Sunday, December 17, 2023
Perlukah Kita Banyak Tidur?
Perjalanan menelusuri ilmu memerlukan banyak pengorbanan. Ia suatu perjuangan yang menuntut banyak pengorbanan. Perjuangan dan pengorbanan itu tidak akan bermula, tidak ada momentumnya dan tidak akan terlestari tanpa langkah yang pertama. Maka untuk memulakan langkah pertama itu jiwa kita yang:
Mati
Jumud
Tidur lena
Lalai
Perlu dibangunkan, disadarkan, digerakkan, diangkat fikir sadarnya. Jiwa kita perlu diolah untuk mengerti bahawa mimpi indah itu banyak fikirnya. Besar dan tinggi harap dan cita-citanya. Ingin menggapai yang lebih besar, lebih mega dan lebih gah. Sesungguhnya berjiwa besar amat dihargai kerana perjalanan berjiwa besar itu melahirkan idea baru, melahirkan ilham baru, melahirkan mimpi dan impian baru. Kita akan meneroka alam luas semesta untuk hinggap di sana dan hinggap di sini. Pada akhir suatu sesi kita mencapai satu tahap. Kita angkat tahap itu untuk sesi yang berikutnya. Yang lebih besar dan yang lebih baik dan lebih tinggi nilainya. Kita tidak akan menjadi sempurna tetapi dengan usaha berterusan tentunya kita semakin selesa dengan rentak pengalaman kita. Sampai satu peringkat sesuatu yang besar itu hanya saiz tetapi kitab oleh mengolahnya bertahap-tahap hingga semua yang sukar itu menjadi mudah dengan izin Allah.
Antara pengorbanan besar ialah waktu. Semua kita Allah beri 24 jam. Tidak lebih sesaat dan tidak kurang sesaat. Antara kita yang sibuk mampu memanfaatkan masanya hingga banyak yang dihasilkan. Kerja dan tugas utamanya berjalan. Aktiviti tambahannya bertambah di sana dan di sini. Pergerakannya merentas siang dan malam. Merentas daerah ke daerah yang lain. Merentas negeri ke negeri yang lain. Merentas negara dan benua. Tulisannya banyak. Bukunya banyak. Kertas kerjanya banyak. Ceramahnya banyak. Ramai orang yang ditemui. Yang disantuni. Yang diraikan. Rakan dan kenalannya terlalu ramai. Kita yang merasa tidak ada masa tidak berbuat apa-apa. Tentu situasi sebegitu merugikan mereka yang tidak ada masa. Menguntungkan kepada yang memanfaatkan masa.
Pengorbanan kedua yang tidak kurang besarnya ialah wang ringgit atau harta benda. Setiap kita Allah rezekikan memiliki wang ringgit dan harta benda mengikut kadarnya yang Allah tentukan. Membelanjakan harta untuk ilmu tiada pernah ada ruginya. Mereka yang kurang mampu berupaya memberi Pendidikan anak-anak mereka walaupun mereka makan ala kadar sahaja. Ongkos kerana mencari ilmu banyak jumlahnya jika dikira. Jika diakaunkan. Tetapi jika kira sebagai pengorbanan perlu kita tiada kuasa mengingatnya. Yang pastinya banyak manapun yang kita belanjakan tidak pernah merugikan. Balasannya terlalu banyak.
1 Ilmu bertambah.
2 Maklumat bercambah.
3 Kemahiran meningkat.
4 Kecekapan meningkat.
5 Kemahiran menyampaikan lebih baik.
6 Semakin difahami oleh orang lain.
7 Semakin galak mencari ilmu yang lain.
8 Pintu-pintu baru ilmu semakin erdedah.
9 Berkemungkinan denganbya rezeki bertambah.
Pengorbanan sosial tentunya banyak. Ada majis yang tidak dapat dihadiri. Ada undangan yang tidak tertunai. Ada aktiviti yang tidak dapat disertai. Majlis sosial biasanya berulang. Boleh hadir pada waktu yang lain. Tetapi majlis ilmu kadang-kadang tidak berulang. Barangkali berulang pada ketika keupayaan kita sudah tiada. Dalam masyarakat kita, pengorbanan sosial ini yang sukar dilakukan. Kerana saudara, sahabat, jiran, rakan sekerja dan berbagai alas an lagi. Andai boleh diuruskan, pengorbanan ini mudah penyelesaiannya. Boleh dibincang. Boleh dijadualkan.
Begitu juga pengorbanan keselesaan. Tidak boleh dimanjakan diri kita dengan sentiasa hendak selesa. Perlu disibukkan. Perlu banyak berfikir. Perlu banyak bergerak. Perlu banyak aktiviti. Dengannya:
1 Kuasa berfikir kita kekal galak.
2 Tidak memikirkan kelemahan diri atau kekurangan diri seperti sibuk, sakit dan sebagainya.
3 Terapi kesihatan dengan bergerak, bertemu sahabat, rakan seperjuangan, tempat baru dan suasana baru.
Masa usia semakin lanjut bukan lessen untuk banyak berehat. Soalan lazim, tak letih ke? Letih itu biasa. Mengurus letih menjadi suatu kemahiran. Tugas kita rencam sebagai manusia. Bayangkan diri kita:
1 Sebagai manusia.
2 Sebagai suami.
3 Sebagai ahli NGO.
4 Ada tugas hakiki walaupun sudah bersara. Contoh: petani, peniaga.
5 Sebagai hali kariah suatu kejiranan.
6 Mungkin terlibat dengan masjid atau surau.
7 Sukan.
8 Pendidikan.
9 Keagamaan.
10 Kesihatan.
11 Perubatan.
Perlukah kita banyak tidur?
Saturday, November 4, 2023
Seorang Wanita Yang Bernama Wanita
Seorang Wanita sinonim sebagai teman akrab seorang lelaki yang bernama suami. Begitu Hawa dan Adam. Muhammad dan Khadijah. Laila dan Majnun. Shah Jahan dan Mumtaz. Romeo dan Juliet. Mungkin ramai lagi. Pasangan-pasangan ini segar dalam edaran masa yang berlegar lestari memanifestasikan cinta mereka berdua. Terasa abadi melingkari wibawa diri seperti tidak dimamah zaman. Beruntung wanita-wanita yang sejarahnya panjang berlegar zaman. Melingkari kisah cinta abadi.
Ceritera cinta pasangan berzaman itu hanya secebis kisah cinta yang terakam dan abadi. Banyak lagi ceritera cinta dan kasih sayang yang tidak terungkap. Yang tidak terakam. Yang tidak ada sejarahnya. Namun kisah setiap wanita melalui liku-liku yang berbeza mengikut tempat, masa dan persekitaran pelakunya. Ia bukan cerita kampung. Bukan cerita bandar. Ia cerita zaman berzaman yang menukilkan kisah-kisah berharga antara wanita dan lelaki.
Sangat beruntung wanita yang menemui kekasih hati dunia dan akhirat. Lestari dalam cinta abadi. Layar kebahagian mereka sentiasa berkembang melayari pautan madu. Angin sentiasa sepoi-sepoi bahasa menghembus enak menyeberangi lautan dan segara. Tiada ombak menggunung. Tiada lautan bergelora. Yang ada hanya alun yang beralun. Didengar indah menghempas pantai pasir yang memutih bersih.
Wanita Selamanya Wanita
Rezeki, jodoh dan ajal ketentetuan Allah. Manusia dan semua makhluk yang lain menerima takdir dan tadbir Allah. Ada wanita yang ditakdirkan Allah hidupnya penuh badai. Halilintar menggema setiap masa. Hujan ribut kerap melanda dirinya. Panas dan hujan seperti tiada berganti. Amukan persekitarannya sentiasa menggelora. Api panas yang tiada redanya. Apakah ia tidak pernah bercinta? Sangat langka seorang wanita tidak melalui detik dan saat bercinta. Yang pernah dilalui itu mungkin sahaja ada petandanya (preview) apa yang bakal dilaluinya.
Kiranya sudah terlanjur, petanda-petanda badai mendatang itu diabaikan. Percaya kepada ketentuan Allah. Bahawa setiap yang datang itu pasti ada hikmahnya. Itulah lumrahnya harapan seorang yang pasrah. Yang melalui masa yang agak lama untuk derita dan dideritai, kecewa yang mengecewakan, nista dan cerca, herdik dan tempik, lekeh dilekeh, harga dirinya diinjak-injak, jiwanya menjadi kosong bersama aliran masa. Seorang wanita malang yang tiada lindungan suami yang ingin disayang. Kehidupan yang malang, walang dan merudum harapan.
Siapa wanita yang tidak mengharap kasih, ditimang sayang, dicintai dan digauli seikhlas hari. Setulus mesra. Dilambung harapan meninggi langit. Dihampar kebahagian. Dilindungi buah hati pengarang jantung. Menjadi intan payung. Dibelai penuh manja. Didakap ke dada cinta. Dicium haruman mesra. Dibelai dan dibelai dan dibelai. Diusap dengan penuh kasih sayang. Bersama sayang memanjang yang tiada tepi. Bersama kasih yang penuh putih bersih. Bersama cinta yang meluas tiada tepinya.
Namun Allah menentukan bahawa kadang-kadang kebahagiaan itu elusif bentuknya. Ujian dan cobaannya banyak bersilih ganti. Selepas satu datang satu lagi. Selain dirinya, ujian melingkari ibu dan ayahnya. Malah mungkin keluarganya yang lain. Apakah itu menjadi kegagalan? Mungkin bagi seorang wanita tetapi tidak pada seorang wanita yang lain. Cabaran-cabaran yang mendatnag sebenarnya menjadi sumber kekuatan dalaman dan kekuatan psikologi. Malah menjadikan fizikalnya kuat.
Ada waktunya rayu merayu dihidangkan. Tiada sambutan dan tiada perubahan. Jalan berpisah selalu ada. Tapi itulah wanita. Fikirnya jauh menjangkau. Ibu dan bapa yang sudah redho. Anak-anak yang panjang lagi masa jangkanya. Persekitaran yang tetap penuh cabaran. Lalu pulang kepada Allah. Tiada sandaran yang lebih baik. Berserah dan pasrah semoga ada sudahnya.
Andai berserah kepada Allah, kekuatan itu menjadi sesuatu yang biasa. Menjadi lali dengan ujian. Menjadikannya asam garam bagi seorang wanita. Tiada kekesalan. Tiada dendam. Tiada yang mungkin melemahkan hidup diri dan semangatnya. Malah wanita sebegitu membangun diri yang tenang, senyumnya memanjang, tawanya meriangkan dan hadirnya membahagiakan orang di sekelilingnya. Menjadi wanita waja adalah sesuatu yang luar biasa. Tetapi jika dihasratkan begitu waja itu datang dengan senangnya. Persekitaran menjana hidupnya yang lebih santai dan membahagiakan.
Wanita dan Harapannya
Apakah agenda membahagiakan diri sebenarnya. Perlukah acara dan agenda yang lain untuk membina kebahagian hakiki? Tentunya kembali kepada Allah. Hanya kepada Allah. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali. Itulah sebenarnya destinasi abadi kita. Kembali kepadaNya. Badai, gelora, taufan, ujian, cobaan dan segalanya yang mendatang adalah dari Allah. Andainya segala yang mendatang itu tabah dihadapi, ada ketenangan di dasar qalbu. Ada kebahagian di dasar hati. Ada keindahan di sanubari.
Pastinya tiada wanita yang serba serbinya sempurna. Dalam kepayahannya kadang-kadang hadir orang lain yang dirasa pada pandangan mata dan hati memberi cahaya harapan yang lebih baik. Namun keterikatan dirinya dengan keadaan tidak memungkinkan dirinya terlepas bebas mengikut kata hati. Sesiapa pun mungkin menginsafi malang yang dihadapi seorang wanita. Hanya Allah yang bisa membantu menjernihkan keadaan. Jika ada usaha dan tawakal in syaa Allah.
Beranikah wanita mengharungi lautan gelora berbadai yang lebih jauh dan lebih luas? Pengalaman tidak menjanjikan kebahagian yang mutlak. Di sinilah kita belajar menerima. Belajar bersyukur. Belajar dari apa yang Allah sajikan sebagai ujian. Ujian-ujian yang dilalui terasa manisnya. Terasa madunya. Rencah kehidupan ini tidak pernah tidak enak sebenarnya. Jika kit amelihat cahaya di hadapan, ikutlah cahaya itu. Jika gelap gunakanlah deria yang ada. In syaa Allah terowong gelap yang dilalui akan ke penghujungnya jua.
Kekadang ingin menumpang kepada yang lain. Yang mungkin ada cahaya harapan yang membahagiakan. Namun jauh di lubuk hati tidak ada kepastian. Takut juga yang datang ujian juga. Anak bujang tentu terlalu jauh muda daya fikirnya. Duda banyak pilihannya. Suami orang tidak memungkin bahagianya memanjang. Dilestarikan. Menifestasi cinta, kasih dan sayang yang lebih elusif. Mungkin juga berserah kepada takdir tanpa banyak berfikir. Serah segala-galanya kepada Allah.
Persekitaran Yang Menonton
Persekitaran ini ada masanya membantu. Ada masanya memberi tekanan luar jangka. Berserah kepada persekitaran tidak mengubah paradigma. Terlalu banyak oleh menambah tekanan diri. Ramai antara kita hanya menjadi penonton. Gelak bersama gelak seorang wanita. Senyum bersamanya. Tetapi kita tidak bisa menangis melihat tangisnya. Tidak bisa hiba ketika hibanya datang. Barangkali kita banyak simpati bukan empati.
Ada baiknya kita menjadi penonton yang empati. Membantu meredakan keadaan. Wanita bukan keseorangan sebenarnya. Bijaksana mencari dahan bergantung. Mencari naungan di bawah pohon rendang. Banyak berbicara dengan hati sendiri. Monolog yang membahagiakan diri sendiri. Antara pilihan untuk mencari bahagia. Indahkan dengan berdialog di hadapan Allah. Persembahkan segalanya lalu memohon yang terbaik. Redho, ikhlas dan bersedia apa sahaja. Yanag datang dari Allah adalah yang terbaik untuk mu wanita kesayangan lelaki.
Monday, January 9, 2023
KWSP Untuk Masa Tua
Bagi pesara, KWSP sudah berlalu. Sewaktu bersara dahulu adalah beberapa ribu. Tidak banyak kerana dalam sistem pencen kerajaan.
Bagi anda yang mencarum dalam sistem KWSP kenalah berbanyak ingat bahawa caruman setiap bulan yang anda buat adalah untuk hari tua. Hari pencen. Hari ketika sudah tidak bekerja lagi. Ketika sumber pendapatan tetap bulanan sudah tidak ada lagi.
Jika anda beringat tentang hari tua seharusnya jangan keluarkan wang simpanan KWSP anda. Bila sudah tua dan sudah bersara, tiada siapa yang akan bantu anda. Kecuali ada anak-anak yang berjaya dan ada harta untuk jaminan masa tua.
Apabila kerajaan mengizinkan pencarum mengeluarkan simpanannya, anda kehilangan yang berikut:
1. Simpanan anda berkurangan dengan jumlah yang anda keluarkan. Maka yang tinggal sangat berkurangan jika anda berjawatan biasa dan berpendapatan rendah. (Mereka yang bergaji besar tidak mengeluarkan simpanan mereka). Pengeluaran simpanan KWSP dikhususkan untuk mereka yang berpendapatan kecil dan tidak memiliki simpanan lain.
2. Wang yang dikeluarkan tidak akan mungkin ditambah lagi sebanyak yang dikeluarkan. Yang kurang tetap kurang dan tidak akan kembali seperti asal.
3. Walaupun kerajaan mengizinkan simpanan anda dikeluarkan, wang yang dikeluarkan itu adalah wang anda untuk hari tua anda. Bukan wang kerajaan.
Nota:
Kerajaan yang mengizinkan anda mengeluarkan wang anda tidak semestinya kerajaan yang baik. Mungkin perasaan anda tertipu kerananya. Kerajaan yang sama mungkin tidak ada lagi ketika anda bersara dan tidak boleh lagi membantu anda.
Kerajaan yang tidak mengizinkan anda mengeluarkan simpanan KWSP anda bukan bermakna tidak baik. Kerajaan ini kesihan kepada masa tua anda. Mungkin ada cara lain yang lebih menjamin masa tua anda.
Persediaan masa tua:
1. Sudah ada rumah sebelum bersara. Usahakan walau apa pun saiznya. Ikut kemampuan anda masing-masing.
2. Berusaha menyimpan dengan berdikit-dikit.
3. Banyak bersedekah terutama pada waktu Subuh. In syaa Allah jika tidak kaya harta Allah beri rezeki anak yang bijak pandai, cukup makan, gembira dan bahagia serta kesihatan untuk semua ahli keluarga anda.
4. Jika ada peluang, ada kudrat, ada bantuan buatlah kerja tambahan. Contohnya berniaga kecil-kecilan, menjadi guru al-Quran dan sebagainya.
Allahua'lam.
Bekerja Tanpa Mengira Ruang dan Masa
Apa bezanya antara tua, pesara dan warga emas? Sukar juga membezakannya. Senonim dengan istilah tersebut ialah berehat, membebaskan diri dengan kesibukan dan keriuhan, akan berulit dengan cucu dan tenang santai tanpa rutin yang menyesakkan, merimaskan dan tanpa stress.
Namun bagi mereka yang biasa sibuk dan hidup dengan rutin, bersara ketika tua perlu diisi untuk memenuhi yang berikut:
1. Kekal cergas fizikal dan mental.
2. Kekal cerdas minda dan kebiaksanaan.
3. Kekal cerdas emosi.
4. Kekal daya ingatan.
5. Kekal dengan aktiviti amal.
6. Terlibat dengan aktiviti agama.
7. Terlibat dengan aktiviti sosial.
8. Terlibat dengan aktiviti ekonomi yang tiada risiko atau yang rendah risiko.
9. Cergas bergerak dan lincah dengan berbagai aktiviti bermanfaat.
Aktiviti yang terancang selepas bersara:
1. Merealisasikan aktiviti tertunda.
2. Kembali melaksanakan hasrat hati yang terpendam.
3. Merealisasikan potensi diri yang dipendam.
4. Meramaikan rakan baru.
5. Membanyakkan aktiviti baru.
6. Menjaga kesihatan.
7. Berkongsi pengalaman: kejayaan dan kegagalan.
Seperkara lagi yang selalu tidak boleh diabaikan ialah belajar lagi. Apa sahaja yang memberi manfaat diri dan orang di sekeliling. Mungkin ilmu baru atau kemahiran baru. Dengan dinamika diri, aliran pencarian ilmu tidak terhenti dan terhalang. Minda terbuka untuk meneroka dunia baru yang bersiri dan menanggapi kelainan-kelainan yang Allah izinkan.
Mencari, mencuba dan berusaha banyak sangat ganjarannya. Alhamdulillah diberi rezeki kesihatan, idea baru, dibantu rakan baru atau bergabung dengan rakan baru. Pastinya terlahir sinergi yang di luar jangkaan diri sendiri dengan izin Allah.
Masa tua tidak boleh dijadikan alasan untuk berehat memanjang. Sisa-sisa usia yang berbaki perlu dimanfaatkan hingga ke hujung usia.
Tinggalkanlah sebagai warisan ilmu dan kemahiran yang bermanfaat, idea yang panjang natijahnya, contoh teladan yang menjadi ikutan. In syaa Allah pengakhiran diri kita diperbanyakkan manfaatnya.
Struktur Pengajaran dan Pembelajaran
Kepada semua orang Islam, al-Quran adalah wahyu yang menjadi pendakap seluruh kehidupan orang Islam. Al-Quran menjadi fardu ain iaitu wajib ke atas semua individu Muslim dan Muslimah. Tidak ada alasan dan tidak ada apa dalih sekalipun.
Alhamdulillh bagi mereka yang sudah boleh membaca dengan lancar. Alhamdulillah bagi mereka yang sedang mempelajarnya. Bagi yang belum, sila segerakan selagi masih ada usia yang berbaki.
Bila hendak mula mempelajari al-Quran? Untuk orang dewasa dan remaja boleh mulakan pada bila-bila masa saja. Bagaimana dengan kanak-kanak? Bila masa terbaik mereka perlu mula mempelajari al-Quran?
Usia 2 hingga 6 tahun
Mulakan seawal usia 2 tahun dengan juzuk am seperti Fatihah dan surah-surah yang pendek. Khatamkan juzuk am atau juzuk ke-30. Mahir dan hafal untuk dibaca ketika solat. Lakukan:
1. Semasa berada dalam kereta/kenderaan. Sama ada ketika berjalan- jalan, pergi dan balik dari sekolah, berjalan jauh (balik kampung).
2. Setiap malam apabila berkumpul seluruh ahli keluarga. Pada hujung minggu. Pada cuti sekolah.
Cuba usahakan supaya anak-anak khatam al-Quran pada usia 6 tahun. Sebelum mereka memulakan usia persekolahan pada usia 7 tahun. Sewaktu di sekolah kebangsaan carikan guru supaya mereka boleh menghafal al-Quran.
Larangan
1. Jangan ajar lebih awal kecuali ا ب ت dan ayat-ayat al-Quran. Satu dua tiga, a b c dan one two three ajar kemudian. Tetapi pada usia sebelum memulakan persekolahan
2. Mesti istiqamah/konsisten setiap hari supaya menjadi kebiasaan dan gaya hidup berteraskan al-Quran.
In syaa Allah
Kembali Memelihara Ayam
Apa masalah orang Malaysia? Orang macam saya, macam kita dan macam Melayu. Setelah Merdeka, kita semua hendak senang yang paling senang. Apabila hendak makan kita beranggapan semuanya terhidang depan mata. Beras dari mana? Beras yang ditanam dan dibendang di Malaysia tidak mencukupi untuk keperluan rakyat. Lalu kita import dari Thailand, India, Pakistan, Kampucia dan berbagai negara lain. Kenpa dari dulu lagi kita tidak menambah bendang dan padi? Kenapa import? Tak ada yang bising dan memberi kata-kata negatif dalam hal import beras ini.
Sekarang selepas Covid 19, kita kekurangan ayam dan telur. Tentunya dari segi pengurusan ada tiga pendekatan tindakan:
1. Tindakan strategik.
2. Tindakan taktikal dan
3. Tindakan pertengahan.
Tindakan strategik memerlukan perancangan dan pelaksanaan jangka panjang. Mungkin lima hingga 10 tahun. Masalahnya kita hendak makan ayam dan telur hari ini. Bukan esok atau lusa. Maka import adalah tindakan yang paling munasabah. Tetapi carilah sumber yang paling cepat dan paling murah. Bukan asal dapat import sahaja. Jangan aniayakan rakyat. Buat tindakan yang bersesuaian tetapi jangan ambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan. Pihak-pihak yang berwajib perlu memantau keadaan.
Walau bagaimanapun tindakan strategik perlu dilakukan segera mulai hari ini. Jangan berdalih dan jangan bertangguh lagi. Di silah orang kita, orang Melayu memainkan peranan ekonomi dan bukan peranan politik. Buat dan jangan banyak cakap, terlepas cakap atau terlajak cakap. Kata orang putih walk the talk.
Di kampung banyak tanah terbiar. Rencanakan supaya orang kampung boleh terlibat memelihara ayam telur dan ayam daging. Ahli Parlimen, ADUN, ketua kampung bimbinglah rakyat di bawah supaya aktif dengan aktiviti ekonomi dan bukan hanya menunggu habuan daripada orang atas sahaja. Projek seperti ini sekurang-kurangnya untuk keperluan sendiri selain untuk komersil.
Cubalah. Usaha dengan usaha. Bukan dengan sedap berkata-kata sahaja. Kita letih apabila terlalu ramai yang mencemuh, meremehkan dan memperkecilkan usaha import dalam jangka pendek. Makan telur dan ayam dulu sebelum bekerja keras untuk memelihara ayam telur dan ayam daging. Atau ada cadangan lain? Silakan.
