Sunday, December 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Firasat Seorang P Ramlee


Sudah lebih 40 tahun dia meninggalkan kita. Airmata di Kuala Lumpur lagu nyanyian Saloma, isterinya, menggambarkan kesedihan ramai warga Malaysia ketika itu. Hingga sekarang filem-filemnya tetap digemari. Merentasi generasi. Merentasi etnik warga Malaysia. Lagu-lagunya tetap diminati melalui Kelasik Nasional. Lagu Dendang Perantau umpamanya tetap berkumandang setiap menjelang Hari Raya. Dialah pelakon, penyanyi, pengarah, penulis skrip, penggubah, penyusun, pelawak, dramatis dan pemain sepak takraw di Kampung Siglap di Singapura. Mengimbau kembali filem-filemnya, penulis terpanggil untuk membuat suatu sorotan zaman. Adakah P Ramlee seorang genius? Atau adakah dia memiliki firasat zaman?

Pertama: Tikar Terbang

Penulis tidak dapat membayangkan bahawa lakonan P Ramlee dalam filem DoReMe menjadi realiti. Siapapun tidak pernah terfikir bahawa tikar terbang itu realiti sehinggalah Tragedi MH370 terjadi. Rasanya hampir keseluruhan rakyat Malaysia dan mungkin nusantara memahami lakonan P Ramlee dengan tikar terbangnya. Zam zam ala kazam. Sampailah mereka ke negara Pasir Berdengung. Rajanya bersemanyam di bawah sebatang pokok. Setelah hampir 40 tahun perginya P Ramlee, tikar cuba diterbangkan. Kenapa tidak kita ambil iktibar. Bahawa kita perlu mengangkat martabat bangsa dengan ilmunya. Dengan teknologinya. Mengapa tidak difikirkan pengangkutan yang senipis tikar boleh terbang. Melangkaui masalah kesesakan jalanraya, masalah parkir, masalah kos, masalah sosial, masalah alam sekitar dan masalah politikal.

Kita harus berfikir lebih jauh. Sultan boleh bersemanyam di bawah pokok. Yang penting bukan tempat. Bukan suasana. P Ramlee melambangkan bahawa yang penting ialah autoriti yang telus. Tanpa dinding dan tanpa bumbung. Tanpa tembok dan tanpa sekatan bilik-bilik yang memisahkan. Tanpa segrigasi dan tanpa segmentasi. Setiap orang boleh melihat dengan terus mata. Tidak perlu mencuri pandang. Tidak perlu membuat intaian. Sesiapa sahaja boleh melihat tanpa hadangan. Tanpa hijab buatan manusia. Pemerintah pula melaksanakan tanggungjawabnya seadanya. Dengan kapasiti yang tersedia. Tiada belanjawan defisit. Tiada belanjawan lebihan. Jalankan tanggungjawab seperti yang diperlukan. Malah realiti bawah pokok berlaku di Perak beberapa tahun yang lalu apabila sebuah kerajaan tumbang dan berlaku perebutan kuasa. Menteri Fasola sahaja yang bersembunyi di dalam gua. Menunggu buluh runcing menikam kakinya. Senjata yang paling dasar yang terdapat di sekeliling kita. Begitulah simplenya pemikiran P Ramlee.

Kedua: Orang Besar Yang Menjaga Kepentingan Diri Mereka Sahaja

Barangkali filem Musang Berjanggut melambangkan realiti masyarakat kita hari ini. Pertamanya, sukar mencari isteri sejati. Kedua, pembesar-pembesar negara yang lalai dan hanya mengejar kepentingan diri. Ketiga, penguasa yang menjaga kepentingan diri. Zaman banyak berubah. Mungkin musang berjanggut hanya dongengan. Tidak mungkin wujud dalam realiti. Yang mengusik jiwa kita ialah garapan P Ramlee memaparkannya di layar perak betapa lawak itu banyak mengenai realiti diri kita orang Melayu. Dari mereka yang berada di atas hingga mereka yang berada di aras yang paling bawah. Wanita yang bernama isteri sukar dicari. Kecerdasannya berfikir sangat luarbiasa. Bila dijumpai semua lelaki menjadi sasau silau terpukau melihat kecantikan rupa parasnya dan tingkah lakunya.

1                    Kecantikan datangnya dari dalam. Diserlahkan pada rupa wajah. Diwarnai dengan akhlak yang mulia.
2                    Ramai lelaki meminati milik orang lain sehingga lupa miliknya juga tidak banyak bezanya.
3                    Ramai orang ingin mendapatkan yang bukan hak dan tidak halal sedangkan dirinya berkecukupan dengan apa yang diperlukannya.

Dialog cantik ini sangat mengujakan:

Datuk nikah kahwin lupa siapa dirinya. Melanggar undang-undang dan larangan agama. Rasanya P Ramlee bukan menghina golongan agamawan tetapi yang cuba diketengahkan ialah sensitifnya kita tentang hukum-hakam agama. Namun kita masih tidak dapat menghindarkan diri dari maksiat dan melanggar perintah Allah. Pemegang kuasa tahu had kuasa yang ada pada mereka tetapi selalu melampaui batas itu. 

Puspawani: "Kanda-kanda, salah tak kalau lelaki masuk ke rumah perempuan ketika suaminya tiada di rumah?"
Datuk Nikah Kahwin: "Ooh! Salah besar tu." 
Puspawani: "Kalau gitu kanda ni salahlah?"
Datuk Nikah Kahwin: "Ya salah jugak. Tapi dinda jangan bimbang. Undang-undang kanda yang bikin. Kanda boleh ubah.” 

Bukan undang-undang yang diubah tetapi pelaksanaannya yang selalu diubah. Disesuaikan dengan siapa yang terlibat. Filem ini cukup tajam sindiriannya dalam lawak yang santai dan menghiburkan. Gula-gula yang bersalut pedas.


Ketiga: Hilangnya Sifat Usahawan

Dalam filem Tiga Abdul, Ismith Ulam Raja sangat kaya. Hartanya di dalam negara dan di luar negara. Sehingga waris-warisnya sendiripun tidak mengetahuinya. Pada waktu kritikal sahaja mereka diberi maklum tentang adanya harta itu. Itupun kepada yang berhak sahaja.

1                    Kekayaan perlulah diperolehi melalui usaha yang istiqamah. Tidak ada tipu muslihat dan menggunakan jalan-jalan pintas yang tidak wajar.
2                    Keadilan dalam faraid adalah untuk kesejahteraan dan kebahagian bersama semua ahli waris. Keadilan mesti ditegakkan walau dalam keadaan apa sekalipun.
3                    Semua keputusan mestilah dengan menggunakan ketenangan fikiran, berpandangan jauh dan memikirkan kesejahterana keluarga, keturunan dan ummah.

Keempat: Pentingnya Amanah

Hari ini kita banyak membicarakan tentang perlunya amanah dalam kehidupan. Dalam filem Anak Bapak diketengahkan konsep ini. Seorang anak suka berjoli tetapi dia tidak mengusik harta ibu dan bapanya. Amanah itu dijalankan dengan sempurna. Dia hanya berjoli dengan haknya sahaja. Masih ramaikah wujudnnya anak jenis ini. Masih ramaikah lagi anak bangsa yang bersedia menjaga hak negaranya. Hak watannya. Hak bangsanya. Apabila berkawan dia tidak mengambil kesempatan. Tidak mengkhianati rakan dan taulan. Malah pemurah dan adil kepada orang-orang bawahannya. Kita menjajakan amanah tetapi sifat amanah tidak dimanifestasikan dalam kehidupan bersosial atau kehidupan berorganiasi. Suatu realiti yang menjengkelkan.

Kelima: Kepentingan Pertanian

P Ramlee telah menunjukkan jalan bagaimana pertanian sangat penting dalam kehidupan. Semua kita boleh melakukannya kerana orang kita memiliki tanah. Dalam filem Ahmad Albab P Ramlee memberikan gambaran betapa pentingnya pertanian untuk kehidupan kita. Perindustrian sebagai tambahan. Pertanian adalah dasar. Sumber makanan dan ekonomi. Kaedahnya atau mekanismanya sahaja yang perlu difikirkan. Jadikan pertanian berdaya saing dan berdaya maju. Sayang, negara kita yang maju dan subur tanahnya membiarkan tanah kosong tanpa usaha. Kita terlalu selesa ke pasar untuk membeli sayur. Tidak ke sekeliling rumah untuk memetik sayur tanaman sendiri. Dari tangan kita sendiri. Tanpa racun yang membahayakan.

Keenam: Akhlak Melayu/Islam

Filem Seniman Bujang Lapok pula sangat memberi tamparan kuat kepada sikap prejudis sebahagian dari kita. Suka hasad. Suka memperlekehkan orang lain. Mereka yang baru berusaha diperkecil-kecilkan usahanya. Yang baru belajar diberi cemuhan. Seorang pengawal berbangsa Sikh mengajar kita untuk:

1                    Berbudi bahasa sesama kita. Menghormati orang lain tanpa mengira kedudukan mereka. Santuni mereka walaupun mereka kelihatan tiada apa-apa yang signifikan untuk mereka sumbangkan kepada kita.
2                    Bantu orang lain yang sedang giat berusaha untuk maju. Paling kurang berikan sokongan moral. Beri motivasi. Jika boleh berikan panduan mengikut  pengalaman orang terdahulu yang telah berjaya.

“Lu pu satu. Macam mana you punya bangsa mau maju. Belum apa-apa sudah cakap macam-macam.” Pedas dialog ini. Tapi itulah realiti di sekeliling kita. Yang negatif mengatasi yang positif. P Ramlee juga bijak psikologi. Sebelum berkomunikasi beri pujian dahulu. Lazimnya manusia teruja apabila dipuji. Boleh menundukkan egonya. Dia akan tenggelam dalam pujian itu. Dalam bahasa biasa kita katakan, lambung dahulu sebelum kita berikan nasihat yang wajar. Sebelum kritik yang mebina. 


Kita semua tertawa menonton gelagat lawak P Ramlee dan rakan-rakannya. Kita lupa bahawa yang kita tertawakan mungkin terkena kepada antara sesama kita. Diri penulis dan sebahagian dari diri pembaca. Yang menjadi bahan lawaknya adalah kita sendiri. Begitulah halusnya garapan P Ramlee sehingga kita tidak menyedari bahawa lakonan itu adalah imbasan realiti masyarakat. Kita lupa bahawa apabila kita mentertawakan orang lain sebenarnya kita mungkin mentertawakan diri kita sendiri. Lawak itu ditujukan kepada kita. Kita menjadi badut-badut zaman. Tiada siapa menyangka P Ramlee telah menyatakan firasatnya bahawa itulah wajah masyarakatnya setelah 40 tahun ditinggalkannya. Dia tidak membadutkan dirinya. Dia melihat bayangan badut itu dalam masyarakatnya lama sebelum ianya terjadi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Semoga kita terkeluar dari menjadi badut akhir zaman. Semoga Allah memberkati kita semua.

Friday, December 5, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kalau Roboh Kota Melaka



Masih ingatkah sejarah Kesultanan Melaka? Empayar Melayu yang gagah perkasa suatu masa dahulu. Dari Parameswara hingga ke Sultan Mahmud. Jika dahulunya kita ada Empayar Sri Vijaya, dituruti pula dengan Majapahit. Kita pernah dibayangi oleh Kerajaan Siam (Thailand). Kita dilindungi oleh kerajaan Cina pada zaman Sultan Mansur Shah. Lalu selepas 1511M silih berganti negara kita dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali kepada Inggeris. Sejarah membuktikan bahawa kita kalah bukan kerana kita menggunakan keris sementara Portugis menggunakan meriam dan senapang. Pada hakikatnya ketika itu Melaka juga menggunakan meriam.  Malangnya di kalangan pembesar istana atau pembesar Melayu ketika itu telah berpecah-belah. Portugis datang merisik pada tahun 1509M dan itulah gambaran yang mereka dapat. Mereka kalah dan berundur ke Goa di India. Mereka datang lagi pada tahun 1511M dan pada kali kedua itu mereka mendapat bantuan dari dalam. Dari yang mengkhianati negaranya sendiri.

Sejarah kita penuh dengan pengkhianatan. Hang Tuah difitnah. Bendahara difitnah. Si Kitul dan Raja Mendaliar meliar di Melaka. Minda Melayu seolah-olah sangat lemah dalam politik dalaman. Dalam politik kumpulan. Dalam politik warisan. Dalam politik etnik dan dalam politik bangsa. Begitu juga kita lemah dalam politik antarabangsa. Kita selalu menjadi bidak-bidak yang lemah. Tidak berdaya mempertahankan diri dan tidak berjaya membuat serangan. Maka persekitaran yang mencorakkan dunia kita. Kita menjadi terlalu mudah diwarnakan oleh sesiapa sahaja yang mengetahuui kelemahan kita. Bayangkan Hang Nadim yang hanya seorang kanak-kanak kecil tetapi bijaksana dikhianati dan dihukum bunuh oleh mereka yang berkedudukan pada masa itu. Tiada siapa yang membela kerana masyarakat ketika itu sangat patuh kepada yang berkuasa. Cerita Hang Nadim tidak berhenti setakat pada zaman itu. Hingga sekarang watak-watak Hang Nadim terus-terusan dikhianati. Dicantas ketika tunas mindanya baru bersemi.

Benar seperti kata tanya Ridzuan Tee, mengapa Melayu terus melayu? Tun Razak telah mengasaskan kebangkitan Melayu dengan berbagai-bagai idea pembangunan untuk orang Melayu. Datuk Senu dengan Revolusi Mentalnya. Begitu juga dengan program Bumi Hijau. Program perindustrian dan penstrukturan ekonomi tidak sampai ke bawah. Program satu desa satu industri tetap menjadi sejarah. Orang kampung dikekalkan kekampungannya. Dari segi fizikalnya. Dari segi pemikirannya. Mereka kekal dijajah mindanya. Nampaknya Teori Pareto baru disedari ramai bahawa sebilangan kecil warganegara menguasai sebahagian besar kekayaan negara. Negara kita kaya. Mewah dengan berbagai hasil semulajadi. Dasar perindustrian dilihat memewahkan negara. Malangnya rakyat kekal dalam keadaan secukup makan. Taraf hidup pada keseluruhannya meningkat tetapi kepada orang Melayu tidak kesemuanya menikmati taraf hidup tinggi tersebut. Statistik hanya angka yang menyamankan mata dan lidah yang menyebutnya. Jurang antara yang kaya dengan yang lain tetap jauh melebar.

Andainya roboh kota Melaka sekali lagi, ke mana kita akan pergi? Tanah Melayu ini terlalu sangat berharga. Malaysia berada dalam gugusan kepulauan Melayu nusantara yang menjadi idaman kuasa besar untuk checkmate Cina dan Russia. Di mana, di mana sebenarnya kesilapan telah berlaku. Negara yang pada suatu ketika membangun dengan pantas tiba-tiba merudum ekonominya. Matawangnya terkebalakang berbanding dengan negara jiran-jirannya. Negara Mesir  yang tidak semaju Malaysia meningkat nilai matawangnya berbanding ringgit. Bukan sedikit turunya. Suatu ketika awal tahun ini seringgit Malaysia bersamaan 2.27LE (paun Mesir). Sekarang nilainya jatuh di bawah 2LE. Seringgt Malaysia ditukar di bank sekitar 1.97LE. Hanya dalam masa beberapa bulan nilai ringgit jatuh sebanyak  0.30LE. Suatu kejatuhan yang sangat ketara. Andainya kejatuhan ini tidak dapat dikawal kita mungkin disenaraikan bersama Greece, Iceland dan beberapa negara lain yang diisytiharkan muflis.

Penulis tidak berani hendak meramalkan yang lebih buruk. Tersangat takut prophecy orang Barat terhadap bangsa kita menjadi kenyataan. Label yang diberikan kepada bangsa kita sangat banyak. Kita cuba menafikan label-label itu tetapi orang kita juga yang menggagalkannya. Kata penjajah:

1                    Orang Melayu pemalas.
2                    Orang Melayu suka mengamuk.

Setakat mana usaha kita untuk menafikan stigma itu. Kita melihat Melayu secara umum. Walau bagaimanapun bukan semua Melayu yang melayu. Melayu yang segar selalu pula kecundang dalam persekitaran yang ada. Dulu kita gah dengan mereka yang bernama Rashid Hussin. Tajuddin Ramli, Halim Saad dan Amin Shah. Sekarang mereka tinggal nama dalam sejarah. Episod hilangnya Bank Bumiputra seperti tiada reaksi dari sesiapapun. A Samad Said sangat kecewa. A Kadir Jasin juga kecewa. Penulis yang juga menghampiri usia 70 tahun juga tidak kurang kecewanya. Masih teringat kata-kata arwah datuk penulis: Bagaimana hendak merdeka sedangkan jarum sebatang kita tidak boleh membuatnya? Baru sekarang penulis menangkap maksudnya. Jarum itu bukan jarum secara fizikal. Jarum itu ialah jaum yang menyulam keindahan kehidupan. Kemewahan kehidupan. Kebahagiaan kepada warganegara yang tercinta. Menjamin sandang pakai rakyatnya.

Ramalan dari negara jiran dan negara asing menunjukkan kita akan berhadapan dengan kesukaran ekonomi pada pertengahan tahun hadapan. Hanya beberapa peratus rakyat yang mengetahuinya. Yang mungkin boleh menyelamatkan diri dari kemelaratan. Yang berniaga mungkin tidak begitu beruntung. Kita masih dibelenggu dengan intensif buruh. Mereka dibawa masuk dengan jumlah yang ramai dan semakin ramai. Dalam keadaan ekonomi yang merudum kehadiran bukan warganegara akan membebankan negara kerana mereka juga perlu makan. Bekalan makanan akan menjadi rebutan. Harganya akan melambung. Jentera yang ada sudah tidak berkeupayaan untuk mengawal kenaikan harga. Menakutkan juga jika jenayah meningkat kerana masing-masing hendak makan.

Apabila roboh kota Melaka tidak mungkin lagi papan di Jawa akan didirikan

Tuesday, December 2, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Apabila Islam Itu Dakwah



Islam itu indah. Mereka yang yakin berada di dalamnya selamat dalam pemeliharaan Allah. Antara yang beruntung adalah mereka yang banyak dakwahnya. Mengajak kepada kebenaran. Kepada kebaikan. Kepada kebajikan. Menghalang pula dari berlakunya kebatilan. Dari kemaksiatan. Dari kemungkaran. Dari hal-hal yang merugikan diri. Merugikan ummah. Merugikan agama. Dalam konteks dakwah Nabi berpesan: Sampaikanlah walaupun satu ayat. Sebarkan walaupun kelihatan amat sedikit. Terlihat tidak langsung ada signifikannya. Walaupun mungkin orang tidak akan memandangnya dengan sebelah mata. Sebagai Muslim kita wajib melakukannya kerana Allah menghendakinya. Allah memerintahkan kita berbuat kebaikan dan meninggalkan yang mungkar.

Ramai Muslim dikategorikan sebagai mereka yang berjalan atas dasar sirot al-mustaqim. Mencari kebenaran. Jalan lurus yang selalu dianjurkan agama. Dalam agama, kita bukan sahaja meluruskan jalan diri kita sendiri tetapi juga untuk kaum kerabat, untuk seluruh masyarakat serta ummah sejagat. Di sekeliling kita ramai mereka yang perlu ditarik perhatiannya. Perlu dibawa ke jalan lurus. Perlu dibimbing. Perlu dididik ke jalan yang diredhai Allah. Dengan izin Allah mereka yang berdakwah ramai juga dari kalangan mereka yang bukan berlatarbelakangkan agama. Tidak menuntut secara khusus dalam bidang agama sewaktu di sekolah menengah atau di IPT. Allah buka jalan kepada mereka untuk mendekati agama dan dakwah setelah mereka dewasa. Ramai juga Muslim yang dekat dengan agama walaupun pada awalnya mereka menceburi bidang lain yang bukan bidang agama. Malah kadang-kadang dilihat jauh dari agama. Umpamanya mereka terlibat dalam industri hiburan. Hidayah dari Allah membawa mereka lebih taqarrub (mendekat) kepada Allah. Alhamdulillah. Selayaknya kita mensyukuri hidayah yang Allah anugerahkan kepada mereka.

Terdapat dua pandangan yang bertentangan terhadap mereka yang memasuki jalan lurus anjuran agama. Apabila mereka berjinak-jinak dengan agama. Apabila mereka aktif dalam berbagai manhaj agama.

1                    Mereka jinak dengan agama.
2                    Menutup aurat.
3                    Mempelajari agama.
4                    Hadir dalam majlis-majlis agama.
5                    Beramal dengan amalan agama.
6                    Mengerjakan kebaikan.
7                    Di samping itu ramai antara mereka yang asalnya bukan Muslim mendapat hidayah lalu menganut Islam sebagai agama pilihan yang terbaik.

Bagaimanapun terdapat dua pandangan sama ada yang positif atau yang negatif. Pada dasarnya ramai ahli masyarakat yang lebih positif tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat Islam. Atau kepada mereka yang menjadi ahli baru keluarga Islam.

1                    Mereka memberi sokongan.
2                    Memberi bantuan fizikal, mental, psikologi dan material.
3                    Menjadikannya sebagai janaan dakwah untuk berdakwah lebih kuat dan lebih berjaya.
4                    Melahirkan mubaligh-mubaligh unggul.

Namun demikian terdapat juga Muslim yang syak wasangka tentang penghijrahan mereka ke jalan agama. Ke jalan Allah.

1                    Mereka dicemburui.
2                    Mereka dicemuh.
3                    Mereka diiring dengan prasangka jahat.
4                    Usaha mereka dipandang rendah dan tidak signifikan.
5                    Usaha mereka dilihat seolah-olah tidak memberi impak.
6                    Mereka diserang dengan sindiran tajam yang menyentuh perasaan. Bukan sahaja kepada yang empunya diri malah kepada sebahagian besar masyarakat d luar sana. Sungguh amat menyedihkan.

Paling mengejutkan ialah apabila terdapat tokoh agamawan yang mencemuh penghijrahan golongan ini. Selayakya mereka dibimbing dan dibelai supaya penghijran mereka memupuk semangat ukhwah Islamiyyah. Terlalu mendukacitakan cemuhan yang mereka terima. Maka kedengaranlah antaranya ungkapan sinis:

1                    Wujudnya ustaz dan ustazah ekspress.
2                    Pendakwah yang menggunakan seni seperti lawak, lagu dan seloka.

Jadilah guru yang mengambil tanggungjawab untuk memandaikan. Jadilah daie yang tanggungjawabnya membawa orang lain ke jalan benar. Jika gagal kita semua yang gagal. Jika berjaya sama-sama kita lebarkan kejayaannya. Usaha dakwah adalah usaha bersama. Perlu adanya pedagogi dan psikologi. Perlu ada uslub dakwah yang mantap. Sama-sama kita amati firman Allah berikut:

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan jalan yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk. (An-Nahl 16:125).

Kita perlukan kepimpinan agama yang bersifat positif. Sikapnya positif. Memandang sesuatu dari sisi yang memberi harapan. Apabila ada antara kita yang kembali menghayati agama maka berilah seluruh bantuan untuk mendampinginya. Kita perlu menghindar dari memberi layanan yang tidak saksama.  Diri kita bukan selamanya yang terbaik. Tahap pendidikan bukan ukuran kehebatan seseorang secara mutlak. Sesungguhnya kehebatan bukan milik kita. Ianya milik Allah. Manusia seperti kita perlukan akhlak yang boleh dicontohi. Semakin tinggi pendidikan sewajarnya lebih indah bahasa dan bicaranya. Lebih tinggi kedudukan sewajarnaya lebih insaf akan kedudukan orang-orang yang di bawahnya. Mereka yang berada di tempat yang tinggi perlu membawa mereka yang di bawah untuk naik sama tinggi. Bukan sebaliknya menafikan hak orang lain untuk naik sama dalam apa bidang sekalipun. Seeloknya santuni kelemahan dan kekurangan orang lain di samping untuk membantu mereka. Mudah-mudahan terhindar diri kita dari fitnah kerana kejumudan pemikiran kita sendri. Mengenai hal ini Allah telah memberi ingatan dalam al-Quran:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang-orang yang membuat agamamu jadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelumnya dan orang-orang kafir (orang musyrik) dan bertaqwalah kepada Allah jika kamu orang-orang beriman. (Al-Maidah 5: 57).

Kita perlu membanyakkan sentuhan indah pendakwah yang kasih dan sayang. Yang santun dan lemah lembut mengusap perasaan. Yang membuai impian indah masa hadapan yang penuh cabaran. Yang memberikan harapan cerah bak bintang dan bulan. Mereka yang baru berjinak usah dinyahpergi. Tidak ditarik ke dalam gelanggang yang sewajarnya. Ke dalam dakapan kasih dan sayang agama. Sewajarnya paradigma dakwah kita lebih global. Lebih memberi ruang. Lebih memberi akomodasi. Lebih memberi resapan asimilasi. Kita terlalu melihat fizakal. Terlalu melihat keturunan dan bangsa. Melihat kedudukan yang bukan apa-apa. Sedangkan yang penting ialah Islam dan iman.

1                    Buka dada dan berlapang fikiran.
2                    Membantu mereka yang sudah melangkah ke jalan yang hak.
3                    Membimbing ke arah yang lebih mantap.
4                    Membawa mereka ke dalam wadah Islamiyah yang benar.
5                    Jadikan mereka ahli jamaah yang non-partisan terhadap politik.

Dakwah selalunya dilakukan terhadap mereka yang jauh dari mengerti tentang agama. Dalam kelompok ini tedapat mereka yang masih terlalu sedikit ilmu agamanya dan mereka yang dalam kategori bukan Islam. Usaha hendaklah menarik mereka perhalan-lahan dengan momentum yang istiqamah. Apabila mereka telah bersedia barulah diberi kejutan-kejutan segera supaya diri mereka yang sudah beriman dan selesa dengan amalan Islam semakin teruja untuk lebih indah Islamnya. Lebih kukuh imannya. Lebih pula berusaha untuk menjadi pimpinan dakwah. Membina rangkaian dakwah dan bergerak untuk memeriahkan agama. Memakmurkan agama. Sangat malang apabila mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan Islam menerima kecaman. Yang berdakwah secara alternatif pula diperlekehkan.

Ada sesuatu yang penulis selalu teringat. Apabila kita menutup aib orang lain maka Allah akan menutup aib kita. Sebaliknya apabila kita membuka aib orang lain maka aib itu kembali kepada kita. Kita melihat dengan jelas proses memperlekeh orang lain mendapat sokongan ramai. Dengan gendang yang bergempita. Dengan sorak dan tangan bertepuk. Tetapi apabila kehinaan kembali kepada diri sendiri tiada siapa yang membantu. Tiada yang membela. Tiada yang menunjukkan sokongan. Terlihat mereka yang dihina Allah menerima apa yang disebut di Barat sebagai sindrom Barbara Streisand. Semakin menolak maka semakin tersebar kehinaannya. Kenapa antara sesama Islam tiada faham memahami. Bahawa setiap orang ada kelainannya. Walaupun manhaj dakwah ada proses, rukun dan kaedahnya yang tersendiri tetapi mereka yang arif perlu membantu. Perlu meraikan kelainan. Membantu mana yang sudah terkekahadapan. Bina lagi rangkaian yang lebih menyerlah.

Menyerang tanpa berfikir panjang hanya memadamkan cahaya dakwah yang mula berkembang. Mengguris hati yang sedang merebung. Cahaya Islam yang mula menyerlah. Cahaya iman yang mula memancar. Andainya kita tidak dapat menyediakan alternatif yang lebih baik, biarkanlah orang lain maju ke hadapan melebihi diri kita sendiri.

1                    Terima kenyataan akan kebaikan yang tercipta.
2                    Lapangkan dada untuk menyokong.
3                    Lapangkan fikiran untuk menerima kelainan.
4                    Luaskan pemikiran untuk menerima yang baru.
5                    Pandang objektifnya. Yang baik beri motivasi seterusnya.

Apa yang terlihat di Malaysia ialah usaha dakwah yang terpencar. Tidak ada kelompok rujukan yang boleh dijadikan jamaah besar. Yang boleh diambil manhajnya. Yang boleh menambahnilai usaha dakwah pihak lain. Namun begitu  masyarakat umumnya mengetahui pendakwah yang progresif. Yang mencahayakan masyarakat. Yang banyak membantu mencerahkan kekeliruan. Tugas mereka yang berautoriti ialah memberi sumber kekuatan prasarana. Minta maaf banyak-banyak. Jika politik terlalu menyaluti agama sekalipun, sinar agama tetap menyerlah. Tetap terang benderang. Tetap menyilaukan. Allah tetap membantu yang baik. Sesunguhnya Islam itu indah. Lihatlah dari sudut mana sekalipun, keindahannya tetap terpancar dan terpencar.


Ambillah iktibar. Kepada mereka yang ditimpa cemuhan anggaplah ianya suatu ujian. Suara-suara sumbang itu harus dianggap sebagai dorongan untuk bekerja lebih kuat lagi ke arah kebaikan. Pada hakikatnya yang baik tetap mendapat pertolongan Allah. Insyaallah. Ikhlaskan hati dan perasaan. Teruskan usaha yag baik semata-mata kerana Allah. Bukan untuk yang selain dariNya. Bagi yang terlajak kata inilah masa untuk muasabah diri. Surut sebentar ke belakang untuk melihat kembali salah silap yang telah berlaku. Sama-sama kita menginsafi diri kita atas kelemahan kita sebagai manusia yang tidak sunyi dari khilaf. Mudah-mudahan mendapat keampunan Allah. Mohon maaf atas salah silap.

Thursday, November 27, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Berbicara Indah Semasa Temuduga



Terdapat perbezaan besar antara budaya orang Barat dengan budaya orang Timur. Apabila kita sampai di Rom jadilah seperti orang Rom. Di kandang kambing kita mengembik. Dalam proses temuduga umpamanya kita tidak boleh bersandar kepada pandangan orang Barat sahaja. Pun begitu kita tidak boleh 100% bersandar kepada pandangan orang Timur. Yang cantik ialah bersendikan orang Timur mungkin ada warna-warni antarabangsa. Oleh kerana dalam temuduga untuk jawatan di negara kita panelnya orang kita sendiri maka adat Timur lebih terserlah. Bercakap Inggeris dengan fasih tetapi menjaga adat Timur. Bercakap Arab dengan fasih tetapi menjaga adat orang Malaysia. Bercakap Jepun dengan fasih tetapi adat datuk dan nenek tidak dilupa. Kita tidak semudah itu menukar budaya turun-temurun. Budaya persekitaran kita. Umpamanya kita boleh bercakap berterus-terang tetapi dengan berhemah sebab kita berhadapan dengan orang kita sendiri yang dianggap autoriti dalam bidangnya. Autoriti dalam budayanya. Autoriti dalam masyarakatnya.

Pada adatnya dalam sebarang temuduga ada soalan lazim. Maksudnya soalan yang seolah-olah wajib. Soalannya biasa sahaja tetapi jawapannya harus memberikan gambaran yang istimewa tentang siapa diri calon yang sebenarnya. Jawapan yang diungkapkan secara sepontan mengandungi intipati cita-cita, memahami situasi, harapan masa hadapan, mengetahui tentang ekonomi, memahami tanggungjawab sosial, mengerti tentang agama, ada imbasan politik dan world viewnya melampaui fizikal dan perasaannya.

Kenapa encik memohon jawatan ini? Atau
Mengapa cik berminat memohon jawatan ini? Atau
Mengapa tuan tidak memohon jawatan lain?

Soalannya sangat mudah. Ringkas dan padat. Rasanya semua calon memahaminya. Tidak ada perangkap. Tidak ada double meaning. Soalan yang perlu dijawab satu hala. Nyatakan kenapa memohon. Kenapa berminat. Tunggu. Tunggu dahulu sebelum menjawab. Terlalu ramai calon yang menjawab biasa-biasa sahaja.

Saya suka jawatan ini.
Saya bercita-cita untuk menjawat jawatan ini.
Minat saya sejak dari kecil.

Ianya jawapan tetapi sekadar menjawab yang tersurat. Yang terungkap dan terucap.  Namun begitu jawapan tersebut hilang saripatinya. Tidak menjawab soalan yang tersirat. Yang lebih dasar. Cuba kita fikir sejenak. Apa lagi jawapan lain yang soalan itu perlukan. Anda sebagai calon terkapai-kapai di atas kerusi. Direnung oleh panel. Ditunggu jawapan yang luar biasa. Kepada mereka adakah antara calon yang lebih terkehadapan jalan fikirnya. Jawapan yang pada aras tinggi. Lebih global. Kematangan yang melebihi calon-calon lain. Mari kita nilai jawapan cadangan berikut:

1                    Terima kasih tuan/puan ….. Pertamanya jawatan yang saya pohon bersesuaian dengan kelayakan akademik yang saya miliki. Spesifikasi job yang tersenarai saya maklumi. Insyaallah saya berkeupayaan untuk menyempurnakan aktivuti yang diperlukan sekiranya saya berjaya menjawat jawatan tersebut.
2                    Saya harus berterus terang bahawa struktur gaji, elaun dan kemudahan yang diperuntukkan untuk jawatan ini bersesuaian dengan kelayakan yang saya miliki.
3                    Saya berkeyakinan menjalankan tanggungjawab agama dan sosial terhadap kedua ibu dan bapa saya. Juga tanggungjawab terhadap isteri/suami dan anak-anak saya apabila saya berumahtangga kelak. Pendapatan yang diperuntukan memberikan saya gambaran bahawa ianya mencukupi jika saya menggunakannya secara berhemah.
4                    Laluan kerjaya untuk jawatan ini sangat jelas dan luas. Kejayaan dalam kerjaya ini memungkinkan saya mejawat jawatan yang paling tinggi. Contoh: Untuk Pegawai Tadbir dan Diolomatik jawatan tertinggi dalam kerajaan ialah Ketua Setiausaha Negara. Pegawai Tadbir Negeri pula jawatan paling tinggi ialah Setiausaha Kerajaan negeri. Guru pula jawatan tertingginya Ketua Pengarah Pelajaran. Pegawai Tadbir Agama jawatan tertinggi ialah Mufti. Eksekutif syarikat jawatan tertinggi ialah Pengarah Urusan atau Pengurus Besar.
5                    Saya bercita-cita untuk berjaya dalam kerjaya ini dan insyaallah saya akan berusaha untuk menjadi …………

Soalannya mengandungi lima patah perkataan sahaja. Enam termasuk tanda soal? Jawapannya melebihi 150 patah perkataan.  Soalan yang mudah tidak semestinya dijawab dengan mudah pula. Kadang-kadang soalan yang mudah perlukan jawapan yang berat. Yang sarat dengan harapan. Yang banyak mengandungi input menjana kekuatan diri. Kekuatan mental dan kekuatan psikologi. Berlatihlah untuk bercakap dengan lancar. Dengan suara yang penuh wibawa/autoriti. Terserlah keyakinan diri. Terungkap apa yang banyak dalam minda. Biasakan berfikir di luar kebiasaan. Di luar kotak biasa. Belajar melihat yang tersembunyi. Yang tersirat. Yang jarang dilihat oleh orang lain. Orang ingin melihat apa yang ada di dalam tubuh kita. Perasaan kita. Cara kita berfikir. Cara kita berhadapan dengan situasi yang berbagai. Cara kita membuat keputusan.

Sudah ribuan tahun kita menggunakan teori dan falsafah Atistotle dalam menyelesaikan masalah.

1                    Mengenalpasti masalah yang sebenar.
2                    Mengumpul data.
3                    Membuat hipotesis.
4                    Menjalankan ujikaji.
5                    Membuat pemerhatian.
6                    Membuat rumusan.

Mari kita ingat balik. Kita sangat biasa dengan proses di atas. Dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Di matrikulasi. Di Institut Pengajian Tinggi. Bagaimana realitinya. Ramai antara kita melakukan proses itu tanpa memahaminya. Tanpa mengerti kenapa perlu melakukan sedemikian. Sebenarnya itulah seharusnya proses yang perlu kita lakukan setiap kali kita berhadapan dengan masalah. Tetapi maaf, lain orang lain tahap kemahirannya semasa menyelesaikan masalah. Tahap akademik menentukan perbezaannya. Pengalaman menambah lagi perbezaan itu. Ini bermakna mereka yang memiliki kelayakan tinggi dan berpengalaman lebih santai cara mereka menyelesaikan masalah. Sudah ada gambaran awal. Maklumat yang diperlukan. Alat yang sesuai. Bila, kenapa dan bagaimana bukan soalan-soalan yang sukar. Malah kadang-kadang kepada mereka semuanya adalah rutin biasa sahaja.

Menghadiri temuduga bukan sesuatu yang sukar andainya kita mengetahui siapa kita. Apa yang diperlukan dari kita. Maka persiapan yang perlu kita lakukan hendaklah dibiasakan setiap hari. Umpamanya biasakan diri berpakaian kemas. Pamerkan perawakan yang beraura. Bina karisma bila berbicara. Bercakap dengan tenang. Berhujjah tanpa emosi. Memberi input baru dan segar. Berfikir yang bukan biasa-biasa. Butiran hujjah bernas. Logik. Menasabah. Boleh dilaksanakan. Boleh diterima sebagai sesuatu yang lain dari yang lain. Ramai antara kita yang masih terperangkap dengan  sangkaan luarbiasa.

Jika ada orang dalam, senang dapat kerja.

Yes and no. Yes jika calon memang luar biasa. Tanpa orang dalam sekalipun dia layak mendapat jawatan itu. Orang dalam wujud secara kebetulan. Bukan penentu. Calon berjaya mendapat jawatan itu sebab kelayakan akademiknya, kepetahannya menjawab soalan, mempamerkan akhlak yang menarik, ada pengalaman tambahan sama ada pengalaman semasa bersekolah atau pengalaman sebelum memohon jawatan tersebut. No jika calon sebenarnya sangat daif. Tidak menepati spesifikasi yang dinyatakan dalam iklan jawatan. Penulis kadang-kadang tidak dapat membantu apabila ibu bapa datang meminta nasihat bahawa anaknya akan menghadiri temuduga esok atau lusa atau minggu hadapan.

1                    Anak itu panjang rambutnya.
2                    Berpakaian tidak rapi.
3                    Rupa parasnya tidak terurus.
4                    Jalan, berdiri dan duduknya tidak berapa sopan.
5                    Bila ditanya tidak memberikan jawapan-jawapan yang sesuai.
6                    Cita-citanya tidak tinggi.


Sukar juga memberi nasihat apabila temuduga yang dimaksudkan ialah pagi esok. Terkebil-kebil penulis hendak memberikan jawapan yang sesuai. Namun begitu apabila calon itu memiliki sifat dan akhlak yang sesuai calon itu hanya perlukan sedikit sentuhan terakhir.

1                    Pakailah pakaian yang sesuai. Jika jawatan untuk pemegang ijazah calon perlu memakai blazer atau suit. Bertalileher.
2                    Perlu bercakap, menjawab atau berhujjah mengikut bahasa yang ditanya oleh panel penemuduga. Jika Inggeris jawab dalam bahasa Inggeris. Jika Arab jawablah dalam bahasa Arab. Jika Melayu jawablah dalam bahasa Melayu.

Nasihat penulis: Tolong jangan gunakan bahasa yang bercampur-campur kecuali istilah-istilah yang telah diterima ke dalam bahasa Melayu umpamanya.


Dengarnya sekarang musim calon menghadiri temuduga. Sila rujuk entry lain sebelum ini. Semoga berjaya hendaknya.