Thursday, May 30, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Untuk Mengerti Yang Dimengerti



Setelah beberapa bulan di Amman, Jordan banyak juga dimengertikan mengenai Bahasa Arab. Semakin dipelajari semakinlah banyak hubungkaitnya dengan keindahan beragama Islam. Sejarah merakamkan bahawa agama Islam perlu dipelajari dalam bahasa asalnya iaitu Bahasa Arab. Mungkin ramai yang berfikir tentang hubungannya Bahasa Arab dengan agama Islam. Dalam sejarahnya tentu kita semua maklum. Islam dari Makkah al-Mukarammah. Rasulnya Muhammad SAW. Bahasanya Arab Quraisy. Maka siapapun yang ingin mendalami agama Islam wajiblah memahami Bahasa Arab. Terjemah? Boleh. Tetapi telah dibuktikan bahawa sesuatu bahasa itu tidak dapat diterjemahkan seratus peratus. Sebabnya banyak. Antaranya agama. Keduanya budaya. Ketiga cara berfikir. Keempat falsafah. Keenam tradisi. Jika begitu tidakkah bahasa lain juga mempunyai trait yang sama. Ciri-ciri bahasa yang sama. Jawabnya tidak. Rasanya hanya Bahasa Arab sahaja yang unik dalam banyak hal. Pada kali ini saya tidak bermaksud untuk membincangkan Bahasa Arab dari segi linguistik. Tidak juga dari segi morfologi. Tidak juga dari segi syntax dan sebagainya. Cukup sekadar memberi sedikit gambaran tentang akrabnya Bahasa Arab dengan sistem beragama. Tentunya Bahasa Arab. Bahasa agama Islam.
Banyak kali kami diberikan latihan membuat ayat. Memadankan ayat. Mengubah ayat untuk disesuaikan dengan gantinama (dhomir) yang berlainan jantina. Untuk makluman pembaca, gantinama dalam Bahasa Arab terbahagi kepada jantina jantan dan betina. Setiap satunya dibahagikan pula kepada seorang (mufrad), berdua (mathna) atau bertiga dan lebih (jamak). Ada 14 gantinama yang mesti diingat iaitu bagi orang ketiga dia lelaki (hua), dua orang lelaki (huma), ramai lelaki (hum). Dia perempuan (hia), dua orang perempuan (huma) dan ramai perempuan (hunna). Orang kedua pula anda lelaki (anta), anda berdua (antuma), anda ramai (antum), anda perempuan (anti), anda berdua (antuma) dan anda ramai (antunna). Orang pertama pula ana (lelaki dan perempuan) dan nahnu (juga untuk lelaki dan perempuan). Setiap gantinama membentuk struktur ayat yang tersendiri. Banyak latihan diperlukan kerana lain kalimah lain pula pembentukan ejaan dan ayatnya.
Dalam bahasa Malaysia, kita tidak pernah membincangkan tentang sesuatu perkatan dan hubungkaitnya dengan gender. Kita tidak tahu gender yang kita baca atau bincangkan kerana tidak ada petunjuk. Hanya apabila ada ciri-ciri wanita disebut baru kita mengerti bahawa manusia yang dibincangkan adalah wanita. Membaca sebuah cerita tidak membantu kita mengetahui siapa yang disindir. Atau diumpat. Atau dikeji. Dalam bahasa Arab sesuatu gantinama sudah memberi gambaran jelas siapa yang dimaksudkan. Siapa sahaja yang sifatnya manusia dirujuk dengan tepat. Syabbab umpamanya khusus untuk orang muda lelaki. Syabbah pula khusus untuk orang muda perempuan. Langsung tidak mungkin tercipta kekeliruan antara gender. Itu belum istilah-istilah khusus. Al-jazzar adalah penjual daging termasuk ayam dan ikan. Al-baqqal adalah peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan. Dalam istilah kita perkataan peniaga atau penjual dibawa ke mana-mana. Penjual kain, penjual buah, penjual sayur, penjual kuih dan sebagainya. Dalam Bahasa Arab yang berkaitan dengan budaya bangsa itu sendiri tercpta istilah-istilah khas untuk Bahasa Arab. Tidak ada dalam bahasa lain. Kelainannya terlalu banyak. Sebab itu mempelajari Bahasa Arab memberikan kelainannya yang tersendiri. Tidak banyak kit aberpusing-pusing untuk menerangkan sesuatu. Tanda baris fathah atau kasrah atau dhommah sudah cukup memberikan ertinya yang tersendiri.
 Kerana adanya perbezaan gender maka sukar untuk kita berkata-kata yang tidak menentu. Apabila kata-kata itu diistilahkan sebagai mengumpat maka dengan serta merta orang yang diumpat akan mengerti. Perkataan dan istilah yang digunakan sudah memberi petunjuk siapa yang dimaksudkan. Memahami semua ini tentu membangtu kit amenjadi pengamal agama Islam yang baik. Yang tulen. Terhindar dari mengumpat. Terelak dari menyindir. Tertahan dari memaki hamun tidak tentu fasal. Orang yang dimaksudkan sudah mengerti dengan sangat jelasnya. Maknanya Bahasa Arab memperisaikan penganut Islam dari melakukan yang terlarang. Membicarakan yang bukan hak. Malah tidak dibenarkan memikirkan yang bukan-bukan.  Yang tiada kaitannya dengan berbuat baik dan menolak kemungkaran. Sistem berbahasa itu mengawal keindahan agama Islam itu sendiri. Hidup agama, hiduplah bahasa. Bahawa bahasa yang mutlak sifatnya ialah al-Quran. Kalam Allah yang menjadi mukjizat. Membezakan antara kalam manusia yang lemah dan banyak cacat celanya.
Dalam budaya kita banyak yang bersalahan dengan budaya Arab atau budaya agama Islam. Islam melarang pergaulan bebas antara mereka yang bukan mahram. Begitu juga yang berlaina gender. Malangnya penjajahan fizikal British dan penjajahan minda menjadikan kita keliru dengan hak-hak yang Allah tentukan. Yang kita ikut ialah trend dan falsafah Barat. Kita tinggalkan budaya Islam dan falsafah pendidikan Islam. Maka kita merasa terbiasa dengan pergaulan bebas dan terbuka antara lelaki dan perempuan. Anak-anak muda akan merasa hairan jika kita memisahkan mereka dalam dua ruang yang berasingan. Walaupun pada hakikatnya kita masih mengekalkan hukum hakam antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dalam konteks yang lebih luas kita terkeluar dari garis panduan Islam. Kita ada sekolah lelaki sahaja. Ada pula sekolah untuk perempuan sahaja. Sekolah-sekolah itu pada asalnya sekolah mubaligh Kristian.  Kajian di negara Israel menunjukkan sekolah-sekolah satu gender lebih berjaya dari sekolah bercampur gender.
Dalam mempelajari Bahasa Arab kami selalu terperangkap dengan hukum hakam ini. Dalam Bahasa Malaysia ayat berikut tiada apa-apa salahnya:
Hanafi dan rakan-rakan sekelasnya dari SMK Seri Angkasa menghadiri majlis meraikan kejayaan Hashim.
Siapa rakan-rakan Hanafi. Lelaki atau perempuan. Jika kesemuanya lelaki tidak pula disebut begitu. Jika termasuk rakan perempuan juga tidak disebut dengan jelas. Dalam Bahasa Arab ayat yang samar maksudny atidak mungkin diterima sebagai ayat yang betul. Benar sintaksnya betul. Susunan strukturnya betul. Tetapi wujud keraguan antara lelaki dan perempuan. Jika kesemuanya lelaki majlis itu harus. Jika kesemuanya perempuan majlis itu juga harus. Apabila hadir lelaki dan perempuan yang bukan mahram maka majlis itu haram. Bukan itu sahaja, ayat yang dibina juga dikira salah kerana menyalahi hukum.
Nah, boleh pembaca fahami bahawa Bahasa Arab adalah bahasa agama. Bukan sekadar bahasa tanpa makna atau tanpa kaitannya dengan agama. Maksudnya untuk bercakap kena sedar hukumnya yang berkaitan. Untuk berfikir sekalipun kena ingat hukum yang mungkin berkaitan. Apatah lagi dalam tindakan. Gender menentukan hukum yang mungkin berkaitan. Pendek kata dalam Bahasa Arab terbina hukum hakam agama Islam. Maka menjadi unik untuk mempelajarinya. Untuk mengetahuinya. Bagi mereka yang menguasainya tentu banyak hal-hal agama yang berpaut pada kalimah dan struktur Bahasa Arab. Bahasa Arab dan agama Islam terpisah tiada. Cubalah untuk mempelajarinya untuk lebih memahami agama anutan kita sendiri. Agama lurus yang menunjukkan lurus ke arah yang lebih lurus. Siapa lagi jika bukan kita penganutnya yang menguasai Bahasa Arab. Jika tidak mahir sekalipun sekurang-kurangnya memahami semampu mungkin.

No comments:

Post a Comment