Saturday, June 1, 2013

Salam dari Amman Jordan: Sallahuddin al-Ayyubi Yang Terlindung Sejarahnya

Di Ajloun. Gunung ini kawasan qal'ah (kubu - kota) Sallahuddin al-Ayyubi.

Bas parkir di bahagian bawah. Kami berjalan kira-kira 400 meter.

Gambar dari get ke qal'ah.

Jalan naik ke qal'ah

Pandangan vista

Jalan masuk

Dari arah lain

Juga arah lain

Gunung ini tinggi puncaknya. Mengawasi kawasan sekelilingnya.

Jalan di bahagian hadapan qal'ah

Antara ruang dalam qal'ah

Temboknya tinggi sebagai keselamatan. rasanya musuh berfikir banyak kali jika ingin memanjatnya.

Laluannya sempit memenuhi keperluan

Ustaz Dr. Mohammad Said sedang memberi taklimat mengenai qal'ah

Sudut pengawal. Celahan ini sebenarnya sekadar 5 hingga 7 sentimeter sahaja. Boleh memanah dari dalam tetapi sukar untuk musush memanah dari luar.

Dahulu jambatan ini tidak ada. Yang ada ialah laluan yang boleh dinaikkan untuk menghalang musuh menyerbu masuk dengan senang. Sekarang jambatan ini untuk memudahkan pelancong.

Bahagian tapak qal'ah. Dari arah ini orang di bawah nampak kecil saiznya. Ini belum di puncak qal'ah.

Hampir di puncak qal'ah

Tangga laluan masuk

Tangga naik dan masuk ke dalam qal'ah

Dataran di luar qal'ah. Untuk bersantai.

Qal'ah ini cukup tinggi. Hasil seorang pejuang Islam yang gagah perkasa. Dari kubu ini antara tempat merencanakan terhasilnya pembebasan al-Quds dari puak salibiyyun.

Kita belajar sejarah. Sejarah ini selalu terlepas pandang. Sejarah kita sendiri.

Tangga besar ke bahagian atas qal'ah

Menara qal-ah

Hasil kerja arkeologi Jordan

Pemandangan dari atas menara qal'ah

Sistem bekalan air di dalam qal'ah

Ruang dalam yang luas

Batu kasar dan batu halus menyatu untuk membina tembok-tembok yang merentas zaman yang panjang sejarahnya.

Ruang kawalan yang menirus ke hujungnya. Cukup untuk memanah musuh yang berada di luar.

Antara gunung yang diawasi kedudukannya pada zaman Sallahuddin

Lagi ruang di dalam

Berjalan merentas masa silam yang hilang sudah berlalu. Kita yang tinggal sewajarnya meneruskan warisan itu untuk meneruskan kitaran masa hadapan yang memenangkan.

Qal'ah ini sesungguhnya sesuatu yang besar ertinya kepada perjuangan Islam yang tidak pernah surut payah dan besar cabarannya

Memandang ke bahagian atas ruang ini sangat menakjubkan. batu-batu yang disusun sangat rapi yang kelihatan indah. Terbinanya kerana Allah. 


Ruang-ruang untuk hidup dalam qal'ah

Bandar Arjloun dari atas qal'ah. Nun jauh di bawah.



