Monday, June 27, 2011

Juliza Adzlizan

Namanya gah setelah memenangi Bintang RTM tahun 1984. Lagu yang dibawanya Kuda Hitam sangat mengesankan. Lagu asal Hetty Koes Endang itu nyata memberikan tuah kepadanya. Juara lagu 1984 itu ialah Juliza Adzlizan. Orang Pahang. Waktu itu dia baru tamat SPM. Anak dara trang tang tang. Kerana kejayaannya itu kerajaan Pahang membantunya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Tempat pilihannya ialah Point Park College di Pittsburgh. Maka sekampunglah saya dengannya.

Di Point Park College ini ramai pelajar Malaysia. Pelajar Melayu. Hampir kesemuanya dengan tanggungan FAMA - father and mother. Sebahagian sahaja yang ditaja seperti Juliza. Lokasinya di Golden Triangle. Betul-betul di kawasan segi tiga pertemuan antara tiga sungai di muara bandraya Pittsburgh. Tempat yang sangat strategik. Downtown Pittsburgh. Right in the heart of the city. Berpuluh-puluh pelajar Melayu berada di situ. Komuniti Melayu di Pittsburgh ketika itu agak besar juga. Bila kami berhimun di Schenly Park nampak ramai juga. Walaupun ramai yang berkeluarga, yang bujang labih ramai lagi. Mendiang Virat Dinrat yang selalu menjadi perantara. Dengan yang bujang dia rapat kerana dia sendiri masih bujang. Dengan yang berkeluarga juga dia rapat kerana dia penjawat awam.

Juliza datang lewat sedikit dari saya. Mungkin seminggu dua. Biasalah untuk keluar negara bukan mudah urusannya. Banyak red tape. Banyak protokol. Banyak prosedur. Banyak urusan-urusan di belakang tabir yang tidak kita ketahui. Yang pasti mesti ada saringan keselamatan. Pasport satu hal. Visa satu hal lain. Berulang-alik ke kedutaan asing bukan boleh sekali dua. Perlukan pertemuan  bersemuka. Untuk mempastikan bahawa the person is real. Not a threat to national security.

Rezeki Juliza. Ada orang yang menyediakan tempat tinggal. Menjaganya. Akhirnya mereka bernikah. Sayangnya jodoh mereka tidak panjang. Itu cerita suami pertamanya. Sejak saya kembali ke Malasyia pada tahun 1986 terputus hubungan dengannya. Jika bertemu pasti tidak kenal lagi. Dia mungkin kenal saya kerana perubahan saya tidak banyak. Kata orang yang pernah bersama saya. Kali terakhir saya menemui Julizapun pada tahun 1987 agaknya. Di RTM, Lembah Pantai. Sekarang hanya membaca beritanya sahaja jika ada. 

Juliza agak rapat juga dengan isteri saya. Pandai bercerita. Pandai melawak. Cuma yang saya rasa dia antara  bintang RTM yang agak malap. Bukan kerana kurang bakat. Tetapi selepas sahaja memenangi pertandingan itu dia terus terbang ke US. Mengejar akademik. Ijazah muzik. Dia tidak mengembangkan bakatnya di Malaysia. Tidak menjadi penyanyi popular. Tidak berada dalam carta mingguan. Wajahnya tidak muncul dalam TV. Suaranya tidak kerap di corong radio. Di akhbar beritanya tiada. Hanya beberapa bulan namanya dipintas dengan kehadiran penyanyi lain. Antaranya Datuk Sheila Majid. Cumanya Juliza memiliki ilmu. Boleh hidup dengan ilmu itu. Kekal jika diamalkan. Jika mengajar orang lain. Jika dimanfaatkan.


Suatu hari dia bersama saya dan keluarga. Sibuklah anak-anak saya. Kuda hitam sudah datang. Orangnya hitam manis. Mungkin lebih putih daripada saya. Manisnya ada. Banyak bual dan ketawa. Jenis ceria. Anak saya yang ketiga bukan main rapat duduk denganaya. Selebriti ketika itu.

