Thursday, July 31, 2014

Siri Dua Puluh Tujuh: Falsafah dan Nilai



Dalam kehidupan Haji Abas pinjam meminjam barang tidak berapa digemarinya. Dia berusaha untuk memiliki keperluan asas seberapa boleh  yang mungkin. Diusahakan perlahan-lahan secara istiqamah. Namun begitu tidak kesemua barang atau peralatan perlu dibeli sebab gunanya mungkin hanya sekali-sekala sahaja. Pinjam wajib pulang. Itu adalah moto Haji Abas. Itulah juga falsafah hidupnya. Mungkin juga nilai baik yang perlu dipeliharanya. Apabila ia meminjam sesuatu ia berusaha untuk segera memulangkannya. Jika meminjam wang mungkin tempohnya sebulan sahaja. Lambat memulangkan bermakna membebankan diri sendiri. Maka apabila ada orang meminjam dari Haji Abas dia bertanya bila barangnya perlu dipulangkan. Sukar bagi orang lain memahami prinsipnya itu. Ia memindahkan prinsip dirinya kepada orang lain. Amalannya sebenarnya baik kerana sesuatu yang dipinjam apabila segera dipulangkan banyak kebaikannya.

1                   Pemiliknya berasa tenang kerana barang miliknya selamat.
2                   Boleh dipinjam lagi bila diperlukan. Rekod meminjam dan segera dipulangkan menjadi kriteria pemilik barang bermurah hati meminjamkan semula.
3                   Orang lain boleh pula meminjam barang yang sama apabila mereka memerlukannya.

Sekiranya barang yang dipinjam lambat dipulangkan maka banyak keburukan boleh berlaku. Antaranya:

1                   Kehilangan boleh berlaku. Terpaksa diganti dengan membeli yang baru. Kadang-kadang model yang sama sudah tiada lagi. Apabila diganti tidak sama kualitinya.
2                   Mungkin rosak, sumpik, retak atau pecah.
3                   Mungkin ahli keluarga menggunakannya berulang-kali tanpa mengetahui bahawa itu adalah barang milik orang lain.
4                   Pemilik barang dinafikan dari menggunakan barang milik mereka sendiri.
5                   Orang lain tidak dapat meminjamnya.   

Dalam kes kewangan pula banyak keadaan kesesakan hidup menghalang wang dipinjam untuk segera dipulangkan. Banyak alternatif untuk menyelesaikannya. Umpamanya memohon tempoh untuk membayarnya. Tidak mengapa jika pemiliknya tidak memerlukan wang itu dengan kadar segera. Sekiranya dia juga memerlukan wang dengan segera maka dia meminta peminjam wangnya membayar segera. Dilema kepada peminjam. Dalam keadaan seperti tersebut Haji Abas memilih untuk meminjam dari orang lain pula. Begitulah proses untuk hidup yang pernah dilalui Haji Abas. Memulangkan wang yang dipinjam dengan meminjam dari sumber lain pula. Rasa bertanggungjawab kepada pemilik wang yang juga apabila sampai masanya memerlukan wangnya kembali untuk memenuhi keperluannya sendiri. Semua yang dipinjam hendaklah dikembalikan dengan segera. Perlu  dipercepatkan. Pemiliknya akan lebih yakin kepada peminjam wangnya atau barangnya boleh dipercayaai. Pada waktu yang lain dia akan lebih mudah memberi pinjaman.

Dalam banyak hal wang adalah antara pinjam-meminjam yang menyukarkan. Menyukarkan yang memberi pinjam. Menyukarkan yang menerima pinjaman. Yang memberi pinjam kadang-kadang bukan banyak wangnya. Banyak pula perancangan dan keperluannya. Ia sedang berkira untuk membeli sesuatu. Datang seseorang yang ingin meminjam wang. Merayu pula akan kedudukannya yang perlu diberi kasihan. Berjanji beria-ia akan memulangkannya dengan segera. Istilah segera itu pula tiada noktahnya. Bila dari segi hari, minggu, bulan dan tahun. Kurun mungkin? Pemilik wang berada dalam dilema. Keadaan yang paradoks. Tidak diberi pinjam, wangnya ada. Hendak memberi pinjam jaminan bila pulangnya tidak ada. Akhirnya dengan rasa belas diberi juga pinjam. Diberi dengan keinsafan bahawa hari ini dia menlong, mudah-mudahan pada waktu yang lain Allah memberi pertolongan dalam bentuk yang lain. Mungkin keghairahan untuk membeli barang terurung begitu sahaja. Janji dipegang tempohnya. Menunggu kadang-kadang suatu penyeksaan. Yang ditunggu kadang-kadang tidak dapat dijangka jadual datangnya. Begitu juga wang yang telah diberi pinjam tidak tahu bila pulangnya. Perjanjian tidak ada. Saksi pula tiada. Tandatangan tidak diturukan. Tidak pula didaftar dan disetemkan.

Hutang-piutang sangat berat. Wajib dibayar kerana aqadnya meminjam. Pinjam wajib dipulangkan. Segera atau lambat mengikut perjanjian dan ikut kemampuan orang yang meminjam. Selalu berbaik sangka antara yang memberi pinjam dengan yang meminjam. Janganlag yang meminjam mula menjauhkan diri setelah meminjam. Sukar dihubungi. Tidak lagi berkomunikasi. Sesungguhnya tuntutan hutang itu di akhirat nanti lebih berat dari tuntutan di dunia. Kita percaya antara adik beradik. Antara sahabat. Antara jiran. Antara saudara. Alangkah mulianya jika yang meminjam mengerti tanggungjwabnya. Alangkah mulianya jika yang memberi pinjam pula menghalalkannya. Sangat sukar dakwa-dakwi dunia. Apatah lagi dakwa-dakwi akhirat. Untuk lebih jelas dapatkan panduan terperinci tentang hutang piutang dari ayat 282 surah Al-Baqarah (al-Baqqarah 2:282). Ayat ini ayat paling panjang dalam al-Quran. Ianya menyentuh topik yang paling banyak masalahnya antara manusia yang pinjam dan meminjam. Satu mukasurat penuh dalam surah al-Baqarah. Ikutlah prosedurnya seperti yang digariskan Allah. Kita beriman dengannya maka kita patuhi garispanduan Allah itu.

Antara lain prinsip Haji Abas ialah apabila meminjam barang dari seseorang maka barang itu dipulangkan dalam keadaan lebih baik dari sebelum digunakan. Barang yang terjaga dengan baik dipulangkan dalam keadaan baik seperti asalnya. Dibersihkan dengan cermat. Dinyahkan minyak atau sebarang kotoran yang melekat. Dibuang comot yang menconteng. Pada suatu ketika Haji Abas meminjam lampu gas (Lampu gantung yang diisi minyak tanah. Dinyalakan supaya minyak bertukar menjadi gas dan menghidupkan mentol sutera yang tergantung di dalamnya. Terang benderang dalam rumah atau dalam dewan.) Oleh kerana lampu itu agak kusam maka Haji Abas menggilapnya setelah tamat majlis di rumahnya. Gilap segilapnya sehingga memancar seperti baru. Selang beberapa ketika setelah dipulangkan, tuan lampu datang semula membawa lampu gasnya. Ia ingin memulangkan semula lampu itu kerana katanya lampu baru itu bukan miliknya. Lampu miliknya buruk dan kusam keadaannya. Haji Abas menyatakan bahawa lampu itu miliknya. Dia telah membersihkannya. Telah menggilapnya. Dia telah memastikan lampu itu dalam keadaan terbaik. Barulah pemilik lampu yang juga jirannya itu menerima jawapan Haji Abas.

Dinamakan lampu gas kerana apabila panas minyak tanah bertukar menjadi gas. Inggerisnya gasoline lamp. Minyaknya perlu selalu ditambah bila perlu. Perlu banyak kali dipam supaya kekal terang-benderang.


Hal yang sama terjadi kepada penulis di Kaherah ini. Beberpa kali meminjam periuk aluminium, pengisar (blender) atau barangan lain dari jiran. Sebelum dipulangkan dibersihkan dahulu dan digilap sederhana bersih dan sederhana kilat. Bukan berkilat sangat pun. Jika hendak dikilatkan sesunggunya memakan masa yang panjang. Jika barang itu sudah bersih dan berkilat mudah untuk menjaga dan menyenggara sahaja (maintain). Terkejut juga jiran-jiran kerana peralatan yang dipulangkan lebih bersih dan lebih kilat dari sebelumnya. Jadi gurauan pula bahawa sekiranya hendak bersihkan barang, pinjamkan kepada penulis. Sebenarnya peralatan memasak atau dapur perlukan perhatian yang khusus. Bukan sahaja dibersihkan bahkan perlu digilap setiap masa. Bersih dan berkilat. Perlu dimaintain bila digunakan. Hanya pada peringkat awal sahaja sukarnya. Pada peringkat seterusnya kerja-kerja itu memudahkan.
 
Lampu ini cukup minyak, cukup cukup gas dan cukup pam. Terang-benderang di sekeliling tempatnya tergantung. Kehidupan sebelum ada elektrik. Sewaktu penulis tinggal di rumah setinggan di kawasan Sunway pada taun 1976-79 dahulu, lampu gas inilah yang menerangi rumah penulis, untuk belajar, menghadapi peperiksaan. Nstalgik sungguh. 

Haji Abas sangat menjaga waktu. Selepas solat Isya’ dia akan berusaha untuk  tidur. Waktu solat lazimnya seawal waktu. Waktu makan juga di jaga. Anak-anaknya memahami bila waktu sarapan. Bila waktu makan tengahari. Bila waktu minum petang. Bila waktu makan malam. Cucu-cucunya perlu mengetahui waktu-waktu itu untuk meraikannya. Tidaklah boleh ikut peribahasa Inggeris, “When you are in Rome do as the Roman do.” Atau, “Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang lembu menguak.” Melayan orang tua melebihi dari melayan orang lain. Apatah lagi dia ibu dan bapa atau datuk dan nenek kita sendiri. Haji Abas selalu berbuat yang terbaik untuk tetamunya tanpa mengira yang datang itu anaknya atau cucunya atau sesiapa sahaja. Alangkah baiknya jika prinsip yang sama diambil dan diterap oleh anak dan cucunya.


Haji Abas sangat gembira jika dibawa berjalan-jalan. Ke rumah saudara-mara. Ke rumah sahabat-handainya. Ke mana sahaja dibawa berjalan. Hanya jika dibawa berjalan atau melancong sahaja dia dapat melihat dunia di luar Pekan Parit Sulung. Jika dibawa melancong ke luar negara mungkin lebih lagi seronoknya. Alangkah indahnya sekiranya ada yang berkesempatan membawa Haji Abas dan Hajjah Aminah melancong ke mana-mana. Hilangkan kebosananya hanya di Parit Sulung sahaja. Dalam usia 100 tahun Haji Abas tidak mungkin bertahan lama. Dalam usia Hajjah Aminah 90 tahun berapa banyak lagi udara yang akan disedutnya. Dunia yang terbentang ini sangat indah bagi keduanya jika anak dan cucunya bersedia mengorbankan sedikit tenaga, sedikit masa dan sedikit poketnya. Hanya sekelumit dari hidup yang masih panjang. InsyaAllah banyak barakahnya.

No comments:

Post a Comment