Pemimpin Perlu Diangkat
Siapakah yang menentukan yang terbaik antara kita? Antara pemimpin apatah lagi. Setiap kita dinilai setiap masa. Terutamanya yang dalam radar masyarakat. Yang ada tugas kepemimpinan. Cuma jangan lupa penilai kita yang hakiki adalah Allah. Kesemuanya Allah yang tentukan. Dan perlu kita ingat kesemuanya ada permulaan dan pengakhiran yang tersendiri. Bagi manusia, yang sentiasa hebat adalah para Rasul dan Nabi. Sentiasa konsisten. Tidak manusia biasa seperti kita. Kita tidak boleh hebat. Hanya mungkin Allah beri kita sedikit kelebihan berbanding orang lain.
Setiap pemimpin hebat pada zaman masing-masing. Kehebatan itu akan pudar mengikut masanya. Apabila masa tamat, berilah peluang pemimpin lain menjalankan tanggungjawabnya. Setiap pemimpin Allah bekalkan dengan kelebihan dan kelainan yang tidak ada pada orang lain. Sewajarnya:
1. Lepaskan diri kita dari terikat dengan zaman yang sudah berlalu. Zaman kita sudah ditamatkan Allah.
2. Beri peluang kepada orang lain. Sama ada ia lebih berjaya atau lebih gagal adalah urusan Allah.
Kita tidak boleh ambil alih apa yang Allah telah tentukan. Maka:
1. Elak dari merasa kita adalah yang lebih baik atau merasa kita sahaja yang terbaik atau kita merasa kita sahaja yang baik. Jangan lupa Allah adalah Yang Maha segala-galanya.
2. Semua kejayaan kita jika diungkit hilang manfaatnya. Bangga diri tidak ada impaknya. Orang akan hilang rasa hormat.
3. Jangan perkecilkan orang lain kerana ia adalah makhluk ciptaan Allah. Memperkecilkan makhluk dikira menghina manusia yang Allah jadikan sebagai ciptaan terbaik berbanding makhluk lain.
Apa yang perlu kita lakukan?
1. Bantu beri idea terbaik untuk umat.
2. Beri cadangan sama ada secara individu atau secara berkumpulan. Boleh bersemuka atau surat-menyurat atau email dan berbagai lagi medsos yang lain.
3. Melalui MP atau ADUN.
4. Idea terbuka melalui fb, twitter, instagram, whatsapp dan yang seumpamanya.
Tolonglah jangan:
1. Merendah-rendahkan pemimpin bukan pilihan hati kita. Kita pun tidak ada kelayakan untuk jawatan itu. Allah tidak memberi peluang itu kepada kita.
2. Sebagai rakyat kita perlu membantu bukan merosakkan.
3. Kembalikan kepada Allah supaya Allah memberi kita pemimpin yang terbaik sesuai dengan keperluan dan zaman kita ini. Jika dapat yang paling baik itu adalah kelebihan yang Allah tentukan untuk kita semua.
4. Jika kita ingin pemimpin yang sangat baik maka kita sebagai rakyat terbanyak hendaklah belajar dan memiliki sifat dan ciri-ciri kepimpinan yang kita rencanakan. Supaya dengannya kita boleh memilih pemimpin yang terbaik dari kalangan kita semua.
Pemimpin adalah cerminan diri kita semua sebab pemimpin itu datang dari kalangan kita. Jika kita teruk mungkin pemimpin kita lebih teruk dari kita. Andainya kita semua adalah kalangan orang baik-baik maka pemimpin kita mungkin lebih baik dari kita dengan izin Allah. Oleh yang demikian, mulai saat ini pandanglah diri kita dahulu sebelum kita mencari kelemahan dan kekurangan pemimpin kita. Allahua'lam.
Perayaan Tahun Baru Menjajah Minda
Bila bercerita berkait tahun baru, adakah minda kita masih terjajah dengan terlalu mendalam sehingga sukar mencari jalan keluar menuju jalan fikir yang Islamik?
Kepada orang Barat tahun baru adalah rentetan beberapa peristiwa yang melibatkan:
Perayaan Krismas
Menutup akaun bisnes
Sambutan tahun baru.
