Thursday, March 21, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Lorong, Tembok dan Batu di Petra


Lorong ini dinamakan Siq. Panjangnya 1,200m. 1.2 km. Panjang dan berliku. Pembaca akan mengembara dalam jangkamasa yang panjang. Lama bukan kerana terlalu jauh tetapi kami banyak kali terberhenti kerana setiap sudut menarik hati kami. Setiap ruang ada tarikannya. Setiap dinding gunung ada kecantikannya. Atas, bawah, kanan, kiri, hadapan dan belakang semuanya memberikan tarikan yang istimewa. Ayuh, saya bawa pembaca mengembara bersama. Jika kami berhenti pada suatu lokasi mungkin pembaca akan berhenti lama pada sesuatu gambar. 
Kereta kuda tidak henti-henti membawa penumpang keluar dan masuk. Mungkin suatu waktu dahulu sama sibuknya semasa zaman kegemilangan Petra.

Batunya, dindingnya, tingginya, bentuknya, warnanya dan banyak lagi ciri-ciri Siq ini yang sukar digambarkan dengan perkataan. Kata orang putih, "Seeing is believing."

Di bawah sinar matahari yang cerah.

Terjumpa sepohon dua di lorong ini.

Jutaan gambar yang diambil setiap hari. Ada sahaja yang menarik perhatian.

Rekahan tempat takungan air. Di atas sana ada kebun-kebun subur yang memberi makan kaum Anbat.

Lihat gamnbar ini dari atas ke bawah. Subhanallah. Allah menjadikannya sangat menakjubkan. Jika tidak diamati tidak dapat dinilai tanda-tanda kebesaran Allah.

Allahuakbar. Cantik secantiknya

Apa lagi yang dapat diceritakan. Melihat sahaja sudah menakjubkan.

Mungkin akan saya ulangi menziarahi tempat ini. Bersama pelajar lain. Pada waktu lain.

Syuib, pelajar dari Albania bergaya di ruang ini.

Subhanallah. Jika tidak berada di sini tidak merasa dengan sesungguhnya kebesaran Allah yang menjadikan segala-galanya dengan kun fayakun.

Antara hasil pahatan orang Anbat. Pelancong ini entah dari mana. Terakam dalam gambar ini. Maaf bukan senghaja.

Lorong ini adalah lorong zaman yang membawa kita meneroka sesuatu yang di luar pemikiran biasa. 

Lorong tunggal untuk keluar dan masuk.

Pada dindingnya cahaya dan bayang masa.

Ada tempatnya lorong ini cukup luas.

Seperti lanskap di tepi jalanraya yang mempesona.

Di bawah langit biru tanpa awan. Cahaya matahari musim sejuk.

Lihatlah apa sahaja yang dapat dilihat. Hanya cantik dan kecantikan.

Bermacam-macam yang ada.

Mewarna gejolak hati. Rekahan celah gunung yang disinari cahaya matahari.

Artifak yang melebihi sebuah muzium.

Bertemu dengan petugas yang berpakaian orang Anbat.

Gadis Arab keturunan Palestin. Namanya Hanin. Maksudnya Kerinduan. Seorang pengajar di Universiti Zarqa.
Matawang lama.

Tempat pemujaan Kaum Anbat.

Tidak ada sudut yang mengerikan. Sebaliknya kesemuanya dipandang dengan rasa takjub.

Seorang lagi pengajar berketurunan Palestin. Namanya lebih ringkas. Rim. Maknanya Rusa Putih. Wajahnya akan dapat dilihat dalam entry yang lain nanti..





















Dari pintu lorong hingga ke ruang pertama tinggalan kota Petra lebih satu kilometer jauhnya. Perjalanan menuruni lurah di hujung lorong agak landai. Tidak terlalu menyulitkan. Jika orang tua-tua boleh berjalan pergi dan balik maka orang-orang muda tiada masalah langsung. Saya lihat mereka yang OKU juga tidak merasakan apa-apa masalah mengunjungi Petra. Pembaca akan saya bawa ke suatu zaman yang sangat lama. Menelusuri lorong  yang hanya satu sahaja sudah cukup mengujakan. Pada masa yang sama mendebarkan. Hanya ada satu jalan untuk masuk dan keluar. Jalan mati. Sahabat boleh masuk dan boleh keluar. Musuh boleh masuk dan pasti tidak dapat keluar. Satu lorong yang mengawal semua keadaan. Cenuram yang tinggi dan sempit memudahkan orang al-Nabat menyerang musuh mereka. Dalam sejarahnya kaum Nabat diserang oleh orang Roman. Sejarahnya panjang juga. Walau bagaimanapun sejarah tidak pernah kekal sebagai sejarahnya. Sampai masanya sejarah itu ditinggalkan sebagai sejarah. Orang lain membina sejarah baru. Namun begitu manusia sentiasa mengkaji sejarah keturunannya. Dari dulu hingga sekarang.
Lorong masuk ke Petra seperti sebuah jalanraya. Pada zaman kegemilangannya karavan melalui lorong tersebut. Maknanya ratusan unta, kuda, keldai dan kenderaan berkuda melaluinya setiap hari. Mereka membawa rempah dan kain sutera. Rempah dari Nusantara alam Melayu yang kaya dengan rampah ratusnya. Anak muda mungkin kurang arif akan hubungan Petra dengan alam Melayu. Tahu nama rempah ratus kita? Cengkih, buah pelaga, kayu manis, kunyit, halia, bunga lawang, kas-kas,  halba, lengkuas dan berbagai lagi. Saudagar Arab dari Muskat, Oman ke India  atau ke Sumatera dan Melaka untuk mencarinya. Dari timur mereka membawa kayu cendana dan kain sutera dari Cina bersama semua rempah ratus yang tersebut. Sutera menjadi kain pujaan sejak zaman berzaman. Datangnya dari Cina. Hanya sekarang sutera dikeluarkan di beberapa buah negara selain Cina. Rempah ratus orang barat jadikan pengawet daging. Daging yang dirempah lebih tahan lama. Berbulan-bulan lamanya. Sekarang kita gunakan peti ais. Orang dahulu menggunakan garam dan rempah untuk menjadikan daging bertahan lama tanpa rosak atau basi. Lorong yang akan saya lalui inilah laluan pedagang dari Timur dan Barat bertemu. Bertukar barangan. Menambah keuntungan. Kerana itu Petra membangun maju. Kota hebat dan besar yang perlu dikunjungi untuk berdagang. Untuk mendapat laba yang banyak.


Saturday, March 16, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Bahasa, Budaya dan Sifat Bangsa


Ada kekeliruan antara bunyi  Bahasa Arab dengan Bahasa Inggeris. Dalam Bahasa Arab bagaimana bunyi begitulah ejaaan yang ditulis. Kekeliruan tidka terjadi jika mendengar denga betul, menyebut dengan betul dan beramal dengannya. Ejaan watre mengikut bunyi.

Dari jauh hanya papan tanda biasa untuk dibaca dan dipatuhi.

Dibaca dari dekat untuk memahaminya dengan tepat. Ketika dekat itulah terlihat apa-apa kecacatan yang mungkin ada.


Dunia komersil banyak bergantung kepada iklan. Kepada pemberitahuan. Kepada makluman. Kepada maklumat. Tentu sahaja semua itu memerlukan bahasa. Memerlukan imej-imej yang tertentu. Perlukan animasi. Perlukan literatur yang sistematik dan sistemik. Bahasa itu pula padat, tepat dan memberikan maksud yang khusus. Banyak pihak yang bertanggungjawab dalam mengkaji, mengedit, melulus dan memantau kehadiran berjuta-juta iklan. Selalu pula kita dapati iklan-iklan yang tersalah cetak, tersalah tafsir, tersalah siar, tersalah edit dan sebagainya. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa menunjukkan bangsa. Dalam konteks ini kita selalu mengabaikan jurus bahasa yang cantik. Bahasa yang tinggi nilainya. Bahasa yang apabila didengar menusuk ke dalam. Mencuit rasa indah. Ada seni yang sangat halus. Lebih tinggi pengalaman seseorang itu maka lebih tinggi nilai bahasa yang diguna. Kita inginkan bahasa yang sopan dan berakhlak. Ciptalah apa istilahpun asalkan bahasa itu memberikan maksud yang indah bersamanya. Bukan sekadar bahasa yang kosong. Tidak pula mengaibkan. Apatah lagi menghina.
Renung kembali bahasa orang dahulu. Saya hendak ke sungai besar (buang air besar). Ke sungai kecil (buang air kecil). Saya hendak membasuh tangan (ke tandas). Di kampung saya yang penuh dengan orang Jawa orang muda menggunakan bahasa Jawa halus (keraton – istana) apabila bertemu dengan orang tua. Apabila hendak melintas atau hendak meminta laluan mereka mengucapkan ungkapan yang lemah lembut. Turun dari basikal umpamanya sambil membongkokkan badan sedikit. Berjalan dengan teratur setapak demi setapak. “Kulo nuwuun!” Maksudnya minta maaf, saya hendak tumpang lalu. Itu gambaran 50 tahun dahulu. Semasa arwah datuk saya masih hidup. Sekarang sisanyapun tidak ada lagi.  Barangkali di kampung yang masih sangat tradisi ada lagi bahasa Jawa halus. Bagi yang berbahasa Melayu banyak kelembutan bahasa yang sangat cantik. Itupun jika arif menggunakannya. Yang baik itu budi. Yang cantik itu bahasa.
Kadang-kadang penggunaan bahasa yang betul boleh melembutkan suasana. Menanak nasi bukan memasak nasi. Menanak nasi terasa lembut bunyinya. Menjerang air juga istilah yang terasa lembut. Khusus untuk sesuatu perbuata atau aktiviti.  Apabila kita gunakan perkataan potong, maksudnya tidak pasti. Perkataan racik lain maknanya dengan canai. Begitu juga cencang. Bahasa yang halus bunyinya halus.   Lembut. Perkataan yang kasar terasa menyentak di hati. Menusuk sakit. Walau bagaimanapun bahasa lembut yang digunakan dengan betul cukup menghiris hati. Lukanya membarah. Tetapi di luar tidak terasa sakit. Tidak menimbulkan rasa dendam atau marah. Sekadar contoh:
Kita patut belajar dari pengalaman. Maknanya kenapa diulang-ulang kesalahan yag sama.   

Kalau nak pergi tak payah balik. Maknanya jangan pergi.                                                             

Panjat tinggi sedikit. Maknanya jangan panjat.

Ukur baju di badan sendiri. Bermaksud, ukur melalui kemampuan diri sendiri.

Jika kail panjang sejengkal, laut dalam jangan diduga. Makananya jangan buat perkara yang kita sendiri tidak arif.

Seperti kita, Jordan juga menggunakan bahasa Inggeris. Negara ini pernah di bawah British. Sekarang pula pengaruh Amerika Syarikat sangat kuat. Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua. Ramai orang Jordan yang boleh berbahasa Inggeris.  Dari pemandu teksi hinggalah ke pekedai-pekedai, bahasa Inggeris bukan asing kepada mereka. Di Laut Mati yang menjadi destinasi pelancong, bahasa Inggeris digunakan secara meluas. Banyak arahan atau papan tanda yang menggunakan bahasa Inggeris. Jika betul banyak faedahnya. Jika tidak betul bagaimana? Banyak persoalan terhadap pengurusna bahasa. Di negara kita banyak iklan dan papan tanda yang tidak terkawal. Maksudnya teks atau literatur iklan itu tidak dirujuk kepada orang yang pakar. Pakar bahasa adalah antara orang yang perlu duduk dalam jawatankuasa iklan. Disokong pula oleh psikologis, pengiklan dan pengurus produk. Jangan lupa pula sosiologis dan pakar agama. Banyak sensitiviti yang perlu dijaga dan dipelihara. Maksudnya tidak hanya satu pihak yang membuat permohonan dan tidak boleh satu pihak lain yang meluluskannya.
Banyak perkara yang harus dipelihra jika kita ingin melihat  bahasa kita menjadi berwibawa. Keindahannya dipelihara. Istilahnya diperkemas. Ejaannya distandardkan. Nilai seninya dijaga. Impak komersilnya lebih fokus. Tidak boleh berlaku kesalahan susuk bahasa. Harus dilihat aspek syntax, morphology, linguistic dan sebagainya. Ini bermakna apa sahaja bentuk iklan hendaklah diurus dengan profesional. Bahasa adalah rupa bangsa. Nadi bangsa. Jiwa bangsa. Kerana itu pakar bahasa perlu dilantik untuk memberi input dari segi kegunaan, makna, maksud, pantag larang penggunaannya dan perkembangan bahasa itu sendiri. Ramai guru bahasa di setiap bandar atau daerah. Pesara-pesara guru bahasa boleh diambil secara berkala untuk menilai sesuatu iklan atau siaran atau papan tanda. Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah perlu mewujudkan jawatankuasa yang di dalamnya ada pesara guru bahasa. Atau tersedia seseorang yang mengawasi penggunaannya.
Kesalahan bahasa kadang-kadang dilihat kecil. Namun ianya memberi makna yang besar. mencemarkan bahasa. Merendahkan martabat bangsa yang menggunakan bahasa itu. Dalam bahasa Melayu selalu terkeliru antara “dimarah” dengan “di marah”. Telur atau telor. Dukung, dokong atau dukong. Ejaan Muhammad, Muhamad, Muhammed, Muhd, Mohd, Md, Mohamed dan Mat tidak standard hingga sekarang. Orang biasa tidak nampak nilai sebenar sesuatu perkataan atau istilah. Pakarnyapun perlu pembantu. Seseorang atau sebuah jawatankuasa perlu berbincang dengan mendalam maksud sebenar sesuatu iklan. Segala apsek yang perlu hendaklah diteliti dari setiap sudut. Jika tidak, banyak kesalahan yang berlaku dari segi penggunaan bahasa untuk tujuan komersil.
Banyak pula penggunaan bahasa Inggeris yang keliru. Bahasa Inggeris Amerika atau British. Kita selalu tidak mengambil berat mengenai ejaan dan istilah yang terpakai. Kita fikirkan semuanya sama sahaja. Apabila kita teliti, banyak kesalahan dari bahasa dan istilah.  Organise (British) atau organize (USA). Tyre (British) atau tire (USA).  Di Laut Mati saya melihat iklan dalam bahasa Inggeris. Dari jauh dilihat menarik. Bila diamati rupanya terdapat kesalahan iklan. Water dieja watre. Mungkin orang tidak perasan. Mungkin pelancong tidak ambil kisah. Namun begitu secara profesionalnya kesalahan tetap kesalahan. Apabila tida ada pengawasan dan pemantauan lebih banyak kesalahan yang pasti berlaku. Menarik balik sesuatu iklan banyak kosnya. Membatalkannya juga banyak kosnya. Tetepi jika teks awalnya diteliti kekusutan mengenai iklan itu dapat diatasi. Sebagai contoh banyak jug aiklan yang akhirnya dilihat dan dibaca sebagai double meaning.  Keluar beberapa hari pengguna marah kanan dan kiri. Iklan sepert itu terpaksa ditarik balik. Itu belum lagi pembaziran iklan. Iklan yang panjangnya 10 saat sebenarnya hany aperlu 2 saat sahaja. Selebihnya terpaksa dipotong.  Setel dipertontonkan baru disedari maksud iklan itu terkandung pada 2 saat yang akhir. 8 saat bukan banyak kepada orang yang tidak terlibat dengan iklan. 8 saat itu mungkin RM8 juta. Bukan RM800.
Memelihara bahasa adalah tanggungjawab bersama. Tanggungjawab pemimpin dan rakyat yang cintakannya. Cintakan bahasa seperti nyawanya. Saya cemburu bagaimana orang Jepun mencintai bahasa mereka. Begitu juga orang Perancis, Russia, Greece, Italy, Sepanyol, Jerman dan banyak negara lain. Di Asia selain daripada Jepun negara yang rakyatnya mencintai bahasa mereka ialah Cina dan Korea. Mereka tahu berbahasa Inggeris tetapi tidak menggunakannya dalam acara rasmi. Dalam hubunga rasmi. Pemimpin mereka membawa jurubahasa ke mana-mana mereka pergi. Kita bagaimana? British masih kuat mencengkan sanubari kita. Acara rasmi atau tidak semuanya mengabaikan bahasa ibunda. Memang semua orang mudah faham. Namun kecintaan terhadap bahasa sendiri tidak kesampaian maksudnya. Sekadar di bibir sahaja. Hatinya milik orang lain. Mari kita fikirkan bersama.