Friday, October 21, 2011

Mengajarkah Guru?


Tanyalah guru. Siapa sahaja guru. Tanpa mengira gender. Usia. Pengalaman. Tanya semua guru. Apa kerja cikgu? Spontan jawabnya, “mengajar!” Dalam hati mereka merungut, “Takkan itupun tak tau.” Begitulah senario yang dimanifestasikan guru. Semua guru. Persepsi guru ialah mengajar. Apa lagi jika bukan mengajar. Maka persepsi itulah yang dibina di minda masyarakat. Minda khalayak. Mudahnya kerja guru. Hanya mengajar. Setengah hari pula. Gaji sama seperti orang lain. Cukup bulan dapat gaji kontan. Cukup dalam akaun bank. Tiada yang kurang. Orang lain naik gaji, guru juga naik gaji. Tidak kurang dan tidak lebih. Mereka adalah sebahagian daripada anggota perkhidmatan awam. Mendokong aspirasi negara. Membina wawasan. Di sebalik kesemuanya itu tidak ramai yang maklum bahawa di bahu guru tertanggung tugas membina bangsa. Membina negara. Mencorakkan masa hadapan warganya. Agen perubahan yang merealisasaikan  wawasan masyarakat yang mengelilinginya.

Siapa yang yakin mengatakan bahawa guru adalah the person that dare to make a difference. Cuba buka minda. Buka hati. Buka pandangan jauh. Teroka di dalam. Guru bukan mengajar sahaja. Mengajar hanyalah sebahagian penting tugas guru. Matlamat akhirnya ialah menjadikan anak didiknya orang yang berbeza. Dari tidak tahu menjadi tahu. Dari naive menjadi berpengalaman. Dari takut menjadi yakin. Dari jahil menjadi mengerti. Dari belajar menjadi pakar. Menjadi lebih teguh imannya. Menuju kesempurnaan akhlaknya. Cita-citanya menjadi warga sarwajagat yang mendukung aspirasi kemanusiaan. Manusia yang tiada sempadan negara. Tiada konkongan politik. Dunianya adalah alam. Bukan negara. Bukan negari. Yes! A teacher dares to make that difference. Only a teacher has that capacity to do the unknown. In the world of uncertainty. Lihatlah sekeliling kita. Pandang luas-luas. Manusia kerdil yang dianggap paling lemah dalam perkhidamatan awam adalah manusia-manusia yang memiliki ledakan kekuatan dalaman untuk mencetuskan fenomena.

Guru selalu terkehadapan dalam membuka minda anak-anak didiknya. Tidak pernah jumud dan hanya melancholic dengan masa lalu.  Kerjayanya yang melampaui tiga dekad adalah untuk merubah lanskap masyarakat. Merubah menjadi lebih baik. Lebih indah. Perjalanan hidup yang bertahap-tahap dilalui dengan menuntun orang lain. Yang beratur bertali arus saban tahun. Datang dan pergi dengan pengisian dada yang tidak pernah penuh. Tidak ada guru yang merentasi kehidupan seorang anak didiknya dari tadika hingga ke pengajian tinggi. Seorang guru hanya berada pada satu tahap sahaja. Kecualilah anak-anaknya yang dididik hingga mereka keluar dari rumah. Keluar berkerjaya. Keluar berumahtanga. Keluar untuk melestarikan warisan bangsanya. Ummahnya.  Secara induvidu peranannya kecil. Sekecil zarah. Tetapi impaknya besar. Impaknya menggegar. Impaknya menghalilintar.

Itulah guru yang membina kelainan. Membina sesuatu untuk diabadikan bangsanya. Warisannya. Untuk diamanahkan kepada anak didiknya. Untuk diberi kesinambungan masa hadapan segala keturunannya. Sebagai pelestari budaya masayarakat bahu guru berat menanggung kudrat. Sarat dengan tugas besar yang perlu banyak bersabar. Mendidik bukan sahaja mengajar. Guru membuka minda anak didiknya. Titik akhirnya tiada. Alam ini dinamik. Dunia ini dinamik. Minda manusia lebih lagi dinamik. Tiada yang statik. Yang membeku. Yang kaku. Yang layu hanyalah hidupan yang perlukan banyak air tetapi dinafikan haknya. Manusia tidak seharusnya boleh layu. Guru yang menghidupkan hati dan minda anak didiknya hingga ke akhir hayat. Bekalan seumur hidup yang diberi dari tahap ke tahap. Guru yang menyiram. Yang membaja. Yang membelai hati nurani mereka.

Maka kelainan tercipta. Perbezaan dilihat mata. Dirasa di sanubari. Anak didik berubah dari bertatih hingga berlari deras merentas benua. Merentas alam. Merentas zaman. Mereka merangkak menggarap dari tidak tahu menjadi tahu. Dari sedikit menjadi banyak. Dari latihtubi mereka menjadi pencipta teknologi. Mengungguli persada ilmu. Memperkembang ekonomi. Memurnikan politik. Mendahulukan agama. Membuka ruang lingkup kemanusiaan. Merasakan sakit bila ada kepiluan. Merasa lapang untuk memberi. Mengungkapkan keindahan kata-kata yang menyejukkan. Memotivasikan nilai-nilai yang intrinsik. Memperhebat yang ekstrinsik. Mereka menjadi manusia yang sebaiknya. Uswatun hasanah. Manusia yang menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Menjauhi fasiq. Melarikan diri dari maksiat. Menjauhi kecelaan.

Tuan, guru bukan sekadar mengajar. Di bahunya banyak tugas membina manusia. Membina kemanusiaan. Membina negara. Membina masa hadapan sebuah negara. Suatu bangsa yang aspirasinya tinggi. Mengawan tingginya. Di bahu guru jatuh bangunnya masa hadapan. Mustahil? Tidak logik? Tutuplah semua sekolah. Persarakan semua guru. Negara akan kucar kacir. Semua agenda negara terbantut. Terbengkalai. Semua yang dirancang akan hanya di atas kertas. Sekolah akan reput. Peralatan berkarat. Anai-anai akan bermaharaja lela. Seluruh sistem masyarakat pasti lumpuh. Bagaimana anak akan pandai. Siapa yang mendidik akhlah kerana ibu bapa tiada masa untuk itu. Siapa akan memandaikan anak-anak kerana ibu bapa tiada masa untuk itu. Siapa akan membina teknologi. Untuk menggunakannya sahaja tidak mungkin meluas. Seorang dua tidak boleh menggerak hasrat negara.  Tidak boleh membina wawasan yang selalu diimpikan.

Tangan-tangan halus seorang guru memberi sentukan fizikal. Suara lunak di telinga yang menyentuh hati dan perasaan. Sentuhan-sentuhan itulah yang mengindahkan tugas guru. Yang menggamatkan suasana hati. Yang dikenang semasa mendewasa. Abadi dalam hati. Terpahat kekal sebagai bekalan untuk suatu perjalanan jauh merentas usia. Untuk melaksanakan tugas kemanusiaan yang bilangannya banyak. Untuk menjadi khalifah seperti yang diamanahkan Allah. Suatu tugas yang selalu dikira mulia. Membahagiakan kehidupan yang selalunya payah. Tetapi ada sesuatu yang selalau anak didik tidak lupa. Guru sangat istimewa. Kepekaannya yang selalu ada. Sensitivitinya yang selalu tinggi.  Hatinya lekat di sekolah. Profesionya selalu dijulang. Anak didiknya selalu di hati. Dirinya milik semua orang. Seluruh raganya untuk orang lain yang mengharapkan jasa baktinya.

Guru adalah untuk mencipta kelainan. Nilai semula kedudukanmu guru. Jadikan dirimu hebat dan bukan sekadar mengajar. Bukan sahaja mengajar tulis baca. Bukan sahaja sekadar mengira tambah tolak. Bukan sahaja mengenal salah benar. Tugasmu rencam dan menuntut kudrat yang banyak. Serlahkan bahawa guru bukan hanya mengajar. Di bahunya berat. Di matanya berat. Di telinganya berat. Di tangannya berat. Di mindanya berat. Di hatinya selalu berat. Pada seluruh tubuhnya gambaran imej seorang yang besar. Besar namanya dari fizikalnya. Guru yang berjaya bukan namanya. Bukan fizikalnya. Guru menjadi besar kerana kehadirannya. Hadirmu guru besarmu guru. Harapan tidak pernah pudar.  Di bahumu letaknya membina negara besar. Cita-cita dan azam agung untuk masa hadapan yang selalu cerah. InsyaAllah.

Nanti suatu ketika aka nada orang menyapa. Cikgu, apa khabar? Kau bertanya, “Siapa ni?” Ketika itu mungkin airmatamu tertumpah. Masih ada yang ingat. Mereka telah berubah. Mereka telah menjadi lain. Guru yang telah mencipta kelainan itu. Alhamdulillah dengan izin Allah.

2 comments:

  1. Assalamualaikum wbt Tn Hj.
    Sekali lagi untuk ruangan ini saya ingin bertanya, apakah usaha guru ini sememangnya tidak pernah terlihat?
    Bagaiman kaedah yg wajar untuk menangani pelajar kelas hujung yg datang ke sekolah semata-mata tidak mahu mendengar leteran ibu di rumah. Bila guru mengajar mereka buat hal sesama mereka. Guru dihadapan bagaikan tidak wujud. Apa yang perlu sy lakukan utk menarik minat mereka?
    Pelbagai cara dah sy cuba. Hanya segelintir yg menghargai kehadiran, tapi yg lain mcam tak ada guru pun tak apa.
    Ada juga pelajar yg suka menjawab tapi tidak berfikir, asal boleh jawab. Sengaja nk meleret-leretkan. Bila ditegur dgn lembut sekalipun ada saja jawapan utk menyalahkan orang lain.

    ReplyDelete
  2. waalaikum salam wbt.

    terima kasih kerana memiliki semangat mendidik yang tinggi. ingin pula memberi impak.

    apabila membaca latarbelakang masalah yang dilihat di kelas, saya ingin mencadangkan beberapa perkara. pertama, kebiasaan yang dialami di rumah elakkan supaya tidak berlaku di sekolah. jika dikatakan di rumah ibu bapa meleter, maka guru hendaklah tidak melakukannya di sekolah. pelajar lemas dengan keadaan yang tidak lagi menjadi pilihan. bebaskan minda mereka dari leteran.

    datang ke sekolah adalah suatu rahmat bagi ibu bapa dan guru. sekarang ini peluang guru untuk memikat mereka supaya jinak mendengar, melihat, membuka minda, berfikir, membina wawasan, bercita-cita, berusaha untuk menjadi "pandai". usap perasaan mereka. belai nunarani mereka. sentuh psikoogi mereka. berikan banyak cerita, gambar, serta latihan praktikal.

    bawa minda mereka 5 tahun dari sekarang. atau mungkin 10 tahun. atau 15 tahun. atau 20 tahun. mereka boleh bekerja tetapi di tahap yang paling rendah. gaji kecil. selalu disuruh arah. tidak ada peluang buat keputusan. orang tidak padang. diabaikan. pandang mereka yang ada kemahiran. kerja lebih baik. gaji lebih besar. kemampuan lebih dari orang lain.

    kerana menjadi kuli mereka jarang dihargai. tempat mereka bekerja ruangnhya sempit, kotor, berdebu, kerja berat, selalu berpeluh-peluh, jarang dihargai. pada dasarnya mereka dianggap orang tidak berguna dalam syarikat yang besar. secara fizikal mereka dilihat tetapi secara kelayakan akademik mereka tiada harga. fikiran mereka tidak diterima. cadangan mereka tidak juga diterima. cakap mereka tidak ada yang ingin mendengar.

    jika berkahwin, isteri tidak berapa respect. ibu dan bapa mertua lagilah. tidak mampu memberi yang terbaik untuk isteri dan anak-anak. orang di sekeliling tidak respect orang yang tidak ada pendidikan tinggi. cari makan boleh tetapi susah untuk hidup senang.

    mengajar mereka hendaklah perkara-perkara yang praktikal. mereka dipastikan boleh menulis dan membaca. boleh mengira tambah, tolak. bahagi dan darab yang asas. mereka hanya perlukan ilmu untuk survive bukan excell. jika boleh jadikan mereka mampu berfikir sudah cukup mengujakan. terjemahkan silibus dan kurikulum supaya menjadi praktikal. untuk latihan yang mudah-mudah sahaja.

    harapan jangan terlalu tinggi. bukan untuk memandaikan mereka tetapi sekadar supaya mereka boleh hidup pada kadar kemampuan mereka. pancarkan keikhlasan supaya mereka nampak kesungguhan guru. kepekaan yang tinggi. usaha yang berganda-ganda. banyakkan santai untuk menyelami fikiran mereka. dalam pada itu bawa mereka jauh meneroka alam maya yang berbagai ini. bukakan mata dan minda mereka supaya mereka nampak sesuatu yang pasti pada masa hadapan. cubalah. insyaAllah.

    ReplyDelete