Dalam hukum agama
terlalu kerap kita diperingatkan supaya mengamalkan kejujuran dalam semua
perkara. Apabila kita jujur implikasinya tentulah mengelakkan dari:
1
Berbohong dalam banyak hal.
2
Mengabui mata orang lain.
3
Mencipta fakta palsu.
4
Retorik mengenai hal yang dipaksakan sedangkan selamanya adalah diketahui
palsu.
5
Kata-kata tanpa sokongan fakta.
6
Banyak merepek.
7
Kuat melatah.
8
Kata-kata bak lelucon belaka.
9
Menjadi pelawak tak rasmi. Ditertawakan orang sekeliling. Badut sarkas.
Kesemuanya ini bukan
khayalan semata-mata. Ianya realiti kehidupan kita sekarang. Sukar menemui yang
sebenar-benarnya jujur, ikhlas, benar dan bersama yang haq. Kebatilan ada di
mana-mana. Kebejatan bersepah-sepah. Kecelaruan melanda dalam masyarakat
apabila hukum-hakam dipinggirkan. Apabila yang haq dikesampingkan. Apabila yang
benar dianggap biasa-biasa sahaja. Hidup ini sebenarnya penuh dengan nikmat
yang berganda-ganda. Malangnya banyak nikmat pula dinafikan kepada yang haq.
Individu-individu antara kita tidak mendapat pembelaan yang wajar. Yang mampu
antara kita tidak pula mengambil inisiatif untuk memberikan yang terbaik. Selfishness
banyak menguasai diri sehingga batas-batas antara putih dan hitam terlihat
kelabu kesemuanya. Masing-masing menjadi teraba-raba. Dalam hal akhir zaman ini
yang dirujuk lazimnya bukan pakar. Bukan ahlinya. Tetapi yang dirujuk adalah
mereka yang popular atau untuk mendapatkan jawapan popular. Bukan jawapan yang
benar dan haq.
Kehidupan kita
terpisah antara mereka yang di aras atas dan mereka yang di aras bawah. Yang di
atas memiliki:
1
Kuasa.
2
Kuat dari segi berfikir.
3
Kewibawaan
4
Kekuatan ekonomi.
5
Berpandukan dasar dan disiplin kehidupan.
6
Kewarasan akal budi.
Yang di bawah pula:
1
Daif dari segi kekuatan berfikir.
2
Daif ekonomi hingga melemahkan usaha untuk merubah kehidupan ke arah
yang lebih positif.
3
Banyak meniru.
4
Banyak menerima pendapat orang lain yang dianggap berwibawawalaupun
tidak benar.
5
Enggan mencari kebenaran.
6
Kekal ingin menjadi pengikut selama-lamanya.
7
Kekal berpegang kepada sesuatu yang dianggap benar walaupun dibuktikan
oleh orang lain sebagai dakwaan palsu.
8
Percaya kepada mereka yang fasiq.
9
Yang kerap berbohong masih dipercayai.
Pertembungan antara
dua pola pemikiran dan kumpulan ini menjadikan mereka yang di aras atas ada
yang terlupa daratan. Lalu mereka:
1
Berkemungkinan mengambil kesempatan.
2
Melakukan penindasan pemikiran atau dakyah palsu.
3
Menguasai ekonomi tanpa memikirkan mereka yang berada di aras bawah.
4
Menyanggah hukum-hakam untuk kepentingan diri.
5
Yang benar dan yang haq dikelirukan sehingga yang salah dilihat
biasa-biasa sahaja.
Ketika ini apabila
kita melihat di sekeliling kita seolah-olah kita tidak lagi pasti siapa yang
jujur dan siapa yang tidak. Mereka yang jujur selalu dipertikai kejujurannya.
Mereka yang hilang jujur ramai yang dipercayai. Kekadang kita mengetahui hukum
yang dilanggar tetapi kita diminta berkelit mengenai hukum itu. Kita mengetahui
bahawa rasuah itu haram. Haram seharamnya. Tetapi mereka berkelit bahawasanya
itu bukan rasuah. Diberi nama lain yang berbagai:
1
Hadiah.
2
Pemberian ikhlas.
3
Tidak salah asalkan niatnya betul.
4
Pemberian itu wajar diterima.
5
Imbuhan kerana membantu.
Apapun alasannya
kesemuanya adalah haram kerana menerima sesuatu yang bukan haq. Rasuah itu
kerana berkait dengan kedudukan individu yang menerima. Ada kepentingan
jawatan, kedudukan atau kepentingan lain.
Untuk kesekian kalinya
ada yang mencadangkan supaya yang memberi dihukum dan yang menerima dilepaskan.
Mudah sangat alasan tidak munasabahnya. Jika tiada yang memberi tentulah tiada
yang menerimanya. Hukum agama bukan atas alasan dan hujjah palsu. Yang memberi
dan yang menerima dikatagorikan haram belaka. Kita lupa bahawa di kanan dan
kiri kita kekal bersama Rokib dan ‘Atid. Allah Maha Melihat. Allah Maha
Mengetahui. Ingatlah bahawa hanya kepada Allah tempat kembali. Tiada syak
wasangka lagi. Hanya kepadaNya tempat kita kembali. Kita pasti akan menghadapi
pengadilan yang seadil-adilnya. Ketika
itu tiada lagi hujjah palsu kerana kesemuanya telah terbukti benar. Mulut dan
lisan tiada gunanya. Allah Maha Mengetahui. Saksinya malaikat yang tidak pernah
ingkar. Tidak pernah berdusta. Tidak pernah diragukan.
Begitulah dalam
kehidupan yang berbagai ini. Rakan kongsi tidak lagi boleh dipercayai. Perlu
dikawal dengan undang-undang. Dengan akta dan enakmen. Kita sudah kehilangan
seri dalam mencari kejujuran. Sebarang kejujuran berkait dengan agama. Berkait
dengan Allah dan RasulNya. Jika kita mengabaikan larangan berlaku tidak jujur,
kepada siapa lagi kita perlu jujur? Hidup di akhir zaman semakin sukar. Kita tidak
tahu lagi yang mana kanan dan yang mana kiri. Masing-masing antara kita sudah
menjadi enau yang melepaskan pucuk masing-masing.
Tahniah kepada mereka
yang pada dirinya masih utuh dengan sikap dan sifat jujur, membantu, menjana
kebaikan dan melimpahkan kebaikan dirinya seperti yang dituntut agama. Semoga bilangan
mereka semakin ramai dan menyerlah di sekeliling kita.