Begitulah mereka merayakan tahun baru yang kepada mereka di dalamnya ada kegembiraan duniawi. Kita mungkin tidak arif bahawa Krismas kepada mereka menjadi acara peribadi? Bukan lagi agenda keluarga kecil atau keluarga besar seperti kita. Menutup akaun akhir tahun adalah kejayaan peribadi pemilik bisnes bukan keluarga. Hanya tahun baru diraikan bersama. Tentu sahaja ironis berbanding dengan amalan Yang Islamik. Orang Barat:
Berazam setahun sekali
Munasabah diri setahun sekali
Bayar cukai setahun sekali
Banyak lagi yang disempurnakan setahun sekali. Tetapi bukan kita yang beragama Islam. Ada perkara yang kita lakukan setahun sekali seperti menunaikan ibadah haji. Zakat apabila cukup haul. Kita banyak melakukan aktiviti yang berbentuk mingguan, harian dan setiap masa.
1. Zikir setiap masa.
2. Solat fardhu dan solat sunat setiap waktunya.
3. Sedekah, derma atau infaq setiap hari dan masa.
4. Munasabah diri setiap malam atau setiap masa.
5. Berazam memperbaiki diri setiap masa.
6. Berpuasa berselang hari atau pada hari Isnin dan Khamis.
7. Berhari raya setiap hari Jumaat.
8. Umrah setiap hari dan waktu bagi mereka yang berada di Makkah.
9. Berbuat baik tanpa mengira masa.
10. Membaca al-Quran setiap masa.
Oleh yang demikian masihkah kita terikat dengan sambutan tahun baru atau memilih menyambut hari baru yang pengisiannya lebih baik dari semalam?
Thursday, January 5, 2023
Diri atau Negara
Politik tetap berpolitik. Barangkali demokrasi di Malaysia berbeza dengan demokrasi di negara lain. Sejujurnya bilakah orang politik bekerja?
1 Semasa pilihanraya?
2 Setelah menang dan menjadi kerajaan?
3 Setelah kalah dan menjadi pembangkang?
4 Kalah dalam pilihanraya lalu hilang dari radar?
Rakyat banayk inginkan ahli politik yan bekerja. Menang bekerja. Kalah bekerja. Jadi kerajaan bekerja. Jadi pembangkang bekerja. Bekerja dan bekerja. Jawatan adalah suatu perkara yang bukan milik mutlak orang politik. Lazimnya untuk yang menang tetepi kadang-kadang yang kalah berpeluang memegang jawatan.
Apabila parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan maka bermulalah kempen hingga hari memilih dilaksanakan. Kempenlah tetapi berhemah, Islamik dan penuh beradab. Pilihanraya mengizinkan ada yang menang dan ada yang kalah. Parti yang menang memerintah. Yang kalah jadi pembangkang. Teori ini sangat mudah. Selepas pilhanraya, setelah kerajaan terbentuk, tamatlah proses berkempen. Mulalah episod bekerja dan bekerja.
Malangny adi Malaysia keradaan ini seperti tidak wujud. Yang menenag dan membentuk kerajaan diganggu gugat supaya :
1 Tidak buat kerja.
2 Tidak perform.
3 Kerja substandard.
4 Disabotaj.
5 Cuba diruntuhkan.
6 Ingin diganti dengan berbagai cara.
Permainan politik sepatutnya selama lima tahun bagi satu episode. Berulang lagi lima tahun kemudian. Begitulah setersunya. Mengapakah yang kalah tidak berhenti berpolitik. Sentiasa ingin terus membentuk kerajaan juga. Cukup-cukuplah rasa tidak puas hati itu. Mengapa lupa dengan ketentuan Allah. Semua yang berlaku Allah yang menentukan. Tunggulah lima tahun lagi. Izinkan kerajaan yang sudah dibentuk menjalankan kerja mereka mengikut citarasa mereka. Setiap orang ada gilirannya dengan izin Allah.
Jadikan diri sebahagian dari juzuk penting sebuah negara. Utamakan negara lebih dari segala-galanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)