Pasukan salibiyyun sudah menjadi veteran di bumi Syam. Hampir dua kurun mereka menawan al-Quds (Jurusalem). Dalam jangkamasa itu orang Islam menjadi rakyat kelas kedua. Ditindas dan dianiaya. Kaum salibiyyun menjadi tuan yang ganas dan zalim. Derita zaman ke atas orang Islam selepas kekuatan mereka direntap ranap kerana mungkin kelemahan dalaman yang melupakan Yang Khaliq. Kekuatan Islam di Andalusia merudum jatuh kerana kecintaan dunia yang melampaui batasnya.  Pejuang Islam menawan Andalusia melalu laut Mediterannean. Mereka membakar kapal mereka untuk menghadapi dua cabaran. Di hadapan mereka musuh. Di belakang mereka laut. Mengalahkan musush adalah objektif utama. Mengembangkan iman kepada mansuia yang belum beriman. Atau mereka mati syahid. Menemui Allah dalam keriangan kerana janji syurga. Jika mereka undur, mati juga padahnya tetapi bukan syahid. Tanpa perjuangan menegakkan perintah Allah, kejayaan yang diperolehi tiada harga dan nilainya. Cuba bayangkan senario itu. Sekumpulan pejuang yang bukan ramai berada di tengah-tengah antara musuh dan laut. Iman dan kebergantungan mereka kepada Allah dibalas dengan kemenangan.
Itu kenangan silam. Perjuangan yang sangat unggul. Syahdu jika kita dapat kembali melihat visual itu di mata kita. Pejuang-pejuang Islam yang tidak pernah takut mati. Yang dikejar ialah kemenangan dunia dan kemenangan akhirat. Menang di dunia bererti menegakkan iman. Kalah di dunia tetapi menang di akhirat apabila syahid di medan perang. Syahid mereka dalam senyum yang memanjang. Takut dan kesedihan tidak ada dalam hati. Malangnya sebuah sejarah silam. Manusia selalu lupa sejarahnya sendiri. Leka dengan keindahan dunia yang sementara. Dendam kuffar tidak pernah padam hingga kini. Berbagai cara dan helah mereka ciptakan untuk melemahkan Islam dan menguasai jiwa raga orang Islam. Mereka membina kekuatan. Mereka bergabung. Angkatan mereka datang dan menawan al-Quds. Sejarah mencatatkan bahawa kedatangan mereka penuh dengan dendam. Apatah lagi di belakang mereka adalah orang Yahudi yang sudah lama terbakar hatinya. Mereka membantu segala yang mungkin untuk sama-sama mengalahkan orang Islam. Maka datanglah mereka dengan penuh kejam. Tiada belas tehadap yang tua, wanita atau kanak-kanak. Kesemuanya dibunuh dengan sesuka hati. Orang perempuan Islam yang paling malang. Ada sahaja malang yang menimpa mereka kerana sifat mereka perempuan. Apabila sebuah ummah ditawan maka orang perempuan yang paling banyak ditimpa musibah.
Bertahun-tahun lamanya orang Islam kelesuan mencari jalan untuk bangkit menawan semula al-Quds dari tangan orang-orang salibiyyun. Pemimpin silih berganti tetapi Allah belum lagi memakbulkan perjuangan dan doa mereka. Tibalah giliran Sallahuddin al-Ayyubi mengepali angkatan Islam. Sallahuddin datang dari Kurdistan. Kawasan tempat tinggalnya bersempadan dengan Turkey, Iran dan Iraq. Orang Kurdisy bukan kepalang gagah perkasanya. Kepimpinan yang ada pada Sallahuddin berjaya memikat pejuang-pejuang Islam dari seluruh pelosok negara Arab dan Islam. Bergeraklah mereka ke beberapa penjuru bumi Syam. Bumi yang bergunung ganang itu dijelajah. Ada dua tempat utama Sallahuddin dan tenteranya berkubu. Pertama di Ajloun dan keduanya di Karak. Di Ajloun dibina qal’ah (kota –castle/citadel) di puncuk sebuah gunung yang tertinggi di kawasan itu. Dari menara qal’ah ini al-Quds dapat dilihat. Bayangkan bergejolaknya hati tentera Islam melihat bayangan al-Quds dari kejauhan. Tentulah semangat mereka terbakar kuat. Perjuangan mereka semakin kental.
Qal’ah Sallahuddin di Ajloun adalah tulen. Dibina oleh tentera Islam. Siapa arkiteknya tidak pernah dicatatkan. Tinggalan qal’ah itu masih utuh. Dikunjungi oleh pelancong dari segenap pelosok dunia. Mereka melihat sendiri kehebatan tentera Islam ketika itu. Strategi peperangan yang digarap oleh Sallahuddin dan tenteranya sangat berkesan hingga akhirnya al-Quds dapat ditawan semula. Ada sebuah lagi qal’ah Sallahuddin di Karak. Di selatan Jordan. Nantilah akan ada ceritanya yang tersendiri. InsyaAllah. Qal’ah di Ajloun sebenarnya memberi ilham kepada orang Barat untuk membina castle dan citadel. Dari gambar-gambar yang disertakan pasti pembaca dapat melihat kehebatan senibina Islam ketika itu. Sekolah kejuruteraan atau senibina belum ada tetapi akal budi mereka yang kuat beriman dapat membina bangunan besar yang tersergam kukuh hingga sekarang. Batu-batu besar dipotong atau dikutip dari gunung-gunung berdekatan. Entah berapa lama binaan itu disiapkan. Buatannya kemas dan kukuh. Tanpa simen. Tiada cat. Warna semulajadi.
Qal’ah Sallahuddin terletak di puncak gunung yang tertinggi. Dari situ Sallahuddin dan tenteranya dapat mengawasi keseluruhan kawasan bumi Syam yang menghala ke al-Quds. Pergerakan musuh dapat dipantau setiap masa.  Qal’ah itu pula melengkapi keperluannya. Sumber air tidak pernah putus. Sebelum qal’ah itu dibina sumber air yang sangat penting itu dicari dahulu. Barangkali tidak ramai antara kita yang arif tentang besarnya peranan air di negara seperti bumi Syam. Padang pasir melaut. Gunung-ganang bukan basah dan penuh dengan tumbuhan. Pada musim bunga hujan hanya renyai-renyai. Maaf tidak pernah lebat. Kecualilah dengan izin Allah. Pada musim panas memang tiada hujan. Panas dan kering. Pada musim luruh mungkin sedikit hujan. Pada musim sejuk paling banyak hujan. Sama ada air atau salji. Bila cair kerana panas menghampiri musim bunga maka banyaklah air mangalir membasahi bumi Syam ini. Beberapa minggu yang lalu hujan turun sangat lebat di Amman. Tidak pernah berlaku sebelum ini. Penyarah saya yang berusia 69 tahun mengatakan itu adalah sejarahnya yang tersendiri. Bagi orang Jordan mereka berdoa hujan seperti itu tidak Allah turunkan lagi. Jika berulang-ulang tentu banyak tanah runtuh. Tanah gunung di sini peroi tetapi kering. Jika berair seperti kita di Malaysia rasanya banyak tanah runtuh. Itu tidak menakutkan. Yang menakutkan ialah binaan rumah dan bangunan di sini kesemuanya di lereng gunung. Jika runtuh satu yang di atas banyak pula yang tertimpa di bahagian bawahnya.
Sallahuddin dan tenteranya melengkapkan sebuah qal’ah dengan senibina tinggi. Bangunan itu siap dengan sistem pertahanan yang berlapis-lapis. Tangga dan laluan yang sempit. Terdapat pula lubang-lubang untuk pengawal atau untuk memanah musuh yang datang. Susah hendak menggambarkannya. Lubang-lubang pengawasan itu tirus menyempit keluar. Tentera Islam dari dalam dapat memanah musuh di luar dengan senang melalui lubang kecil itu. Musuh dari luar terlalu sukar untuk memanah ke lubang sempit itu. Tangga dan laluan yang sempit juga mudah dihalang atau dipertahankan. Pada pertahanan yang terakhir jika musush dapat menembusi kubu-kubu yang bersiri itu ialah suatu lubang memanjang yang digunakan untuk menjirus minyak panas, air panas atau kayu api yang membara. Sejarah pula tidak pernah mencatatkan bahawa qal’ah Sallahuddin ini pernah diserang atau ditawan oleh tentera salibiyyun. Yang pentingnya dari qal’ah ini strategi peperangan diatur. Akhirnya Sallahuddin al-Ayyubi dan tenteranya dapat mengalahkan tentera pimpinan Richard The Lion Heart. Raja England ketika itu. Kekuatan Richard yang mengepalai tentera salibiyyun dari seluruh Eropah itu bukan calang-calang tentera. Gagah perkasa dan sudah veteran dalam peperangan.
Sallahuddin adalah pejuang Islam yang besar sejarahnya. Senibina qal’ahnya menjadi ikutan di Barat. Siasah perangnya sangat menakjubkan. Sifat kemanusiaannya sangat tinggi. Apabila al-Quds dapat ditawan Sallahuddin membebaskan orang salibiyyun supaya mereka kembali ke negara mereka.  Tidak ada dendam. Yang diutamakan ialah mendapatkan kembali al-Quds. Bukan melakukan kezaliman ke atas musuh. Walaupun itu yang ditakuti musuh tetapi kenyataannya ialah Islam itu adil dan meletakkan keadilah pada tempatnya yang hak. Banyak kisah Sallahuddin dari kacamata orang Barat sendiri. Antara cerita yang bersifat kemunusiaan universal ialah apabila Sallahuddin menziarahi Richard pada waktu malam di khemahnya. Ia datang sebagai manusia biasa. Sebagai sahabat. Datang untuk merawat Richard yang cedera dalam perang pada siangnya. Begitulah tersentuhnya hati orang-orang salibiyyun melihat adilnya hati orang Islam. Apabila kita melihat sekeliling sekarang ini, hati Sallahuddin sudah tidak ada lagi di hati orang Islam. Kerana itu barangkali kita menjadi lemah. Orang Islam banyak hilang keadilannya. Tanda-tanda Islam itu hilang. Tidak lagi menjadi sifat Islam yang sejati.
Al-Azhar adalah universiti yang tertua bagi umat Islam. Diasaskan oleh Sallahuddin. Untuk semua yang namanya Islam. Percuma kerana Sallahuddin mengasaskan dana untuk membiayainya. Hingga sekarang Al-Azhar tertegak atas semangat Sallahuddin al-Ayyubi. Kita beruntung kerana adanya pejuang-pejuang seperti Sallahuddin. Pertamanya mengembalikan kedaulatan Islam. Keduanya  memelihara keselamatan dan keamanan. Ketiganya membangunkan ekonomi. Keempatnya mendepani pendidikan untuk generasi masa hadapan. Hingga sekarang Universiti Al-Azhar tetap gah walaupun mungkin ramai yang lupakan sallahuddin. Apabila kita tiada yang tinggal ialah nama. Yang diingat jasa dan bakti. Apatah lagi apabila masih ada lagi bukti tinggalan jasanya yang gemilang untuk umat akan datang. Generasi demi genarasi. Semoga jiwamu tenang wahai Sallahuddin. Semoga Allah menerimamu dan kau berada di sisinya. Sejahteralah kau bersama para solihin dan siddiqin. Bersama para syuhada.
Cerita Sallahuddin tidak berhenti di sini sahaja. Sejarahnya diingati oleh orang Barat selama-lamanya. Insan yang membuang mereka dari al-Quds. Maka siasah mereka berjalan menyusup dalam setiap sanubari orang mereka. Malangnya menjadi kaum Kurdisytan. Sallahuddin yang berasal dari Kurdisytan didendami sepanjang zaman. Dengan licik negara Kurdisytan dikecilkan supaya kekuatan mereka tidak muncul lagi. Maka terjadilah Kurdisytan Turkey. Kurdisytan Iran. Kurdisytan Iraq. Kelicikan orang Barat melampiaskan dendam mereka ke atas orang orang Kurdisy.  Dendam Yahudi dan Barat berlarutan berzaman-zaman. Bumi Syam yang bertuah ini pada zaman-zamannya yang berlaku melalui zaman sedihnya. Jordan ditakluk oleh British. Lubnan dijajah oleh orang Perancis. Cebisan bumi Syam ini ialah Palestin. Sejarah sedihnya berpanjangan hingga ke akhir zaman. Orang Jordan ramai yang berbahasa Inggeris. Orang Lubnan ramai yang berbahasa Perancis. Bila kita renung kembali, ada yang tidak kena yang Allah timpakan ke atas umat Islam. Bumi anbia ini terumbang-ambing antara dua dunia yang maju membangun. Antara masyriq dan maghrib.


