Tuesday, November 1, 2011

Mengucup Hajr al-Aswad

Sayyidina Umar pernah berkata, “Jika aku tidak pernah melihat Rasulullah mengucupmu nescaya aku tidak akan mengucupmu.” Itulah Hajr al-Aswad. Batu hitam yang sejarahnya panjang. Pertikaian kabilah Arab yang sukar dirungkai. Boleh sahaja menjadi perang antara mereka. Siapa yang layak mengangkat batu itu diletakkan di tempatnya. Di penjuru sama yang kekal hingga ke hari ini. Kaabah yang sudah sekian kali diubahsuai tetap meletakkan batu itu di tempatnya yang abadi. Lalu diputuskan bahawa sesiapa sahaja yang pertama memasuki kawasan  masjid akan diminta meletakkan hajr al-aswad ke tempatnya. Sesungguhnya Allah memuliakan Rasulullah. Dialah al-Amin yang terpilih. Namun bukan Rasulullah secara bersendirian yang mengangkat dan meletakkan batu itu. Dibentangnya sehelai kain. Diletakkan batu itu di tengah-tengah. Empat ketua kabilah memegang setiap penjuru. Rasulullah seorang sahaja yang meletakkan batu. Kendur segala ketegangan. Lunturlah marah yang meluap-luap. Lembutlah hati kerana tetap memainkan peranan. Ada sentuhan setiap kabilah pada batu itu. Beribu-ribu tahun manusia berasak-asak hendak mengucupnya. Lambaian isti’lam berjuta-juta banyaknya. Garisan hajr al-aswad menjadi saksi itu.

Musim haji tahun ini 1432H sedang memuncak. Wukuf hanya beberapa hari sahaja lagi. Bermulalah musim yang penuh debar. Saudara seislam berpusu-pusu dari seluruh dunia. Perhimpunan terbesar dalam sejarah manusia. Tidak ada peristiwa sebesar ini dalam sejarah manusia dari dahulu hingga sekarang. Saban tahun jutaan manusia berhimpun di lembah kontang sewaktu Siti Hajar dan Nabi Ismail dihunikan di situ. Sunyi, lapang dan tiada langsung apa-apa perlindungan. Lambang-lambang bahawa keturunan Nabi Ismail banyak sengsaranya dalam kehidupan dunianya. Yang abadi dan membahagiakan hanyalah alam akhirat. Usahanya di dunia.  Bercucuk tanam di sini. Berbakti di sini. Mencari pahala dan redha Allah. Nanti apabila sampai di akhirat kita hanya menuai hasilnya. Semuanaya dibalas dengan ganjaran yang melebihi dari sepatutnya. Tiada yang kurang. Semuanya gandaan nikmat belaka.

Pada tahun 1999 kali pertama saya jejakkan kaki di bumi haramain (dua bumi haram). Yang bermaksud Makkah al-Mukaramah dan Madinah al-Munawarah. Saya melakukan haji ifrad. Bila sampai di Makkah lebih untuk beribadat sahaja. Sentiasa berihram. Kira-kira 16 hari lamanya. Berusahalah menghindarkan diri dari hal-hal yang memungkin tersabit dam. 13 perkara yang haram semasa ihram. Yang berat lebih mudah dihindar. Yang kecil dan mudah terkadang-kadang terbuat. Rambut gugur kerana mengelap badan selepas mandi. Mungkin tercalit minyak wangi dan banyak lagi. Selepas wukuf dan tamat tawaf ifadah masih ada lagi 16 hari untuk dihabiskan. Sejak dari tanahair saya kosongkan minda supaya tidak bernazar apa-apa. Tidak berniat apa-apa yang pelik. Selepas selesai haji barulah bebas mengulang-ulang umrah. Bila-bila masa  boleh melaksanakannya. Pagi boleh. Petang boleh. Lepas Isya’ boleh. Tetapi yang paling tenang selepas tengah malam. Sebelum subuh. Suasana lebih sunyi dan hening. Walaupun di dalam masjid orang tetap ramai tetapi ramai yang kelihatan keletihan. Ada yang tersandar di dinding dan tiang. Mungkin terlelap menunggu Subuh.

Berhari-hari saya memandang sukarnya orang hendak mengucup hajr al-aswad. Bertolak-tolak. Berhimpit-himpit. Ketika itulah saya melihat hal-hal yang tidak wajar. Ada jemaah wanita yang tudungnya entah di mana. Telekungnya entah di mana. Ia gelak berenang di atas kepala jemaah lelaki. Aduh! Di mana silapnya kerana tidak menghormati rumah suci Allah yang paling agung. Saya tanya isteri saya jika dia teringin hendak mengucup batu hitam yang dikira sunat itu. Dia mengangguk kepala. Kami susun strategi. Kami renung dahulu batu itu. Solat hajat menyusul. Kami memohon semoga Allah memudahkan hajat kami. Itupun tidak kami terjah pada hari itu. Berhari-hari kami mohon bantuan Allah. Kami ingin mengucup batu itu. Batu yang sinonim dengan Rasulullah.

Tiga hari kemudian kami memulakan langkah dari rukun Yamani. Orang masih lagi ramai. Memang sesak. Doa kami panjatkan. Mulut kami tidak henti-henti berdoa. Memang perlahan gerakan kami. Agak lama juga untuk sampai ke penjuru yang terletak batu idaman. Saya rasa lebih sejam hanya untuk bergerak beberapa langkah sahaja. Sesudah menghampiri begitu lama sampailah kami kira-kira semester lagi. Ketika itu isteri saya diserang rasa takut yang amat sangat. Manusia di sekeliling terasa terlalu menghimpit fizikalnya. Sebenarnya saya kejap memeluknya dari belakang. Melindunginya dari himpitan ribuan manusia. Besar-besar belaka. Tingi-tinggi belaka. Gagah-gagah belaka. Saya pujuk supaya cekal maju ke hadapan. Hendak berundur sudah terlalu jauh. Lagipun penjuru itu sudah terlalu dekat. Kami teruskan berdoa. Kuasa Allah dengan sekelip mata kami tercampak betul-betul di hadapan batu itu. Apa terjadi? Tunggu.

Kami berdua bukan sahaja tiba-tiba berada di penjuru tempat beradanya batu hitam itu. Yang paling menakutkan saya ialah isteri saya benar-benar terjelepuk di lantai. Di bawah hajr al-aswad. Kakinya lembik. Lulutnya lemah. Dia tidak boleh bangun. Tiada daya langsung untuk bangun. Saya menahan tangan ke dinding kaabah. Mengawal supaya isteri saya tidak terpijak atau apa-apa yang mungkin berlaku. Dalam pada itu saya jerit sekuat-kuat hati saya, “Bangun, bangun.” Saya kira agak lama. Seperti masa terhenti. Terjelepuk bukan perkara main-main. Memang mencemaskan. Cuma saya masih mengawal kewarasan. Saya terus memanggil isteri saya supaya membuat tindakan untuk berdiri. Lama sungguh penantian itu. Eternity. Yang saya ingat tiada apa-apa bunyi di sekeliling saya. Sunyi sesunyinya. Saya hanya dengar suara saya menjerit mengarahkan isteri saya supaya berusaha bangun. Rasa bimbang yang amat sangat.

Allah melindungi kami. Tiada pula ada gerakan menolak dari belakang. Seolah-olah semua orang tidak digerakkan oleh Allah. Kami benar-benar dalam perlindungannya. Allhu akbar. Setelah lama yang entah berapa kali saya menjerit isteri saya bangun perlahan-lahan. Katanya dia terdengar suara saya menyuruhnya bangun. Digagahinya untuk bangun. Bila dia separas hajr al-aswad saya suruh dia menciumnya. Kemudian saya tarik badannya ke belakang untuk saya pula menciumnya. Saya genyeh mulut dan pipi saya sepuasnya. Saya menjadi terlalu gagah bak sang perwira. Saya paut tubuh isteri saya lalu saya bergerak dengan mengundur ke belakang. Saya tarik diri saya sekuat-kuatnya. Saya kait tubuh orang lain supaya mereka ke hadapan dan saya mendapat lorong untuk bergerak ke belakang. Terlalu cepat pula kami keluar dari kelompok manusia yang begitu ramai itu. Asakannya dari segenap penjuru. Logiknya amat sukar untuk dapat mengucup hasr al-aswad. Kuasa Allah memudahkan segala-galanya. Alhamdulillah.

Rasa syukur yang tidak terhingga. Tiada pula terasa letih kerana berperang dengan keadaan. Berpeluh mungkin. Kami tuju ke Multazam. Antara tempat paling mustajab untuk berdoa. Kami solat sunat dua rakaat. Banyaklah doa kami. Redha Allah jua yang kami pinta. Selepas solat dan berdoa lazimnya kami membaca al-Quran. Ketika itu sesuatu yang sangat di luar dugaan telah berlaku. Entah bila berlakunya kami tidak tahu. Apabila isteri saya membuka beg sandang Tabung Hajinya dia mendapati terletak di atas al-Qurannya lipatan kertas. Bila kami belek-belek rupanya wang kertas Amerika Syarikat. US dollar. Hendak tahu berapa nilainya? USD100. Bingung juga kami. Dari Malaysia kami tidak membawanya. Di Makkah kami tidak menukar wang untuk mendapatkan dollar. Tidak ada orang memberi. Sewaktu kami tawaf dan mengucup hajr al-aswad beg isteri saya berzip. Digalas di dalam telekung lagi. Memang tidak terdedah langsung.

Bingung juga kami sebentar. Kami bukan jumpa di jalanan. Bukan pula terambil dari sesiapa. Puas kami bertanya dengan ustaz Tabung Haji. Tiada jawapan pasti. Kami tanya ustaz muasasah. Juga tiada jawapan pasti. Akhirnya kami anggap wang itu sebagai anugerah Allah. Kami ambil keputusan untuk menggunakan wang itu bagi membeli apa sahaja yang boleh menggembirakan saudara mara di tanahair. Oleh-oleh dari makkah. Bimbang juga kerana mungkin nanti terlebih timbangan. Mulut saya terpacul berkata, “Kalau lebih timbangannya kita bayar nanti.” Benar di Madinah al-Hujjaj barang kami terlebih 10 kg. Sekilo 20 rial. Perlu membayar 200 rial. Saya cuba minta dilepaskan bayaran. Tidak dapat kerana ketuanya ada di situ. Saya minta kurang. “Berapa?” katanya. Saya jawab, “100 rial.”. dia setuju. Begitulah di tanah suci mulut jangan menyebut yang bukan-bukan. Semuanya kontan. Sebutan menjadi doa.

Mengucup ajr al-aswad bukan rukun haji atau umrah. Bukan perkara wajib yang jika tidak dibuat dikenakan dam. Ia hanya suatu amalan sunat. Telah dipelopori oleh Rasulullah. Diikuti oleh para sahabat. Para tabiin pula menyusul. Disulam oleh tabi’-tabiian. Hinggalah kepada kita sekarang ini. Semoga haji mereka mabrur belaka.

Monday, October 31, 2011

Adat Beradat Yang Mengubah Warna

Beberapa kali saya alami kelainan budaya yang kita cipta. Entahkan baik entahkan tidak. Seperti budaya yang selalu diadakan. Saudara mara kita juga. Jiran-jiran kita juga. Sahabat-sahabat kita juga. Kadang-kadang kita hanya mampu melihat senangnya tanpa menilai impaknya kepada generasi yang akan mengikut jejaknya. Terlopong juga melihat orang-[orang yang bukan budayawan tetapi mencipta kelainan budaya. Bila kita mulakan sesuatu tanpa panjang berfikir khuatir pula mereka yang menjejakinya tidak tahu usul dan asalnya. Semuanya diredah demi perubahan yang tidak dirancang benar salahnya. Yang saya lihat dengan mata kepala begitu. Gambar  dan imej yang dipaparkan begitu. Budayawan mungkin garu kepala. Sosiologis mungkin geleng kepala. Ulamak pula menggerutu hatinya. Sifat kita sudah berubah. Sikap kita sudah menjauh. Susila bangsa dan agama sudah tersisih. Saya tidak pasti apa yang ingin diniati. Kebiasaan yang sudah tidak lagi bertapak pada lunas agama dan bangsa. Dalam adat resam dan budaya kita harus selalu melandaskan tindakan kepada agama. Lakukan jika syariat menghalalkannya. Jika budaya mengizinkannya. Tinggalkankannya jika sebaliknya berlaku.

Adat resam kita sudah banyak berubah. Pengaruh luar budaya sangat kuat mendesah dan mendesak. Mata kita banyak melihat apa yang ada di sekeliling kita. Kadang-kadang indah dipandang. Kadang-kadang mengerikan pula. Keriusauan saya tentulah mengenai hal yang berkaitan dengan acara-acara agama yang dibudayakan. Akhirnya kita lupa yang mana satu tuntutan agama. Mana yang wajib dan sunat. Yang senang untuk diikuti. Mana pula yang makruh dan haram. Mudah dihindari. Memangpun adat atau urf dalam bahasa Arabnya tidak dihalang aplikasinya tetapi pilihlah yang tidak melanggar syariat.  Maksudnya adat yang dalam lingkungan garis syariat. Terhindar dari hal-hal yang dikira maksiat. Dalam semua tindakan kita selalunya mencari redha Allah. Jika tidak mengetahui had dan batasnya ditakuti akan mengudang dosa dan kemurkaanNya. Maksudnya perkara-perkaras dasar mestilah diambilkira supaya tidak pula terlanggar hal-hal yang lebih besar. Takut halal dicari, pahala dikejar tetapi dosa yang diterima.

Kali ini saya ingin menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan adat resam. Adat yang resamnya selalu tersasar jauh. Semakin lama semakin hilang lurusnya. Cuba kita lihat bagaimana kita berada dalam majlis agama yang dibudayakan. Yang diadatkan. Yang semakin lama semakin tiris nilai agamanya. Semakin menipis nilai fitrahnya. Biasalah dalam prosesnya. Sebelum berkahwin yang diambilkira oleh orang tua ialah aktiviti merisik. Bukan tidak tahu status si gadis atau bakal pengantin perempuan. Tetapi itu proses untuk mengesahkan status yang sebenar. Meminang dan merisik lain statusnya. Merisik tidak ada salahnya. Jika semasa merisik kebetulan si gadis sudah bertunang, mudahlah berundur wakil yang merisik. Hampalah sementara bertemu yang lain sebagai calon. Tetapi jika terus diterjah untuk meminang maka berdosa jika si gadis adalah tunangan orang. Sudah ditempa orang.

Lazimnya semasa merisik wakil pihak lelaki sudah menyediakan cincin tanda. Tanda bahawa gadis itu sudah dirisik. Untuk menunggu proses pertunangan. Untuk merasmikan ikatan. Proses awal membina masjid. Saat-saat yang ditunggu dengan penuh rasa bahagia. Penuh damai. Rindu yang tidak pernah surut. Terlalu lama menanti saat dipersatukan. Dalam majlis pertunangan inilah yang sekarang sudah mula kacaunya. Sudah merebak ke mana-mana. Adat yang diubahsuai tetapi banyak tidak sesuainya. Adat seharusnya selari dengan adab. Akhlak Islamiah. Fitrah jatidiri bangsa. Nusantara yang penuh indah. Lenggang lenggok yang katanya lemah gemalai. Penuh irama santai membelai. Bak angin sepoi-sepoi. Mengusap rasa. Menyentuh perasaan. Melestarikan  budaya Melayu yang turun temurun. Indahnya berzaman. Ingat kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia.”

Orang dulu-dulu majlis pertunangannya penuh santun. Penuh sopan. Penuh beradat timur. Adat yang ditatang dengan syariat. Sama juga seperti sekarang. Rombongan pihak lelaki akan datang membawa dulang yang berbagai. Sirih junjung yang asli. Digubah untuk dipersembah. Pemanis adat. Gunanya? Entahlah. Orang dulu kala makan sireh. Sirih junjung itu hadiah untuk emak mertua dan nenek. Nenek mertua? Gitulah gamaknya. Kadang-kadang si bapapun makan sireh juga. Maka sireh junjung itu banyak manfaatnya. Sekarang ini tiada lagi yang makan sireh. Sudah mula sireh plastik yang menjadi sireh junjung. Keaslian yang bersadur segala yang palsu. Iringan dulang yang lain adalah hadiah. Untuk menyukakan ibu bapa dan bakal tunangan. Keluarganya. Saudara maranya. Sireh yang banyak khasiatnya kepada wanita. Tidak termampu untuk saya menghurainya di sini. Secara peribadi mungkin boleh.

Berbalas-balaslah kata-kata pemanis. Mungkin berpantun-pantun. Serah menyerah dulang hantaran yang dibawa. Yang diusung. Yang ditatang. Bila selesai maka sampailah saat dan ketikanya untuk si ibu lelaki menjengah bakal menantunya secara rasmi. Menatang wajahnya. Menyentuh lemah lembutnya. Menilai bahasa tubuhnya. Menatap senyum malunya. Melihat simpuh duduknya. Tunduk sipunya. Bergetar jabat salamnya. Sejuk dengan rasa seram tangannya. Jari jemari yang keras kerana takut. Tegeliat bibir menjawab salam. Ditegur sapa sukar membalas. Suaranya antara dengar dengan tidak. Telah lama dilentur rebung sebelum menjadi buluh. Tugas ibu bapa yang lama. Membuahkan hasil yang dinilai tinggi oleh bakal mertuanya. Pada dirinya ada nilai tambah yang sukar dicari. Dalam serba tidak kena jari manis dihulur longlai. Bakal ibu mertua memegang lembut jari itu. Diusap sayang bakal menjadi anak menantu yang solehah. Pada jari itu disarung cincin tunnng yang mungkin hanya berbelah rotan. Mungkin juga bertatah intan. Jari manis yang semakin manis. Tanda yang dilihat sentiasa. Berkatalah hati, “Aku sudah berpunya.”

Senario itu sudah berubah. Kehidupan semasa mengubah banyak paradigma. Di sinilah masalahnya. Kita menukar kepada yang lebih sukar. Lebih menyuluh siurnya. Simpang yang tersalah pilih. Dahulu kala bakal ibu mertua menemui bakal menantunya di dalam bilik. Bakal menantu yang selalu menjadi pingitan. Pergi ke bilik sebagai lambang menyunting anak gadis orang. Yang mekar di taman. Yang mewangi kembang setaman. Saya masih teingat manisnya. Budaya yang selalu dijaga. Tidaklah terlalu ketat tetapi sekadar menjaga tata susila. Norma-norma yang turun temurun. Entahlah sekarang ini segalanya berputar dan berganjak. Bukan 180° tetapi 360°. Yang pastinya gadis yang dipinang akan keluar ke hadapan khalayak. Yang menutup aurat alhamdulillah. Namun berada di hadapan khalayak yang bukan mahram masih ada masalah. Ditatap semua yang hadir. Yang tidak berhak untuk menatap. Bukan hak lagi. Hatta bakal bapa mertua sekalipun belum berhak menatapnya lama-lama. Masih juga terjadi maksiat mata.

Jika yang tidak sempurna pakaiannya lagilah menyesakkan. Apatah lagi jika jarang dan telus ke dalam. Di kepalanya tidak tertutup lingkup dengan tudung labuh yahg menutup dada dan bentuk tubuh.  Sebuah kerusi disediakan. Duduklah si gadis di situ. Di hadapan semua orang. Lelaki dan wanita. Yang mahram dan bukan mahram. Majlis agama yang menjadi cacat cela. Hilang nilai agamanya. Timbullah fitnah mata. Fitnah yang selalunhya dihindarkan. Dinyahkan. Datanglah bakal ibu mertua mengangkat sembah. Bersimpuh di hadapan gadis memohon sembah. Merapak sembah pada si gadis yang bakal menjadi menantunya. Yang diharap membelai masa tuanya. Menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak lelakinya. Janggal juga melihat yang mudah duduk di atas. Lebih janggal melihat yang tua-tua duduk di bawah. Bukan slealu. Benar. Bukan suka-suka. Benar. Namun kecacatan adat ini tidak seharusnya terjadi. Adat dan adab mestilah selari. Segerak.

Malanglah bakal ibu mertua yang terpaksa menyembah bakal menantunya. Seksa duduk bersimpuh di hadapan orang banyak. Semua mata bak terpaku dengan acara dan agenda yang tersedia. Kenapa adatnya lain? Kenapa budayanya lain? Mana adat Melayu yang lama dipusakai? Bukankah yang muda di bawah dan yang tua di atas? Bukankah yang muda di belakang dan yang tua di hadapan? Bukankah yang tua didahulukan? Rosak adat resam yang selalu dijunjung. Demi perubahan yang tidak menjadi. Tidak manis dari segi agama. Tidak indah dari segi nilai timur. Bertelingkah antara norma dan praktikal. Logik yang kadang-kadang menyalahi akal.  Tiada masalah dengan yang lama. Tiada cacat celanya yang selama ini dipusakai. Yang lama masih senang diadatkan. Dilaksanakan dengan sebaiknya.

Bukan semestinya kembali kepada tradisi. Berubahlah tetapi selalulah bersendikan agama. Bersendikan ketimuran. Yang lama masih banyak indahnya. Banyak lagi baiknya. Apa salahnya merangkul yang lama sambil meraih yang baru. Yang perlu semaunya selari dengan yang sebaiknya. Kita beragama maka jagalah agama. Kita beradat maka jagalah adat. Kita orang timur maka jagalah ketimuran kita yang selalu memikat orang barat. Orang ingin melihat kita sebagai kita bukan yang bersalut sesuatu yang bukan hak. Maaf salah silap. Untuk sama-sama merenungi diri. Masa nampak masih panjang. Tanda-tanda yang ada menunjukkan masa semakin suntuk. Kesempatan yang semakin terbatas. Kembalilah ke haluan. Ada cahaya cerah yang gemilang di hadapan. InsyaAllah.

Wednesday, October 26, 2011

I No Speak English

Sounds ironic. It was a lady I met in the vicinity of Niagara Falls way back in 1985. She was with her three small children. I was dumfounded then. Only for a short while. She sort of trying very hard to stop herself from talking in English. Yet the words she uttered were English. I realised then history could be forever. The hundred years war between the English and the French is still dragging itself to the present. Canada is a living proof of that war until today. We have been colonised (If I may used the therminology) for too long. The Portugese came and gone. The Dutch came and gone. The British came and gone. The Japanese came and gone. The British came back and gone again. They were gone for good. What is disturbing is that the spirit of the British is still very strong. Dominating  almost every facet of our life. There goes our politics. Our culture. Our education. You name it, the British is very much alive in our system. Haunting our past. Haunting our future.

Many upteen times I heard tales of those venturing into continental Europe. The sentiment there are forever different from what we experience here. Our heart is so dear to the British. That kind of feeling never happen in continental Europe. Even in Canada that sentiment exist. The French deeply hated the British. Anything British. I learnt that in North America. The French in Canada are still very vocal about their demand to have an autonomy in Quebec. A state for the French. Just go to France. Try to speak in English. They will simply ignore you. Go to Germany. You will experience the same treatment. In fact in many parts of Europe speaking English is simply non-existance.

Let us wander around the world. Most nations are very proud about their language. The national language. Official functions are conducted in their national language. State functions are conducted using the national language. They know English. They could be proficient in English. Yet in official functions they communicate using their national language. Yes the national language. When two leaders meet they engage interpreter. Talking to and fro as if they cannot speak or understand the English language. In reality, deep inside their heart they love their own language. Very dear to them. They can go to war just because somebody disrespect their language. Remember the hundred years war? It ended centuaries ago. Yet the scar still persists in their mind and heart. The French is still bitter. Forever maybe.

In Asia, China is proud of her Chinese. The Korean are proud of their national language. The Japanese are proud of their national language. So goes the Russian. So what next? They are economic superpowers. Their products are exported all over the world. Look at the labels. Read the text. Not a single English. Who says that English is a must? The Japanese and the Korean are enjoying economic achievement. The others are simply bewildered on how they achieved such  greatness. Their technologies dominating all over the world. You name it, their products exist in every aspect of our life. English is reconised as a medium for international communication. To some nations English is not the deciding factor in their success. Not politically. Not educationally. Not technologically.  Their national spirit is too formidable. As a nation to be reckoned each of them behold their national pride. Their language is very dear to them. Their self pride.

Look at us. We are still  hesitant about bahasa Melayu. More hesitant about English. What is our philosophy? What are our vision by 2020? Yet we are more worried about those years beyond 2020. Where are we going? Are  we still clear of our future? Or still muzzy. Still fuzzy. Are we clear on this? Please take stock. Think hard. From the highest leadership to the general layman, all citizens must make a decision. Are we proud of our national heritage. The once lingua franca of the region. Spoken by millions in the nusantara. Why take others to replace our own?  Lost our pride? Well, I pass the ball to you. It is you that must do the right thing. Think of those that may be dear to your nation. Remember nation building. You dare make a difference?  

Friday, October 21, 2011

Mengajarkah Guru?


Tanyalah guru. Siapa sahaja guru. Tanpa mengira gender. Usia. Pengalaman. Tanya semua guru. Apa kerja cikgu? Spontan jawabnya, “mengajar!” Dalam hati mereka merungut, “Takkan itupun tak tau.” Begitulah senario yang dimanifestasikan guru. Semua guru. Persepsi guru ialah mengajar. Apa lagi jika bukan mengajar. Maka persepsi itulah yang dibina di minda masyarakat. Minda khalayak. Mudahnya kerja guru. Hanya mengajar. Setengah hari pula. Gaji sama seperti orang lain. Cukup bulan dapat gaji kontan. Cukup dalam akaun bank. Tiada yang kurang. Orang lain naik gaji, guru juga naik gaji. Tidak kurang dan tidak lebih. Mereka adalah sebahagian daripada anggota perkhidmatan awam. Mendokong aspirasi negara. Membina wawasan. Di sebalik kesemuanya itu tidak ramai yang maklum bahawa di bahu guru tertanggung tugas membina bangsa. Membina negara. Mencorakkan masa hadapan warganya. Agen perubahan yang merealisasaikan  wawasan masyarakat yang mengelilinginya.

Siapa yang yakin mengatakan bahawa guru adalah the person that dare to make a difference. Cuba buka minda. Buka hati. Buka pandangan jauh. Teroka di dalam. Guru bukan mengajar sahaja. Mengajar hanyalah sebahagian penting tugas guru. Matlamat akhirnya ialah menjadikan anak didiknya orang yang berbeza. Dari tidak tahu menjadi tahu. Dari naive menjadi berpengalaman. Dari takut menjadi yakin. Dari jahil menjadi mengerti. Dari belajar menjadi pakar. Menjadi lebih teguh imannya. Menuju kesempurnaan akhlaknya. Cita-citanya menjadi warga sarwajagat yang mendukung aspirasi kemanusiaan. Manusia yang tiada sempadan negara. Tiada konkongan politik. Dunianya adalah alam. Bukan negara. Bukan negari. Yes! A teacher dares to make that difference. Only a teacher has that capacity to do the unknown. In the world of uncertainty. Lihatlah sekeliling kita. Pandang luas-luas. Manusia kerdil yang dianggap paling lemah dalam perkhidamatan awam adalah manusia-manusia yang memiliki ledakan kekuatan dalaman untuk mencetuskan fenomena.

Guru selalu terkehadapan dalam membuka minda anak-anak didiknya. Tidak pernah jumud dan hanya melancholic dengan masa lalu.  Kerjayanya yang melampaui tiga dekad adalah untuk merubah lanskap masyarakat. Merubah menjadi lebih baik. Lebih indah. Perjalanan hidup yang bertahap-tahap dilalui dengan menuntun orang lain. Yang beratur bertali arus saban tahun. Datang dan pergi dengan pengisian dada yang tidak pernah penuh. Tidak ada guru yang merentasi kehidupan seorang anak didiknya dari tadika hingga ke pengajian tinggi. Seorang guru hanya berada pada satu tahap sahaja. Kecualilah anak-anaknya yang dididik hingga mereka keluar dari rumah. Keluar berkerjaya. Keluar berumahtanga. Keluar untuk melestarikan warisan bangsanya. Ummahnya.  Secara induvidu peranannya kecil. Sekecil zarah. Tetapi impaknya besar. Impaknya menggegar. Impaknya menghalilintar.

Itulah guru yang membina kelainan. Membina sesuatu untuk diabadikan bangsanya. Warisannya. Untuk diamanahkan kepada anak didiknya. Untuk diberi kesinambungan masa hadapan segala keturunannya. Sebagai pelestari budaya masayarakat bahu guru berat menanggung kudrat. Sarat dengan tugas besar yang perlu banyak bersabar. Mendidik bukan sahaja mengajar. Guru membuka minda anak didiknya. Titik akhirnya tiada. Alam ini dinamik. Dunia ini dinamik. Minda manusia lebih lagi dinamik. Tiada yang statik. Yang membeku. Yang kaku. Yang layu hanyalah hidupan yang perlukan banyak air tetapi dinafikan haknya. Manusia tidak seharusnya boleh layu. Guru yang menghidupkan hati dan minda anak didiknya hingga ke akhir hayat. Bekalan seumur hidup yang diberi dari tahap ke tahap. Guru yang menyiram. Yang membaja. Yang membelai hati nurani mereka.

Maka kelainan tercipta. Perbezaan dilihat mata. Dirasa di sanubari. Anak didik berubah dari bertatih hingga berlari deras merentas benua. Merentas alam. Merentas zaman. Mereka merangkak menggarap dari tidak tahu menjadi tahu. Dari sedikit menjadi banyak. Dari latihtubi mereka menjadi pencipta teknologi. Mengungguli persada ilmu. Memperkembang ekonomi. Memurnikan politik. Mendahulukan agama. Membuka ruang lingkup kemanusiaan. Merasakan sakit bila ada kepiluan. Merasa lapang untuk memberi. Mengungkapkan keindahan kata-kata yang menyejukkan. Memotivasikan nilai-nilai yang intrinsik. Memperhebat yang ekstrinsik. Mereka menjadi manusia yang sebaiknya. Uswatun hasanah. Manusia yang menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Menjauhi fasiq. Melarikan diri dari maksiat. Menjauhi kecelaan.

Tuan, guru bukan sekadar mengajar. Di bahunya banyak tugas membina manusia. Membina kemanusiaan. Membina negara. Membina masa hadapan sebuah negara. Suatu bangsa yang aspirasinya tinggi. Mengawan tingginya. Di bahu guru jatuh bangunnya masa hadapan. Mustahil? Tidak logik? Tutuplah semua sekolah. Persarakan semua guru. Negara akan kucar kacir. Semua agenda negara terbantut. Terbengkalai. Semua yang dirancang akan hanya di atas kertas. Sekolah akan reput. Peralatan berkarat. Anai-anai akan bermaharaja lela. Seluruh sistem masyarakat pasti lumpuh. Bagaimana anak akan pandai. Siapa yang mendidik akhlah kerana ibu bapa tiada masa untuk itu. Siapa akan memandaikan anak-anak kerana ibu bapa tiada masa untuk itu. Siapa akan membina teknologi. Untuk menggunakannya sahaja tidak mungkin meluas. Seorang dua tidak boleh menggerak hasrat negara.  Tidak boleh membina wawasan yang selalu diimpikan.

Tangan-tangan halus seorang guru memberi sentukan fizikal. Suara lunak di telinga yang menyentuh hati dan perasaan. Sentuhan-sentuhan itulah yang mengindahkan tugas guru. Yang menggamatkan suasana hati. Yang dikenang semasa mendewasa. Abadi dalam hati. Terpahat kekal sebagai bekalan untuk suatu perjalanan jauh merentas usia. Untuk melaksanakan tugas kemanusiaan yang bilangannya banyak. Untuk menjadi khalifah seperti yang diamanahkan Allah. Suatu tugas yang selalu dikira mulia. Membahagiakan kehidupan yang selalunya payah. Tetapi ada sesuatu yang selalau anak didik tidak lupa. Guru sangat istimewa. Kepekaannya yang selalu ada. Sensitivitinya yang selalu tinggi.  Hatinya lekat di sekolah. Profesionya selalu dijulang. Anak didiknya selalu di hati. Dirinya milik semua orang. Seluruh raganya untuk orang lain yang mengharapkan jasa baktinya.

Guru adalah untuk mencipta kelainan. Nilai semula kedudukanmu guru. Jadikan dirimu hebat dan bukan sekadar mengajar. Bukan sahaja mengajar tulis baca. Bukan sahaja sekadar mengira tambah tolak. Bukan sahaja mengenal salah benar. Tugasmu rencam dan menuntut kudrat yang banyak. Serlahkan bahawa guru bukan hanya mengajar. Di bahunya berat. Di matanya berat. Di telinganya berat. Di tangannya berat. Di mindanya berat. Di hatinya selalu berat. Pada seluruh tubuhnya gambaran imej seorang yang besar. Besar namanya dari fizikalnya. Guru yang berjaya bukan namanya. Bukan fizikalnya. Guru menjadi besar kerana kehadirannya. Hadirmu guru besarmu guru. Harapan tidak pernah pudar.  Di bahumu letaknya membina negara besar. Cita-cita dan azam agung untuk masa hadapan yang selalu cerah. InsyaAllah.

Nanti suatu ketika aka nada orang menyapa. Cikgu, apa khabar? Kau bertanya, “Siapa ni?” Ketika itu mungkin airmatamu tertumpah. Masih ada yang ingat. Mereka telah berubah. Mereka telah menjadi lain. Guru yang telah mencipta kelainan itu. Alhamdulillah dengan izin Allah.

Sunday, October 16, 2011

The Wonders Of Camping

Semasa kecil dahulu saya selalu mendongak ke langit pada waktu malam. Pada tahun-tahun 50an kampung saya jauh di pendalaman. Elektrik belum sampai di kampung. Belum terpacak tiang-tiangnya. Belum ada pencawang. Pendawaiannya juga tiada. Mungkin masa itu masih di atas drawing board agaknya.  Bapa saudara saya ada yang biasa bersama saya dan sepupu yang lain. Pada malam-malam yang cerah banyak bintang di langit yang kelihatan. Ketika itu saya terasa amat seronok memandang bintang-bintang yang bergemerlapan itu. Kampung yang masih penuh dengan belantara amat dingin sekali. Kunang-kunang berterbangan. Kami tangkap dan balut dengan baju. Terang bak penyuluh. Pencemaran memang belum ada. Udara bersih dan menyegarkan. Nostalgik sungguh. Malam indah di pagar bintang. Oleh kerana tiada siapa yang mahir ilmu falak atau astronomi maka malam dan bintang hanya dilihat secara fizikal. Tiada makna yang mendalam dan besar.

Sewaktu saya melancong ke Canada saya dan keluarga bermalam di kawasan perkhemahan. Kami bertujuh bermalam dalam dua khemah. Hanya khemah murah. Sebelum pergi kami membawa comforter – selimut tebal. Bantal ala kadar sahaja. Untuk alas kepala.  Selalunya di kawasan perkhemahan saya menyewa satu lot kawasan. Walaupun satu lot, boleh memuatkan dua khemah kecil, sebuah kereta dan jika membawa meja kecil boleh berkeliling untuk makan bersama keluarga. Penginapan di US dan Canada bukan masalah. Jika banyak duit hotel banyak alternatifnya. Motel pula lebih murah lagi. Tetapi untuk mengalami percutian yang murah, berkhemah sangat mengujakan. Pengalaman yang sukar dilupakan. Malangnya pengalaman seperti itu sukar diulangi di sini. Bukan budaya orang Malaysia. Sesuatu yang di luar kebiasaan. Hotel banyak. Motel banyak. Resort banyak. Homestay banyak. Rumah saudara mara ada di mana-mana. Rumah teman-teman hampir ada di kebanyakan tempat di seluruh negara. Oleh itu berkhemah bukan pilihan terbaik. Kita tidak ada pilihan itu di sini. Satu kerugian dalam hidup.


Kawasan tapak perkhemahan ini sangat luas. Pada musim summer memang beribu-ribu ramainya. masing-masing dengan ragamnya. Ada khemah mahal dan ada khemah murah seperti yang saya dan keluarga gunakan. Rasanya USD29 sahaja. Tidurdi tengah lapang bersama dengan alam. Udaranya bersih. kawsannya selamat. Kemudhannya banyak. Khemah saya dua sahaja. Satu lagi khemah teman saya dan keluarganya. Begitulah kami berjimat di rantau orang. Di Malaysia tiada kemudahan sebegini. Jika ada mudah berinteraksi dengan alam sekitar.

Kita menjadi orang yang hanya melata di muka bumi. Jarang kita mendongak kerana mata kita ditarik ke kanan dan ke kiri. Banyak imej yang memukau. Lagipun banyak aktiviti lain yang melarikan kita dari keindahan alam. Suasana di sekeliling kita bukan lagi gelap seperti dahulu. Mata kita sudah silau dengan gemerlapan cahaya. Bintang di langit sudah terselindung dari keindahan mata kita.  Sebenarnya memandang ke langit khususnya sewaktu langit cerah adalah sesuatu yang digalakkan. Mengingatkan kita supaya insaf dengan kekerdilan kita. Makhluk yang sangat daif. Sangat lemah. Sangat tidak signifikan dari segi saiz dan kekuatan. Cumanya kita memiliki akal dan otak yang dipermudahkan berfikir. Banyak yang mampu dilaksanakan. Namun semakin lama semakin kita maju maka semakin kita lupa akan kebesaran Allah yang tidak pernah berubah. Tetap kekal ada dan abadi. Kita sahaja yang sudah lupa asal kita yang lama.

Berkhemah di Amerika Utara mengembalikan nikmat yang hilang. Nikmat yang saya lalui semasa kecil dahulu. Alhamdulillah lima orang anak saya dapat bersama saya. Mungkin ramai yang tertanya-tanya. Seronok ke berkhemah. Bagaimana keadaannya. Dan banyak lagi soalan yang bermain di kepala. Saya katakan bahawa berkhemah adalah suatu pengalaman menyeronokkan. Mungkin pengalaman ajaib. Lot perkhemahan diliputi rerumput yang dijaga rapi. Merata dan lembut. Menambahkan kelembutan comforter yang dibentang di dalam khemah. Menghijau di musim summer. Apabila khemah dipasang, comforter dibentang. Tidurlah selena-lenanya. Sejuk. Damai. Tenang. Selamat. Hilang segala kerisauan. Begitu nyaman. Boleh tuan bayangkan. Lot perkhemahan itu sangat rata. Tidak berpasir atau berbatu-batu. Bila membaringkan badan tidak terasa ada yang membonjol atau menekan mana-mana anggota badan. Sangat selesa.

Saya suka kawasan perkhemahan kerana kemudahan asas disediakan. Kebetulan lot saya berhampiran dengan bilik air awam. Ada tandas yang selesa. Bilik airnya cukup dilengkapi dengan air panas. Mestilah diasingkan yang lelaki dan wanita. Mandi manda dan keperluan isjinjak taken care of. Basuh membasuh tiada masalah. Laundry disediakan di kawasan perkhemahan. Masukkan pakaian, masukkan duit, putar. Sesudah dibilas terus masukkan dalam alat pengering. Balik ke khemah siap sudah dilipat. Sangat mudah. Sekali lagi sesuatu yang nostalgik. Maksudnya di kawasan perkhemahan tiada yang merungsingkan. Masih yang diambil tidak pula lama. Paling lama sejam. Basuh hingga dilipat. Budaya membasuh di laundry belum lagi berkembang di Malaysia. Semua laundry full service. Bukan self-service. Jika ada self-service, bayarannya masih mahal.  Lain padang lain belalangnya.

Di setiap lot perkhemahan terdapat bekalan air dan punca elektrik. Untuk makan kami masak sendiri. Bekalan makanan boleh dibeli di mana-mana. Makan beramai-ramai di kawasan perkhemahan begitu menyelerakan pula. Bukan banyak lauk. Nasi dengan ayam atau daging. Masak yang senang-senang. Mungkin goreng. Kerana saya banyak membawa rempah maka masaklah berempah. Boleh kari. Boleh kurma. Atau sup sahaja. Sayur? Makan kobis mentah sahaja. Atau tomato. Pendek kata di kawasan perkhemahan itu hidup kami cukup simple. Makan tidak banyak karenah. Hidup semudah mungkin.  Yang penting kami menikmati kehadiran kami to the fullest. A real great experience.  Sukar dilupakan. Something to be treasured. Hidup kami yang simple itu seolah-olah kami seperti orang senang. Santai.

Aspek keselamatan tiada apa-apa masalah. Segalanya terkawal. Petugas di perkhemahan itu meronda mengikut jadual. Kami rasa selamat. Tiada rasa bimbang. Lagipun kawasan perkhemahan itu sangat luas dan rata. Berpagar dan berpengawal. Aspek keselamatan dari pencerobohan manusia atau haiwan sudah diambil kira. Pada waktu siang kami berjalan ke mana-mana tempat yang sesuai. Walau bagaimanapun kami banyak berlegar di kawasan Niagara Falls. One the wonders of the world. Sebelum kami keluar (untuk berjalan-jalan) dari kawasan perkhemahan itu kami kemaskan semua barang ke dalam khemah. Sebenarnya kami tidak boleh berada di dalam khemah pada waktu siang kerana cuacanya agak panas. Kawasan yang sangat lapang. Tiada perlindungan dari cahaya matahari. Sebab itu kami meronda kawasan Niagara untuk menikmati apa-apa yang dapat dilihat. Yang dapat menyegarkan mata. Yang membuka minda. Memang sukar hendak digambarkan. Orang Barat menjaga persekitaran mereka denga rapi. Suatu kemestian. Kesedaran sivik yang sangat tinggi. Mereka hidup dalam keadaan yang membahagiakan mata dan minda mereka. Pandang ke mana sekalipun, kebanyakannya menarik untuk diulang-ulang pandang.

Nikmat sebenar berkhemah tentulah pada waktu malam. Langit cerah dan lapang. Pandang ke langit. Indahnya gemerlapan alam. Bintang-bintang di langit semuanya bercahaya. Baru sekarang saya sedar bahawa yang kelihatan di langit itu adalah planet, bintang, nebula dan supernova. Kebesaran Allah Yang Maha Besar. Maha segala-galanya. Langit yang terbentang luas itu menyerlahkan tanda-tanda kebesaranNya. Sesungguhnya semua yang di langit beredar dalam pusingan seperti tawaf. Dari kanan ke kiri. Nebula yang hanya boleh dilihat dengan teleskop berkuasa tinggi amat menakjubkan warna warninya. Hanya debu dan gas. Supernova yang berbagai bentuknya sangat mengasyikkan. Yang dilihat dari bumi ialah cahaya letusan planet yang membentuk supernova mungkin telah berlaku jutaan tahun lamanya. Cahayanya baru sampai untuk dilihat oleh orang di bumi. Memandang ke langit, mendongak dan memerhati segala yang berkelipan dan bergemerlapan adalah nugerah untuk kita nikmati. Mengambil keinsafan bahawa bumi ini kecil. Manusia yang menghuninya kecil. Ingatlah kebesaran Allah yang mencipta langit dan bumi dan semua yang ada di antara keduanya.


Di kanan kiri khemah ada bangku makan. Sanga memudahkan.


Kami masak dan makan di kawasan ini. Ala kadar sahaja. Seronok dan menyeronokkan. Disinari mentari summer yang mula panas sedari pagi.


Kebetulan tapak khemah kami bersebelahan bilik air. Paip air di luar khemah. Sangat memudahkan.


Khemah yang murah. Cukup untuk tidur dan merehatkan badan. Anak-anak jadi terbuka bebas menikmati alam yang terbentang luas. Sukar untuk mempraktikkannya di sini. banyak taboo kadang-kadang.


Begitulah hidup di perantauan. Ada sahaja pengalaman baru yang sukar dilupakan. Pengalaman itulah yang memperkayakan diri. Value added dalam kehidupan. Input yang menusuk ke qalbu. Menjana minda untuk berfikir. Ketajaman akal memberi panduan untuk mengambil iktibar dari apa yang dilihat. Bahawa tanda-tanda kebesaran Allah ada di mana-mana. Percayalah kita terlalunya sangat kerdil. Dihantar ke bumi untuk memakmurkannya. Manusia kerdil yang dilantik menjadi khalifah. Tanggungjawabnya besar.

Tuesday, October 11, 2011

Berbelanja Bila Ada Wang. Merancang Bila Dijangka Ada.

Wang dilihat dari berbagai perspektif. Ada baik dan ada buruknya. Baik jika berhemah sewaktu menggunakannya. Cukupkan mana yang ada. Simpan untuk hal-hal di luar jangka. Labur untuk harapan di hari muka. Sedekah untuk yang perlu. Derma kepada yang meminta. Zakat bila tiba haul dan hisabnya. Kerana itu wang bukan digunakan kerana sifatnya sebagai wang. Tetapi dilihat sebagai apa yang dapat diterjemahkan dari wang. Sebab itu wang yang di tangan berbeza dengan wang yang disimpan. Berbeza dengan wang yang dilabur. Berbeza dengan wang yang diinfakkan untuk kemaslahatan umum. Untuk saudara-saudara kita sesama Islam. Sesama umat. Sesama manusia. Maka nilai agama hendaklah didahulukan. Nilai kemanusiaan pula diutamakan. Kita hanya pemegang amanah. Milik kita hanya sedikit sahaja. Terlalu sedikit. Wang dicari. Wang diguna. Ada baki disimpan. Diinfakkan untuk kebaikan. Untuk kebajikan. Nikmat menjadi manusia dermawan. Tidak banyak berharta tetapi kaya dengan kemurahan. Senang dan tenang. Bahagia selalu. Redha berkongsi apa sahaja.

Memiliki harta lazimnya bukan untuk dinikmati sendiri. Ramai yang berharta tetapi untuk ditinggalkan. Maknanya harta itu bukan untuk manfaat dirinya. Ditinggalkan untuk semua susur galur keturunannya yang ada dan yang akan datang. Andainya konsep berharta itu mengikut landasan Islam maka selamatlah rohnya di alam barzah dan akhirat nanti. Jika tidak maka petaka besar menanti di sana. Tempat yang tidak lagi dapat menyelamatkan kita. Segala-galanya sudah terlambat. Oleh itu anak cucu mestilah dididik supaya menjadi Muslim yang sebenar. Ingat hidup dan mati kerana Allah. Sesungguhnya dunia semakin hampir ke pengakhirnya. Bahawa alam akhirat semakin hampir tibanya. Harta bukan penyelamat. Penggunaannya yang selari dengan kehendak agama yang membantu pemiliknya.

Biasalah. Bila ada wang maka berbelanjalah sekehendaknya. Apatah lagi jika wang itu bukan kita yang cari. Apabila wang itu dicurah di depan mata. Menimbun banyaknya. Berbelanjalah sehingga terlupa mengira. Hingga terlupa menghemah diri. Bahawa yang hak perlu dipertimbangkan. Hak berbelanja tidak menafikan hak kepada siapa wang itu dibelanjakan. Bahawa hak itu akan menuntut haknya nanti pada hari pembalasan. Hak berbelanja bukan mutlak. Bukan qat’i. Ada  sistemnya. Ada prosedurnya. Ada prosesnya. Ada tatacaranya. Ada sekatan dan had-hadnya. Waima, berbelanja bukan untuk memuaskan kehendak orang yang berbelanja. Yang perlu disempurnakan ialah bahawa perbelanjaan itu untuk memenuhi mereka yang perlu dipenuhi haknya.

Memang mudah berbelanja. Boleh ketawa sesuka hati. Boleh membuka mulut menganga sebesar mana. Senyum dari telinga ke telinga. Wang banyak di depan mata. Terlalu leka berbelanja sehingga terlupa bahawa yang disimpan juga diguna. Yang dijangka juga dibelanjakan. Berbelanjalah sehingga wang berlonggok di depan mata tidak lagi mencukupi. Ada bukit membeli gunung. Ada tasik membeli lautan. Ada belukar membeli hutan. Yang kelihatan akhirnya adalah perbelanjaan yang manfaatnya tiada. Terlalu banyak pembaziran di sana sini. Longgokan sampah nafsu semata-mata. Sampah pembaziran. Mereka yang kenyang bukan dengan halalan toyyibah. Banyak api yang masuk ke dalam perut. Banyak racun yang menjalar di dalam urat saraf. Banyak sakit dari sihatnya. Fizikalnya sakit. Mindanya sakit. Rohnya sakit. Psikologinya sakit. Bahagia tidak pernah singgah dalam hati. Jiwa menjadi tidak pernah tenang. Semakin rakus dan rakus.

Kadang-kadang kita dijanjikan sesuatu oleh orang-orang yang kelihatan banyak wangnya. Yang diberi amanah untk mengagihkan wang. Janjinya manis-manis belaka. Bila diamati kita rasa curiga. Cukupkan wang yang hendak diagihkan. Cukupkah wang yang ada. Cukupkan wang yang dijangka ada. Ada masanya kita menjadi sangat bimbang bahawa wang yang dijanjikan itu sebenarnya tiada. Ianya akan ada bila sampai masanya ada. Jangan ditanya dari mana. Jangan tanya siapa yang menyediakannya. Big daddy selalu sedia memberi.  Anak-anak yang tidak pernah menyoal benar atau salah hanya menganga minta disuap. Apa yang disuapkan tidak disemak baik atau buruknya. Asalkan kenyang santak ke dada memadai. Biar perut gendut dan boroi. Kenyang yang diambilkira. Kebenaran tidak pernah diberi bicara.

Ramai orang yang mewah wang ketawa melihat gelagat orang yang tidak ada wang. Orang yang tidak ada wang merancang untuk menggunakan wang secara terancang. Belajar dari kemiskinan dan kepapaan. Dari kekurangan yang selalu berpanjangan. Berkurun  dengan usaha teguh mencari kebaikan. Mencari kelebihan. Biasalah emas dipandang orang. Wang yang dijeling-jeling. Kemewahan yang diidam-idamkan. Tangan-tangan yang menawarkan yang terbaik ditadah di bawahnya. Tangan-tangan baik yang suci dan bersih dinyah ke tepi. Tiada harapan. Tidak diberi peluang sedikit pun. Yang dikejar hanyalah keindahan untuk bermewah-mewahan. Tidak ada siapa yang insaf bahawa yang akan dibawa hanyalah kain kafan yang tebalnya tiada. Yang kualitinya tiada. Yang standardnya tiada.

Bila dunia disayangi segala yang ada di dalamnya dicintai. Semuanya digilai melampau batas. Kecintaan yang mengkelabui hak yang mesti dipertahankan. Hilang kecintaan sebenar mengenai alam akhirat. Alam abadi yang infiniti. Kekal selama-lamanya. Tiada sebaiknya. Tiada yang seindahnya. Tiada yang sesempurnanya. Keindahannya tiada tandingan. Tiada minda yang dapat membayangkan. Tetapi manusia tidak endah. Mereka leka mencari yang palsu. Yang sementara. Yang hanya persinggahan. Yang kekal terabai. Yang indah tersilau. Biarlah senang kerana senang. Biarlah susah kerana susah. Semuanya kerana Allah. Ketentuan Allah. Kepada Allah kita berserah. Kita pasti kembali kepadanya. Tanpa keraguan. Itu ketetapan. Itu fikrahnya. Mudah-mudahan mendung mega berarak pergi. Segala cakrawala akan menyinar bumi yang haus dengan keindahannya yang tersendiri. Tanah bertuah ini. Malaysia yang tercinta.

Tuesday, October 4, 2011

Guru – Profesion Yang Selalu Dilupakan

Puisi Usman Awang: Guru oh Guru!
Guru oh Guru!
Usman Awang

Berburu ke Padang Datar
dapat rusa belang kaki
berguru kepalang ajar
ibarat bunga kembang tak jadi

Jika hari ini
Seorang perdana menteri berkuasa

Jika hari ini
Seorang raja menaiki takhta

Jika hari ini
Seorang Ulama' yang mulia

Jika hari ini
Seorang peguam menang bicara

Jika hari ini
Seorang penulis terkemuka

Jika hari ini
Siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya
mengajar tulis baca .

Pernah menghayati pusi yang sangat puitis ini? Nukilan simple yang menusuk qalbu. Garapan seorang yang sensitif dengan alam di sekelilingnya. Seorang sasterawan negara. Yang namanya masih gah walaupun jasadnya sudah tiada. Walaupun kelibatnya sudah menghilang lama. Melihat putaran dan kitaran dunia yang berkisar dalam kehidupan seorang insan yang bernama manusia. Sejarahnya panjang. Berlatarkan sejarah diri itu adanya seorang guru berjasa. Beberapa orang guru yang menuntunnya ke alam celik. Bermula dari tahu tulis baca. Menjadi dewasa. Memungkinkan dirinya menjadi warganegara yang menginsafi diri. Bahawa dirinya bukan hak dirinya seorang. Bukan hak orang-orang yang tersayang secara eksklusif. Bukan hak keluarga yang membesarkannya. Bukan komunitinya. Bukan hak keturunannya. Bukan hak negara sekalipun. Ia menjadi hak manusia yang lain. Tugasnya adalah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tugas yang selari dengan tujuan Allah menjadikan manusia. Mafhum firman Allah, manusia (Islam) adalah sebaik-baik umat di kalangan manusia.   

Sebagai guru saya rasa bertuah. Seandainya saya memilih kerjaya lain mungkin lain juga jadinya. Guru bukan sebarang orang. Bukan sebarang kerja dan tugasnya. Bukan sebarang kerjaya. Memanglah berbanding dengan kerjaya lain siapalah guru. Tidak ramai orang yang memandang dengan sebelah mata. Bukan tidak ada mata tetapi banyak yang lain yang lebih senang dipandang. Yang lebih menyejukkan. Dalam zaman orang mahukan hidup senang yang nampak dipandang ialah rumah besar bak istana. Kereta besar yang menjalar. Pakaian yang berjenama gah. Melancong ke luar negara. Gaya hidup yang mewah. Rumah di kawasan elit. Rakan taulannya gagah-gagah belaka. Itu yang dipandang orang. Apalah ada pada budi. Emas tempawan juga dinilai orang. Guru dilihat terlalu kecil. Ada baik, tidak ada mungkin baik juga. Guru yang tidak lagi dipandang sebagai seseorang yang tinggi duduknya. Berdirinya cukup rendah hingga hilang dari pandangan.

Kasihan guru. Bila berbaris di belakang letaknya. Bila duduk tidak dapat dilihat. Bila berjalan selalu tertinggal. Bila bercakap orang tidak mendengarnya. Pakailah bagai hendak gila, siapapun tidak memandang. Di depan ditolak orang. Di belakang ditinggal orang. Di sisi dipinggir-pinggirkan. Akhirnya guru terperosok dalam alamnya sendiri. Terkeluar dari arus perdana. Dari arus masyarakat yang terlalu pantas bergerak kerana mengejar kemajuan. Maaflah. Guru akhirnya menjadi gembala bakal generasi akan datang. Tuan gembala itu lebih tahu apa mahunya. Jangan banyak soal. Guru tiada suara keramat. Tiada suara halilintar untuk meminta diberi perhatian. Tenggelam dalam bilangan yang banyak. Hilang dalam bilangan yang sedikit. Tidak menonjol dan tidak diberi pengiktirafan. Alangkah manisnya kata-kata puitis Usman Awang. Hanya guru yang perasan. Yang membacanya juga guru. Mungkin kanak-kanak sekolah. Mungkin bakal guru yang semangatnya belum reda. Orang dewasa hanya menjeling baris dan bait puisi itu. Kepada mereka guru bukan ikon lagi. Itu dahulu semasa mereka belum tahu tulis baca. Sebelum mereka tahu apa-apa. Sekarang guru berada di bawah tapak kaki mereka. Mereka selalu berada di atas.

Menyesal menjadi guru? Tidak perlu. Saya tahu. Tuan tahu. Puan tahu. Siapa kita bukan penting dipolimikkan. Kita tahu tugas kita. Kita tahu kerjaya kita. Kita tahu objektif kita. Kita tahu rupa bangsa yang kita bina sekarang untuk zaman mereka nanti. Untuk masa hadapan yang kita tentukan.  Selama ini kita bahagia. Damai. Wang dan harta tidak seberapa. Tetapi kita masih berupaya menjengah dada bahawa orang-orang di luar sana dulunya pernah kita didik. Mereka menjadi penjana kehebatan negara. Siapalah kita. Namun ada hasil tangan kita yang berpanjangan jariahnya. Berpanjangan ilmu yang berguna. Mereka menjadi anak-anak didik yang soleh dan solehah. Alanhkah. Bukankah mereka menjadi bekalan yang akan kita bawa ke alam barzah nanti? Saham kita berpanjangan kerana jariah, ilmu dan sifat soleh itu pasti dipanjang-panjangkan. Diturunkan kepada generasi ke generasi. Yang baik itu abadi. Sahamnya kita yang punya. Rasanya tidak ada profesion yang serupa guru. Dari anak didik tidak tahu tulis baca hinggalah mereka melestarikan generasi yang mengikut mereka. Silih berganti zaman berzaman. Itulah harta kita. Itulah kekayaan kita. Itulah mudah-mudahan kemewaha kita di alam barzah dan diakhirat nanti. InsyaAllah.

Hari ini mereka menyambut hari guru sedunia. Biarlah sambutan itu orang yang beri. Kita tetap begini. Fokus kita ke hadapan. Banyak tugas yang belum selesai. Agenda negara yang pastinya selalu didahulukan. Di bahu kita terletak tanggungjawab membina  negara. Membina warganegaranya. Membina anak bangsa. Membina negara bangsa. Membina kelangsungannya. Sebenarnya kita tidak perlu berada di hadapan. Boleh sahaja berada di belakang tabir. Orang tahu siapa kita. Tanpa guru tiada apa-apa kepada siapapun. Cuma harganya terlalu mahal. Berat dan beban yang bukan ringan. Senyum dan tawa sahaja yang mampu selalu dihadiahkan. Tangis dan sendu hanya di dalam. Bukan menangisi diri. Menangisi anak watan yang tercicir. Yang kecundang. Yang terkandas. Yang terhalang. Yang bantut perjalanan mereka ke tahap yang lebih tinggi. Memacu minda membina negara ke tahap yang lebih menjulang. Bak kata Usman Awang, kita hanya guru biasa.   Bukan memimpin. Bukan yang di atas yang duduk di kerusi empuk merancang masa hadapan. Cukup sekadar memberi yang terbaik. Terbaik dalam keterbatasan kudrat yang ada. Peluang dan ruang yang ada.

Tolehlah ke belakang. Tolehlah ke hadapan. Di sekelilimng kita yang bernama guru, terlalu ramai yang telah kita lepaskan ke alam buana untuk membina kehidupan diri. Kehidupan keluarga. Kehidupan negara. Malah mungkin ada seorang dua yang menyumbang kepada warga dunia. Tangannya menggapai lebih panjang. Kakinya lebih melangkaui jurang besar. Mindanya menggapai awan. Lapangannya luas. Medannya terhampar melaut luas. Tiada batas kepada mereka. Itulah hasil titik peluh kita yang sedikit. Memanusiakan anak-anak didik yang dikembalikan kemanusiaannya. Untuk manfaat manusia lain yang memerlukannya. Kita boleh duduk bersandar dan bersantai. Pejam mata. Yang tergambar sebagai imej-imej besar yang memberi ria. Mendamaikan sukma. Bahawa sebagai guru kita bukan sia-sia. Siapapun kita tetap ada jasanya. Apalah ada pada yang sedikit jika itu memberi impak besar kepada warga hadapan negara.

Bagi yang masih bertugas setia, bebaskanlah diri dari belenggu yang membelenggu. Bebaskan minda dari kejumudan. Berubahlah untuk mengubah paradigma. Maju ke hadapan tanpa meninggalkan yang di belakang. Keluar dari kepompong kecil yang sudah terbina lama. Lihatlah alam luas ini sebagi pentas beraksi dan berirama. Menjulang tekad dan azam mencipta nama. Sekadar diingat oleh anak-anak didik yang masih ada. Mudah-mudahan diingat lama. Dikenang berzaman. Kitalah guru yang mengajar tulis baca. Guru biasa yang tidak punya nama. Sekadar kekuatan semangat. Diwajakan dengan ikhlas niat. Jalan ke hadapan yang sangat luas.

Sambutlah harimu hari ini. Santaikan minda. Santaikan fizikalmu. Hari ini hanya hari-hari biasa. Tiada apa-apa yang berbeza. Akan ku bina bumi bertuah ini.