Monday, November 12, 2018

Pengangguran Untuk Melayu Sahajakah?




Banyak sekali komen-komen yang dirasa kurang enak yang mengatakan bahawa graduan Melayu ramai yang menganggur. Implikasinya banyak. Antaranya mungkin:

1                     Graduan Melayu lemah kecerdasan akademik.
2                     Graduan Melayu lemah kecerdasan sosial.
3                     Graduan Melayu tidak mencapai standard deskripsi untuk sesuatu job atau tugasan.
4                     Graduan Melayu didiskriminasi.
5                     Graduan Melayu mangsa rasis.
6                     Graduan Melayu tidak kreatif, tidak inovatif dan tidak imaginatif.

Apa pun tanggapan mengenai hal ini, kita wajar membuat tinjauan atau sorotan mengenai apa yang sebanarnya berlaku. Penulis ingin menelusuri permasalahan ini melalui pengamatan diri menjadi pendidik selama lebih 32 tahun dari sekolah kebangsaan, sekolah menengah, politeknik dan universiti. Apabila seseorang graduan meninggalkan alma mater mereka ada beberapa perkara yang mereka bawa keluar ke dalam pasaran pekerjaan. Mereka yang mudah mendapat pekerjaan berbeza dengan yang lama menganggur.

1                     Sikap asas yang inkuitif.
2                     Latihan kepimpinan di IPT.      
3                     Sifat versatile.
4                     Penamilan diri yang up-to-date
5                     Bijak berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu atau Bahasa lain jika        ada.
6                     Latabelakang keluarga dan budaya korporat.

Selepas beberapa bulan pelajar-pelajar menjadi graduan dari sebuah politeknik, penulis meninjau status beberapa orang graduan.
1                     Mendapat pekerjaan sebulan selepas keluar dari politeknik.
2                     Selepas dua tahun belum lagi mendapat pekerjaan.

Dalam situasi pertama, graduan tersebut:
1                     Banyak bertanya di dalam kelas.
2                     Berani menyatakan pendapatnya dalam banyak keadaan.
3                     Bersifat lepas laku atau mudah bersosial.
4                     Dalam banyak keadaan, ramai rakan sekelasnya yang kurang senang dengan keletah dan    cakapnya. Dia dianggap banyak cakap.

Barangkali itu resepi graduan bakal pekerja yang dinanti oleh pihak korporat. Pekerja yang tidak pernah berpuas hati. Berani memberi pendapat dalam situasi yang ketat umpamanya. Mereka mahukan pekerja yang mudah bersosial dan berinteraksi dengan semua orang. Team building ingredient. Mungkin ramai rakan sejawat yang kurang senang tetapi dia tetap ke hadapan – moving forward dengan aspirasinya – graduan yang berwawasan dan mengejar impian untuk berjaya.

Dalam situasi kedua pula, graduan itu:
1                     Kurang bercakap.
2                     Tidak banyak melibatkan diri dalam perbincangan.
3                     Lebih banyak mendengar dari menyampaikan pendapat.

Majikan pastinya tidak suka pekerja yang ‘baik’ tetapi tidak vibrant dalam syarikat. Tidak versatile. Tidak ramai kawan dan tidak mudah berkawan. Hanya menyimpan pendapatnya sendiri. Tidak dikongsikan dengan orang lain. Dalam psikologi, majikan lebih sukakan ekstrovert berbanding introvert. Kebanyakan pekerjaan lebih sesuai dengan mereka yang bersifat ekstrovert. Mungkin sebahagiannya untuk mereka amvibert. Sifat sukakan bersosial ini dipupuk dari rumah, diperkuat di sekolah dan diperhalusi di IPT.  

Maka permasalahan graduan Melayu banyak menganggur perlukan kajian mendalam atas pencapaian akademik mereka dan kemahiran sosial mereka. Setelah menjadi graduan mereka perlu  menjadi bahagian penting masyarakat. Bukan tempelan kerana mereka sudah ada status akademik. Malangnya kesedaran untuk menjadi ahli masyarakat tidak diperolehi di IPT. Tidak dialami sewaktu menjadi pelajar. Apabila mereka kembali kepada masyarakat mereka menjadi alien -makhluk asing. Misfit dalam banyak hal. Menjadi jumud sebelum teruji sepenuhnya.

Seorang pelajar diberi tawaran kerja setelah menjalani ujian individu dan ujian berkelompok. Ramai pelajar tidak berani bercakap dalam temuduga kelompok kerana:
1                     Gemuruh.
2                     Gentar.
3                     Tidak yakin dari segi kemahiran berkomunikasi.
4                     Lemah Bahasa – gagal menggunakan istilah khusus dan berkaitan.
5                     Malu tidak bertempat.
6                     Penampilan kurang sesuai dengan jawatan yang dipohon.
7                     Lemah protokol dan etiket di hadapan oran ramai.

Graduan yang control dan dominan mungkin ditawarkan pekerjaan di akhir temuduga itu, di hadapan calon-calon yang lain. Yang tidak banyak bercakap atau yang tidak berani terlibat dalam perbincangan terpaksa hanya mendengar dan menerima hakikat orang lain yang menerima sesuatu tawaran pekerjaan. Majikan perlukan pekerja yang:

1                     Boleh menjadi jurucakap.
2                     Boleh mengajar staf baru.
3                     Berkongsi idea.
4                     Memperluas idea orang lain.
5                     Banyak cadangan praktikal dan ekonomi.
6                     Mudah diajak berbincang dan berunding.
7                     Berfikiran positif.

Benarlah telahan ramai orang lain bahawa apabila dikatakan ramai graduan Melayu menganggur maka yang dituding ialah diskriminasi. Mana mungkin telahan itu dianggap benar. Mari kita lihat realitinya.

1                     Selain dari kerajaan berapa ramai sebenarnya majikan Melayu yang memiliki korporat      besar di tanah air tercinta ini.
2                     Kita tiada ladang ribuan hektar.
3                     Tiada supermarket atau hypermarket di semua bandar besar.
4                     Tiada kilang besar yang ramai pekerjanya.
5                     Tiada syarikat pembinaan yang besar atau pemaju yang benar-benar besar.
6                     Ramai orang kita yang kaya tetapi tidak ramai yang mencipta peluang pekerjaan.
7                     Ramai yang kaya tetapi statusnya senyap. Mengutip dividen tahunan sahaja.

Salah siapa sebenarnya? Dan paling mudah kita katakan kesemuanya kerana diskriminasi. Etnik lain mencipta peluang pekerjaan untuk etnik mereka sendiri tentunya. Mereka tidak akan menyusukan kera di hutan. Keutamaannya ialah etnik mereka dahulu. Bakinya diberikan kepada etnik lain. Itu pun mungkin jawatan peringkat rendah.  Tidak adil menyalahkan mereka. Kita yang diberi peluang selama lebih 60 tahun tidak membawa diri kita ke persada yang sewajarnya. Hingga sekarang orang kita hanya berharap kepada sektor awam. Kepada kerajaan sahaja.

Kadang-kadang kelihatan lucu. Kita boleh berbahasa Inggeris yang fasih. Boleh berbahasa Mandrin. Tetapi selagi nama kita Muhammad atau Salmah, maka nama itu tidak boleh fit dalam mana-mana syarikat ethnik lain. Kita bukan Ah Chong atau Mei Hwa. Maka untuk lebih menyelamatkan anak-anak kita, mereka yang berada dari segi ekonomi perlu memikirkan kaedah terbaik mencipta pekerjaan dengan cara terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan, perkilangan, pengangkutan, penggudangan, pengedaran dan industri servis yang sangat banyak. Bola di kaki tuan sekarang. Sepaklah ke dalam gol. Hanya bilangan dan kelebihan gol yang memenangkan. Bukan sekadar permainan semata-mata.

Wednesday, October 31, 2018

Bina Tembok Roboh Tembok



Sebagai manusia kita banyak membina tembok. Kebanyakan tembok itu subjektif. Bukan fizikal. Lebih banyak tembok mental. Mungkin orang Melayu tidak banyak tembok. Sekadar muka tembok. Tetapi apabila diteliti orang kita banyak temboknya di sekeliling mereka. Semakin tinggi ego seseorang maka semakin banyak tembok yang dibina di sekeliling mereka. Mungkin kerananya semakin seseorang itu berjaya semakin sukar dihubungi. Semakin sukar didekati. Semakin sukar membina jambatan perhubungan perasaan dengan mereka. Tembok-tembok inilah yang kadang-kadang menjadikan seseorang itu terpisah dalam dunia mereka sendiri. Terpisah dari arus perdana dalam banyak hal. Jalan fikir jadi berbeza. Pandangan hidup berbeza. Mungkin akhirnya membina dunia tersendiri. Jauh dari kebiasaan orang lain.

Tiada kewajaran untuk kita membina tembok pendinding kerana ingin mengasingkan diri. Atau kita merasa kita berbeza dengan orang lain. Kita anggap diri kita adalah istimewa. Dalam kehidupan kita membina tembok di sekeliling kita dengan mudah. Untuk merobohkannya akan memerlukan kekuatan luar biasa banyak dan darjahnya. Sebagai manusia yang wajar bersosial kita perlu merobohkan banyak tembok di sekeliling kita. Proses meroboh tembom lebih rumit dari membinanya. Pembinaan tembok dari kosong. Dari asas yang paling bawah hingga ke setinggi yang dikehendaki. Seluas yang kita rancangkan. Mengikut keselesaan kita. Pada dasarnya begitulah. Tembok-tembok ini tidak banyak manfaatnya. Kerana tembok sebegitu maka banyak kesan negatifnya.

Tembok malu adalah antara tembok yang sukar difahami. Orang kita umpamanya tembok malunya sangat tinggi. Terlalu besar. Terlalu tebal.

1                     Malu bertanya. Sudah sesat jalan sekalipun masih malu untuk bertanya.
2                     Malu dilihat di tempat-tempat yang baik. Masjid umpamanya. Atau surau. Atau di majlis-majlis agama.
3                     Malu duduk di hadapan. Datang awal tetapi duduk di belakang. Jika di masjid duduk bersandar di dinding belakang. Di kelas begitu juga. Bila ada orang ramai maka tempatnya hanya di belakang.
4                     Malu itu pula disertai rasa gabrah. Gemuruh tidak menentu. Selalu hilang akal bila dalam public. Anak Melayu paling kurang bertanya. Apa lagi untuk menyanggah sesuatu yang dilihat, didengar dan dibaca.

Tembok malas mungkin masih banyak di kalangan kita. Paling dahsyat ialah malas belajar. Akademik rendah. Kerja peringkat rendah. Maka pendapatan tidak lumayan. Kitaran ini berulang dan berulang. Orang kita masih jauh tertinggal di belakang. Dalam ekonomi jauh  sangat. Kebanyakan sumber untuk kaya ada di sekeliling. Tidak menjadi sumber jika disewakan. Jika dipajak. Jika dijual. Atau digadaikan. Orang kita sukar untuk mencuba atau mencari pengalaman dalam kerjaya yang kelihatan sukar. Hanya kerana tidak memahami prosesnya maka kesemuanya dianggap sukar. Kerana itu hal-hal yang dianggap sukar ini menjadi kerjaya orang lain. Kita pula tidak senang apabila ianya milik orang lain. Kita sendiri tidak mempu untuk memilikinya. Jadi bagaimana? Bagaimana dengan teknologi, Pendidikan, hartanah dan industri yang lain. Kit ajarang memikirkannya.

Masyarakat kita berada dalam kelas yang berbagai. Kerana itu tembok status kerap dibina oleh mereka yang berada di kelas atasan. Kelas di atas tidak berapa berminat membangunkan mereka yang berada di kelas bawahan. Orang kita tidak kaya-kaya. Tidak dapat menyaingi ras atau etnik lain yang lebih bersungguh-sungguh. Benar ramai orang kita sukakan politik. Jadi ahli politik. Tetapi menjadi bidk-bidak mainan mereka yang cerdik dalam politik. Yang lebih pentingkan perut dan tembolok mereka sendiri. Bangsa Melayu terus layu dalam percaturan politik yang dilihat kurang membina. Orang kita pula sukakan hal-hal yang percuma. Diperolehi tanpa balasan produktiviti. Akhirnya modal pusingan orang Melayu hanya tinggal air liur. Gah berpolitik. Tidak prolifik.

Peribahasa Melayu hangat-hangat tahi ayam tetap relevan. Dasar banyak dibuat. Perancangan Ekonomi Malaysia sudah yang ke-11. Dasar dari atas tidak mendasar di bawah. Mereka yang di bawah kekal di pelabuhan. Sepuluh jong masuk, anjing bercawat ekor juga. Ledakan maklumat tidak dimanfaatkan oleh orang kita. Ledakan teknologi bak angin lalu sahaja. Tembok ego terlalu besar dan tinggi. Facebook dan media sosial yang lain hanya untuk hal-hal picisan. Hal-hal tidak signifikan untuk membina agama. Untuk membina bangsa. Untuk membina legasi orang Melayu. Sudah terlalu lama legasi kita dibina dengan hutang. Dengan ketidakupayaan. Dengan bawang dan gossip. Dengan cantas mencantas. 61 years down the drain. That is as I se it. Other people may see otherwise.

Kita perlu merobohkan tembok dan segala tembok yang telah kita bina. Tembok itu menghalang kita dari melihat apa yang ada di luar. Tembok memenjarakan pandangan dan minda kita. Kita jadi jumud. Jadi tepu. Tanpa melihat keluar kita hilang arah. Kita hilang dalam khayalan yang dibina pada persepsi kita sendiri. Pada hakikatnya kita dalam kepompong kecil yang menjadi sangat tidak signifikan di mata orang lain. Bak buih seperti sabda Rasulullah saw. Luput apabila ditiup angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa.

Masihkah kita dalam khayalan menjadi tuan?

Monday, October 29, 2018

Benarkah Kosong Itu Kosong?




Dalam kehidupan kita banyak hal-hal kosong yang ada di sekeliling kita. Angka kosong atau kosong itu sendiri dianggap tiada apa nilainya. Hanya kosong. Kecil atau besar kosong itu bukan ukurannya. Pada sisi biasa kosong itu memang kosong. Bayangkan situasi ini:

1                     Angan-angan kosong.
2                     Berbual kosong.
3                     Angka kosong.
4                     Mengosongkan tempat atau ruang.
5                     Kosongkan masa.
6                     Fikiran kosong.
7                     Isi kosong.
8                     Perasaan kosong.


Kesemuanya dirasakan negatif. Itupun jika hanya dilihat dari sisi negatif. Bagaimana jika kita melihatnya dari segi positif? Tanpa ilmu angan-angan memang kosong. Tetapi angan-angan mereka yang bijaksana selalu menghasilkan sesuatu yang luar biasa (defies logic). Banyak produk dan servis dalam dunia ini datangnya dari angan-angan yang diterjemahkan menjadi cita-cita. Menjadi azam. Mencetus motivasi. Meluaskan eksperimen. Kosong yang diterjemahkan menjadi isi penuh dan tinggi nilainya.

Mereka yang berfikir pada aras tinggi tidak berbual kosong dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Dalam perbualan ada agenda penting yang diperbincangkan. Ada isi penting yang dibicarakan. Semasa perbualan sedang berlangsung ianya kelihatan kosong. Namun perbualan antara mereka yang bestari membawa hasil yang lumayan. Produk yang bermanfaat. Memberi faedah kepada orang lain. Berbual kosong bergantung kepada siapa yang berbual. Kepada orang biasa memang hanya menghabiskan masa. Kepada mereka yang berfikir pada aras tinggi tiada yang namanya berbual kosong. Kosong yang memberi hasil. Cetusan idea yang merealisasikan keuntungan.

Sepintas lalu mengosongkan tempat atau ruang  adalah untuk diisi dengan sesuatu yang lain. Di bandar besar sesuatu ruang sangat mahal harganya. Tinggi nilainya. Di Kuala Lumpur satu meter persegi mungkin beribu ringgit. Jangan biarkan ruang kosong tinggal kosong. Isilah dengan sesuatu yang berharga. Beri nilai yang tinggi. Perniagaan dan usahawan mengisi ruang kosong itu. Kosong yang diisi dengan produktiviti. Aktiviti yang menguntungkan. Paling kurang yang berfaedah. Kepada mereka yang melihat di sebalik kosong, banyak yang perlu dibuat apabila ada kekosongan. Jika dibiarkan kosongnya memanjang. Apabila diisi kekosongan itu memberi nilai tinggi dari segi ekonomi, sosial, agama atau akahlak.

Kosong masa atau masa kosong dilihat seperti tiada faedahnya. Tetapi dilihat dari sudut lain mengosongkan masa bermakna merancang melakukan aktiviti yang berfaedah. Belajar umpamanya. Mendapatkan maklumat. Mendapatkan ilmu yang lain dan bertambah banyak serta lebih tinggi nilainya. Menambahbaik diri sendiri ke aras yang lebih tinggi. Masa kosong inilah yang selalu dihindar oleh ramai orang. Yang juga selalu diabaikan. Ada konotasi masa kosong. Ada yang malu untuk membangun diri dengan sesuatu yang bernilai. Ada yang malas. Ada pula yang menutup pemikiran dari memikirkan hal-hal masa hadapan yang mungkin mengangkat diri ke arsa yang lebih tinggi. Kerana itu kekallah diri di aras lama. Jumud masa.

Isi kosong sebenarnya jarang berlaku. Dalam banyak tandan buah kelapa mungkin sebiji sahaja yang dinamakan kelapa komeng. Kosong isinya. Buah padi juga tidak banyak yang kosong. Sangat sedikit yang Namanya hampa padi. Isi kosong menjadi suatu pengecualian. Bukan standard. Isi kosong muncul sekali sekala. Itupun dalam skala yang sangat kecil. Peratusannya mungkin 1% atau kurang. Tetapi isi kosong itu menjadi signifikan kerana ianya tidak dijangka. Atau jarang dijangka. Di luar ekspektasi. Dalam banyak hal isi kosong mungkin biasa diabaikan. Kecuali yang kosong itu memberi mudarat. Bertambah banyak dengan kadar yang signifikan. Jika hanya biasa-biasa sahaja tidak ramai orang yang mengambil tahu.

Perasaasn kosong pula adalah luar biasa. Mungkin tekanan yang terlalu sangat. Usaha telah dilakukan untuk menjayakan sesuatu. Percubaan telah dilaksanakan. Kejayaan tidak menampakkan dirinya. Begitu juga apabila kegagalan berulang-ulang, perasaan menjadi kosong kerana kesemuanya telah dicuba. Hasilnya tidak menjadi. Bagi mereka yang cekal hatinya, perasaan tidak pernah menjadi kosong sebenarnya. Setiap masa ada pengisiannya. Ada perancangan untuk terus ke hadapan. Untuk terus mendaki tangga kejayaan. Untuk terus menjadi lebih baik.

 Jangan abaikan angka kosong. Kosong sepertinya tiada apa-apa makna. Perhatikan yang berikut:

0                                        Kosong. Tiada makna. Tetapi matematik memberi makna kepadanya.
10                                      Sepuluh. Nampak nilainya.
100                                    Seratus. Dua kosong yang menambah nilai.
1,000                                 Seribu dengan tiga kosong.
10,000                               Sepuluh ribu. Jika ringgit besar nilainya.
100,000                             Seratus ribu. Wow. Banyak.
1,000,000                          Sejuta. Tidak ramai yang mengalaminya memiliki sebanyak 1 juta.
10,000,000                        Sepuluh juta. Di luar imaginasi bagi mereka yang tidak berniaga.
100,000,000                      Seratus juta. Kebanyakan orang akan pening melihat banyaknya angka                                                      kosong.
1,000,000,000                   Seribu juta. Satu trillion. Mereka yang berniaga bukan semua                                                                  mendapatnya. Tetapi mereka yang tidak berniaga mudah mendapatnya.

Pening juga memikirkannya. Angka kosong yang tidak boleh diabaikan. Angka kosong yang dilihat dengan penuh minat. Dengan penuh erti yang mendalam. Semakin banyak kosong semakin tingga nilainya. Semakin dikira banyak. Maka selepas ini fikirkan dengan teliti sebarang angka kosong atau perkataan kosong. Ia bukan kosong sebenarnya.

Sunday, October 28, 2018

Berbezakah Duda dan Balu?




Siapa duda dan siapa balu? Duda hidup membujang. Bercerai hidup atau bercerai mati. Statusnya bujang. Tua atau muda hanya membilang usia. Realitinya dia lelaki yang eligable, available dan kemungkinan besar viable. Yang muda mungkin masih kecil anak-anaknya. Sementara yang sudah menjadi warga emas sudah ramai cucunya. Sebagai lelaki, duda memiliki sifat memerlukan teman. Mencari rusuk kirinya yang hilang apabila berseorangan. Ketika bujang kembali (setelah ketiadaan isteri) ramai yang tidak betah hidup berseorangan tanpa seorang wanita yang mengurus kehidupannya. Sudah lama berpasangan.  Makan dan minumnya. Kemas dan siapnya rumah. Tidur dan baringnya. Pakai dan sandangnya. Duda muda pula mencari ibu untuk anak-anaknya yang masih kecil. Yang memerlukan kasih sayang seorang ibu. Kerana lazimnya lelaki keluar rumah, maka sukar mengurus kerja dan rumahtangga sekaligus. Kerana itu duda muda sangat perlukan pembantu yang intim dengannya. Bukan pembantu profesional. Seorang pembantu bernama isteri. Bergelar ibu kepada anak-anaknya. Memberi ruang kepada anak-anak untuk mengecap anugerah ibu kepada mereka.

Duda yang kematian isteri tidak banyak bezanya dengan duda yang bercerai hidup. Yang namanya lelaki selalu rindunya pada wanita tidak pernah surut. Ingin intim menuai masa tua yang santai. Nostalgik akan masa muda yang sudah lama berlalu. Romantik bak Romeo dan Juliet yang tidak mengenal usia. Pasangan lelaki dan wanita bak irama dan lagu kata P. Ramlee. Terpisah tiada. Ketiadaan wanita di samping suatu kekosongan yang mahu diisi. Melanjutkan perjalanan berumahtangga walaupun silih berganti pasangan. Begitulah fitrah manusia dan kemanusiaannya. Hidup berpasangan memenuhi tuntutan sunnatullah. Kembara hidup berkeluarga hingga sampai ke syurga. Pelayaran rumahtangga yang perlukan kekuatan fizikal dan mental. Maka pasangan menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan hidup yang berbaki usia.

Balu pula berbeza dengan janda. Balu kematian suami. Janda bercerai dengan suaminya. Antara keduanya balu dan janda tiada banyak bezanya. Janda mungkin  banyak marah dari redha kerana dicerai suami. Walaupun kadang-kadang itu yang melegakan tetapi implikasinya seorang janda berhadapan dengan berbagai reaksi. Yang belum ada anak lebih aman dari yang sudah beranak banyak. Lelaki yang tidak bertanggungjawab melepaskan kesemuanya kepada jandanya. Semasa menjadi suami semua beban ditanggung isteri. Sesudah menduda ia bebaskan dirinya dari bertanggungjawab. Jika bekas suami bertanggungjawab, perceraian hanya perpisahan tetapi tanggungjawab anak dan jandanya masih dalam tanggungannya. Kedua-duanya lebih aman dari berperang perasaan. Tanggungjawab tetap menjadi beban bersama. Mencari suami sekadar suami sangat mudah. Mencari suami yang penuh bertanggungjawab dalam apa jua keadaan sangatlah sukar. Sewaktu menjadi suami penuh bertanggungjawab. Sewaktu berpisah masih kekal penuh bertanggungjawab. Perceraian dikira jalan terbaik kerana keharmonian rumahtangga tidak tercapai. Berpisah dengan penuh tanggungjawab.

Balu yang ramai anaknya berhadapan dengan pelbagai situasi. Baik dan buruk. Positif dan negatif. Walaupun pesaka si suami berlonggok-longgok, balu tetap kalut berhadapan dengan situasi semasa. Yang difikirkan ialah masa hadapan tanpa seorang lelaki bernama suami. Yang telah pergi terlebih dahulu kerana Allah sayang padanya. Cerita lazim orang Melayu sangat sinonim. Janda atau balu muda banyak sukarnya. Mata wanita lain banyak yang juling memandang mereka. Semuanya waspada takut suami terjebak kasih dengan mereka. Semuanya takut jika terpaksa pula membantu mengurus mereka. Anak-anak masih kecil. Saudara mara mungkin jauh. Tetapi sebagai ahli masyarakat yang perihatin wajar ibu tinggal tanpa mengira statusnya, diberi bantaun yang mewajarkan ia meneruskan hidup bersama anak-anak yang masih kecil umpamanya. Biarkan mereka membawang sesuka hati. Jika boleh janganlah bawang itu dibanyak-banyakkan.

Duda dan balu atau janda biarlah mereka mencari pasangan lain. Cepat atau lambat adalah ketentuan Allah. Jodoh mereka. Barangkali ramai yang tidak senang jika mereka berkahwin semula. Terlalu baru pasangan mereka pergi. Tidak perlu tergesa-gesa mencari pengganti. Orang lain hanya melihat. Hanya memandang. Hanya dari jauh. Mereka yang menanggung beban perasaan tiada siapa yang tahu. Ada duda kekal menduda. Ada yang berkawhin juga akhirnya . Mencari bahagia yang baharu. Ada juga balu kekal ke akhir hayat. Ada yang segera menikah. Masaing-masing ada sebab yang kukuh untuk apa sahaja tindakan yang mereka lakukan. Kita yang melihat wajar mendoakan mereka. Biar mereka bahagia. Hidup harmoni. Asas keharmonian masyarakat.   

Sunday, October 21, 2018

Bau Rokok Yang Mengerutkan




Minggu lalu penulis terserempak dengan seorang pelajar IPT yang sedang  dalam proses membunuh dirinya dengan merokok. Tempatnya paling hina iaitu di bilik air. Bau asap yang berbaur dengan bau najis yang berlegar dalam bilik air sangat melemaskan.  Walaupun bilik air itu sentiasa dibersihkan, taraf bilik air tidak boleh meningkat seperti bilik di hotel lima bintang. Bilik air tetap bilik air. Bilik tempat syaitan berhimpun meraikan mereka yang tidak arif tentang penggunaan bilik air. Apatah lagi mereka yang menyalahgunakan bilik air.  Maka pelajar yang merokok itu terperangkap dalam jaringan syaitan yang kelihatan secara fizikal dan syaitan yang tidak kelihatan (jin).  Kedua-duanya berpengaruh besar memperngaruhi pemikiran perokok. Secara spiritual dan dan secara fizikal.

Mengapa merokok di bilik air?
Bukankah IPT kawasan larangan merokok?
Orang lain tidak tahan dengan bau asap rokok di bilik air.
Pening kepala saya menghidunya.

Andainya penulis masih lagi menjagi penguasa Hal Ehwal Pelajar, pastinya pelajar tersebut dibawa  dan didakwa di hadapan  Lembaga Disiplin IPT tersebut. Tanpa kuasa itu lagi, penulis hanya mampu menegur yang perlu. Pelajar itu hanya terkedu. Mematikan rokoknya lalu keluar dari bilik air. Ya dia sudah pergi tetapi banyak yang ditinggalkan.
1                     Puntung rokok di bakul sampah.
2                     Abu rokok di mangkuk tandas, di sinki dan di lantai bilik air.
3                     Bau asap yang kuat menyengat.
4                     Penulis berasa sesak nafas, terbatuk kerana tekak perit dengan bau asap.
5                     Bad impression – kesan negatif yang sangat buruk.
6                     Hilangnya sifat dan kepatuhan kepada disiplin di kalangan pelajar yang terlibat.
7                     Mungkinkah pelajar jenis ini akan menajdi hebat setelah menjadi graduan atau terperangkap dalam jaringan pelajar Melayu yang sekadar average?


Seseorang tidak merokok dengan secara tiba-tiba. Ada pengaruh keluarga atau rakan sebaya atau komersil atau meniru gaya orang tertentu. Dalam aspek lain seorang yang menjadi perokok sebenarnya memiliki kelemahan mental, rohani dan psikologi. Ramai perokok mendakwa merokok kelihatan macho tetapi pada hakikatnya mereka adalah lemah. Mengalami inferiority complex – berasa rendah diri. Tidak yakin dengan dirinya sendiri. Merokok menjadi emancipation dan escapism. Lari dari kenyataan kebaikan menuju kepada kenyataan kebuntuan berfikir. Merokok bukan dilahirkan begitu. Bukan naluri dan bukan baka keturunan. Ia adalah tingkah laku yang dipelajari, dicuba, dibentuk dan dijadikan amalan hidup. Cantik pada mata mereka.  Mereka tidak tahu pandangan buruknya pada mata orang di sekeliling.

Sudah lama rokok mengakibatkan mudarat kesihatan tubuh badan. Tekak dan paru-paru khususnya.  Sudah lama juga rokok diharamkan penguasa agama dan negara. Tetapi perokok  tidak melihat rokok seperti najis babi atau anjing atau arak. Rokok dibeli, disimpan di poket, dipegang, dihisap, dijepit di jari dan diulang prosesnya. Mungkin ribuan dan ratus ribuan jika tidak jutaan kali. Setiap kali asapnya disedut saat itulah yang mengurangkan usia lebih cepat dari yang dijangkakan. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.  Ironis sungguh, perokok akan merokok sepuas-puasnya sebelum mendirikan solat. Dengan tangan memegang najis rokok. Dengan mulut berbekas najis rokok. Dengan bibir berpalit najis rokok. Mungkin pada fikitran mereka itulah rokok terakhir. Itulah hisapan terakhir. Sedutan terakhir. Hembusan terakhir.

Mungkin ramai perokok menyakinkan diri mereka sendiri bahawa merokok adalah urusan peribadi mereka sendiri. Tiada urusan dengan orang lain. Tunggu dulu. Buat pengamatan betul-betul. Bukankah terlalu banyak hal-hal negatif yang berada di sekeliling anda yang merokok. Rokok dari pokok yang daunnya dibuat rokok dan cerut. Ada yang dikunyah sebagai tembakau.  Merokok menjadi lambang sosial kaum Red Indian. Yang merokok bersama-sama dianggap sahabat. (Di sana ada hadith yang mafhumnya, tembakau adalah dari air sungai kecil iblis). Di sana terdapat pula kilang rokok, pemborong rokok, peruncit rokok dan pembelinya. Jangan lupa orang di sekeliling anda yang dipaksa menghidu asap rokok yang anda hisap. Yang dipaksa turut menghidap berbagai penyakit akibat asap rokok. Malang sungguh kerana mereka tidak merokok. Tidak merelakan sesiapa merokok. Tidak redha ada yang merokok di skeliling mereka.

Perlu lagikah ladang tembakau yang diusahakan oleh orang  Islam sendiri?
Perlukah kilang rokok yang pekerjanya orang Islam? Yang sahamnya dimiliki oleh orang Islam?
Perlukan pemborong rokok?
 Perlukan peruncit rokok?
Perlu lagikah untuk merokok?
Perlu lagikah undang-undang yang lesu dari penguatkuasaan?

Bukankah rokok haram. Maka mereka yang terlibat syubahat dengan haramnya. Besar nilai dosanya.  Tidak bolehkah kesemuanya diharamkan? Bebaskan negara ini dari tembakau dan rokok. Langkah positif menghentikan penyakit  dari rokok. Bau mulut mereka yang merokok sukar diterima manusia. Bagaimanakah mereka tergamak berhadapan dengan Allah dengan mulut berbau rokok. Dengan mulut berpalit rokok. Dengan mulut  yang  bersentuhan benda haram itu. Sedeloknya  mereka bertaubat. Allahuakbar!

Monday, October 15, 2018

Hati Orang Tua




Berkeluarga adalah suatu nikmat. Membesarkan anak-anak adalah sangat membahagiakan. Pendidikannya sampai ke aras tinggi. Cara berfikirnya ke tahap tertinggi. Sudut pandang hidupnya mahu menjejak langit. Setinggi mana yang boleh asal tetap berjejak di bumi. Ibu dan bapa akan kian tua. Berpisah dari zaman sibuk. Zaman kalut mengurus anak-anak. Zaman mencukupkan yang tidak ada. mengadakan yang tiada. Sesungguhnya tua hanya angka kerana orang tua berada pada beberapa kategori.

1                     Tua pada usia dan tua juga akhlaknya.
2                     Tua pada usia dan tua pada tingkah lakunya.
3                     Tua pada usia tetapi cerdas dan cergas seperti belum tua.
4                     Tua pada usia tetapi uzur berkala.
5                     Tua pada usia tetapi berdikari dari segi ekonomi, emosi, spiritual, politik serta sosio-budaya.
6                     Tua pada usia tetapi bergantung segala-galanya pada orang sekeliling.
7                     Tua pada usia sedangkan usaha dan produktivitinya masih pada aras biasa.
8                     Tua pada usia tetapi melakukan transformasi hingga jauh berbeza prestasinya berbanding semasa dalam usia produktif.
9                     Tua pada usia namun bergerak pantas melakukan yang terbaik untuk menuju ke garisan penamat usianya.
10                 Tua yang tidak tahu duduk diam.
11                  Senarai ini lebih panjang jika difikirkan lebih jauh lagi.

Kita di kategori mana. Hanya kita yang tahu menilainya sendiri. Pilihan dan qada’-qadarnya hanya kita yang tahu. Mungkin juga ada orang yang tahu. Ada orang yang melihat dan perasan mengenainya. Walau bagaimanapun kita masih boleh berusaha. Masih boleh mencari yang terbaik untuk diri kita dengan izin Allah. Bayangkan selalunya apabila tua kita menjadi:

1                     Jumud.
2                     Ditinggal zaman.
3                     Diabai orang.
4                     Dipinggirkan oleh orang keliling.
5                     Banyak ragam yang tidak sesuai atau selari dengan keadaan sekeliling.
6                     Banyak karenah sehingga keluarga, jiran dan sahabat handai menjadi tidak tentu rasa.
7                     Banyak menuntut itu dan ini.
8                     Suka membanding-banding kelebihan dirinya.
9                     Suka membanding-banding apa yang diperolehinya.
10                 Sukar dikawal perangainya. Kekal dengan pendapat sendiri tanpa menghormati pendapat orang lain.
11                 Banyak bercakap sedangkan kita sudah tidak boleh berbuat tindakan yang positif.
12                 Menyalahkan semua orang yang tidak sesuai dengan seleranya.
13                 Sinis seolah-oleh kita sahaja yang terbaik berbanding dengan orang lain.
14                 Banyak tidak berpuas hati dengan layanan orang lain.
15                 Cerewet yang menyakitkan.
16                  Mengomel tidak tentu waktu dan tempat.

Satu yang kita perlu pelajari ialah apabila tua :

1                     Jangan sombong dan menyombong. Siapa kita pada suatu ketika dahulu bukan sandaran. Siapa kita sekarang adalah lebih besar hakikatnya.
2                     Jangan anggap pengalaman lama adalah segala-galanya sehingga menutup usaha dan peluang untuk menjadi lebih bermanfaat.
3                     Membuat anjakan paradigma dari satu peringkat usia ke peringkat yang lebih tinggi.
4                     Mempamerkan akhlak yang berilmu dan berisi. Cakap kita dinilai orang. Pendapat kita dinilai orang. Hujjah kita dinilai orang. Reaksi kita dinilai orang. Tindakan kita dinilai orang.
5                     Banyak memberi dari menerima. Beri nasihat. Beri cadangan bernas. Infaqkan wang yang termampu. Infaqkan masa untuk berkhidmat dan beramal. Yang diberi jangan diukur dengan wang ringgit. Ukur diri kita di hadapan Allah. Apa yang kita sumbangkan untuk mendapat redhaNya.
6                     Banyak membantu orang di sekeliling dalam apa sahaja hal yang berkaitan dengan bidang kemahiran kita.
7                     Cebisan kecil sumbangan itulah yang menjadi besar di sisi Allah. Di sisi manusia sekalipun.

Berbahagia hidup kita yang banyak memberi. Yang banyak membuat kebajikan kepada khalayak di luar sana. Yang banyak menyumbang tenaga, buah fikiran dan wawasan untuk dikongsi bersama. Orang lebih ingat yang memberi dari yang menerima. Sebab itu Allah adalah segala-galanya kepada kita kerana Allah dengan kebesaran, kudrat dan kasih sayangnya memberi segala-galanya keperluan kita keseluruhnya.

Biarlah menjadi tua yang berdikari dari tua yang banyak bergantung harap. Bebas diri dari segi ekonomi. Bebas dari segi merancang hidup. Bebas dalam pergerakan yang bermanfaat. Bebas dari titik bengik yang selalu tidak mewajarkan kita bergerak bebas. Binalah sistem itu sedari muda. Dari masa anak-anak masih kecil. Jangan manja dengan keadaan sehingga terlalai untuk hidup sendiri yang lebih membahagiakan. Tidak membebankan orang lain.   

Monday, October 8, 2018

Ibu Di Mana?




Masih ada ibu? Masih ada bapa? Masih ada kedua-duanya? Mereka sihat? Alhamdulillah. Mereka berada dan hidup senang? Alhamdulillah. Mereka hidup sendiri? Alhamdulillah. Apakah kita gembira bersama mereka? Alhamdulillah. Adakah kita mempunyai masa bersama mereka? Alhamdulillah. No no no. Is everything alright? Hope so. Well, are you happy with the present setup. Let us turn around. Kita sudah dewasa. Masa yang berlalu menjadikan kita dewasa. Usia bertambah dan bertambah. No! Usia kita semakin kurang sebenarnya. Kita semakin mendekati kematian yang pada bila-bila msa sahaja bakal datang menjemput kita.  Get ready for that.

Senerio ini biasa. Anak sakit emak diminta datang. Maaf di arah datang. Cucu sakit, datuknya diminta datang. Maaf, diarah datang. Siapa dia? Seorang ibu yang kasihnya tidak berbelah bahagi.  Tidak kepada anak. Tidak kepada menantu. Tidak kepada cucu. Datangnya bukan sehelai sepinggang. Bukan tangan kosong. Sayur dan buah berkotak dibawa bersama. Ikan, ayam dan daging siap berempah belaka. Sehari dua ke pasar. Sehari dua mencari bahan untuk dibawa bersama. Untuk anak. Untuk menantu. Untuk cucu. Hati seorang ibu. Hati seorang nenek dan datuk. Hatinya selalu dekat dengan orang-orang yang disayang. Selalu rindu ingin bersama. Kemanusiaan yang tinggi pada dirinya. Kasihnya ibu membawa ke syurga. Kasihnya bapa berkorban nyawa.

Semua itu indah belaka. Tragic comedy. Happy ending. Benar, jika si ibu itu sihat. Jika si ibu itu afiat. Tiada apa-apa halangan. Tiada kekangan. Andainya semua berjalan seindahnya. Adakah manusia sihat sentiasa? Adakah mereka tiada penyakit yang hinggap di tubuh mereka? Sampai ketikanya seorang ibu atau seorang bapa sampai jua uzurnya. Datang bertandang sakitnya. Diterpa dengan kelesuan. Lelah dengan usia yang memanjat banyak. Lemah dengan segala yang ada di sekeliling walau bagaimana dijaga dan dikawal sekalipun. Tentu sahaja anak-anak dimaklumkan. Tentu sahaja cucu dimaklumkan. Situasinya spontan. Kami sibuk. Kami banyak kerja. Kami ada mesyuarat. Kami ada appointment. Kami dalam pertemuan dengan pelanggan. Kami sedang membuat lawatan. Kami dalam sidang yang sangat memberat hati dan fikiran. Sedang memerah otak. Nanti kami selesaikan tugas kami dahulu.

Mudahnya anak menolak untuk segera ke syurga mereka. Untuk sesekali membahagiakan ibu dan bapa. Orang tua tidak banyak katanya. Anak sibuk. Mereka maklum. Tetapi dalam hati sayunya tidak terkata. Hampanya tidak tidak dapat digambarkan dengan bahasa. Mungkin dengan emosi. Tidak banyak anak dengan kisahnya. Tidak perlu sibuk untuk si ibu. Apatah lagi si cucu.  Seorang ibu sendirian hamilkan anak-anaknya. Sendirian melahirkan mereka. Banyak masanya untuk membesarkan anak-anak. Untuk membimbing anak-anak. Untuk merawat. Untuk memberi semangat. Untuk sentiasa berada di samping mereka. Untuk  sentiasa dapat membantu. Untuk segala-galanya. Ibu yang sangat pelindung sifatnya. Terlalu ironis. Terlalu unpredictable. Persamaannya tidak sekata. Perbezaan antara ibu dan anak terlalu uncompromising. Terlalu berbeza. Terlalu sangat berbeza. Kasih sayang subjeknya tetapi olahannya berbeza. Sudut pandangnya sangat bertentangan.

Suatu hari anak dan cucu akan menjadi tua juga. Beranjak usia. Semakin banyak dan semakin dekat dengan pengakhirannya. Cerita tua adalah abstrak sifatnya kepada anak dan cucu. Ia sukar digapai dangan akal fikiran yang tidak mengambil iktibar. Yang tidak belajar dari pengalaman orang lain yang lebih arif. Hanya apabila tua baru kesedaran itu datang. Baru menerpa keinsafan. Baru ingat apa yang ibu katakan. Yang ibu ceritakan. Yang ibu gambarkan. Namun pada hakikatnya kesemua itu sudah tiada gunanya. Si ibu sudah tiada. Si bapa sudah tiada. Pintu-pintu syurga yang perlu digilap sudah tiada. Tempat bermanja sudah pergi. Dunia yang fana ini kembali kosong.

Apakah malang nasib seorang ibu. Allah perintahkan anak-anak berbakti kepada orang tua masing-masing. Meninggikan suara sangat dilarang. Menyakitkan hati mereka seperti derhaka. Ingat! Rumah anak-anak adalah rumah ibu-bapa. Jangan hadirkan ibu dan bapa hanya sekadar tetamu sahaja. Rawat sepenuhnya. Belai dan usap fizikal dan emosinya. Sediakan makanan yang terbaik. Pastinya makanan yang menjadi kesukaannya. Amankan suasana. Indahkan pergaulan. Hati ibu dan bapa sangat sensitif dengan apa-apa perubahan dalam rumah. Dalam situasi tuanya. Sebelum jadi tua belajarlah berfikiran tua. Berlakon menjadi anak. Melakonkan watak-watak tua yang akan menjadi  realiti apabila sampai masanya. Kepekaan itu besar nilainya.

Wahai anak, ibumu bukan untuk diambil remeh. Di tapak kakinya ada syurgamu. Pada dirinya pintu-pintu ke syurga. Bahagiakanlah mereka sementara masih ada peluang. Selagi mereka hidup. Selagi tawanya masih menampakkan gigi. Selagi senyumnya masih melebar. Selagi senangnya membahagiakan. Dalam situasai itu mungkin peluangmu adalah yang terakhir.