Thursday, November 11, 2010

Madinah al-Munawarah Yang Selalu Dikenang

Kembali cerita makam Baqi’ di Madinah al-Munawarah. Aarwah-arwah di situ sangat beruntung kerana mereka berjiran dengan Rasulullah. Alangkah bahagianya mereka kerana pada hari kiamat nanti mereka adalah yang keempat dibangkitkan selepas Rasulullah, Abu Bakar dan Umar. Begitulah dekatnya mereka dengan Rasulullah. Di alam barzah lagi mereka sudah berdamping. Di akhirat semoga mereka terus bersama. Orang Malaysia selalu mengimpikan supaya dapat meninggal di Makkah. Mungkin ada kekeliruan di situ. Sebenarnya meninggal di Madinah yang sepatutnya dicari. Yang kedua barangkali Makkah. Ikutlah rezeki masing-masing. Allah yang menentukan semuanya.

Pada pengamatan saya orang Madinah agak lebih damai. Lebih sopan. Lebih santun. Lebih tenang. Baik peniaganya. Baik penduduk setempat. Baik pekerja asing sekalipun. Inilah ajaran dan didikan Rasulullah. Mereka memiliki rasa hormat kepada Rasulullah yang amat tinggi. Kasih dan sayang yang sangat mendalam. Saya dapati beberapa hari di Madinah memberikan rasa damai yang menusuk qalbu. Tenang setenangnya. Jarang ada hiruk pikuk. Tidak ada manusia yang mengambil kesempatan untuk membuat hingar. Bagi jemaah haji atau umrah Madinah adalah suatu kedamaian abadi. Di situ, di Masjid Nabawi Rasulullah sentiasa menunggu. Pertemuan yang tidak secara fizikal itu memberi kesan mendalam. Kita diajar untuk mengasihinya secara spiritual. Itupun sudah cukup mendamaikan. Nantilah kedamaian dan kebahagian mutlak apabila kita bertemu dengan Baginda di syurga. Tidak kiralah sama ada di Janntun Naim atau di Janntul Firdaus. Allahu Akbar. Rindu sangat-sangat.

Bila haji dan umrah, lazimnya kurma tetap dibeli. Bertan-tan dihantar balik ke kampung, ke rumah, ke Malaysia. Waktu di sana makan juga. Tetapi saya hairan juga. Tidak banyak yang mampu dimakan. Kadang-kadang saya beli sekilo atau dua. Untuk dimakan dengan rakan sebilik. Jamah sebiji dua. Lepas itu terpaksa bungkus untuk dibawa balik. Tidak ramai yang berminat. Nasi juga yang dicari. Roti juga yang dimakan. Mulut, lidah dan tekak payah sungguh mengubah selera. Cuma waktu itu (1999) tidak banyak pengetahuan tentang kurma. Tidak membuat kajianpun. Yang saya tahu kurma boleh dibeli dan dimakan. Tidak terfikir hendak makan yang segar, yang lembut. Terlalu naif tentang kurma. Jika sekarang rasanya semua hendak dirasa, dibeli dan dibawa balik.

Peniaga-peniaga bukan kesemuanya orang Arab. Ada Cina. Ada India. Ada juga bangsa lain. Namun kesemuanya Islam. Yang itu memang pasti. Tiada seorangpun yang kafir kerana mereka telah dikeluarkan sejak Rasulullah wafat. Yang mendamaikan hati ialah mereka kesemunya baik-baik belaka. Saya tidak pasti sama ada mereka baik kepada semua orang atau kepada orang Malaysia sahaja. Selalunya kemesraan kepada orang Malaysia melebihi layanan kepada orang dari negara lain. Begitulah bila kita berbudi orang berbahasa. Bila kita berakhlak baik semua orang menunjukkan rasa suka. Polis dan petugas kerap memberikan sunyuman. Menunduk kepada. Memandang tenang. Kita benar-benar menjadi tetamu mereka dan tetamu Allah.

Kali pertama berada di Madinah tentulah banyak peristiwa yang dialami. Saya sebenarnya banyak berjalan di sekeliling kawasan yang berhampiran. Berbelanja mudah di Madinah kerana perancangan bandarnya agak teratur. Mudah berjalan dari satu jalan ke satu jalan yang lain. Matapun menjadi rambang di kiri dan kanan jalan. Ada sahaja yang menarik perhatian. Biasalah pada musim haji semua harga barang melam bung sekali ganda sekurang-kurangnya. Jika waktu umrah sehelai jubah berharga Rial 30, pada musim haji harganya mungkin Rial70. Thalathun jadi sab’un. Kadang-kadang jadi samanun. Saya tertarik kepada jubah yang bersulam di lehernya. Tetapi tidak terbeli juga hingga sekarang. Harganya ketika itu sehingga Rial 150 sedangkan jubah biasa jauh lebih murah. Cuma cantiknya masih saya ingat hingga sekarang. Nantilah jika ada rezeki.

Membeli barang di Madinah atau di makkah sekalipun tidak sama dengan di Malaysia. Setiap sebutan harga mesti dituruti dengan halal. Jika minta kurang akan dikatakannya haram. Tawar menawar mungkin berjaya menurunkan harga sehinggalah ia mengatakan halal. Saya pula suka menawar secara lembut. Jika pekedai itu tidak menunjukkan minat saya tinggalkan kedai itu. Sehinggallah saya berjumpa kedai yang layanannya sedikit lembut. Tetapi itulah. Saya perasan juga akhirnya. Semua yang saya lakukan ada balasannya secara kontan. Begitulah janji Allah. Jika hari itu saya banyak sedekah, saya dapati mudah tawar menawar denga pekedai. Jika tidak memang haram semata-mata. Sukar hehdak dipujuk. Beginilah jika kita ikhlas memberi maka Allah akan kembalikan keikhlasan itu. Hanya selangkah dua dari tempat kita memberi ikhlas itu. Subhanallah.

Tidak lupa saya, ada hal-hal lucu yang diamali. Suatu pagi saya dan anak saudara saya memesan sup dan roti. Dalam minda saya sarapan pagi itu mesti meliurkan. Sudah lama tidak makan sup. Di Madinah pastinya sup kambing. Terbayang harumnya. Terasa sedapnya. Buila sup itu dihidangkan, terbeliak mata saya. Terkedu sebentar. Terdapat dua batang kaki kambing. Masih memakai kasut. Tapak kakinya tidak dibuang. Jika di Malaysia memang saya tolak sebab kaki itu selalu memijak tahinya sendiri. Tentu serta merta geli geleman.

Tetapi tidk di situ. di padang pasir kita tidak melihat jijiknya tahi kambing. Malah di Muzdalifah ada jemaah yang terkutip tahi kembing kering yang keras seperti batu. Sebab itu batu yang sudah dikutip hendaklah dibasuh untuk mengesan jika ada tahi kambing yang terkutip sama. Sekarang kaki kambing itu ada di depan mata. Saya pandang anak saudara saya. Sopntan dia pandang saya juga. Sesaat dua kami terdiam. Terhenti segalam pergerakan anggota badan. Kemudian secara serentak kami capai roti dan cecahkan sup itu. Sekali lagi terasa haru. Sup itu hanya rasa masin sahaja. Mana bawang gorengnya. Mana kayu manisnya. Mana bunga lawangnya. Mana cengkihnya. Mana buah pelaganya. Mana, mana. Mata mencari-cari. Sah, memang tidka ada. Dalam hati berkata, rezeki. Kami cecah dn cecah. Aneh. Habis dan terasa lazat pula sup kosong itu. Kaki yang dua batang kami kikis dengan jari dan gigi. Betul-betul tinggal tulang kurus.

Rupanya kejutan kami tidak berakhir di situ. Waktu kami hendak membayar disebut harganya Rial 25. Amboi! Mahalnya kata hati kecil saya. Berkali-kali kami minta kepastian. Malangnya pekedai itu tidak berapa fasih berbahasa Melayu. Saya waktu beku lagi belajar Bahasa Arab. Untuk memudahkan keadaan saya keluarkan beberapa keping wang yang saya bawa. Perlahan-lahan pekedai itu mengambil dua keping wang kertas Rial 5. Tersenyum saya dibuatnya. Rupanya dua keping wang Rial 5. Saya ingatkan Rial 25. Bila keluar kedai kami ketawa kerana teras lucu berkomunikasi yang tidak sempurna antara sesama Islam tetapi berlainan bahasa.

Wednesday, November 10, 2010

Madinah al-Munawarah Yang Sarat Sejarah

Semasa mengerjakan haji atau umrah akan ada program ziarah. Banyak tempat sejarah yang boleh dikunjungi. Saya cadangkan supaya pembaca kaji dulu berbagai bahan dan input sebelum pergi. Banyak kisah-kisah yang sudah dibukukan. Sudah didokumenkan. Berbekalkan maklumat itu nanti saudara akan dapat menikmati semua yang terbentang di depan mata. Tidak keliru dengan cakap-cakap orang sahaja.

Rasanya ziarah di Madinah al-Munawarah tidak cukup hanya sehari. Walau bagaimanapun masa tidak mencukupi kerana kita terikat dengan program ibadat semata-mata. Yang lain-lain hanya memenuhi tuntutan naluri ingin tahu. Ingin melihat. Ingin kembali kepada sejarah. Ingin kembali menghayati susah payahnya Rasulullah dan sahabat-sahabatnya mempertahan kota Madinah. Memakmurkannya dengan Islam. Membina tamadun yang meneroka alam ilmu yang bersandarkan tauhid.

Di situ terbina umat yang tinggi hati budinya. Akhlak Islamiyyah yang tiada tolok bandingnya. Sekelompok manusia Islam yang akhirnya mencipta kegemilangan. Farsi di Timur dan Empayar Roman di Barat ditundukkan dengan Islam. Kaum jahiliyyah, musyrikin dan Yahudi tunduk kepada akhlak Islam itu. Di situ, di bumi Madinah ini terlangsung keadilan yang seadil-adilnya. Islam menjamin keadilan selagi pemerintahnya berpegang pada tali Allah. Meningkat imannya. Redha dengan perintah dan larangannya. Ikhlas dalam perjuangannya. Satu pertanggungjawapan yang tinggi.

Bayangkan Perang Khandak. Parit besar yang perlu digali di sekeliling Madinah untukk menghadapi tentera Quraisy dan Yahudi yang megepung Madinah. Peralatan dan makan yang tidak mencukupi. Anggota yang tidak seramai mana. Namun iman dan taqwa mengatasi kekuatan material. Ramainya anggota. Melimpah ruahnya makanan. Orang Quraisy sangat terkenal dengan kekayaan mereka. Semuanya dalam genggaman. Rasulullah dan sahabat-sahabatnya cuma ada sedikit dalam semua hal. Namun iman, taqwa dan tawakal mereka kepada Allah sangat besar. Allah membantu mereka. Kemenangan demi kemenangan mereka perolehi.

Bayangkan lagi Perang Uhud. Perang yang mengajar umat Islam ketika itu bahawa perintah Rasul tidak boleh diingkari. Lalai dan alpa bukan tuntutan Islam. Bekerja keras, waspada dan siaga mestilah sentiasa ada dalam hati dan perasaan. Musuh-musuh Islam tidak pernah duduk diam. Mereka tidak berasa aman selagi orang Islam tidak dirosakkan. Selagi orang Islam tidak meninggalkan Islam. Selagi meraka tidak meninggalkan al-Quran dan al-Sunnah. Mungkin sebahagian dari usaha mereka berjaya kerana semakin ramai orang yang seluruh sulur galur keturunannya adalah Islam sekarang meringan-ringankan Islam. Melupakan al-Quran. Tidak mengenali apa isinya. Membaca tanpa sistem. Tanpa prosedur. Tanpa cara yang betul.

Al-Quran bukan buku. Bukan bahan bacaan sebarangan. Kalimahnya, ayatnya, surahnya sangat unik. Sangat istimewa. Sangat tinggi nilainya. Melewati keindahan bahasa Arab zaman itu. Syair Arab jauh tertinggal berbanding dengan keindahan al-Quran. Penuh dengan segala kerahsiaan, kiasan, ungkapan, perbandingan dan bayangan-bayangan yang perlukan tafsiran yang mendalam. Mereka yang mujtahid sahaja yang dapat melihat kesemua keindahan itu. Bagi orang lain seperti kita sepatutnya boleh membacanya dengan baik. Memahami maknanya walaupun bukan tafsirannya. Bila menjadi imam sedap didengar dan sedap rasa di hati. Bila menjadi makmum meresap bacaan imam. Mempesona. Surah yang panjang tidak terasa bila habisnya.

Penduduk Madinah mengadu kepada Rasulullah. Kaum Muhajirin boleh kembali ke Makkah, mengerjakan umrah dan kembali semula ke Madinah. Bagi kaum Ansar mereka tidak ada keistimewaan itu. Lalu didirikan Masjid Quba’. Sabda Baginda, sesiapa yang solat dua rakaat di masjid itu, mendapat pahala umrah. Sebab itu semua jemaah haji atau umrah dibawa ke masjid itu. Solat di situ pahalanya sama dengan pahala mengerjakan umrah. Allahu Akbar.

Ingat Masjid Qiblatain? Dalam bahasa Arab, Qiblatain bermakan dua kiblat. Hairan juga macam mana satu masjid ada dua qiblat. Sehingga sesudah hijrah, qiblat orang Islam masih lagi Masjid al-Aqsa. Rasulullah memohon supaya qiblat itu Allah tukarkan ke Bait al-Allah di Masjid al-Haram. Orang Yahudi mempersenda-senda orang Islam. Pada mereka Islam tidak ada kelebihannya dengan penganut Yahudi kerana qiblat mereka sama. Hinggalah sampai waktunya perintah Allah tentang pertukaran qiblat itu diwahyukan kepada Rsulullah sewaktu Baginda sedang solat besama sahabat-sahabatnya. Maka Rasulullah menggerakkan arah qiblatnya dalam solat itu juga. Diikuti oleh jemaahnya. Saya tidak dapat hendak menggambarkan pergrakan mereka. Mungkian jika kita analogikan pergerakan dalam barisan tentera tentu agak lebih mudah difahami. Tentulah. Pergerakan itu mengikut syarat-syaratnya. Solat itu terpelihara kesemua rukun dan syarat sahnya.

Siapa boleh melupakan makam Baqi’. Kawasanya tidaklah begitu besar. Sewaktu umrah pada tahun 2003 dulu saya menginap di hotel bersebelahan makam ini. Setiap hari saya menjengah tingkap untuk mengukur besarnya makam tersebut dengan mata saya. Hati saya berkata, tidak sebesar manapun. Subhanallah. Sudah hampir 1500 tahun hijrah. Makam itu belum penuh lagi. Allahu Akbar. Ada sahaja ruang yang boleh menempatkan jenazah di situ. Saya pernah ke dalam kawasan makam. Dari dalam melaut luasnya walaupun dari atas nampak kecil sahaja. Dalam masa 1500 tahun tentulah tidak terkira jumlahnya. Setiap musim haji sahaja berapa ramai yang dikebumikan di situ.

Suatu pagi saya berjalan di tepi makam itu bersama anak saudara saya, isteri dan kakak ipar saya (anak saudara saya bersama ibunya, kakak isteri saya). Malangnya orang perempuan tidak digalakkan menziarahi makam itu. Walaupun dari tepi pagarnya, kami masih dapat melihat makam yang melaut luasnya itu. Di situ, ketika itu saya tersedu. Pasti damai mereka yang bersemadi. Alangkah indahnya jika dapat bersama mereka. Beruntunglah jemaah haji yang disemadikan di situ. Bersahabat dengan para sahabat, para syuhada’. Malah ad jenazah khalifah Uthman di situ. Tentulah alam barzah mereka sangat indah dan penuh dengan nikmat.

Tahun 1999 adalah tahun yang penuh peristiwa. Tahun 1987 dan 1988 adalah tahun yang turbulent. Pertama kerana kemelesetan ekonomi. Keduanya kerana pergolakan politik. Saya ingin kembali menyentuh, betapa ramainya pemimpin negara ketika itu yang meremehkan Islam, meremehkan agama, meremehkan mereka yang berlatarbelakangkan agama. Hinanya hukum hudud. Hinanya janggut. Peruntukan untuk pengajian agama dikecilkan. Kononnya kerja tidak ada untuk meeka. Mereka tidak ada jaminan hidup. Mereka hendak makan apa nanti. Rasulullah telah berhijrah dari tanah tempat tumpah darahnya. Dari tanah yang penuh sejarah dirinya. Tanah yang sangat dekat di hatinya. Di situ ibunya. Di situ datuknya. Di situ ibu susunya. Di situ isteri kesayangannya. Di situ bapa saudaranya. Di situ. Di situ dan segalanya di situ. Tahap kesayangan yang tidak dapat digambarkan. Bagaimana pad akhir zaman orang boleh menghina Islam. Bukan Melayu yang mudh lupa. Orang Islam sendiri lupa sejarah agamanya. Wawasan agamanya.

Kesayuan yang tidak terungkap. Tanah kesayangan itu mesti ditinggalkan. Risalah iman dan Islam mesti diselamatkan. Kegilaan orang Quraisy tidak dapat dibendung dengan kekuatan yang tidak seberapa. Penganut Islam hanya boleh dibilang dengan jari. Mereka tidak ada kekuatan. Tidak ada kekayaan. Tidak ada daya. Mereka hanya membawa iman di dada. Kekuatan mental dan semangat. Bumi kesayangan itu ditinggalkan dengan berat hati. Dengan kesayuan yang mencengkam. Tinggallah semua di situ. Mengejar yang lebih besar di hadapan sana. Bumi Madinah menjanjikan yang lebih baik untuk umat Islam dan umat manusia hingga hari ini.

Hakikatnya Islam tidak pernah remeh. Tidak pernah rendah martabatnya. Tidak pernah runtuh. Tidak pernah hina. Umatnya barangkali alpa dan lalai. Malas dan berpuas hati. Cukup dengan apa yang ada. Lahir pula dogma-dogma baru kerana perpecahan umat. Lalu saya kembali menatap nisan-nisan batu kecil di Baqi’. Apakah perjuangan mereka para syuhada’ itu sia-sia belaka? Tentu tidak. Allah telah menjanjikan yang terbaik untuk umat Muhammad. Saya lihat di Kuala Lumpur umpamanya, para ulamak tidak duduk diam. Terbang ke sana terbang ke sini. Berkereta ke sana dan berkereta ke sini. Naik masjid sana dan naik masjid sini. Dipanggil ke sana dan dipanggil ke sini. Di TV saban waktu. Masjlis ilmu ada di mana-mana. Sinar agama tetap memancar.

Guru al-Quran tidak cukup waktu. Dalam majoriti umat Islam tidak belajar membaca al-Quran. Tidak membaca al-Quran. Tidak memahami al-Quran. Masih ramai yang mepelajarinya. Yang belajar tajwid. Yang bertalaqi dan bermusyafahah. Yang bertahsin. Yang bertashih. Itu belum yang bertaranum. Yang belajar tafsir. Yang belajar qiraat. Bahkan Ulum al-Quran tidak pernah sunyi dari kajian. Ramai murid dan pelajarnya. Masih ada yang cinta dan mencintainya. Guru-guru al-Quran masing-masing ligat menjadi guru. Mereka mendapat rezeki mereka. Siapa kata orang agama tidak boleh cari makan. Tidak boleh ada kerja. Tidak boleh hidup. Siapa kata orang agama tiada jaminan hidup. Hanya mereka yang jauh dari agama melihat agama itu sebagai musuhnya. Sedangkan agama itu sahabat yang paling akrab. Nanti agama itu yang menjadi hujjah di hadapan Allah. Ingatlah bahawa kita akan kembali dan dikembalian kepadaNya.

Pasar kurma adalah suatu kemestian bila sampai di Madinah. Di situ terdapat berbagai jenis kurma. Yang tempatan dan yang diimport. Yang lama dan yang baru. Yang baru masih lembut sedangkan yang lama sudah keras. Itu belum yang berulat. Yang ada biji dan yang tidak ada biji. Yang bersaiz besar dn yang bersaiz kecil. Yang panjang dan yang pendek. Yang kurus dan yang bulat. Yang bertangkai dan yang bercerai-cerai. Bukan itu sahaja banyak lagi yang namaya kekacang. Kacag putih, pistachios, badam, gajus. Buah hawa sederhana yang kering termasuk kismis, buah tin. Di pasar itulah semua bekalan kurma boleh diperolehi. Jemaah dari seluruh dunia berkunjung ke situ. Sepanjang tahun. Tanpa henti. Itulah rezeki bagi yang berusaha. Tanah kering berpasir yang mendatangkan rezeki dari penjuru-penjuru yang lain. Nukilan ayat 1000 dinar dari surah al-Tolaq.

Monday, November 8, 2010

Masjid Nabawi Yang Damai

Kali pertama saya jejakkan kaki di bumi Madinah adalah pada suatu Subuh. Itulah hari pertama saya di Madinah al-Munawarah setelah terbang dari Senai pada hari semalamnya. Turun sahaja dari bas kedengaran laungan azan yang mendayu sayu. Allah, aku di sini ya Rasulullah. Aku di bumimu sekarang. Terlonta-lonta hati untuk berjemaah kali pertama di Masjid Nabawiyyah. Masjid yang dibina oleh manusia teragung yang menjadi kekasih Allah. Nabi akhir zaman. Penghulu segala nabi. Nabi besar segala junjungan.

Jadual Tabung Haji menyenaraikan bahawa solat pertama di Madinah ialah pada waktu Zohor. Waktu sampai kali pertama menjejak kaki di bumi Madinah itu tentulah kalut. Letih dan lesu kerana perjalanan dengan bas yang jauh dari Jeddah. Kira-kira 400 km. Sejak lepas Isya’ hingga waktu Subuh. Belum lagi urusan bagasi yang banyak bertimbun di perkarangan apartment. Alhamdulillah hanya beberapa minit dari pintu belakang Masjid Nabawi. Syukur alhamdulillah. Rezeki dari Allah untuk hambanya seperti saya dan rombongan.

Saya kebetulan bersama anak saudara isteri saya. Yusof juga namanya. Kami berdua memutuskan untuk berjemaah kali pertama subuh itu. Terlalu dekat masjid itu. Terasa berdosa jika tidak pergi. Terasa sangat rugi. Datang beribu-ribu kilometer jauhnya. Tidak mungkin peluang ini disia-siakan. Terlalu jelas depan mata. Kami sudah sampai. Ayuh kami langkahkan kaki menjengah pagar. Memang dekat. Sekadar terlindung bangunan lain. Allahu Akbar. Ini masjidmu ya Rasulullah. Aku jejak dalamnya. Di mana makammu? Arah entah ke mana. Imej-imej peta tentang kedudukan makam hilang seketika. Sebelum sampai, dihafal semuanya. Seperti sangat pasti akan diziarahi. Rupanya dalam kekalutan itu ada yang lebih utama. Nanti dulu hati. Sabarlah. Banyak masa di sini. Di bumi ini. InsyaAllah 8 hari yang akan penuh dengan kesyahduan. Rindu yang telah lama berpanjangan. Akan diubat dan terubat nanti. Sudah terlalu dekat ya Rasulullah. MasyaAllah gejolaknya hati ini. Rontanya sukar dikawal.

Saya teringat kembali, sewatu berkursus haji selama tiga tahun dulu banyak cerita yang berat-berat. Kami diingatkan bahawa mengerjakan haji itu semuanya seperti susah. Banyak masalahnya. Panasnya tidak boleh dicerita. Berkongsi bilik hingga sesak tidak boleh bergerak. Tidur beralaskan tilam setebal tiga sentimeter. Ya tiga sentimeter. Makanan yang bercatu. Kenderaan yang berbagai ragam. Belum drebar yang banyak ragamnya. Muasasah yang banyak ceritanya. Semuanya digambarkan sebagai payah. Mungkin untuk membiasakan hati supaya bersedia. Supaya hadirkan hati dengan seikhlasnya. Entahlah.

Saya bertanya kepada seorang kenalan yang pergi setahun lebih awal. Bila saya tanyakan pengalamannya, lama dia terdiam. Mencari perkataan yang sesuai agaknya. Atau mengumpul semula pengalaman baru yang dilaluinya. Jawapannya cukup santai tetapi menenangkan hati saya. Katanya, pengalamannya tidak sesusah seperti yang digambarkan oleh ustaz-ustaz yang memberi kursus dulu. Kebetulan saya mengunjungi seorang sahabat di Subang Jaya. (Datuk Dr Mansor Mat Isa. Dulu Profesor di UM. Sekarang penasihat kewangan kerajaan Arab Saudi.) Saya tidak tahu dia juga baru kembali mengerjakan haji. Saya melihat rambutnya baru tumbuh selepas dicukur waktu bertahlul awal dulu agaknya. Dalam sembang saya tanyakan juga pengalamannya. Jawapannya juga sangat santai. Katanya bersesak-sesak di Raudah (di Masjid Nabawi) adalah perkara biasa. Beginilah, katanya, semua orang ingin melaksanakan ibadat yang sesempurnanya. Maka redhalah berkongsi ruang. Sama-sama mencari yang terbaik. Dua cerita itu melapangkan dada saya. Hilang kegusaran kerana kesukaran yang digambarkan. Begitulah pengalaman-pengalaman yang berbeza bagi mereka yang pernah berada di haramain itu. Nantilah ada rezeki saya ceritakan pengalaman saya sendiri.

Dijangkakan semua tetamu Allah berada di bumi Madinah selama 8 hari. Cukup 40 waktu solat fardhu. Jaminannya syurga. Oleh kerana subuh itu saya mendahului jemaah yang lain maka saya mendapat 41 waktu. Alhamdulillah. Rezeki dari Allah. Kali pertama memasuki Masjid Nabawi, hati berbaur antara gembira dan terpana. Antara realiti dengan impian. Antara percaya dan kagum. Ceritanya, gambarannya dan bayangannya telah lama di mata dan di hati. Subuh itu saya berada di dalamnya. Alllahu Akbar. Tanyalah mereka yang pernah di situ. Akan luluh hatinya. Akan tergenang air matanya. Masjid itu masjid Rasulullah. Di situ tapak-tapaknya berlalu. Di situ duduknya menyatu dengan sahabat-sahabatnya. Di situ tidur dan baringnya kerana rumahnya di sebelah masjid. Hidupnya, hari-harinya, urusannya dan wafatnya di masjid itu. Hari itu saya di situ. Menjejak Rasulullah yang menjadi kecintaan manusia dan menjadi kekasih Allah. Allahu Akbar. Subhanallah.

Masjid indah ini merakamkan seuatu yang sukar diceritakan. Pengalaman dalaman yang meresap. Mengusap bibit kasih. Yang menancap dalam rasa. Saya bersama Rasulullah ketika itu. Subuh itu solat dahulu. Berhimpit bersama jemaah lain. Saudara lain dari seluruh dunia. Mereka datang dengan caranya tersendiri. Membawa bersama mereka berbagai mazhab dan cara. Benar bagi semua yang tergolong sebagai sunnah wal jamaah. Walau bagaimanapun haramain tidak menolak mazhab dan fahaman lain. Mereka yang mendakwa dirinya Islam boleh masuk belaka. Yang bukan Islam memang tidak boleh masuk. Ada halangan teknikal dan spiritual. Payah hendak diterangkan. Haramain sudah diharamkan bagi yang bukan Islam. Arahan Rasulullah sebelum wafatnya.

Apapun di sekeliling saya adalah saudara-saudara seagama. Saya katakan kepada anak saudara saya bahawa di akhirat nanti insyaAllah kita akan bersama lagi. Kebersamaan itu nanti insyaAllah akan kekal di akhirat sana. Mudah-mudahan kami semuanya mendapat haji yang mabrur. Pagi itu. Subuh itu bermulanya hidup saya di bumi Madinah. Bumi yang penuh barakah. Bumi yang sangat damai. Anas bin Malik tidak pernah beralas kaki bila berjalan di bumi Madinah. Ramai yang hairan. Ada yang ingin tahu. Tenang jawabnya, masakan aku berlapik memijak bumi Madinah. Bukankah jasad Rasulullah ada di bumi ini. Aku ingin sentiasa menyentuh kulitnya bila berjalan di bumi ini. Aku ingin dekat dengan Rasulullah. Itulah kasih sayang yang sangat mendalam. Sayang yang tidak terbatas dengan ruang dan waktu. Kekal abadi hingga ke akhir zaman.

Solat pagi itu sangat damai. Ingin berlama-lama menikmati kehadiran diri. Tetapi tugas belum selesai. Bagasi perlu diangkat. Ada jemaah yang perlukan pertolongan. Bilik perlu dicari. Barang perlu disusun. Itu belum cerita sarapan lagi. Mana nak makan. Namun hati sudah mula berbunga. Madinah al-Munawarah sangat damai pagi itu. Menjengah keluar tingkap melaut mata memandang di kejauhan. Bumi Madinah sangat datar dan landai. Dari jendela, menara Masjid Nabawi jelas kelihatan. Suhu di luar agak sejuk. Bulan Februari 1999 masih berbaki musim dingin. Madinah yang terletak di sebelah utara menerima angin sejuk dari utara. Subuhnya dingin. Pengalaman di USA dahulu mengajar saja untuk mengurus kedinginan itu. Tetapi terperangkap juga dengan kelalaian menjangkakan keadaan. Tidak ada maklumat untuk menjangkakan perubahan suhu.

Wednesday, November 3, 2010

Makam Rasulullah - Kekasih Allah

Sukar dipercayai jika ada jemaah haji yang tidak menziarahi makam Rasulullah. Letaknya di sebelah ruang Raudhah. Lagipun setiap ruang Raudhah itu adalah bekas tapak kaki Rasulullah. Itulah taman-taman syurga. Hampir setiap lepas solat waktu saya akan melalui makam Baginda. Bagi jemaah leaki rasanya sangat mudah untuk melalui letaknya makam itu. Dari Bab al-Salam hingga Bab al-Baqi’ lurus tegak ke hadapan. Dari arah belakang Masjid Nabawi belok ke kiri selepas sahaja melewati penyekat yang melindungi Raudhah. Sekatan itu untuk melindungi jemaah wanita yang sedang menziarahinya dan menziarahi makam Rasulullah. Terlindung dari pandangan mata jemaah lelaki.

Kali pertama menziarahinya adalah selepas solat Zohor pertama. Allahu Akbar ramainya orang. Berasak-asak. Berhimpit-himpit. Masa itu belum kenal Raudhah. Belum menjejak kaki di situ. Saya hanya mengikut arus. Tidak dapat menelah jauh atau dekat. Mudah atau susah. Sampai juga akhirnya. Apa yang saya lihat sebenarnya? Tidak nampak apa-apa. Makam itu dilindungi langsir. Hendak mendekat tidak boleh. Hendak lama-lama juga tidak boleh. Hati terlonta-lonta ghairah. Air mata mula menggenang. Mula luruh satu persatu. Sebak yang tidak menentu. Rindu, rindu dulu. Rindu lama yang tidak boleh terungkap. Di sini, di sini saya di samping kekasih Allah yang paling agung. Penghulu segala Rasul. Nabi akhir zaman. Yang terakhir dan yang tidak ada selepasnya.

Sayu menggamit hati dan rasa. Air liur tertelan beberapa kali. Walaupun sudah dirancang. Sudah dijangka. Tiba saat pertemuan dan ziarah itu tergamam juga. Tergamam bertemu kekasih hanya kelu lidah untuk berbicara. Tetapi bertemu Rasulullah di makamnya memberikan impak perasaan yang berlainan. Tidak dapat dibayangkan rasa kasih. Rasa sayang. Rasa mennusuk qalbu kerana ini adalah kekasih Allah paling agung. Bukan sebarang manusia. Manusia yang paling agung Allah ciptakan. Air mata sukar dibendung. Saya biarkan ia mencurah. Itulah kerinduan yang sangat lama. Bertahun-tahun dinantikan masa dan saatnya. Kerinduan orang akhir zaman. Umat yang tidak bertemu Rsulullah dan Baginda juga tidak pernah bertemu kita.

Itulah yang disabdakan Rasulullah kepada para sahabatnya. Dalam bersahaja Baginda bertanya, siapakah antara kamu yang sangat sayang kepadaku? Masing-masing mengaku merekalah yang paling sayangkan Baginda. Tersenyum Baginda sambil menggelengkan kepalanya. Tidak. Kamu semua melihat aku. Bersama aku. Menyentuh kulitku. Mendengar bicaraku. Melihat seluruh hidupku. Tetapi nanti di akhir zaman ada umatku yang kasihnya kepadaku melebihi kasihmu. Terpegun sahabat. Siapa mereka ya Rasulullah? Mereka umatku. Saudaramu. Mereka tidak pernah melihatku. Mereka tidak pernah bersamaku. Mereka tidak mendengar bicaraku. Namun mereka mencintaiku. Mereka berselawat ke atasku. Mereka memuji-mujiku. Mereka mendoakanku.

Itulah lamunan saya ketika itu. Sejarahnya yang panjang. Hidupnya yang penuh cubaan dan cabaran. Ujian-ujian yang silih berganti demi Islam. Demi Allah yang dicintainya. Demi Allah yang sentiasa dirinduinya. Dalam sendu itu saya gagahkan juga untuk mengucapkan, Assalamualaikum ya Rasulullah. Ya habibullah. Ya sofwatullah. Saya bacalah doa seperti yang dibekalkan Tabung Haji. Saya sampaikan juga kiriman salam dari saudara mara dan sahabat handai. Indahnya pengalaman itu. Saya ulangi setiap tamat solat. Dari Subuh hingga Isya’. Rasnya 40 kali itu saya lakukan.

Jemaah wanita lain ceritanya. Ruang solat mereka jauh di belakang. Kesempatan untuk mereka sangat terbatas. Jadual mereka mungkin selepas Subuh atau selepas ‘Asar. Ketika itu semua jemaah lelaki dikeluarkan dri Raudhah. Kadang-kadang saya terkejut kerana larian dan jeritan jemaaah wanita ini seperti ribut yang menderu-deru. Masing-masing mengejar Raudhah. Mengejar makam Rasulullah. Jemaah wanita mempamerkan kerinduan yang sangat dahsyat. Memang mereka berlumba lari. Yang muda biasanya lebih cepat sampai. Yang uzur berpapah sepanjang jalan dalam ruang masjid yang besar dan memanjang ke belakang itu. Puaslah mereka solat di Raudah dan menangis di sisi makam.

(Hanya ingatan, bagi yang belum pernah pergi. Semasa berdoa hendaklah menghadap qiblat dan bukan menghadap makam. Kita bukan menyembah makam tetapi kita berdoa kepada Allah. Sebab itu kita menghadap Qiblat.)

Ziarah ke makam Rasulullah tentunya meruntun perasaan. Di sini jemaah menangis. Menghembus hingus. Mengesat air mata. Mereka menahan perasaan. Bukan kerana melihat orang menangis. Tetapi perasaan itu datang sendiri. Pernyataan rindu yang sangat mendalam. Jika ada jemaah yang tidak menangis, keras sungguh hati mereka. Mungkin tidak ada perasaan halus yang menyentuh mereka. Entahlah. Masing-masing ada cara mereka sendiri untuk menyatakan kasih mereka kepada Rasulullah.

Makam yang ditemani dua bapa mertua Baginda itu akan kekal di situ hingga hari Kiamat. Abu Bakar dan Umar setia bersama Baginda. Kita yang datang sekali sekala hanya sekadar menjenguk duduknya. Kita tidak merasakan jerih peritnya perjuangan mereka. Perjuangan yang dengannya menegakkan Islam. Mengembangkannya hingga hari ini sebagai agama yang paling ramai penganutnya. Hijrah mereka yang hanya sehelai sepinggang. Paluan rebana kaun Ansar yang menyambut mereka. Tola’al badru ‘alaina. Fahtafat minhul bu........... Nanti bila kita berselawat. Bila tiba musim sambutan maulid nanti. Ingatlah peristiwa itu. Hijran Rasulullah bersama Abu Bakar dalam keadaan yang sangat sulit. Hijrah yang menyelamatkan akidah. Hijrah yang membesar dan mengagungkan Islam. Allahu Akbar.

Tuesday, November 2, 2010

Raudah: Taman-Taman Syurga

Solat sunat 2 rakaat sudah cukup untuk mendapat ganjaran besar dari Allah. Solat 2 rakaat di Raudah. Semua bakal haji dimaklumkan supaya berusaha bersolat di Raudah. Digambarkan tempatnya yang serba menggamit minda dan diri. Ada tiang-tiang hijau. Ada karpet hijau. Ada tanda-tanda dan sempadannya. Antara makam dan mimbar. Ada mihrab. Ada pangkin muazin. Ruangnya kecil. Jemaahnya ramai.

Sebenarnya semasa kursus dahulu saya menghadapi kesukaran untuk mengimejkan semua gambaran itu dalam minda saya. Kedudukan makam itupun digambarkan terlalu sulit untuk menziarahinya. Sedangkan Rasulullah bersabda bahawa sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak menziarahinya dikira orang yang sombong. Cuma itulah mungkin dalam kursus haji, ustaz yang membimbing jemaah kenalah guna teknologi. Tayangkan video yang jelas di mana kedudukan semua hal yang perlu diziarahi.

Yang nyatanya semua prosedur dan proses menunaikan haji bukanlah sesusah yang dijangka. Walau bagaimanapun kita kena kembali kepada Iqra’. Bacalah dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan. Menunaikan haji bukan sekadar pergi dengan minda kosong dan tanpa ilmu. Sebab itu ilmu itu sangat penting dalam melakukan sesuatu. Menunaikan haji dengan berilmu sangat memudahkan. Bila ada ilmu mudah memahami, mudah merancang, mudah menyelesaikan masalah. Mudah membuat keputusan. Banyak hal yang perlu dipelajari. Perlu dibaca. Mendengar sahaja ceramah mungkin tidak diingat bila diperlukan. Di haramain, membaca itu perlu. Banyak arahan sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa Inggeris.

Oleh kerana Raudhah itu menjadi tumpuan, gambarannya seperti medan perang. Perang mencari keredhaan Allah. Maaflah, jemaah haji wanita tidak kerap merasakan semua ini. Mereka ke Raudhah hanya sekali dalam sehari iaitu selepas solat Subuh. Waktu saya dahulu begitulah. Itu tahun 1999. Sekarang mungkin berubah jadualnya. Dulu pukul 10 malam masjid ditutup dan dibuka semula kira-kira pukul 2 pagi esoknya. Sekarang katanya masjid itu dibuka 24 jam. Beruntunglah jemaah sekarang.

Bagi jemaah lelaki menjejakkan kaki ke Raudhah adalah perjuangan yang sentiasa on going. Tidak pernah berhenti. Ada sekumpulan manusia yang berkampung di situ. Maka terkesampinglah jemaah lain dari menikmati Raudhah itu. Maka jemaah seperti saya terpaksalah berhimpit-himpit untuk berada di situ. Sangat menyesakkan. Untuk dapat berjemaah solat waktu di Raudhah adalah suatu perjuangan yang sangat besar. Kadang-kadang sebelah kaki di Raudhah tetapi sebelah kaki yang lain di luar Raudhah. Seolah-olah sebahagian besar jemaah berada di Raudhah dan hanya sebahagian kecil yang berada di luar Raudhah. Sesaknya memang menyesakkan.

Mula-mula sampai di Raudhah saya keliru. Bagaimana saya hendak solat dalam keadaan orang terlalulah ramai. Antara saya dengan orang di depan saya kurang dari sehasta. Begitu juga orang di belakang saya. Hendak mengangkat takbiratulikhram tidak menjadi beberpa kali. Terfikir macam mana hendak ruku’ dan sujud dalam keadaan berhimpit-himpit itu. Maka memerhatilah saya. Belajar dari perbuatan dan pengalaman orang lain. Rupanya semuanya mudah belaka. Teringat rakan saya yang di Subang Jaya. Teorinya mudah sahaja katanya. Kita hendak sama-sama beribadat. Maka berkongsilah ruang. Berkongsi suasana. Berkongsi hati. Bertolak ansur. Memberi dan menerima. Sama-sama mengerti.

Ruang yang sempit bukan isu. Berhimpit-himpit bukan penghalang untuk solat. Yang perlu dilakukan hanyalah terus mengangkat takbiratulikhram ketika menjejak sahaja kaki di Raudhah. Di atas karpet hijau. Antara tiang-tiang hijau yang hiasannya berwarna emas. Kata orang memang emas. Saya tidak pernah mempastikan kesahihannya. Mungkin autentik dakwaan itu. Semasa saya solat orang di depan tidak pernah mengganggu. Bila saya ruku’ dengan sendirinya jemaah di hadapan bergerak ke hadapan kerana tertonjol kepala saya. Sujud menjadi mudah pula kerana ruang sudah terbuka. Jika jemaah di hadapan tidak bergerak maka ruku’lah di belakang mereka. Apa nak buat. Nanti sujud juga di belakang mereka. Ruang sudah tidak ada.

Dalam keadaan seperti itu saya belajar mengecilkan badan. Bila sujud saya bulatkan badan saya supaya tidak terlalu menjulurkan badan ke hadapan. Duduk antara dua sujud atau duduk tasyahud juga dalam keadaan yang sama. Jika tabaruk memakan ruang orang lain. Kadang-kadang terasa lucu juga bila diingat. Banyak kali bila berjemaah solat waktu saya mencari akal. Waktu sujud memang sukar mencari ruang untuk meletakkan dahi dan hidung ke karpet. Biasanya saya masukkan muka saya antara kaki jemaah di hadpan. Dia membuka kakinya memberi ruang. Jika antara kaki dua orang jemaah saya lakukan yang serupa. Masukkan sahaja muka antara kaki mereka. Secara automatik mereka merapatkan kaki mereka. Terbentuklah ruang antara kaji-kaki mereka itu. Dalam Raudhah itu saya bereksperimen. Mencuba dan banyak mencari akal.

Itulah Raudhah. Taman-taman syurga. Sewaktu hayatnya Rasulullah menjejaki seluruh Raudhah itu kerana letaknya antara rumah Baginda dan mimbar. Di situlah Rasulullah membaca khutbah. Di situ berhalaqah. Di situ bermuzakarah. Di situ merencanakan keseluruhan urusan kehidupan umat Islam ketika itu. Seolah-olahnya tapak kaki kita menjejaki tapak-tapak kaki Rasulullah. Lagipun Raudhah itu terlalu dekat dengan makam Baginda. Solat kita berhampiran benar dengan Baginda, Abu Bakar dan Umar. Baginda manusia teragung yang dicipta Allah. Abu Bakar sangat ikhlas dalam perjuangan agama. Jika kebaikan Abu Bakar ditimbang nescaya lebih berat dari kebaikan seluruh umat Islam. Umar pula dengan ketegasannya menjalankan perintah Allah. Ada hadis yang meriwayatkan bahawa syaitan takut kepada Umar.

Saya berada di Raudhah itu. Dulunya Rasulullah di situ. Di situ juga semua sahabat kabir. Di situ juga semua sahabat berhimpun. Raudhah itu penuh sejarahnya. Terhimpun padanya insan-insan yang solihin, siddiqin, syauhada’, muttaqin, mukhlisin dan sebagainya. Menjejakkan kaki di situ merupakan kebersamaan dengan mereka. Mengulang sejarah mereka.

Selain dari solat waktu dan waktu-waktu lain saya suka berlegar di keliling kawasan itu selepas solat Isya’. Ketika itu biasanya Raudhah agak lengang. Saya boleh memilih mana-mana sahaja tempat untuk saya solat sunat. Sepuas hati saya. Sewaktu saya menunaikan umrah pada tahun 2003, Raudhah itu memang puas saya kunjungi. Hampir setiap kali berjemaah solat waktu saya di situ. Malah kadang-kadang tidak jauh dari imam. Tidak dapat di belakang imam kerana dia selalu dilindungi oleh ramai jemaah yang sudah awal-awal ditempatkan di sekeliling sejadah imam. Dapat melihat dari jauh sedikit. Tetapi Raudhah menjadi tempat lalu lalang. Tiada halangan dan kekangan seperti musim haji.

Raudhah yang indah. Bukan ada hada dan halangan manusia yang mengunjunginya. Bukan hiasan yang mencantikkannya. Tetapi Raudhah itu menjadi saksi saya pernah ke sana. Di syurga nanti keindahannya akan dinikmatai secara live. Unplugged. Di sini, alam ini, Raudhah hanya bayanganya sahaja. Gambaran yang tidak langsung menepati piawaian syurga. Pergilah bagi yang belum. Saya ingin mengulang-ulangi. Rindu pada Rasulullah sentiasa dipendam. Tanyalah pada mereka yang pernah berkunjung ke sana. Dalam hati terlonta-lonta. Ingin benar terbang segera. Hajat, hasrat, niat memang ingin mengulanginya. InsyaAllah

Monday, November 1, 2010

Madinah al-Munawarrah - Damainya Bumi Rasulullah.

Kali pertama saja jejakkan kaki di bumi Madinah adalah pada suatu Subuh. Itulah hari pertama saya setelah terbang dari Senai pada hari semalamnya. Turun sahaja dari bas kedengaran laungan azan yang mendayu sayu. Allah, aku di sini ya Rasulullah. Aku di bumimu sekarang. Terlonta-lonta hati untuk berjemaah kali pertama di Masjid Nabawiyyah. Masjid yang dibina oleh manusia teragung yang menjadi kekasih Allah. Nabi akhir zaman. Penghulu segala nabi. Nabi besar segala junjungan.

Jadual Tabung Haji menyenaraikan bahawa solat pertama di Madinah ialah pada waktu Zohor. Waktu sampai kali pertama menjejak kaki di bumi Madinah itu tentulah kalut. Letih dan lesu kerana perjalanan yang jauh. Belum lagi urusan bagasi yang banyak bertimbun di perkarangan apartment. Alhamdulillah hanya beberapa minit dari pintu belakang Masjid Nabawi. Syukur alhamdulillah. Rezeki dari Allah untuk hambanya seperti saya dan rombongan.

Saya kebetulan bersama anak saudara isteri saya. Yusof juga namanya. Kami berdua memutuskan untuk berjemaah kali pertama subuh itu. Terlalu dekat masjid itu. Terasa berdosa jika tidak pergi. Terasa sangat rugi. Datang beribu-ribu kilometer jauhnya, tidak mungkin peluang ini disia-siakan. Terlalu jelas depan mata. Kami sudah sampai. Ayuh kami langkahkan kaki menjengah pagar. Memang dekat. Sekadar terlindung bangunan lain. Allahu Akbar. Ini masjidmu ya Rasulullah. Aku jejak dalamnya. Di mana makammu. Arah entah ke mana. Imej-imej peta tentang kedudukan makam hilang seketika. Sebelum sampai dihafal semuanya. Seperti sangat pasti akan diziarahi. Rupanya dalam kekalutan itu ada yang lebih utama. Nanti dulu hati. Sabarlah. Banyak masa di sini. Di bumi ini. InsyaAllah 8 hari yang akan penuh dengan kesyahduan. Rindu yang telah lama berpanjangan. Akan diubat dan terubat nanti. Sudah terlalu dekat ya Rasulullah. MasyaAllah gejolaknya hati ini. Rontanya sukar dikawal.

Saya teringat kembali, sewatu berkursus haji selama tiga tahun dulu banyak cerita yang berat-berat. Kami diingatkan bahawa mengerjakan haji itu semuanya seperti susah. Banyak masalahnya. Panasnya tidak boleh dicerita. Berkongsi bilik hingga sesak tidak boleh bergerak. Tidur beralaskan tilam setebal tiga sentimeter. Ya tiga sentimeter. Makanan yang bercatu. Kenderaan yang berbagai ragam. Belum drebar yang banyak ragamnya. Muasasah yang banyak cerita. Semuanya digambarkan sebagai payah. Mungkin untuk membiasakan hati supaya bersedia. Entahlah.

Saya bertanya kepada seorang kenalan yang pergi setahun lebih awal. Bila saya tanyakan pengalamannya, lama dia terdiam. Mencari perkataan yang sesuai agaknya. Atau mengumpul semula pengalaman baru yang dilaluinya. Jawapannya cukup santai tetapi menenangkan hati saya. Katanya, pengalamannya tidak sesusah seperti yang digambarkan oleh ustaz-ustaz yang memberi kursus dulu. Kebetulan saya mengunjungi seorang sahabat di Subang Jaya. Saya tidak tahu dia juga baru kembali mengerjakan haji. Saya melihat rambutnya baru tumbuh selepas dicukur waktu bertahlul awal dulu agaknya. Dalam sembang saya tanyakan juga pengalamannya. Jawapannya juga sangat santai. Katanya bersesak-sesak di Raudah (di Masjid Nabawi) adalah perkara biasa. Beginilah, katanya, semua orang ingin melaksanakan ibadat yang sesempurnanya. Maka redhalah berkongsi ruang. Sama-sama mencari yang terbaik. Dua cerita itu melapangkan dada saya. Hilang kegusaran kerana kesukaran yang digambarkan. Begitulah pengalaman-pengalaman yang berbeza bagi mereka yang pernah berada di haramain itu. Nantilah ada rezeki saya ceritakan pengalaman saya sendiri.

Dijangkakan semua tetamu Allah berada di bumi Madinah selama 8 hari. Cukup 40 waktu solat fardhu. Jaminannya syurga. Oleh kerana subuh itu saya mendahului jemaah yang lain maka saya mendapat 41 waktu. Alhamdulillah. Rezeki dari Allah. Kali pertama memasuki Masjid Nabawi, hati berbaur antara gembira dan terpana. Antara realiti dengan impian. Antara percaya dan kagum. Ceritanya, gambarannya dan bayangannya telah lama di mata dan di hati. Subuh itu saya berada di dalamnya. Alllahu Akbar. Tanyalah mereka yang pernah di situ. Akan luluh hatinya. Akan tergenang air matanya.

Masjid indah ini merakamkan seuatu yang sukar diceritakan. Pengalaman dalaman yang meresap. Mengusap bibit kasih. Yang menancap dalam rasa. Saya bersama Rasulullah ketika itu. Subuh itu solat dahulu. Berhimpit bersama jemaah lain. Saudara lain dari seluruh dunia. Mereka datang dengan caranya tersendiri. Membawa bersama mereka berbagai mazhab dan cara. Benar bagi semua yang tergolong sebagai sunnah wal jamaah. Walau bagaimanapun haramain tidak menolak mazhab dan fahaman lain. Mereka yang mendakwa dirinya Islam boleh masuk belaka. Yang bukan Islam memang tidak boleh masuk. Ada halangan teknikal dan spiritual. Payah hendak diterangkan. Haramain sudah diharamkan bagi yang bukan Islam.

Apapun di sekeliling saya adalah saudara-saudara seagama. Saya katakan kepada anak saudara saya bahawa di akhirat nanti insyaAllah kita akan bersama lagi. Kebersamaan itu nanti insyaAllah akan kekal di akhirat sana. Mudah-mudahan kami semuanya mendapat haji yang mabrur. Pagi itu. Subuh itu bermulanya hidup saya di bumi Madinah. Bumi yang penuh barakah. Bumi yang sangat damai. Anas bin Malik tidak pernah beralas kaki bila berjalan di bumi Madinah. Ramai yang hairan. Ada yang ingin tahu. Tenang jawabnya, masakan aku berlapik memijak bumi Madinah. Bukankah jasad Rsululah ada di bumi ini. Aku ingin sentiasa menyentuh kulitnya bila berjalan di bumi ini. Aku ingin dekat dengan Rasulullah. Itulah kasih sayang yang sangat mendalam. Sayang yang tidak terbatas dengan ruang dan waktu. Kekal abadi hingga ke akhir zaman.

Thursday, October 28, 2010

Indahnya Ikatan Itu

Saya telah memilih menjadi guru. Sudah 41 tahun hingga kini. Dari muda hingga bersara. Masih kejap kaki bertapak menyampai rasa. Membelai didik anak-anak yang dahaga. Ilmu, kemahiran dan maklumat yang tidak pernah berhenti mencurah-curah. Profesion yang tidak menjanjikan apa-apa. Hanya kepuasan mendidik anak bangsa. Mereka mendapat pendidikan. Mereka menjadi apa yang mereka inginkan. Yang pastinya mereka lebih pandai selepas sumbangan saya mendidiknya. Mungkin tidak yang terlalu pandai. Cukup mereka boleh berdikari. Bebas dari menyusahkan orang lain. Bebaslah ibu bapa dari menyara mereka. Alhamdulillah membantu mereka pada waktu dan ketikanya. Usia tua yang memerlukan. Sentuhan kasih ana-anak yang pandai. Yang keluar dari kepompong kemiskinan keluarga. Yang menjana hidup lebih lumayan.

Kadang-kadang guru adalah profesion yang selalu disalah erti. Tugasnya dianggap senang. Cutinya panjang. Kerjanya setengah hari sahaja. Boleh bergaya hari-hari. Sentiasa boleh berpakaian cantik. Elegan. Anggun. Ramai orang hormat. Khususnya yang bijak membahagi masa untuk berkhidmat dengan masyarakat. Namun masanya hanya untuk anak-anak didik. Di bahunya tanggungjawab. Ada komitmen yang silih berganti. Berat ringan menyapa rasa. Anak didikku. Anak didikku. Jadilah kamu memandai diri. Berdikari. Mencipta hari-hari muka yang ria. Berzaman nanti diingat sebagai manusia berjasa.

Persepsi itu banyak berubah. Profesion keguruan bukan lagi santai seperti dulu. Tidak lagi banyak cutinya. Malah musim cuti juga musim kursus dan mesyuarat. Kerjanya tidak lagi separuh hari. Yang nyatanya sepanjang hari dari pagi hingga ke malam. Tekanan mendatang mendesah dan mendesak. Guru menjadi personalia yang juga berubah. Ramai yang tertekan. Ramai yang hilang kemurnian diri. Masa dan suasana mengganggu diri dan emosinya. Dinamika guru mengubah paradigma. Pengubah zaman. Budaya membaca dan bercerita. Masanya berlalu merentas rencana bangsa dan negara.

Saya menjadi guru kerana kemuliaannya. Kerana keagungannya. Kerana keindahannya. Gelaran guru yang memanjang dari hidup hingga matinya. Yang sentiasa disebut baiknya. Jasanya. Baktinya. Ingatkah bait-bait puisi Usman Awang? Apabila seorang peguam menang bicara, di belakangnya ada guru. Apabila seorang raja menaiki tahta, di belakangnya ada seorang guru. Sekali sekala ada orang memberi penghargaan. Ada pengiktirafan. Memberi sanjungan. Nama guru dipahat di mana-mana. Disebut di merata tempat yang baik dan mulia. Betapa ramai yang berterima kasih. Betapa ramai ibu bapa yang merasa terhutang budi. Namun yang paling mengujakan ialah apabila seorang muda menyapa. Seorang tua bertanya tidak pasti. Seorang ibu tersipu mengenal diri. Seorang isteri memperkenalkan suami. Seorang lelaki membimbing anak-anaknya. Ini cikgu saya. Ini pendidik saya. Ini guru saya. Panjang dulu ceritanya. Panjang nasihat dan mintanya. Hari ini abah jadi seperti ini. Ini guru abah yamg jadikan abah manusia. Aduh. Terpana sebentar. Masih ada yang ingat. Masih ada yang kenal. Masih ada yang mendekat. Masih ada yang menabur mesra.

Ingatan-ingatan sebegitu bukan datang selalu. Sekali sekala menerpa. Membuai rasa. Membelai warna-warna rona berbunga itu. Begitupun ramai juga anak didik yang lupa entah kenapa. Mereka lari tidak menyapa. Menjauh diri tanpa bicara. Aduh lukanya hati. Semuanya tidak diminta. Menjadi guru adalah pilihan sendiri. Pilihan diri. Pilihan hati. Disapa bekas anak didik adalah bonus. Hanya suatu kebetulan barangkali. Saya selalu beringat. Tiada jasa sebenarnya. Tiada bakti sebenarnya. Tidak ada apa-apa. Anak didik saya berhak mendapat yang terbaik. Itu hak mereka. Tugas saya dibayar. Dibayar oleh ibu bapa mereka yang membayar cukai. Yang membayar saya. Tidak perlu ada hutang dengan siapa-siapa. Bukan percuma hingga perlu diingat. Ingatan hanya kebetulan. Yang tidak;pun terancang.

Ingatlah, dulu ada anak didik yang pandainya melangit. Ada yang biasa-biasa. Ada yang perlukan bantuan setiap tahap, setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun. Di mana mereka sekarang? Di mana mereka? Saya pernah menjadi murid. Menjadi pelajar. Menjadi mahasiswa. I know the feeling. Ada guru yang saya kenang hingga sekarang. Ada pensyarah yang selalu diingat. Masih bersarang ingatan tentang kehadirannya di benak saya. Begitulah juga anak-anak didik saya. Mereka menyimpan ingatan itu di minda mereka. Jika ada saya dalam ingatan mereka, tentu membahagiakan. Sekali dua mungkin ada doa dititip. Berpanjang amal jariah. Ilmu untuk amal yang berangkai masa.

Bayangkan apa yang saya buat untuk anak didik saya. Mereka ke sekolah kerana ingin mendapat pendidikan. Menjadi pandai atau tidak bukan mutlak tugas saya. Mereka lulus periksa atau tidak bukan saya menentukan. Mereka menjadi orang baik atau tidak kembali kepada persekitaran di mana dia hidup. Ada orang lain yang menentukannya. Saya hanya menyediakan mereka untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran hidup yang volatile ini. Yang sangat dinamik ini. Peranan saya cukup kecil terhadap mereka. Setiap seorang hanya mendapat beberapa minit sehari dalam alam persekolahan mereka. Masa yang perlu dibahagi kerana jumlah dan kuantiti yang bukan kepalang banyaknya. Maaflah. Hanya itu yang saya mampu. Sedikit dari emas suasa masa yang dapat diberi. Mudah-mudahan yang sedikit itu panjang dalam ingatan dan kepandaian.

Anak-anak ini kehilangan kasih sayang di rumah. Kualiti masa seperti tidak ada bersama keluarga. Ibu dan bapa yang sibuk mengatur hidup payah dihimpun. Payah untuk bersama. Untuk bercerita. Payah bertukar berita. Payah untuk berkongsi suka duka. Payah juga memotivasi. Memberi perangsang dan semangat. Mendorong dan memacu ke hadapan. Merentas harapan dan cita-cita yang tinggi mengawan. Kepada saya mereka bergantung harap. Kepada orang seperti saya mereka mencari harap. Ganti ibu dan bapa yang sarat dengan harapan tetapi kering dengan lebihan. Rezeki payah ditambah. Payah dibangunkan ekonomi. Hari-hari hanya cukup makan. Cukup tidur dan cukup pakai. Sayangnya tidak cukup kasih. Tidak cukup sayang. Tidak cukup membelai rasa. Tidak cukup membangun damai. Banyak rongga dan ruang kosong.

Kasih sayang pupus di rumah. Sukar menemukan ibu dan bapa bila diperlukan. Jiwa mereka kosong meminta diisi. Kosong minta dicurah rasa. Mereka dahagakan sesuatu yang sukar ditemui di rumah. Sayalah yang menjadi harapan terakhir. Orang-orang seperti saya menjadi harapan terakhir. Gurulah harapan terakhir mereka. Maka di bahu saya terletak segala tanggungjawab mendepani mereka. Menarik mereka dari air yang mencecah hidung menenggelamkan mereka. Mereka yang terlonta-lonta tiada arah. Destinasi yang suram tiada cahaya. Lorong gelap yang entah ke mana sudahnya.

Bayangkan jika anak-anak ini saya sapa susahnya. Saya empati masalahnya. Saya jejaki risau dan gundahnya. A little gesture will go a long way. Ia mungkin menjadi titik yang memanjang semangat. Yang menjadi pendorong untuk memaju ke hadapan. Anak-anak didik itu membangun diri. Membina keyakinan menjadi manusia. Yang nanti terbilang. Mewarna zaman mereka. Menyilau kilauan intan permata ibunda. Penuh dunia fana ini dengan lincah mereka. Menari dan menyanyi lagu jaya. Keluar menerpa alam yang luas dan bisa tergapai semua.

Guru seperti saya banyak yang perlu dibuat. Kata sedikit yang menancap. Senyum sedikit yang mengubat payah dan seiksa menimba ilmu. Gaya badan yang memberi kehangatan usaha. Mendakap kuat bahu yang nanti diberati tanggungjawab. Yang nanti disandarkan harapan untuk masa depan. Yang nanti dititipkan pesan untuk maju. Yang nanti dipesan supaya langkahnya dibarisi waja semangat. Yang nanti di belakangnya warisan zaman mereka yang minta titipan didikan untuk kelestarian hidup dan berbudaya.

Menjadi guru bukan lagi santai. Bukan lagi menagih cuti. Bukan lagi bicara gaji. Bukan lagi banyak meminta. Ia profesion yang tidak menjanjikan apa-apa yang muluk-muluk. Tetapi profesion ini menuntut korban titik peluh. Korban air mata. Korban hati dan rasa. Kau anak-anak didikku. Kau ku lepaskan. Pergilah sayang. Duniamu menanti. Duniaku telah kau tinggalkan. Kau tidak akan kembali ke zaman aku dahulu. Duniamu dan duniaku terpisah juga akhirnya. Aku hanya pernah menjadi gurumu. Jauh di hatiku kau didikanku. Dalam dirimu ada diriku. Bawalah ia kerana tidak mungkin kau dapat membuangnya. Jagalah ia warisan dari diriku. Ia terbina di situ. Panjangkanlah nanti pada anak didikmu. Pada isteri dan suami. Pada anak dan kemanakanmu. Pada cucu cicitmu. Pada anak-anak bangsamu. Moga yang sedikit ini membesarkan zaman. Melanjutkan harapan. Membuahkan natijah indah membelah awan. Gapailah yang tinggi bak tempawan. Mudah-mudahan hidupmu tiada susahnya. Harapan seorang guru seperti saya.