Menara qal'ah dari dekat

Di bahagian atas qal'ah

Semua pelancong berasa bertuah berada di atas qal'ah ini

Di kawasan menara qal'ah

Sesiapapun berasa takjub berada di sini. Pada zaman itu kejayaan membina qal'ah ini tentu lebih dari syukur yang sebanyak-banyaknya.

Sallahuddin dan tentaranya mengawasi setiap jajaran gunung di sekeliling gunung ini. Musuh diawasi dan kedudukan sendiri dijaga rapi.

Puncak yang memuncak. Berada di tempat tinggi bukan untuk menjadi tinggi. Sebaliknya untuk melihat yang rendah di bawah kerana kita berasal dari bawah dan rendah kedudukannya

Ustazah AAla ini entah berapa kali sudah berada di sini

Bahagian-bahagian qal'ah dilihat dari atas

Gunung-hunung di kejauhan

Manusia merancangkan untuk kegunaannya sendiri. Allah merancangkan untuk kesemua makhluknya. tanpa kecuali.

Pada musim-musim yang berlainan keseluruhan kawasan ini berlainan lanskapnya.

Pada tarikh itu antara kami masih rasa kesejukan. Ada yang berbaju tebal. Namun kunjungan itu menyeronokkan.

Gambar-gambar seperti ini hanya kenangan mengusik jiwa bila diimbau kembali suatu ketika nanti

Bila bersama ada sahaja yang dikongsikan

Corak mozek di muzium qal'ah

Lagi tinggalan sejarah

Warqah sejarah

Warisan

Dalam muzium

Catatan sejarah

Orang dahulu yang membuatnya. Kita masih lagi membuatnya hingga sekarang.
Mercu tanda di luar qal'ah

Susur keluar dari qal'ah. Kami tinggalkan Sallahuddin al-Ayyubi dalam lipatan sejarah Islam yang syahdu. Kita mananti lagi Sallahuddin yang baru. Sekurang-kurangnya semangatnya bersama dengan kita semua dalam perjuangan menegakkan Islam.

Thursday, May 30, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Untuk Mengerti Yang Dimengerti



Setelah beberapa bulan di Amman, Jordan banyak juga dimengertikan mengenai Bahasa Arab. Semakin dipelajari semakinlah banyak hubungkaitnya dengan keindahan beragama Islam. Sejarah merakamkan bahawa agama Islam perlu dipelajari dalam bahasa asalnya iaitu Bahasa Arab. Mungkin ramai yang berfikir tentang hubungannya Bahasa Arab dengan agama Islam. Dalam sejarahnya tentu kita semua maklum. Islam dari Makkah al-Mukarammah. Rasulnya Muhammad SAW. Bahasanya Arab Quraisy. Maka siapapun yang ingin mendalami agama Islam wajiblah memahami Bahasa Arab. Terjemah? Boleh. Tetapi telah dibuktikan bahawa sesuatu bahasa itu tidak dapat diterjemahkan seratus peratus. Sebabnya banyak. Antaranya agama. Keduanya budaya. Ketiga cara berfikir. Keempat falsafah. Keenam tradisi. Jika begitu tidakkah bahasa lain juga mempunyai trait yang sama. Ciri-ciri bahasa yang sama. Jawabnya tidak. Rasanya hanya Bahasa Arab sahaja yang unik dalam banyak hal. Pada kali ini saya tidak bermaksud untuk membincangkan Bahasa Arab dari segi linguistik. Tidak juga dari segi morfologi. Tidak juga dari segi syntax dan sebagainya. Cukup sekadar memberi sedikit gambaran tentang akrabnya Bahasa Arab dengan sistem beragama. Tentunya Bahasa Arab. Bahasa agama Islam.
Banyak kali kami diberikan latihan membuat ayat. Memadankan ayat. Mengubah ayat untuk disesuaikan dengan gantinama (dhomir) yang berlainan jantina. Untuk makluman pembaca, gantinama dalam Bahasa Arab terbahagi kepada jantina jantan dan betina. Setiap satunya dibahagikan pula kepada seorang (mufrad), berdua (mathna) atau bertiga dan lebih (jamak). Ada 14 gantinama yang mesti diingat iaitu bagi orang ketiga dia lelaki (hua), dua orang lelaki (huma), ramai lelaki (hum). Dia perempuan (hia), dua orang perempuan (huma) dan ramai perempuan (hunna). Orang kedua pula anda lelaki (anta), anda berdua (antuma), anda ramai (antum), anda perempuan (anti), anda berdua (antuma) dan anda ramai (antunna). Orang pertama pula ana (lelaki dan perempuan) dan nahnu (juga untuk lelaki dan perempuan). Setiap gantinama membentuk struktur ayat yang tersendiri. Banyak latihan diperlukan kerana lain kalimah lain pula pembentukan ejaan dan ayatnya.
Dalam bahasa Malaysia, kita tidak pernah membincangkan tentang sesuatu perkatan dan hubungkaitnya dengan gender. Kita tidak tahu gender yang kita baca atau bincangkan kerana tidak ada petunjuk. Hanya apabila ada ciri-ciri wanita disebut baru kita mengerti bahawa manusia yang dibincangkan adalah wanita. Membaca sebuah cerita tidak membantu kita mengetahui siapa yang disindir. Atau diumpat. Atau dikeji. Dalam bahasa Arab sesuatu gantinama sudah memberi gambaran jelas siapa yang dimaksudkan. Siapa sahaja yang sifatnya manusia dirujuk dengan tepat. Syabbab umpamanya khusus untuk orang muda lelaki. Syabbah pula khusus untuk orang muda perempuan. Langsung tidak mungkin tercipta kekeliruan antara gender. Itu belum istilah-istilah khusus. Al-jazzar adalah penjual daging termasuk ayam dan ikan. Al-baqqal adalah peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan. Dalam istilah kita perkataan peniaga atau penjual dibawa ke mana-mana. Penjual kain, penjual buah, penjual sayur, penjual kuih dan sebagainya. Dalam Bahasa Arab yang berkaitan dengan budaya bangsa itu sendiri tercpta istilah-istilah khas untuk Bahasa Arab. Tidak ada dalam bahasa lain. Kelainannya terlalu banyak. Sebab itu mempelajari Bahasa Arab memberikan kelainannya yang tersendiri. Tidak banyak kit aberpusing-pusing untuk menerangkan sesuatu. Tanda baris fathah atau kasrah atau dhommah sudah cukup memberikan ertinya yang tersendiri.
 Kerana adanya perbezaan gender maka sukar untuk kita berkata-kata yang tidak menentu. Apabila kata-kata itu diistilahkan sebagai mengumpat maka dengan serta merta orang yang diumpat akan mengerti. Perkataan dan istilah yang digunakan sudah memberi petunjuk siapa yang dimaksudkan. Memahami semua ini tentu membangtu kit amenjadi pengamal agama Islam yang baik. Yang tulen. Terhindar dari mengumpat. Terelak dari menyindir. Tertahan dari memaki hamun tidak tentu fasal. Orang yang dimaksudkan sudah mengerti dengan sangat jelasnya. Maknanya Bahasa Arab memperisaikan penganut Islam dari melakukan yang terlarang. Membicarakan yang bukan hak. Malah tidak dibenarkan memikirkan yang bukan-bukan.  Yang tiada kaitannya dengan berbuat baik dan menolak kemungkaran. Sistem berbahasa itu mengawal keindahan agama Islam itu sendiri. Hidup agama, hiduplah bahasa. Bahawa bahasa yang mutlak sifatnya ialah al-Quran. Kalam Allah yang menjadi mukjizat. Membezakan antara kalam manusia yang lemah dan banyak cacat celanya.
Dalam budaya kita banyak yang bersalahan dengan budaya Arab atau budaya agama Islam. Islam melarang pergaulan bebas antara mereka yang bukan mahram. Begitu juga yang berlaina gender. Malangnya penjajahan fizikal British dan penjajahan minda menjadikan kita keliru dengan hak-hak yang Allah tentukan. Yang kita ikut ialah trend dan falsafah Barat. Kita tinggalkan budaya Islam dan falsafah pendidikan Islam. Maka kita merasa terbiasa dengan pergaulan bebas dan terbuka antara lelaki dan perempuan. Anak-anak muda akan merasa hairan jika kita memisahkan mereka dalam dua ruang yang berasingan. Walaupun pada hakikatnya kita masih mengekalkan hukum hakam antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dalam konteks yang lebih luas kita terkeluar dari garis panduan Islam. Kita ada sekolah lelaki sahaja. Ada pula sekolah untuk perempuan sahaja. Sekolah-sekolah itu pada asalnya sekolah mubaligh Kristian.  Kajian di negara Israel menunjukkan sekolah-sekolah satu gender lebih berjaya dari sekolah bercampur gender.
Dalam mempelajari Bahasa Arab kami selalu terperangkap dengan hukum hakam ini. Dalam Bahasa Malaysia ayat berikut tiada apa-apa salahnya:
Hanafi dan rakan-rakan sekelasnya dari SMK Seri Angkasa menghadiri majlis meraikan kejayaan Hashim.
Siapa rakan-rakan Hanafi. Lelaki atau perempuan. Jika kesemuanya lelaki tidak pula disebut begitu. Jika termasuk rakan perempuan juga tidak disebut dengan jelas. Dalam Bahasa Arab ayat yang samar maksudny atidak mungkin diterima sebagai ayat yang betul. Benar sintaksnya betul. Susunan strukturnya betul. Tetapi wujud keraguan antara lelaki dan perempuan. Jika kesemuanya lelaki majlis itu harus. Jika kesemuanya perempuan majlis itu juga harus. Apabila hadir lelaki dan perempuan yang bukan mahram maka majlis itu haram. Bukan itu sahaja, ayat yang dibina juga dikira salah kerana menyalahi hukum.
Nah, boleh pembaca fahami bahawa Bahasa Arab adalah bahasa agama. Bukan sekadar bahasa tanpa makna atau tanpa kaitannya dengan agama. Maksudnya untuk bercakap kena sedar hukumnya yang berkaitan. Untuk berfikir sekalipun kena ingat hukum yang mungkin berkaitan. Apatah lagi dalam tindakan. Gender menentukan hukum yang mungkin berkaitan. Pendek kata dalam Bahasa Arab terbina hukum hakam agama Islam. Maka menjadi unik untuk mempelajarinya. Untuk mengetahuinya. Bagi mereka yang menguasainya tentu banyak hal-hal agama yang berpaut pada kalimah dan struktur Bahasa Arab. Bahasa Arab dan agama Islam terpisah tiada. Cubalah untuk mempelajarinya untuk lebih memahami agama anutan kita sendiri. Agama lurus yang menunjukkan lurus ke arah yang lebih lurus. Siapa lagi jika bukan kita penganutnya yang menguasai Bahasa Arab. Jika tidak mahir sekalipun sekurang-kurangnya memahami semampu mungkin.

Wednesday, May 29, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Jarasy, Roman dan Iktibar Tamadun



Kawasan pergunungan  yang dipilih oleh orang Rom sebagai pusat peerintahannya di luar Italy.

Tempat ini yang bernama Jarasy sangat strategik dari segi laluan perdagangan.

Sangat sesuai untuk pembangunan sosio-politik-ekonomi.

Kawasan yang terrainnya tidak menentu ini dibangunkan sebagai negara kota yang selalu kita baca dalam buku sejarah.

Kami datang dengan sebuah bas besar Universiti Zarqa bersama-sama dengan pelajar-pelajar yang mengikuti kursus pelancongan.

Dari jarak kira-kira 400 meter, pintu gerbang Roman itu nampak tersergam besar.

Isteri saya bersama Suzane. Gadis keturunan Arab Jordan tetapi keluarganya menetap di Denmark.

Pensyarah bahasa Arab yang sudah berusia 69 tahun. Masih kuat dan gagah. Ustaz Dr. Mohamad Said

Seorang lagi pensyarah bahasa Arab. Ustazah Ala. Masih kosong.

Radio lama. Antik dan vintage. Kalau di Malaysia boleh dibeli. Radio menggunakan bateri. Menggunakan bateri seperti bateri kenderaan yang perlu dicas berjam-jam lamanya bila habis kuasanya.

Pintu gerbang bahagian selatan ini telah runtuh pada kurun ke-8 kerana gempa bumi yang sangat kuat. Ianya dibina semula dan sekarang diberi bantuan kewangan oleh UNESCO.

Lambang besarnya kuasa Rom di bumi Syam. Ribuan tahun masih boleh dilihat tinggalan sejarahnya. Iktibar kepada manusia bahawa yang kekal hanyalah Allah.

Bagi kami pakej belajar termasuk melancong ke tempat-tempat bersejarah yang banyak berselerak di seluruh negara Jordan. Sebulan sekali diadakan aktiviti melancong. Selainnya boleh diurus sendiri.

Kami berdua berasal dari sebuah kampung yang pada suatu ketika dahulu sangat terpencil antara Parit Sulong dan Simpang Lima, Batu Pahat. Kami tidak pernah bermimpi berada di sini. Tidak pernah berfikir dan tidak pernah berbincang untuk melancong sejauh ini. Masa dan agenda hidup menyampaikan kami di sini. Izin Allah untuk kami dapat melihat kebesaranNya. Begitulah kata orang tua-tua, banyak berjalan banyaklah pemandangan yang dapat dilihat. Dilihat dengan pandangan yang penuh dengan iman. Menginsafi kekerdilan diri.

Ruang bini dahulunya gereja Roman. Perhatikan lantainya. Corak dan susunannya kekal dari dahulu. Bukan orang sekarang yang membuatnya. Kita banyak meniru teknologi yang sudah ribuan tahun lamanya.

Ruang berhampiran pintu gerbang selatan ini dahulunya sebuah gelanggang yang menentukan hidup mati seorang gladiator.

Ruangnya luas memanjang. Di kanan dan kirinya terdapat teres tempat duduk penonton. Dari gelanggang inilah lahirnya padang bola sepak seperti sekarang. Sekarang orang hanya menentukan kalah menang. Menentukan maruah pasukan dan menentukan maruah negara. Pada zaman Rom maruah hanya ditebus dengan kemenangan atau menggadaikan nyawa. Mereka yang dilagakan adalah tawanan perang, pesalah-pesalah dan orang-orang yang rendah kedudukannya. Pada ketika-ketika yang lain mereka dilagakan dengan singa-sinnga yang sedia membaham mangsanya. Taraf manusia dibezakan antara yang memerintah atau yang diperintah.

Pada zaman kegemilangannya tempat ini tentulah ramai, meriah dan mewah. Kota yang penuh dengan kegemilangannya. Melihat tinggalannya sahaja sudah cukup menakjubkan.

Tiang-tiang Roman ini mendominasi rumah-rumah orang Melayu di Malaysia. Dari bandar hingga ke kampung-kampung. Di Jarasya ini saya menemui tiang Roman yang asli. Tiang-tiang yang mencipta tamadun. Tiang-tiang yang penuh dengan kegemilangannya yang tersendiri. Tiang-tiang seperti ini hanya wujud di Italy dan di bumi Syam.

Apabila kita melancong kita mencipta sejarah kita sendiri. Buat apa? Jawabnya entahlah. Mungkin kenangan yang memanjang. Mungkin iktibar dari kebesaran Allah jika kita ingin berfikir. Yang pentingnya kita berada di situ, di tempat itu. menjejak zaman lampau yang sudah berlalu.

Saya berada di tengah mudarraj. Tempat-tempat duduk di teres nampak jauh dan tinggi. Di mudarraj inilah orang-orang Rom mempersembahkankan kesenian mereka. Teater atau nyanyian atau tarian.

Di sebelah kiri adalah pentas VIP. Melihat kepada ruangnya kelompok ini tentu ramai. Berlegar di atas pentas itu pelayang-pelayang yang menghidangkan arak, anggur dan makanan lain.


Berlatarbelakangkan senibina Rom gambar ini merakamkan juga dua orang peniup nafiri. Bunyinya gempita. Meriah. Kembali ke zamannya yang tersendiri.

Di tengah Mudarraj. Amphitheatre besar yang berteknologi tinggi. Tidak ada mikrofon atau pembesar suara. Mudarraj sebesar hampir sebuah padang bolasepak ini mampu dinikmati oleh setiap yang hadir. Walaupun mereka duduk di tempat yang paling tinggi dan paling jauh, mereka masih boleh mendengar dengan jelas apa-apa yang diungkapkan dari tengah mudarraj ini. Tidak perlu menjerit atau bercakap dengan nada kuat. Percakapan biasa sudah memadai. Tingginya tamadun mencipt ateknologi alami.


Tinggalan sejarah silam terlalu banyak di Jordan. Antaranya yang terbesar ialah di Jarasy. Yang ada di sini ialah tinggalan tamadun Rom yang terbesar di luar Italy. Sesungguhnya bumi Syam sangat mengujakan dari segi sejarah. Bukan sahaja para anbia ramai hidup di sini bahkan tamadunnya sangat gemilang pada suatu masa dahulu. Sayangnya kegemilangan itu tidak berkekalan. Yang tinggal hanya bekas-bekasnya. Gempabumi kuat pada kurun ke-8 meranapkan kota-kota Roman, Yunani dan yang lain-lain. Tinggalan sejarah itu mengingatkan kita bahawa janji Allah adalah benar. Apabila sesuatu bangsa itu gagal mempertahankan akidahnya maka Allah gantikan dengan bangsa lain yang lebih baik. Begitulah kitaran fitrah manusia. Mereka yang beriman dekat dengan Allah. Mereka yang tidak tentulah ada balasan dahsyat menanti mereka. Di dunia lagi balasan itu sudah ditimpakan. Mereka tidak aman. Mereka gelisah. Mereka takut, bimbang, ragu, sangsi dan berbagai lagi perasaan. Ibarat makan tidak kenyang dan tidur tidak lena. Siang bermimpi dalam jaga. Malam takut bermimpi bila tidur. Akibatnya mereka merana perasaan kerana igauan sentiasa datang. Mereka yang tenang pula selamba makan dan mengantuk. Makan sedikit cukup kenyangnya. Tidur malam lenanya tersangat lama.
Sebelum Islam bertapak di bumi Syam berbagai tamadun telah berada di situ. Jika disebut namanya rasanya ramai antara kita yang tidak pernah mendengarnya. Pernah belajar tetap tidak ingat. Mendengar tetapi tidak memberika apa-apa erti. Malaysia jauh dari pusat sejarah dunia. Kita hanya mempelajarinya kerana hendak lulus periksa. Sejarah itu menjadi suatu dongeng kerana kita tidak berada bersama sejarah itu sendiri. Apabila saya berada di bumi anbia ini saya menjadi sangat teruja. Barulah saya akur dengan nama-nama bangsa terdahulu seperti Yunan (Greece), Rom (Italy), Anbat (Jordan), Babylon (Iraq), Hellenic (Greece), Firaun (Mesir). Itu belum Arab dan Yahudi. Saya telah ke Laut Mati, Petra, Jarasy, Arjeloun, Umu Qais dan Karak. Di bandaraya Amman ini sendiri banyak tinggalan sejarah. Anaranya Masjid Husain yang dibina pada zaman Sayyidina Umar. Bukit Husain. Dan Kota Rom di pusat bandar. Di luar kota terlalu banyak yang dinamakan sejarah seperti permakaman syuhada, makam nabi-nabi dan banyak lagi. Kali ini saya ingin memperkatakan tentang Kota Rom di Jarasy. Dikatakan kota Rom yang terbesar selepas kota-kota Roman di bandaraya Rome sendiri.
Kemanusiaan panjang sejarahnya. Sejak zaman Nabi Adam AS entah sudah berapa lama manusia memakmurkan bumi. Al-Quran mengandungi catatan sejarah yang Allah rakamkan. Tempat yang paling banyak disebut ialah Bumi Syam. Atau Syam sahaja. Tidak ada nabi atau Rasul yang Allah utuskan selain dari jazirah Arab.  Paling ramai di bumi Syam. Dulu Damsyik yang banyak disebut. Amman atau Jordan tidak disebut atau tercatat di mana-mana. Benarlah bahawa Rasul dan Nabi sebelum Rasulullah SAW diutuskan untuk kaumnya sendiri. Bila dikaji semula sejarah ada tinggalannya yang Allah sisakan supaya kita umat yang terkemudian dapat mengesan sejarah itu.  Membuat perbandingan. Mengambil iktibar dan pengajaran. Bangsa yang ingkar Allah gantikan dengan bangsa yang lebih baik. Satu persatu tamadun Rom di Jordan Allah musnahkan.     
Tinggalan sejarah yang bertaburan di seluruh Jordan adalah iktibar sejarah kemanusiaan. Kajian Arkeologi menunjukkan tamadun kemanusiaan di bumi Jordan sudah wujud sejak 18,000  tahun dahulu. Itu yang dapat dikaji secara saintifik. Jika dikaji tentang manusia itu sendiri, sudah tentu tiada angka sejarah yang dapat dirakamkan. Al-Quran merakamkan sejarah dalam konteks iktibar, bukan masa. Masa diandaikan berterusan, berulang dan timpa-menimpa. Kegemilangan zaman hanya suatu rakaman. Kita beruntung kerana Allah perlihatkan akan tanda-tanda kebesarannya. Tinggalan sejarah itu masih ada dengan izin Allah. Kehebatan orang zaman dahulu membina tamadun kekal hingga sekarang. Bukan setahun dua. Tetapi ribuan tahun. Ianya Allah kekalkan supaya ianya dapat dilihat untuk diambil iktibar. Bahawa yang kekal abadi hanya Allah. Yang lain-lain tanpa kecuali pasti musnah. Tiada siapapun makhluk yang dapat mempertahankannya. Di sisi Allah kesemua makhluk difitrahkan untuk mati. Untuk binasa. Menanti untuk dibangkitkan semula pada hari qiamat. Hari kebangkitan.
Malangnaya sebuah bangsa. Orang Jordan memiliki sejarah yang panjang. Sejarah yang agung. Berbagai kerajaan purba wujud di sini. Sebut apa sahaja. Ada sejarahnya di sini. Rom. Yunan. Hellenic. Mesir Purba. Anbat. Byzantine. Dan mungkin banyak lagi.  Bumi Syam ini bumi Rasul dan anbia. Di sini juga terakam sejarah kemanusiaan. Islam juga menguasai jazirah ini sejak dari zaman para sahabat. Begitu juga apabila Sallehuddin al-Ayyubi mengembalikan kegemilangan Islam setelah mengalahkan tentera salib pada kurun ke-13. Tanda-tanda kegemilangan Islam juga banyak. Kota binaan Sallehuddin di Ajloun, Karak dan di Mesir adalah manifestasi bahawa Islam telah menggantikan kehebatan Rom, Yunan, Anbat dan mungkin tentera Hulagu Khan, Jenghis Khan dan kaum Tartar yang meranapkan Bahgdad. Sayangnya sejarah Islam terhenti. Barat dan Yahudi merencanakan supaya sejarah Islam tiada geraknya. Tiada anjakan paradigma. Mereka menunjangi kehebatan sains dan teknologi yang telah dipelopori oleh ilmuan Islam. Hingga sekarang Jordan tidak dapat mendepankan kehebatan seperti zaman kegemilangan Islam di bumi Syam seperti dalam zaman Ma’awiyyah. Tidak juga seperti kegemilangan kerajaan Abasiyyah. Kadang-kadang apabila memandang tinggalan sejarah yang ada, hanya kesayuan yang tinggal. Sinarnya sudah tiada. Kecuali orang Islam kembali kepada tugasnya yang asasi iaiatu memakmurkan dunia. Menjadi khalifah seperti yang ditentukan Allah sewaktu Adam dicipta.