Gambar ini pada waktu yang lain. Saya tidak ingat di mana. Mungkin di rumah tempat tinggalnya. Kami pernah dijemput makan di rumahnya.

Benar. Ini di rumah sewa Juliza.



Gambar-gambar seperti ini bercerita peristiwanya sendiri. Cerita lisan banyak tokok tambahnya. Melihat sendiri gambar seperti ini memberikan nilainya yang tersendiri.  Siapa kita sebenarnya ketika waktu itu. Transformasi tetap berlaku. Dunia kita dinamik. Kita berpindah dari satu situasi ke satu situasi yang lain. Destinasinya terlalu jauh jika belum sampai. Terlalu dekat bila sudah ditentukan waktunya.

Sunday, June 26, 2011

Menghimpunkan Rakan-Rakan di Rumah

Duduk di perantauan terlalulah rindukan kampung halaman. Untuk menghilangkan rasa rindu itu selalu diadakan pertemuan dengan teman-teman yang ada di sekeliling. Kebetulan di Pittsburgh ramai pelajar Malaysia. Kebetulan juga ramai yang berkeluarga. Memang kebetulan ramai keluagra guru. Tidaklah sunyi dari bertemu dan bertandang. Bersama dan bersantai. Ada cerita yang boleh dikongsi bersama. Selain daripada berkongsi kehadairan bersama di park, kami adakan juga pertemuan di rumah. Ada masanya pertemuan itu bukan dirancang. Panggil kawan-kawan. Adakan makan-makan. Sembang-sembang. Ambil gambar. Esok lusa di rumah teman yang lain.

Bila diadakan jamuan ada sahaja juadah dari kampung. Masing-masing dari daerah yang berlainan. Dari kampung yang berlainan. Dari negeri yang berlainan. Tentu sahaja banyak kelainan dari segi masakan dan rasanya. Ada masakan banyak masinnya. Ada pula banyak manisnya. Yang lain antara keduanya. Yang berlainan lagi banyak pedasnya. Seperti potpouri pula. Kepelbagaian dalam satu. Seronok juga bertukar-tukar selera. Memperkayakan maklumat dan pengalaman. Berkongsi apa yang ada. Bertukar-tukar budaya. Yang cantiknya ialah antara kami tiada beza membeza. Tiada diskriminasi. Semuanya boleh bersama walaupun masing-masing berbeza bidang pengajian. Berbeza peringkat pengajian.

Rasanya yang bujang benar-benar menjamu selera. Rezeki jangan ditolak. Sudah lama tidak pekena juadah dari kampung. Selalunya makan apa yang boleh masuk ke perut. Belajar juga memasak tetapi kadang-kadang tidak menjadi. Tidak sama seperti kakak-kakak yang sudah pakar menjamu suami dan anak-anak. Sudah teruji. Memang banyak sedapnya dari tidak. Bertambah-tambah menimbun pinggan. Rasa berat perut. Kaki payah melangkah balik. Kenyang sekenyang-kenyangnya. Minta-minta tiap minggu ada juadah terhidang. Lepas juga sedollar dua

Kerusi bukan cukup. Duduklah di mana-mana. Yang penting boleh makan. Boleh bersama. Bercerita jika ada. Melawak menghindar kerinduan ke kampung halaman. Inilah saudara  mara yang ada. Susah senang bersama. Mengeratkan silaturahim sesama pelajar yang jauh dari tanahair tercinta. Jauh dari saudara mara, kerabat dan waris. Jauh dari sahabat handai yang ditinggalkan.


Anak kedua dan anak kelima. Awal tahun 1985. Yang kelima baru lebih sedikit setahun. Baru pandai berjalan.
Prof Dr Hazim Shah, Universiti Malays. 26 tahun dahulu nampak muda benar. Di hadapannya anak sulungnya. Sudah besar panjang sekarang. Masih berhubungan dengannya.

Yang di kanan sekali mantan NC UPSI. Dato' Dr Ashari Che Mat. Sudah lama tidak didengar khabar beritanya. Yang berT-shirt bernama Aspar. Dulu di KPM. Sekarang tentu sudah bersara. Pernah bertemu tetapi masing-masing sudah terlupa pernah bersama di Pittsburgh dahulu.
Seronok anak-anak bila ramai begini.

Anak ketiga, keempat dan kelima. Masih kecil ketika itu. Entah apa ertinya gambar ini kepada mereka. Ingatan ke masa ini rasanya terlalu kabur.

Bila berjamuan begini isteri saya yang paling kepuh. Banyak yang perlu dibuat. Beruntung juga kerana rumah kecil. Tidak banyak ruang bergerak. Semuanya selangkah dua sahaja. Kurang juga penatnya. Anak-anak mengambil peluang menjamu selera. Saya masih rindu lagi saat itu. Meraikan kasih sayang mereka. Duduk bertiga sopan-sopan belaka.

Duduk beramai-ramai. Berlapis-lapis. Asalkan ada ruang. Kongsi bersama. Balik ke tanahair jarang kita lakukan begini. Walaupun dengan jiran tetangga. Masing-masing terlalu menyibukkan diri dengan hal-hal kehidupan yang tidak pernah kunjung leganya. Semakin dibuat semakin bertambah kalutnya.

Yang ditengah Nur dari Terangganu. Di kanak sekali Shidah, anak Datuk Rashid Ngah. Bekas EXCO kerajaan Terengganu zaman Datuk Wan Mukhtar dahulu. Bertemu dengan Datuk waktu ia datang berkunjung ke Pittsburgh menjengah anaknya. Kenal dengannya sewaktu dia menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Seberang Takir (sekarang Ibrahim Fikri) pada tahun 1969 dahulu.

Sherry (Sharifah Fatmah, Datin) duduk di kanan sekali. En Bakar berdiri di kiri. Pegawai PTD. Isterinya Saleha di kanan sekali. Encik Bakar orang Melaka. Isterinya orang Kedah.

Pn Hajjah Faridah. Ada juga bertemu dengannya. Suaminya Haji Bakar, Timbalan Pengarah Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCCED). 
Keluarga Prof Dr Hazim Shah. Kali terakhir dia datang ke rumah saya semasa majlis perkahwinan anak kelima saya pada harai raya tahun 2010 yang lalu.

Ramai yang sudah tidak lagi saya ingat. Entah di mana mereka semua.

Di kanan Pauline Achan. Di sebelahnya Lemuk Sidu, Keduanya dari Sarawak. Bertugas di UiTM. Di mana? Sudah terputus hubungan.

Mengantarabangsakan Isteri Pelajar Asing

Jemu datang jika tidak menggunakan masa. Lebih menjemukan jika tidak tahu apa yang perlu dibuat untuk mengisi masa. Lagilah jemu jika tidak tahu bahawa rupanya ada masa terluang yang banyak. Sebenarnya jika tidak dimanfaatkan masa, pastinya tiada masa terluang. Hanya mereka yang banyak melakukan aktiviti merasakan masa tidak cukup. Tidak pernah merasa jemu. Terkejar ke sana terkejar ke sini. Masa yang ada dimanfaatkan untuk memperkayakan diri. Memperkayakan minda. memperkayakan persahabatan. memperkayakan ruang lingkup pemikiran. Memperluaskan skop kehidupan.

Masa tetap ada. Tetap datang. Tetap besama kita. Kitalah yang memanfaatkannya. Kita banyak pilihan. Santai atau membuat aktiviti. Tidur atau ligat bekerja. Bergerak atau diam mengelamun. Berfikir atau tidur dalam jaga. Sesungguhnya mereka yang arif sahaja masanya tidak pernah terbuang. Ada manfaat yang boleh dilakukan. Berfikir kerana merencanakan sesuatu yang bermanfaat. Positif. Dinamik. Ke hadapan bukan ke belakang. Maju bukan mundur. Umalak dahulu umurnyn pendek tetapi hasil tulisan mereka melebihi umur mereka. Seolah-olahnhya mereka tidak tidur malam. Jauh sekali tidur pada waktu siang. Diri mereka tidak pernah penat. Tidak merasa letih. Tidak ada tanda-tanda lesu. Memang tidak burn out. Apa sahaja yang diminati tidak menjadikan diri kita secara fizikal menjadi letih. Minda tidak letih. Perasaaan sentiasa terbuka. Psikologi sentiasa dimotivasi.

Peluang mungkin datang sekali. Menangguh-nangguh memang membuang peluang itu. Oleh itu menggunakan masa yang ada memang akan sentiasa mendatangkan manfaat. Besar atau kecil manfaat itu bukan pokoknya. Yang perlu ialah manfaatnya. Kecil mungkin kepada kita. Di sisi Allah mungkin besar. Di sisi manusia mungkin terlalu besar. Kita membuang tetapi orang lain mencari. Kebaikan yang remeh kepada kita besar ertinya kepada orang lain. Mencari itu sebenarnya akan menemukan dengan sesuatu yang bermanfaat. mencari kebenaran dan hakikat. Ilmu dalam apa bentuknya sekalipun tetap bermanfaat. Mungkin tidak dirasa dalam sekelip mata. Yang pasti ilmu itu datang manfaatnya bila keadaan memerlukan.

Begitulah isteri saya memanfaatkan waktu. Dia berusaha untuk belajar English. American English. Mendaftar dan belajar. Saya susun jadual supaya kelas saya tidak bertindan dengan kelasnya. Lazimnya kelas isteri saya pada sebelah petang. Waktu dia ke kelas saya menjaga anak-anak. Menaip tugasan di rumah. Ilmu tidak datang bergolek. Perlu dicari. Bila sudah ada tetap berlainan dengan orang lain. Kita ada tetapi orang lain tiada. Bukan untuk lebih melebihkan diri. Kenyataannya ialah kita mengetahui sedangkan orang lain tidak  mengetahui. Pasti yang kita ketahui itu ada manfaatnya. Masa dan tampat menentukannya.

Mengikuti kelas  English For Foreign Spouses menyegarkan isteri saya. Dia mendapat sentuhan antarabangsa. International blend. Rakan sekelasnya datang dari seluruh dunia. Dari berbagai bahasa. Dari Korea dan Jepun. Dari China dan Russia. Dari Italy dan Germany. Dari Iran dan negara-negara teluk.  Dari Brazil dan negara-negara latin. Dari Mexico dan Afrika. Kepelbagaian yang total. Putih dan hitam terhimpun bersama.  Seluruh Afrika ada di situ. Seluruh Eropah ada di situ. Seluruh Asia ada di situ. Seluruh Amerika Latin ada di situ. Inggeris bercampur dengan Portugis. Bercampur Arab dan Iran. China, Korea dan Jepun. Melayu nusantara, India dan lain-lain. Portpouri of nations. Terlalu berbagai. Semuanya terhimpun di situ. Tarikan Uncle Sam terlalu kuat.

Yang pentingnya kelas itu sangat menceriakan. Terlalu banyak kecelaruan yang melucukan. Yang sumber lawaknya tidak pernah putus-putus. Begitulah bila berbagai budaya bertembung. Hingga pada akhirnya masing-masing memahami budaya antara satau sama lain. Terbukalah tempurung yang memayungi diri. Bahawa dunia ini bukan sebesar tempurung. Langit jauh lebih tinggi berbanding tempurung. Bahawa karenah manusia melewati dunia tempurng. Pemikiran lebih menerawang jauh. Banyak input baru menerjah masuk. Memikirkan yang besar bukan lagi yang kecil-kecil. Bukan lagi yang penting itu diri sendiri tetapi kesejahteraan ummah. Kesejahteraan agama. Kesejahteran bangsa. Kesejahteraan negara. Dunia ini sangat luas. Bukan lagi di bawah tempurung.

