Friday, February 27, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Hormat Siapa Hormat



Siapakah yang perlu dihormati? Hormat atau rasa hormat? Datang sendiri hormat itu atau diperintahkan begitu? Terlalu ramai orang yang menuntut hormat. Hormat itu apa sebenarnya? Suka-suka? Ugutan? Atau apa sahaja yang dituntut untuk dilakukan walaupun tidak disukai. Hormat yang paling baik ialah hormat yang tiada timbal balas manfaatnya. No reciprocal gain. Diberikan kerana kita yakin itu hak orang yang menerimanya. Keistimewaan yang teristimewa. Hormat datang dari hati yang ikhlas. Dari dalam. Dari dalam sanubari. Dari lubuk hati yang bersih. Dia tidak dipaksa. Tidak diminta. Tidak ada arahan itu dan ini. Hormat itu diberikan kerana rasa hormat. Memberi penghormatan. Kenapa?

1                    Mereka lebih tinggi pangkatnya.
2                    Mereka lebih tinggi kedudukannya.
3                    Mereka lebih dewasa.
4                    Mereka lebih berwibawa (authority).
5                    Mereka diberi tanggungjawab.
6                    Mereka lebih berpengalaman.
7                    Mereka diberi kuasa.
8                    Mereka lebih mengetahui.
9                    Mereka diletakkan di situ sebagai yang berhak menjalankan tugas.

Lazimnya, biasanya, selalunya, sewajarnya mereka dalam senarai di atas dihormati kerana aras mereka lebih tinggi. Cuba teliti berbagai situasi berikut:

Situasai 1:
Anak: Jika ayah tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan ayah.
Ayah: Siapakah yang memberi makan keluarga ini?
Anak: Ayah.
Ayah: Then who the hell you think you are!

Situasi 2:
Pelajar: Jika cikgu tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan cikgu.
Cikgu: Di sekolah ini saya mengajar kamu atau kamu mengajar saya?
Pelajar: Cikgu mengajar kami.
Cikgu: Then who the hell you think you are!

Situasi 3:
Mahasiswa: Jika Prof. tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan Prof.
Prof: Kamu mahasiswa atau saya mahasiswa?
Mahasiswa: Saya mahasiswa Prof.
Prof: Then who the hell you think you are!

Situasi 4: Di luar negara:
Pelajar: Jika ustaz tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan ustaz.
Pegawai: Saya pegawai atau kamu yang jadi pegawai?
Pelajar: Ustazlah pegawai.
Pegawai: Then who the hell you think you are!

Ayah, guru, profesor dan pegawai sentiasa dan selamanya lebih tinggi kedudukannya berbanding anak, pelajar dan mahasiswa. Mereka lebih dewasa. Mereka lebih banyak dari segi pengalaman. Mungkijn lebih tinggi kelayakan akademik atau skillnya. Siapapun mereka, hormatilah mereka kerana kedudukan itu. Perhatikan senarai berikut:

1                    Allah
2                    Rasulallah
3                    Ibu-bapa
4                    Guru

Ibu-bapa sangat perlu dihormati. Tanpa penghormatan hilang hubungan hakiki antara mereka. Jika kita perluaskan kefahaman kita, bahawa ibu-bapa mencakup juga semua orang tua sebaya ibu-bapa kita. Mereka adalah guru, ustaz dan ustazah, jiran atau ahli kariah yang lain. Semua orang tua berada dalam taraf yang sama dengan ibu dan bapa seseorang. Penulis sengaja menggunakan Bahasa Inggeris untuk memberikan impak ketidak wajaran seseorang anak, pelajar dan mahasiswa menuntut dirinya dihormati oleh orang-orang yang berwibawa dengan peranan masing-masing. Ibu-bapa dihormati kerana warisan. Diperintahkan oleh Allah. Guru dihormati kerana mereka adalah orang dewasa yang mengajar, mendidik, mengkaunsel, membimbing, menunjukkan yang benar dan membawa pelajar ke arah kebaikan. Profesor dihormati kerana kepakarannya. Dia juga pendidik yang sudah teruji dari segi ilmunya. Seorang pegawai dihormat kerana dia diberi kewibawaan oleh kerajaan melalui undang-undang yang berkaitan dengan perjawatan dalam sektor kerajaan.

Who the hell you think you are? adalah bahasa orang putih yang diungkapkan ketika marah atau ketika ketidak wajaran berlaku dalam sesuatu situasi. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ia menjadi, kamu ingat kamu siapa? Dalam bahasa Melayu maksudnya tidak seperti yang dalam bahasa Inggeris. Tidak kelihatan seriusnya situasi itu. Mungkin bahasa Melayu kaya dengan kias, tamthil dan ibarat. Bahasa yang lembut dan halus selalunya lebih tajam dari mata pedang. Menusuk dan membelah hati nurani. Terasa pedih dan parahnya. Menjadikan  kita terkesima. Menderita aib diri yang tidak terhingga. Ada orang dewasa bahasanya lembut tetapi memukul mati mereka yang terkena.

Seorang anak akan selamanya menjadi anak. Hingga tua sekalipun ia tetap anak kepada ibu dan bapanya yang masih hidup atau yang telah mati. Tiada hak langsung baginya berlagak meminta dirinya dihormati oleh ibu dan bapanya. Malah untuk meninggikan sedikit suaranya sudah dikira derhaka. Mereka dituntut untuk berkhidmat kepada keduanya dalam keadaan apa selakipun. Mungkin sakitnya. Mungkin ketidakupayaannya. Mungkin karenahnya. Mungkin kepayahan-kepayahan lain yang melingkari kehidupan mereka yang sudah tua. Sesungguhnya berbakti kepada orang tua diberi ganjaran pahala yang banyak sekiranya dilakukan dengan ikhlas. Dilakukan kerana tuntutan tanggungjawab.

Seorang pelajar atau mahasiswa adalah selamanya pelajar sehinggalah ia lulus dan diisytiharkan menjadi graduan. Selagi ia menjadi pelajar sama ada kursus sijil, diploma, ijazah serjana muda, sarjana dan malah peringkat kedoktoran sekalipun dirinya tetap seorang pelajar dari segi:

1        Kedudukan
2        Taraf
3        Undang-undang.

Maka dirinya terikat dengan undang-undang yang ada.  Ia tidak boleh melanggar mana-mana peruntukan undang-undang atau peraturan yang dikuatkuasakan ke atasnya. Dia wajib patuh dengan ketentuan itu.  Jika tidak, dia boleh tersingkir dari institusi pendidikan itu. Perkataannya, tingkahlakunya, tindak tanduknya perlu mematuhi peraturan yang ada. Pelajar atau mahasiswa tidak diberi hak untuk mencemarkan nama baik institusi atau nama baik mana-mana pegawai institusi (walaupun individu itu seorang pengawal keselamatan atau pencuci atau tukang sapu) atau nama baik mana-mana pelajar lain institusi itu atau melanggar undang-undang negara sama ada di dalam kampus atau di luar kampus. Sebagai pelajar ia hanya diberi hak untuk bersuara sama ada secara individu atau berkumpulan mengikut peruntukan undang-undang (Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU) di Malaysia. Itupun terhad kepada hal-hal yang berkaitan dengan akademiknya dan kebajikan kehidupannya semasa menjadi pelajar atau mahasiswa.

Adakah anda seorang pelajar? Jika jawapannya ia maka anda perlu berfikir panjang dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar.

1                    Anda akan dewasa untuk memikul tanggungjawab yang selama ini anda cemuh. Menjadi ibu atau bapa. Menjadi pegawai. Menjadi pendidik. Menjadi profesional yang lain.
2                    Mencari peluang kerjaya, membinanya dan menjawat jawatan-jawatan tinggi. Andainya semasa menjadi pelajar anda tidak memiliki kualiti yang diperlukan maka selamanya anda akan hanya menjawat jawatan yang tidak sesuai dengan kelayakan akademik anda. Tetapi sebaliknya sesuai dengan sifat dan sikap yang anda bina semasa menjadi pelajar atau mahasiswa dahulu.


Dunia realiti yang sebenar tidak seperti idealisma yang anda tuntut semasa menjadi pelajar. Anda boleh menuntut sebuah gunung tetapi anda mungkin hanya mendapat sebuah longgokan pasir. Anda mungkin ingin terbang setinggi langit tetapi anda hanya mampu melonjak dan kemudian jatuh ke tanah semula. Anak-anak muda perlu belajar dengan sabar. Belajar dengan banyak memerhati dan mengalami sendiri susah dan payahnya mereka yang telah dewasa melaluinya dahulu. Tidak ada siapa yang terkecuali dari mengalami hal-hal yang tidak enak semasa menjadi anak muda. Pendidikan itu perlu. Praktikaliti juga perlu. Pengalaman melengkapkan seseorang untuk menjadi dewasa yang bermanfaat. Semoga anda dewasa tidak menjadi antara mereka yang bermasalah dalam banya hal. Mudah-mudahan menjadi ibu dan bapa yang baik. Menjadi warganegara yang memberi impak positif kepada negara walaupun dalam hal yang sangat kecil sekalipun. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment