Monday, February 16, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Hidup Dan Menghidupkan



Sewaktu seseorang itu hadir, ramai orang yang tidak perasan kehadirannya. Orang melihat tetapi tidak nampak segalanya. Orang mendengar tetapi hanya sekadar alunan suaranya. Apabila seseorang itu tiada barulah kita menyedari ketiadaannya. Kelibatnya tidak lagi dilihat. Suaranya tidak lagi didengar. Tiada lagi hadirnya yang memenuhi ruang untuknya. Serinya sahaja yang tinggal tanpa wajahnya. Barulah kita ingin mendengar apa yang dikatakannya dahulu. Baru kita mahu melihat rupa fizikalnya yang sebenar. Baru kita mahu membaca nasihat dan ilmunya. Baru kita ingin tahu berbagai cerita dari ahli keluarga, sahabat handai dan lawannya. Namun begitu orang lain telah lama mengenali hati budinya. Telah mengerti ilmu dan alimnya. Telah mendengar isi hatinya. Telah mengikuti jejak langkahnya. Auranya telah dilihat dan dinikmati. Natijahnya ialah apabila seseorang itu meninggalkan integriti dan amanahnya kepada kita barulah kita mengerti siapa dia yang sebenarnya. Dia meninggalkan terlalu banyak khazanah dunia dan khazanah akhirat. Dia tidak membawa apa-apa yang fizikal kecuali kain kapannya sahaja. Membawa pahala dan ganjaran yang diamalkannya dahulu. Membawa ganjaran amal jariah, ilmu yang berpanjangan manfaatnya dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Semua orang jadi rindu terhadapnya
Terkenang hebatnya dan kelembutan yang bersahaja
Kesederhanaan yang tidak menghilang bisa
Walaupun menyusur akar berduri dan berliku
Ia mencari redha Rabbnya.

Hidup ini bukan untuk kaya yang melupakan. Bukan untuk sihat yang menghayalkan. Bukan untuk mengejar pangkat yang menggerunkan. Hidup ini untuk beramal yang natijahnya di akhirat nanti. Kayalah untuk akhirat. Bekerjalah untuk akhirat. Buatlah apa sahaja untuk akhirat. Kita boleh jadi siapa sahaja asalkan semua yang kita lakukan kerana Allah. Kerana perintah Allah. Atau menjauhkan sesuatu kerana mematuhi larangan Allah. Benarlah hidup ini untuk senang. Bukan untuk susah. Tetapi tafsiran senang dan susah itu perlu pencerahan yang wajar. Senang mungkin mengenai hati. Bahagia dengan apa yang Allah kurniakan. Qanaah dengan apa yang ada. Senang dilihat dengan ketenangan. Senyum yang mudah menjelma. Berbahasa indah bila menyapa. Memberi ilmu dalam nasihat yang bermanfaat. Dirujuk sebagai panduan belaka.

Apabila bayangnya tiada, kita sedar bahawa sesuatu telah dicabut dari kalangan kita. Kehilangan yang dirasakan mengosongkan ruang kebersamaan dengannya. Kita melepaskannya dengan penuh rindu. Dengan penuh hiba. Dengan penuh sayang. Kita berdoa semoga kita dapat bersamanya di akhirat nanti. Bersama mereka yang lebih dahulu disayangi Allah. Ingin menjadi mereka yang mewangi namanya. Semerbak ditinggalkan berzaman-zaman. Walaupun jasadnya tiada, kita masih melihatnya di kelopak mata. Masih jelas raut muka bersih yang selalu melontarkan senyum dan kata-kata indah. Seseorang itu dilihat besar bukan kerana tubuh fizikalnya. Dilihat tinggi bukan kerana gagah agamnya. Dilihat cantik bukan rupawannya. Budi baiknya selalu dikenang. Mengertinya selalu diingat. Ilmunya selalu diambil untuk meningkatkan diri. Akhlaknya menjadi suri teladan.

Yang patah kan tumbuh. Yang hilang kan berganti. Itu hanya mainan kata-kata. Madah berbunga penyedap telinga. Perginya mereka yang alim membawa kealimannya. Mereka yang baik membawa bersama kebaikannya. Tidak seperti orang kaya yang meninggalkan kekayaannya. Hartawan yang meninggalkan hartanya. Yang mewah meninggalkan kemewahannya. Yang senang meninggalkan kesenangannya. Baik bukan fizikal. Alim bukan fizikal. Ianya sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi dapat dikesan implikasinya. Tempiasnya. Maka apabila ia tiada kita kehilangannya bersama kesemua yang dinisbahkan kepada rohaninya. Maka akan tumbuh patahnya tetapi manakan samanya. Berganti hilangnya tetapi manakan sama yang datang baru. Yang patah kekal diingat. Yang hilang kekal dirindu.

Kematian bukan penamat sejarah manusia. Alam barzah menanti yang tidak diketahui berapa lamanya. Akhirat sebagai destinasi terakhir memang tiada siapa yang mengetahui.  كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ  (Ali Imran 3:185). Yang maksudnya: Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Insan seperti kita pasti melaluinya tanpa kecuali. Azabnya terlalu pedih. Rasulallah sendiri merasakannya. Kerana itu kita digalakkan:

1                    Mengingat mati.
2                    Menziarahi jenazah.
3                    Mengiring jenazah hingga ke kubur.

Kesemuanya untuk menginsafi diri bahawa kita akan melaluinya. Hanya cepat atau lambatnya sahaja yang bebeza. Allah sahaja Yang Maha Mengetahui berapa panjang usia kita. Menginsafi bahawa kita akan juga bersemadi di liang lahad kita. Di mana? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Liang lahad kita adalah antara yang tidak kita ketahui selain dari rezeki, ajal dan jodoh. Melihat bahawa semua manusia akan disemadikan di dalam tanah menunjukkan itulah rumah kita sebelum qiamat. Dari tanah kita kembali ke tanah. Transit selepas dunia yang fana ini.Yang penuh dengan berbagai-bagai fitnah.  Jadilah yang alim supaya terhindar dari segala fitnah dunia. Melihat perkuburan menginsafi diri bahawa tidak ada yang lebih baik dari kembali kepada Allah dalam keadaan redha dan diredhai. Menjadi roh yang tenang. Kerana itu sibukkanlah diri di dunia untuk mencari keredhaan Allah. Bukan keredhaan manusia semata-mata. Dahulukan Allah dari segala-galanya.

Bagaimanakah tidak adanya keinsafan melihat kematian di sekeliling kita? Tidak memberikan iktibar dan ingatan? Bayangkan bahawa itu adalah diri kita. Diri kita yang sudah tiba pengakhirannya. Meninggalkan semua yang kita cintai di dunia. Semua yang fizikal sudah tidak lagi boleh dibawa. Tidak lagi boleh dimanfaatkan oleh diri kita yang empunyanya. Kita tinggalkan kepada mereka yang berhak dari kalangan waris-waris kita. Begitulah pendidikan untuk menjadikan anak-anak soleh dan solehah. Menyampaikan ilmu dan nasihat yang bermanfaat. Selalu beramal jariah. Kita tinggalkan kesemuanya tetapi Allah titipkan ganjarannya untuk kita nikmati selepas kita meninggalkan dunia ini.  Wudhu’lah sebelum anda diwudhu’kan. Berapa banyak papantanda yang berbunyi: Solatlah sebelum anda disolatkan. Usunglah jenazah orang lain sebelum anda diusung. Lihatlah liang lahad orang lain sebelum anda juga dimasukkan ke liang lahad yang serupa di tempat lain.


Alhamdulillah andainya kita mati meninggalkan nama. Meninggalkan kebaikan yang tidak terhingga. Meninggalkan mereka yang rindukan kita. Meninggalkan kenangan yang mengingatkan mereka. Meninggalkan ilmu yang dipanjang-panjangkan manfaatnya. Tuailah hasilnya di alam lain yang berpisah dari dunia. Kemewahan, kesenangan, keindahan dan kebahagiaan sebenar bukan di sini. Pergilah dan carilah segala-galanya yang abadi itu. Allahuakbar.

Thursday, February 12, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Yang Pergi Dan Yang Tinggal


 

ﺭﺍﺟﻌﻮﻥ ﻟﻠﹽﻪ ﻭﺇﻧﹽﺎ ﺇﻟﻴﹿﻪ ﺇﻧﹽﺎ
Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali



Berita pemergiannya menyapa pilu di hati. Tergenang airmata. Seorang lagi meninggalkan kita. Selepas seorang, seorang lagi perginya tidak kembali. Tahun 2015 menyambut kita dengan kedukaan selepas beberapa ulamak meninggalkan kita pada tahun 2014 sebelumnya. Kebetulan hari ini tarikh perginya ulamak tersohor Hassan al-Bana di bumi Mesir. Inilah rentetan kepiluan yang bakal memanjang. Setiap pemergian mereka tidak akan berganti. Pergi dan akan pergi. Ramai yang akan menyusul. Esok dan lusa entah siapa lagi. Tulat dan langkat semakin ramai mengiringi mereka. Begitulah intipati sebuah hadith Rasulallah bahawa akan sampai ketikanya ilmu diangkat Allah ke langit. Bagaimana. Sahabat bertanya. Apabila ulamak ramai yang meninggal dunia. Mereka membawa bersama mereka kegemilangan ilmu. Keindahan beragama. Amalan yang siang dan malamnya dekat dengan Allah. Kita ditinggalkan.

Ulamak adalah pewaris para anbia. Mereka melestarikan ilmu Allah kepada manusia. Beruntunglah mereka yang mengambil kebaikan. Mengambil iktibar. Menambah pengajaran. Memperbaiki diri. Tentulah rugi bagi mereka yang menolak kebaikan. Bertambah rugi bagi mereka yang mencela kebaikan. Seorang ulamak adalah seorang pejuang. Takutnya hanya kepada Allah. Manusia lain adalah makhluk sepertinya. Mereka yang bertaqwa sahaja yang memiliki kelebihan di sisi Allah. Perjuangannya tidak pernah surut. Dakwahnya memanjang zaman. Ia tidak kenal letih dan lesu. Walaupun banyak halangan dan kekangan namun tugas menyampai tidak pernah teralpa. Tidak terlupa. Tidak terleka. Tidak terabai. Masa yang sangat singkat diperguna dengan seluas-luasnya. Hidup dan matinya kerana Allah. Mengimarahkan dunia ini dengan harapan ramai lagi yang cintanya hanya kepada Allah. Hidup di dunia hanya jambatan untuk sampai ke akhirat. Di sana tempat rehat yang panjangnya tiada kesudahan.

Apabila berada jauh, banyak yang dilihat dengan mata hati. Banyak yang dirindu. Penulis merancang ingin menziarahi sosok ulamak yang begitu hangat ilmunya. Namanya banyak diperkatakan kawan dan lawan. Cadangnya sebelum Ramadhan akan datang penulis ingin ke Pulau Melaka. Ingin menatap wajah pejuang agama yang sangat sederhana. Yang tidak meminta tetapi banyak memberi. Ilmunya di tabur ke segenap pelosok yang mencarinya. Sakitnya hanya berita yang dibaca. Didoakan dari jauh akan sembuhnya. Allah lebih sayangkannya. Alfatihah untuknya. Bahawa hanya di sini sampai usianya. Ulamak yang tidak ada ragamnya. Berbuat yang terbaik untuk orang-orang di bawah tanggungannya. Habuan dunia tidak diambilkira. Yang dirindui ialah Rabbnya yang satu. Kembali kepada Yang Khaliq.

Tenanglah wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Tempatmu di sisi Allah Yang Maha Mengetahui. Doa dari kami semoga kau berada di sisiNya. Terputuslah dunia. Semadilah di alam barzah dengan bahagia. Sesungguhnya hidupmu terlalu banyak tidak disukai. Ada sahaja yang mencela kerana ketidakarifan menilai intan. Kau bukan kaca. Kau bukan batu bercahaya. Kaulah intan yang telah menyinari sekelilingmu. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Malangnya tidak ramai jauhari yang mengenal manikam yang ada dalam dirimu. Kelembutanmu menusuk. Keramahanmu dirindui. Ilmumu ditatap baca. Tutur katamu bermain di telinga. Kepada yang mengerti hanya kebaikan yang telah kau berikan. Yang mahu menerima yang baik dan hak. Yang tunduk syahdu kerana kau bukan sebarang insan. Auramu menyinari siapa yang pernah kau sapa. Dirindui jauh dan dekat.

Kini keberadaanmu tiada lagi. Ruang kosong yang tidak mungkin berganti. Ketentuan Allah. Kita berpisah jua. Namun begitu pesanmu selalu akan diingat. Ceritamu akan disambung untuk jangka waktu yang panjang. Pergimu meninggalkan nama. Meninggalkan jasa. Meninggalkan jalur-jalur sejarah bangsa dan agama. Malam ini rohmu disambut para malaikat. Sesaknya Pulau Maleka menjadi saksi ramainya yang mengasihimu. Bukan pangkatmu. Bukan kayamu. Kasih datang kerana kehebatanmu kepada manusia. Mudah-mudahan kepada malaikat. Mudah-mudahan juga kepada Allah melebihi segala-galanya. Malam ini ramai yang berkampung di daerah terakhirmu. Akan ramai yang akan berkunjung ke makammu. Sesudah ketiadaanmu masih ramai yang ingin bersamamu. Dalam jaga dan dalam mimpi mereka mengingatimu. Esok akan berpisahlah kita semua darimu. Doa kami sepanjang masa.

Ya Allah, Kau redhailah hambamu ini. Berikanlah ia sebaik-baik balasan. Hidupnya tidak meminta. Biarlah matinya Kau beri yang teristimewa. Masih teringat pesannya: Buatlah apa sahaja di dunia ini sekira-kira boleh dijawab di hadapan Allah. Yang maksudnya berbuatlah kebaikan supaya kebaikan itu diberi ganjaran oleh Allah. Diterima oleh Allah. Menelusuri masa sangat banyak pesannya. Banyak nasihatnya. Banyak tunjuk dan ajarnya. Sesungguhnya kita kehilangan gemilang seorang insan istimewa. Insan yang banyak memberi kita cahaya. Menunjuk jalan lurus untuk mencari redha Allah. Betapa ratap tangis hanya mengiring. Betapa remuk redam hanya rasa hiba. Betapa kerinduan akan menghimpit qalbu.

Malam Jumaat yang istimewa ini rohmu di jemput Allah. Esok Pulau Melaka akan banjir dengan duka nestapa. Meratapi pemergianmu untuk selama-lamanya. Rakyat Kelantan belum tamat dukanya. Mereka masih sendu lewat bah besar yang menenggelamkan segala. Yang menghakis kebahagiaan mereka. Malam ini mereka meratap lagi. Allah berikan perkhabaran duka kepada mereka. Sabarlah wahai saudara. Kami yang jauh juga dukanya tidak terduga. Kami yang jauh turut meratapi pemergiannya. Himpunkanlah doa sebanyak-banyaknya untuk mengiringi pemergiannya. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk meneruskan perjuangannya. Dakwahnya.  Kegemilanganya.

Hidupnya yang sederhana
Banyak memberi bukan meminta
Jangkauan namanya mengharum
Menyinar terang menembusi tembok usia

Menegakkan yang hak bukan semudah kata
Ramai yang melihat benci bersama cerca
Lupa bahawa yang intan tetap sinarnya
Bergemerlapan menembusi dada-dada yang mengasihi

Indahnya hidup bersederhana
Memberi dan memberi
Mintanya hanya sedikit sekelumit
Yang lainnya milik yang hak

Malam ini ia tiada lagi
Jumaat yang barakoh
Disambut tangis, sendu dan rembesan airmata
Yang sayang bagai tersentap nyawa
Yang benci terkedu kata

Kampungmu bukan lagi di sini
Ada kampung bahagia menantimu
Bersemadi menanti akhirnya waktu
Bahagialah di sana bersama Rabbmu.

Wednesday, February 11, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Antara Guru dan Ibu Ayah, di Mana Anak Kita?



Anak-anak yang bersekolah diletakkan di bawah amanah guru-guru. Ibu ayah yang menghantar anak-anak ke sekolah menyerahkan anak-anak mereka untuk dijadikan manusia. Namun begitu waktunya terhad. Dari pukul 7.00 pagi hingga mungkin pukul 1.00 petang. Jangka waktu selama kira-kira enam jam. Ada 18 jam lagi masa anak-anak bersama ibu ayah masing-masing. Dari nisbah masa ini kita lihat siapa yang lebih besar tanggungjawabnya untuk memanusiakan anak-anak. Guru atau ibu ayah. Tunggu dahulu. Jangan beri jawapannya sekarang. Pada akhir entry ini anda buatlah kesimpulannya. Moga-moga anda dapat melihat dengan mata hati tentang tanggungjawab memanusiakan seorang anak. Anak kita. Anak masyarakat. Anak bangsa. Bakal warganegara. Bakal umat yang soleh dan solehah. Pembawa obor iman hingg akhir zaman.

Sekolah adalah sebuah menifestasi masyarakat. Sebuah keunggulan yang ingin diciptakan. Anak-anak diberi acuan masyarakat yang digerakkan oleh politik dan ideologi. Dalam kes negara kita sekolah menempelkan sedikit ruang agama kepada anak-anak. Mereka belum tentu arif tentang sains dan teknologi, tentang sejarah dan peradaban, tentang sosial dan akhlak mulia. Pendidikan agama bukan keutamaan kecuali di sekolah yang berlatarbelakangkan agama. Kerana itu pendidikan agama sebenarnya adalah tanggungjawab ibu-ayah dan masyarakat setempat.

1                    Cari bakal isteri yang berpendidikan agama. Sebelum itu seorang lelaki wajib tinggi ilmu agamanya sebagai bekal untuk memilai dan memilih bakal isteri. Untuk mendidik anak-anak dan keluarga ke jalan agama. Untuk hidup beragama dan melaksanakan amalan yang soleh. 
2                    Mendidik janin dengan agama sejak ianya di dalam rahim ibunya lagi. Didengarkan dengan ayat-ayat al-Quran. Diberi nasihat. Diberi pesanan-pesanan supaya patuh kepada perintah Allah dan RasulNya. Supaya menjauhi laranganNya.
3                    Lahirnya seorang anak disambut dengan amalan agama. Dengan azan dan iqamah. Dengan doa. Dengan tahnik. Dengan amalan Islam yang sebenar.
4                    Mulakan kalimah yang islamik kepada anak-anak kecil sebaik mereka boleh bercakap. Bismillah, Allah, subhanallah, alhamdulillah, barakallah dan selawat ke atas Rasulallah.
5                    Ajar berdoa sejak kecil. Doa makan. Doa hendak mengaji atau membaca. Doa hendak ke bilik air. Doa hendak tidur. Doa bangun dari tidur.
6                    Ajar mengajar mengaji sejak usianya mungkin dua tahun. Khatamkan waktu usianya hampir empat tahun. Apabila sampai empat tahun latih untuk menghafal al-Quran dari surah yang mudah, pendek dan berulang-ulang khususnya al-Fatihah.
7                    Jangan sekali-kali diajar menyanyi dan menari. Jangan sekali-kali. Jangan dan jangan. Jangan diulang kesilapan-kesilapan yang lalu. Tinggalkan sebagai pengalaman yang tidak boleh diulang lagi.

Apabila usianya mencapai tujuh tahun pastikan anak-anak sudah pandai melakukan solat dengan betul. Malasnya jangan dimanjakan. Bukan dipaksa dengan kasar. Pujuklah dengan berhemah. Dengan kasih sayang. Dengan harapan. Dengan doa. Baca selalu ayat 40 surah Ibrahim. Mudah-mudah keturunan kita menjadi mereka yang solatnya menjadi amalan. Datang dari hati dan naluri. Menjadi hidayah indah dari Allah. Selagi boleh ajar anak-anak supaya mengikut ibu ayah bersolat ketika usianya mungkin seawal dua tahun. Apabila usianya 10 tahun pastikan bahawa solatnya bukan dibuat-buat. Sudah boleh menjadi imam kepada keluarganya. Betapa damainya hati ibu dan ayah jika itu berlaku. Betapa sejuknya perut ibu yang mengandungkannya.

Walaupun anak-anak bersekolah agama, jangan lupa bahawa sekolah dan ustaz tertakluk kepada kurikulum yang terhad dan telah ditentukan oleh pihak yang berwajib. Maka ibu dan ayahlah yang memberi tambahnilai terhadap kefahaman agama terhadap anak-anak mereka. Sediakan kitab-kitab agama sebanyak yang mungkin. Novel kepahlawanan Islam menjadi suatu kemestian. Sirah Rasulallah. Kisah para sahabat. Perang menakluki kerajaan Rom dan Farsi. Sejarah Islam itu penting untuk membangkitkan semangat juang. Semangat mengerti bahawa Islam itu diperjuangkan. Bukan didatangkan dengan mudah dan indah tanpa diperjuangkan. Lalu manhaj Islam kepada anak-anak dipertingkatkan kepada hal-hal yang berat mengenai iman, rukun-rukunnya dan amal soleh. Solat dan rukun Islam yang lima. Begitulah mengenai fardhu ain dan fardhu kifayah. Hak diri dan hak masyarakat. Sebagai individu muslim dia juga bertanggungjawab terhadap ahli masyarakat di sekelilingnya.

18 jam anak-anak bersama ibu dan ayah di rumah. Atau bersama mereka dalam masa tersebut. Isilah dengan pendidikan yang bermanfaat. Selitkan selalu bahawa ilmu apapun yang mereka pelajari kesemuanya milik Allah. Kerana itu ilmu tersebut perlu disampaikan kebaikannya kepada orang lain. Diamalkan untuk memberi manfaat diri dan orang lain. Dilakukan dengan penuh insaf bahawa ianya kerana Allah. Mencari kebaajikan akhirat. Mudah-mudahan mendapat keuntungan dunia mengikut izin dan ketentuan Allah. Memahirkan anak-anak dengan dakwah adalah penting terutamanya apabila kita menghampiri akhir zaman seperti sekarang ini. Kita ingin mengajak seberapa ramai orang untuk kembali kepada ajaran Allah dan menjauhi laranganNya.

Tanggungjawab ibu dan ayah terlalu besar untuk membina umat yang berwibawa dalam agamanya. Penulis mendapat mesej pesanan dari seorang sahabat. Ikuti senarai pesanan di bawah:

1                    Ramai yang mengaku menjadi ayah apabila anaknya dilahirkan. Sebenarnya dia belum lagi menjadi ayah. Dia baru memiliki anak.
2                    Ayah adalah istilah istimewa untuk lelaki yang bersedia mengasuh anaknya. Menjadikan anak-anaknya soleh dan solehah. Menjadi umat Islam yang berwibawa. Mendokong Islam berbanding segala-galanya yang lain.
3                    Ayah yang mengasuh anak mengurangkan bebanan ke atas isterinya. Isteri akan terasa ringan bebannya.
4                    Seorang ayah bukan mesin ATM yang hanya didekati kerana memberi wang. Tanpa perasaan dan tanpa kasih sayang. Juga tanpa tanggungjawab. Ayah sepatutnya reach out kepada anak-anaknya. Bukan dicari ketika ketiadaan wang. Sekadar menjadi tembok batu tanpa nyawa.
5                    Kesibukan melalaikan ayah hingga dia tidak mengetahui bila anak-anaknya baligh dan menjadi remaja.
6                    Asbab dan musabab fitrahnya datang dari ayah. Didikannya yang tidak wajar mengajar anak-anak menjadi derhaka. Sayyidina Umar menyebut bahawa anak derhaka datangnya dari ayah yang juga derhaka. Semoga kita semua beringat mengenai pesanan sahabat  dan khalifah ini. Ibn Qoyyim dalam kitabnya Tuhfatul Maudud menyatakan bahawa kerosakan kepada anak disebabkan oleh ayahnya.
7                    Banyaklah berdoa untuk kebaikan anak-anak semoga tua seorang ayah banyak didoakan oleh anak-anaknya. Pendidikan agama menjadi kunci kepada keindahan berdoa ini.
8                    Muliakan anak-anak dengan ilmu agama supaya anak-anak memuliakan ayah dan ibunya dengan agama.
9                    Ramai ayah hilang fungsi kerana ibu yang banyak memainkan peranan mendidik anak. Di luar sana ramai pula guru yang juga ibu.
10               Sifat-sifat maskulin datangnya dari seorang ayah. Ketiadaan ayah apabila diperlukan menjadikan anak merujuk kepada ibu. Sifat lembut yang diwarisi dari ibu tanpa keberanian, kejagoan, ketangkasan, kepahlawanan dan lain-lain sifat lelaki.
11               Peranan ayah mendidik tentang sifat-sifat maskulin seorang anak lelaki.
12               Ramai anak merasa yatim ketiadaan ayah walaupun ayahnya masih hidup. Ayah menyerahkan pendidikan anak kepada ibu sahaja. Isterinya. Bukan dirinya.
13               Mainkan peranan ayah seperti yang dinukilkan Allah di dalam al-Quran. Ambil semangat Rasulallah, Nabi Ibrahim, Nabi Yaakub, Lukman al-Hakim dan Imron.  
14               Nasab anak adalah kepada ayahnya. Kerana itu ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.
15               Ambil iktibar dari diri Rasulallah. Baginda anak yatim tetapi dibesarkan oleh datuk dan pamannya. Kerana itu sifat ayah menebal dalam diri baginda.
16               Generasi sahabat dalah generasi gemilang kerana mereka menjadi ayah yang mendidik anak-anak berhadapan dengan segala maslahah umat ketika itu.
17               Terdapat 17 dialog pendidikan di dalam al-Quran. 14 daripadanya antara anak dan ayahnya. Tanggungjawab ini memberi nisbah 14 ayah: 3 ibu. Tanggungjawab ibu tidak sampai 20%.
18               Ibu madrasah utama anak-anak. Ayah menjadi mudirnya. Kedua-duanya memainkan peranan besar dalam mendidik anak.
19               Ayah dan ibu bak sayap seorang anak. Ia perlukan kedua-dua sayap untuk terbang tinggi. Untuk berbakti kepada yang memerlukan terutama kedua ayah dan ibunya.
20               Ibu mendidik dan mengasuh rasa kepekaan. Ayah memberi makna tentang logik.
21                Ayah mendidik anak menjadi pemimpin yang tegas. Ibu mendidik anak menjadi pemimpin yang peduli.


Sekarang kembali kepada persoalan di atas. Siapa yang sebenarnya bertanggungjawab mendidik anak-anak. Guru atau ibu ayah? Apabila sudah ada kesedaran yang sewajarnya, mainkanlah peranan mengikut kewajarannya. Anak-anak adalah cerminan ibu dan ayahnya. Apa-apa yang berkaitan dengan anak-anak akan dinisbahkan kepada ayahnya dahulu sebelum ditanya siapa ibunya. 

Tuesday, February 10, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Melihat Dari Luar



Apabila kita berada di dalam kepompong kita sendiri, kita merasakan bahawa kesemua yang berada dalam persekitaran kita adalah yang terbaik. Kita rasa damai. Kita rasa tenteram. Kita rasa selamat. Kita rasa aman. Kita rasa bahagia. Kita rasa segala-galanya adalah kita. Lalu kita berimaginasi bahawa kitalah manusia yang paling istimewa. Segala-galanya tersedia. Apatah lagi apabila kita hanya memandang ke atas. Kita lupa memandang ke hadapan, ke belakang, ke sisi dan ke bawah. Kita mungkin lupa di bawah ada yang kita pijak. Belum tentu ianya kukuh dan bertahan lama. Mungkin sesuatu yang sangat rapuh. Kita lupa memandang ke belakang. Bahawa banyak kesilapan dan kecelaruan yang kita tinggalkan. Kita lupa memandang ke sisi yang situasinya mungkin lebih baik dari situasi kita sendiri. Begitu juga hadapan kita yang tidak diamati, mungkin jalannya penuh berliku. Banyak halangan. Banyak cabaran. Di atas sana yang kita dongak juga mungkin mendung dan hujan. Mungkin petir dan guruh. Apabila kita lupa diri banyak musibah yang bakal menimpa. Dari yang zahir hinggalah yang tersirat.

Begitulah Allah menggalakkan kita melihat sekeliling. Melihat tanda-tanda kebesaranNya. Dengannya kita menginsafi betapa kecilnya kita. Betapa kerdilnya kita. Betapa tidak signifikannya kita sebagai manusia yang menjadi sebahagian dari tersangat banyaknya makhluk yang Allah ciptakan. Kita selalu teralpa sehingga beranggapan bahawa kita masih akan hidup lama. Masih punya masa yang panjang untuk berbuat banyak perkara. Sedangkan hidup ini ketentuan Allah. Usia kita Allah yang tentukan. Sakit kita tidak diketahui jenis dan masanya. Mati dan ajal kita tiada siapa yang tahu melainkan Allah. Mati bukan kerana tua. Mati bukan kerana sakit. Mati bukan ketentuan manusia. Allah yang menentukan segala-galanya. Andainya kita lupa semua ini kita menjadi manusia yang lupa. Menganggap banyak yang boleh kita lakukan lagi. Ingatlah bahawa di sana nanti kita akan ditanya Allah akan apa yang telah kita lakukan. Apakah kebaikan melebihi kejahatan. Apakah pahala melebihi dosa. Apakah kita dalam redha Allah selamanya. Apakah kita menyanyangi sesama insan dan makhluk lain. Atau apakah kita menganiaya sesama makhluk.

Sesungguhnya kesemua yang kita lakukan tercatat tanpa kecuali. Kesemuanya tercatat mengikut sekuennya. Terakam untuk kita lihat semula paparannya nanti. Cacatan para malaikat lebih komprehensif. Lebih terperinci. Lebih lengkap selengkapnya. Tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Malah yang dosa dikatakan banyak yang dikurangkan. Yang pahala Allah tokok tambah demi kasih sayangNya kepada kita. Kita malu sebenarnya apabila catatan amal kita dipaparkan kepada kita. Terlalu lengkap. Tiada yang menganiaya kita kecuali perbuatan kita sendiri. Kecuaian kita sendiri. Kita sendiri yang menzalimi diri kita. Kerana itu kita dikehendaki muasabah diri. Menginsafi kesalahan dan kesilapan diri. Bertaubat sebanyak mungkin. Terlalu banyak kesilapan kita sehingga kita tidak dapat mengiranya. Istigfar, amal kebaikan, mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya supaya kita terhalang dari menambah dosa. Dapat pula menambah kebajikan diri. Mencari redha Allah.

Apabila kita keluar dari kepompong kita, kita melihat dari luar. Betapa kepompong kita adalah terlalu sempit. Bukan yang terbaik. Bukan tempat yang paling membahagiakan. Jika kita insafi keadaan itu akan banyak kebaikannya. Kita akan berusaha untuk memperbaiki keadaan. Menambahbaik apa yang ada. Mencari yang lebih baik. Membuat perubahan yang bersesuaian. Beruntunglah mereka yang berkeupayaan keluar dari kepompongnya. Melihat dunia dengan perspektif yang berbeza. Membawa pulang sesuatu yang menambah manfaat diri dan orang lain di sekelilingnya. Dari luar kita melihat:

1                    Kebaikan yang ada di negara kita. Pada diri kita. Pada persekitaran kita.
2                    Keburukan yang ada di negara kita. Hal-hal negatif yang menyalahi agama, politik, undang, akhlak, sosial dan berbagai lagi.
3                    Kekuatan kita. Kekayaan kita. Kelebihan kita.
4                    Kelemahan yang ada. Yang diwarisi dan yang sengaja dicipta.
5                    Bahaya dan ancaman terhadap politik, ekonomi, sistem hidup, eko-sistem, sosial dan kehidupan, agama dan berbagai lagi.
6                    Kelemahan orang kita melihat sesuatu. Hanya dari beberapa sudut yang sempit. Kita jarang melihat sesuatu secara lateral. Ke dalam dan melebar.
7                    Kelemahan kita melihat hanya dalam jangka pendek. Melupakan yang jangka panjang. Yang strategik. Yang kritikal.

Sebagai pemerhati, kadang-kadang kita lemas sendiri. Bagaimana hendak memulihkan keadaan. Keadaan semakin kacau. Banjir dan panas sudah tidak diambil iktibar. Kesusahan dan kemelaratan sudah tidak memberi pengajaran. Kebejatan dan kejahatan sudah tidak dapat dikawal. Kematian sudah tiada harga. Harta benda menjadi rebutan setiapa masa. Yang menang hanya sementara. Hidupnya tidak lama juga. Yang kalah tidak juga melarat hingga papa kedana. Matinya sama sahaja. Hanya kain kapan berwarna putih. Beberapa lapis membaluti tubuh keras kaku kerana ruhnya sudah tiada. Kain itu pula hanya bertahan untuk beberapa hari. Atau beberapa minggu. Kita selalu lupa ada antara mereka yang kain kapannya tidak pernah rosak selama-lamanya. Terus berkualiti mendakap jasad yang terus-terusan tersenyum. Kerana banyak amalnya. Kerana hidupnya dalam redha Allah. Jauh dari umpat keji. Jauh dari fitnah. Jauh dari menganiaya orang lain.


Atas akan turun ke bawah juga. Diturunkan apabila sampai masanya. Tidak ada yang berkekalan hanya di atas sahaja. Fitrah manusia berada di atas dan kemudian turun ke bawah juga. Ke dalam tanah kerana di situ asal kita. Yang tinggi menjadi datar. Menjadi rendah tanpa ukuran lagi. Sampai masanya kita semua mengadap Yang Maha Mencipta. Ketika itu sudah tiada tinggi. Sudah hilang besar. Kaya tidak berguna jika tidak dimanfaatkan kerana Allah. Jika tidak berbakti kerana Allah. Jika tiada infaqnya kerana Allah. Lihatlah ke dalam diri kita. Lihat sedalam-dalamnya. Banyak cacat-cela yang akan terlihat. Kemudian kita kembali ke dalam untuk memperbaiki keadaan sebelum terlambat. Selagi masih ada masa terluang. Selagi nyawa masih ada di badan. Sesungguhnya kepada setiap orang masa sudah terlalu suntuk. Sudah terlalu dekat pengakhirannya. Langkah-langkah kita hanya menuju ke arah yang sama. Meninggalkan dunia ini yang penuh dengan fitnahnya. Allahuakbar! Semoga kita semua dalam peliharaan Allah. Insyaallah. Aamin.

Monday, February 9, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Berfikir Aras Tinggi



Insan dan haiwan berbeza kerana akalnya. Allah yang menentukan perbezaan itu. lalu di dalam al-Quran Allah selalu berfirman dengan pertanyaan: Tidakkah kamu befikir. Cel pada otak kita berbillion banyaknya. Kita boleh berfikir aras tinggi jika kita menghendakinya. Jika kita bina sistem berfikir yang berkesan. Pernah lihat imej-imej moyet yang melakukan aksi-aksi aras tinggi. Di Jepun ada monyet yang membasuh dahulu ubi keledek yang hendak dimakan. Mungkin meniru manusia di sana yang melakukannya begitu. Ada gambar orang utan yang boleh menari. Begitu juga haiwan sarkas yang boleh melakukan berbagai aksi yang di luar jangkaan manusia berfikir. Kita di beri maklum yang haiwan hanya memiliki nafsu dan bukan kecerdasan minda. Namun haiwan-haiwan itu boleh melakukan aksi yang manusia biasa tidak dapat melakukannya. Itu belum berbagai jenis burung yang boleh bercakap, boleh melaungkan azan dan boleh menghafal ayat-ayat al-Quran.

Bukankah mereka yang tidak berfikir dikira sudah mati? Kadang-kadang kita mencari makna berfikir. Apakah takrifnya? Organ tubuh badan bahagian manakah yang berfungsi ketika berfikir? Apakah topik spesifik yang difikirkan? Untuk apa kita perlu berfikir? Pentingkah berfikir? Termenung itu berfikirkah? Banyak lagi soalan-soalan berkaitan. Sekarang cuba lihat ke dalam diri kita sendiri. Carilah jawapan-jawaan yang sesuai dengan soalan-soalan di atas. Malas? Itu pilihan pertama. Anda tiada agenda wajar untuk masa terdekat atau akan datang. Mungkin segala-galanya sudah ditanggung beres oleh keluarga. Atau oleh kemewahan yang sudah tersedia. Fikir sedikit-sedikit cukuplah. Benar. Itu juga pilihan bagi kebanyakan orang. Cukup-cukuplah menyeksa diri. Kenapa hendak teruk-terukkan kepala untuk berfikir. Jika dapat, dapatlah. Jika ada, adalah. Jangan terlalu diperah minda sendiri.

Ada kelainan kepada orang-orang yang istimewa. Mereka berencana setiap masa. Yang dilihat atau didengar atau dihidu atau dirasa atau disentuh menjana proses berfikir. Activate the sense to think ahead. Mungkin ramai antara kita yang tidak maklum bahawa setiap masa kita dikelilingi dengan masalah. Ada yang besar dan ada yang kecil. Ada pula yang rumit. Ada pula masalah harian yang memang berulang-ulang. Untuk makan di kedai sahaja kita mengambil masa yang panjang sedangkan lauk-pauk kesemuanya sudah tersedia. Kita tercegat memerhati lauk-pauk yang ada. Berkira-kira tentang kombinasi antaranya yang paling sesuai. Tidak memilih lauk seperti semalam. Tidak juga seperti makanan sarapan pagi tadi. Mungkin terjangkau pula apa yang akan dimakan pada malam ini. Sesudah dipilih difikirkan pula kuantiti kombinasi setiap satunya. Hendak makan dengan tangan atau dengan sudu dan garpu. Apabila duduk semeja dengan rakan sekerja, hendak go dutch atau hendak belanja makan. Sebulan sekali apa salahnya. Fikir dan berfikir.

Banyak sebenarnya yang perlu difikirkan. Bukan hanya diri kita sendiri. Kerjaya yang dibina. Kesihatan yang dijaga. Harta benda yang dijadikan jaminan masa hadapan. Bagaimana dengan keluarga dan anak-anak. Kesihatan mereka. Pendidikan mereka. Makan-minum dan pakaian mereka. Akhlak mereka. Masa hadapan mereka. Tambah lagi dengan kenderaan dan rumah tempat tinggal yang selesa. Kita berfikir untuk meletakkan status kita sesesuai dengan apa yang kita miliki. Sesuai dengan harapan kita pada masa hadapan. Mampukah kita berhenti dari berfikir? Dalam jaga kita berfikir. Malah kadang-kadang dalam tidur kita bermimpi yang kita sedang berfikir. Dalam mimpi mendapat berbagai ilham apa yang perlu dilakukan dengan situasi yang sedang kita hadapi. The power of thinking.

Bagaimana jika kita angkat diri kita ke aras yang lebih tinggi. Memikirkan tentang negara. Tentang bangsa. Tentang agama. Maka kita berlegar memikirkan tentang ekonomi yang merudum, perdagangan antarabangsa yang menyukarkan, politik antarabangsa yang dipelopori USA dan Yahudi, masalah hedonism, akhlak dan kebejatan kejahatan manusia akhir zaman. Di mana kita? Ia tidak ada kena mengena dengan fizikal kita secara langsung. Tetapi kesemuanya mencakup mengenai kesejahteraan kita sebagai umat sejagat. Makan dan minum kita banyak diimport. Kita memainkan politik dunia. Sama ada condong ke Barat atau condong ke Russia. Atau berada di tengah-tengahnya. Ekonomi kita berkait dengan dunia luar. Kita eksport dan pada masa yang sama kita import. Bagaimana kadar tukaran wang asing yang berkaitan dengan ringgit? Kukuhkah ringgit kita?

Soalan dan masalah besar sebegitu hanya berlegar di kalangan mereka yang pernah sampai di IPT. Yang banyak mendengar dan membaca. Yang bersedia mengambil tahu. Yang memikirkan letak dirinya di kalangan umat manusia. Sama ada tempatan atau antarabangsa. Ianya bukan isu-isu yang boleh diabaikan. Bukan boleh dinyahkan dari minda kita untuk tidak memikirkannya. Kita tidak pernah hidup sendirian di planet bumi ini. Manusia dihubungkan Allah dengan manusia yang lain. Dengan alam dan makhluk lain. Maknanya kita perlu berfikir sepanjang masa. Dari perkara peribadi hingga kepada keluarga, kepada negara dan yang berbagai-bagai lagi. Tetapi ada masanya kita terlupa untuk memikirkan hal-hal yang terlalu simple. Yang terlalu dekat dengan kita. Yang hari-hari kita pandang. Kita memang maklum mengenainya.

Kadang-kadang ada sesuatu yang sangat mudah. Perlu kita selesaikan masalah walaupun saiznya tersangan kecil. Kita megetahui yang ianya masalah harian yang kita lihat sepanjang masa. Sebagai analogi kita lihat kasut kulit kita. Lihat dalam-dalam. Sudah berapa lama tidak digilap. Dua bulan? Enam bulan? Sejak dibeli tahun lalu? Allahuakbar. Bukan lama untuk menggilapnya. Mungkin kurang dari 10 minit. Cuba hari ini anda gilap kasut anda. Pagi esok lihat reaksi orang-orang di sekeliling anda.

1                   Akan ada yang senyum simpul. Tentu. Mereka belum pernah melihat kasut anda sekilat itu. boleh pula dibuat cermin. Sekelip mata anda menjadi perhatian. Pernah anda fikir tentang falsafahnya. Ada falsafahnya? Ya, ada. Apabila kasut yang letaknya di bawah anda masih sayang dan mengambil berat tentangnya, tentu anda lebih mengambil berat tentang hal-hal yang di atas dan lebih penting statusnya.  Kasih sayang umpamanya. Cinta. Kerjaya. Kecekapan dan keberkesanan bekerja. Kesetiaan dalam kerjaya atau cinta. Terhadap harta benda yang lain dan sebagainya. Hanya dengan menggilap kasut. Hanya kerana kasut anda berkilat dipandang orang.
2                   Akan ada yang terkejut. Anda sudah dilihat berubah. Paradigma anda sudah berganjak. Akan ada yang meletakkan harapan tinggi jika anda istiqamah berubah. Kerjaya mungkin meningkat. Kepercayaan peringkat tinggi diserahkan kepada anda.
3                   Akan ada yang puji. Tentu. Apabila kasut berkilat fizikal anda serta merta berubah. Personaliti berubah. Pandangan orang lain terhadap anda berubah. Layanan orang lain akan berubah.
4                   Akan ada yang kehairanan. Biasa. Akan ada yang tertanya-tanya. Kenapa dan mengapa. Ada apa-apakah tentang diri anda. Menimbulkan banyak pula persoalan.
5                   Akan ada yang perli. Biasalah orang Melayukan. Tidak menghargai perubahan orang lain. Tidak memberi semangat. Tiada sokongan moral. Melihat negatif dan pesimistik.
6                   Akan ada yang sinis. Begitulah mereka yang tidak sukakan anda. Tidak ada apa-apa. Hanya mereka mengalami clash of personality dengan anda.
7                   Akan ada yang minta petua. Anda dirujuk untuk hal-hal yan belum pernah anda fikirkan sebelum ini.


Banyak lagi perkara kecil yang perlu anda lihat kembali. Kadang-kadang yang kecil selalu terlepas pandang. Apabila anda berfikir, surut juga ke belakang untuk memikirkan hal-hal lain. Hal orang lain. Hal masa hadapan. Mungkin hal yang selalu anda lihat dan anggap memang begitu. Sudah tradisi. Sudah diterima sebagai adatnya. Tidak terfikir untuk mengubah kedudukannya. Mengubah fungsinya. Mengubah dasar mengenainya. Sebab itu kadang-kadang untuk menerajui perubahan anda perlu melihat segala-galanya secara holistik. Mengikut spektrumnya. Ada sekuen. Ada konsekuennya. Cubalah beramal untuk berfikir secara sistematik. Juga secara sismatik. Jangan lupa berfikir di luar kotak. Gunakan cel-cel yang tidur dalam otak kita. Insyaallah banyak manfaatnya.