Friday, February 17, 2017

Tinggal Ayah Tinggallah Emak

                 

Sekarang ini menjadi tren bahawa apabila anak-anak menikah maka kedua ibu-bapa mempelai lelaki dan perempuan akan ikut serta. Di rumah pengantin perempuan kedua ibu-bapa mempelai lelaki akan turut serta dan di rumah mempelai lelaki kedua ibu-bapa mempelai perempuan akan juga turut serta. Berbeza pada tahun-tahun 1960an dan 1970an. Ibu-bapa tidak turut serta. Ada wakil ibu-bapa bersama saudara-mara dan sahabat-handai. Pada waktu itu persemendaan tidak begitu terbuka seperti sekarang. Seolah-olahnya ketika itu masih banyak malunya. Masih teragak-agak untuk membuka keterbukaan yang seluas-luasnya. Masih ada reserve dan privacy yang dijaga. Disimpan untuk suatu jangka masa yang tertentu. Zaman berubah dan keadaan berubah. Jalan fikir kita juga berubah jauh. Kita sudah membuka minda seluas-luasnya. Kemesraan antara dua keluarga terbina ketika risikan dibuat. Ketika pertunangan dirasmikan. Bertambahlah ketika pernikahan dilangsungkan. Bertautlah dua keluarga yang bersemenda. Bertambah dan bertambah apabila cucu-cucu bakal memeriahkan suasana.

Dalam perkahwinan, jarak tempat bukan lagi perkiraan penting. Dalam daerah atau luar daerah. Dalam negeri atau luar negeri. Dalam negara atau luar negara. Persemendaan merapatkan jurang keluarga. Jurang kaum. Jurang bangsa. Jurang agama. Jauh hanya beberapa jam. Dengan kenderaan darat dua jam. Dengan perjalanan udara mungkin juga dua jam. Tidak ada perjalanan laut kecuali antara pulau ke pulau. Atau dari pulau ke tanah besar. Atau dari tanah besar ke pulau. Malah pernerbangan yang beberapa jam atau berpuluh jam bukan penghalang perkahwinan antara warga dua negara. Proses kehidupan sudah banyak dipermudahkan. Hanya kestabilan ekonomi keluarga sudah cukup merealisasikan segala impian pasangan dua sejoli untuk hidup bersama. Apabila dua hati sudah tertambat, hanya masa menjadi halangan. Yang lain-lain menghambat kesegeraan bersatunya kedua mereka. Apa lagi yang perlu dinantikan. Jika rasa tanggungjawab sudah redha dipikul maka segeralah menikahnya. Pengubat segala penantian yang menyeksakan.

Begitulah antara Semenanjung dan Sarawak serta Sabah. Antara Johor dan Sarawak. Antara Batu Pahat dan Miri umpamanya. Jarak dua jam penerbangan terlalu singkat. Hanya sebentar belon di atas awan. Baru mendatar sudah mula menurun altitud.  Saudara jauh yang turut serta ingin meraikan sama mempelai semenda mereka. Meraikan saudara semenda mereka. Melihat tempat orang. Menikmati hidangan tempat orang. Bermesra dengan saudara mara yang baru. Begitu yang dirancang. Namun apabila kita merancang, jangan lupa Allah juga merancang. Ketahuilah sesungguhnya perancangan Allah maha sempurna. Dalam kegembiraan menerima menantu ada kesukaran-kesukaran yang harus redha diterima kerana ianya datang dari Allah. Dan sesungguhnya dalam kesusahan itu tetap ada kesenangan yang Allah datangkan. Tentunya dalam spektrum yang berbeza dari pandangan kita manusia biasa. Cuma apabila kita amati, banyak hikmah yang tidak dapat kita ungkapkan. Tidak dapat kita nyata secara spesifik.

Suatu pernikahan lazimnya dinanti penuh debar. Penuh rindu. Mempelai perempuan syahdu menanti bait-bait “Aku terima nikahnya” dari seorang lelaki bernama suami. Orang tercinta yang diharap memberi gamitan kebahagiaan. Mencanai keindahan bersuami-isteri.  Mencambah kasih-sayang. Mengayam rindu-rinduan kasih. Lelaki yang menambat jiwa raga itu telah berada di hadapan mata. Hanya sejarak disapa mesra. Jarak disentuh sayang. Telah sekian dirindui munculnya secara syahdu. Dinanti penuh rembesan air mata. Malamnya diimpikan. Siangnya berbayang-bayang. Hari pernikahan itu hanya detik masa sahaja yang memisahkan. Namun debaran menanti yang singkat itu cukup menggema sanubari. Cukup melelahkan pernafasan. Cukup melonglaikan sendi-sendi sekujur badan. Resah yang meresahkan. Penantian yang cukup menyeksakan. Ya Allah, sabarlah sayang. Detik-detik keramat itu pasti tiba jua. In sya Allah.

Lelaki yang menjadi bakal suami adalah lelaki terbaik yang telah dipilih dari ramai lelaki yang berbaris menawarkan diri. Yang dinilai hati dan budinya. Yang kemunculannya dinantikan bak putera berkuda putih. Pantas menyambar membawa ke daerah cinta yang cahaya benderangnya memukau indah. Ramai lelaki di luar sana namun yang dipilih dia juga. Bukan lelaki lain entah berapa ramainya. Bila hati telah tertawan, tersimpullah ikatan abadi yang ingin terus diabadikan melalui pernikahan syahdu. Di hadapan ayah-ibu tersayang. Bersama sanak-saudara dan sahabat-handai. Mengapa menanti saat “Aku terima nikahnya” sangat mendebarkan? Gundah dan gelana tidak lagi terkira. Semakin masa mendekat semakin pula tambah debarnya. Sesuatu yang ironis. Saat gembira yang sangat-sangat dinantikan dirasa mengharukan. Rupanya penantian yang dahulunya merindukan bertukar menyebakkan hati nurani. Seorang suami yang hadir di hadapan mata menjadi titik tolak bagi mempelai perempuan bergelar isteri. Bakal menjadi ibu. Menjadi suri penuh setia.
  
Masa yang dijanjikan itu tiba jua. Tiba membawa ribuan harapan. Membawa indahnya bercinta yang diabadikan. Yang dijanjikan barakah. Janji yang ingin sampai ke jannah. Bersama kebahagiaan abadi. Tetapi sebagai manusia kita perlu tetap berpijak di bumi nyata. Setiap pasangan kedua ibu-bapa sentiasa berdoa agar anak-anaknya menemui jodoh yang terbaik. Jodoh yang boleh diharap senang dan susahnya. Jodoh yang memberi harapan kepada anak-anaknya. Yang memberi harapan masa hadapan yang gemilang dan cemerlang. Begitu juga harapan anak. Ingin memberikan kebahagiaan kepada kedua ibu-bapa mereka dalam banyak keadaan. Namun begitu kekadang sesuatu kegembiraan bersalut rasa duka nestapa. Ibu-bapa yang sudah berumur mungkin kesihatannya tidak memungkinkan ianya bergembira sepenuhnya. Pancaran kegembiraan hanya terlalu singkat. Khusuanya bagi derita sakitnya melampaui cerita biasa-biasa. Mereka tidak dapat bersama bertandang ke rumah besan. Ke rumah yang menyambut menantu.   

Saat itu seolah-olahnya putus jantung hati. Segala-galanya diserah kepada suami. Dirinya tertanggung oleh suami. Bukan lagi ibu-bapa yang selama ini bersama. Seperti hilang sebentar dari pandangan. Hati menjadi berbelah-bagi. Di hadapan hadir seorang suami bersedia untuk menerima kehadiran seorang isteri. Di belakang dan di samping, ibu-bapa melepaskan seorang anak kesayangan kepada suaminya. Bergerak ke hadapan meninggalkan ibu-bapa. Berundur ke belakang pastinya tidak mungkin. Kehidupan pasti perlu diteruskan. Dibina struktur yang boleh merealisasikan kebahagiaan bersuami isteri. Membina masa hadapan yang diimpikan bersama. Tidak ada siapa yang menghiris bawang. Tidak ada siapa yang menghembus asap ke mata. Tiada abuk hinggap di mata. Mata tetap bergenang dengan mutiaranya. Menitis dan membasahi pipi. Merembas tanpa ada paksaan. Lumrah manusia menangis kerana kegembiraan yang tidak dapat dibendung perasaan. Ia datang bersama sendunya. Tinggal emak, tinggallah ayah.

