Thursday, August 14, 2014

Siri Tiga Puluh: Katil Bila Tidur Bantalnya

Selepas bangkit dari tidur katil ini dikemas secantiknya supaya malam nanti gamitannya mengujakan. 

Jadikan katil seolah-olah di bilik pameran perabot. Rapi dan teratur sentiasa.

Katil yang dirapikan sebegini tentu perlu dihormati. Dijaga kerapiannya. Semoga sesiapa yang melihatnya ingin mencontohinya. Jadikan amalan sepanjang hayat.


Katil  sangat sinonim kepada kehidupan waktu malam manusia. Apabila tubuh badan terasa tepu keletihan maka katillah tempat istirehat yang tiada tolok bandingnya. Berjam-jam tidur di atasnya hingga kenyang mata. Hilang kantuk. Segar tenaga kerana pulih selepas dicas dengan tidur dan rehat. Menjadi kelaziman bahawa katil adalah tempat istimewa untuk aktiviti tidur. Walaupun ada yang mentafsirkan bahawa tidur tidak semestinya hanya pada waktu malam sahaja namun pada hakikatnya 99.99% manusia memilih bahawa katil memang untuk aktiviti tidur pada waktu malam. Kerana itu Haji Abas berprinsip bahawa katil perlu bebas guna apabila bangkit dari tidur pada waktu pagi sebelum solat Subuh. Ia digunakan semula selepas solat Isya’. Sepanjang hari katil itu telah dikemas. Dirapikan. Disusun bantal di atasnya. Bersih sebersihnya. Sebelum tidur malam pula digalakkan supaya permukaan katil itu dibersihkan dari debu atau gangguan lain jika ada. Tidur di atasnya seharusnya bebas dari apa sahaja yang mengganggu tidur. Pada waktu siang katil adalah kawasan larangan. Jika boleh larangan itu 100%. Bukan untuk tidur. Bukan untuk tempat anak-anak atau cucu bermain. Bukan untuk dipijak-pijak. Katil perlu dihormati dan disayangi sebagai tempat beradu yang paling indah dan enak sekali. Santai dan selesa hingga ke pagi dalam lena yang panjang dan menyegarkan. Bangkit awal sebelum Subuh untuk qiam al-lail.

Sebagai lambang keindahan pada waktu malam katil memancarkan kegemerlapannya yang tersendiri.  Apabila solat Isya’ telah disempurnakan eloklah berehat. Tempat tumpuan tentulah katil. Ketika itu kita sangat rindukan katil tersebut. Pertamanya kerana sepanjang hari kita tidak bersamanya. Keduanya kerana mata kita sangat memerlukan untuk dipejam. Bagi yang sudah berumahtangga, ada cerita yang hendak dikongsi bersama. Jauh dari pendengaran anak-anak, menantu atau cucu. Mungkin merancang masa hadapan untuk kebahagiaan bersama. Merancangkan masa hadapan anak-anak. Muasabah diri. Masalah yang perlu dikongsi. Nasihat dan rujukan antara satu sama lain. Atau pujuk-memujuk antara keduanya. Ini bermakna apabila tubuh kita dilabuhkan di katil kita inginkan katil yang siap sedia untuk tempat berlabuh pada waktu malam. Keadaannya kemas dan teratur. Bersih dan tersusun. Rata dan cantik. Sedikit harum dan meyegarkan. Sejuk mata dan perasaan. Merangsang kerinduan terhadapnya. Ke manapun kita pergi katil itu dirindui.

Keindahan dan kerapian katil adalah suatu keberadaannya yang menyambut tetamunya yang utama. Kita atau pasangan suami isteri yang selayaknya. Kita rindukan tempat kita beradu. Sebaliknya katil itu menyambut kita dengan keterbukaannya. Siap sedia untuk kita. Bayangkan, alangkah tidak selesanya kita apabila masuk ke bilik keadaannya berselerak seperti kapal pecah. Seperti tongkang karam. Seperti baru berlaku puting beliung. Seperti selepas banjir besar. Tidak tahu ke mana kaki hendak dipijakkan. Tidak tahu bahagian mana paling selesa untuk melabuhkan tubuh badan yang keletihan. Di atas katil pula ada pakaian yang baru diangkat dari sidaian. Belum lagi dilipat kemas dan disusun rapi. Ada pakaian terpakai yang berlonggok. Ada mainan anak-anak. Tidak kemas. Tidak rata. Terasa banyak debu dan sampah. Hati tidak berkata-kata? Fikiran tidak berbicara? Perasaan tidak berencana? Aduhai! Haji Abas tidak pernah menginap di hotel lima bintang. Atau empat bintang. Pengurusan katil dan bilik tidur seharusnya seperti di hotel. Bawa suasana hotel itu ke rumah kita. Jangan dihairankan suasana hotel. Kita biasakan untuk menghotelkan rumah kita sendiri. 

Katil terletak di sebuah bilik. Tempat berehat pada waktu malam. Maka bilik itu sendiri perlu menjadi persekitaran yang kondusif. Yang melambangkan keindahannya yang tersendiri. Sejak mudanya Haji Abas dan Hajjah Aminah tidak bertoleransi tentang bilik dan katil. Ianya taman larangan pada waktu siang. Lagipun apabila kita berada di bilik tidur pada waktu siang, rumah seperti tidak berseri dengan penghuninya. Tiada cerita. Tiada lawak. Tiada ketawa. Pada waktu siang  suasana ramainya rumah adalah di luar bilik. Masing-masing ada di hadapan mata. Sebab itu bilik tidur dan katilnya dibebaskan dari sebarang gangguan yang menyebabkannya tidak terurus. Seperti tiada keupayaan orang yang menggunakannya. Seperti kecenderungan mengemas diri begitulah juga seperlunya kita cenderung mengemas bilik dan katil.  Begitulah ilmu yang diturunkan oleh Haji Abas kepada anak-anaknya. Mudah-mudahan cucu dan cicit Haji Abas mengambil iktibar darinya.

Banyak yang perlu dilakukan untuk menghormati katil. Ianya perlukan latihan yang menjadi kebiasaan. Dalam hati diselitkan keinginan untuk menampilkan yang terbaik. Mengamalkan sesuatu yang baik dan boleh menjadi contoh teladan kepada orang lain. Mendidik anak-anak supaya berdisiplin dengan kekemasan dan kebersihan. Bagi mereka yang ada pembantu rumah, kemahiran mengemas rumah adalah jaminan untuk mempastikan pembantu rumah boleh melakukan yang terbaik dengan tunjuk ajar tuan rumah. Mereka tidak datang dengan kemahiran yang tersedia. Perlu di didik dengan kemahiran yang seperlunya seperti selera tuan rumah. Bantal untuk katil jangan dijadikan bantal publik. Maknanya bantal yang sama digunapakai oleh semua orang dalam rumah. Bantal untuk katil bilik A kekal di bilik A. Bantal bilik B kekal di bilik B dan begitulah seterusnya. Bantal bilik A untuk penghuni di bilik A sahaja. Untuk tetamu kita sediakan bantal tambahan. Setiap kali ada tetamu gunakan sarung bantal baru. Biar nampak baru, wangi bau sabun dan wangi kerana mungkin wangian.

Bantal juga banyak menyimpan maruah. Banyak cerita. Usah dikotorkan dengan air liur. Kotoran makanan. Baunya jangan busuk, hapak dan hangit. Bantal hanya untuk tidur. Khusus untuk tidur. Diganti pembalutnya dari masa ke semasa. Diganti sarungnya mengikut jadual sekerap mungkin. Untuk menggunakannya perlu di tempat yang bersih. Di atas tikar atau permaidani yang bersih. Tidak dicampak sesuka hati. Tidak digomol tanpa had. Seberapa yang boleh laranglah dengan tegas anak-anak dari duduk di atas bantal. Apatah lagi jika mereka memijak bantal. Malang bantal itu. Dari menerima muka dan kepala, kaki pula yang diinjakkan ke atasnya. Bantal tempat meletak kepala dan bahagian muka kita. Bukan punggung. Bayangkan anak-anak yang terkencing atau berhadas yang lain. Bantal itu juga untuk tidur? Untuk tetamu?  Tentu tidak mungkin begitu. Hormatilah bantal kerana ianya bantal.  Untuk tidur dengannya dalam keadaan wangi dan bersih. Suci dari sebarang najis. Bantal yang tidak sesuai keberadaanya tentu menyulitkan mereka yang tidur di atasnya. Kembang kempis hidungnya. Hendak mengiring ke kanan atau ke kiri terasa tidak tergamak. Menahan bau sepanjang malam. Hendak memandang bantal itupun terasa takut. Apabila pagi berkejar ke bilik air. Mandi sepuas-puasnya. Ingin membersihkan apa yang kita rasa pada bantal yang kita gunakan. Kesian tetamu. Kerana itu pemilik bantal hendaklah perihatin akan nasib mereka yang akan tidur di atas bantal itu.

Orang Melayu lazimnya bertandangan ke rumah saudara-mara. Mungkin sahabat handai yang rapat berbuat hal yang sama. Terdapat kecenderungan antara kita yang ingin untuk menziarahi keseluruhan rumah yang kita datangi. Setelah minum dan makan, minta izin untuk melawat rumah. Jenguk bilik sana. Jenguk bilik sini. Jenguk dapur. Akhirnya masuk ke bilik air. Kebanyakan antara kita memiliki perasaan aib. Segan. Imej dan maruah diri. Ketika lawatan itu berlangsung tentulah terasa aib apabila rumah tidak dalam keadaan seperti yang diharap. Tidak dalam keadaan sepertinya. Orang tidak berkata. Orang tidak bertanya. Orang hanya memandang. Kenapa orang membuat lawatan?

1                 Ingin menisbahkan antara penghuni rumah itu dengan keseluruhan keadaan   rumahnya. Rumahnya cantik secantik orangnya. Rumahnya kemas sekemas orangnya.
2                 Ingin mempelajari sesuatu mengenai rumah orang lain seperti susunan, kekemasan, kebersihan dan sebagainya.
3                 Ingin mencontohi keunikan yang ditemui semasa lawatan itu.

Andainya yang dilihat jauh dari jangkaan tentu terselinap dalam minda mereka  sesuatu yang tidak selari dengan tanggapan mereka terhadap diri kita. Rumah yang tidak teratur mungkin dilihat sebagai kekangan masa. Belum sempat diurus. Tetapi katil  menceritakan sesuatu yang lebih tragik. Lebih parah. Fatal. Apa-apa keindahan yang terdapat pada rumah dan tuan rumah terbatal kerana katil yang tidak terurus. Satu pertanyaan cepu emas yang mungkin dilontarkan.

Bagaimana suami tuan rumah boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang jurutera boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang doktor boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang guru boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang ustaz/ustazah boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang pensyarah boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang pengurus boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang pegawai tinggi boleh tidur di atas katil seperti itu?
Dan bagaimana ……
Dan bagaimana ……


Walau bagaimanpun, kegagalan mengurus bilik tidur dan katilnya bukan sesuatu yang menjadi kebiasaan kebanyakan antara kita. Ramai yang mengambil berat untuk mempersembahkan yang terbaik. Menjaganya dengan wajar. Sesekali mungkin terlepas pandang. Cuma jika boleh jadikanlah ia suatu kebiasaan klasik. Diberi nilai tambahan yang selayaknya.  Sesuai dengan sifatnya yang eksklusif.

Selalunya yang lebih aib ialah isteri. Orang menisbahkan kebersihan, kekemasan, tertib susunan kepada isteri. Walau bagaimana sekalipun suami pula tidak pula boleh lepas tangan. Isteri yang tidak berapa perihatin tentang hal itu menempelak aib suami juga. Yang terkesan namanya ialah nama suami. Tentulah disebut isteri kepada si suami. Kerana itu orang seperti Haji Abas membantu Hajjah Aminah untuk menjadikan rumah sebagai tempat yang membahagiakan. Kemas teratur, tersusun rapi, bersih dan persekitarannya kondusif dan menyenang serta menyegarkan. Katil umpamanya menjadi lambang kebahagiaan rumahtangga. Keperihatinan antara suami dan isteri. Kasih dan sayang yang dilambangkan dengan katil itu sendiri. Katil bukan sekadar katil yag bisu dan kaku. Ia berkata-kata dengan lambang-lambang keberadaannya. Katil dinisbahkan kepada pemiliknya.

Kerana itu katil seharusnya menjadi antara tempat yang paling diberi perhatian.

1                 Kemas apabila bangkit dari tidur. Sekemas-kemasnya. Teratur, tertib dan rapi.
2                 Bebaskan bilik dari sepah dan selerak. Bilik tidur adalah titik tolak kebersihan bilik dan ruang-ruang lain dalam rumah.
3                 Latih dan biasakan anak-anak mengemas katil dari tidak berapa kemas hingga sangat kemas. Tidak kira anak lelaki atau anak perempuan. Beri tunjuk ajar yang sama.
4                Anak-anak kita menjadi lambang standard keluarga. Yang lelaki membimbing isteri dan anak-anaknya. Yang perempuan membimbing suami dan anak-anaknya.
5                Tidak digalakkan tidur terlalu lama pada waktu siang tanpa sebab yang menasabah. Tidur sekadar beberapa minit sebagai amalan sunnah. Apatah lagi jika tidur di atas katil yang sudah dikemas. Jika perlu tidur, jaga kekemasannya. Kemas serapinya selepas puas tidur.


Haji Abas banyak prinsipnya dalam mengendalikan kehidupan berumahtangga. Kebersihan adalah kunci keindahannya. Dalam usianya 100 tahun Haji Abas masih boleh menyapu halaman rumah. Mengemas pokok bunga yang ditanamnya. Membetulkan apa-apa kerosakan di sekeliling rumah. Menyusun barang-barang yang perlu disimpan. Hajjah Aminah yang sudah tidak berapa berdaya untuk berjalan, masih berupaya menyapu dalam rumah. Membersihkan dapur, menyusun pinggan dan mangkuk. Memasak seadanya mengikut selera kesukaan Haji Abas. Menyusun peti ais. Kedua mereka memainkan peranan yang perlu untuk sesama mereka. Menjamin kebersihan rumah. Kebiasaan yang sudah menjadi darah daging menjadi mudah tanpa mengira masa. Tanpa mengira usia. Banyak manfaatnya apabila yang dilakukan memang banyak kebaikannya.


Haji Abas dan Hajjah Aminah bersama anak bongsu dari anak keempat mereka sempena hari raya 1435H/2014M




Alhamdulillah masih sihat dalam usia 100 tahun. Banyak cerita dari dahulu hingga sekarang. Namun begitu cerita merdeka pada tahun 1957 adalah yang paling manis baginya. Almarhum Tengku Abdul Rahman Putra sentiasa dalam ingatannya sejak pertemuan pertama pada tahun 1955.

Saturday, August 9, 2014

Siri Dua Puluh Sembilan: Time Management Seorang Biasa

Kasih sayang yang tiada tolok bandingnya. Tidak ramai pasangan yang bersama sehingga ke hujung zaman. Kasihnya berpanjangan. Masing-masing mengerti perlunya antara satu sama lain. Dekat masih disayang. Jauh masih dirindu. Sepertinya berpisah tiada. Mengharap batas yang tiada datangnya. Ingin bersama ke hujung dunia. Semoga di akhirat bersama jua. InsyaAllah.



Masih lagi mengenai masa. Haji Abas adalah antara mereka yang sangat mematuhi waktu. Time managementnya sangat ditepati. Punctual kata orang putih. Untuk berjanji dengannya tidak boleh terlalu longgar. Tidak boleh dikatakan kepadanya bahawa esok kita bertolak pagi. Kepadanya pagi adalah antara selepas solat Subuh dengan waktu sarapan pagi iaitu pukul 8.00 pagi. Jika dijemput pada pukul 10.00 pagi omelnya sangat panjang. Yang menjemputnya tidak menjaga waktu. Antara pukul 8.00 pagi hingga pukul 10.00 pagi dia sudah membuka semula bajunya. Sudah tidur hampir 2.00 jam. Begitu juga tidak boleh dikatakan selepas Zohor atau selepas Asar atau  selepas Maghrib atau selepas Isya’. Kepadanya perlu disebut pukul dan minitnya. Mungkin pukul 9.15 pagi atau 2.10 petang dan begitulah seterusnya. Ada tanda yang boleh dipegang dengan angka yang nyata.

Keriangan sentiasa membaluti dirinya. Masa lalu yang telah pergi membawa semua yang menyukarkan dahulu. 

Kepada Haji Abas kepatuhannya kepada waktu sangat menakjubkan apabila kita berususan dengannya. Jika waktu yang dijanjikan ialah pukul 9.00 pagi dia sudah bersedia seawal pukul 8.00 pagi. Beg pakaiannya umpamanya sudah tersedia di hadapan pintu. Kasutnya sudah diletak untuk disarungkan kaki sahaja. Begitu juga cermin mata, songkok, jam tangan, cincin dan pen Parkernya. Sudah disebut sebelum ini bahawa penampilannya sangat dijaga rapi. Tidak ada yang boleh terkurang. Segalanya fit untuk dirinya. Dia sangat berminat dengan pen Parker. Sinonim kepada orang-orang yang sezaman dengannya. Terselit di bajunya. Sesekali digunakan untuk menulis nombor telefon umpamanya. Penampilan dan gaya yang diadun rapi. Pen Parker sangat popular pada zaman British dahulu. Pelajar sekolah menengah bergaya apabila menggunakan pen Parker yang diisi dengan menggunakan dakwat basah ketika itu. Pegawai-pegawai pula menggunakannya untuk mencatat sesuatu atau untuk menandatangani dokumen.

Ada beberapa prinsip menjaga waktu yang diamalkan oleh Haji Abas.

1                   Menepati janji. Ingatannya kuat apabila berkaitan dengan waktu. Jam di dinding dan jam di tangan sentiasa diperhati. Dalam sejarah hidupnya Haji Abas belum pernah tersilap waktu. Mungkin tersilap hari tetapi tidak tersilap waktu. Sangat-sangat perihatin apabila berjanji.
2                   Bersiap awal. Sudah menjadi prinsipnya supaya sentiasa bersiap awal. Untuk pergi pada hari esoknya dia sudah menyiapkan segala yang perlu sehari sebelumnya. Malam itu dia tidur lena. Pagi esoknya dia sudah bersedia seawal yang mungkin. Tidak tergesa-gesa tetapi tidak pula berlengah-lengah.
3                   Mengungguli waktu banyak kebaikannya. Mereka yang menjemputnya tidak perlu menunggu. Segala yang perlu dibawa siap sedia untuk dimasukkan ke dalam kereta. Lazimnya keperluan asas yang perlu dibawa tidak pernah tertinggal. Kecuali memang tiada hasrat untuk membawanya. Jika ada keperluan khusus dia perlu diperingatkan. Umpamanya perlu membawa baju Melayu, samping dan songkok baru kerana menghadiri majlis.
4                   Tidak membuang waktu. Bersiap awal memang suatu kebiasaan kepada Haji Abas. Beg pakaiannya sentiasa tersedia. Perlu diubah atau ditukar mana yang perlu. Kepadanya ketepatan janji yang sangat perlu. Mudah mengatur kerja sebelum dan sesudahnya. Waktu sebelumnya boleh dimanfaatkan. Setelah selesai masanya boleh dimanfaatkan juga. Masa yang tidak dihormati bukan sahaja merugikan masa itu sendiri bahkan rantaian kerugiannya menjadi tersangat panjangnya. Terbuang, sia-sia, rugi, tidak berbuat hal-hal lain yang perlu dilaksanakan di samping mungkin sedikit mengganggu rutin hidup orang lain yang tidak kita ketahui kerana kita belum biasa dengan cara hidupnya.

Pengajaran besar mengenai waktu:

1                   Demi masa manusia dalam kerugian. Sekiranya kita mematuhi masa banyak kebaikan yang akan diterima. Masa yang sedikit umpamanya dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan berbagai aktiviti. Kita ada peribahasa yang berbunyi, berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak. Tidak wajar masa dibazirkan kerana masa itu emas. Mahal dan tinggi nilainya.
2                   Menghargai masa orang lain. Dalam banyak hal janji mengenai masa melibatkan orang lain. Apabila kita berjanji bermakna kita menuntut orang lain menunaikan janjinya. Kita juga dituntut menunaikan janji itu pada waktu yang dijanjikan. Ya, pada waktu yang dijanjikan. Bayangkan seseorang yang meminta waktu pertemuan diadakan pada pukul 2.00 petang. Maksudnya itulah waktu senggang yang dia ada.  Banyak hal lain yang perlu diuruskannya. Banyak kerja lain yang perlu disiapkan sebelum dan selepasnya. Lebih-lebih lagi apabila janji itu adalah untuk datang ke rumah. Air minuman dan juadah pasti disediakan. Banyak urusannya. Itulah adat Islam dan adat Melayu. Menjamu tetamu.
3                   Tidak mementingkan diri sendiri. Dalam membuat janji kita tidak boleh memikirkan tentang pentingnya diri kita. Orang lain mungkin lebih penting. Apatah lagi jika kita berjanji dengan ketua, dengan orang besar, dengan orang yang lebih tua atau dengan orang yang kita tahu bukan jenis yang tidak ada kerja  atau yang tidak pandai menyibukkan diri. Perlu selalu diingat bahawa orang lain adalah sibuk sesibuknya. Urusan hidup manusia tidak sama.
4                   Memanfaatkan masa. Dalam pertemuan yang juga dalam bentuk ziarah, bertandang atau beraya atau hadir dalam majlis kenduri-kendara, datanglah sesuai dengan masa yang setepatnya. Jaga masa. Selepas makan, berehat sebentar kemudian minta izin untuk meninggalkan majlis. Tuan rumah perlu berkemas, berehat dan membuat kerja-kerja lain selepas sesuatu majlis. Yang penting tuan rumah perlukan tempoh bertenang setelah sibuk dengan urusan majlis. Berehat untuk meregangkan otot dan menenangkan fikiran.
5                   Masa orang bukan masa kita. Sentiasa hormati masa orang lain. Kita tidak sibuk tetapi orang lain ada kesibukannya yang tersendiri. Sebab itu Islam banyak memberi panduan tentang masa yang sesuai untuk bertandang ke rumah orang. Jangan menyusahkan mereka. Tidak datang pada waktu makan umpamanya. Bukan bermakna tiada upaya untuk memberi makan tetapi mungkin ketika itu lauk-pauknya tidak sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu. Mereka sedang menikmati menu yang bukan biasa. Kita menjangka mereka makan berlaukkan ayam, daging, udang, ikan, dan sotong sedangkan mereka makan berlaukkan ikan masin dan sayur rebus sahaja. Mungkin makluman awal boleh menyelamatkan keadaan. Tuan rumah tidak segan dan yang bertandang berpuas hati. Tidak pula datang pada waktu solat. Tidak pada waktu Maghrib kerana orang sedang hendak solat, hendak menyediakan makanan keluarga, hendak makan, hendak menguruskan anak.
6                   Mempercepat ziarah. Selesaikan tujuan kedatangan dengan segera. Jika disediakan makanan dan minuman, segeralah makan dan minum. Tidak bersembang terlalu lama kerana ianya mengakibatkan tuan rumah berada dalam kegelisahan. Fikiran dan perasaannya tidak berada di situ. Kita perlu mengerti isyarat-isyarat mata, tubuh, kelancarannya bertutur kata. Jika perbualannya semakin lambat dan banyak berhenti, itu isyarat untuk kita meminta diri. Apabila suami memandang isteri berulang-kali atau sebaliknya bermakna mereka sudah berasa letih. Mungkin sudah cukup lama.

Selalunya masa adalah sumber yang sangat terhad. Kerana itu ianya perlukan perancangan rapi.

1                   Penjadualan jangkapanjang. Fikirkan jangkamasa sesuatu hendak dicapai. Rangkakan aktiviti yang perlu dibuat.
2                   Penjadualan jangkapendek. Peringkatkan perancangan jangkapanjang menjadi penggal-penggal yag sesuai. Ada secara tahunan, bulanan, mingguan dan harian.
3                   Unjuran menegak. Fikirkan puncak segala harapan. Yang paling tinggi hendak dicapai. Yang paling banyak hendak dihimpun. Yang paling jauh hendak pergi.
4                   Unjuran mendatar. Fikirkan banyak mana yang hendak dicapai. Ke mana hendak dicari. Bagaimana mendapatkannya. Kos yang terlibat.
5                   Menjangkakan masalah dan penyelesaiannya. Setiap sesuatu ada lingkaran persekitarannya. Susah atau senang. Lama atau sekejap. Jauh atau dekat. Mahal atau murah. Jangkaan-jangkaan itu membuatkan kita mengerti masalah yang dijangka dan memberi ruang untuk kita mengelak dari menghadapi masalah yang besar.
6                   Membuat keputusan menang-menang. Dalam menggunakan waktu semua yang terlibat mendapat keuntungan. Pertemuan itu menyenangkan. Ringkas dan bermanfaat. Keberkatan pertemuan. Pahala. Mungkin rezeki darinya. 

Nota:
Perbincangan di atas adalah untuk pertemuan, ziarah, atau bertandang secara rasmi (bukan saudara terdekat atau sahabat karib). Ada keterbatasan waktu. Berbeza keadaanya apabila pertemuan berlaku antara saudara mara terdekat, adik beradik, anak-buah, jiran tetangga, ibu bapa dan anak, sahabat-sahabat karib. Pertemuan antara mereka tidak rasmi dan lebih kepada aktiviti soaial dan aktiviti keluarga. Santai dan dialu-alukan. 

Sunday, August 3, 2014

Siri Dua Puluh Lapan: Sidai Dan Lipat Melipat Kemas

Antara contoh lipatan yang selari. Dikemaskan di bahagian hadapannya. Begitu juga di bahagian sisi kanan dan kirinya.


Haji Abas tidak boleh berkompromi mengenai kekemasan dan kebersihan. Dalam dunia akademia selalunya orang berbicara antara sains dan seni. Bagi orang kampung seperti Haji Abas aspek sians diserahkan kepada pakarnya. Ia lebih selesa dengan seninya. Kepadanya seni tidak pula pernah dibincangkan dengan terperinci. Tidak juga panjang lebar. Tidak akademik. Lazimnya untuk melaksanakan yang positif dan baik-baik belaka ialah petua. Panduan umum berdasarkan pengalaman masa lampau yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Pengalaman sebenar itu dianggap benar kerana lazimnya begitu jadinya. Apabila prosedurnya dipatuhi maka jadinya seperti yang dipetuakan. Walaupun banyak antara petua-petua itu sudah tidak terpakai namun masih ada yang digunapakai. Masih ada manfaatnya.


Jika dalam dua bahagian, susunannya tetap dikemaskan juga. Biar redup mata memandang.


Membasuh pinggan mangkuk adalah suatu proses yang perlukan penelitian. Ramai orang yang mencuci pinggan mangkuk menyangka bahawa menyabun dan membilas sudah cukup bersihnya. Sebenarnya tidak begitu. Haji Abas membasuh sesuatu alat mengambil masa yang agak lama. Membasuh sudu umpamanya mungkin seminit atau dua minit. Sabunnya banyak. Disapu banyak kali. Berulang-ulang. Sapunya lambat dan cermat. Pinggan pula apabila dibasuh diraba dengan jari untuk mengesan tanda-tanda makanan melekat atau minyak yang masih melekat. Barulah dibilas sebersih-bersihnya. Basuhan yang masih berminyak merosakkan peralatan ketika disimpan. Baki-baki tanda makanan yang melekat tentu sahaja tidak enak dipandang oleh tetamu yang dihidangkan makanan. Yang paling penting apabila disimpan keadaannya tidak sesempurna seperti yang dijangka. Seeloknya sesudah dibilas dilap hingga kering. Sesudah itu dikeringkan hingga sekering-keringnya. Barulah ianya disusun dalam simpanan sehingga sampai waktunya diperlukan semula.

Prinsipnya sama. Menyidai di tempat terlindung atau menggantung pakaian dalam almari. Dari yang panjang di sebelah kanan hingga yang paling pendek di sebelah kiri. Jarak penyangkut baju juga sama antara satu sama lain. Jika saiz dan ukuran tidak dipertimbangkan maka boleh dibaca tingkah laku pemiliknya. Kelihatan berserabut. Tidak tenang. Tiada seni. Bagaimana orang lain pandang? Biasa sahaja bagi yang tidak perihatin. Jika susunannya seperti di atas, Haji Abas pasti senyum dan mengangkat ibu jari. Angguknya memanjang. Pujiannya melambung. Bermakna didikannya berjaya diturunkan. Dia berpuas hati kerananya


Biasa melihat ampaian menyidai pakaian yang dibasuh? Berapa ramai antara kita yang perihatin akan susunannya. Tertibnya mengikut saiz. Mengikut panjang dan pendeknya. Tentang hal ini Haji Abas boleh memarahi anak-anaknya jika tidak mengikut kebiasaannya. Caranya menyidai kain sangat rapi, kemas dan dipandang menyenangkan mata dan hati. Penuh dengan seni yang menarik perhatian. Apa kehendaknya?

1                   Susun pakaian dari yang paling kecil hingga yang paling besar. Atau dari yang paling besar hingga yang paling kecil.
2                   Susun dari yang paling panjang juntaiannya hingga yang paling pendek. Atau dari yang paling pendek hingga yang paling panjang juntaiannya.
3                   Kelompokkan pakaian mengikut saiz. Deretkan dalam urutan atau sekuen yang sama. Umpamanya singlet bersama singlet. Kain pelikat bersama kain pelikat. Tuala bersama tuala.
4                   Sepit kain dan bilangannya mengikut saiz dan berat pakaian. Yang lebih besar dan lebih berat lebih banyak sepitnya supaya tidak diterbangkan angin.
5                   Juntaian sidaian tidak boleh terlalu dekat dengan tanah. Dikhuatiri apabila hujan percikan tanah terkena pakaian yang tersidai. Mungkin juga ada haiwan yang lalu di bawah penyidai seperti kucing, ayam atau kambing. Mungkin juga anjing sesat.
6                   Pakaian yang dijangka dimakan hari hendaklah disidai di tempat yang terlindung dari cahaya matahari. Baju berwarna-warni, baju batik dan sebagainya tidak boleh dijemur di bawah terik cahaya matahari secara langsung.
Yang memandang mata. Yang sejuk hati. Yang seronok perasaan. Setiap satu ada nikmatnya. Yang terbaik selalu diintai orang.


Pakaian yang sudah kering perlu segera diangkat. Selalu diperhati jika keadaan mendung atau tidak. Jika hujan dijangka turun maka kain sidaian diangkat lebih cepat supaya tidak ditimpa hujan. Sayang jika kain yang sudah kering basah semula. Dilipat dengan segera. Haji Abas tidak suka melihat pakaian berlonggok. Bukan prinsipnya. Dia tidak pernah mengajar begitu. Apabila ada pakaian kering dia akan segera melipatnya. Prinsipnya sama seperti sewaktu menyidai pakaian yang dibasuh sebelum ini.

1                   Lipat yang bersaiz besar terlebih dahulu atau yang bersaiz kecil. Kadang-kadang psikologi kita berlainan. Sebahagian orang memulakannya dengan yang kecil. Orang lain memulakan dengan lebih besar.
2                   Saiz lipatan hendaklah sama supaya cantik disusun.
3                   Kelompokkan mengikut jenis dan kekerapan kegunaan.
4                   Sususn dan simpan di dalam almari atau gerobok mengikut turutan masa. Yang lama di atas dan yang baru di bawah. Pakai yang di atas dahulu kerana lebih lama. Atau
5                   Yang baru di atas dan yang lama di bawah. Apabila hendak memakainya ambil yang di bawah. Kaedah ini menyulitkan jika tidak biasa.
6                   Susunan hendaklah serapi-rapinya supaya nampak benar-benar kemas dan sedap dipandang. Susun seperti di pasaraya.
Setiap jenias pakaian dikelompokkan mengikut kesesuaiannya. Umpamanya mini-telekung bersama yang sejenisnya. Digantung mengikut saiznya. Penyangkutnya pula pada jarak yang sekata. Nampak cantik tersusun. Sedap mata memandangnya.


Kagum dengan cara Haji Abas mengurus pakaiannya. Jika ia menyimpan pakaiannya di dalam beg pakaian, ditatangnya pakaian itu satu persatu. Dibetulkan lipatannya. Diperbetulkan kedudukannya. Dipastikan susunannya. Dia tidak ada checklist (senarai semak) tetapi mindanya merakamkan kesemuanya kerana sudah menjadi kebiasaannya begitu sejak dari muda lagi.  Apabila balik dari berjalan jauh atau dari kenduri kahwin banyak yang dilakukannya.

1                   Ditanggalkan songkok, jam tangan, cincin dan cermin mata.
2                   Diletakkan jam tangan, cincin dan cermin mata dalam bekas khusus seperti kotak atau kopiah. Atau di atas sapu tangan. Disimpan setelah kering. 
3                   Songkoknya dijemur supaya kering dari peluh. Diletakkan di atas kertas akhbar atau di atas dulang kecil.
4                   Seluar dan bajunya disidai dengan elok.
5                   Pada dasarnya setiap benda ada tempatnya. Begitu juga pakaian. Masing-masing ada tempatnya yang tersendiri.

Tidak mungkin ada anak dan cucunya yang pernah melihat Haji Abas cuai dalam menjaga pakaiannya. Seluar tidak pernah berlonggok. Pakaian tidak pernah berlonggok. Pakaian terpakai tidak dilonggok. Pakaian yang sudah kering tidak dibiarkan berlonggok. Malah jika berada di rumah anak-anak sekalipun dia menolong Hajjah Aminah melipat pakaian kering anak dan cucunya. Haji Abas terganggu jika rumah tidak kemas keadannya. Baik di rumah anak atau di rumah cucu atau di rumah saudara-saudaranya yang lain. Penampilan bukan bermakna pada diri dan jasad sahaja. Ia meliputi persekitaran tempat tinggal. Luar dan dalam rumah. Serba serbi yang boleh diurus. Yang boleh diusahakan.

Ajaran dan contoh tauladan yang unik dari Haji Abas memang yang terbaik. Elok benar bagi sesiapa mengambilnya sebagai sesuatu yang baik. Terutama anak dan cucu serta cicitnya yang menjadi pewarisnya. Ada tinggalan ilmu mengurus diri dan rumahtangga yang boleh dicontohi. Untuk itu tanamkan beberapa sikap dan sifat berikut:

1                   Programkan masa untuk berkemas. Mulakan sesuatu yang senang sebelum melakukan yang sukar.
2                   Buang sifat malas.
3                   Elakkan sifat tidak peduli.
4                   Timbulkan minat untuk menampilkan yang terbaik.
5                   Seimbangkan semua perkara. Jika penampilan diri di luar rumah kelihatan hebat maka jangkaan orang ialah persekitaran rumahtangga juga hebat sehebat orangnya.
6                   Mulakan segala-galanya dengan segera. Ada kesegeraan untuk memulakannya. Pantang Haji Abas ialah sifat bertangguh-tangguh.
7       Selalu berfikir di luar kotak. Lihat diri sendiri seperti orang lain melihat kita.

Di jabatan kerajaan atau di kementerian dan institusi pendidikan diterapkan budaya Jepun dalam mengurus hal-hal dalaman. Islam ada budayanya sendiri. Orang Melayu ada budayanya sendiri. Haji Abas tidak pernah sampai di Jepun. Tidak juga ke Eropah atau USA. Namun begitu ilmu mengemas rumah setanding dengan teori dan amalan bangsa-bangsa lain yang dilabel lebih maju. Kesemuanya kerana:

1                   Amalan.
2                   Kesungguhan.
3                   Minat.
4                   Perihatin.
5                   Sifat bersih dan kemas.
6                   Mematuhi ajaran agama.


Melakukan yang terbaik adalah satu kepuasan yang tersendiri kepada Haji Abas. Kerana itu hatinya lapang. Fikirannya tenang. Kita semua boleh mencontohinya. Mungkin lebih baik darinya. Syaratnya? Istiqamah. InsyaAllah berjaya.