Wednesday, October 31, 2018

Bina Tembok Roboh Tembok



Sebagai manusia kita banyak membina tembok. Kebanyakan tembok itu subjektif. Bukan fizikal. Lebih banyak tembok mental. Mungkin orang Melayu tidak banyak tembok. Sekadar muka tembok. Tetapi apabila diteliti orang kita banyak temboknya di sekeliling mereka. Semakin tinggi ego seseorang maka semakin banyak tembok yang dibina di sekeliling mereka. Mungkin kerananya semakin seseorang itu berjaya semakin sukar dihubungi. Semakin sukar didekati. Semakin sukar membina jambatan perhubungan perasaan dengan mereka. Tembok-tembok inilah yang kadang-kadang menjadikan seseorang itu terpisah dalam dunia mereka sendiri. Terpisah dari arus perdana dalam banyak hal. Jalan fikir jadi berbeza. Pandangan hidup berbeza. Mungkin akhirnya membina dunia tersendiri. Jauh dari kebiasaan orang lain.

Tiada kewajaran untuk kita membina tembok pendinding kerana ingin mengasingkan diri. Atau kita merasa kita berbeza dengan orang lain. Kita anggap diri kita adalah istimewa. Dalam kehidupan kita membina tembok di sekeliling kita dengan mudah. Untuk merobohkannya akan memerlukan kekuatan luar biasa banyak dan darjahnya. Sebagai manusia yang wajar bersosial kita perlu merobohkan banyak tembok di sekeliling kita. Proses meroboh tembom lebih rumit dari membinanya. Pembinaan tembok dari kosong. Dari asas yang paling bawah hingga ke setinggi yang dikehendaki. Seluas yang kita rancangkan. Mengikut keselesaan kita. Pada dasarnya begitulah. Tembok-tembok ini tidak banyak manfaatnya. Kerana tembok sebegitu maka banyak kesan negatifnya.

Tembok malu adalah antara tembok yang sukar difahami. Orang kita umpamanya tembok malunya sangat tinggi. Terlalu besar. Terlalu tebal.

1                     Malu bertanya. Sudah sesat jalan sekalipun masih malu untuk bertanya.
2                     Malu dilihat di tempat-tempat yang baik. Masjid umpamanya. Atau surau. Atau di majlis-majlis agama.
3                     Malu duduk di hadapan. Datang awal tetapi duduk di belakang. Jika di masjid duduk bersandar di dinding belakang. Di kelas begitu juga. Bila ada orang ramai maka tempatnya hanya di belakang.
4                     Malu itu pula disertai rasa gabrah. Gemuruh tidak menentu. Selalu hilang akal bila dalam public. Anak Melayu paling kurang bertanya. Apa lagi untuk menyanggah sesuatu yang dilihat, didengar dan dibaca.

Tembok malas mungkin masih banyak di kalangan kita. Paling dahsyat ialah malas belajar. Akademik rendah. Kerja peringkat rendah. Maka pendapatan tidak lumayan. Kitaran ini berulang dan berulang. Orang kita masih jauh tertinggal di belakang. Dalam ekonomi jauh  sangat. Kebanyakan sumber untuk kaya ada di sekeliling. Tidak menjadi sumber jika disewakan. Jika dipajak. Jika dijual. Atau digadaikan. Orang kita sukar untuk mencuba atau mencari pengalaman dalam kerjaya yang kelihatan sukar. Hanya kerana tidak memahami prosesnya maka kesemuanya dianggap sukar. Kerana itu hal-hal yang dianggap sukar ini menjadi kerjaya orang lain. Kita pula tidak senang apabila ianya milik orang lain. Kita sendiri tidak mempu untuk memilikinya. Jadi bagaimana? Bagaimana dengan teknologi, Pendidikan, hartanah dan industri yang lain. Kit ajarang memikirkannya.

Masyarakat kita berada dalam kelas yang berbagai. Kerana itu tembok status kerap dibina oleh mereka yang berada di kelas atasan. Kelas di atas tidak berapa berminat membangunkan mereka yang berada di kelas bawahan. Orang kita tidak kaya-kaya. Tidak dapat menyaingi ras atau etnik lain yang lebih bersungguh-sungguh. Benar ramai orang kita sukakan politik. Jadi ahli politik. Tetapi menjadi bidk-bidak mainan mereka yang cerdik dalam politik. Yang lebih pentingkan perut dan tembolok mereka sendiri. Bangsa Melayu terus layu dalam percaturan politik yang dilihat kurang membina. Orang kita pula sukakan hal-hal yang percuma. Diperolehi tanpa balasan produktiviti. Akhirnya modal pusingan orang Melayu hanya tinggal air liur. Gah berpolitik. Tidak prolifik.

Peribahasa Melayu hangat-hangat tahi ayam tetap relevan. Dasar banyak dibuat. Perancangan Ekonomi Malaysia sudah yang ke-11. Dasar dari atas tidak mendasar di bawah. Mereka yang di bawah kekal di pelabuhan. Sepuluh jong masuk, anjing bercawat ekor juga. Ledakan maklumat tidak dimanfaatkan oleh orang kita. Ledakan teknologi bak angin lalu sahaja. Tembok ego terlalu besar dan tinggi. Facebook dan media sosial yang lain hanya untuk hal-hal picisan. Hal-hal tidak signifikan untuk membina agama. Untuk membina bangsa. Untuk membina legasi orang Melayu. Sudah terlalu lama legasi kita dibina dengan hutang. Dengan ketidakupayaan. Dengan bawang dan gossip. Dengan cantas mencantas. 61 years down the drain. That is as I se it. Other people may see otherwise.

Kita perlu merobohkan tembok dan segala tembok yang telah kita bina. Tembok itu menghalang kita dari melihat apa yang ada di luar. Tembok memenjarakan pandangan dan minda kita. Kita jadi jumud. Jadi tepu. Tanpa melihat keluar kita hilang arah. Kita hilang dalam khayalan yang dibina pada persepsi kita sendiri. Pada hakikatnya kita dalam kepompong kecil yang menjadi sangat tidak signifikan di mata orang lain. Bak buih seperti sabda Rasulullah saw. Luput apabila ditiup angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa.

Masihkah kita dalam khayalan menjadi tuan?

No comments:

Post a Comment