Friday, February 20, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Apakah Berfikir Tiada Layaknya Lagi?



Pendidikan tentulah yang natijahnya adalah untuk memandaikan. Itulah gagasan sebuah bangsa. Juga gagasan sebuah negara. Anak-anak bukan sahaja tahu tulis dan baca (meminjam kata-kata Usman Awang). Mereka diajar berfikir. Mereka dilatih untuk kreatif. Mereka dididik supaya menggunakan akal budinya untuk menimbang yang baik. Menatang yang memberi keindahan hidup di dunia dan di akhirat. Melepaskan dari sesak bernafas kerana kurang fikir. Melepaskan dari kedaifan hanya berserah tanpa menemui jalan usaha. Dari rumah hingga tadika hingga sekolah kebangsaan hingga ke sekolah menengah hingga ke IPT anak-anak dibesarkan supaya boleh berfikir. Boleh bertindak dan boleh memilih kebaikan dan meninggalkan keburukan. Pendidikan setinggi mana sekalipun mendidik supaya anak-anak akhirnya bijak berfikir. Bijak menyelesaikan masalah. Membuat keputusan yang win-win. Menang-menang. Semua orang mendapat manfaat.  Bukan untuk kepentingan diri sendiri semata-mata. Maslahah umum lebih diutamakan di samping mendapat manfaat diri.

Benarkah anak-anak kita telah berjaya menambah akal dan fikir mereka? Kita perlukan data. Perlukan bukti. Perlukan kepastian. Pengamatan kita tidak menunjukkan bahawa anak-anak kita terkawal kejayaannya. Tidak terdapat keseragaman. Tidak merata dan tidak menyeluruh. Kejayaan masih menjadi kes-kes terpencil. Mencipta kejayaan akademik. Kejayaan ekonomi. Kejayaan teknologi atau kejayaan dalam bidang profesional. Mereka tidak dominan. Tidak menguasai keadaan. Tidak menjadikan keadaan kondusif untuk melestarikan kejayaan-kejayaan lain yang lebih besar dan signifikan. Krisis akhlak berterusan merisaukan hati. Masalah sosial semakin bobrok. Kejelekan semakin menjadi-jadi. Anak-anak lepasan sistem pendidikan kita ini tidak dilihat hebat cara berfikirnya. Tidak hebat jalan berfikirnya. Tidak nampak menonjolnya dalam bidang-bidang harapan negara. Kelemahan berfikir semakin menjadi-jadi sehingga unjurannya menakutkan. Yang memegang teraju kepimpinan kadang-kadang dilihat sangat lemah cara berfikirnya. Yang keluar hanya lontaran kata-kata tanpa makna yang tidak pula menjangkau jauh impaknya. Pemimpin peringkat tinggi dan pelajar sekolah menengah tidak banyak bezanya cara mereka berfikir.

Meminjam kata-kata:
20.2.2015  Rawajati, Indonesia
 · 
PROFIL NEGARAKU

Nama negaraku Malaysia.
Rakyatnya pelbagai kaum yang dahulunya kerjasama antara kaum kukuh, tetapi sekarang semakin rapuh.

Dahulunya tugas pendakwa selesai sesudah mahkamah membuat keputusan, tetapi sekarang terpaksa buat roadshow untuk menjelaskan asas hukuman yang dikenakan ke atas orang yang dituduh.

Dahulunya ekonomi negara menjanjikan harapan, sekarang semakin menakutkan.
Dahulunya pemimpin menunjukkan wawasan, sekarang semakin membosankan.
Aduh, berat jika berterusan begini negara kesayanganku.

Mungkin kita ketandusan berfikir pada aras tinggi. Memanfaatkan kebaikan yang selalu tersedia. Bukankah banyak IPT. Tetapi malangnya Professor dikatakan sama dengan kangkung. Nilainya terlalu murah. Bukan orang kampung yang berkata demikian. Ianya tumpah dari hati seorang yang pernah pegang tampuk negara. Memedihkan dada dan hati. Apabila mereka yang dianggap berfikiran aras tinggi tidak lagi dipandang tinggi maka rakyat menjadi angguk memanjang. Kekal dengan sejarah silamnya. Kekal seperti yang dikatakan oleh Abdullah Munsyi. Begitulah label Inggeris yang menghina orang kita. Sampai bila tuan yang melatah tanpa ada wawasan panjang yang menjangkau zaman. Kita terus-terusan tertinggal di belakang. Kita jadi orang-orang yang mengejar tetapi tidak tahu dengan pasti apa yang dikejar. Berada di belakang selesa mengikut apa yang orang buat. Orang tunjuk. Orang arah. Mata seperti tertutup hingga tidak lagi dapat membeza antara hitam dan putih. Kelabu bukan lagi suatu warna untuk dipilih. Yang dilihat hitam belaka. Kambing tidak lagi hitam tetapi kesemuanya pekat tidak dapat dibeza.

Kita selalu membuang cahaya. Mereka yang membawa cahaya selalunya dibuang. Dinyahkan dari berada bersama kita. Bicara mereka yang menjadi waris anbia tidak didengar. Malah dicerca semaunya. Dicaci sekehendak hati. Walaupun mati mereka menampakkan kelainan dari biasa, segalanya seperti tidak lagi dapat dilihat. Hitam sudah menguasai suasana. Apabila segalanya gelap gelita, maka pilihannya adalah kesukaran. Sukar mencari kambing hitam kerana kesemuanya kelihatan hitam-hitam belaka. Yang putih sudah hilang berzaman. Jika muncul yang putih sudah tidak dikenal lagi keputihan itu. Atau mungkin tidak applicable lagi kerana sudah dianggap di luar waktunya. Menjadikan sesuatu yang menakutkan bahawa beginilah merosotnya nilai pada akhir zaman.

Orang Melayu bukan sebarang kaum. Sejarah mereka penuh dengan kepahlawanan. Keterbilangan mereka menjejak bukit-bukau dan gunung-ganang. Melayari lautan luas hingga ke seluruh pelosok alam. Mereka ada di Afrika Selatan. Ada di Madagaskar. Ada di Sri Lanka. Buku Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah mencatatkan adanya orang Melayu yang menjejak negara Cina. Sampai ke Rom. Berniaga ke India. Setelah menerima Islam, ramai orang Melayu berada di tanah Arab. Jati diri orang Melayu bukan kepalang. Sudah ke angkasa. Sudah ke Kutub Utara dan Kutub Selatan. Sudah ke puncak Gunung Everest. Menjadi penasihat di banyak negara. Tentera kita pula gemilang di perantauan. Ada di Palestin. Di Bosnia. Di Congo. Di Namibia. Di Somalia. Black Hawk Down adalah kisah indah gemilangnya tentera Malaysia di Somalia menyelamatkan tentera Amerika yang dikepung pemberontak. Suatu lagenda zaman. Tentera Amerika Syarikat yang gagahnya diRambokan tetapi realitinya bukan segagah tubuh pejal mereka. Kecanggihan teknologi dan pendidikan bukan segala-galanya apabila berhadapan dengan realiti.

Orang Melayu tinggi maruahnya. Tidak boleh disentuh kepalanya. Atau rambutnya. Itu maruahnya. Hanya pada waktu tertentu sahaja dia menyerahkan batu jemalanya. Bukan kepada sebarangan orang atau individu. Bagaimanakah anak-anak muda kita terlalu lemah cara berfikirnya. Tidak dapat membezakan antara maruah dan cemar. Harga diri dan kemusnahan akhlak. Jatidirinya yang terbuang hilang mengejar bayang indah yang sebenarnya bukan realiti. Terlalu kerap anak-anak muda tersalah langkah. Mengejar sesuatu yang akhirnya bertukar mengejar dirinya selama-lamanya. Bayang-bayang hitam menjelma sehingga seluruh keluarganya terlibat sama. Melakukan yang mencemarkan diri akhirnya. Sesuatu yang pada zahirnya tiada apa-apa akhirnya menjadi igauan seumur hidup. Peribadi dan maruahnya dihitamkan kerana kurangnya akal berfikir aras tinggi. Tidak melihat di sebalik kata-kata janji manis. Tidak melihat di sebalik tulisan kecil yang memerangkap. Malang apabila membela nama tetapi yang terlihat cemarnya sepanjang usia hidupnya. Tercatat dalam sejarah yang entah-entah.


Kata orang, kucing memiliki sembilan nyawa. Manusia kekal memiliki satu nyawa. Satu nyawa itu boleh musnah kerana redha dengan pencerobohan ke atas dirinya. Sembilan pencerobohan adalah luar biasa. Bagaimana negara boleh berharap dengan pemuda seperti ini. Musnah segala harapan yang ada. Andainya anak-anak muda yang tarafnya seperti ini berada di IPT apa akan jadi masa hadapan negara. sekiranya maruah diri tidak dapat dipertahankan bagaimana pula untuk mempertahankan agama dan negara. Keluarbiasaan berfikir aras rendah ini membingungkan kita semua. Mereka inikah yang akan menjaga negara apabila kita yang berusia ini tiada nanti. Derita yang semakin parah. Kemusnahan yang menghancurkan. Aduhai! Kepada siapa lagi kita berharap kecuali kepada Allah Yang Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment