Orang Melayu sebelum datangnya penjajah adalah bangsa
yang sibuk merantau. Berniaga. Berkelana kerana mencari ilmu. Menjelajah
negara orang lain. Jalan perhubungan yang kita baca dari cerita-cerita
penglipurlara ialah denai dan jalan, bukit dan bukau, gunung dan ganang, lurah
dan gaung, sungai dan laut. Barangkali kehebatan orang Melayu adalah luasnya
pengalaman mereka menggunakan kapal. Sementelahan pula nusantara ini
dikelilingi dengan laut dan selat. Begitulah orang dahulu berpindah randah dari
satu daerah ke daerah yang lain. Dari satu pulau ke pulau yang lain. Mereka
yang dari Kalimantan ke Pulau Jawa atau Tanah Melayu atau Sumatera dan
begitulah perpindahan antara tempat-tempat tersebut tanpa had dan halangan.
Sesungguhnya nusantara ini adalah tanah orang Melayu yang berbagai-bagai
keturunan. Sesuatu keturunan mungkin eksklusif di sesuatu kawasan. Itu sahaja.
Penjajah bertapak dengan membahagi-bahagikan nusantara
kepada milikan mereka. Mulalah perpindahan menjadi terbatas. Sejarah ditulis
semula bahawa sesuatu kaum dianggap asli di sesuatu kawasan dan tidak di kawasan
yang lain. Pada hakikatnya tidak begitu. Walaupun orang Jawa berasal dari Pulau
Jawa, mereka berada di Kalimantan, Tanah Melayu dan Sumatera. Orang Banjar dari
Kalimantan Timur berada di Tanah Melayu, Sumatera dan Pulau Jawa. Orang Bugis
berada juga di mana-mana. Begitu juga orang Minangkabau, Aceh dan Mandailing. Begitu
juga yang lain-lain. Tidak benar mengatakan bahawa Tanah Melayu pada waktu
dahulu adalah tanah semenanjung yang kosong tanpa penghuni. Lalu mereka datang
mendudukinya dengan berpindah dari kawasan lain di nusantara. Pola perpindahan
orang nusantara bukan terpencil. Tanah Melayu memang sudah didiami berbagai
etnik Melayu berabad-abad lamanya. Penemuan dan kajian baru menunjukkan bahawa
Tanah Melayu adalah antara kawasan yang melampaui zaman prasejarah.
Dari nusantara inilah manusia berpecah dan berpindah
randah mendiami kawasan lain yang beretnik Melayu. Lihat orang Melayu di
Surinam (Amerika Selatan) yang dibawa oleh penjajah Belanda. Orang Melayu di
Afrika Selatan yang juga dibawa oleh penjajah Belanda. Orang Melayu di Sri
Lanka dan Madagaskar kerana pelayaran dan perpindahan. Di pulau-pulau di Lautan
Hindi ramai antara mereka berketurunan Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa lingua-franca
di kawasan ini. Sekarang ini Bahasa Melayu dipelajari di negara-negara besar
seperti Russia, Cina, Belanda, Britain, Amerika Syarikat, Australia, Turki,
negara-negara Arab dan banyak negara lain. Tontonlah program pidato
antarabangsa. Ramai pesertanya dari banyak negara. Kita sendiri menjadi keliru
apabila warganegara kita sendiri tidak mahir berbahasa Melayu. Tidak fasih
seolah-olah mengabaikan bahasa negara sendiri.
Selepas datangnya penjajah, penjajahan menjadi terlalu
total. Dari ekonomi hingga ke sanubari. Pandainya Inggeris dengan mengasingkan
adat dan agama. Mereka tidak mengganggu adat dan agama kerana orang Melayu
hingga sekarang sangat sensitif mengenainya. Jangan usik adat dan agama. Mereka
sanggup berperang kerananya. Tetapi tanpa sedar penjajahan dalam aspek-aspek
yang lain turut akhirnya menjajah adat dan agama. Kita kehilangan kekuatan
ekonomi, pendidikan, profesionalism, sains dan teknologi, sistem kewangan dan
penguasan akal pemikiran. British dengan psikologi mereka melemahkan orang
Melayu dari segenap penjuru. Kita hanya melihat dasar pecah dan perintah dari
segi politik. Kita lupa kita terpencar dari aspek yang lain. Kita hilang banyak
segala-galanya. Apabila kita semakin miskin kita semakin mundur dari segi
berfikir. Mundur dari segi keupayaan menyaingi kemajuan dan perkembangan dunia
lainnya.
Kita melalui vicious circle (kitaran
ganas) yang semakin mengganas. Keciciran dan ketertinggalan kita dalam banyak
bidang semakin merumitkan. Advantage (kelebihan) kita dari segi politik
tidak membawa orang Melayu ke puncak jaya. Kita dilekakan dengan hedonism.
Dengan adat yang dibiarkan oleh British. Mereka telah lama melihat bahawa adat
kita akhirnya membawa kita ke arah kemelesetan dalam serba hal. Kita leka
berpesta. Kita leka bermajlis-majlisan. Makan-makan yang terlalu banyak.
Terlalu besar ongkos dan lama masanya. Pernah dengar komen berikut dari seorang
bukan Islam:
Bagaimana orang Melayu hendak maju jika banyak masa
mereka dihabiskan kerana majlis-majlisan setiap hari. Kenduri hampir setiap
hari. Hujung minggu bukan hari untuk keluarga tetapi hari untuk orang lain.
Majlis kenduri yang sangat banyak hingga tidak terdaya untuk hadir semua.
Mungkin kita perlu menilai semula kegilaan kita
terhadap mengekalkan adat. Kita terlupa bahawa hidup kita kebanyakannya makan
gaji. Bekerja dengan orang lain yang menguasai ekonomi. Bukan orang Melayu
tidak pandai. Bukan tiada bestarinya. Minda kita telah menjadi terlalu lemah
untuk berfikir. Sekarang ini seolah-olahnya kita baru belajar untuk beriaga.
Kerana itu perlu pula berhempas pulas kerana ranjaunya sudah semakin banyak. Makan
gaji sewajarnya menjadi pilihan terakhir. Mereka yang kaya jangan hanya atas
nama saham dan mematikan diri begitu sahaja. Buatlah entiti perniagaan. Beri
peluang kepada anak bangsa untuk membantu menjayakannya. Menimba pengalaman
untuk disebarluaskan kemahiran berniaga dan menjadi usahawan. Selagi namanya
Melayu dan beragama Islam diskriminasi senyap berlaku. Anak-anak kita juga
tidak membina aptitude (kecenderungan) ke arah kemajuan diri dan
kemajuan bangsanya.
Apabila kita memerhati sekeliling kita masih melihat lemahnya
paradigma kita orang Melayu. Ramai yang berfikir untuk suka kekal dulu, kini
dan selamanya. Tidak mengapa jika yang dikekalkan itu iman dan amal soleh.
Bukan adat yang bukan-bukan. Yang tidak produktif. Hanya merugikan diri dan
bangsa sendiri. Malas berfikir dan malas aktif antara yang merosakkan daya maju
diri kita. Anak-anak kita berada di pelosok dunia. Tidak kira di Barat atau di
Timur. Di USA ramai anak Malaysia hingga berbelas ribu. Di Mesir juga berbelas
ribu. Di Britain, Australia, Canada dan New Zealand lagilah beribu-ribu
ramainya. Itu belum di Russia, Ukraine, Italy, Perancis, Germany, Holand,
Netherland, Poland, Turki, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, India, Indonesia,
Sepanyol, Ireland dan negara-negara Arab.
Adakah kita tidak sampai di Timur dan terkandas di Barat.
Banyak kelebihan di Timur dan Barat. Kerajinan orang Timur dan orang Barat.
Kebersihan dan ketelitian orang Barat tidak teramal di negara kita. Turki yang
beberapa tahun ini dipegang oleh Erdogan membangun sangat pesatnya. Dari negara
yang dianggap kotor menjadi negara bersih seperti negara Eropah yang lain. Dari
negara yang dianggap terbeban dengan hutang sekarang menjadi negara yang boleh
membantu negara lain. Kebetulan ia adalah anggota negara NATO. Begitu juga
kehebatan orang Korea Selatan memulihkan diri dari kemelesetan ekonomi sangat
mengkagumkan. Teknologi mereka seolah-olah sudah berada di mana-mana. Bersama
dengan Jepun teknologi Korea Selatan
menguasai pasaran barang-barang elektronik di seluruh dunia. Kerajinan orang
Jepun hanya kita jadikan teori. Tidak diserap dan dijadikan budaya. Budaya
Islam pula sudah lama kita tinggalkan. Bangsa lain yang mengamalkannya. Bukan
kita penganutnya. Malang sungguh lebai yang malang. Ke Timur tidak. Ke Baratpun
tidak. Kita kekal dengan menjulang adat beradat sahaja. Sukar untuk berubah.
Amal yang menipis menjadikan kita benipis-nipis dengan
akal yang ada. Amal kebaikan sangat terhad kepada kita. Walaupun jauhari
mengenal manikam tetapi kita tidak suka menjadi jauhari. Tidak mahu menjadi
arif. Takut menjadi bestari. Ke mana anak-anak kita hendak pergi. Kerosakan menular
di mana-mana. Pendidikan sudah tidak lagi menjamin keutuhan akhlak mereka. Gangguan
dan gejala sosial merebak meruntuhkan segala tembok yang kita usahabina. Kembalilah
kepada agama kerana agama membawa kita kepada jalan kejayaan. Solat jangan tidak
solat. Jaga tiang agama ini. Akan terjagalah bahaian-bahagian yang lain. Jagi hati
dari menjadi hitam. Jaga minat untuk cintakan Allah dan cintakan RasulNya. Insyaallah
selamat dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment