fitr mereka hanya solat dan kemudiannya berehat. Suasananya sangat berbeza.

Kita baru hendak pick-up mengagungkan Eid al-Adha. Sudah mula ramai yang melebihkan perayaannya. Ibadah qurban di mana-mana dalam berbagai skala. Di Malaysia ibadah qurban dibuat dalam bentuk jamaah. Diuruskan oleh jamaah surau atau masjid. Jarang orang perseorangan yang melakukannya sesama sendiri. Maknanya apabila ada majlis ibadah qurban seluruh qariah mengetahuinya. Bukan sahaja dagingnya diagihkan bahkan maklumatnya juga tersebar meluas. Di Mesir umpamanya ibadah qurban menjadi urusan peribadi keluarga atau individu yang berqurban. Tidak dibuat di surau atau masjid. Yang dilihat ibadah itu dibuat di ruang rumah masing-masing atau di ruang kedai mereka. Umum tidak mengetahuinya. Jiran-jiran pun tidak tahu. Ada sistem mereka sendiri yang tidak dapat dilihat dengan pasti. Tidak ada riuh-rendah yang dianggap mengganggu jiran. Hanya di kawasan yang penduduknya mesra sahaja ibadah qurban menerima penyaksian dan kerjasama penduduk setempat. Mereka turut meramai dan memeriahkannya.

Kira-kira setengah bulan sebelum datangnya 10 Zulhijjah, suasana mula hangat dengan jualan kambing dna lembu. Di tepi-tepi jalan pemiliknya membawa dan mempamerkan kambing dan lembu mereka untuk dijadikan pilihan. Maka pada tanduk dan badan kambing-kambing itu akan ditanda dengan berbagai warna yang dikenal oleh pembeli dan bakal yang akan menjadikannya ibadah qurban. Ada hijau, biru dan berbagai warna lain. Kambing biasanya dikandang dan dijaga siang dan malam. Ada pengawal khas berhampiran kandangnya. Yang lain datang pagi dan balik sebelum malam. Mereka datang untuk menjual. Mana-mana yang belum terjual dibawa pulang. Esoknya digiring datang semula untuk pembeli yang lain. Suasananya menuju ibadat. Kambing dan lembu diperniagakan untuk tujuan ibadat. Kerana itu tidak kelihatan suasana komersil yang keterlaluan seperti kita menyambut Eid al-Fitr. Unta pula biasanya dibeli terus dari ladangnya. Dihantar ke lokasi yang membelinya. Ditambat untuk beberapa hari sebebelum sampai pada saat untuk ibadah itu dilaksanakan.

Lazimnya mereka yang bukan warga tempatan seperti Malaysia mengadakan ibadah qurban secara terbuka. Di hadapan rumah atau bangunan. Ramai pula yang terlibat. Umpamanya pada tahun ini Rumah Perak mengadakan ibadah Qurban berskala besar. Mereka menyembelih empat ekor unta, seekor lembu dan 45 ekor kambing. Bertan-tan daging yang perlu diagih. Penduduk sekitar Rumah Perak berduyun-duyun menyaksaikannya. Membantu menumbangkan unta dan lembu. Mereka juga mendapat bahagian mereka. Pelajar-pelajar Perak ramai yang mendapat peluang menyembelih kambing ibadah mereka sendiri. Jamuan majis ibadah itu juga meriah. Semua dijemput hadir. Seprti hari raya sebenar layaknya. Ada kari daging lembu. Kurma daging kambing. Rendang tuk daging unta. Memang meriah. Hampir semua rumah negeri-negeri yang lain juga mengadakan ibadah qurban. Skalanya sahaja lebih kecil dari yang dilaksanakan di Rumah Perak. Kemeriahannya tetap sama. Hari raya memang untuk dirayakan.

Suatu pengalaman barangkali membezakan antara kita dengan masyakarat setempat. Oleh kerana kebanyakan masyarakat di sini di bawah paras mampu maka ibadat qurban kadang-kadang menjadi eksklusif kepada yang mampu. Rakyat biasa tidak berpeluang walaupun untuk melihat bagaimana haiwan disembelih. Semuanya dilakukan secara tertutup di rumah atau di kedai. Jika ada rezeki dapatlah daging yang diagihkan. Amalan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia mengundang keterujaan penduduk setempat untuk menyaksikan ibadah qurban secara terbuka. Semua orang boleh menyaksikannya. Mereka mendapat agihan dagingnya. Suatu pengalaman baru yang dikongsi bersama masyarakat tempatan. Amalan yang baik diulang dan diterjemahkan dalam bentuk ukhwah islamiyyah. Tahun-tahun mendatang suasananya tentu dinanti-nanti oleh masyarakat setempat. Kemeriahan yang didatangkan dari jauh untuk mereka.

Ada berbagai kaedah dan reaksi yang berbeza ibadah qurban di sini. Lazimnya kita biasa dengan suasana bagaimana lembu disembelih. Diikat kaki. Ditumbangkan beramai-ramai. Sudah digali lubang darah supaya boleh ditimbus dan tidak berbau darah selepas ibadah disempurnakan. Semenara itu ada pula kayu diletakkan antara kaki lembu tersebut. Beramai-ramai kita melakukannya untuk memudahkan proses sembelihannya. Di Mesir berbeza sedikit. Jika dilakukan di kawasan biasa, darah kambing atau lembu mengalir ke atas jalanraya. Dibersihkan mana yang patut. Di kawasan elit, darah itu tidak boleh kelihatan. Tidak boleh riuh-rendah. Menjadi larangan kerana mungkin melihat darah atau sebarang kotoran yang tertinggal selepas majlis ibadah qurban tu. Maknanya dalam suasana seperti itu kita perlulah menghormati mereka kerana kita berada di tempat mereka. Apa yang mereka tidak suka kita hindarkan. Carilah tempat yang sesuai. Sensitivi masyarakat setempat perlu diambil kira dalam semua hal. Kurangkan masalah. Bina ukhwah. Jangan terkejut ada orang menyembelih lembu dalam keadaan lembu itu berdiri. Bukan ditumbangkan. Lembu itu tumbang setelah disembelih. Kambing pula disembelih seperti kita menyembelih ayam. Seorang memegang dan seorang lagi menyembelih. Ada pula menyembelih seorang diri sahaja. Kecekapan dan kemahiran yang berbeza.

Ala kulihal, semoga Allah menerima ibadah qurban yang dilaksanakan. Insyaallah memberkati mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Kambing-kambing ini jinak-jinak belaka. Tidak sukar menggembalanya. Menurut kata. Sebahagiannya sudah dibeli berdasarkan warna pada badan mereka.

Warna dan lambang yang digunakan untuk menandakan bahawa kambing itu sudah dibeli. Beberi lebih digemari berbanding kambing biasa.

Yang ini ditanda pada bahagian mata.


Lembu sedang diperagakan untuk dijual.


Kebanyakan lembu bersaiz seperti di atas. Tiada sungutan apabila lembu sampai untuk disembelih. Memang baka besar dan padat berisi daging. Malah harga lembu di Kaherah lebih mahal dari unta. Mencecah hingga melebihi RM4000. Atau 8000 paun Mesir.


Unta-unta ini untuk dijual.


Bersiap sedia. Unta ini hampir akan disembelih. Begitulah kedudukan kaki hadapannya dan kedudukan lehernya. Bersedia menerima hirisan pisau yang tajam.


Tuesday, September 30, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Corat Coret Dari Siwa

Sekali pandang seperti hendak tergelak. Tetapi ianya suatu realiti. Tempat yang belum begitu maju ini perlukan pengangkutan yang memudahkan. Murah tetapi pastinya lambat. Untuk melihat-lihat pastinya kenderaan yang ditarik keldai ini sangat sesuai. Terutamanya pada musim yang agak dingin. 


Enam orang penumpang boleh diangkut sekali jalan.


Di luar laluan ke kota purba kaum Shali. 


Pisau orang Arab. Pastinya juga pisau kaum Shali di Siwa.



Bakul-bakul anyaman kaum Shali.


Sebuah kedai berdinding batu.



Keldai sudah diganti dengan motorsikal. Lebih pantas tentunya.



Papan tanda ke kota tanah liat kaum Shali


Kami makan di restoran ini.



Santai sebab kami sahaja yang ada. Lama menunggu kerana makanan setelah dipesan baru dimasak. Makanan panas.


Nasi putih, ayam panggang dan kuah kari, Berselera makan sebab panas dan lapar.



Bunyi bermakna matair Cleopetra. Yang sebenarnya sebuah kolam yang dikatakan Cleopetra pernah mandi-manda di sini.


Kolamnya sudah diperbaiki dan didinding dengan konkrit. Yang sedang mandi bukan Cleopetra atau suku-sakatnya tetapi dua pasang pelancong Barat. Tentu sahaja yang wanita memakai bikini. Lumrah di negara Islam.


Ustaz Imdan dari Kedutaan Malaysai yang turut serta bersama keluarganya.


Penulis bersama seorang penuntut Malaysia yang turut sama dalam rombongan ini.


Mencuba segelas jus kurma. Segar rasanya sebab memang dipetik segar buahnya di hadapan mata. Dari pokok di hadapan gerai ini. Bertambag sejuk kerana dibubuh ais. Segelas 15 LE. Kira-kira RM7.20.


Hendak cuba merasa airnya.


 Lawatan ke bekas tempat ibadat orang Greek yang dinamakan Oracle Temple. Menjadi terkenal kerana pernah diziarahi oleh Alexander The Great.



Seperti kota tanah liat kaum Shali tempat ini juga tersergam besarnya.