Monday, January 9, 2023
Pemimpin Perlu Diangkat
Siapakah yang menentukan yang terbaik antara kita? Antara pemimpin apatah lagi. Setiap kita dinilai setiap masa. Terutamanya yang dalam radar masyarakat. Yang ada tugas kepemimpinan. Cuma jangan lupa penilai kita yang hakiki adalah Allah. Kesemuanya Allah yang tentukan. Dan perlu kita ingat kesemuanya ada permulaan dan pengakhiran yang tersendiri. Bagi manusia, yang sentiasa hebat adalah para Rasul dan Nabi. Sentiasa konsisten. Tidak manusia biasa seperti kita. Kita tidak boleh hebat. Hanya mungkin Allah beri kita sedikit kelebihan berbanding orang lain.
Setiap pemimpin hebat pada zaman masing-masing. Kehebatan itu akan pudar mengikut masanya. Apabila masa tamat, berilah peluang pemimpin lain menjalankan tanggungjawabnya. Setiap pemimpin Allah bekalkan dengan kelebihan dan kelainan yang tidak ada pada orang lain. Sewajarnya:
1. Lepaskan diri kita dari terikat dengan zaman yang sudah berlalu. Zaman kita sudah ditamatkan Allah.
2. Beri peluang kepada orang lain. Sama ada ia lebih berjaya atau lebih gagal adalah urusan Allah.
Kita tidak boleh ambil alih apa yang Allah telah tentukan. Maka:
1. Elak dari merasa kita adalah yang lebih baik atau merasa kita sahaja yang terbaik atau kita merasa kita sahaja yang baik. Jangan lupa Allah adalah Yang Maha segala-galanya.
2. Semua kejayaan kita jika diungkit hilang manfaatnya. Bangga diri tidak ada impaknya. Orang akan hilang rasa hormat.
3. Jangan perkecilkan orang lain kerana ia adalah makhluk ciptaan Allah. Memperkecilkan makhluk dikira menghina manusia yang Allah jadikan sebagai ciptaan terbaik berbanding makhluk lain.
Apa yang perlu kita lakukan?
1. Bantu beri idea terbaik untuk umat.
2. Beri cadangan sama ada secara individu atau secara berkumpulan. Boleh bersemuka atau surat-menyurat atau email dan berbagai lagi medsos yang lain.
3. Melalui MP atau ADUN.
4. Idea terbuka melalui fb, twitter, instagram, whatsapp dan yang seumpamanya.
Tolonglah jangan:
1. Merendah-rendahkan pemimpin bukan pilihan hati kita. Kita pun tidak ada kelayakan untuk jawatan itu. Allah tidak memberi peluang itu kepada kita.
2. Sebagai rakyat kita perlu membantu bukan merosakkan.
3. Kembalikan kepada Allah supaya Allah memberi kita pemimpin yang terbaik sesuai dengan keperluan dan zaman kita ini. Jika dapat yang paling baik itu adalah kelebihan yang Allah tentukan untuk kita semua.
4. Jika kita ingin pemimpin yang sangat baik maka kita sebagai rakyat terbanyak hendaklah belajar dan memiliki sifat dan ciri-ciri kepimpinan yang kita rencanakan. Supaya dengannya kita boleh memilih pemimpin yang terbaik dari kalangan kita semua.
Pemimpin adalah cerminan diri kita semua sebab pemimpin itu datang dari kalangan kita. Jika kita teruk mungkin pemimpin kita lebih teruk dari kita. Andainya kita semua adalah kalangan orang baik-baik maka pemimpin kita mungkin lebih baik dari kita dengan izin Allah. Oleh yang demikian, mulai saat ini pandanglah diri kita dahulu sebelum kita mencari kelemahan dan kekurangan pemimpin kita. Allahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment