Kembara penulis
menemukan hal-hal yang kadang-kadang di luar kebiasaan. Di Jordan penulis jarang
melihat anjing. Mungkin ada tetapi sangat jarang. Jika ada sekalipun barangkali
tersembunyi. Namun di Kaherah banyak benar dilihat anjing. Ada yang liar dan
ada yang dipelihara. Anjing-anjing liar ini memang berkeliaran. Sifat liarnya
sama di mana-mana. Walaupun begitu ada kelainan yang sangat jelas kelihatan. Seperti
sesuatu yang melampaui pemikiran naïf kita orang dari Malaysia. Teringat
peribahasa, seperti anjing dengan kucing. Maknanya? Anak-anak sekolah tentu
mengerti. Orang dewasa juga mengetahuinya. Suatu persepsi yang stereotaip. Anjing
di Malaysia sifatnya bercakaran dengan kucing. Tiada yang mahu mengalah. Ini yang
mengelirukan penulis. Di Kaherah, anjing dan kucing tidak bergaduh. Tidak berebut.
Tidak hendak menang sendiri. Tidak menguasai keadaan. Tiada tamak dan gelojoh.
Senerionya seperti
tiada apa-apa yang berlainan. Seperti kebiasaan yang damai. Hidup tanpa
gangguan. Damai menjalani kehidupan sendiri. Berkongsi rezeki yang ada. Bebas berbuat
apa sahaja. Setiap pagi penulis dan isteri berpapasan dengan kawanan anjing
liar. Bukan seekor atau dua. Pada kebiasaannya hingga enam ekor. Seperti di
Malaysia penulis selalu berwaspada dengan kawanan anjing yang banyak. Bermacam-macam
perkara boleh berlaku. Mungkin menyerang. Mungkin menggigit. Paling menakutkan
ialah jika ada antaranya berpenyakit. Betul. Namanya juga menakutkan. Anjing gila.
Yang dilihat di Kaherah berlainan sekali. Mereka berjalan dengan selamba. Tiada
yang berkejaran. Tiada yang dilihat ganas. Tiada yang hendak menyerang. Suatu hal
yang penulis lihat ialah tiada anjing kurap di sini. Fizikal mereka seperti
terjamin sihat dan kuat.
Adalah pemandangan
biasa apabila kawanan anjing menyelongkar sampah sarap bersama-sama dengan
kucing. Tiada siapa yang hendak menang. Makanan cukup. Banyak. Mungkin sedikit
mewah. Dalam sampah itu ada rezeki yang melimpah ruah. Cukup untuk semua yang
memerlukannya. Anjing atau kucing tidak bermusuhan. Tidak ada yang menjerkah
antara satu sama lain seperti di Malaysia. Keharmonian yang tercipta antara makhluk
yang selalu tidak sejalan. Begitulah lain padang lain belalangnya. Haiwan juga
berlainan tingkah dan lakunya di tempat yang berbeza. Di negara yang tidak
semaju Malaysia haiwan boleh mewah. Tanpa pula berebut. Tidak tamak. Tidak mendendami
yang lain. Malah sifat berkongsi terserlah.
Masalah ekonomi adalah masalah sawarjagat. Siapa sahaja
berhadapan dengannya. Di mana sahaja. Pada bila-bila masa. Penting bagi manusia
dan haiwan mengenyangkan perutnya. Erti kenyang jauh dan panjang jelanya. Ular sawa
umpamanya akan berehat panjang setelah kekenyangan. Makan hanya ditelan
kesemuanya. Tanpa mengira saiz dan beratnya. Tanpa panjang atau pendeknya. Makan
tanpa mengenal rasa yang berbagai. Yang penting kenyang. Analoginya mungkin ada
manusia seperti itu. Telan apa sahaja yang boleh. Tiada hukum hakam yang
dipertimbangkan. Dalam teori sosiologi pula disarankan semua kerajaan memenuhi
kehendak rakyatnya. Terutamanya makanan dan minuman. Maknanya kenyang adalah istilah yang
sarwajagat. Semua orang memerlukan perutnya dikenyangkan. Secukup-cukupnya. Tidak
pula ada kebimbangan akan ada kekurangan pada hari-hari esoknya. Tanpa risau
akan terputusnya bekalan makanan. Tidak juga bimbang yang kuantiti dan
kualitinya berubah atau merosot.
Apabila perut kelaparan maka banyak yang tidak kena.
Sumber kekuatan menjadi menipis. Tenaga terhakis. Samalah apabila harga
barang-barang melambung maka yang dapat dibeli semakin berkurangan. Bertambah lapar
bermakna kurang kenyang. Banyak masa terkejar-kejar mencari kelebihan yang
sentiasa pula tidak mencukupi. Orang kaya tidak terhakis kayanya asalkan bijak
mengurus hartanya. Banyak pula bersyukur. Tidak kufur nikmat. Tetapi orang di bawah
menghabiskan pendapatannya untuk mengenyangkan perut. Peratus pendapatannya
yang dibelanjakan untuk makanan semakin meningkat. Manusia bercakaran kerana
lapar yang tidak kenyang. Perut yang kosongnya mengganggu pemikiran. Menggangggu
psikologi. Mengganggu ketenangan berkeluarga. Rengek orang-orang yang dikasihi
mengguris perasaan. Tiada ketenangan.
Melihat anjing dan kucing di Kaherah seperti
mendamaikan. Kehidupan yang meliar tidak menyekat untuk menghormati kehadiran
satu sama lain. Masih banyak ruang untuk bersama. Berdamping antara satu sama
lain. Yang dapat dilihat ialah keselesaan yang mengesankan. Bagi mereka yang
biasa berada di negara Arab pasti mengerti. Anjing dan kucing berbulu tebal. Lebat.
Tanpa kurap, kudis atau penyakit kulit yang lain. Mungkin istilah montel lebih tepat bagi
kucing. Anjing tidaklah montel tetapi segar fizikalmnya. Peribahasa kita tentang
anjing dan kucing tidak bermakna di Kaherah. Tidak bercakaran. Yang pentingnya
kedua jenis haiwan ini teratur hidupnya. Ke mana sahaja mereka berada, makanan
bukan masalah. Tong sampah berada di merata-rata tempat. Jengah sahaja
mana-mana tong pasti ada rezeki. Seolah-olah segalanya tersedia untuk mereka. Apa
namanya. Subsidi percuma. Rezeki terpijak. Perlu hidu dan selongkar. Itu sahaja.
Kenalah usaha. Rezeki tidak datang bergoleh. Tidak terbang melayang. Di dalam
Al-Quran hanya Siti Maryam, ibu Nabi Isa a.s. sahaja yang diceritakan rezekinya
tersedia di sampingnya. Rezeki dari Allah. Orang lain kena usaha untuk
mendapatkan rezeki.
Anjing dan kucing di Kaherah mencari rezeki dari sampah
yang melimpah ruah. Sampah menjadi rezeki yang mewah dan mengenyangkan. Kitaran
alam. Sampah bagi kita yang bernama manusia. Rezeki yang mengenyangkan bagi
haiwan liar. Selamat dimakan. Ternyah penyakit dari mereka. Pada kita semuanya sampah
yang perlu dibuang. Sampah yang busuk. Sampah yang menyampah untuk disimpan. Untuk
dilihat. Tidak bagi haiwan. Dalam timbunan sampah ada rezeki yang
mengenyangkan. Rupanya rezeki itu ada
martabatnya. Lain untuk manusia. Lain pula untuk haiwan. Mungkinkah haiwan perlukan
rezeki terbaik setaraf yang diperlukan manusia. Tentu. Ternakan yang diberi
makan sampah maka dagingnya liat seperti sampah. Di nagara Berat seperti USA,
lembu diberi makan jagung atau fodder. Mungkin rumput alfalfa. Sejenis rumput.
Bukan nama Arab. Sebab itu daging lembu di sana seratnya lembut. Enak di makan.
Sumbernya menyihatkan. Industri ternakan yang dijamin selamat. Makanannya bukan
sebarangan. Tidak seperti kita yang selalu tidak memberikan yang terbaik untuk
haiwan. Ironisnya kita yang memakan haiwan ternakan itu.
Mereka yang belajar pengurusan mengenali Teori
Abraham H. Maslow. Teori tentang keperluan ini dipelajari dari dahulu hingga
sekarang. Walaupun bukan kesemuanya betul namun ada bahagian-bahagian yang
boleh diterimapakai. Keperluan utama manusia ialah makanan. Untuk fisiologinya.
Kenyang di tempat yang pertama sebelum diikuti oleh keperluan yang lain. Apabila
kita bercakap tentang kenyang maka kita berhadpan dengan konotosi dan istilah
yang berbeza. Kepada kebanyakan orang kenyang bererti perutnya penuh. Sendat hingga
tiada ruang untuk bernafas. Tidurnya lena. Esok makanan sedia ada. Banyak lagi
yang hendak dimakan. Tidak hairan ramai antara kita yang obess. Makan melebihi had. Banyak
yang tidak mahu disia-siakan. Ada orang lain yang kenyang kerana memasak. Cukup
dengan mencicip untuk mengenalpasti kualiti. Cukup dengan bau yang dihidu
setiap kali memasak. Bagi yang lain kenyang bermakna melihat orang lain makan
dan minum. Begitulah ibu dan bapa yang selalu kenyang kerana anak-anak mereka
kenyang. Mereka berdua mungkin makan ala kadar sahaja. Anak-anak pula selalu
tidak sedar senerio yang berulang-ulang sepanjang hidup pasangan ibu dan bapa
itu. Perut anak-anak lebih penting dari perut mereka sendiri.
Makanan perlukan pengurusan yang bijaksana. Tanpa mengira
taraf sosial sesebuah keluarga sumber makanan adalah tersangat penting. Kita bukan
perlu keistimewaan. Penulis ingin perturunkan petua bapa mertua penulis sendiri.
Bekalan makanan hendaklah tersedia banyak.
1
Beras penuh dalam tempayan umpamanya.
2
Gula berkilo-kilo. Tepung gandum
berpaket-paket.
3
Teh dan kopi juga berpaket-paket.
4
Sayur penuh dalam peti ais.
5
Ikan kering sekilo dua.
6
Bawang penuh bakul.
7
Begitu juga bekalan lain yang berkaitan.
Membazir? Nanti dulu.
1 Senang. Semuanya tersedia.
2 Tidak berkeputusan.
3 Bila
ada tetamu terus memasak. Dalam sejam makanan terhidang. Lauk bukan perkara
utama. Hidangan yang paling simple kadang-kadang yang paling meyelerakan.
4 Melihat
bekalan makanan yang banyak sudah cukup mengenyangkan mata dan perut. Perasaan terjamin
bahawa makanan sentiasa tersedia di hadapan mata.
Walau bagaimanapun kita perlu beradap dengan
makanan. Berbahagi sama banyak atau sedikit. Semuanya dikongsi sama antara ahli
yang berhak. Didik anak-anak untuk sentiasa beradab semasa berhadapan dengan makanan. Halang
anak-anak dari berebut-rebut semasa makan. Halang dari berperangai tamak. Jauhkan
dari pelahap atau gelojoh. Rezeki yang dinikmati dikongsi bersama tanpa mengira
masa dan tempat. Yang penting ialah kenyang bersama. Kenyang yang menyihatkan. Mendamaikan.
Menjadikan hidup harmoni. Jangan lupa doa sebelum dan sesudah makan.
No comments:
Post a Comment