Monday, September 8, 2014

Bingkisan Di Kaherah: Mensucikan Keindahan Ciptaan Allah

Jalanraya di bandar Matruh. Menghala ke tepi pantai utamanya.

Antara pelancong antarabangsa yang menziarahinya. Sementara berada di Mesir mereka mengambil peluang untuk berada di sini.

Laut terbentang luas di hadapan.

Jalanraya menuju ke pantai dihias indah menggamit pelancong.


Apabila kita berada di sesuatu tempat dalam jangka waktu yang lama kita merasakan bahawa itulah sahaja persekitaran yang paling baik untuk kita. Kita dengan sesuatu yang sudah terlalu biasa. Zon selesa yang sangat dimengerti. Islam banyak mengajar kita supaya banyak mengembara. Melihat dengan mata kasar dan dengan mata hati. Banyak kelainannya yang kita temui. Banyak budaya yang perlu difahami. Banyak tanda dan alamat yang hanya mata dan hati sahaja yang mengetahui. Yang penting kita menemui sesuatu yang baru. Banyak yang mengujakan. Banyak pengajaran. Banyak iktibar. Melihat dengan ilmu adalah lebih baik dari melihat hanya menjamu mata. Tanda-tanda kebesaran dinikmati untuk dimengerti bahawa kita terlalu kerdil untuk tidak mungkin banyak bersyukur. Setiap yang dilihat adalah dengan sendirinya sesuatu ciptaanNya yang hanya dari qudrat dan iradahnya. 

Matruh seperti juga bandar-bandar pelancongan dan peranginan tepi pantai. Namun kerana letaknya di tepian Laut Mediterranean, pengunjungnya sangat ramai. Pantainya penuh sesak dengan manusia yang ingin menikmati musim panas sepuas-puasnya. Mandi dan menyelam bukan lagi dikira banyaknya. Pantai utama Matruh dilingkari bandar yang penuh dengan hotel-hotel yang tinggi. Mengadap ke laut luas. Air laut Mediterranean memukau juga. Selain dari kejernihannya, warnanya yang berlapis-lapis dari jernih ke hijau dan ke biru menimbulkan suatu kemanisan berada di sini. Penulis tidak dapat untik bermandi-manda. Sudah puas mandi di laut sewaktu tinggal selama enam tahun di Kuala Terengganu dahulu. Selalu juga ke Port Dickson dan Tanjung Bidara. Laut bukanlah lagi sesuatu yang luarbiasa. Cuma penulis menjejak Cleopetra. Menjejak bangsa yang berbagai di bumi anbia ini. Silih berganti di sepanjang pantai Laut Maditerranian. Yang juga dipanggil Laut Tengah. Atau Laut Putih.

Sewaktu masih di sekolah rendah dahulu penulis terbaca cerita-cerita yang berlatarelakangkan Timur Tengah. Pada awal-awal tahun 1950an dahulu sudah mengetahui nama-nama yang sekarang penulis jejaki.

Laut Merah.
Bukir Tursina.
Laut Maditerranean. Laut Tengah. Laut Putih.
Padang Pasir Sahara. (dari bahasa Arab  ﺻﺤﺮاء bermakna padang pasir).

Kali pertama melihat dan menjejak kaki untuk merasa basahan air Laut Mediterranean tentulah sesuatu yang nostalgik berbanding ceritanya yang dibaca kira-kira 60 tahun dahulu. Ya, 60 tahun dahulu. Alhamdulillah, Allah memberi peluang dan ruang untuk sampai di sini. Menjejak sendiri kaki ini. Merenung dengan mata ini. Mendengar dengan telinga ini. Berdenyut dengan hati ini. Disedut udara nyaman yang mengasyikkan berzaman empayar demi empayar. Sesungguhnya kembara membawa manusia bukan tubuh badannya sahaja. Tetapi perasaan, naluri, gerakhati dan psikologinya. Tentu sahaja iklim dan suhu bukan kebiasaan kepada kita. Panasnya bukan kebiasaan kita. Sejuknya juga bukan kebiasaan kita. Namun begitu apabila tahap kesyukuran kita berada pada tempat yang tinggi maka segala-galanya menjadi mudah. Kesemuanya anugerah dari Allah Yang Maha Mengetahui. Mensyukuri nikmat itu sahaja sudah cukup mengujakan. Ramai orang lain yang hanya teringin. Untuk sampai di sini bukan sesuatu yang mudah. Bagi yang sudah sampai tentulah perlu diperbanyakkkan bersyukur.

Di mana-mana ada tarikan pelancong, ramai sungguh yang menjejakkan kakinya. Banyak yang dipandang seperti tidak puas. Yang indah dirakam. Dialbumkan. Disebarkan. Ditatap balik puluhan tahun dari sekarang. Flashback itu memainkan peranannya yang tersendiri. Rakaman minda diperkukuh dengan rakaman kamera. Kamera merakamkan secara pegun. Tanpa perasaan apa-apa. Gembar memberikan imej untuk diceritakan oleh mereka yang mengambilnya. Oleh mereka yang berada di tempat itu. Pada titik masa itu. Cerita manusia itulah yang membarisi perasaannya. Catatan peribadinya. Pelakunya dan mungkin sebagai pelakonnya. Hanya mereka yang pernah berada dalam situasi yang sama dapat mencatatkan perasaannya. Mencatatkan keterujaannya. Cerita Laut Mediterranean bukan cerita kecil. Terlalu banyak pergolakan politik berada di dalamnya.

Bangsa Carthage pernah berada di sini.
Bangsa Greek membina empayarnya.
Bangsa Rom membina kegemilangannya.
Perancis, British, Itali dan Jerman pernah berada di sini.
Perlayaran Columbus dan Magellan mencetuskan rangsangan besar terbukanya Terusan Suez walaupun idea mengenainya pernah diutarakan pada zaman Umar al-Khattab menjadi Khalifah ke-dua dahulu.


Tentu sahaja sangat teruja berada di bumi anbia yang banyak sejarahnya. Sebelum ke Timur Tengah dahulu ada sahabat yang memberi pesanan. Selalu positif di bumi anbia. Paling baik banyak berdoa. Jangan sekali-kali negatif walaupun banyak yang kita lihat tidak menyenangkan hati. Apa-apa yang kurang elok serahkan sahaja kepada Allah Yang lebih Mengetahui. Mengambil sikap positif sebenarnya menjadikan kita lebih santai. Hati lebih sejuk. Perasaan lebih damai. Banyak hal yang di luar kuasa kita untuk mengubahnya. Anggaplah melihat itu suatu nikmat. Mengalaminya suatu nikmat yang lebih besar. Kegusaran kita hanya sementara kita berada dalam situasi itu. Situasi yang berlalu begitu sahaja. Just a passing situation. Tidak pernah berkekalan. Untuk dialami sementara sahaja. Untuk membezakan antara yang bersyukur dengan yang hanya banyak merungut. Kita tidak boleh mendidik orang lain sekelip mata begitu sahaja. Banyak masa yang diperlukan untuk membina budaya dan tamadun.

Pantai ini sebuah teluk yang indah. Membulat dari Laut Mediterranean. Airnya kelihatan berwarna antara biru muda dan biru laut.

Pagi hari sebegini (pukul (9,00 pagi) belum lagi ramai pengunjungnya. Banyak kawasan lapang.

Kerusi belum disewa. Ruang belum berpunya. Bagi yang ingin berenang puas tanpa banyak gangguan pelancong lain.

Peniaga juga belum membuka kedainya. Di hujung sana pelancong mungkin masih ramai yang lena di hotel masing-masing.

Jalanraya di tepi pantai ini masih lengang. 

Penulis selalu terpesona dengan menara masjid yang tinggi dan berkembar. Di mana sekalipun di Mesir ini, masjid tetap ada. Di Matruh pula masjid-masjid besar berada di kawasan pantai. Berhibur tetapi tidak melupakan ibadat.

Sedikit demi sedikit pengunjung pantai mula datang. Tidak ada bezanya bahawa ini adalah di Mesir. Di tepi Laut Mediterranean.

Tidak lama lagi mereka akan memenuhi segala ceruk ruang yang ada di pantai ini, Di mana sekalipun pantai kelihatan serupa.

Lampu jalan menghiasi pemandang sepanjang pantai. Jik apandai menghias dan jika pandai merencanakan bajet keindahan dapat dicipta, Seni dapat diperaga.

Sebuah arca di tengah bandar Matruh.


Sunday, September 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Sepetang di Pantai Laut Mediterranean




Imej ini dirakamkan dari Hamam Cleopetra. Kebetulan sesosok tubuh seorang wanita berada di hujung pantai. Jingga dan langit kirmizi menjadikan imej ini terlalu syahdu. Saat mentari kian berlabuh. Saat itu hati bertambah sayu. Apakah wanita itu kematian kasih? Air, warna dan mentari saling menyatu membawa erti yang dalamnya bak Laut Mediterranean itu sendiri. Setenang air laut, berkocak jua dek luasnya yang terbentang. Begitu juga hati terusik kerana lambang-lambang yang singgah menyapa rasa. Berbaur antara ria, rawan dan rindu. Saat sebegini tidak selalu datang menerpa. Datangnya tanpa diduga. Anugerah ilahi.




Mentari senja yang hangatnya kian pudar
Yang menjingga mata meredup
Di sini bayu hangat membawa segalanya pergi
Bersama masa lalu yang pantas berpapas
Sendiri merenung jauh masa yang indahnya
Dibawa zaman berlalu bersama air pasang dan surut.

Senja itu menadah datangnya harap
Di gigi air menjejak kaki
Deru ombak beralun menjejak pantai
Mengubah pasir halus dari sarang karangnya
Apakah di sini masih ada harap dan doa?

Tirai senja itu berlabuh jua
Waktu yang cukup sukatnya
Musim panas di hujung hari
Kehangatan yang tinggal saat perginya.

Dalam senja itu hanya bayangan masa lalu
Indah kemilau bersama bayang jingga mentari
Menjauh dan berlabuh
Setia ditinggalkan sejarah yang berlalu.

Esok dan ku nanti esok
Subuh pagi akan datangmu lagi
Cahaya kemilau yang menghidup segala
Memanjang zaman berzaman.






Menjelang senja itu sinar suria kian redup.

Bebayang kian kelam.

Kemilau pantulan terakhir cahaya.

Kehangatan yang semakin kendur.


Renunglah sementara ada.

Esok entah bagaimana datangnya. Doa dan harapan dipanjatkan.


Di celah-celah harapan hari ini untuk harapan hari esok.

Cahaya semakin jingga. Dingin semakin menerpa.

Dalam kocakan air Laut Mediterranean senja itu air tetap pasang dan surut mengikut fitrahnya.


Dan cahaya jingga itu datang lagi dan lagi bila senja menjelang. Esok dan lusa atau tulat dan langkat jingganya menggamit rindu berkala.

Siang kian berlabuh. Berehat dari panas. Mencari damai malam yang penuh dengan rindu.


Turunlah apa yang dahulunya tinggi. 


Membawa diri jauh dari hiruk pikuk siang hari.


Hingga di sini waktu membatas diri. Siang dan panas yang pergi. Insan kerdil seperti kita tetap mengharap datangnya lagi.


Berlabuhlah kerana janjinya begitu. Malam ini kita diulit keindahan beradu dengan mimpi penuh harapan.


Tidurlah mata. Mimpilah seadanya. Rindumu dan rinduku bersama jaga esok subuh dengan azan mengagungkan Allah.

Saturday, September 6, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Legenda Cleoptra


Pada pandangan mata kasar lorong ini tiada warnanya. Alhamdulillah lensa kamera merakamkan sesuatu yang luarbiasa. Lorong ini membelok ke kiri dan kemudiannya ke kanan. Dari hujungnya air menderu masuk bersama ombak dan alun. Memang nampak selesa berendam di sini. Air datang dan pergi pada masa air surut. Pada masa air pasang ianya tepu dengan air. Di lorong sempit ini Cleopetra dan Mark Anthony memadu kasih. Penulis izinkan pembaca berimajinasi sendiri tanpa panduan dan gangguan. 


Lorong ini memang sempit. Tidak boleh berselisih. Maknanya masuk beriring dan keluar juga beriring. Panjangkan imajinasi anda.



Dari luar ianya hanya bongkah batu. Dj dalamnya banyak rahsia zaman dan rahsia sejarah.


Kelihatan dari jarak jauh. 

Di bahagian dalam. Ruang yang sederhana lebarnya.


Sewaktu filem mengenai Cleoptra lakonan Elizabeth Taylor dan Richard Burton heboh ditayangkan penulis hanya sempat membaca synopsisnya. Ketika itu penulis beranggapan bahawa Cleopetra adalah dari salasilah Firaun yang dianggap zalim. Membaca catatan orang lain yang bukan dari sumbernya banyak yang tersasar. Di Matruh barulah penulis mendapat gambaran yang lebih jelas bahawa Cleopetra bukan orang Mesir. Bukan orang Qibti. Bukan orang Berber yang ramai menghuni di kawasan utara Afrika. Cleopetra adalah orang Greek. Kelangsungan empayar Greek masih ada di Mesir ketika itu. Walaupun era Alexander The Great lebih awal dari Cleopetra namun lagenda dan metos mengenai Cleopetra banyak dikaitkan dengan empayar Rom pula. Tidak cukup dengan Julius Ceasar yang menggilai dan mengahwininya malah rakan karib Ceasar iaitu Mark Anthony turut menggilai dan mengahwini Cleopetra. Kisah itu diabadikan dalam sejarah Greek dan Roman. Menjadi percintaan yang epiknya merentas zaman. Di Mesir banyak imej Cleopetra di mana-mana. Barang hiasan. Kain baju. Lukisan. Seramik dan sebagainya.

Sejarah menjejak Cleopetra dari Iskandariah (Alexandria – dibina dan mengambil sempena nama Alexander The Great) hingga sepanjang pantai Laut Mediterranean. Matruh berada hampir dengan sempadan Libya-Mesir. Kira-kira 260 kilometer dari Iskandariah. Namun begitu di sekitar Matruh ada tempat yang dinisbahkan kepada Cleopetra. Mungkin sebagai maharani, Cleopetra banyak mengembara dari satu jajahan ke satu jajahannya yang lain hinggalah ke Matruh. Bukan itu sahaja dia merentas padang pasir yang kering kontang untuk sampai di Siwa. Kira-kira 220 kilometer dari Matruh. (InsyaAllah ceriteranya dalam episod lain). Orang Greek dan Roman mencatat sejarah mereka. Terutamanya perjalanan dan kembara pemerintah dan keluarga diraja dan orang besar mereka. Kerana itu pencinta sejarah tidak pernah kering maklumat mengenai sejarah bangsa Greek dan Rom. Di Ijlun, Jordan banyak gelanggang pertarungan pahlawan-pahlawan mereka tetapi di Mesir banyak tempat yang dikaitkan dengan Cleopetra. Alexander The Great tidak banyak diceritakan kecuali perjalanannya ke Siwa dan kemudiannya membina Alexendaria (Iskandariah) dan jasadnya disemadikan di situ.

Terdapat sebuah tempat lapang yang tohor airnya pada masa air surut. Sebuah gua yang unik dikatakan tempat Cleopetra mandi bersama kekasihnya, Mark Anthony. Di dalamnya terdapat sebuah kawasan lapang yang terbuka tanpa bumbung. Sebuah rorong semulajadi atau mungkin buatan menuju ke arah keluar. Di hadapan lorong itu pula terdapat selapis batu yang menghalang ombak besar. Yang masuk ke dalam lorong hanya deruan air yang separas pinggang pada masa air pasang. Pada masa air surut deruannya separas lutut. Bagi pasangan yang sedang intim memang mengasyikkan berada di lorong sempit itu. Sangat romantik. Terlindung pula dari pandangan orang. Bagi Cleopetra dan Mark Anthony mereka berdua  dikawal oleh tentera yang ramai dan setia. Berdua-duaan tiada siapa yang mengganggu. Penulis yang berada seketika di ruang itu teruja juga membayangkan senario masa yang sudha ribuan tahun itu. kebetulan senja menjelang tiba. Suasana menjadi terlalu romantik. 


Terakam detik-detik matahari melabuhkan diri. Terdapat imejnya yang memaparkan antara pantai, matahari, laut dan wanita yang bersendirian. Sayu seketika melihat keindahannya. Subhanallah. Kesempatan yang bukan sebarangan datang menerpa. Jika di Bukit Tursina penulis melihat matahari timbul, di Matruh penulis melihat matahari melabuhkan dirinya. Nanti ada cerita bagaimana orang Greek cuba memahami adanya matahari pada waktu siang dan bagaimana matahari bergerak pada waktu pagi dalam bentuk bayi yang baru lahir.  

Laluan menuju ke Hamam Cleopetra (Tempat Cleopetra Mandi)

Kepada mereka yang pertama kali berada di sini, tidak dapat meneka apa sebenarnya istimewanya tempat ini. Dari jauh hanya pantai dan batu.

Dua bongkah batu yang bersebelahan. Yang di kanan seolah-olahnya mengawasi yang di kiri.

Bongkah batu bak kepala. Tegak setia di tepi pantai. Mengadap Laut Mediterranean yang terbentang luas.

Tanpa rakaman sejarah pantai ini hanya batu dan air. Landai menganjur ke laut. Air pasang dan surut silih berganti.


Antara dua zaman yang terakam. Kita hanya pengembara sementara. Lelahnya di sini. Zaman itu telah berakhir lama. Bersama siang dan malamnya hari.

Friday, September 5, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Menjejak Cleopetra di Marsa Matruh

Keajaiban pantai ini ciptaan Allah. Airnya berlapis warna. Pada ketika-ketikanya terdapat tujuh lapis warna dari tebing pantai hingga biru laut di bahagian yang dalam. Ianya menjadi keajaiban kepada orang Mesir dan pelancong yang datang.


Bumi anbia Mesir penuh sejarahnya. Pernah dijajah bangsa Greek dan Roman pada zaman silam. Pernah diduduki oleh Perancis dan British pada kurun ke-20.  Sejarahnya berlapis lapik untuk dijejak. Alexander The Great pernah berada di bumi ini. Julius Ceasar dan rakannya Mark Anthony pernah di sini. Sepanjang pantai Laut Mediterranean adalah sejarahnya yang tersendiri kepada Mesir. Bangsa Greek lebih awal membina empayar besar di sekeliling laut Mediterranean ini. Tapak mereka bukan di Greece. Tetapi di bumi anbia seperti di Mesir, Jordan dan di bumi Palestin. Bumi Syam pada umumnya. Penulis temui tingalan Greek di Umu Quis, Irbid, Jordan. Kali ini penulis menemui lagi jejak Greek di bumi Mesir. Begitulah bangsa yang besar meninggalkan jejaknya. Meinggalkan sejarahnya. Diingat dan dicari bekasnya.

Pagi Jumaat 29 Ogos 2014. Kami seramai 35 orang bertolak ke Marsa Matruh arah ke barat dari Kaherah. Suatu perjalanan dengan bas yang jauhnya kira-kira 450 kilometer. Kira-kira tujuh jam perjalanan. Perjalanan yang bermula pada pukul 3.00 pagi itu membawa beberapa orang warga emas, pelajar-pelajar dan empat orang kanak-kanak. Kesemuanya rakyat Malaysia kecuali tiga peserta Arab dan seorang lagi sudah tentu pemandunya. Perjalanan malam menyembunikan keindahan panorama padang pasir yang kosong dan sunyi. Malam itu hanya indah untuk tidur tanpa diulit mimpi. Dalam minda membayang indahnya Pantai Ajaib (disebut Agiba) dalam loghat Mesir. Bagaimana nantinya yang dinamakan hamam Cleopetra.  Tempat Cleopetra mandi air laut. Itu belum lagi lawatan ke Siwa. Sebuah wadi atau oasis di tengah padang pasir tetapi menghidupkan suatu tamadun dan ekonomi yang besar kepada Mesir hingga kini.

Biasalah dalam perjalanan yang jauh. Pastinya dirancang tempat sesuai untuk berehat. Merehatkan otot kaki yang kejang. Mencari udara segar di luar bas. Pada alam yang luas. Tentunya melepaskan hajat jasad yang penuh dengan air membuak. Ada yang kehausan. Teh dan nescafe dipesan untuk memanaskan badan. Sejuk pendingin hawa hendak dibuang sebentar sebelum sejuk semula apabila perjalanan diteruskan sebentar lagi. Malam itu kami berehat di R & R yang dinamakan Café Umar Mukhtar. Ironi juga kerana Umar Mukhtar berjuang di bumi Algeria dan bukan Mesir. Mungkin semangat juangnya merentasi utara Afrika hingga ke Mesir. Untuk menyelamatkan sebuah bangsa dan negara Umar Mukhtar mengorbankan nyawanya di tangan penjajah Italy. Di cafe ini minda penulis melayang mengenangkan bangsa Arab yang banyak malangnya hingga sekarang.

R & R di Mesir tidak seperti di Malaysia. R & R di negara kita lengkap, banyak dan pilihan tersedia. Kekemasan dan kebersihan jauh lebih terpelihara. Masalah kotor menjijikkan hampir tidak pernah berlaku. Tempat yang dijangka kotor selalu dipantau dengan rapi. Ada pihak berwajib yang menguruskannya. Di Mesir perkara seperti itu tidak wujud. Seorang pengusaha melakukan yang sebaiknya mengikut budaya setempat. Jika bersih, bersihlah. Jika tidak terpaksa kita hadapi seadanya. Kita hanya boleh merungut dalam diam. Selagi taraf ilmu belum tinggi selagi itulah duduknya di bawah. Selagi taraf berfikir belum tinggi maka banyak yang terabai dari jangkauan fikir itu sendiri. Selagi taraf hidup belum tinggi maka harapan masih jauh untuk digapai. Barangkali padang pasir tidak memungkinkan kita terlalu mengharap yang terbaik. Namun begitu kemahuan dan usaha boleh dilakukan untuk mengubah ke arah kebaikan.

Beruntung juga mengikuti rombongan sesama Muslim. Waktu solat dijaga. Solat jama’ dan berjamaah dicari kesesuaiannya. Selagi boleh peluang itu diambilkira. Perjalanan untuk menyaksikan kebesaran ciptaan Allah perlu melalui sesi penat dan letih. Perjalanan selama tujuh atau lapan jam bukan calang-calang perjalanan. Perjalanan itu sendiri adalah pengalaman mahal yang tidak semua orang dapat mengalaminya. Apatah lagi di sekeliling hanya padang pasir malam yang sunyi. Jarang sekali berpapasan dengan kenderaan lain sama ada yang sama arah atau yang bertentangan arah. Maknanya kenderaan yang digunakan mestilah yang sudah diservis. Sudah teruji. Jika berlaku sesuatu, bantuan hanya boleh datang dalam masa lebih tiga atau empat jam. Tanpa bekalan air yang cukup semakin banyak masalah yang lebih besar. Memang perlu banyak berdoa. Banyak mengharap rahmat Allah.


Setiap perjalanan sampai akhirnya di destinasi. Bandar Matruh yang cantik di tepian pantai Laut Mediterranean memukau mata yang keletihan. Laut Putih kata orang Mesir. Airnya membiru. Memancar dalam cahaya musim panas. Kebetulan di Mesir masih musim cuti sekolah. Di akhir musim panas. Maka ramailah pelancong tempatan berada di Matruh. Pelancong asing dari Eropah masih belum ramai. Namun begitu pantainya meriah dengan pengunjung. Hotel dan apartmen penuh dengan manusia silih berganti. Mereka menikmati musim cuti panjang. Keduanya menikmati musim panas yang datang sekali setiap tahun. Minggu-minggu mendatang ini suhu sudah mula menurun. Falling dalam istilah di Amerika Utara. Fall is coming. Musim luruh (fall) di Mesir tidak terasa dan tidak kelihatan tanda-tandanya yang nyata kecuali suhunya yang rendah. Daun berguguran seperti di Toronta, Canada dahulu tidak ada. Tidak juga seperti di Pittsburgh, USA dahulu. Lain padang lain belalangnya. Begitulah ketentuan yang Allah berikan kepada kita. Tiga hari ini penulis di Matruh. Whatsapp dan facebook sahaja yang menghubung sahabat dan keluarga. 

Keindahan yang sukar ditemui. 

Ciptaan Allah menjadi nikmat yang tidak terhingga. Mata dan perasaan menjadi syahdu.

Terbentang menjadi santapan rohani. Hanya dengan kun fayakun Allah hamparkan kecantikan yang tiada tolok bandingnya.

Pelancong dari dalam dan luar tidak putus-putus sepanjang masa.

Sesiapapun teringin berada di sini. 

Suatu detik masa yang terakam abadi. Kebiruan yang menggamit rindu.

Berada di sini adalah suatu sejarah yang tersendiri. Detik itu di tempat itu abadi dalam kenangan.

Kebiruan yang memungkinkan kenangan mengusik jiwa.

Begitulah keindahan yang dicipta Allah. Warna-warna air yang seolah-olahnya panca warna sedangkan apabila didekati di mana bahagianpun warnanya adalah sama. Kedalaman air yang membezakan warna air itu.

Pagar ini bukan penghalang keindahan. Keselamatan untuk yang terlalu ghairah terutama kanak-kanak yang selalunya mudah terabai.

Masing-masing mengabadikan sesuatu yang langka dan nadir. Hanya di sini satu-satunya.

Tidak cukup dari atas dan dari jauh. Ramai yang ingin turun melihat dari dekat air yang banyak warnanya. 

Di gigi air ramai yang berkampung. Berpayung di bawah terik matahari musim panas. Ramai juga yang berendam dan berenang. Angin pula bertiup nyaman. Bak dibuai mimpi indah.

Hamparan batu di tebing pantai memberikan warna kekuningan. Alunan ombak memukul pantai. Kocak air yang mendesir perlahan.

Melihat tidak cukup tanpa masuk ke dalam air. Berenang dan merasa masin airnya. Mungkin hanya sekali dalam seumur hidup berada di sini.

Warna biru muda yang beralun airnya. Indahnya hanya kepada mata yang melihat. Yang bersabung dengan apa yang ada.

Di tepi pantai ada juga yang berniaga kuda. Bukan untuk dijual tetapi untuk disewakan duduk di palananya. 

Dari jauh hanya warna kebiruan Laut Mediterranean.

Selamat tinggal Pantai Ajaib. Agiba Beach.