Tuesday, September 30, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Corat Coret Dari Siwa

Sekali pandang seperti hendak tergelak. Tetapi ianya suatu realiti. Tempat yang belum begitu maju ini perlukan pengangkutan yang memudahkan. Murah tetapi pastinya lambat. Untuk melihat-lihat pastinya kenderaan yang ditarik keldai ini sangat sesuai. Terutamanya pada musim yang agak dingin. 


Enam orang penumpang boleh diangkut sekali jalan.


Di luar laluan ke kota purba kaum Shali. 


Pisau orang Arab. Pastinya juga pisau kaum Shali di Siwa.



Bakul-bakul anyaman kaum Shali.


Sebuah kedai berdinding batu.



Keldai sudah diganti dengan motorsikal. Lebih pantas tentunya.



Papan tanda ke kota tanah liat kaum Shali


Kami makan di restoran ini.



Santai sebab kami sahaja yang ada. Lama menunggu kerana makanan setelah dipesan baru dimasak. Makanan panas.


Nasi putih, ayam panggang dan kuah kari, Berselera makan sebab panas dan lapar.



Bunyi bermakna matair Cleopetra. Yang sebenarnya sebuah kolam yang dikatakan Cleopetra pernah mandi-manda di sini.


Kolamnya sudah diperbaiki dan didinding dengan konkrit. Yang sedang mandi bukan Cleopetra atau suku-sakatnya tetapi dua pasang pelancong Barat. Tentu sahaja yang wanita memakai bikini. Lumrah di negara Islam.


Ustaz Imdan dari Kedutaan Malaysai yang turut serta bersama keluarganya.


Penulis bersama seorang penuntut Malaysia yang turut sama dalam rombongan ini.


Mencuba segelas jus kurma. Segar rasanya sebab memang dipetik segar buahnya di hadapan mata. Dari pokok di hadapan gerai ini. Bertambag sejuk kerana dibubuh ais. Segelas 15 LE. Kira-kira RM7.20.


Hendak cuba merasa airnya.


 Lawatan ke bekas tempat ibadat orang Greek yang dinamakan Oracle Temple. Menjadi terkenal kerana pernah diziarahi oleh Alexander The Great.



Seperti kota tanah liat kaum Shali tempat ini juga tersergam besarnya.

Saturday, September 27, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Siapa Yang Tidak Rindu

Apakah kita tidak memiliki rindu. Hujan yang turun membasahi juga jiwa kita. Tetiba menjadi lara. Terkenang masa lalu yang sudah lama perginya. Kita hanya diingatkan lagi dan lagi oleh hujan yang rintiknya banyak dan lebat. Kita terus bernafas dengan rintik itu.


Setiap tahap kita bernafas banyak sandaran rindu yang bergema di hati. Berulit di minda. Berkisar di sanubari. Melonjak sebentar ke atas. Luruh kemudiannya ke bawah. Rasa rindu selalu pasang dan surut apabila masa untuk menggarapnya berubah mengikut musim. Lazimnya kita rindu apabila jauh. Namun begitu kita banyak rindu kerana terlalu lama. Kerana terlalu terpisah. Kerana terlalu lupa. Kerana terlalu sibuk dengan diri sendiri. Penantian juga suatu kerinduan yang di luar jangka. Entah bila temunya. Di mana jumpanya. Bagaimana suanya. Sewaktu muda kita banyak rindu kepada kekasih. Rawan mengenang buah hati yang jauh di mata. Memendam rasa yang tiada sudahnya. Air mata dicurah kerana rindu yang meredam jiwa. Rindu juga kepada ibu dan bapa. Kepada adik dan kakak. Dan abang-abang. Rindu kepada nenek dan datuk. Kepada saudara mara yang dahulunya selalu bersua muka.

Hujan menyejukkan. Panas pastinya hilang seketika. Basah dengan air dan percikan air. Dengan wap dan redup suasana. Mendung meliputi langit dari panas matahari. Untuk seketika keadaan menjadi redup, sayu, rawan dan menrindu.



Siapa yang tidak rindukan kampung halamannya. Biar bagaimana jauhnya di pendalaman ia tetap kampung kita. Tempat kita berlari mengejar burung. Memancing ikan. Memanjat pokok buah yang ranum-ranum belaka. Bersama sahabat berhari raya di kampung. Menikmati hindangan apabila ada kenduri kendara. Bagi penulis kesemuanya sudah jauh ditinggalkan sejarah. Apabila menoleh ke belakang kesemuanya itu sudah 60 tahun yang lalu. Jejak dan bekasnya sudah hampir tiada. Yang tinggal hanya kenangan lalu yang membarisi pengalaman silam yang indah. Diselang seli dengan asam garam dan pahit maung kehidupan di kampung yang serba tidak sempurna adanya. Alhamdulillah diizinkan Allah menjelajah bumiNya. Melihat sendiri tanda-tanda kebesarannya. Jika dahulunya semua itu hanya cerita yang sukar dipercaya sekarang kesemuanya menjadi pengalaman peribadi yang cukup mengujakan.

Berada di tempat-tempat yang berlainan memberikan impak kuat kepada pemerhatian dan perasaan. Kita diminta untuk mengerti bahawa itulah pengalaman. Itulah yang dapat dilihat dengan mata kasar dan mata hati. Dengan minat dan perasaan memahami. Yang sama mungkin tidak serupa. Yang serupa mungkin tidak sama. Setiap satunya memberikan kompleksiti yang berbeza. Memerhati sebenarnya memberikan kita peluang untuk menilai yang sebaiknya. Pengalaman mengajar kita untuk selalu rindu kepada yang kita suka. Kepada yang kita sayang. Kepada yang mesra dengan kita. Juga kepada yang dekat. Namun begitu ada sesuatu yang jarang berlaku. Kita mungkin rindu kepada sesuatu yang kita tidak suka. Sesuatu yang kita benci. Sesuatu yang selalu kita rasa mengganggu. Sesuatu yang selalunya kita hindarkan dari berlaku pertembungan.

Berada lama di negara orang tentu sekali rindu kepada tanahair tercinta. Pada masa yang sama sudah jatuh cinta pula dengan negara orang. Tidak kenal maka tidak ada cintanya. Kita kenal untuk mencintai. Wala bagaimanapun rindu tetap rindu. Tersangat rindu pada hujan yang lebatnya selalu membanjiri. Sudah terlalu rindu. Berhajat untuk bermain hujan bila kembali nanti. Ingin basah kuyup sambil merasa manisnya air hujan yang mengalir ke mulut. Mengusap muka dengan tangan yang juga rindukan air hujan. Ingin melihat derasnya air meluncur di atas tanah. Mencari laluan untuk masuk ke longkang. Laluan ke parit. Laluan ke sungai. Hujan itu rahmat. Air hujan itu menghidupkan. Membahagiakan kita dengan kehidupan hijau. Dengan haiwan ternakan. Dengan ikan dan hidupan air. Terasa ganjil kerana bertahun tidak melihat hujan lebat. Tidak mendengar jatuhan air di bumbung dan di kaca tingkap. Tidak melihat liang liuk pepohon yang ditimpa hujan lebat.

Aduhai, betapa sayunya merenung titisan air yang membasahi bumi. Menyejuk semangat haba membara pada ketika-ketikanya. Air dengan sifatnya yang menyejukkan keadaan. Begitupun titisan hujan mengundang rasa rindu rawan. Kesayuan yang tersendiri. Perasaan kembali mengimbas masa lalu yang telah berlalu. Telah pergi membawa masa yang fitrahnya berlalu menjadi sejarah. Kita hanya boleh rindu dan terus rindu.  Hanya dan hanya jika kita mengetahui bahawa yang kita rindu sentiasa ada di hati. Hadir setiap masa. Setiap ketika. Hanya jika kita mengetahui. Hanya dan hanya. Kesemuanya yang kita rindu pasti meninggalkan kita. Seperti muda kita yang hilang. Kecil kita yang entah di mana. Yang tidak pernah hilang ialah Allah. Kita bersamaNya. Dan Dia bersama kita. Selama-lamanya. Di setiap fasa alam yang kita lalui. Dari alam ruh hingga alam akhirat nanti.

Sementara masih bernafas kita banyak rindu pada yang lain selain rindu kepada Ilahi. Dari jauh kita rindu kepada ibu bapa yang sudah tua. Kepada mereka yang sudah banyak usianya. Yang lebih banyak umurnya. Apabila berjauhan kita terhalang dari banyak berbakti. Dari selalu berada di samping mereka. Dari memenuhi keperluan mereka. Paling menggusarkan apabila ada bibit-bibit takut bahawa kita akan kehilangan mereka. Kita akan mereka tinggalkan. Ketika itu kita kehilangan ibu yang mengandungkan kita. Yang menyusukan kita. Yang mendodoikan kita. Yang menyuapkan kita. Yang menyucikan kita. Yang memakaikan kita. Yang mendamaikan hati kita. Yang melindungi kita. Yang memicit sakit kita. Yang mengusap manja kita. Apakah itu bukan rindu? Di mana ayah jika bukan di kebun membanting tulangnya. Yang mencari nafkah untuk membesarkan kita. Di akan pergi juga. Fitrahnya begitu. Apabila sampai saatnya yang ditinggalkan hanya tiga. Anak yang soleh. Amal jariah. Ilmu yang bermanfaat. Kita hanya membawa amal yang kita kumpulkan semasa kita hidup. Mudah-mudahan banyak dan berkualiti tinggi.


Alhamdulillah sebagai seorang pendidik penulis bersandar kepada usaha untuk meninggalkan ilmu yang bermanfaat. Mendidik anak bangsa seikhlasnya. Memberi kebaikan kepada cara berfikir. Cara bertindak. Cara menyelesaikan masalah. Cara membuat keputusan. Cara memanfaatkan peluang dan keadaan. Memberi yang terbaik untuk semua yang seperlunya. Tidak ada apa yang dapat ditinggalkan selain dari kerinduan kerana meninggalkan. Menunggu beberapa bulan untuk kembali ke tanahair terasa sangat rindunya. Mata mula terbayang. Telinga mula mendengar. Deria mula bergetar rasa. Semoga rindu ini bukan redamnya sahaja. Insyaallah bertemu nanti. Kan ku pijak bumimu. Kan ku hirup udara nyamanmu. 

Friday, September 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Tamaddun Tanah Liat dan Siwa




Di pintu masuk  tamaddun Shali di Siwa. Replika kota besar tanah liat pada zaman kegemilangannya. Besar, tinggi dan tersergam.


Siwa dikatakan sebuah tempat yang terpencil. Terkeluar dari laluan utama. Tidak diketahui wujudnya sehingga berzaman-zaman. Walaupun tamaddun Greek dan Roman bertapak di sini namun apabila kedua-dua empayar itu lemah, Siwa seolah-olah lenyap dari sejarah. Seperti penduduk lain di Afrika, tanah liat menjadi sumber tamaddun juga di Siwa. Rupanya terdapat tamaddun tanah liat yang besar di sini. Bertapak di atas bukit-bukit di tengah Siwa. Ianya merupakan kompleks penempatan, pertanian dan peribadatan. Semasa pemerintahan Greek mungkin mereka menganut dan menyembah tuhan-tuhan Greek. Kemudiannya bertukar menjadi Kristian. Sukar juga untuk mengislamkan mereka. Pada awal pemerintahan Maawiyah, penduduk Siwa gagal diislamkan. Setelah beberapa ketika barulah mereka akur menganut Islam. Sekarang ini keseluruhan penduduk Siwa adalah penganut Islam. Monumen yang ada hanya sejarah lama mereka yang telah mereka tinggalkan. Hanya tarikan pelancong buat masa ini.

Kaum yang tinggal di Siwa adalah kaum Shali. Antara serpihan kaum Berber yang ramai menghuni Utara Afrika. Kerana Siwa terkeluar dari kesibukan Lembangan Sungai Nil, kaum Shali dikatakan antara penduduk asal Libya. Siwa terletak jauh dari kesibukan perdana di Mesir. Jauh juga dari kesibukan perdana di Libya. Berkurun-kurun lamanya mereka membina tamaddun sendiri yang unik di Siwa. Walau bagaimanapun tamaddun tanah liat yang mereka manifestasikan menyerupai tamaddun tanah liat di banyak negara Afrika yang lain. Ada negara di Afrika yang membina masjid hanya menggunakan tanah liat pada temboknya. Di Siwa tanah liat adalah banyak kerana wadi di sini adalah sumber air yang sangat banyak. Ketika teknologi simen dan pasir belum wujud yang paling mudah ialah menggunakan tanah liat.

Kota kaum Shali adalah kawasan penempatan yang besar dan kompleks. Kawsannya sangat luas. Merangkumi beberapa buah bukit. Suhu agak tinggi ketika penulis dan rombongan menjelajah kota kaum Shali. Hanya beberapa bahagian sahaja yang sempat dijejaki. Mereka menggunakan batang pokok tamar sebagai tiang, gelegar dan kerangka bangunan. Kemudiannya kerangka itu dibalut dengan tanah liat. Tebal dindingnya. Tinggi bangunannya. Berlapis dan berkelok. Besar dan agam. Sebuah kota yang lengkap sebagai tempat tinggal dan kota yang mempertahankan mereka dari ancaman luar. Puing-puing yang ada menunjukkan bahawa pada ketika kemuncak peradaban mereka kaum Shali adalah gagah dan hidup berkecukupan. Pertanian menghidupkan mereka. Peradaban menjadi pemangkin kepada kemajuan mereka.

Tidak ada rekod jelas apa agama mereka sebelum ini. Mungkin kedatangan orang Greek mengubah kepercayaan mereka kepada tuhan-tuhan Greek. Kebetulan juga ma’bad (tempat acara agama) terdapat di sekitar Siwa. Juga dibina dari tanah liat. Tentunya sumbangan kaum Shali dan tamaddun mereka. Kepada orang Malaysia mungkin kota tanah liat sesuatu yang sukar diterima akal. Benar, jika kita berfikir bahawa Mesir adalah seperti Malaysia. Banyak hujan dan lebat pula hujannya. Tentulah kota tanah liat tidak boleh bertahan lama. Pada hakikatnya tidak. Mesir adalah negara panas dan kering. Penuh dengan padang pasir. Dalam entry yang lama terdahulu ada penulis ceritakan mengenai hujan di bumi Anbia Mesir ini. Hujan lebat adalah sesuatu yang luar biasa di sini. Berlaku juga sekali sekala. Tetapi kekerapannya mungkin sekali dalam sepuluh tahun. Atau lebih lama. Yang selalu berlaku ialah hujan gerimis sekitar 10 atau 15 minit. Gerimis lebat adalah suatu rahmat. Malah bagi orang di Mesir hujan rintik-rintik yang mungkin beberapa minit sudah sangat besar rahmatnya dari Allah S.W.T. Hujan rintik itu menjadi peristiwa besar yang dirayakan dengan doa. Selagi hujan tidak berhenti selagi itulah mereka berdoa. Membuka tingkap rumah atau bangunan yang ada. Menghadap langit dan memandang titisan hujan.

Kerana tiada hujan lebat maka kota tanah liat seperti yang dibina oleh kaum Shali tidak terancam air. Kekal keras dan kukuh. Walau bagaimanapun setiap ciptaan manusia tiada yang kekal abadi. Kota itu runtuh disebabkan gempa bumi yang berlaku di kawasan ini. Apabila kaum Shali diperkenalkan dengan kehidupan yang lebih maju mereka meninggalkan kota kediaman mereka. Mereka mula hidup dengan membina rumah-rumah persendirian. Mereka juga menjalankan perniagaan dengan dunia luar. Sekarang ini mereka seperti juga rakyat Mesir yang lain. Selain dari pertanian dan air yang besar impaknya kepada Mesir, Siwa adalah antara destinasi pelancongan. Tinggalan Greek dan Roman antara tarikan yang ada di sini. Selain daripada itu kesenian kaum Shali juga menarik perhatian dunia luar untuk ke Siwa.


Besar


Tinggi


Menjulang awan


Laluan bersama runtuhan


Batang pokok kurma yang menjadi kerangka bangunan


Tangga itu menunjukkan tinggi


Dari kemuncak


Bukit bersebelahan


Yang tinggal hanyalah bekasnya


Dari puncak kota


Yang ditinggalkan hanyalah tanah liat yang sudah runtuh.


Siwa dari puncak Kota kaum Shala


Lantai dari tanah liat. 


Thursday, September 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kemusnahan Pompeii Menghantui Zaman


Image result for images of pompeii
Ini adalah manusia sebenar yang Allah jadikan batu setalah beribu-ribu tahun di dalam bumi. Masih dalam keadaan asalnya. Begitulah sewaktu mereka dimatikan.


Mereka yang melalui pendidikan dalam bahasa Inggeris atau yang didedahkan dengan satera Inggeris pastinya pernah membaca tentang negara kota yang dinamakan Pompeii. Terletak di negara Italy. Kota ini telah musnah beribu-ribu tahun dahulu. Allah memusnahkan kota ini dengan letupan gunung Visuvius.  Gunung ini pula tidur berzaman-zaman lamanya selepas melaksanakan perintah Allah untuk memusnahkan Pompeii. Pompeii selalu berperang dengan Troy yang dipimpin oleh Helen of Troy. Pompeii sangat kebal pertahanannya. Pernah membaca cerita kuda kayu? Itulah muslihat Helen of Troy untuk mengalahkan Pompeii. Tetapi Troy tidak memusnahkan Pompeii. Kemurkaan Allah yang memusnahkan Pompeii. Tiada satupun yang bersisa. Baik tamaddunnya. Baik penduduknya.

Image result for images of pompeii
Mulutnya menggambarkan kengerian yang mereka alami ketika kemusnahan Allah timpakan ke atasnya.


 Pompei sebuah negara kota yang gagah perkasa. Maju dalam membina tamaddun. Negaranya mewah. Melimpah ruah dengan segala nikmat kehidupan. Ketika itulah mereka lalai. Mereka merasakan bahawa mereka perlu menikmati apa sahaja. Seperti manusia terdahulu penduduk Pompeii terjerumus ke dalam seks bebas. Tiada halangan. Tiada sekatan. Dari orang dewasa hinggalah kanak-kanak kesemuanya menjadi terlibat dengan seks. Ketika itu manusia sudah bertukar wajahnya menjadi seperti sudah tidak lagi memiliki akal fikiran. Tidak memiliki sifat manusia yang banyak malunya. Maruah diri sudah hilang dari mereka. . Mereka melakukan apa sahaja mengikut kata hati. Tidak ada lagi ajakan kepada amar ma’ruuf dan tiada lagi halangan nahi mungkar. Kesemuanya halal bagi mereka.
Tamaddun dan kemewahan hanya sementara. Pinjaman dari Allah. Tetapi ianya wajib disyukuri.


 Setelah berzaman-zaman lamanya penggalian telah dilakukan di kawasan yang dikatakan kota Pompeii. Arkeologis menemui bukti-bukti yang nyata tentang perlakuan seks bebas penduduk Pompeii. Manusia yang telah menjadi batu kerana terlalu lama di perut bumi dilihat masih dalam perlakuan seks semasa mereka Allah musnahkan. Dari orang dewasa hingga kanak-kanak. Allah memperlihatkan kepada kita bukti-bukti larangan yang tidak dipatuhi. Perlakuan yang melanggar hukum Allah. Mereka mengabaikan Allah dari kehidupan mereka. Pada mereka nikmat sementara itu dianggap berkekalan selama-lamanya.  Kunci peristiwa yang berlaku di Pompeii ialah seks terlarang. Melanggar hukum Allah. Kemurkaan Allah ke atas mereka. Allah musnahkan segala-galanya yang ada pada mereka. Kegemilangan mereka hanya sejarah. Yang Allah perlihatkan kepada kita ialah kejelikan yang telah mereka lakukan. Kebejatan yang telah mereka amalkan. Apabila Allah memusnahkan sesuatu kaum tiada seorangpun yang terkecuali.

Apabila sudah menjadi batu seperti ini, penyesalan tiada gunanya. Kesemunya kembali kepada Allah jua.


 Sekarang ini penulis melihat situasi yang sama berlaku di tanah air kita yang tercinta Malaysia. Manusia dianugerahkan dengan kemudahan teknologi elektronik yang canggih. Dengannya Allah izinkan terciptanya berbagai alat komunikasi. Bersamanya adalah berita bertulis, gambar pegun dan video, warna dan suara. Komputer telah lahir berdasarkan algorithm seperti yang dikembangkan oleh al-Khawaritzmi. Sarjana matematik Islam yang terkenal. Teori matematik itu tidak dikembangkan oleh sarjana Islam selepasnya. Sebaliknya ia berkembang di tangan sarjana bukan Islam. Sekarang kita melihat bagaimana besarnya impak algorithm itu kepada manusia. Peralatan komunikasi pintar dan canggih yang kita miliki sekarang rupanya memiliki dua muka yang menakutkan. Secara positifnya perkembangannya sangat terlalu pantas. Penyelidikan tiada hentinya. Penemuan baru tiada halangan dengan izin Allah. Ramai yang tidak dapat mengikuti kepantasannya. Pada masa yang sama aspek negatifnya juga sangat menakutkan. Memerangkap minda mereka yang belum matang. Menjadikan seluruh kehidupan manusia terperangkap dalam dunia pintar teknologi.

 Penulis dapati bahawa telefon bimbit adalah antara gadget yang paling menakutkan dari segi impak sosialnya. Ianya sangat berbeza dengan TV yang masih banyak sopannya. Filem dan video yang boleh ditapis. Media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan sebagainya masih boleh dikendalikan dengan lebih mudah. Mana-mana yang tidak diingini masih boleh dipadam. Atau diabaikan dengan kewarasan minda yang kita ada. Denga kematangan berfikir. Namun begitu telefon pintar (lebih-lebih lagi I-pad dan yang semasa dengannya) telah menjadikan minda manusia seperti haiwan dicucuk hidung. Setiap saat ada sahaja imej terlampau yang terpapar. Kesemuanya yang terlarang. Yang songsang. Yang tidak layak dipaparkan di media sosial. Keadaan menjadi terlalu parah apabila mereka yang memuatnaik bukan lagi orang dewasa yang matang fikirannya. Ianya didominasi oleh anak-anak muda yang tanpa kematangan berfikir. Kesemuanya atas nama teknologi dan kebebasan. Atas nama kebebasan teknologi. Atas nama keseronokan tanpa batas. Hedonism.

Facebook melalui kompter didapati berbeza dengan facebook melalui telefon atau I-pad. Komputer yang berskrin besar lebih sopan mengenengahkan paparan sosial. Mungkin sedikit cerita panas. Namun di dalam telefon keadaannya terlalu bebas. Berbagai-bagai muatnaik yang menyalahi hukum manusia, agama dan negara terpapar dengan bebasnya. Tidak ramai yang tahu kaedah untuk mengelak atau memadamkannya. Kita perlu tahu bahawa audien telefon dan internetnya adalah semua orang tanpa mengira jantina dan umur. Telefon pula menerima dan memaparkan banyak kes seks bebas. Sejak beberapa minggu ini penulis membuat pemerhatian bahawa perlakuan seks ini semakin membesar. Terlalu banyak paparan yang sudah hilang malu. Ibu bapa sudah tidak dapat lagi memberi nilai baik pada anak-anak. Semuanya diizinkan atas nama “moden”. Sikap membenarkan kerana berpendapat bahawa orang lain boleh membuatnya. Apa yang dilihat di TV semuanya dianggap benar dan diizinkan. Fasafahnya sangat mudah. Jika tidak boleh kenapa disiarkan di TV. Pertimbangan bukan lagi akal fikiran tetapi contoh teladan yang salah. Yang salah itu pula yang dianggap semasa dan benar. Manusia menjadi keliru antara salah dan benar. Ramai memilih yang salah dan menolak yang benar.

Mayat-mayat batu ini bertaburan di Pompeii. Tiada tempat yang selamat bagi kaum yang ingkar.


 Penulis tidak dapat membayangkan bagaimana kanak-kanak tadika sudah dipaparkan melakukan hal-hal yang terlarang. Yang merakam tentulah mereka yang lebih banyak usianya. Yang memuatnaik tentulah mereka yang lebih banyak umurnya. Mereka yang masih terlalu kecil bukan dilarang sebaliknya dibiarkan melakukan yang tidak baik untuk menjadi bahan rakaman. Penulis merasakan sudah sampai hadnya bahawa kemurkaan Allah akan tiba pada bila-bila masa sahaja. Apabila yang dewasa sudah hilang matangnya. Apabila yang kanak-kanak sudah hilang kawalannya. Apabila yang alim tiada siapa yang mendengar. Apabila kepimpinan tidak peka akan implikasinya terhadap agama. Bersediakah kita seperti Pompeii yang Allah musnahkan sekelip mata. Hanya dengan kun fayaqun.
Kemuncak kejelikan dan kebejatan Pompeii apabila pelacuran menjadi hal biasa tanpa segan silu. Tanpa selindung. Seks pula menjadi terlalu bebas tanpa sekatan. Ketika itu sudah tiada lagi kebaikan yang boleh dipertahankan. Allah menarik semua yang ada pada mereka.
 The Eruption of Vesuvius / Valenciennes
Gambaran pelukis mengenai kemusnahan dari Gunung Visavius di Pompeii pada 24 Ogos tahun 79 Masehi. Hampir 2,000 tahun dahulu. Gambaran ini tidak pernah lengkap kerana kemurkaan Allah tiada siapa yang dapat mengukur nisbahnya.





Kita perlu memikirkan semula peranan kita. Sudah terlalu lama hal yang tidak baik berleluasa di kalangan kita. Jika kita tidak mampu menghalangnya sekurang-kurangnya kita berusaha supaya orang lain tidak termasuk dalam kelompok yang salah itu. Mereka  yang paling hampir dengan kita ialah anak dan cucu kita sendiri. Bimbinglah mereka ke arah yag diredhai Allah. Dunia semakin mengerikan. Allahuakbar.


Saturday, September 20, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Tamaddun Greek Di Siwa




Terjemahannya gunung orang mati. Maknanya mereka yang mati ditanam di sini, Kuburan lama untuk orang Greek, Roman dan zaman Firaun dahulu kala.


Hampir di seluruh Bumi Sam atau Bumi Anbia juga menjadi rebutan kuasa-kuasa besar zaman dahulu kala. Selain dari Empayar Rome, Empayar Greek telah terlebih dahulu menguasai seluruh kawasan tersebut. Tidak hairan banyak tinggalan tamaddun mereka di negara-negara Arab. Di Siwa terdapat beberapa monumen tinggalan mereka. Antaranya Gebel Mouta (ﺟﺒﻞﺎﻟﻤﻮﺗﻰ) atau Mountain of the Dead,  kolam Cleopetra dan bukit-bukit yang menempatkan tempat-tempat ibadat orang Greek. Di tempat-tempat tersebut banyak artifak yang masih dapat dilihat dengan mata kasar. Ada lukisan dan catatan. Kesemua tempat tinggi (bukit) di Siwa telah digunakan oleh tamaddun Greek kecuali satu yang digunakan oleh kaum Siwa untuk membina tamaddun mereka.

Gebel Mouta adalah sebuah bukit kecil di lalun masuk dari Matruh ke Siwa. Bukitnya gondol kerana di tempat tinggi air tidak mengalir naik kecuali di pam naik. Walau bagaimanapun bukit ini tidak memerlukan air kerana ianya dijadikan tanah perkuburan orang Greek. Keseluruhan bukit ini dipenuhi bekas-bekas kuburan lama. Pada mulanya mereka yang tinggal di Siwa dan sarjana Mesir sendiri tidak mengambil perhatian tentang pentingnya bukit ini. Kanak-kanak Siwa dikatakan bermain-main di bukit tersebut. Bermain-main dengan tulang-tulang yang berserakan di atasnya. Mereka tidak mengetahui siapa sebenarnya pemilik tulang tersebut. Apabila ditemui kuburan besar di bukit tersebut barulah ada yang teruja. Ada lukisan berwarna. Ada gambar yang apabila dipandang seperti suatu cerita. Ada kisah-kisah yang ingin disampaikan melalui gambar, lukisan dan warna-warna yang digunakan.

Dalam gambar ini wanita Greek berambut panjang. pakaian mereka berwarna-warni. Pakaian seperti ini tentunya sesuai pada musiam panas. Tidka ada gambaran pakaian mereka pada musim dingin.



Lukisan itu sudah berusia ribuan tahun tetapi masih segar warnanya. Masih boleh dibaca. Hanya sebahagian kecil sahaja yang telah dimakan usia. Mungkin hakisan atau luluhawa menyebabkan lukisan itu hilang atau menjadi kabur. Memasuki ruang kuburan itu kita dibawa merentasi zaman yang entah berapa lama tahunnya. Jika kita biasa melihat gambar atau lukisan wajah Cleopetra, maka begitulah lukisan yang terdapat pada tembok kuburan besar yang sempat penulis jejaki. Penulis bukan menziarahi kuburan mereka tetapi ingin melihat dari dekat suatu zaman yang lamanya hanya arkeologis sahaja yang mengetahui. Cuma persinggahan sebentar itu penulis berkesempatan melihat bagaimana orang Greek mentafsir malam dan hilangannya matahari dari pandangan mata. Bagaimana pula mereka mentafsir terbitnya semula matahari pada keesokan paginya.


Mengikut ceritanya ada 12 sampan kesemuanya. Setiap satunya mewakili setiap jam pada waktu malam dari matahari tenggelam hingg matahari terbit. Pada waktu Maghrib matahari dianggap mati. Matahari itu dipindahkan dari satu sampan ke sampan yang berikutnya hinggalah matahari dilahirkan semula seolah-olah bayi yang baru dilahirkan. Mereka melihat mataharihari secara fizikal tanpa penilaian agama. Tanpa juga penilaian sains dan ilmu falak semasa seperti kita pada hari ini. Pada ketika itu mereka percaya mereka adalah benar. 
Maknanya mereka terlibat dan mahir dengan ilmu falaq. Mereka melihat alam dan cuba membuat kajian dan tafsiran berdasarkan ilmu yang mereka miliki ketika itu. Dari  lukisan-lukisan itulah sejarawan sekarang mengetahui falsafah mereka. Tamaddun mereka. Sejarah mereka. Agama mereka. Dan banyak lagi. Orang Greek meninggalkan sesuatu mengenai diri dan masyarakat mereka pada masa itu. Itu adalah garapan pemikiran mereka dan bagaimana mereka berinteraksi dengan alam di sekeliling mereka. Ketika itu pemikiran tersebut dianggap tinggi dan mereka menerimanya sebagai sesuatu yang pasti. Yang nyatanya dengan ilmu mereka itu, mereka menakluki seluruh Bumi Syam. Membina tamaddun di situ. Kita masih boleh melihat kesan kehadiran mereka hingga ke hari ini.

Sejarah di Bumi Syam sangat banyak fasanya. Jika disenaraikan terlalu panjang dan kita mungkin hilang punca untuk memahaminya. Kita mengkaji sejarah tentang Greek, Rom, Farsi, Anbat, Thamud, ‘Aad, kaum Luth, kaum Madyan, Cartage, Tartar dan sebagainya dan sebagainya. Berada di Bumi Syam ini kita kembali suatu zaman selepas banjir besar pada zaman Nabi Nuh a.s. dahulu. Keturunan dan pengikut Nabi Nuh a.s. inilah yang menyebar ke seluruh alam. Sam menetap di tanah Arab dan kemudiannya ke Barat. Yapith menetap di Turki dan kemudiannya ke Timur. Ham menetap di Afrka. Antara mereka ada yang kuat lalu membina kerajaan dan empayar. Apabila mereka lemah mereka diganti oleh kumpulan yang lain. Silih berganti dari satu zaman ke zaman yang lain. Tidak ada yang kekal kerana Allah musnahkan mereka apabila mereka lupakan Allah. Melakukan kerosakan dan memudaratkan manusia dan alam keseluruhannya.

Begitulah bangsa Greek yang bertapak di Jordan bertapak juga di Mesir. Selepas mereka kalah kepada Rom, bangsa Greek menjadi terus lemah. Walaupun mereka membina berbagai sejarah seperti Sukan Olimpik namun mereka menjadi tersangat lemah. Sekarang Greek antara negara di Eropah yang sangat miskin dan berada dalam senarai negara yang muflis. Sebuah negara yang gah akhirnya tersungkur. Sebuah negara yang membina tamaddun hanya nostalgik kepada tamaddun yang dibina sahaja. Peringatan kepada kita semua bahawa tiada yang lebih baik dari Allah. Tiada yang lebih baik dari agama Islam. Nabi Muhammada s.a.w. adalah pesuruh Allah. Al-Quran adalah kitab yang menyempurnakan segala-galanya ke atas umat yang mahu beriman. Dari Allah kita didatangkan dan kepada Allah kita akan kembali. Semua manusia akan mati untuk kembali kepada Allah. Mudah-mudahan Allah pelihara iman kita. Selamat di dunia dan di akhirat. Amin. 

Sheikh Umar menjadi pemandau pelancong kepada kami. Boleh berbahasa Inggeris.



Bandar Siwa dilihat dari Jabal Mouta,


Suhu agak panas di Siwa. Ramai peserta rombongan hanya berkisar di kawasan tertentu sahaja. tempat berlindung tidak ada. Kering dan panas. Langit membiru tanpa awan.


Antara kubur bawah tanah.


Penulis berada  di pintu masuk ke kuburan.




Lelaki yang dalam gambar ini berjambang dan berjanggut. Ia dikatakan tradisi orang Greek. Begitulah ahli falsafah Greek yang bernama Socrettes memiliki janggut, misai dan jambang yang tebal. Gambaran orang Mesir zaman Firaun tidka memiliki kesemua itu. Dengan cara itu arkeologis dan ahli sejarah dalam membezakan antara tamaddun yang berbeza.






Lubang-lubang di bukit ini adalah kuburan. Di Petra, Jordan lubangnya lebih besar dan tinggi tetapi dijadikan rumah tempat tinggal oleh kaum Anbat.



Pemandangan dalam sebuah kuburan besar di Jabal Maouta. Lazimnya menempatan golongan pemerintah atau golongan atasan. Penuh dengan lukisan di dindingnya.



Nota: Sebenarnya pelancong dilarang mengambil sebarang gambar dalam kuburan ini. Walau bagaimanapun penulis mencuri-curi mengambil gambar tanpa lampu kamera dihidupkan. Gunakan night mode