Friday, September 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Tamaddun Tanah Liat dan Siwa




Di pintu masuk  tamaddun Shali di Siwa. Replika kota besar tanah liat pada zaman kegemilangannya. Besar, tinggi dan tersergam.


Siwa dikatakan sebuah tempat yang terpencil. Terkeluar dari laluan utama. Tidak diketahui wujudnya sehingga berzaman-zaman. Walaupun tamaddun Greek dan Roman bertapak di sini namun apabila kedua-dua empayar itu lemah, Siwa seolah-olah lenyap dari sejarah. Seperti penduduk lain di Afrika, tanah liat menjadi sumber tamaddun juga di Siwa. Rupanya terdapat tamaddun tanah liat yang besar di sini. Bertapak di atas bukit-bukit di tengah Siwa. Ianya merupakan kompleks penempatan, pertanian dan peribadatan. Semasa pemerintahan Greek mungkin mereka menganut dan menyembah tuhan-tuhan Greek. Kemudiannya bertukar menjadi Kristian. Sukar juga untuk mengislamkan mereka. Pada awal pemerintahan Maawiyah, penduduk Siwa gagal diislamkan. Setelah beberapa ketika barulah mereka akur menganut Islam. Sekarang ini keseluruhan penduduk Siwa adalah penganut Islam. Monumen yang ada hanya sejarah lama mereka yang telah mereka tinggalkan. Hanya tarikan pelancong buat masa ini.

Kaum yang tinggal di Siwa adalah kaum Shali. Antara serpihan kaum Berber yang ramai menghuni Utara Afrika. Kerana Siwa terkeluar dari kesibukan Lembangan Sungai Nil, kaum Shali dikatakan antara penduduk asal Libya. Siwa terletak jauh dari kesibukan perdana di Mesir. Jauh juga dari kesibukan perdana di Libya. Berkurun-kurun lamanya mereka membina tamaddun sendiri yang unik di Siwa. Walau bagaimanapun tamaddun tanah liat yang mereka manifestasikan menyerupai tamaddun tanah liat di banyak negara Afrika yang lain. Ada negara di Afrika yang membina masjid hanya menggunakan tanah liat pada temboknya. Di Siwa tanah liat adalah banyak kerana wadi di sini adalah sumber air yang sangat banyak. Ketika teknologi simen dan pasir belum wujud yang paling mudah ialah menggunakan tanah liat.

Kota kaum Shali adalah kawasan penempatan yang besar dan kompleks. Kawsannya sangat luas. Merangkumi beberapa buah bukit. Suhu agak tinggi ketika penulis dan rombongan menjelajah kota kaum Shali. Hanya beberapa bahagian sahaja yang sempat dijejaki. Mereka menggunakan batang pokok tamar sebagai tiang, gelegar dan kerangka bangunan. Kemudiannya kerangka itu dibalut dengan tanah liat. Tebal dindingnya. Tinggi bangunannya. Berlapis dan berkelok. Besar dan agam. Sebuah kota yang lengkap sebagai tempat tinggal dan kota yang mempertahankan mereka dari ancaman luar. Puing-puing yang ada menunjukkan bahawa pada ketika kemuncak peradaban mereka kaum Shali adalah gagah dan hidup berkecukupan. Pertanian menghidupkan mereka. Peradaban menjadi pemangkin kepada kemajuan mereka.

Tidak ada rekod jelas apa agama mereka sebelum ini. Mungkin kedatangan orang Greek mengubah kepercayaan mereka kepada tuhan-tuhan Greek. Kebetulan juga ma’bad (tempat acara agama) terdapat di sekitar Siwa. Juga dibina dari tanah liat. Tentunya sumbangan kaum Shali dan tamaddun mereka. Kepada orang Malaysia mungkin kota tanah liat sesuatu yang sukar diterima akal. Benar, jika kita berfikir bahawa Mesir adalah seperti Malaysia. Banyak hujan dan lebat pula hujannya. Tentulah kota tanah liat tidak boleh bertahan lama. Pada hakikatnya tidak. Mesir adalah negara panas dan kering. Penuh dengan padang pasir. Dalam entry yang lama terdahulu ada penulis ceritakan mengenai hujan di bumi Anbia Mesir ini. Hujan lebat adalah sesuatu yang luar biasa di sini. Berlaku juga sekali sekala. Tetapi kekerapannya mungkin sekali dalam sepuluh tahun. Atau lebih lama. Yang selalu berlaku ialah hujan gerimis sekitar 10 atau 15 minit. Gerimis lebat adalah suatu rahmat. Malah bagi orang di Mesir hujan rintik-rintik yang mungkin beberapa minit sudah sangat besar rahmatnya dari Allah S.W.T. Hujan rintik itu menjadi peristiwa besar yang dirayakan dengan doa. Selagi hujan tidak berhenti selagi itulah mereka berdoa. Membuka tingkap rumah atau bangunan yang ada. Menghadap langit dan memandang titisan hujan.

Kerana tiada hujan lebat maka kota tanah liat seperti yang dibina oleh kaum Shali tidak terancam air. Kekal keras dan kukuh. Walau bagaimanapun setiap ciptaan manusia tiada yang kekal abadi. Kota itu runtuh disebabkan gempa bumi yang berlaku di kawasan ini. Apabila kaum Shali diperkenalkan dengan kehidupan yang lebih maju mereka meninggalkan kota kediaman mereka. Mereka mula hidup dengan membina rumah-rumah persendirian. Mereka juga menjalankan perniagaan dengan dunia luar. Sekarang ini mereka seperti juga rakyat Mesir yang lain. Selain dari pertanian dan air yang besar impaknya kepada Mesir, Siwa adalah antara destinasi pelancongan. Tinggalan Greek dan Roman antara tarikan yang ada di sini. Selain daripada itu kesenian kaum Shali juga menarik perhatian dunia luar untuk ke Siwa.


Besar


Tinggi


Menjulang awan


Laluan bersama runtuhan


Batang pokok kurma yang menjadi kerangka bangunan


Tangga itu menunjukkan tinggi


Dari kemuncak


Bukit bersebelahan


Yang tinggal hanyalah bekasnya


Dari puncak kota


Yang ditinggalkan hanyalah tanah liat yang sudah runtuh.


Siwa dari puncak Kota kaum Shala


Lantai dari tanah liat. 


No comments:

Post a Comment