Gambar ini sewaktu graduan. Mereka diannjurkan membawa keluarga. Membawa rakan-rakan. Ramai jadinya. Di jamu ala kadar. Mungkin air dan sebuku kek. Bun barangkali. Bukan makan yang menjadi keutamaan. Santai dan bersosial yang lebih penting. Orang bertamadun lebih mementingkan pertemuan. Kita di Malaysia lebih banyak memikirkan makan dan menyendatkan perut. Manfaat besar jarang difikirkan. Bila perut kenyang lagilah minda menjadi buntu. Perut menjadi keutamaan. 

Isteri saya di tengah. Di kananya Datin Jema'iyah. Di kirinya Nor. Isteri pelajar Malaysia.

Dato' Dr Mansor dan datin. Sekarang masih di Arab Saudi. Menjadi penasihat kewangan kerajaan Arab Saudi.

Saya dan anak-anak bersama seorang dari tutor isteri saya. Masih anak dara. Tidak semua orang putih tinggi-tinggi belaka. Ramai juga yang saiznya serupa kita.


Bersama dengan rakan lain. Suasananya sentiasa meriah.

Memang ramai bila berhimpun begini. Kesal juga kerana tidak ramai isteri pelajar Malaysia yang mengambil peluang ini. Alasannya sudah tahu berbahasa Inggeris. Alasannya tiada masa. Alasannya malas. Bersosial itu penting. Menghiburkan hati. Mempealajari budaya orang. Tingkahlaku orang. Kebiasaan orang. Sensitiviti orang lain. Falsafah hidup mereka. Amalan agama mereka. Meluaskan rangkaian persahabatan. Memahami. Mengerti. Mengambi iktibar.

Tidak kira dengan siapa. Pertemuan ini dimanfaatkan dengan bertegur sapa. Bertanya khabar. Bertukar-tukar pendapat. Berkenal-kenalan.

Bergambar memanglah satu kemestian. Saya tidaklah tinggi sangat. Daripada gambar ini nampak bahawa di mana-manapun saiz manusia adalah relatif. Ada tinggi dan ada yang rendah.

Bersama anak-anak dan tutor.

Memang antarabangsa. Berbagai-bagai dan bersama. Tidaklah kolot sangat jadinya.

Entah berapa kali menerima sijil dari tahap beginning ke tahap intermediate higga ke tahap advance. Kesemuanya percuma. Kelasnya. Buku teksnya. Jamuannya. Ada lawatan percuma lagi. Mereka dilayan supaya benar-benar selesa. Just like at home. A second home.

Ada yang melucukan kami. Badan saya cukup langsing ketika itu. Bila boleh kembali langsing seperti itu.

Keluarga besar dari Afrika. Masing-masing mempamerkan budaya berpakaian.

Berlakon dalam kelas. Tinggal kenangan. Untuk ditatap semula.

Dari sudut lain.

Proses belanjar sangat santai. Tiada tekanan. For them to enjoy.

The commitment was superb. They have excellent teachers who understand beyond nations. Beyond cultures. Beyond religions. Very helpful dan understanding. Very able to gauge whatever difficulties encountered by the spouses. Of course the majority of them was female. As always the male were greatly outnumbered.

Streseing a point. You got it?

Posing after class. It was summer. Light dress. The sun was blaring. This was the Cathdral of Leaning. Their class was on the 36th floor. How lucky it was for them. I never had a class in this building. The tallest university building in the world.

Another friend.

Changing position.


From Africa with love.

Friday, June 24, 2011

Perantau Yang Merantau

Sudah 26 tahun. Lebih Suku abad lamanya. Anak kelima saya yang waktu itu berumur setahun setengah sudah berumur 28 tahun. Sudah berkerjaya. Sudah berumahtangga. Namun kenangan di perantauan masih selalu datang. Banyak yang positif. Banyak yang indah. Sumber nostalgik. 26 tahun mungkin suatu jangkamasa yang panjang. Membalik-balik lembaran masa seolah-olahnya baru beberapa ketika sahaja. Terasa belum terlalu lama. Masih segar malar - evergreen.   

Berada di Pittsburgh, USA bagai mimpi yang tidak pernah padam. Bagai tidur yang berpanjangan. Semuanya itu pengalaman peribadi. Saya kongsi bersama isteri dan lima orang anak. Perempuan kesemuanya. Saya bertujuh beranak. Hanya saya seorang sahaja yang lelaki. Membawa lima orang anak bukan sesuatu yang mudah. Banyak urusan yang perlu dilaksanakan. Diri sendiri pula sibuk dengan akademik yang dikejar. Yang akhirnya ialah segulung ijazah kedua. Setelah yang pertama dahulu pada tahun 1979. Tahun 1986 adalah tujuh tahun berikutnya.

Sesekali bila rindu datang, saya buka kembali album lama yang memahat segala sejarah diri dan keluarga. Terbang ke USA bukan suatu impian yang pasti. Rezeki yang datang dari Allah tidak dapat saya telah. Saya rebut satu peluang yang terbuka. Ada ruang untuk lebih baik. Pilihannya banyak. Cuma saya memilih USA kerana mungkin pengaruh Amerika yang kuat kepada saya sejak saya kanak-kanak lagi. Cerita-cerita mengenai USA selalu terpapar untuk dibaca. Ada tarikannya yang tersendiri. Tarikan the land of plenty itu lebih kuat. Maka terbanglah saya dan keluarga. Membelah awan nan biru. Langit yang tinggi. Lautan segara yang mengufuk. Realitinya saya tidak melihat bumi. Kapalterbang jauh di atas angkasa. Antara kapalterbang dan bumi selalu ada awan yang menlindungi pandangan. Cuma Lautan Pasifik yang banyak dilihat. Sinaran air dek pancaran matahari.

Manusia terlalu kecil dan kerdil. Dirinya hanya titik-tituk yang bergerak. Punya rasa dan gerakhati. Mencari apa yang tiada. Mengambil apa yang dihulur. Menerima apa yang diletak di telapak tangan. Jauh berjalan luas pemandangan. Sangat mahal pemandangan itu. Sukar dinilai. Lazimnya pengalaman yang dimanfaatkan sangat mematangkan. Mendewasakan. Memberi ruang untuk melonjakkan diri. Mengetahui yang orang lain tiada peluang mengetahui. Melalui rentetan peristiwa yang bersilih ganti. Berjurai-jurai datang dan pergi. Dari winter merentas spring. Lalu menjengah summer. Masa yang beredar menemukana saya dengan fall/autumn. Kitarannya kembali kepada winter. Di hujung spring yang kedua saya kembali ke tanah air.

Berada di USA tentu mengujakan. Tetapi hati rindu kepada semua yang ditinggalkan. Ibu saya seorang terkuntang-kuntang. Saya hanya mampu menghantar poskad atau surat. Ketika itu, tahun 1984-86 telefon belum ada di kampung saya. Tahun 90-an baru dihubungkan dengan dunia luar melalui suara. Kerjaya yang ditinggalkan juga menjadi kerinduan. Berinteraksi dengan pelajar banyak mengujakan saya. Hingga saat ini kadang-kadang ingatan saya dijentik oleh bekas pelajar yang masih ingat. Mungkin kebersamaan dahulu ada manfaatnya.  Tentu sahaja saya rindukan tanahair tercinta. Lanskap buminya. Gunung-ganangnya. Bukit-bukaunya. Pepohon nan hijau. Buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan dan masakan. Udara dan kesegarannya.

Jangkamasa 18 bulan bukannya lama. Puas memang puas. Jika diberi peluang, saya ingin mengulang-ngulaninya berulang-ulang. Rasanya tidak ada kebosanan untuk berada di sana. Waktu saya di Canada dahulu, hanya semusim sahaja. Sangat-sangat tidak puas. Ah! Terlalu nostalgik. Rindu lagi snow yang memutih. Bunga yang memercup. Summer yang menghijau. Fall yang memerah. Hanya di sana semuanya dapat dialami. Mengalaminya secara live. For real. Itu yang sangat mahal. Gambar hanya suatu detik masa. Video hanya rakaman. To be there for real was simply great.

