Sunday, May 1, 2011

Masa Adalah Emas

 
 

Hanya sejambak bunga. Sesegar mewangi. Semesra satu ciuman.
Dalam usia 61 tahun hampir semua orang bersara. Diam  mendiamkan diri. Tamat tempoh usiaguna dirinya. Ada noktah yang mesti dipatuhi. Dalam kebanyakan hal tarikh itu dinanti. Noktah itu digesa tiba. Gelisah dalam jawatan. Rasa kepayahan yang amat sangat dalam bertugas. Kenapalah terlalu lama sangat. Terlalu ingin menamatkan kerjaya yang sudah tidak terdaya dipikul lagi.

Dalam usia yang menjadi saat interface dengan anak cucu selalunya tiada tenangnya. Ada sahaja agenda yang perlu dilaksana. Namun begitu tetap ada kelainan-kelanan yang membeza. Yang meletakkan seseorang itu tidak sama dengan orang lain. Biasalah orang itu berbeza-beza. Ada yang lebih dan ada yang kurang. Tetapi bukan perbezaan itu yang ketara sangat. Semua manusia berbeza. Ada perbezaan yang sangat ketara. Ada perbezaan yang langsung tidak dapat diketahui. Pada zahirnya manusia adalah sama sahaja. Makannya nasi juga. Minumnya air juga. Tidurnya di bantal juga.

Sukar juga mencari wanita yang berulit dengan cucu. Berada dalam persekitaran anak dan cucu. Yang sibuk saban waktu. Sumbang menyumbang untuk masyarakat setempat. Yang hasrat besarnya untuk berbakti. Untuk mencari barakah diri. Mengimarahkan hati dan minda dengan keluasan ilmu. Menambahkan pengisian masa tua. Liang lahad yang semakin hampir bukan untuk dinanti dengan tangis hiba yang meruntun jiwa. Masa yang masih ada diisi dengan memakmurkan ilmu. Mengisi dada dalam-dalam. Mengisi minda supaya terang cahaya benderang. Mengisi hati supaya penuh berselera untuk mentarbiahkan orang-orang di sekeliling.

Anak sembilan bukan halangan. Menantu ramai bukan sekatan. Cucu 12 orang bukan kekangan. Suami bukan pula melintang hingga mengadang laluan ke puncak jaya. Selalu orang tanya, sudah tua nak buat apa? Ada selerake untuk belajar lagi? Untuk apa sebenarnya? Rajinnya? Bolehke? Dalam sehari kita hanya ada 24 jam. Jadual yang normal sepertiga untuk bekerja. Sepertiga untuk beramal. Sepertiga untuk berehat. Andai kata ketiga-tiga bahagian itu sudah diperguna, mana ada bahagian lagi untuk diruangkan. Untuk disenggangkan. Untuk menyelitkan jadual keempat dalam hidup yang selalu sibuk. Bila ada masa untuk belajar?

Masa itu emas. Seperti emas yang sebenar, di manapun berada tetap dicarigali. Untuk dimanfaatkan. Nilainya yang selalu tinggi membanggakan sebagai harta berguna. Itulah nilai ilmu. Untuk yang mengerti nilainya tiada sempadan waktu. Tiada halangan masa. Tiada sekatan usia. Tiada kekangan usaha. Sesuatu yang dimengerti indahnya pasti selalu dicari. Dihambat. Dikejar ke manapun berada. Di hujung hambatan itu ada sesuatu yang manis. Pengalaman. Kemanisan kerana mengetahui. Kerana mencapai kepuasan mengetahui. Menjadi orang berilmu.

Itulah isteri saya. Dalam angka-angka yang memberat usia. Yang bagi orang lain melabuhkan hati untuk berdiam diri. Merehatkan masa kerana sudah terlalu lama berolah memanjang. Ingin rehat lama. Mencari-cari diri yang hilang dalam jawatan.  Yang hilang dalam mengejar cita-cita. Banyak tercicir di sana sini harga diri. Azam dan hasrat yang terpaksa dihenti bila sampai masanya bersara. Bagi isteri saya dia hanya melihat rakan taulannya bersara seorang demi seorang. Ketika itulah dia masih berselera garang untuk lebih banyak menyumbang. Kerana itu dia mengisi waktu emasnya dengan ilmu. Dari satu IPT ke IPT yang lain. Dari satu kursus ke satu kursus yang lain. Dari satu pentas ke pentas yang lain. Dia menghambat masa yang terbuang.

Masa dulu-dulu yang telah dihabiskan untuk suaminya. Untuk anak-anaknya. Untuk cucu-cucunya. Untuk orang-orang yang ada di sekelilingnya. Masa yang dipinjamkan dahulu diminta kembali. Diraih untuk mengangkat diri. Dituntut supaya dia ada kesempatan mengisi masa-masa yang berbaki untuk menuntut ilmu apa sahaja yang boleh dicari digali digurui untuk kembali berdiri. Mengangkat dirinya yang dulu habis kerana bakti keluarga yang disayanginya. Sekarang ini dia bergagah untuk membina stamina belajar mencari yang dulunya hilang. Rupanya semuanya hanya ada di sebalik waktu. Masih mengintai dari jauh. Menggamit suka kerana disapa disentuh. Lalu hatinya cair menyerap segala ungkapan dan bait-bait ilmu itu.

Tanggal 30 April 2011, hari Sabtu yang selalu akan dikenang dia berderap di pentas lagi. Pentas Dar Al-Hikmah dilangkahi dengan kejap. Didepangkan tangan untuk mendakap Diploma Pengajian Syariah kali kedua. Yang ini diiktiraf MQA. Diiktiraf untuk dilanjutkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi. Mana ada masa? Sesungguhnya Allah meluangkan masa jika kita perlukannya. Jika kita ingin mengisinya. Jika kita ingin menggunakannya. Allah Maha Mengetahui apa yang manusia perlukan. Hambatan cita-cita isteri saya berbalui selalu. Usahanya ada barakahnya. Usia bukan penamat yang menghampirkan diri ke liang lahad semata-mata. Bersamanya dikandar bekal untuk dibawa bersama. Semakin tua sepatutnya semakin berat. Tidak mungkin semakin diringankan.

Kemanisan kerana keberhasilan usaha tidak ada taranya. Manis belaka. Senyum dan tawa setelah tangis dan rawan kerana berasa payah yang memayahkan hari dan perasaan.  Sekarang dia genggam Diploma itu dengan lebih kejap.



Raptai pada hari Jumaat 29 April 2011. Bertemu teman sekelas dahulu.


Ada sahaja yang dihubungi.


Khadijah ni orang Seri Medan rupanya. Parit Jayos. Darah campur Banjar dan Jawa.


Ini mesti masalah global. Jika tak mungkin masalah sosial yang tunggang terbalik sekarang ini.

Sudah jumpa penyelesaiannya. Santai sebentar.


Kawan sekelas.



Siapa tak sayang ooi. Kena tolong supaya penampilannha yang terbaik.

Pelan-pelan. jangan tercucuk pipi nanti.
Tolong tengok-tengokkan. Semua ok?

Ruang legar Institut KWSP di Bangi.


Kesian. Tak sempat kerat kuku.
Logo KWSP yang menyerlah.


Zahin, anak  bongsu. Santai dengan telefonnya.
Anak-anak sekarang. Hidup banyak sms.
Pandang betul-betul. Semuanya mesti rapi. Kemas.
Ada pin lagi? Yang ini kena semat juga. Takut luruh.
Mami diam. Jangan banyak bergerak. nak betulkan ni.


Sikit lagi. Sabar.


Ada lagi yang belum disemat. Payah juga.
Hari ini baru lega. Perjuangan yang penuh jerih perit berbuah pada hari ini.
Kenangan abadi. Untuk selama-lamanya.


Dengan penyokong kuat.


Lama tidak bergambar berdua.


Ok tak ni?
Dengan teman sekelas.


Zoom sedikit.


Sayang anak bongsu.


Jumpa teman-teman lama.


Rakaman abadi.
Jadi model sekejap.


Zoom dekat.
Anak kecil ini tertinggak sekejap. Ibunya sedang mengemas pakaian. Banyak yang tidak kena. Mudah-mudahan besarnya menyususl kedua ibu bapanya.  Mencerahkan masa hadapannya.

Lagi teman sekelas.


Haji Hashim. Pelajar terbaik.


Mari saya tolong.
Apa pula dalam beg tu?

Tandatangan di sini kak.


Di mana?

Ha, di situ.


Siap. Juruacara menunggu isyarat. Que kata orang putih.


Dalam perarakan masuk.


Ketua eksekutif memberi ucapan. Tuan Hj Mohd Fuad Bahari.
Dato' Dr. Siddiq Fadzil, Presiden kolej dar Al-Hikmah. Ucapannya selalu penuh dengan motivasi. Ada wacana ilmu. Penuh dengan hikmah.


Tn Hj Muhammad Azam, Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej.


Sedang menangguhkan majlis.


Prof. Emeritus Datuk Dr. Othman Bakar. Penerima anugerah. Presiden kolej yang pertama.
Sedang memberi ucapan.


Ilmu adalah ilmu Allah. Al-Quran didahulukan. Letakkan di hadapan. Iqra'. Bacalah dan buka jendela ilmu yang sangat luas terbentang di luar sana.
Orang-orang kuat Kolej.


Masih setia menunggu arahan seterusnya.

Bila lagi ni? Belum habis.
Letih duduk lama-lama.


Anak-anak dan menantu di luar dewan.


Santai-santai.


Ibunya masih bergambar di dalam.


Maaflah. kamera biasa. Zoom tetapi tidak jelas.
Terlalu jauh. Payah hendak dikenal yang mana satu.
Tenaga pengajar Kolej.


Teman sekelas.


Ok. Mami dah dapat diploma.
Ada tangga lain yang perlu didaki.


Cucu seorang ini sahaja yang turut meraikan. Cucu ke-11. Mohammad al-Ameen.
Apa selepas ini?


Nak buat apa?
Gambar dulu.

Tahniah mi. Menantu ketiga.
Teman dari Seremban.


Mari ramai-ramai. Kita abadikan bersama. Selalunya meraikan kejayaan anak-anak. kali ini anak-anak yang meraikannya.
Ameen diangkat supaya lebih jelas.


Jom kita makan.


Tunggu dulu. Elok posing di sini.
Ok senyum.


Ameen dengan atuk.


Nak bunga.


Pegang kuat-kuat.


Pengurus kanan Koleh. En. Hafiz.


Bersama tenaga pengajar.


Bersama rakan sekelas dan anaknya yang konvo. 

 Bersama Dato' Fadzil.

 Kandid.

 Puas dapat bergambar dengannya.

 Sedang berbual dengan graduan.

 Cita-cita Ameen nak ikut jejak semua orang. Menyempurnakan kabahagian berilmu.

 Terima kasih banyak-banyak Dato'.

 Semoga bertemu lagi. InsyaAllah.

Saturday, April 30, 2011

Dar Al-Hikmah Menjana Generasi Ulul Al-Bab

Hari ini Sabtu 30 April 2011 tercatat lagi satu episod bersejarah dalam keluarga saya. Isteri saya yang tercinta naik lagi ke atas pentas ilmu. Dia naik ke pentas konvokesyen Kolej Dar Al-Hikmah yang diadakan di Institut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Bangi untuk menerima Diploma Pengajian Syariah yang diikuti pada tahun 2009. Nanti saya ceritakan lebih lengkap dalam entry yang berikut. Untuk kali ini saya hanya ingin menghuraikan apa yang saya lihat. Yang saya rasa. Yang saya tangkap. Yang saya ambil iktibar. Sesungguhnya sesuatu yang lain itu kelihatan lebih indah. Sesuatu yang dekat dengan agama itu lebih cantik. Lebih menarik. Lebih menusuk. Banyak kali air mata saya tergenang. Ada ketikanya air itu mengalir walaupun tidak deras. Saya banyak tersentuh. Kelainan  seperti itu menjadikan saya sejuk di hati. Sejuk perasaan. Tenang dan tenteram. Damai dan bahagia. Kadang-kadang kita berhibur bukan sahaja dengan lagu. Suasana juga boleh mendamaikan. Majlis yang selari dengan agama juga boleh membahagiakan.

Islam telah tertegak lebih 1400 tahun dahulu. Banyak susah payahnya yang ditempuh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya. Para syuhada’. Para solihin. Para sidiqqin. Para mujahidin. Perjuangan menegakkan agama Allah. Agama samawi terakhir yang tiada tolok bandingnya. Rasul untuk seluruh manusia. Bukan untuk suatu kaum. Bukan untuk suatu bangsa. Bukan untuk suatu tempat. Bukan untuk suatu zon kehidupan. Agama yang syumul yang merentas zaman dan tempat. Agama yang menjanjikan syurga. Yang menjanjikan kenikmatan setinggi-tinggi puncak kenikmatan. Sesungguhnya Allah adalah tempat kembali yang abadi. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjinya. Janji Allah itu benar. Syurga itu benar. Nikmat syurga itu benar. Nikmat segala nikmat.

Har ini saya hadir dalam majlis konvokesyen Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang.  Aturcaranya sangat Islamik. Dimulai dengan bacaan al-Quran al-Karim. Diselitkan dengan wajah qiraat Hamzah dan Warsy. Alhamdulillah saya sudah mempelajari kedua qiraat itu. Terkedu juga menghayatinya. Seperti biasa kalimah dan ayat-ayat suci itu menusuk hati. Menyerap ke qalbu. Mempelajarinya bukan sia-sia. Bukan sesuatu yang menghabis waktu. Majlis yang dimulai dengan bacaan al-Quran tentu sahaja disusun dengan rapi supaya mematuhi garis-garis tuntutan agama. Berjalan dengan lancar mendakwah hati dan perasaan. Mengungkapkan kata-kata indah yang merealisasikan amr ma’ruf.  Disisih kemungkaran. Dibuang yang fasad. Dipinggirkan yang merupakan kemaksiatan. Yang fasik dinyahkan jauh-jauh. Keberkatan jua yang dicari. Redha Allah yang sesungguhnya dalam doa dan penyerahan diri.

Banyak kali saya hadir dalam acara konvokesyen di IPTA dan IPTS. Selalunya yag lazim-lazim juga yang diaturcarakan. Yang dipersembahkan kepada umum. Tetapi kadang-kadang terlalu menyimpang dari tuntutan. Sehingga ada masanya saya rasa memualkan. Di sebuah IPTA yang gah hadirin dihidangkan dengan lagu-lagu rock yang membingitkan. Terjadilah paradox. Bertembung sifat agama yang ada pada IPT itu. Saya tidak tahu apa yang dirasakan oleh tetamu yang datang dari seluruh dunia. Ramai alim ulama’ yang hadir. Saya hanya geleng kepala. Itulah jika adat melebihi keperluan. Tuntutan yang hak diabaikan. Kebatilan yang menyerlahkan kedaifan berfikir. Tahap minda yang merudum. Hanya mengidamkan yang lumrah dan murah. Martabat yang mengangkasakan ilmu di buang seperti sampah yang menyampahkan. Ruginya ilmu yang didambakan tiada martabat yang patut diangkat supaya kuat terangkat tinggi.

Di IPT yang lain saya saksikan adat istiadat yang lain. Hadirin dihiburkan dengan lagu-lagu yang patriotik. Memang cantik cintakan negara. Sayangkan negara. Dekatkan tanah watan di hati. Namun kadang-kadang kita lupa bahawa cintakan negara tanpa berlandaskan agama ditakuti menyimpang. Sesungguhnya Allah telah menegaskan bahawa yang penting antara manusia ialah ketaqwaannya.  Bukan bangsanya. Bukan jantinanya. Bukan usianya. Bukan negaranya. Banyak bangsa yang terlalu taksub dengan kebangsaannya lebur begitu sahaja. Ingatlah kaum ‘Ad. Ingatlah kaum Nabi Salleh. Ingatlah kaum Nabi Luth. Ingatlah kaum Nabi Syuib. Ingat kaum Nabi Nuh. Kehancuran mereka kerana banyak menjurus kepada taksubnya kepada bangsa. Yang lain dianggap tidak setara. Tidak layak untuk besama. Begitulah kaum Quraisy di Makkah yang mementingkan darjat.  Akhirnya ramai orang ajam yang melebihi darjat orang Arab.

Islam juga bukan untuk sesuatu bangsa. Rasulullah adalah untuk kebaikan alam kerana pengutusannya Ù„ِّÙ„ْعَالَÙ…ِينَ رَØ­ْÙ…َØ©ًØ¥ِلاَّØ£َرْسَÙ„ْÙ†َاكَ ÙˆَÙ…َا. Untuk seluruh alam. Seluruh manusia. Tiada yang terkecuali. Sama sahaja di sisi Allah. Pengutusan Baginda untuk seluruh manusia. Tiada yang terkecuali. Saya terpempan dengan ucapan Datuk Dr Sidiq Fadzil. Presiden Kolej Dar-Al-Hikmah yang saya rasa kuat rasa hatinya. Keterikatannya kepada kolej sangat dekat. Kebetulan rumahnya dekat juga. Bukan hatinya sahaja yang dekat. Persekitarannya juga dekat. Ucapan konvokesyennya agak panjang. Tetapi seperti biasa saya menanti bait-bait kata yang diungkapkannya. Satu-satu yang dilontarkan. Tiga bahasa bukan asing baginya. Melayu, Arab dan Inggeris. Silih berganti dari bibirnya. Al-Quran bukan lagi sesuatu yang asing. Meluncur dari ketika-ketika diperlukan.

Seorang yang kuat pengaruhnya. Ucapannya sentiasa berisi. Nasnya bertali-tali. Kagum kerana isinya tidak pernah kering dengan pengalaman, tindakan dan hasrat idaman yang selalu menjanjikan kejayaan  yang relevan. Relevan dengan masa, keadaan dan zaman. Minatnya kepada penglahiran umat ulul al-bab sangat mendalam. Ramai sungguh rakan taulan yang membantu menyumbang idea untuk ke arah itu. Sesungguhnya mereka yang alim senang berkongsi kealiman mereka. Sifat agama yang tinggi. Mencintai ilmu tanpa syarat. Tanpa batas. Tanpa had. Dicari walau di mana sekalipun.

Ucapannya adalah wacana ilmu yang tinggi nilainya. Mengawan tinggi. Bagi minda yang cintakan ilmu tiada payahnya memahami. Ada sinis di sana sini. Ada sergahan. Ada  kecindan yang melegakan. Pada akhirnya saya teruja dengan suasana yang bersalut nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi budi hati nuraninya.  Islam itu indah. Rugi jika tidak melihatnya dari perspektif  orang berilmu. Yang mengetahui sahaja yang  yang mengetahui apa yang harus dimengerti. Yang bertamadun sahaja yang mengetahui erti kesejagatan. Alam ini perlu makmur kerana itulah perancangan Allah sewaktu mencipta Adam. Untuk memakmurkan. Mudah-mudahan ilmu itu membawa kita menjadi positif. Baik. Mengetri. Memberi makna bahawa kehidupan ini baik walaupun penuh dengan cabaran demi cabaran.

Konvokesyen di Dar Al-Hikmah menyajikan hidangan telinga yang berbentuk nasyid. Hilanglah kebingaran muzik gila-gilaan yang entah apa-apa. Nasyid mengawal anak-anak muda. Ungkapan lagu adalah yang baik-baik belaka. Irama dan melodinya seperti menyejukkan jiwa. Merendahkan suhu pemikiran. Ada nasihat. Ada  kias. Ada  iktibar yang boleh dipanjang-panjangkan. Saya rindu suasana itu berulang di tempat lain. Jadi satu tamadun. Bukan budaya budayaan. Bukan ikutan tanpa panduan. Kembalilah kepada yang hak. Tinggalkan yang batil. InsyaAllah masa depan pasti menjanjikan keredhaan Allah.