Saturday, February 28, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Penasihat Pelajar


Dalam mana-mana organisasi seperti persatuan dan kelab, penasihat yang dilantik oleh ahli-ahli adalah mereka yang berkaitan dengan:

1                    Keluarga DiRaja.
      2                    Mereka yang telah bersara yang dahulunya berpangkat tinggi.
      3                    Mereka yang berpengaruh seperti pemimpin politik.
      4                    Orang besar tempatan.


Peranan mereka terhad tetapi penting. Umpamanya nama penasihat memberi impak dalam aktiviti organisasi. Begitu juga apabila organisasi ingin mencari penaja akan aktivi-aktivitinya atau mencari tajaan-tajaan lain. Sebab itu organisasi yang besar lazimnya bersandarkan nama-nama besar dalam negara. Organisasi itu boleh mencipta nama dan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana adanya penglibatan penasihat yang namanya terkenal. Bukan untuk mengeksploitasi nama mereka tetapi menjadi penjana kepada keterlibatan orang awam ke arah meminati aktiviti organisasi tersebut. Begitulah organisasi sukan umpamanya diterajui oleh mereka yang memiliki nama besar.


Dalam aktiviti pelajar pula penasihat mereka adalah pegawai yang terlibat langsung dengan oragnisasi itu. Di universiti umpamanya penasihat aktiviti pelajar adalah di kalangan pensyarah atau pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar. Mereka dekat dengan pelajar dan memahami keperluan pelajar berdasarkan statut (undang-undang dan peraturan) yang ada. Tidak mungkin penasihat aktiviti mereka adalah orang dari luar kampus. Banyak masalah undang-undang dan protokol yang terlibat. Lagipun aktiviti pelajar bukan terlalu nasional atau internasional. Sebesar mana sekalipun aktiviti mereka, cukup dinasihati oleh pegawai universiti. Universiti ada statutnya yang tersendiri. Aktiviti pelajar pula tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akta Institusi–Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) dikenali sebagai Akta 174.

Di luar negara umpamanya, senarionya berbeza. Semua pelajar Malaysia yang berada di luar negara tertakluk kepada Malaysian Students Department (MSD). Atau Jabatan Penuntut Malaysia. Dahulunya jabatan ini diketuai oleh seorang Pengarah tetapi sekarang ada yang diketuai oleh seorang yang berjawatan Menteri Penasihat Pendidikan. Penjawatnya kekal seorang pendidik sama ada dari universiti atau mereka yang berada di Kementerian Pelajaran Malaysia. Ianya berdasarkan kepada dasar kerajaan mengenai pelajar Malaysia di luar negara. Semua aktiviti pelajar di luar negara dipantau oleh jabatan ini. Jika di Mesir dikenali sebagai Education Malaysia Egypt (EME).


Pelajar-pelajar yang ditaja oleh mana-mana agensi dari Malaysia dikawal ketat oleh jabatan seperti EME. Walaupun pegawai-pegawai khusus dari agensi yang memberi tajaan wujud di negara yang berkenaan, Menteri Panasihat mendapatkan maklumbalas dari pegawai-pegawai yang berkenaan. Mereka pula dikenali sebagai atase pelajaran agensi berkenaan atau atase pelajaran dari negeri-negeri yang berada di sini. Malaysia adalah unik dalam hal ini. Setiap negeri di Malaysia memiliki rumah negeri yang menjadi asrama kepada pelajar yang layak khususnya pelajar baru. Mereka transit dahulu di asrama-asrama tersebut untuk mempelajari selok-belok persekitaran mereka. Belajar dari abang dan kakak yang sudah menimba pengalaman sebelum mereka.


Di asrama-asrama berkenaan pelajar-pelajar berorganisasi untuk membina kemahiran memimpin. Menjalankan aktiviti bermanfaat kepada ahli dan diri mereka sendiri. Sebahagiannya memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia yang berada di Mesir atau masyarakat setempat. Dalam menjalankan aktiviti pelajar maka mereka perlukan nasihat. Perlukan tunjuk ajar. Perlukan mereka yang maklum banyak perkara. Apabila aktiviti dijalankan maka akan terlibat:


1                    Jawatankuasa pelaksana.
      2                    Logistik.
     3                    Bajet.
      4                    Urusetia.
      5                    Petugas.
      6                    Jadual dalam bentuk Gantt Chart (menunjukkan unjuran aktiviti secara     berperingkat), PERT (Programme Evaluation and Review Technique), CPM (Critical Path Method), decision tree, mind mapping (peta minda), carta alir dan sebagainya.
      7                    Komunikasi kepada perasmi, AJK, urusetia, pegawai atase, EME, kedutaan, pihak berkuasa setempat seperti polis dan sebagainya.


Dalam hal ini penasihat yang paling layak ialah atase di rumah negeri masing-masing.


      1                    Mereka pegawai bertugas di bawah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung.
      2                    Mereka memiliki autoriti iaitu diberi kuasa untuk menjalankan tugas membantu pelajar.
      3                    Pegawai itu dilantik khas untuk membantu pelajar.
      4                    Tugasnya untuk pelajar. Tanpa pelajar atase itu tidak diwujudkan tetapi tanpa atase, pelajar tiada tempat untuk mengadu nasib. EME menjaga pelajar-pelajar lain. Bukan yang di bawah tajaan negeri atau yang hanya mendapat bantuan zakat dari negeri masing-masing.


Oleh yang demikian tidak wajar pelajar mendapatkan nasihat rasmi dari mereka yang bukan pegawai sama ada bukan atase negeri atau bukan dari pegawai EME. Nasihat tidak rasmi mungkin boleh dilakukan tetapi sewajarnya tidak bercanggah dengan peraturan dan dasar negeri yang ada atau dasar EME. Tidak pula ada mana-mana orang lain yang boleh bertindak secara kapasitinya sebagai penasihat pelajar tanpa lantikan sah atau ada hitam putih dari kerajaan negeri atau oleh agensi yang memberi tajaan kepada pelajar. Dikhuatiri berlaku pertembungan kepentingan. Conflict of interest. Organisasi pelajar tentu maklum mengenai aktiviti yang boleh dan tidak boleh.


      1                    Jadualkan aktiviti untuk jangkamasa setahun. Jika boleh rangkakan aktiviti dua tahun lebih awal supaya bajetnya boleh dipohon dua tahun lebih awal. Paling kurang setahun lebih awal. 

      2                    Libatkan pelajar baru setiap kali aktiviti hendak dijalankan. AJK induk sewajarnya memantau dan memberi latihan.

      3                    Sewaktu merancang aktiviti jangan fikirkan diri sendiri tetapi ahli-ahli yang lain. Perancangnya mungkin sudah tamat belajar. Mungkin sudah kembali ke tanahair. Aktivitinya dilaksanakan oleh pelajar lain.

      4                    Elakkan self-interest ataupun selfish dalam merancang aktiviti.  Yang penting ialah latihan kepimpinan.

Ada sesuatu yang pelajar perlu peka. Protokol. Bukan protokol majlis tetapi protokol pentadbiran. Dalam menjalankan aktiviti di rumah negeri umpamanya setiap aktiviti yang melibatkan orang luar wajib melalui atase negeri. Surat menyurat hendaklah secara rasmi untuk rekod, rujukan dan audit. Surat jemputan untuk pencermah, fasilitator atau atau untuk apa sahaja urusan hendaklah melalui atase negeri sebagai pihak yang berkuasa menjaga kepentingan negeri. Sebagai wakil kerajaan negeri. Dia perlu tahu supaya dia boleh menjawab sekiranya datang pertanyaan dari Menteri Besar umpamanya. Dari kerajaan Melaysia umpamanya. Mengenai hal-hal keselamatan, perisikan dan risiko lain.

Setiap aktiviti yang hendak dijalankan, kertaskerjanya hendaklah disediakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum dijalankan. Pegawai diberi masa untuk membuat semakan kewangan, membuat baucer, menyiapkan cek dan menghantar permohonan ke kedutaan. Penulis ulangi, bajetnya dipohon di kedutaan. Tidak ada atase negeri yang memegang wang yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri sekalipun. Kesemuanya diletakkan di bawah kawalan kedutaan di bawah kepala-kepala yang berkaitan (senarai negeri-negeri) masing-masing.

     1                    Bajet tidak boleh dipohon dalam seminggu atau dua minggu. Apatah lagi dalam dua atau tiga hari. Bajet itu bukan dalam poket pegawai dan bukan dalam peti besi di pejabat pegawai. Kerajaan Malaysia dan negeri tidak membenarkan begitu. Menyalahi peraturan dan berisiko tinggi.

     2                    Aktiviti yang tidak dibajetkan tidak boleh dipohon kecuali terdapat lebihan bajet untuk pelajar. Sebab itu bajet dipohon lebih awal dua tahun atau setahun untuk mempastikan bajet yang diluluskan sahaja aktivitinya dapat dijalankan. Bajet tambahan tidak mungkin diperolehi kerana bajet kerajaan diluluskan pada tahun sebelumnya. Bajet untuk tahun 2015 dibentang dan diluluskan pada tahun 2014. Untuk tahun 2016 bajetnya dibentang dan diluluskan pada tahun 2015.

      3                    Pelajar tidak boleh terkeliru dengan nasihat yang tidak wajar. Sebagai organisasi pelajar, buat kertaskerja seberapa awal dan seberapa banyak yang boleh. Mana-mana yang diluluskan itulah aktiviti yang boleh dijalankan. Yang tidak diluluskan tidak boleh dijalankan kerana bajetnya tidak ada. Sebagai ingatan, yang meluluskan ialah Perbendaharaan Malaysia di bawah Kememterian Kewangan Malaysia atau perbendaharaan kerajaan negeri masing-masing. Bukan pegawai atase yang meluluskan bajet. Dia hanya mengagihkan bajet seperti yang dipohon oleh pelajar.

      4                    Jangan juga keliru. Bahawa bajet kerajaan melibatkan gaji dan elaun pegawai, bayaran elektrik, air, telefon, pembelian alat tulis pejabat, penyenggaraan bangunan dan peralatan, keceriaan, keraian (meraikan delegasi yang datang umpamanya). Setiap bajet tidak boleh digunakan secara bersilang. Dilarang sama sekali. Umpamanya bajet untuk aktiviti pelajar telah habis. Pelajar memaksa juga hendak membuat aktiviti lain. Dalam hal ini jawapannya memang tiada bajet. Jika bajet untuk peruntukan lain dialihkan untuk kegunaan pelajar maka pegawai yang akan menerima teguran yang membawa dia akan dipanggil balik ke Malaysia, diturunkan pangkat, atau dikenakan tindakan disiplin yang lain. Pegawai bertindak sebagai pegawai mengikut bidangkuasa yang diberikan kepadanya. Pelajar tidak akan dikenakan disiplin seperti pegawai kerana pelajar tidak bekerja dengan kerajaan.


Nota:

Pengalaman penulis adalah sebagai Pegawai Hal Ehwal Pelajar Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) dan Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) sebelum menjadi Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUITTHO) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Sebahagian dari peraturan yang penulis draf semasa bertugas dari tahun akhir tahun 1994 hingga akhir tahun 1999 masih ada yang terpakai hingga sekarang.  Kebetulan baru-baru ini Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan undang-undang syariah iaitu melarang mereka yang bukan mahram berboncengan dengan motorsikal. Peraturan serupa penulis laksanakan pada tahun 1995 dan masih terpakai hingga sekarang. Hatta pelajar bukan Islam sekalipun jika mereka berbonceng sedangkan mereka tidak ada hubungan suami-isteri atau adik-beradik, pembonceng akan turun di hadapan get UTHM dan berjalan kaki ke dalam kampus. Sudah 20 tahun mendahului rupanya. Allahuakbar.

Friday, February 27, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Benarkah Begitu Melayunya?



Orang Melayu sebelum datangnya penjajah adalah bangsa yang sibuk merantau. Berniaga. Berkelana kerana mencari ilmu. Menjelajah negara orang lain. Jalan perhubungan yang kita baca dari cerita-cerita penglipurlara ialah denai dan jalan, bukit dan bukau, gunung dan ganang, lurah dan gaung, sungai dan laut. Barangkali kehebatan orang Melayu adalah luasnya pengalaman mereka menggunakan kapal. Sementelahan pula nusantara ini dikelilingi dengan laut dan selat. Begitulah orang dahulu berpindah randah dari satu daerah ke daerah yang lain. Dari satu pulau ke pulau yang lain. Mereka yang dari Kalimantan ke Pulau Jawa atau Tanah Melayu atau Sumatera dan begitulah perpindahan antara tempat-tempat tersebut tanpa had dan halangan. Sesungguhnya nusantara ini adalah tanah orang Melayu yang berbagai-bagai keturunan. Sesuatu keturunan mungkin eksklusif di sesuatu kawasan. Itu sahaja.

Penjajah bertapak dengan membahagi-bahagikan nusantara kepada milikan mereka. Mulalah perpindahan menjadi terbatas. Sejarah ditulis semula bahawa sesuatu kaum dianggap asli di sesuatu kawasan dan tidak di kawasan yang lain. Pada hakikatnya tidak begitu. Walaupun orang Jawa berasal dari Pulau Jawa, mereka berada di Kalimantan, Tanah Melayu dan Sumatera. Orang Banjar dari Kalimantan Timur berada di Tanah Melayu, Sumatera dan Pulau Jawa. Orang Bugis berada juga di mana-mana. Begitu juga orang Minangkabau, Aceh dan Mandailing. Begitu juga yang lain-lain. Tidak benar mengatakan bahawa Tanah Melayu pada waktu dahulu adalah tanah semenanjung yang kosong tanpa penghuni. Lalu mereka datang mendudukinya dengan berpindah dari kawasan lain di nusantara. Pola perpindahan orang nusantara bukan terpencil. Tanah Melayu memang sudah didiami berbagai etnik Melayu berabad-abad lamanya. Penemuan dan kajian baru menunjukkan bahawa Tanah Melayu adalah antara kawasan yang melampaui zaman prasejarah.

Dari nusantara inilah manusia berpecah dan berpindah randah mendiami kawasan lain yang beretnik Melayu. Lihat orang Melayu di Surinam (Amerika Selatan) yang dibawa oleh penjajah Belanda. Orang Melayu di Afrika Selatan yang juga dibawa oleh penjajah Belanda. Orang Melayu di Sri Lanka dan Madagaskar kerana pelayaran dan perpindahan. Di pulau-pulau di Lautan Hindi ramai antara mereka berketurunan Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa lingua-franca di kawasan ini. Sekarang ini Bahasa Melayu dipelajari di negara-negara besar seperti Russia, Cina, Belanda, Britain, Amerika Syarikat, Australia, Turki, negara-negara Arab dan banyak negara lain. Tontonlah program pidato antarabangsa. Ramai pesertanya dari banyak negara. Kita sendiri menjadi keliru apabila warganegara kita sendiri tidak mahir berbahasa Melayu. Tidak fasih seolah-olah mengabaikan bahasa negara sendiri.

Selepas datangnya penjajah, penjajahan menjadi terlalu total. Dari ekonomi hingga ke sanubari. Pandainya Inggeris dengan mengasingkan adat dan agama. Mereka tidak mengganggu adat dan agama kerana orang Melayu hingga sekarang sangat sensitif mengenainya. Jangan usik adat dan agama. Mereka sanggup berperang kerananya. Tetapi tanpa sedar penjajahan dalam aspek-aspek yang lain turut akhirnya menjajah adat dan agama. Kita kehilangan kekuatan ekonomi, pendidikan, profesionalism, sains dan teknologi, sistem kewangan dan penguasan akal pemikiran. British dengan psikologi mereka melemahkan orang Melayu dari segenap penjuru. Kita hanya melihat dasar pecah dan perintah dari segi politik. Kita lupa kita terpencar dari aspek yang lain. Kita hilang banyak segala-galanya. Apabila kita semakin miskin kita semakin mundur dari segi berfikir. Mundur dari segi keupayaan menyaingi kemajuan dan perkembangan dunia lainnya.

Kita melalui vicious circle (kitaran ganas) yang semakin mengganas. Keciciran dan ketertinggalan kita dalam banyak bidang semakin merumitkan. Advantage (kelebihan) kita dari segi politik tidak membawa orang Melayu ke puncak jaya. Kita dilekakan dengan hedonism. Dengan adat yang dibiarkan oleh British. Mereka telah lama melihat bahawa adat kita akhirnya membawa kita ke arah kemelesetan dalam serba hal. Kita leka berpesta. Kita leka bermajlis-majlisan. Makan-makan yang terlalu banyak. Terlalu besar ongkos dan lama masanya. Pernah dengar komen berikut dari seorang bukan Islam:
Bagaimana orang Melayu hendak maju jika banyak masa mereka dihabiskan kerana majlis-majlisan setiap hari. Kenduri hampir setiap hari. Hujung minggu bukan hari untuk keluarga tetapi hari untuk orang lain. Majlis kenduri yang sangat banyak hingga tidak terdaya untuk hadir semua.

Mungkin kita perlu menilai semula kegilaan kita terhadap mengekalkan adat. Kita terlupa bahawa hidup kita kebanyakannya makan gaji. Bekerja dengan orang lain yang menguasai ekonomi. Bukan orang Melayu tidak pandai. Bukan tiada bestarinya. Minda kita telah menjadi terlalu lemah untuk berfikir. Sekarang ini seolah-olahnya kita baru belajar untuk beriaga. Kerana itu perlu pula berhempas pulas kerana ranjaunya sudah semakin banyak. Makan gaji sewajarnya menjadi pilihan terakhir. Mereka yang kaya jangan hanya atas nama saham dan mematikan diri begitu sahaja. Buatlah entiti perniagaan. Beri peluang kepada anak bangsa untuk membantu menjayakannya. Menimba pengalaman untuk disebarluaskan kemahiran berniaga dan menjadi usahawan. Selagi namanya Melayu dan beragama Islam diskriminasi senyap berlaku. Anak-anak kita juga tidak membina aptitude (kecenderungan) ke arah kemajuan diri dan kemajuan bangsanya.

Apabila kita memerhati sekeliling kita masih melihat lemahnya paradigma kita orang Melayu. Ramai yang berfikir untuk suka kekal dulu, kini dan selamanya. Tidak mengapa jika yang dikekalkan itu iman dan amal soleh. Bukan adat yang bukan-bukan. Yang tidak produktif. Hanya merugikan diri dan bangsa sendiri. Malas berfikir dan malas aktif antara yang merosakkan daya maju diri kita. Anak-anak kita berada di pelosok dunia. Tidak kira di Barat atau di Timur. Di USA ramai anak Malaysia hingga berbelas ribu. Di Mesir juga berbelas ribu. Di Britain, Australia, Canada dan New Zealand lagilah beribu-ribu ramainya. Itu belum di Russia, Ukraine, Italy, Perancis, Germany, Holand, Netherland, Poland, Turki, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, India, Indonesia, Sepanyol, Ireland dan negara-negara Arab.

Adakah kita tidak sampai di Timur dan terkandas di Barat. Banyak kelebihan di Timur dan Barat. Kerajinan orang Timur dan orang Barat. Kebersihan dan ketelitian orang Barat tidak teramal di negara kita. Turki yang beberapa tahun ini dipegang oleh Erdogan membangun sangat pesatnya. Dari negara yang dianggap kotor menjadi negara bersih seperti negara Eropah yang lain. Dari negara yang dianggap terbeban dengan hutang sekarang menjadi negara yang boleh membantu negara lain. Kebetulan ia adalah anggota negara NATO. Begitu juga kehebatan orang Korea Selatan memulihkan diri dari kemelesetan ekonomi sangat mengkagumkan. Teknologi mereka seolah-olah sudah berada di mana-mana. Bersama dengan  Jepun teknologi Korea Selatan menguasai pasaran barang-barang elektronik di seluruh dunia. Kerajinan orang Jepun hanya kita jadikan teori. Tidak diserap dan dijadikan budaya. Budaya Islam pula sudah lama kita tinggalkan. Bangsa lain yang mengamalkannya. Bukan kita penganutnya. Malang sungguh lebai yang malang. Ke Timur tidak. Ke Baratpun tidak. Kita kekal dengan menjulang adat beradat sahaja. Sukar untuk berubah.


Amal yang menipis menjadikan kita benipis-nipis dengan akal yang ada. Amal kebaikan sangat terhad kepada kita. Walaupun jauhari mengenal manikam tetapi kita tidak suka menjadi jauhari. Tidak mahu menjadi arif. Takut menjadi bestari. Ke mana anak-anak kita hendak pergi. Kerosakan menular di mana-mana. Pendidikan sudah tidak lagi menjamin keutuhan akhlak mereka. Gangguan dan gejala sosial merebak meruntuhkan segala tembok yang kita usahabina. Kembalilah kepada agama kerana agama membawa kita kepada jalan kejayaan. Solat jangan tidak solat. Jaga tiang agama ini. Akan terjagalah bahaian-bahagian yang lain. Jagi hati dari menjadi hitam. Jaga minat untuk cintakan Allah dan cintakan RasulNya. Insyaallah selamat dunia dan akhirat.

Bingkisan Dari Kaherah: Hormat Siapa Hormat



Siapakah yang perlu dihormati? Hormat atau rasa hormat? Datang sendiri hormat itu atau diperintahkan begitu? Terlalu ramai orang yang menuntut hormat. Hormat itu apa sebenarnya? Suka-suka? Ugutan? Atau apa sahaja yang dituntut untuk dilakukan walaupun tidak disukai. Hormat yang paling baik ialah hormat yang tiada timbal balas manfaatnya. No reciprocal gain. Diberikan kerana kita yakin itu hak orang yang menerimanya. Keistimewaan yang teristimewa. Hormat datang dari hati yang ikhlas. Dari dalam. Dari dalam sanubari. Dari lubuk hati yang bersih. Dia tidak dipaksa. Tidak diminta. Tidak ada arahan itu dan ini. Hormat itu diberikan kerana rasa hormat. Memberi penghormatan. Kenapa?

1                    Mereka lebih tinggi pangkatnya.
2                    Mereka lebih tinggi kedudukannya.
3                    Mereka lebih dewasa.
4                    Mereka lebih berwibawa (authority).
5                    Mereka diberi tanggungjawab.
6                    Mereka lebih berpengalaman.
7                    Mereka diberi kuasa.
8                    Mereka lebih mengetahui.
9                    Mereka diletakkan di situ sebagai yang berhak menjalankan tugas.

Lazimnya, biasanya, selalunya, sewajarnya mereka dalam senarai di atas dihormati kerana aras mereka lebih tinggi. Cuba teliti berbagai situasi berikut:

Situasai 1:
Anak: Jika ayah tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan ayah.
Ayah: Siapakah yang memberi makan keluarga ini?
Anak: Ayah.
Ayah: Then who the hell you think you are!

Situasi 2:
Pelajar: Jika cikgu tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan cikgu.
Cikgu: Di sekolah ini saya mengajar kamu atau kamu mengajar saya?
Pelajar: Cikgu mengajar kami.
Cikgu: Then who the hell you think you are!

Situasi 3:
Mahasiswa: Jika Prof. tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan Prof.
Prof: Kamu mahasiswa atau saya mahasiswa?
Mahasiswa: Saya mahasiswa Prof.
Prof: Then who the hell you think you are!

Situasi 4: Di luar negara:
Pelajar: Jika ustaz tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan ustaz.
Pegawai: Saya pegawai atau kamu yang jadi pegawai?
Pelajar: Ustazlah pegawai.
Pegawai: Then who the hell you think you are!

Ayah, guru, profesor dan pegawai sentiasa dan selamanya lebih tinggi kedudukannya berbanding anak, pelajar dan mahasiswa. Mereka lebih dewasa. Mereka lebih banyak dari segi pengalaman. Mungkijn lebih tinggi kelayakan akademik atau skillnya. Siapapun mereka, hormatilah mereka kerana kedudukan itu. Perhatikan senarai berikut:

1                    Allah
2                    Rasulallah
3                    Ibu-bapa
4                    Guru

Ibu-bapa sangat perlu dihormati. Tanpa penghormatan hilang hubungan hakiki antara mereka. Jika kita perluaskan kefahaman kita, bahawa ibu-bapa mencakup juga semua orang tua sebaya ibu-bapa kita. Mereka adalah guru, ustaz dan ustazah, jiran atau ahli kariah yang lain. Semua orang tua berada dalam taraf yang sama dengan ibu dan bapa seseorang. Penulis sengaja menggunakan Bahasa Inggeris untuk memberikan impak ketidak wajaran seseorang anak, pelajar dan mahasiswa menuntut dirinya dihormati oleh orang-orang yang berwibawa dengan peranan masing-masing. Ibu-bapa dihormati kerana warisan. Diperintahkan oleh Allah. Guru dihormati kerana mereka adalah orang dewasa yang mengajar, mendidik, mengkaunsel, membimbing, menunjukkan yang benar dan membawa pelajar ke arah kebaikan. Profesor dihormati kerana kepakarannya. Dia juga pendidik yang sudah teruji dari segi ilmunya. Seorang pegawai dihormat kerana dia diberi kewibawaan oleh kerajaan melalui undang-undang yang berkaitan dengan perjawatan dalam sektor kerajaan.

Who the hell you think you are? adalah bahasa orang putih yang diungkapkan ketika marah atau ketika ketidak wajaran berlaku dalam sesuatu situasi. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ia menjadi, kamu ingat kamu siapa? Dalam bahasa Melayu maksudnya tidak seperti yang dalam bahasa Inggeris. Tidak kelihatan seriusnya situasi itu. Mungkin bahasa Melayu kaya dengan kias, tamthil dan ibarat. Bahasa yang lembut dan halus selalunya lebih tajam dari mata pedang. Menusuk dan membelah hati nurani. Terasa pedih dan parahnya. Menjadikan  kita terkesima. Menderita aib diri yang tidak terhingga. Ada orang dewasa bahasanya lembut tetapi memukul mati mereka yang terkena.

Seorang anak akan selamanya menjadi anak. Hingga tua sekalipun ia tetap anak kepada ibu dan bapanya yang masih hidup atau yang telah mati. Tiada hak langsung baginya berlagak meminta dirinya dihormati oleh ibu dan bapanya. Malah untuk meninggikan sedikit suaranya sudah dikira derhaka. Mereka dituntut untuk berkhidmat kepada keduanya dalam keadaan apa selakipun. Mungkin sakitnya. Mungkin ketidakupayaannya. Mungkin karenahnya. Mungkin kepayahan-kepayahan lain yang melingkari kehidupan mereka yang sudah tua. Sesungguhnya berbakti kepada orang tua diberi ganjaran pahala yang banyak sekiranya dilakukan dengan ikhlas. Dilakukan kerana tuntutan tanggungjawab.

Seorang pelajar atau mahasiswa adalah selamanya pelajar sehinggalah ia lulus dan diisytiharkan menjadi graduan. Selagi ia menjadi pelajar sama ada kursus sijil, diploma, ijazah serjana muda, sarjana dan malah peringkat kedoktoran sekalipun dirinya tetap seorang pelajar dari segi:

1        Kedudukan
2        Taraf
3        Undang-undang.

Maka dirinya terikat dengan undang-undang yang ada.  Ia tidak boleh melanggar mana-mana peruntukan undang-undang atau peraturan yang dikuatkuasakan ke atasnya. Dia wajib patuh dengan ketentuan itu.  Jika tidak, dia boleh tersingkir dari institusi pendidikan itu. Perkataannya, tingkahlakunya, tindak tanduknya perlu mematuhi peraturan yang ada. Pelajar atau mahasiswa tidak diberi hak untuk mencemarkan nama baik institusi atau nama baik mana-mana pegawai institusi (walaupun individu itu seorang pengawal keselamatan atau pencuci atau tukang sapu) atau nama baik mana-mana pelajar lain institusi itu atau melanggar undang-undang negara sama ada di dalam kampus atau di luar kampus. Sebagai pelajar ia hanya diberi hak untuk bersuara sama ada secara individu atau berkumpulan mengikut peruntukan undang-undang (Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU) di Malaysia. Itupun terhad kepada hal-hal yang berkaitan dengan akademiknya dan kebajikan kehidupannya semasa menjadi pelajar atau mahasiswa.

Adakah anda seorang pelajar? Jika jawapannya ia maka anda perlu berfikir panjang dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar.

1                    Anda akan dewasa untuk memikul tanggungjawab yang selama ini anda cemuh. Menjadi ibu atau bapa. Menjadi pegawai. Menjadi pendidik. Menjadi profesional yang lain.
2                    Mencari peluang kerjaya, membinanya dan menjawat jawatan-jawatan tinggi. Andainya semasa menjadi pelajar anda tidak memiliki kualiti yang diperlukan maka selamanya anda akan hanya menjawat jawatan yang tidak sesuai dengan kelayakan akademik anda. Tetapi sebaliknya sesuai dengan sifat dan sikap yang anda bina semasa menjadi pelajar atau mahasiswa dahulu.


Dunia realiti yang sebenar tidak seperti idealisma yang anda tuntut semasa menjadi pelajar. Anda boleh menuntut sebuah gunung tetapi anda mungkin hanya mendapat sebuah longgokan pasir. Anda mungkin ingin terbang setinggi langit tetapi anda hanya mampu melonjak dan kemudian jatuh ke tanah semula. Anak-anak muda perlu belajar dengan sabar. Belajar dengan banyak memerhati dan mengalami sendiri susah dan payahnya mereka yang telah dewasa melaluinya dahulu. Tidak ada siapa yang terkecuali dari mengalami hal-hal yang tidak enak semasa menjadi anak muda. Pendidikan itu perlu. Praktikaliti juga perlu. Pengalaman melengkapkan seseorang untuk menjadi dewasa yang bermanfaat. Semoga anda dewasa tidak menjadi antara mereka yang bermasalah dalam banya hal. Mudah-mudahan menjadi ibu dan bapa yang baik. Menjadi warganegara yang memberi impak positif kepada negara walaupun dalam hal yang sangat kecil sekalipun. Insyaallah.

Monday, February 23, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Kekayaan Yang Luntur



Kekayaan bukan sesuatu yang mutlak. Berubah mengikut masa dan tempat. Boleh berubah mengikut keadaan. Mungkin kekal dan mungkin tidak. Boleh ditambah dengan usaha seterusnya tetapi boleh hilang atau merosot apabila pemegang amanahnya tidak menyempurnakan tanggungjawabnya secara hakiki. Harta pesaka umpamanya adalah untuk anak-anak dan keturunan mereka. Waris yang berhak. Paling mudah ialah memfaraidkannya. Ambil bahagian masing-masing. Berbelanja semahu-mahunnya. Habis dalam masa terdekat. Harta yang mudah diperolehi tidak diinsafi bahawa suatu masa dahulu harta itu sukar untuk menghimpunnya. Kadang-kadang bukan sahaja keringat yang tumpah basah tetapi mengalir darah merah kerana menuntut hak dan warisan. Mereka yang lahir sebelum merdeka mengerti sangat besarnya perngorbanan mereka yang terdahulu. Ada yang terpaksa meninggalkan kampung halaman. Ada yang disula hingga akhir hayat. Ada yang dihukum gantung sampai mati. Demi tanah pesaka.

Harta dan usia seiring. Kanak-kanak tidak menikmati harta seperti orang dewasa. Orang tua yang sudah hilang daya ingatnya juga tidak menikmati harta. Orang yang sakit apatah lagi. Begitu juga mereka yang hilang upaya berfikirnya. Tidak bermakna harta yang banyak di sekelilingnya. Hendak makan tidak boleh. Menelan makanan belum tentu berupaya. Berapakah usia yang kita mulai menikmati harta kekayaan? Sewaktu kanak-kanak ketika ibu dan bapa mereka berkemampuan. Berpangkat besar. Bergaji besar. Banyak harta. Ketika remaja jika kedua ibu dan bapa sudah memiliki kekayaan. Ada orang mulai menikmati kekayaan sewaktu usianya 45 tahun. Harta datang melimpah ruah. Anak-anak kegilaan melihat harta yang banyak. Menggunakannya tanpa istilah berhemah. Kesemuanya dilakukan semau rasa.  Lupa masa lalu yang tidak ada apa-apa. Pemilik hartanya mungkin si bapa. Atau si ibu. Berapa lama harta dapat dinikmati hingga akhir hayat. Mungkin 20 tahun. Betapa setelah si ayah meninggal, isteri dan anak-anak berebut harta. Cerita benar. Kisah benar. Ramai yang keluar masuk mahkamah kerana menuntut hak. Hak siapa? Hak anak atau hak waris. Atau hak mereka yang benar-benar berhak.

Ramai anak-anak yang menambahkan keberkatan harta peninggalan keluarga. Harta yang diwarisi barakah sifatnya. Semakin banyak dan semakin banyak. Tentulah latarbelakangnya halal. Hak yang benar-benar hak. Pesaka yang sah. Diurus dengan betul. Islamik. Beruntunglah mereka yang berharta dan banyak bahagian hartanya diinfaqkan untuk agama. Untuk Allah. Balasannya berlipatkali ganda. Labanya di akhirat. Harta tidak dibawa mati tetapi ganjaran kerana memiliki dan mempergunakannya ke jalan Allah itulah yang dibawa mati. Syaratnya kekal sama. Ianya mestilah harta yang hak. Yang halal. Yang sah. Jika tidak, petakalah yang diterima. Salah kerana tidak sah. Kerana tidak halal. Kerana bukan hak. Sebab itu memiliki harta adalah mudah jika dibelanjakan di jalan Allah. Miskin juga senang jika cukup apa yang diperlukan. Bukan perlu banyak. Tidak juga terlalu sedikit. Muasabah diri bahawa yang kita perlukan hanya sedikit. Yang selebihnya milik orang lain. Zakat kita. Sedekah kita. Derma kita. Bantuan kita. Yang ikhlas kita beri. Yang diminta. Yang diharap dari kita.

Benarlah jika kita keluar dari kerangka agama maka harta melalaikan. Kita gunakannya ke jalan yang bukan hak. Di luar sana ramai yang perlu cukup makan. Bukan perlu makanan mewah. Mungkin untuk makan sekali dalam sehari. Ramai yang perlukan pendidikan tanpa ongkos. Ramai yang perlukan bantuan kerana ketidakupayaan anggota atau sakit. Anak-anak yatim yang daif dan melarat. Mualaf yang perlukan tapak untuk mengukuhkan iman. Untuk hidup baru. Untuk menyegarkan agama. Untuk memakmurkan orang-orang di sekeliling kita. Bahagiakan sanak saudara kita. Bahagiakan jiran-jiran kita. Bahagiakan sahabat handai kita. Bahagiakan orang-orang di sekeliling kita. Kebahagiaan bukan untuk disimpan sendiri. Bukan untuk dinikmati sendiri. Ianya untuk dikongsi. Bahagia membuatkan ramai yang tersenyum di sekeliling kita. Bukan titisan airmata. Bukan rayu dan minta. Bukan muram durja menahan rasa hiba.

Andainya kita boleh berfikir sejenak. Hanya sejenak sahaja. Tidak ada orang yang bahagia tanpa membahagiakan orang-orang di sekelilingnya. Tidak ada orang yang hanya senyum sendiri. Ketawa sendiri. Seronok sendiri. Paling kurang ada seorang teman yang berkongsi semua itu. Lebih ramai lebih baik rupanya. Kerana ini kongsikan apa yang kita ada. Ada harta bayar zakat. Berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Yang daif. Yang miskin. Beri derma kerana banyak manfaat kepada mereka yang memintanya. Infaqkan harta kerana ganjarannya hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tidak ada satupun yang menjadi hak milik kita seorang secara mutlak. Kesemuanya dikongsi sesama makhluk Allah. Khususnya ahli keluarga tanggungan kita, jiran tetangga dan saudara mara.

Menimbunkan harta banyak baiknya asalkan digunakan kerana Allah. Selalu beringat. Beribadat dengan mudah. Bina masjid. Bina sekolah. Bantu mereka yang ingin melanjutkan pelajaran. Sebaliknya tiada banyak harta juga baik. Boleh membantu dengan memberi nasihat berguna. Banyak menolong orang lain. Banyakkan senyum. Banyakkan silaturahim. Dunia ini aman sebenarnya jika mengikut landasan Islam. Yang kaya harus sedar bahawa kekayaannya datang dari Allah. Kongsikan kerana Allah. Yang tidak berupaya mengumpul harta hidup secara Islam. Qanaah. Cukup pada yang ada. Berusaha bersungguh-sungguh supaya Allah memberi kelebihan. Melebihi kecukupan. Beringat pula bahawa yang kurang berkemampuan masih boleh berkongsi apa yang ada. Hendak bersedekah jangan tunggu kaya. Selok poket dan hulur apa yang termampu. Lebihan dari keperluan biasa-biasa. Lebih besar rasa kepuasannya.


Untuk yang kaya, kekayaannya akan ditinggalkan untuk difaraidkan kepada waris-warisnya. Yang tidak banyak hartanya pula faraidkan apa yang ada. Didik anak-anak untuk banyak berdoa. Bersedekah mana yang termampu. Membantu mereka yang memerlukan sama ada dengan nasihat atau tenaga atau wang ringgit walaupun tidak seberapa. Mungkin ilmu boleh membantu orang lain. Ilmu yang bermanfaat. Apa sahaja yang menjadikan orang lain lebih mengerti dari sebelumnya atau lebih mengerti dari orang lain. Carilah semua jenis kekayaan untuk ditinggalkan. Beramal untuk dibawa ke alam barzah dan ke alam akhirat. Mudah-mudahan lebih banyak yang ditinggalkan lebih banyak manfaatnya. Sebab itu pendidikan kepada anak-anak hendaklah berlandaskan Islam. Merekalah yang menentukan bahawa harta yang ditinggalkan akan dimanfaatkan. Untuk manfaat umum. Untuk menambah ganjaran dan pahala. Insyaallah.

Sunday, February 22, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Aktiviti Sosial, Menjaja Nama atau Beramal



Manusia dianggap oleh ahli sosiologi sebagai haiwan sosial. Mereka suka bekelompok bak kata pepatah Inggeris: Birds of the same feather flock together. Mereka yang memiliki aspirasi yang sama bergabung lalu membentuk kumpulan yang berbentuk parti politik atau persatuan atau pertubuhan atau kelab dan sebagainya. Akhirnya ianya dikategorikan kepada dua sahaja iaitu parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan. Non-Governmemt Organisation. (NGO ringkasnya). NGO-NGO ini bergerak mengikut objektif masing-masing. Ada yang berbentuk agama, akademik, ekonomi, sosial, sukan, rekreasi, sejarah, sastera dan seni. Dalam mana-mana organisasi ada ahli yang dominan dan ada ahli yang menumpang hanyut sahaja. Maksudnya tidak aktif langsung. Kadang-kadang ikut serta pun tidak mahu dalam mana-mana aktiviti yang disertai oleh rakan-rakan ahli yang lain. Sekiranya ahli yang doninan berintegriti tinggi maka organisasi itu berjalan di atas landasan yang mewajari objektifnya. Jika tidak organisasi bergerak membawa ahli ke arah yang divergen dari objektif asalnya. Pada akhirnya menyulitkan.

Dalam mana-mana persatuan, kelab atau pertubuhan pengerusi, setiausaha dan bendahari adalah tiga jawatan penting. Letaknya di atas. Pengerusi atau presiden atau yang dipertua sebagai nombor 1, setiausaha nombor 2 dan bendahari nombor 3. Namun begitu kesemua mereka adalah AJK organisasi. AJK biasa yang lain duduk di bawah ketiga-tiga jawatan di atas. AJK biasa tidak boleh memandai-mandai mengatasi mereka. Tidak boleh membuat keputusan yang bukan hasil mesyuarat bersama mereka. Semua AJK tidak boleh membelakangi pengerusi atau setiausaha atau bendahari. Mesyuarat yang menentukan:

1                   Aktiviti yang perlu dijalankan.
2                   Tarikh yang ditentukan.
3                   Masa yang dijadualkan.
4                   Tempat yang dipilih.
5                   AJK yang terlibat.
6                   Bajet yang diperuntukan.
7                   Sumber kewangan.

Dalam mana-mana organisasi, kewangan adalah paling kritikal. Perlu dicari sumbernya. Perlu dibajet penggunaannya. Perlu ditambah dananya. Organisasi yang bukan berbentuk mencari keuntungan hendaklah mengurangkan kos sebanyak mungkin. Pengurusan koperasi umpamanya, tiga jawatan penting iaitu pengerusi, setiausaha dan bendahari diberi elaun bulanan atau elaun menghadiri mesyuarat kerana mereka bekerja untuk menambah keuntungan koperasi itu. Dalam organisasi seperti sastera dan seni umpamanya tidak perlu menuntut elaun hadir mesyuarat atau diberi elaun kerana menghadirinya. Organisasi seperti ini sangat kekurangan dana. Ahli yang ingin aktif adalah kerana rasa tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik untuk persatuannya atau pertubuhannya atau kelabnya. Itu sahaja. Tidak ada faedah peribadi dari segi kewangan. Perlu banyak pengorbanan wang sendiri untuk memberi dan bukan meminta balasan yang tidak mampu diberi oleh orang lain.

AJK pula tidak boleh menggunakan sumber kewangan atau dana yang ada tanpa keputusan mesyuarat. Maksudnya apa-apa yang hendak dilakukan hendaklah dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat AJK.

1                   Apakah aktivitinya.
2                   Bila tarikh akan dilaksanakan.
3                   Waktunya.
4                   Bajetnya dan untuk apa.
5                   Siapa yang akan melakukannya.

Organisasi perlu menolak atau bersetuju dengan cadangan aktiviti. Tidak ada AJK yang seharusnya menyusahkan AJK lain. Andainya AJK lain menolak sesuatu gagasan idea, maka ahli yang  lain perlu patuh kepada keputusan mesyuarat. Selepas tamat mesyuarat:

1                   Semua AJK hendaklah mematuhi keputusan mesyuarat.
2                   Apa yang berlaku dalam mesyuarat tidak boleh diceritakan kepada mereka yang bukan AJK. Yang boleh diceritakan ialah keputusannya sahaja. Itupun dengan penuh berhemah supaya mereka yang bukan AJK tidak menimbulkan apa-apa masalah. Jika AJK menceritakannya di luar mesyuarat perbuatan itu dianggap khianat terhadap ahli mesyuarat yang lain.
3                   Apa-apa keputusan mesyuarat adalah keputusan mesyuarat. Bukan keputusan orang yang bersetuju sahaja. Mereka yang kalah undi atau yang cadangannya ditolak perlu juga menerima keputusan mesyuarat tersebut.
4                   Tidak boleh mengubah keputusan mesyuarat tanpa persetujuan AJK yang lain atau sebelum diadakan mesyuarat khas mengenainya.

Objektif organisasi perlu juga disertai dengan dasar atau polisi. Umpamanya:

1                     Aktiviti yang boleh dilakukan dan yang dilarang.
2                     Perbelanjaan yang boleh dilakukan dan hadnya.
3                     Siapa yang layak mewakili organisasi apabila ada jemputan dari luar.

Aktiviti menjadi nadi organisasi. Tanpa aktiviti organisasi itu mati. Jumud. Statik. Kerana itu perlu dirancang aktiviti tahunan yang dipecahkan kepada aktiviti bulanan dan mingguan. Aktiviti ikut biro-biro yang ada. Mengikut tempat dan masa yang tertentu. Kesemuanya perlu dengan restu mesyuarat AJK. Tidak diubah sehingga melibatkan tambahan kos. Berlaku pembaziran kewangan atau peralatan. Berlaku pergeseran sesama ahli. Mesyuarat menentukan siapa yang menjadi AJK pelaksana. Yang membantu. Yang sama-sama menjayakan sesuatu aktiviti. Ahli-ahli dilibatkan untuk turut sama tanpa kecuali. Dalam hal ini semua alhi dilatih supaya boleh menjalankan sesuatu aktiviti. Mengembangkan bakat masing-masing. Banyak yang perlu dilakukan untuk membantu ahli-ahli. Banyak juga sumbangan ahli yang diperlukan untuk membangunkan organisasi. Antaranya:

1                   Setiap AJK perlu memikirkan aktiviti yang memberi faedah kepada ahli mengikut objektifnya. Organisasi yang berkaitan dengan al-Quran umpamanya perlu merancang untuk memahirkan ahli dalam bidangnya, meluaskan ilmu yang boleh didapati dari luar kawasan. Dari guru-guru lain yang mahir. Yang pakar dalam al-Quran. Menghadiri seminar atau forum mengenai al-Quran. Mendalami tafsirannya. Berdakwah dengan al-Quran. Menggalakkan orang lain mempelajari dan mendalam alp-Quran. Menggalakkan seberapa ramai hafiz dan hafizah. 
2                   Jangan fikirkan aktiviti yang tidak menambah kemahiran atau tidak menambahkan ilmu. Makan-makan hendaklah dikurangkan kerana ianya habis selepas kenyang. Ilmu tidak bertambah.  Pakaian seragam juga tidak menambahkan kehebatan. Malah kadang-kadang menjadi cemar apabila ada ahli yang tidak disenangi oleh ahli masyarakat. Sesiapa sahaja yang dilihat memakai pakaian seragam itu akan terpalit sama. Tidak dihormati orang lain.
3                   Dalam bahasa akademik, aktiviti yang ingin dijalankan adalah aktiviti yang produktif kepada minda dan ilmu, menambah nilai diri dan ilmu, mendatangkan keuntungan dari segi kewangan atau barang.


Persatuan atau yang seumpamanya perlu membina kebijaksanaan dan bukan kedunguan. 

1          Persatuan dan ahli-ahlinya bergerak untuk menjadi bijaksana. 
2          Berfikir pada aras tinggi. 
3          Menjalankan aktiviti yang berimpak tinggi. 


Menjangkau jangka masa panjang dan jauh. Tidak seharusnya berlaku bahawa menjadi AJK hanya pada nama. Hanya menjual nama. Masuk buku tetapi tidak menyumbang. Biar tidak ada nama tetapi menyumbang. Ahli-ahli yang bukan AJK digalakkan menyumbang supaya banyak idea dilahirkan yang akhirnya menjadi aktiviti yang bermanfaat. Kerjasama adalah sangat perlu. Hormat menghormati. Bantu membantu. Patuh mematuhi. Jangan sekali-kali buat hal sendiri. Jangan menimbulkan masalah kepada ahli yang lain. Organisasi akan gagal akhirnya. Sebelum terlibat dengan mana-mana persatuan semak diri sendiri dahulu. Sesuaikah diri itu berada di dalamnya. Jika tidak cari persatuan yang sesuai dengan diri sendiri. Konsep berpersatuan ialah bersama orang lain. Bersosial dan bukan mencari keuntungan diri. Menyumbang dan bukan meminta yang bukan-bukan. Ketepikan kedegilan diri, ego dan hendak menang sahaja. Berilah hak itu kepada orang lain untuk terlibat sama. Insyaallah akan berjaya.