Muqadimah
Ketentuan Allah datangnya musibah. Tiada siapa yang
meminta dan tiada siapa yang dapat menghalang. Setiap yang datang adalah
ketentuan Allah. Kita beriman kepada Qada’ dan QadarNya. Setiap tahun negara
kita ditimpakan musibah. Banjir kerana musim monsun Timur-Laut. Bertahun-tahun
lamanya sejak dari dahulu lagi kita berhadapan dengan banjir ini. Ada masanya
kecil tetapi pada kebanyakan masa ianya besar. Bukan sahaja mengorbankan
hartabenda malah ada pula korban nyawa. Ajal mereka sampai pada ketika itu. Seperti
kelaziman yang tertentu, bila banjir maka berpindahlah mereka yang terlibat. Menyelamatkan
diri dan nyawa bukan hartabenda. Mungkin dokuman penting, wang ringgit dan
barang kemas yang upaya dibawa bersama. Pakaian ala kadar. Sementara air
bertakung. Sementara menunggu air kering. Berkampunglah biasanya di mana-mana
sekolah yang kebetulannya sedang bercuti akhir tahun. Mungkin cuti akhir tahun
yang panjang mengambilkira jangkaan musibah yang biasanya mendatang.
Senerio
Di pusat pemindahan lazimnya ada berbagai bentuk
bantuan seperti makanan dan minuman, selimut, pakaian, perubatan, pengangkutan
dan sebagainya. Alhamdulillah pada tahun ini ada khemah bagi setiap keluarga. Bolehlah
lebih menjaga aurat ketika tidur dan menyalin pakaian. Ada privacy yang
tersendiri. Dalam keadaan tertentu mereka yang terlibat perlu bersendirian
mengenang nasib. Muasabah diri secara terhalang dari pandangan orang lain yang
berada di sebelah menyebelah. Dalam pada itu sejak sekian tahun mereka yang
terlibat di pusat pemindahan banjir dilayan dengan sangat istimewa. Makan dan
minum disediakan. Apabila siap mereka maklum untuk makan sahaja. Tidak perlu
terlibat:
1
Membantu di dapur.
2
Membasuh sayur dan menyiangnya.
3
Menyiang ikan atau ayam.
4
Memasak bersama sukarelawan.
5
Berkemas di dapur.
Kesemua mereka diberi layanan kelas tinggi. Layanan VVIP.
Very very important people. Apa yang dapat dilihat ialah:
1
Mereka santai sesantainya. Berborak dari satu topik ke
satu topik yang lain. Seolah-olahnya mereka dipindahkan kerana suatu pesta
besar. Bukan musibah.
2
Hanya menjadi pemerhati. Takut untuk mengotorkan
tangan dengan memberi bantuan.
3
Berbual kosong tanpa manhaj dan harakah. Masa habis
begitu sahaja.
4
Mundar-mandir tanpa berbuat sesuatu.
5
Mendesak itu dan ini. Tidak cukup dengan makanan yang
ada.
6
Bersungut tidak
mendapat makanan istimewa seperti daging dan ayam.
7
Bersungut apabila lambat makanan disediakan. Tidak pula
membantu untuk mempercepatkan proses memasak.
8
Kepada mereka seolah-olah hak mereka mendapat layanan
istimewa.
Sewajarnya di pusat pemindahan makanan hanya untuk
hidup dan bukan untuk bermewah-mewah. Bantuan datang dari berbagai sumber. Kerajaan
membantu dari segi logistik. Ramai rakyat lain yang menghulur bantuan. Banyak agensi
dan syarikat yang memberi bantuan. Mereka yang terlibat dipindahkan ke pusat
pemindahan diselamatkan dari ancaman bencana dan diberi keperluan untuk hidup. Bukan
secukup-cukupnya hingga kekenyangan dan hilang akal budi. Bukan untuk menerima
layanan lima bintang. Setiap tahun banyak sungutan di pusat pemindahan.
1
Mangsa pemindahan merasakan layanan yang mereka terima
tidak memadai. Mereka meminta lebih istimewa.
2
Petugas pula keletihan bekerja dan dikritik. Badan letih,
telinga sakit dan hati pula pedih.
Petugas Sukarelawan (suka, rela dan tidak melawan)
Petugas-petugas adalah mereka yang berkhidmat secara
sukarela. Mereka dipanggil sukarelawan.
1
Tanpa gaji. Tanpa bayaran. Tanpa upah. Tanpa ganjaran.
Tanpa elaun.
2
Berkhidmat dengan rela hati.
3
Rumah mereka tidak terlibat banjir.
4
Mereka tiada masalah berpindah-randah.
Maksudnya mereka ada pilihan untuk tidak mahu
terlibat. Untuk tidak ambil tahu. Untuk tidak perlu berbuat apa-apa kecuali
berehat di rumah bersama anak isteri/suami. Boleh menonton TV tanpa gangguan. Tanpa
ada orang marah dan bersungut. Tanpa ada gangguan mental dan psikologi. Tetapi kerana
sikap empati, dengan sukarela mereka berkhidmat siang dan malam. Bergilir-gilir
menyediakan makan dan minum kepada mangsa banjir. Andainya dituntut bayaran,
penulis kira RM100 sehari seorang tidak mencukupi. Siapa pula yang bersedia
membayar keringat mereka. Bukan memasak untuk 10 atau 20 orang. Mungkin 500
hingga 1,000 orang. Kenduri besar setiap kali makan. Sarapan, makan tengahari,
minum petang dan makan malam. Tidak berhenti menyediakan makanan. Sewaktu mangsa
sudah berehat dan tidur, petugas masih di dapur untuk berkemas. Berkira pula
untuk tugas pada hari esoknya.
Menukar Paradigma Budaya
Penulis ingin membuat beberapa saranan untuk membina semangat
kemanusiaan, bersosial dan bertanggungjawab di kalangan mereka yang dipindahkan
di pusat-pusat pemindahan banjir.
1
Apabila mereka telah selesai dikumpulkan lantik
seorang ketua antara mereka. Lantik:
a. Jawatankuasa penyediaan makan dan minum.
b. Jawatankuasa pembersihan persekitaran.
c. Jawatankuasa kesihatan.
d. Jawatankuasa sukan, riadah dan permainan.
e. Jawatankuasa pendidikan (agama, al-Quran
dan tajwid, tiusyen, motivasi untuk anak-anak mengikut peringkat usia).
f. Jawatankuasa wanita (program mendidik anak,
keibubapaan, menjahit, masak-memasak).
g. Jawatankuasa pengurusan stok makanan dan
minuman.
2
Beri mereka format dan bimbingan supaya semua hal
mereka yang kendalikan. Sama-sama bertugas untuk memasak. Bukan sukarelawan. Mereka
yang kerkhidmat untuk diri mereka sendiri dan keluarga mereka serta sahabat
handai mereka.
3 Beri
bantuan yang perlu sahaja. Bahan makanan telah disediakan. Mungkin bantu
mencarikan guru atau ustaz yang bersedia membantu memberikan pendidikan kepada
mereka dan anak-anak mereka. Mungkin di kalangan mereka ada guru dan
ustaz/ustazah.
5
Bantu mereka membuat jadual harian supaya kebanyakan
mereka terlibat kecuali yang tua, uzur dan kanak-kanak.
6
Pantau apa yang mereka lakukan supaya tidak berlaku
pembaziran, tidak berlaku perbalahan dan wujud kerjasama yang baik.
7
Jadikan pusat pemindahan sebagai pusat pelbagai
aktiviti. Bukan hanya makan dan minum sahaja. Ianya menjadikan mereka bosan dan
hanya lebih banyak bersungut kerana mereka tidak tergerak untuk membuat apa-apa
aktiviti fizikal, mental dan intelek.
Penutup
Penulis percaya jika saranan ini diambilkira, pusat
pemindahan dihuni oleh mereka yang peka dengan diri mereka sendiri. Tanpa orang
lain yang memikirkan mereka. Mereka sudah diberi tempat perlindungan seadanya. Telah
disediakan makan dan minum. Telah juga disediakan logistik yang lain. Cuma penglibatan
mereka sahaja yang belum dieksploitasi. Dicungkil dari diri mereka. Bakat-bakat
yang ada dimanfaatkan. Yang menajdi mangsa banjir berdikari. Kita yang tidak
terlibat menyumbang dari luar. Dari jauh. Beri mereka peluang untuk dekat
dengan diri mereka sendiri. Insyaallah banyak manfaatnya. Pihak yang berwajib
atau sukarelawan hanya datang ziarah dan memantau. Cukup dan selesa. Pusat pemindahan
disediakan dengan konsep layandiri. Bukan dilayan.
No comments:
Post a Comment