Gambar 1
Asalnya kuali alluminium ini putih melepak. Kerana diabaikan kebersihannya terlalu lama maka wajahnya menjadi seperti di atas. Biasa rasanya kita melihat kuali seperti ini. Ada yang menganggapnya sebagai lumrah. Hitam legam di luarnya. Di dalamnya mungkin comot tidak tentu hala. Kata peribahasa, periuk mengatakan belanga hitam. Kepada orang dahulu, periuk, belanga dan kuali tiada yang tidak hitam. Mereka memasak dengan menggunakan kayu api. Tiada pula teknologi untuk membersihkan kehitamannya. Sekarang ini jika kita menemui periuk dan kuali yang hitam begini rasanya di luar kebiasaan. Out of context. Di kedai makan biasanya beginilah rupa kuali dan periuknya. Kita dilarang menjenguk ke dapur. Apabila terjenguk patah selera jadinya. Kuali hitam seperti dalam gambar ini sudah terlalu tebal hitamnya. Jika perlu dibersihkan perlu dikikis dengan pisau. Berjam-jam lamanya. Cukuplah dalamnya sahaja dibersihkan untuk menghilangkan rasa loya dan mual melihatnya. Tolonglah bersihkan mana-mana yang hitam sepertinya. Hajjah Aminah yang berusia 90 tahun takut melihat kuali atau periuk atau cerek yang sebegitu hitamnya. Maruah pada diri.

Gambar 2
Periuk alluminium ini kelihatan bersih, cantik dan berkilat. Dijaga rapi. Digosok menggunakan berus periuk dari keluli dan sabun buku (jenama Kapak atau Buruh) atau sabun mandi (buku). Perlu dilakukan setiap kali selepas digunakan. Dilap dengan tuala bersih dan dikeringkan. Dipandang cantik. Sejuk mata memandang. Siapa sahaja pasti tertawan. Apabila sudah berkilat sebegini, teruskan dengan menyenggaranya sahaja.
Gambar 3
Yang ini periuk keluli. Sifatnya kilat. Lebih senang membersihkannya. Tapi lebih sukar menjaganya. Yang cantik tentu banyak olahnya.
Gambar 4
Perlu pula teliti untuk membersihkan dan mengelapnya. Jangan ternampak bekas jari. Kusam nantinya.
Gambar 5
Yang ini periuk kalis lekat Non stick. Minta maaf. Tolong gunakan sudip, senduk atau sudu plastik dan kayu sahaja. Sahaja dan hanya itu sahaja. Itupun tidak boleh terlalu ganas. Hilang funfsinya apabila tercalar atau terkupas lapisan kalis lekatnya.
Periuk, kuali atau apa sahaja perkakas memasak perlu sentiasa dibersihkan. Digilap sewajarnya. Dilap dengan tuala yang paling bersih. Elakkan menggunakan tuala yang digunakan untuk mengelap tangan umpamanya. Jauhkan dari percikan air atau dipegang oleh anak-anak kecil. Gunakan semula dengan cermat. Ulang proses untuk membersih dan menggilapnya setelah digunakan. Sekiranya penjagaan kebersihan ini terabai maka natijahnya ialah periuk, kuali, cerek dan lain-lain peralatan memasak yang lain menjadi hitam seperti gambar di atas. Tentu sahaja kurang menarik untuk memandangnya. Hajjah Aminah tidak memiliki periuk keluli (stainless steel) atau periuk kalis lekat. Gambar hiasan ini sekadar perbandingan. Namun begitu jika kesemuanya tidak dijaga tahap kebersihannya dengan sewajarnya akan terjadilah seperti dalam Gambar 1.
Gambar 6
Di dapur, kita kena ada sense of beauty. Kecenderungan mencantikkan suasana. Apa-apa yang diletak dibariskan dengan teratur. Ambil kira saiz, tinggi dan rendahnya. Untuk lebih cantik pastikan jenama atau labelnya berada di hadapan. Selari dan sekata. Tidak mungkin ada yang menafikan kecantikannya.
Gambar 7
Cerek elektrik. Selepas digunakan ditutup dengan tuala atau selayaknya. Menghalang debu atau unsur asing dari masuk atau terjatuh ke dalamnya. Begitu juga jak atau bekas minuman. Jangan biarkan terdedah.
Gambar 8
Apabila semua hal diambilkira, gambar menceritakan segala-galanya. Alah bisa tegal biasa. Semuanya menjadi mudah jika sudah dibiasakan. Sudah mendarah daging. Yang penting ialah untuk memulakannya. Cubalah.
Gambar 9
Susunan apapun perlu dirapikan. Dapur bukan tempat sebarangan. Lebih rapi lebih seronok berada dan melakukan aktiviti memasak dengan tenang, santai dan menyeronokkan. Jika ada tetamu, tentu meliar mata mereka memandang keliling. Mungkin hilang selera mereka kerana terkedu melihat susunan dan kerapian di dapur.