Sewaktu di sana cuaca memang seperti menyulitkan. Khususnya winter. Mungkin di awal spring. Seluruh tubuh dibalut pakaian tebal. Yang menghangatkan. Yang menghidupkan. Dari kepala hingga ke hujung jari tangan dan kaki. Dinginnya mencengkam hinga ke tulang sumsum. Yang paling dalam. Begitulah manusia mengadaptasikan dirinya dalam semua keadaan. Begitulah juga pendidikan memandaikan manusia. Antara kebaikan paling besar pendidikan ialah membina manusia yang boleh membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Manusia yang kelihatan kerdil dan lemah menggunakan akalnya untuk mengatasi apa sahaja masalah yang mendatang atau yang dijangkakan. Kerana itu musim dan cuaca bukan penghalang atau ancaman. Sebaliknya musim diterima sebagai sesuatu lumrah. Yang biasa. Kemudiannya musim menjadi sumber ekonomi. Dari makanan hingga pakaian. Musim yanbg berganti menjadi peluang menghidupkan kehidupan manusia.

Pada summer yang pertama iaitu tahun 1985 saya nikmatinya bersama keluarga. Kami lingkari kampus University of Pittsburgh. Jejak-jejak kami ada di sana.  

Pada satu bangku yang tunggal di satu kawasan lapang yang luas. Di belakang saya Cathedral of Learning. Tinggi menjulang kira-kira 40 tingkat. Dubbed as the tallest university building in the world. Cuaca agak terik. Pepohon menghijau. Summer pertama yang sangat mengujakan. Kemeja-T yang saya pakai banyak ceritanya. Bagi orang Amerika kemeja-T sebegitu diperbuat dari kapas. Hanya kapas sahaja. Saya boleh pakai berulang kali, berhari-hari. Tidak ada bau peluh. Udara yang kering mengnyah bau dari pakaian yang dipakai.

Bersama anak ketiga (kiri sekali), anak kedua (kedua dari kiri), anak kelima (dua dari kanan). First hand experience kepada mereka. Segalanya a blurr kepada mereka. Banyak yang tidak mereka ingat. Lihat hijaunya pokok di belakang meeka.

Yang kelima. Baru setahun setengah ketika itu. Sekarang seorang peguam. Lulusan UIAM.

Yang kedua tentu lebih ingat. Kebetulan dia belajar di US juga. Waktu ini dia lebih menikmati suasananya. Sudah mengerti. Sekarang pensyarah di MMU Cyberjaya.

Jarang saya bergambar berdua. Isteri saya bukan mengandung. Bajunya disapa angin Pittsburgh.

Anak ketiga. Bersamanya pada hari yang lain. Sekarang pensyarah di Politeknik Merlimau. Ketika itu usianya lima tahun.

Di sebuah air pancut.

 
Di satu sudut universiti.

Seperti orang Amerika. Bersantai di padang adalah suatau nikmat. Rahmat. Bermandikan cahaya matahari yang selalu dirindu. Setahun hanya semusim.
Waktu summer universiti agak lengang. Holiday in summer.

Cepatnya masa berlalu. They were so adorable.

Anak keempat. Badangnya kekal comel. Jurutera di Ranhill.

Lima orang yang bersama saya merentas benua. Yang sulung di tengah seorang guru di Pasir Gudang.

Dua beradik yang dekat usianya.

Sebuah arca.

Bunga di jambangan masih memutih. Indah. Dua sejoli sedang bersama. Hati jadi rindu serindunya.

Di belakang mereka bebunga yang merah warnanya.  Bunga memarak dari spring hingga summer.

Hanya tinggal kenangan. Ia tidak akan datang lagi. Tidak mungkin waktu berputar semula. Hanya boleh diingat. Itulah kenangan. Saya masih merasakan keindahan Pittsburgh.