Wednesday, February 18, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Lihat Dari Lingkaran Luar



Kita sering mendengar istilah luar kotak. Semakin popular penggunaannya. Mungkin ramai yang memahami dan mungkin juga ramai yang belum mendapat pencerahannya. Tidak mengapa. Istilah-istilah sebegitu akan difahami juga akhirnya. Masa yang menentukan. Penulis ingin memperkatakan suatu aspek dari penggunaan istilah tersebut. Tidak ramai antara kita yang berpeluang berada di luar kotak. Pergi manjauh dari lingkungan kita yang biasa-biasa. Tidak ke mana-mana untuk menjengah alam yang terbentang luas ini. Tidak berpeluang menjenguk kelainan-kelainan yang Allah ciptakan. Kita berlegar dalam lingkungan kita sendiri sahaja. Lalu kita membina persepsi bahawa segala-galanya yang ada di sekeliling kita itulah yang terbaik. Yang terunggul. Kerana terlalu lamanya berada dalam lingkungan yang sama kita berkeras membina tembok hingga tidak mahu memahami kelainan yang wujud pada orang lain. Pada tempat lain. Pada masa lain. Pada keadaan lain.

Contoh paling ketara ialah kefahaman kita tentang kaum kita - Melayu. Pada kita orang Melayu adalah segala-galanya. Sebenarnya Allah menciptakan manusia berbangsa-bangsa supaya kita berkenalan antara satu sama lainnya. Belajar dari satu sama lain. Berinteraksi dan bersilatulrahim. Sejarah manusia diwarnai dengan berbagai-bagai bangsa manusia. Selepas banjir di zaman Nabi Nuh a.s. yang tinggal ialah keturunannya dari susur galur Yapith, Sam dan Ham. Maknanya manusia yang ada sekarang ini kesemuanya dari Nabi Nuh yang juga dari Nabi Adam. Kita telah menjadi keluarga besar yang berasal dari Nabi Adam dan Hawa isterinya. Manusia diberi agama dan panduan oleh Allah melalui malaikat. Kesemua mereka diperintahkan beriman kepada Allah dan RasulNya. Tidak menyembah kecuali kepada Allah sahaja. Di dalam al-Quran Allah memberi gambaran banyaknya kaum yang dimusnahkan. Antaranya kaum Firaun (zaman Nabi Musa), kaum ‘Ad (zaman Nabi Hud), kaum Nabi Luth, kaum Madyan (zaman Nabi Syuib), kaum Thamud (zaman Nabi Salleh), kaum Nabi Nuh dan banyak lagi.

Allah pula tidak memandang kaum atau bangsa seseorang individu. Kepada Allah yang dilihat ialah taqwa mereka. Setelah Islam Allah sempurnakan ke atas umat Muhammad maka label kaum atau bangsa seharusnya sudah tidak wajar kerana tidak ada bangsa atau kaum yang lebih mulia di sisi Allah kecuali taqwanya. Kita melihat pada zaman ini bagaimana Yahudi membina keagungan bangsa mereka. Maksudnya bangsa di sekeliling mereka sangat lemah. Mundur dan jauh tertinggal dari banyak segi. Apa yang Yahudi lakukan tidak dapat dihalang sama ada dengan senjata atau dengan kebijaksanaan. Jauh sekali dengan hujjah. Semakin jauh dari zaman Rasulallah semakin ramai mereka di Timur Tengah yang merasakan bahawa mereka sahaja yang lebih baik. Orang ajam tidak diambilkira. Fakta sejarah menunjukkan kegemilangan ilmu di kalangan orang Islam bukan dari kalangan orang Arab. Ramai yang berasal dari Andalusia (Sepanyol) dan Asia Tengah. Paling kita kenal mungkin Imam Bukhari yang berasal dari Bukhara di Asia Tengah. Dia bukan orang Arab. Orang Ajam.

Apa yang penting ialah mereka semua Islam. Bangsa dan kaum bukan penentu kejayaan. Bukan penentu survivalnya di dunia ini. Di Malaysia, kita menganggap bahawa orang Melayu paling baik Islamnya. Kita jarang memberi ruang kepada mualaf (saudara baru) kecuali mereka menonjol seperti Dr. Ridhuan Tee atau Ustaz Farid Ravi. Ini kerana kita hanya melihat di kalangan kita. Yang berada dalam lingkungan kita sahaja. Kita seperti menganggap bahawa Islam sebagai hak eksklusif orang Melayu. Apabila berada di perantauan baru kita sedar bahawa Islam itu bukan Melayu sahaja. Bukan Arab sahaja. Bukan Turki sahaja. Bukan Pakistan sahaja. Mereka yang Islam sangat universal. Sarwajagat. Berbagai suku kaum. Berbagai bangsa. Dari berbagai negara yang jarang kita dengar namanya. Penulis sendiri berinteraksi dengan mereka yang datang dari Russia, Turki, Kargastan, Kiryigistan, Turkistan, Perancis, Somalia, Afghanistan, Thailand, Indonesia, Cina, Singapura, Burkina Paso (Afrika), Poland, England dan ramai lagi dari negara lain.

Ada sesuatu yang istimewa. Pengalaman bersama mereka menyedarkan betapa Allah mencipta manusia di dunia untuk ke akhirat. Di bumi anbia Mesir ini orang Islam dari seluruh dunia berkampung dan bermukim. Menuntut berbagai bidang agama dan Bahasa Arab. Untuk amalan dan untuk dakwah. Ada dua perkara yang sangat unik pada pengalaman penulis.

1                    Bahasa Arab dipelajari tanpa henti. Setiap orang yang berada di Mesir belajar Bahasa Arab, berkomunikasi dengannya, belajar menggunakannya.
2                    Keduanya al-Quran. Kesemua pelajar Islam yang berada di Mesir boleh membaca al-Quran tanpa mengira siapa mereka, dari mana mereka datang dan siapa rupa bangsa mereka.

Orang putih berbicara dalam Bahasa Melayu dengan pelat mereka. Orang Cina bercakap Melayu masih ada pelatnya. Begitu juga bangsa lain. Cuba dengar berbagai bangsa bercakap dalam Bahasa Inggeris. Ada pelat kaum dan bangsa yang berbagai. Orang Asia berbahasa Inggeris bunyi Asia. Orang Afrika berbahasa Inggeris ada pelat Afrikanya. Tidak dalam Bahasa Arab. Apabila mereka bercakap, bunyinya sama. Didengar sama. Panjang dan pendeknya sama. Makhrajnya sama. Sifat hurufnya sama. Tidak ada pelat. Siapapun yang bercakap Arab hilang pelatnya. Apabila telah fasih kita tidak mengenal lagi usul asal mereka. Kita tidak maklum tentang bahasa ibunda masing-masing. Bahasa Arab yang mereka tuturkan menjadikan mereka bersifat Arab. Mereka menjadi Arab. Bahasa Arab tidak ada ruang untuk pelat. Tidak juga wujud loghat. Bahasa Arab adalah Bahasa Arab. Tidak menyamai bahasa lain. Sesiapapun yang mempelajarinya mengikut tradisinya. Bila mahir memang berbunyi Arab tanpa kecuali. Latihan demi latihan tanpa henti untuk menyebut, untuk membaca dan untuk soal dan jawab. Menulis memang tiada tolok bandingnya. Khat dalam Bahasa Arab pula sangat luas. Pilihlah mana yang sesuai. Kesemuanya seni belaka.

Sesungguhnya al-Quran adalah mu’jizat agung dari Allah. Untuk umat manusia yang juga diagungkan Allah dan malaikatnya apabila mereka beriman. Apabila orang Islam membaca al-Quran bunyinya seperti orang Arab sahaja. Penulis maksudkan dalam konteks mereka yang belajar Bahasa Arab dan belajar membaca al-Quran secara akademik. Bahasa Arab dan al-Quran berpisah tiada. Bahasa Arab Quraisy mendasari Bahasa Arab dalam al-Quran. Al-Quran autentik sifatnya. Tiada bahasa asing selain Bahasa Arab. Maka apabila boleh menguasai bahasa Arab dengan sendirinya betul bacaan al-Qurannya. Walaupun al-Quran dibaca dengan kaedahnya yang tersendiri, cara sebutannya tidak berbeza sama ada mereka bercakap atau membaca al-Quran. Al-Quran dalam Bahasa Arab. Seperti dalam Bahasa Arab tidak ada pembaca yang pelat membaca al-Quran apabila mereka mengetahui bagaimana Bahasa Arab dibunyikan. Huruf dalam Bahasa Arab itulah juga huruf dalam al-Quran. Tidak ada perbezaan dan tidak ada pemisahan.


Namun begitu, intipati al-Quran semakin kurang difahami. Umat Islam di mana-manapun ramai yang mengabaikan ajarannya. Semakin ramai orang Arab yang bercakap dalam bahasa Ajam seperti Inggeris dan Perancis. Dua bangsa yang pernah menjajah mereka atau menguasai negara-negara Arab. Budaya Inggeris dan Perancis diserap dalam budaya Arab. Walau bagaimanapun Bahasa Arab memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Ianya bahasa Rasulallah kekasih Allah, bahasa syurga dan bahasa yang memancarkan agama Islam ke seluruh pelosok dunia. Maka Bahasa Arab menjadi sumber agama Islam yang autentik. Bahasa yang lain menterjemahan ajaran agama dari Bahasa Arab. Tiada yang lebih baik dari kebaikan sumbernya. Alhamdulillah. 

No comments:

Post a Comment