Gambar 10
Ini adalah stok pinggan mangkuk. Disusun rapi dalam kabinet. Biarlah letaknya di kawasan dapur. Senang diambil. Senang disusun. Hajjah Aminah menghesot sambil duduk untuk merapikan susunan sebegini di rumahnya. Asyik dia melakukannya. Berminat dan cenderung untuk dilihat kemas dan rapi.
Gambar 11
Kain dan sabun pencuci pinggan. Lebih cantik dan lebih baik dipandang mata. Kain yang digunakan biarlah menasabah besar dan bersihnya. Nylon seperti dalam gambar ini lebih baik. Jangan dibubuh air di dalamnya. Apa sahaja peralatan makan seperti pinggan, mangkuk, besen, sudu, garpu, senduk dan sudip hendaklah dibuang minyaknya terlebih dahulu sebelum disabun. Buang minyaknya dengan tangan, dengan jari atau dengan tisu. Curahkan sabun seperlunya ke atas kain. Sapulah peralatan yang hendak dibasuh tadi berperingkat-peringkat. Setelah beberapa basuhan kain yang digunakan hendaklah dibasuh dahulu untuk membuang minyak yang melekat. Jika tidak peralatan yang dibasuh nampak bersih. Namun apabila dipegang masih teras berminyak. Tidak elok untuk peralatan yang berjenama mahal kerana apabila disimpan akan mendatangkan bau yang tidak enak. Atau rupanya tidak menyinar. Kusam dan kelam. Bekas sabun dan kainnya hendaklah dibasuh selalu setelah digunakan. Sebelum tidur bersihkan dari sebarang kotoran dan jika boleh bebas dari sabun. Demi mengelakkannya berbau busuk pada pagi esoknya.

Gambar 12
Cawan, koleh atau gelas yang dibasuh dituskan dengan teratur. Dalam kabinet semasa menyimpannya juga perlu dilakukan hal yang sama. Tangkainya menghala ke satu arah sahaja. Jangan simpang-siur.
Gambar 13
Begitu juga pinggan, mangkuk dan apa sahaja peralatan lain yang digunakan. Disusun mengikut saiz. Biar nampak rapi serapinya.
Gambar 14
Papan pemotong seperti ini digunakan untuk jangkawaktu yang lama. Perlukah ianya hitam, comot, selekeh dan menjijikkan? Tentu tidak. Bersihkan selalu dengan sabun pembersih. Atau alat pembersih yang lain selayaknya. Biar dilihat seperti baru setiap masa. Mungkin ada orang yang berasa hairan. Untuk pameran atau selalu digunakan? Jika digunakan masakan tidak kotor? Begitulah bezanya antara yang mengetahui cara membersihkannya dengan yang tidak mengetahuinya. Semuanya di minda dan di hati. Cenderungkan hati ke arahnya. Anda pasti mampu mengubahnya.
Kepada orang dahulu mungkin benar. Orang perempuan
duduknya di dapur. Sewaktu penjajah giat mendidik anak bangsa, anak-anak
perempuan agak tercicir kerana ramai ibu-bapa berpendapat bahawa pelajaran
tidak memberi manfaat besar kepada anak-anak perempuan. Mereka akan bersuami
dan akhirnya duduk di dapur sahaja. Pelajaran tidak dapat dimanfaatkan.
Begitulah apa yang baru dimulakan banyak skeptismnya. Negatif yang banyak.
Kerana itu ramai antara mereka yang berusia melebihi 70 tahun tidak berpeluang
menjejak kaki ke sekolah. Walau bagaimanapun sekolah hanya suatu medium yang
dianggap paling unggul untuk memberi pelajaran dan pendidikan. Banyak lagi
medium lain yang digunakan oleh ahli masyarakat untuk mendidik. Mungkin tidak sekomprehensif
sekolah. Mereka belajar dari pengalaman. Belajar dari alam. Belajar dari
persekitaran. Ekologi dan iklim menjadi guru yang juga banyak didikannya.
Itulah kedudukan Hajjah Aminah. Tidak berkesempatan untuk tahu tulis baca
seperti yang dimadahkan oleh Allahyarham Usman Awang.
Keluarga Hajjah Aminah tinggal di Parit Mustafa, Parit
Sulung, Batu Pahat. Sebenarnya orang tua Hajjah Aminah berasal dari Pulau
Pinang. Hingga sekarang masih ramai keluarganya di Sungai Burung, Parit Buntar,
Perak. Rasanya seperti sudah terputus hubungan. Sudah tidak tahu siapa yang
masih ada di sana. Yang tua-tua mungkin sudah tidak ada lagi. Tidak mengapalah.
Izinkan Hajjah Aminah dipanggil mamak oleh anak-anaknya. Di Parit Mustafa,
Hajjah Aminah bertiga beradik. Ketika adiknya yang ketiga masih lagi kecil
kedua-dua orang tuanya meninggal dunia. Lalu Hajjah Aminah bertiga beradik
dipelihara oleh nenek dan bapa saudaranya di Parit Maimun, Parit Sulung, Batu
Pahat. Selang dua kampung dari Parit Mustafa.
Zaman sunti dan daranya Hajjah Aminah tinggal di Parit
Maimun. Dia bergaul dengan ramai sepupunya iaitu anak-anak bapa saudaranya. Di
Parit Maimun ramai bapa saudara dan sepupu-sepupunya. Sebagai anak perempuan
yang menumpang dia dilatih untuk banyak di dapur. Sementelahan pada waktu itu
anak dara menjadi pingitan. Tidak bebas keluar rumah. Keluarnyapun berselubung
dengan kain. Nampak sosok tubuh sahaja. Kemahiran untuk orang perempuan
dipelajarinya. Memasak, membersih, mengemas dan mejahit adalah kemahiran biasa.
Ia boleh menoreh, membuat sagu, mencucuk atap rembia (membuat atap dari daun
rembia/sagu) dan berbagai lagi kemahiran orang kampung pada masa itu. Masa yang
telah berlalu tentu banyak kenangannya. Pada usianya 90 tahun Hajjah Aminah
masih berkemahiran memasak walaupun tidak dalam kuantiti yang banyak. Cukup
untuknya dengan Haji Abas sahaja. Berkemas dan susun-menyusun masih
dilakukannya sambil duduk dan menghesot. Menjahit sudah agak sukar. Mungkin
sedikit-sedikit mengikut keperluannya.
Dapur rumahnya sentiasa kemas. Haji Abas sangat
perihatin dengan sampah. Walaupun Hajjah Aminah yang banyak di dapur, apabila
ia ke dapur Haji Abas memerhati keliling. Apabila ada cebisan sampah
dimasukkannya ke dalam bakul sampah. Bakul sampah sentiasa diurus untuk dibuang
ke tong sampah. Civic Haji Abas tentang kebersihan sangat tinggi. Hajjah
Aminah pula sentiasa mempastikan periuk belanga dalam keadaan berkilat. Disusun
di tempatnya dengan rapi. Stok pinggan mangkuknya pula disusun rapi dalam
kabinet. Malah apabila berada rumah anak-anak dia berusaha menyusun pinggan
mangkuk yang ada jika diketahui tempat menyimpannya. Akan disusun dengan serapinya.
Teliti menjaga harta miliknya. Di dapur rumahnya boleh diperhatikan:
1
Sabun pencuci pinggan yang dijaga rapi.
2
Pinggan mangkuk basah yang tersusun.
3
Sudu dan garpu di tempatnya.
4
Periuk, kuali dan cerek digilap sekilatnya.
5
Alatan makan minum dalam kabinet tersusun rapi.
6
Lantai rumahnya bersih.
7
Semua barang dan alat berada di tempatnya yang khusus.
Didikan dari nenek dan ibu-ibu saudaranya menjadikan
Hajjah Aminah sentiasa peka dengan dapur rumahnya. Ada sahaja yang dibuatnya.
Dalam usianya sekaramg dia tidak pula ingin berehat panjang. Apa-apa sahaja
yang boleh dilakukan akan diusahakan untuk dilakukannya. Walaupun sekarang ini
ada pembantu rumah sambilan, Hajjah Aminah masih tetap mahu melakukan banyak
aktiviti yang biasa dilakukannya. Alah biasa tegal biasa. Setelah usianya
mencapai 90 tahun keupayaan Hajjah Aminah banyak berkurangnya. Semangatnya yang
masih tinggi. Rasanya orang lain yang sebayanya tentu sahaja sudah tidak
berminat lagi dengan kerja bersih-membersih dan susun-menyusun. Tidak bagi
Hajjah Aminah. Ia gelisah melihat sepah dan selerak. Tidak tenteram hatinya
jika ada bahagian rumah atau alat-alat kehidupan berumahtangga yang tidak
diurus dengan baik.
Dalam soal bersih-membersih Haji Abas dan Hajjah
Aminah sepakat bersama. Antara mereka lengkap-melengkapi. Mereka berdua saling
membantu dalam soal kebersihan. Baik di dalam mahupun di luar rumah. Haji Abas lebih
berminat tentang kebersihan di luar rumah. Banyak yang boleh dilakukan. Pada usianya
sekarang minatnya masih ada tetapi tidak lagi seperti dahulu. Bukan sudah jemu
tetapi kudratnya sudah banyak berkurangan. Dia melakukannya untuk mengeluarkan
peluh. Meregang otot-ototnya. Namun begitu dia dan isterinya masih tidak
mengabaikan kebersihan pada keseluruhannya. Mana yang terdaya mereka lakukan
sendiri. Apabila anak-anak datang menziarahi mereka, anak-anak yang
mengambilalih tugas membersihkan rumah. Merehatkan mereka berdua. Masa yang
beredar membawa bersamanya kebiasaan yang tidak boleh lekang dari diri mereka. Dari
muda hingga ke tua mereka tetap menjaga kebersihan di semua bahagian rumah
mereka. Amalan yang baik begini baik untuk dicontohi. Persekitaran yang bersih
menyegarkan minda dan perasaan. Dari segi psikologi ianya melapangkan fikiran.