Tuesday, December 2, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Apabila Islam Itu Dakwah



Islam itu indah. Mereka yang yakin berada di dalamnya selamat dalam pemeliharaan Allah. Antara yang beruntung adalah mereka yang banyak dakwahnya. Mengajak kepada kebenaran. Kepada kebaikan. Kepada kebajikan. Menghalang pula dari berlakunya kebatilan. Dari kemaksiatan. Dari kemungkaran. Dari hal-hal yang merugikan diri. Merugikan ummah. Merugikan agama. Dalam konteks dakwah Nabi berpesan: Sampaikanlah walaupun satu ayat. Sebarkan walaupun kelihatan amat sedikit. Terlihat tidak langsung ada signifikannya. Walaupun mungkin orang tidak akan memandangnya dengan sebelah mata. Sebagai Muslim kita wajib melakukannya kerana Allah menghendakinya. Allah memerintahkan kita berbuat kebaikan dan meninggalkan yang mungkar.

Ramai Muslim dikategorikan sebagai mereka yang berjalan atas dasar sirot al-mustaqim. Mencari kebenaran. Jalan lurus yang selalu dianjurkan agama. Dalam agama, kita bukan sahaja meluruskan jalan diri kita sendiri tetapi juga untuk kaum kerabat, untuk seluruh masyarakat serta ummah sejagat. Di sekeliling kita ramai mereka yang perlu ditarik perhatiannya. Perlu dibawa ke jalan lurus. Perlu dibimbing. Perlu dididik ke jalan yang diredhai Allah. Dengan izin Allah mereka yang berdakwah ramai juga dari kalangan mereka yang bukan berlatarbelakangkan agama. Tidak menuntut secara khusus dalam bidang agama sewaktu di sekolah menengah atau di IPT. Allah buka jalan kepada mereka untuk mendekati agama dan dakwah setelah mereka dewasa. Ramai juga Muslim yang dekat dengan agama walaupun pada awalnya mereka menceburi bidang lain yang bukan bidang agama. Malah kadang-kadang dilihat jauh dari agama. Umpamanya mereka terlibat dalam industri hiburan. Hidayah dari Allah membawa mereka lebih taqarrub (mendekat) kepada Allah. Alhamdulillah. Selayaknya kita mensyukuri hidayah yang Allah anugerahkan kepada mereka.

Terdapat dua pandangan yang bertentangan terhadap mereka yang memasuki jalan lurus anjuran agama. Apabila mereka berjinak-jinak dengan agama. Apabila mereka aktif dalam berbagai manhaj agama.

1                    Mereka jinak dengan agama.
2                    Menutup aurat.
3                    Mempelajari agama.
4                    Hadir dalam majlis-majlis agama.
5                    Beramal dengan amalan agama.
6                    Mengerjakan kebaikan.
7                    Di samping itu ramai antara mereka yang asalnya bukan Muslim mendapat hidayah lalu menganut Islam sebagai agama pilihan yang terbaik.

Bagaimanapun terdapat dua pandangan sama ada yang positif atau yang negatif. Pada dasarnya ramai ahli masyarakat yang lebih positif tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat Islam. Atau kepada mereka yang menjadi ahli baru keluarga Islam.

1                    Mereka memberi sokongan.
2                    Memberi bantuan fizikal, mental, psikologi dan material.
3                    Menjadikannya sebagai janaan dakwah untuk berdakwah lebih kuat dan lebih berjaya.
4                    Melahirkan mubaligh-mubaligh unggul.

Namun demikian terdapat juga Muslim yang syak wasangka tentang penghijrahan mereka ke jalan agama. Ke jalan Allah.

1                    Mereka dicemburui.
2                    Mereka dicemuh.
3                    Mereka diiring dengan prasangka jahat.
4                    Usaha mereka dipandang rendah dan tidak signifikan.
5                    Usaha mereka dilihat seolah-olah tidak memberi impak.
6                    Mereka diserang dengan sindiran tajam yang menyentuh perasaan. Bukan sahaja kepada yang empunya diri malah kepada sebahagian besar masyarakat d luar sana. Sungguh amat menyedihkan.

Paling mengejutkan ialah apabila terdapat tokoh agamawan yang mencemuh penghijrahan golongan ini. Selayakya mereka dibimbing dan dibelai supaya penghijran mereka memupuk semangat ukhwah Islamiyyah. Terlalu mendukacitakan cemuhan yang mereka terima. Maka kedengaranlah antaranya ungkapan sinis:

1                    Wujudnya ustaz dan ustazah ekspress.
2                    Pendakwah yang menggunakan seni seperti lawak, lagu dan seloka.

Jadilah guru yang mengambil tanggungjawab untuk memandaikan. Jadilah daie yang tanggungjawabnya membawa orang lain ke jalan benar. Jika gagal kita semua yang gagal. Jika berjaya sama-sama kita lebarkan kejayaannya. Usaha dakwah adalah usaha bersama. Perlu adanya pedagogi dan psikologi. Perlu ada uslub dakwah yang mantap. Sama-sama kita amati firman Allah berikut:

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan jalan yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk. (An-Nahl 16:125).

Kita perlukan kepimpinan agama yang bersifat positif. Sikapnya positif. Memandang sesuatu dari sisi yang memberi harapan. Apabila ada antara kita yang kembali menghayati agama maka berilah seluruh bantuan untuk mendampinginya. Kita perlu menghindar dari memberi layanan yang tidak saksama.  Diri kita bukan selamanya yang terbaik. Tahap pendidikan bukan ukuran kehebatan seseorang secara mutlak. Sesungguhnya kehebatan bukan milik kita. Ianya milik Allah. Manusia seperti kita perlukan akhlak yang boleh dicontohi. Semakin tinggi pendidikan sewajarnya lebih indah bahasa dan bicaranya. Lebih tinggi kedudukan sewajarnaya lebih insaf akan kedudukan orang-orang yang di bawahnya. Mereka yang berada di tempat yang tinggi perlu membawa mereka yang di bawah untuk naik sama tinggi. Bukan sebaliknya menafikan hak orang lain untuk naik sama dalam apa bidang sekalipun. Seeloknya santuni kelemahan dan kekurangan orang lain di samping untuk membantu mereka. Mudah-mudahan terhindar diri kita dari fitnah kerana kejumudan pemikiran kita sendri. Mengenai hal ini Allah telah memberi ingatan dalam al-Quran:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang-orang yang membuat agamamu jadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelumnya dan orang-orang kafir (orang musyrik) dan bertaqwalah kepada Allah jika kamu orang-orang beriman. (Al-Maidah 5: 57).

Kita perlu membanyakkan sentuhan indah pendakwah yang kasih dan sayang. Yang santun dan lemah lembut mengusap perasaan. Yang membuai impian indah masa hadapan yang penuh cabaran. Yang memberikan harapan cerah bak bintang dan bulan. Mereka yang baru berjinak usah dinyahpergi. Tidak ditarik ke dalam gelanggang yang sewajarnya. Ke dalam dakapan kasih dan sayang agama. Sewajarnya paradigma dakwah kita lebih global. Lebih memberi ruang. Lebih memberi akomodasi. Lebih memberi resapan asimilasi. Kita terlalu melihat fizakal. Terlalu melihat keturunan dan bangsa. Melihat kedudukan yang bukan apa-apa. Sedangkan yang penting ialah Islam dan iman.

1                    Buka dada dan berlapang fikiran.
2                    Membantu mereka yang sudah melangkah ke jalan yang hak.
3                    Membimbing ke arah yang lebih mantap.
4                    Membawa mereka ke dalam wadah Islamiyah yang benar.
5                    Jadikan mereka ahli jamaah yang non-partisan terhadap politik.

Dakwah selalunya dilakukan terhadap mereka yang jauh dari mengerti tentang agama. Dalam kelompok ini tedapat mereka yang masih terlalu sedikit ilmu agamanya dan mereka yang dalam kategori bukan Islam. Usaha hendaklah menarik mereka perhalan-lahan dengan momentum yang istiqamah. Apabila mereka telah bersedia barulah diberi kejutan-kejutan segera supaya diri mereka yang sudah beriman dan selesa dengan amalan Islam semakin teruja untuk lebih indah Islamnya. Lebih kukuh imannya. Lebih pula berusaha untuk menjadi pimpinan dakwah. Membina rangkaian dakwah dan bergerak untuk memeriahkan agama. Memakmurkan agama. Sangat malang apabila mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan Islam menerima kecaman. Yang berdakwah secara alternatif pula diperlekehkan.

Ada sesuatu yang penulis selalu teringat. Apabila kita menutup aib orang lain maka Allah akan menutup aib kita. Sebaliknya apabila kita membuka aib orang lain maka aib itu kembali kepada kita. Kita melihat dengan jelas proses memperlekeh orang lain mendapat sokongan ramai. Dengan gendang yang bergempita. Dengan sorak dan tangan bertepuk. Tetapi apabila kehinaan kembali kepada diri sendiri tiada siapa yang membantu. Tiada yang membela. Tiada yang menunjukkan sokongan. Terlihat mereka yang dihina Allah menerima apa yang disebut di Barat sebagai sindrom Barbara Streisand. Semakin menolak maka semakin tersebar kehinaannya. Kenapa antara sesama Islam tiada faham memahami. Bahawa setiap orang ada kelainannya. Walaupun manhaj dakwah ada proses, rukun dan kaedahnya yang tersendiri tetapi mereka yang arif perlu membantu. Perlu meraikan kelainan. Membantu mana yang sudah terkekahadapan. Bina lagi rangkaian yang lebih menyerlah.

Menyerang tanpa berfikir panjang hanya memadamkan cahaya dakwah yang mula berkembang. Mengguris hati yang sedang merebung. Cahaya Islam yang mula menyerlah. Cahaya iman yang mula memancar. Andainya kita tidak dapat menyediakan alternatif yang lebih baik, biarkanlah orang lain maju ke hadapan melebihi diri kita sendiri.

1                    Terima kenyataan akan kebaikan yang tercipta.
2                    Lapangkan dada untuk menyokong.
3                    Lapangkan fikiran untuk menerima kelainan.
4                    Luaskan pemikiran untuk menerima yang baru.
5                    Pandang objektifnya. Yang baik beri motivasi seterusnya.

Apa yang terlihat di Malaysia ialah usaha dakwah yang terpencar. Tidak ada kelompok rujukan yang boleh dijadikan jamaah besar. Yang boleh diambil manhajnya. Yang boleh menambahnilai usaha dakwah pihak lain. Namun begitu  masyarakat umumnya mengetahui pendakwah yang progresif. Yang mencahayakan masyarakat. Yang banyak membantu mencerahkan kekeliruan. Tugas mereka yang berautoriti ialah memberi sumber kekuatan prasarana. Minta maaf banyak-banyak. Jika politik terlalu menyaluti agama sekalipun, sinar agama tetap menyerlah. Tetap terang benderang. Tetap menyilaukan. Allah tetap membantu yang baik. Sesunguhnya Islam itu indah. Lihatlah dari sudut mana sekalipun, keindahannya tetap terpancar dan terpencar.


Ambillah iktibar. Kepada mereka yang ditimpa cemuhan anggaplah ianya suatu ujian. Suara-suara sumbang itu harus dianggap sebagai dorongan untuk bekerja lebih kuat lagi ke arah kebaikan. Pada hakikatnya yang baik tetap mendapat pertolongan Allah. Insyaallah. Ikhlaskan hati dan perasaan. Teruskan usaha yag baik semata-mata kerana Allah. Bukan untuk yang selain dariNya. Bagi yang terlajak kata inilah masa untuk muasabah diri. Surut sebentar ke belakang untuk melihat kembali salah silap yang telah berlaku. Sama-sama kita menginsafi diri kita atas kelemahan kita sebagai manusia yang tidak sunyi dari khilaf. Mudah-mudahan mendapat keampunan Allah. Mohon maaf atas salah silap.

No comments:

Post a Comment