Monday, January 9, 2023

Struktur Pengajaran dan Pembelajaran

Kepada semua orang Islam, al-Quran adalah wahyu yang menjadi pendakap seluruh kehidupan orang Islam. Al-Quran menjadi fardu ain iaitu wajib ke atas semua individu Muslim dan Muslimah. Tidak ada alasan dan tidak ada apa dalih sekalipun. Alhamdulillh bagi mereka yang sudah boleh membaca dengan lancar. Alhamdulillah bagi mereka yang sedang mempelajarnya. Bagi yang belum, sila segerakan selagi masih ada usia yang berbaki. Bila hendak mula mempelajari al-Quran? Untuk orang dewasa dan remaja boleh mulakan pada bila-bila masa saja. Bagaimana dengan kanak-kanak? Bila masa terbaik mereka perlu mula mempelajari al-Quran? Usia 2 hingga 6 tahun Mulakan seawal usia 2 tahun dengan juzuk am seperti Fatihah dan surah-surah yang pendek. Khatamkan juzuk am atau juzuk ke-30. Mahir dan hafal untuk dibaca ketika solat. Lakukan: 1. Semasa berada dalam kereta/kenderaan. Sama ada ketika berjalan- jalan, pergi dan balik dari sekolah, berjalan jauh (balik kampung). 2. Setiap malam apabila berkumpul seluruh ahli keluarga. Pada hujung minggu. Pada cuti sekolah. Cuba usahakan supaya anak-anak khatam al-Quran pada usia 6 tahun. Sebelum mereka memulakan usia persekolahan pada usia 7 tahun. Sewaktu di sekolah kebangsaan carikan guru supaya mereka boleh menghafal al-Quran. Larangan 1. Jangan ajar lebih awal kecuali ا ب ت dan ayat-ayat al-Quran. Satu dua tiga, a b c dan one two three ajar kemudian. Tetapi pada usia sebelum memulakan persekolahan 2. Mesti istiqamah/konsisten setiap hari supaya menjadi kebiasaan dan gaya hidup berteraskan al-Quran. In syaa Allah

Kembali Memelihara Ayam

Apa masalah orang Malaysia? Orang macam saya, macam kita dan macam Melayu. Setelah Merdeka, kita semua hendak senang yang paling senang. Apabila hendak makan kita beranggapan semuanya terhidang depan mata. Beras dari mana? Beras yang ditanam dan dibendang di Malaysia tidak mencukupi untuk keperluan rakyat. Lalu kita import dari Thailand, India, Pakistan, Kampucia dan berbagai negara lain. Kenpa dari dulu lagi kita tidak menambah bendang dan padi? Kenapa import? Tak ada yang bising dan memberi kata-kata negatif dalam hal import beras ini. Sekarang selepas Covid 19, kita kekurangan ayam dan telur. Tentunya dari segi pengurusan ada tiga pendekatan tindakan: 1. Tindakan strategik. 2. Tindakan taktikal dan 3. Tindakan pertengahan. Tindakan strategik memerlukan perancangan dan pelaksanaan jangka panjang. Mungkin lima hingga 10 tahun. Masalahnya kita hendak makan ayam dan telur hari ini. Bukan esok atau lusa. Maka import adalah tindakan yang paling munasabah. Tetapi carilah sumber yang paling cepat dan paling murah. Bukan asal dapat import sahaja. Jangan aniayakan rakyat. Buat tindakan yang bersesuaian tetapi jangan ambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan. Pihak-pihak yang berwajib perlu memantau keadaan. Walau bagaimanapun tindakan strategik perlu dilakukan segera mulai hari ini. Jangan berdalih dan jangan bertangguh lagi. Di silah orang kita, orang Melayu memainkan peranan ekonomi dan bukan peranan politik. Buat dan jangan banyak cakap, terlepas cakap atau terlajak cakap. Kata orang putih walk the talk. Di kampung banyak tanah terbiar. Rencanakan supaya orang kampung boleh terlibat memelihara ayam telur dan ayam daging. Ahli Parlimen, ADUN, ketua kampung bimbinglah rakyat di bawah supaya aktif dengan aktiviti ekonomi dan bukan hanya menunggu habuan daripada orang atas sahaja. Projek seperti ini sekurang-kurangnya untuk keperluan sendiri selain untuk komersil. Cubalah. Usaha dengan usaha. Bukan dengan sedap berkata-kata sahaja. Kita letih apabila terlalu ramai yang mencemuh, meremehkan dan memperkecilkan usaha import dalam jangka pendek. Makan telur dan ayam dulu sebelum bekerja keras untuk memelihara ayam telur dan ayam daging. Atau ada cadangan lain? Silakan.

Pemimpin Perlu Diangkat

Siapakah yang menentukan yang terbaik antara kita? Antara pemimpin apatah lagi. Setiap kita dinilai setiap masa. Terutamanya yang dalam radar masyarakat. Yang ada tugas kepemimpinan. Cuma jangan lupa penilai kita yang hakiki adalah Allah. Kesemuanya Allah yang tentukan. Dan perlu kita ingat kesemuanya ada permulaan dan pengakhiran yang tersendiri. Bagi manusia, yang sentiasa hebat adalah para Rasul dan Nabi. Sentiasa konsisten. Tidak manusia biasa seperti kita. Kita tidak boleh hebat. Hanya mungkin Allah beri kita sedikit kelebihan berbanding orang lain. Setiap pemimpin hebat pada zaman masing-masing. Kehebatan itu akan pudar mengikut masanya. Apabila masa tamat, berilah peluang pemimpin lain menjalankan tanggungjawabnya. Setiap pemimpin Allah bekalkan dengan kelebihan dan kelainan yang tidak ada pada orang lain. Sewajarnya: 1. Lepaskan diri kita dari terikat dengan zaman yang sudah berlalu. Zaman kita sudah ditamatkan Allah. 2. Beri peluang kepada orang lain. Sama ada ia lebih berjaya atau lebih gagal adalah urusan Allah. Kita tidak boleh ambil alih apa yang Allah telah tentukan. Maka: 1. Elak dari merasa kita adalah yang lebih baik atau merasa kita sahaja yang terbaik atau kita merasa kita sahaja yang baik. Jangan lupa Allah adalah Yang Maha segala-galanya. 2. Semua kejayaan kita jika diungkit hilang manfaatnya. Bangga diri tidak ada impaknya. Orang akan hilang rasa hormat. 3. Jangan perkecilkan orang lain kerana ia adalah makhluk ciptaan Allah. Memperkecilkan makhluk dikira menghina manusia yang Allah jadikan sebagai ciptaan terbaik berbanding makhluk lain. Apa yang perlu kita lakukan? 1. Bantu beri idea terbaik untuk umat. 2. Beri cadangan sama ada secara individu atau secara berkumpulan. Boleh bersemuka atau surat-menyurat atau email dan berbagai lagi medsos yang lain. 3. Melalui MP atau ADUN. 4. Idea terbuka melalui fb, twitter, instagram, whatsapp dan yang seumpamanya. Tolonglah jangan: 1. Merendah-rendahkan pemimpin bukan pilihan hati kita. Kita pun tidak ada kelayakan untuk jawatan itu. Allah tidak memberi peluang itu kepada kita. 2. Sebagai rakyat kita perlu membantu bukan merosakkan. 3. Kembalikan kepada Allah supaya Allah memberi kita pemimpin yang terbaik sesuai dengan keperluan dan zaman kita ini. Jika dapat yang paling baik itu adalah kelebihan yang Allah tentukan untuk kita semua. 4. Jika kita ingin pemimpin yang sangat baik maka kita sebagai rakyat terbanyak hendaklah belajar dan memiliki sifat dan ciri-ciri kepimpinan yang kita rencanakan. Supaya dengannya kita boleh memilih pemimpin yang terbaik dari kalangan kita semua. Pemimpin adalah cerminan diri kita semua sebab pemimpin itu datang dari kalangan kita. Jika kita teruk mungkin pemimpin kita lebih teruk dari kita. Andainya kita semua adalah kalangan orang baik-baik maka pemimpin kita mungkin lebih baik dari kita dengan izin Allah. Oleh yang demikian, mulai saat ini pandanglah diri kita dahulu sebelum kita mencari kelemahan dan kekurangan pemimpin kita. Allahua'lam.

Perayaan Tahun Baru Menjajah Minda

Bila bercerita berkait tahun baru, adakah minda kita masih terjajah dengan terlalu mendalam sehingga sukar mencari jalan keluar menuju jalan fikir yang Islamik? Kepada orang Barat tahun baru adalah rentetan beberapa peristiwa yang melibatkan: Perayaan Krismas Menutup akaun bisnes Sambutan tahun baru. Begitulah mereka merayakan tahun baru yang kepada mereka di dalamnya ada kegembiraan duniawi. Kita mungkin tidak arif bahawa Krismas kepada mereka menjadi acara peribadi? Bukan lagi agenda keluarga kecil atau keluarga besar seperti kita. Menutup akaun akhir tahun adalah kejayaan peribadi pemilik bisnes bukan keluarga. Hanya tahun baru diraikan bersama. Tentu sahaja ironis berbanding dengan amalan Yang Islamik. Orang Barat: Berazam setahun sekali Munasabah diri setahun sekali Bayar cukai setahun sekali Banyak lagi yang disempurnakan setahun sekali. Tetapi bukan kita yang beragama Islam. Ada perkara yang kita lakukan setahun sekali seperti menunaikan ibadah haji. Zakat apabila cukup haul. Kita banyak melakukan aktiviti yang berbentuk mingguan, harian dan setiap masa. 1. Zikir setiap masa. 2. Solat fardhu dan solat sunat setiap waktunya. 3. Sedekah, derma atau infaq setiap hari dan masa. 4. Munasabah diri setiap malam atau setiap masa. 5. Berazam memperbaiki diri setiap masa. 6. Berpuasa berselang hari atau pada hari Isnin dan Khamis. 7. Berhari raya setiap hari Jumaat. 8. Umrah setiap hari dan waktu bagi mereka yang berada di Makkah. 9. Berbuat baik tanpa mengira masa. 10. Membaca al-Quran setiap masa. Oleh yang demikian masihkah kita terikat dengan sambutan tahun baru atau memilih menyambut hari baru yang pengisiannya lebih baik dari semalam?

Thursday, January 5, 2023

Diri atau Negara

Politik tetap berpolitik. Barangkali demokrasi di Malaysia berbeza dengan demokrasi di negara lain. Sejujurnya bilakah orang politik bekerja? 1 Semasa pilihanraya? 2 Setelah menang dan menjadi kerajaan? 3 Setelah kalah dan menjadi pembangkang? 4 Kalah dalam pilihanraya lalu hilang dari radar? Rakyat banayk inginkan ahli politik yan bekerja. Menang bekerja. Kalah bekerja. Jadi kerajaan bekerja. Jadi pembangkang bekerja. Bekerja dan bekerja. Jawatan adalah suatu perkara yang bukan milik mutlak orang politik. Lazimnya untuk yang menang tetepi kadang-kadang yang kalah berpeluang memegang jawatan. Apabila parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan maka bermulalah kempen hingga hari memilih dilaksanakan. Kempenlah tetapi berhemah, Islamik dan penuh beradab. Pilihanraya mengizinkan ada yang menang dan ada yang kalah. Parti yang menang memerintah. Yang kalah jadi pembangkang. Teori ini sangat mudah. Selepas pilhanraya, setelah kerajaan terbentuk, tamatlah proses berkempen. Mulalah episod bekerja dan bekerja. Malangny adi Malaysia keradaan ini seperti tidak wujud. Yang menenag dan membentuk kerajaan diganggu gugat supaya : 1 Tidak buat kerja. 2 Tidak perform. 3 Kerja substandard. 4 Disabotaj. 5 Cuba diruntuhkan. 6 Ingin diganti dengan berbagai cara. Permainan politik sepatutnya selama lima tahun bagi satu episode. Berulang lagi lima tahun kemudian. Begitulah setersunya. Mengapakah yang kalah tidak berhenti berpolitik. Sentiasa ingin terus membentuk kerajaan juga. Cukup-cukuplah rasa tidak puas hati itu. Mengapa lupa dengan ketentuan Allah. Semua yang berlaku Allah yang menentukan. Tunggulah lima tahun lagi. Izinkan kerajaan yang sudah dibentuk menjalankan kerja mereka mengikut citarasa mereka. Setiap orang ada gilirannya dengan izin Allah. Jadikan diri sebahagian dari juzuk penting sebuah negara. Utamakan negara lebih dari segala-galanya.

Thursday, August 4, 2022

Bersara Biar Sibuk

Ketika masih bekerja dan berkerjaya selalu orang bertanya: 1. Dah berapa lama bekerja? atau 2. Bila bersara? Bila sudah bersara, berbagai persepsi terjadi. Pertanyaan orang berbagai. Dialog dengan orang tidak mengenali diri kita: 1. Kerja di mana? Dah bersara. 2. Bersara pilihan ke? Tak. Wajib. 3. Muda dah pencen? Cukup umur. Lain pula dialog dengan sahabat lama: 1. Dah berapa tahun bersara? 21 tahun. 2. Sihat nampak! Alhamdilillah. 3. Buat apa sekarang? Guru al-Quran. 4. Kelas di masjid ke surau? Ada masjid, ada surau, ada rumah, ada rumah ngaji dan online. 5. Penuh masa ke? Gitulah dari pagi hingga malam. Senario ini bukan typical tetapi bergantung kepada perancangan Allah untuk kita. Kita mungkin merancang untuk persaraan kita tetapi perancangan Allah itulah yang terbaik. Cuma sebelum bersara kita merancang untuk menjadi pesara yang bermanfaat. 1. Bersara dan makan pendapatan persaraan. 2. Terima bantuan anak-anak. 3. Buat kerja kebajikan semata-mata amal kebajikan. 4. Bertani. 5. Berniaga. 6. Menjadi usahawan. 7. Aktiviti mendatangkan pendapatan. 8. Berpersatuan. Bersara tidak semestinya noktah untuk segala-galanya. Cuma buatlah aktiviti pilihan: 1. Tidak stress 2. Santai 3. Kita sukakannya 4. Jadi legacy kita 5. Bermanfaat kepada orang lain 6. Tidak menjemukan 7. Memberi motivasi akhirat 8. Boleh berkembang maju Walaupun bersara, gagahka diri dan terus berusaha: 1. Menambah ilmu 2. Menambah kemahiran 3. Memperbesar lingkungan (circle) sahabat yang lebih baik dari kita - orang besar, ulama', orang kenamaan 4. Banyak bergerak 5. Sibukkan diri untuk akhirat In syaa Allah bersaralah dengan berlapang dada dan fikiran. Kita tinggalkan kerjaya profesional dan fokus kepada kerjaya ke akhirat. Mudah-mudahan dalam barakah dan rahmat Allah.

Hari Lahir

Setiap datangnya tarikh hari lahir bermakna berkurangnya usia yang Allah telah tetapkan. Maka bertambah dekatlah dengan datangnya saat akhir yang kita semua tunggu-tunggu. Semasa muda kita banyak mimpi, banyak angan-angan dan banyak impian. Ada yang menjadi realiti dan ada yang tidak. Pada hakikatnya yang Allah izinkan menjadi realiti hanyalah terlalu sedikit berbanding dengan yang kita inginkan. Dalam sisa usia, paling penting adalah kesihatan. Kita tidak arif tentang kesihatan dalaman kita. Hanya tanda-tandanya yang dapat kita kesan atau rasa. Kita masih menikmati kesihatan andainya masih: 1. Boleh tidur lena 2. Boleh makan dan minum walaupun mungkin berpantang 3. Boleh berjalan atau berlari anak 4. Boleh solat dengan berdiri atau duduk 5. Boleh membaca 6. Boleh banyak berfikir 7. Boleh melakukan kerja fizikal 8. Boleh memandu 9. Tahu jalan pulang 10. Ada jadual dan rutin 11. Ingatan masih kuat 12. Ada cita-cita 13. Ada lagi rasa cinta 14. Ada kerja amal yang dilaksanakan 15. Berdikari dan mandiri 16. Ekonomi dan rezeki mencukupi untuk diri dan untuk infaq 17. Menyegarkan diri 18. Kekal ceria 19. Menjaga penampilan 20. Boleh mengurus diri dan persekitaran 21. Pancaindera berfungsi walau mungkin bukan 100% 22. Ada cita-cita meninggalkan legasi 23. Berfikir di luar kotak 24. Tidak taksub dan tidak stereotaip dalam banyak hal 25. Banyak memandang ke dalam (inner self) 26. Boleh munasabah diri 27. Berusaha menambah manfaat kepada orang lain 28. Menambah ilmu, kemahiran dan capaian hidup 29. Membantu orang lain 30. Peka dan rasa empati 31. Boleh mengharmonikan rasa insaf dan syukur 32. Peka perkembangan semasa 33. Berbaki rasa muda pada diri 34. Ada semangat juang Nak ke mana apabila usia semakin susut? 1. Wudu' 2. Solat 3. Masjid/surau 4. Sejadah 5. Al-Quran 6. Agama 7. Mati 8. Barzah 9. Akhirat 10. Bertemu Allah 11. Kembali ke syurga bersama keluarga Kita setia menunggu semua saat itu. Mungkin kita aktif atau pasif. Mungkin banyak sedar dan tidak alpa atau leka. Menunggu dengan mengisi kebaikan dan meninggalkan keburukan. Kita tidak sempurna tetapi usahakan untuk mendekati kesempurnaan. Usaha itu penting. Syukuri natijahnya walau apa bentuknya. Bersyukur kerana Allah temukan kita dengan hari lahir yang berulang-ulang. Untuk bersyukur kepadanya. Untuk ingat akan janji untuk kembali kepadaNya. Terima kasih kepada semua sahabat. Mudah-mudahan kita bertemu di sana. In syaa Allah. Allahuakbar.