Pastinya hati seorang ibu tersentuh hiba. Saat melepaskan anak gadianya kepada menantu barunya meruntun jiwanya. Juga menifastasi kegembiraan yang diterjemahkan bersama air mata. Itulah paradoks hati manusia. Tangis antonim dengan tawa ria. Namun dalam saat terlalu gembira tangis dan sendu terpapar pada wajah. Anak yang dibelai dari rahim, kanak-kanak, remaja dan dewasa, dilepaskan juga mengikut fitrahnya. Anak gadis itu perlukan suami. Menjadi menantu terbaik untuk keluarga. Ia bukan suatu percaturan. Bahkan suatu perancangan sunnah Allah untuk lelaki dan perempuan pilihan masing-masing. Direncanakan menuju jannah yang penuh nikmat. Suatu perjalanan bersuami-isteri yang banyak likunya. Perlu banyak sabarnya. Perlu banyak perencanaannya. Lazimnya doa dari  kedua ibu-bapa menjadi bekal terbaik. Diharap dengan penuh doa bahawa alunan ombak bukan badai, bahkan alunan yang menghempas pantai kebahagiaan yang natijahnya impian indah belaka. Perbezaan tetap berlaku tetapi carilah persamaan. Kembangkan nilai persamaan. Beri nalai tambah yang bererti dan berharga.


Lelaki yang menjadi suami, ketahuilah bahawa ketika kau bergembira menerima hadirnya seorang isteri, dia, isterimu sedang berperang dengan perasaannya. Ketahuilah ia bakal terpisah dengan kedua ibu-bapanya. Dua orang yang sejak sekian lama sentiasa bersama. Kehadiranmu mengubah segala persepsi diri. Oleh itu bantulah ia untuk meninggalkan keluarganya dengan penuh tertib. Penuh berhati-hati. Hanya dengan bersamamu sahaja dia merasakan saat terpisah yang mencengkam perasaannya. Damaikanlah hatinya. Biarlah usapanmu selembut bayu. Kata-katamu sesejuk salju. Biarlah senyummu semerkah bunga. Biarlah gerak tubuhmu selembut tari. Dakaplah isterimu bersama sendunya. Kasih sayangmu amat syahdu buat dirinya. Hanya kau suaminya. Hanya kepadamu digantung harap masa hadapannya. In sya Allah andai dua hatimu dan hatinya menyatu selalu. 

Saturday, February 11, 2017

Dari Tamaddun Kampung Air

Alam Melayu diperkayakan dengan budaya sungainya. Mungkin juga tepi laut yang menjadi serokan. Mengenang semua itu kita selalu teruja dengan muara sungai. Teruja dengan tepian laut. Lihat sahaja Teluk Intan, Bandaraya Melaka, Bandar Maharani, Muar dan Kuala Terengganu. Tetapi apabila disebut Kampung Air kita akan terus teringat Negara Brunei Dar Al-Salam. Sebuah negara kecil  yang terapit di kawasan Limbang di Sarawak. Berada di negara yang kaya minyak ini tidak mungkin mengabaikan wujudnya perkampung di muara Sungai Brunei. Sebuah perkampungan yang sangat sinonim dengan warga negara-negara ASEAN. Sebuah perkampungan di atas air yang sangat dekat di hati penduduk Seri Begawan pastinya. Bagi pelancong yang berada di Negara Brunei ziarah ke Kampung Air menjadi suatu kemestian. Di situlah bermulanya sejarah dan warisan Negara Brunei Dar Al-Salam.



Kampung Air dari arah darat Bandar Seri Begawan


Kampung Air dari darat

Dari kejauhan pantai, Kampung Air seperti benar-benar di atas air. Terhampar luas. Di atas kocakan air. Di atas alun dan ombak kecil. Lalu lintas bak tiada putusnya. Simpang siur luncur dan hentinya. Beralunlah ambaok-ombak kecil memecah lembut ke pantai. Begitulah lalu lintas bot-bot laju di sekitar Kampung Air. Satu-satunya mod pengangkutan di atas air. Di tepi pantai berderet kenderaan penduduk Kampung Air. Ada pick-up, van, Mercedes dan berbagai lagi kenderaan yang dimiliki penduduk Kampung Air. Di darat ada kenderaan empat roda. Di air mereka memiliki bot laju. Ramai juga yang memiliki kapal nelayan. Kaya atau miskin bukan ukuran. Manusia berusaha di mana-mana. Yang berjaya dapatlah kayanya. Disalut kemewahan.

Wafi merenung air



Posing sebentar. Dapat touring sekeliling Kampung Air 


Kita  selalu memandang sesuatu dengan pandangan yang berbagai. Dari sudut yang berbeza. Bergantung siapa kita. Bergantung posisi kita. Bergantung di mana kita. Begitu melihat Kampung Air kadang-kadang kita tidak melihat yang hakiki. Kita hanya melihat yang hadir di hadapan mata. Realitinya belum kita ketahui. Selalu pula mata kit atidak melihat yang wajar. Yang sebenar. itu juga bergantung kepada emosi kita sewaktu melihatnya. Barangkali penulis beruntung kerana pernah selalu dengan air. Pernah melaui kemiskinan  dan selalu bermain air. Selalu benar air dihubungkaitkan dengan kemiskinan. Lemah dan daif. Sifatnya lembut dan meluncur.


Sebuah arka di tepi pantai


Menikmati keberadaan di sini 



Family outing


Penulis dan kelarga terasa tidak sempurna berada di Brunei tanpa melihat dari dekat tentnag Kampung Air yang sangat terkenal. Kerap melihat gambarnya. Selalu membaca ceritanya. Barangkali seluruh dunia mengenalinya. Apatah lagi setelah Negara Brunei memulakan Undang-undang Hududnya pada tahun 2016 yang lalu. Kampung Air selalunya dilihat dari sudut yang positif. Lestarinya suatu kehidupan yang banyak bergantung pada air. Hidup dan mati mereka dekat dengan air. Air dan air dari bangun tidur pada waktu pagi hingga tidur semula pada waktu malam. Air yang hidup dan menghidupkan.


Satu sisi Kampung Air



Laluan air yang agak sibuk


Rasanya ramai antara kita berfikir bahawa air hanya wadah suatu impian. Menyukarkan. Banyak pula badainya pada ketika-ketikanya. Hidup ini pastinya berhadapan dengan pilihan. Warga Kampung Air memilih air untuk meneruskan kehidupan mereka. Ternyata setelah berzaman Kampung Air tetap gah di mata dunia. Tetap gagah menempuh zaman. Kepada orang biasa tentu tidak terfikir bagaimana mereka menangani keselamatan. Membina kemajuan. Mendepani pendidikan. Menlangsungkan kehidupan sosial. Mereka membina kebahagian pilihan mereka. Hanya mereka yang merasakan kebahagiaan itu. Kita yang melihat dari jauh mungkin tidak dapat menghayati kebahagiaan mereka.


Pemandangan dari darat


Menikmati susasna air dan angin



Dapat juga Wafi melancong 



Sebuah masjid di pantai



Perkampung di tepian pantai



Sebuah masjid dilihat dari Sungai Brunei


Sebuah masjid di Kampung Air



Pemandangan lebih dekat





Empat beranak sedang seronok bersama




Seronok nampaknya




Pengendali bot dan pemandu pelancong kami





Pengalaman begini yang memperkayakan minda anak-anak




Sebuah jeti. Penumpang naik dan turun di sini.


Rumah Kampung Air



Kampung-kampung di pesisir pantai

Hidup di Kampung Air bukan bermakna mereka memilih kemiskinan, kedaifan dan semua yang lemah. Mereka membuat pilihan untuk hidup dengan cara begitu. Meskipun saudara-mam dan sahabat-handai mereka di darat, mereka kekal di rumah atas air. Perkampungan sepertinya sempurna dari segi bekalan air bersih dari darat, bekalan elektrik, sekolah rendah dan menengah, masjid, balai polis, perkhidmatan bomba dan lain-lain keperluan sosial. Kampung Air adalah lambang suatu kehidupan. Kehidupan di atas air. Aman dan tidak pernah terasa terancam dengan kebimbangan. Bayangkan hal-hal ini:

1   Sebuah rumah harganya DB5,000 sahaja. Sekira-kira RM15,000 sebuah.
2   Sebuah bot berharga DB2,000.
3   Sebuah outobard motor berharga DB8,000.

Motor lebih mahal dari sebuah rumah. Namun motorbot yang nilainya DB10,000 dapat melestarikan kehiduoan sebuah keluarga. Hasil tambang perkhidmatan kira-kira BD100 sehari dikira mencukupi selain dari bantuan kerajaan kepaa penduduknya. 


Mahkamah dari air




Bukan main lagi menikmati angin dan air Sungai Brunei




Sebuah lagi masjid



Sebuah sekolah dari kejauhan




Sebuah bangunan agam di atas air




Masjid Kampung Air



Dari celah-celah bangunan




Balai bomba Kampung Air




Sebuah sekolah




Dari jauh



Kampung Air adalah suatu kembara hidup. Kembara zaman yang tiada putusnya. Melihat kesemua ini merupakan hadiah dari Allah. Bahawa kehidupan ini berbagai bentuknya. Berbagai olahannya. Berbagai yang membuat kehidupan ini bahagia. Kita yang merasa dan menikmati kebahagiaan itu. Mensyukuri keadaan adalah sebesar-besar nikmat. Di mana pun kita berada, kesemuanya dalam pemeliharaan Allah belaka. Begitulah nikmatmu adalah nimatku. Allah sentiasa bersama kita. Bersyukurlah. Nikmatnya akan berlimpah menyelimuti hati-hati yang rindukan kebahagiaan Allah yang hakiki.


In sya Allah bertemu lagi. Brunei Dar Al-Salam. 31 Januari 2017.

Tuesday, February 7, 2017

Sehari Di Negara Brunei Dar Al-Salam



Berada di Miri Sarawak terasa dekat dengan Brunei. Bersempadan negara. Sempadannya memang dekat tetapi untuk sampai ke Bandar Sri Begawan berjam-jam juga baru sampai. Bertolak dari jam 7.00 pagi kami merentasi kawasan yang agak sunyi. Di kanan kiri kebanyakannya hutan belukar  yang lapang. Sebahagiannya bekas terbakar pada musim-musim panas yang lalu.   Yang kelihatan hanyalah belukar.  Kekadang terdapat ada yang bercucuk tanam. Penempatan penduduk dalam julat yang jauh antara satu sama lain. Beberapa rumah terpencil terdapat di sepanjang perjalanan. Kami melalui dua buah tol. Sebuah tol di Rasau berhampiran sempadan. Di sini hanya kenderaan di Brunei dikenakan tol.  Di Brunei pula terdapat sebuah lagi tol. Hanya kenderaaan Malaysia pula yang dikenakan tol. Adil rasanya. Setiap kenderaan dikenakan tol bagi setiap perjalanan. Dari negara yang diziarahi.

Tol jambatan Rasau.


Berada di Brunei sama juga seperti di negara ASEAN yang lain. Pokok kelapa, paku pakis, ubi, resam dan pokok-pokok lain dapat dilihat dengan jelas. Terasa di kampung sendiri.  Namun begitu tetap ada kelainannya. Susunatur penempatan berlainan. Struktur rumah berlainan. Rumah dan bangunan kebanyakannya bertiang. Mungkin sejarahnya banjir dan bah mempengaruhi keadaan. Tiangnya tinggi-tinggi. Kenderaan biasa diletakkan di bawah rumah. Banyak urusan boleh dilakukan di bawah rumah. Waktu panas boleh santai di situ. Sama juga di Sarawak. Hatta di semenanjung pun begitu juga. Rumah orang dahulu tinggi bertiang belaka. Banjir dan mungkin haiwan buas yang banyak dahulu kala.








Berhampiran pusat kawalan. Check point.


Hujan di Brunei. Walaupun bukan sepanjang hari. Kami terasa disambut dengan rahmatNya. Jalan basah dan kerana itu terdapat juga kemalangan kenderaan yang agak teruk.  Jalan raya di luar bandar tidak secantik seperti di bandar. Mungkin faktor tanah yang lembut, berpaya dan tanah gambut. Seperti jalan dari Batu Pahat ke Pontian yang sentiasa berombak walaupun berbagai teknologi digunakan. Di Sarawak ada usaha pihak berwajib yang menyusun batang-batang buluh sebelum di tutup dengan kanvas, batu dan pasir sebelum diturap.  Namun begitu hasilnya belum begitu memuaskan. Ombak dan oleng kenderaan tetap berlaku. Tidak boleh laju. Namun tidak begitu selesa kepada penumpang dan pemandunya.
                                                                                                                                                                                                                                                                        
Seria bukan Syria


Jarak perjalanan ke beberapa tempat di Brunei



Bandar Seri Bagawan (Be-ga-wan bukan Be-nga-wan) sederhna besarnya.  Bank-bank antarabangsa diarahkan supaya ditutup. Kecuali beberapa sahaja kerana keperluan antarabangsa. Yang ada bank-bank Islam yang islamik. Untuk mengelak riba. Tiada Lembaga Tabung Haji di sini. Yang ada TAIB. Tabung Amanah Islam Brunei. Yang lainnya bangunan di mana sekalipun banyak persamaannya. Penjenamaan dan penggunaannya sahaja yang berlainan.




Dalam perjalanan




Dalam perjalanan












                                                                                                                    









     




                                                                                                                                                                                                                                                                              


                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  


Di Bandar Seri Begawan




Di Stadium




Get ke stadium






















Masjid Sultan Bolkiah



Tempat wudu’ lelaki



Di dalam museum



Di luar museum




Kelihatan sepanjang perjalanan



Simpang tidak menggunakan nama khas, sebaliknya menggunakan angka.

Sehari di Brunei tidak mencukupi. Walaupun negaranya kecil tetapi tidak dapat ditinjau ke seluruh ceruk rantaunya. Dalam masa sehari penuli sdan keluarga sekadar dapat mengelilingi kampung Air, Masjid Sultan Hasanul Bolkiah dan Museum DiRaja. Apapun terasa puasnya kerana dapat melancong ke negara yang sangat kaya tetapi bersederhana dalam banyak hal. Bagi mereka yang tidak memaklumi status ekonomi Negara Brunei Dar Al-Salam tentu menyangka bahawa negara itu miskin atau sederhana kekuatan ekonominya. Ramai tidak tahu sumber minyaknya dijangka kekal berpuluh tahun lagi. Hotel miliknya banyak di negara Barat. Tentu sekali rizab negaranya di bank-bank luar negara. Banyaknya tiada siapa yang mengetahui. Tidak perlu pun untuk sesiapa mengetahui. Cuma jauh benar dengan pembaziran yang berlaku di negara kita berbanding dengan di Brunei. Kita disarankan supaya berwasatiyah. Namun realitinya kita mabuk dengan menghambat kemewahan. Kekayaan yang tidak puas-puas dikumpul. Hanya mereka yang bijaksana sahaja yang membawa harta bendanya ke akhirat. Harta orang menjadi rebutan sebagai pesaka. Bertahun-tahun belum tentu selesai urusannya.


Pada pandangan penulis, Negara Brunei sangat tenang. Tidak terdengar bunyi  hon kenderaan. Paling ketara terlalu sedikit lori atau bas. Yang kelihatan bas dari Indonesia yang membawa pekerja pembinaan.  Rakyatnya cukup makan. Jenayah malah seperti tidak didengar atau dilaporkan. Pengemis tidak ada barangkali. Kedai makanan mamak tetap ada. Ada rahsia yang tidak kita ketahui bagaimana mereka menembusi selera penduduk negara Asean. Penulis tidak pasti sama ada di Brunei mereka beroperasi 24 jam atau tidak. Rasanya mungkin tidak sebab malamnya dikatakan sunyi. Penduduk Bandar Seri Begawan tidak melimpah seperti di lembah Klang umpamanya.  Walau bagaimanapun berada sehari Di Negara Brunei Dar Al-Salam merupakan suatu pengalaman yang tersendiri. Kebahagiaan rakyat Brunei tidak boleh dibandingkan dengan rakyat di negara lain. Mereka membina indeks mereka sendiri. Mereka yang mencari kebahagiaan mengikut acuan mereka.  Penulis hanya melancong. Melihat negara orang. Membawa pulang kenangan dan pengalaman.