Saturday, December 27, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Hidup Berdikari Semasa Musibah



Muqadimah

Ketentuan Allah datangnya musibah. Tiada siapa yang meminta dan tiada siapa yang dapat menghalang. Setiap yang datang adalah ketentuan Allah. Kita beriman kepada Qada’ dan QadarNya. Setiap tahun negara kita ditimpakan musibah. Banjir kerana musim monsun Timur-Laut. Bertahun-tahun lamanya sejak dari dahulu lagi kita berhadapan dengan banjir ini. Ada masanya kecil tetapi pada kebanyakan masa ianya besar. Bukan sahaja mengorbankan hartabenda malah ada pula korban nyawa. Ajal mereka sampai pada ketika itu. Seperti kelaziman yang tertentu, bila banjir maka berpindahlah mereka yang terlibat. Menyelamatkan diri dan nyawa bukan hartabenda. Mungkin dokuman penting, wang ringgit dan barang kemas yang upaya dibawa bersama. Pakaian ala kadar. Sementara air bertakung. Sementara menunggu air kering. Berkampunglah biasanya di mana-mana sekolah yang kebetulannya sedang bercuti akhir tahun. Mungkin cuti akhir tahun yang panjang mengambilkira jangkaan musibah yang biasanya mendatang.

Senerio

Di pusat pemindahan lazimnya ada berbagai bentuk bantuan seperti makanan dan minuman, selimut, pakaian, perubatan, pengangkutan dan sebagainya. Alhamdulillah pada tahun ini ada khemah bagi setiap keluarga. Bolehlah lebih menjaga aurat ketika tidur dan menyalin pakaian. Ada privacy yang tersendiri. Dalam keadaan tertentu mereka yang terlibat perlu bersendirian mengenang nasib. Muasabah diri secara terhalang dari pandangan orang lain yang berada di sebelah menyebelah. Dalam pada itu sejak sekian tahun mereka yang terlibat di pusat pemindahan banjir dilayan dengan sangat istimewa. Makan dan minum disediakan. Apabila siap mereka maklum untuk makan sahaja. Tidak perlu terlibat:
1                   Membantu di dapur.
2                   Membasuh sayur dan menyiangnya.
3                   Menyiang ikan atau ayam.
4                   Memasak bersama sukarelawan.
5                   Berkemas di dapur.

Kesemua mereka diberi layanan kelas tinggi. Layanan VVIP. Very very important people. Apa yang dapat dilihat ialah:
1                   Mereka santai sesantainya. Berborak dari satu topik ke satu topik yang lain. Seolah-olahnya mereka dipindahkan kerana suatu pesta besar. Bukan musibah.
2                   Hanya menjadi pemerhati. Takut untuk mengotorkan tangan dengan memberi bantuan.
3                   Berbual kosong tanpa manhaj dan harakah. Masa habis begitu sahaja.
4                   Mundar-mandir tanpa berbuat sesuatu.
5                   Mendesak itu dan ini. Tidak cukup dengan makanan yang ada.
6                    Bersungut tidak mendapat makanan istimewa seperti daging dan ayam.
7                   Bersungut apabila lambat makanan disediakan. Tidak pula membantu untuk mempercepatkan proses memasak.
8                   Kepada mereka seolah-olah hak mereka mendapat layanan istimewa.

Sewajarnya di pusat pemindahan makanan hanya untuk hidup dan bukan untuk bermewah-mewah. Bantuan datang dari berbagai sumber. Kerajaan membantu dari segi logistik. Ramai rakyat lain yang menghulur bantuan. Banyak agensi dan syarikat yang memberi bantuan. Mereka yang terlibat dipindahkan ke pusat pemindahan diselamatkan dari ancaman bencana dan diberi keperluan untuk hidup. Bukan secukup-cukupnya hingga kekenyangan dan hilang akal budi. Bukan untuk menerima layanan lima bintang. Setiap tahun banyak sungutan di pusat pemindahan.
1                   Mangsa pemindahan merasakan layanan yang mereka terima tidak memadai. Mereka meminta lebih istimewa.
2                   Petugas pula keletihan bekerja dan dikritik. Badan letih, telinga sakit dan hati pula pedih.

Petugas Sukarelawan (suka, rela dan tidak melawan)

Petugas-petugas adalah mereka yang berkhidmat secara sukarela. Mereka dipanggil sukarelawan.
1                   Tanpa gaji. Tanpa bayaran. Tanpa upah. Tanpa ganjaran. Tanpa elaun.
2                   Berkhidmat dengan rela hati.
3                   Rumah mereka tidak terlibat banjir.
4                   Mereka tiada masalah berpindah-randah.

Maksudnya mereka ada pilihan untuk tidak mahu terlibat. Untuk tidak ambil tahu. Untuk tidak perlu berbuat apa-apa kecuali berehat di rumah bersama anak isteri/suami. Boleh menonton TV tanpa gangguan. Tanpa ada orang marah dan bersungut. Tanpa ada gangguan mental dan psikologi. Tetapi kerana sikap empati, dengan sukarela mereka berkhidmat siang dan malam. Bergilir-gilir menyediakan makan dan minum kepada mangsa banjir. Andainya dituntut bayaran, penulis kira RM100 sehari seorang tidak mencukupi. Siapa pula yang bersedia membayar keringat mereka. Bukan memasak untuk 10 atau 20 orang. Mungkin 500 hingga 1,000 orang. Kenduri besar setiap kali makan. Sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Tidak berhenti menyediakan makanan. Sewaktu mangsa sudah berehat dan tidur, petugas masih di dapur untuk berkemas. Berkira pula untuk tugas pada hari esoknya.

Menukar Paradigma Budaya

Penulis ingin membuat beberapa saranan untuk membina semangat kemanusiaan, bersosial dan bertanggungjawab di kalangan mereka yang dipindahkan di pusat-pusat pemindahan banjir.
1                   Apabila mereka telah selesai dikumpulkan lantik seorang ketua antara mereka. Lantik:
a.     Jawatankuasa penyediaan makan dan minum.
b.     Jawatankuasa pembersihan persekitaran.
c.      Jawatankuasa kesihatan.
d.     Jawatankuasa sukan, riadah dan permainan.
e.      Jawatankuasa pendidikan (agama, al-Quran dan tajwid, tiusyen, motivasi untuk anak-anak mengikut peringkat usia).
f.       Jawatankuasa wanita (program mendidik anak, keibubapaan, menjahit, masak-memasak).
g.     Jawatankuasa pengurusan stok makanan dan minuman.
2                   Beri mereka format dan bimbingan supaya semua hal mereka yang kendalikan. Sama-sama bertugas untuk memasak. Bukan sukarelawan. Mereka yang kerkhidmat untuk diri mereka sendiri dan keluarga mereka serta sahabat handai mereka.
3       Beri bantuan yang perlu sahaja. Bahan makanan telah disediakan. Mungkin bantu mencarikan guru atau ustaz yang bersedia membantu memberikan pendidikan kepada mereka dan anak-anak mereka. Mungkin di kalangan mereka ada guru dan ustaz/ustazah.
5                   Bantu mereka membuat jadual harian supaya kebanyakan mereka terlibat kecuali yang tua, uzur dan kanak-kanak.
6                   Pantau apa yang mereka lakukan supaya tidak berlaku pembaziran, tidak berlaku perbalahan dan wujud kerjasama yang baik.
7                   Jadikan pusat pemindahan sebagai pusat pelbagai aktiviti. Bukan hanya makan dan minum sahaja. Ianya menjadikan mereka bosan dan hanya lebih banyak bersungut kerana mereka tidak tergerak untuk membuat apa-apa aktiviti fizikal, mental dan intelek.

Penutup


Penulis percaya jika saranan ini diambilkira, pusat pemindahan dihuni oleh mereka yang peka dengan diri mereka sendiri. Tanpa orang lain yang memikirkan mereka. Mereka sudah diberi tempat perlindungan seadanya. Telah disediakan makan dan minum. Telah juga disediakan logistik yang lain. Cuma penglibatan mereka sahaja yang belum dieksploitasi. Dicungkil dari diri mereka. Bakat-bakat yang ada dimanfaatkan. Yang menajdi mangsa banjir berdikari. Kita yang tidak terlibat menyumbang dari luar. Dari jauh. Beri mereka peluang untuk dekat dengan diri mereka sendiri. Insyaallah banyak manfaatnya. Pihak yang berwajib atau sukarelawan hanya datang ziarah dan memantau. Cukup dan selesa. Pusat pemindahan disediakan dengan konsep layandiri. Bukan dilayan. 

Friday, December 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Dagangnya Islam di Akhir Zaman



Terharu apabila seorang demi seorang mereka yang bertaraf ulamak meninggalkan kita. Ulamak Jordan yang berusia 124 tahun baru kembali ke rahmatullah. Sebelum itu seorang ulamak Syria yang tulisannya sangat prolifik tentang ensaiklopedia tarikh Islamiyyah telah juga meninggalkan kita. Terguris hati apabila semakin galak majikan meminta bakal pekerja dan pekerjanya membuka tudung atau hijab. Lebih pilu apabila Yusof al-Qaradawi sudah dijejak oleh interpol. Waran tangkap ke atasnya sudah dikeluarkan. Penulis teringat hadith Nabi yang mafhumnya, “Akan sampai ketikanya ilmu Allah diangkat ke langit. Maksudnya Allah mematikan ulamak seorang demi seorang sehingga yang tinggal adalah mereka yang jahil-jahil belaka.” Ketika itu yang berlaku adalah kekecohan untuk mendapat habuan dunia sehingga masyarakat menjadi sangat bobrok. Menjadi sangat jelek. Dunia sudah tidak lagi memberi manfaat. Sudah tidak dimakmurkan dengan amal ibadat lagi. Maka kesemuanya akan dikembalikan kepada Allah. Tidak ada satupun yang akan tinggal kecuali mereka yang cetek ilmunya sahaja.

Rabi’ulawal 1436H menjelang tiba. Selama 1436 tahun Hijriyyah Rasulallah s.a.w. telah menitipkan Islam untuk kita semua. Rasulallah sangat mengasihi kita walaupun kita tidak hidup bersamanya di zamannya. Setakat mana kasih kita terhadap baginda. Perayaan demi perayaan kita sambut setiap tahun. Malangnya maksiat semakin parah menular dan merosakkan. Kita hilang pertimbangan diri. Kita hilang kawalan ke atas semua yang bernilai dari segi agama. Ulamak dipandang sepi. Mereka difitnah. Mereka yang pandai dalam bidang agama dipersoal ke”ulamak”annya. Nilai agama ditanya kepada mereka yang tiada latarbelakang agama. Ulasan tentang sesuatu hal agama bukan berpandukan al-Quran, al-Sunnah, qias dan ijmak tetapi menggunakan akal fikiran sendiri. Mengikut apa yang terlintas dalam pemikiran sebagai penganut agama. Bukan sebagai mereka yang ahli dalam agamanya. Malang sekali pendapat dari mereka yang bukan ahli itulah yang menjadi pegangan. Yang dianggap betul. Pendapat ulamak pula dikatakan condong memihak kepada kumpulannya sahaja. Pendapat ulamak kononnya dikhuatiri menyeleweng.

Akhir-akhir ini negara kita seperti sudah mula ditimpa musibah bersilih ganti. Banjir di Cameroon Highlands, Kelantan dan Terengganu dituruti pula di negeri Perak, Selangor, Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Sabah dan Johor memusnahkan harta benda. Bak tsunami air melanda. Banyak rumah yang rosak. Banyak kenderaan yang rosak. Jalan perhubungan terputus. Hanya lelehan airmata dan kesedihan kepada mangsa. Terbaru empangan di selatan Thailand pula dilepaskan airnya. Mudah-mudahan airnya tidak tiba di negeri Kelantan, Perlis dan Kedah. Allahuakbar. Hanya kepada Allah tempat kita mengadu. Maknanya musibah kali ini bukan calang-calang ujian dari Allah. Mungkin antara banjir paling besar yang pernah kita alami sebelum ini. Jika dahulu tidak ramai yang mengalaminya kerana rakyat belum ramai tetapi kali ini sangat mengharukan. Setiap saat ada sahaja maklumat dan beritanya.

Sebelum ini sudah Allah perlihatkan tanda-tandanya. Mungkin kita terlepas pandang. Kita menganggapnya fenomena alam. Perubahan cuaca. Kita cuba menganalisis secara saintifik. Ilmu itu benar tetapi kebenaran yang hakiki hanya dari Allah. Itu hakNya. Putting beliung di Pantai Timur telah beraku. Di Kedah berulang kali. Di Selangor juga berlaku. Ribut banyak kali. Kerang berlumba-lumba naik ke darat di negeri Terengganu. Kita masih juga tidak melihat di sebalik alamat-alamat yang Allah perlihatkan itu. Musim tengkujuh pula sekaranglah masanya. Kita tidak mengambilkira marabahaya yang bakal menimpa. Sekarang semuanya kenyataan. Kita alami tanpa meminjam pengalaman orang lain. Malah seluruh Asia Tenggara dilanda banjir seperti di Indonesia, Thailanda dan Filipina.

Kita ada Jabatan Kajicuaca. Jabatan ini membuat ramalan dari masa ke semasa. Tentulah kajian telah dibuat mengenai jangkaan bila hujan akan turun dengan lebatnya, berapa mililiter banyaknya, kawasan mana yang paling lebat dan banyak, berapa lama jangkaan hujan tersebut dan apakah musibah yang dijangka berlaku. Maknanya Jabatan Kajicuaca boleh meniup wiselnya dari awal-awal lagi. Malangnya mungkin ada tangan-tangan yang menghalang keluarnya amaran serius dari jabatan tersebut. Manusia seperti kita pula selalu lalai dan banyak menunggu. Ketika air sungai Kelantan hampir melepasi bentengnya masih ramai yang datang menontonnya. Bukan cepat-cepat meninggalkan Kota Bahru untuk menyelamatkan diri. Sekarang Kota Bahru tenggelam. Jika sekadar sekarang mungkin bangunan yang bertingkat-tingkat boleh bertahan. Yang rendah pastinya akan tenggelam. Mudah-mudahan banjir dari Thailand tidak menambahkan kesengsaraan rakyat Kelantan. Kerugian kali ini mungkin berbillion ringgit. Malapetaka selepas banjir juga akan menjadi gawat jika tiada persediaan ke arah itu. Penyakit mudah menular selapas banjir. Apatah lagi tanpa bekalan air bersih.


Orang Islam tersepit apabila bencana dan musibah banjir menimpa. Orang Islam ramai di kampung-kampung. Rumah mereka berhampiran dengan sungai atau di kawasan lembah dan tanah rendah. Banjir kali ini melebihi biasa besarnya. Kawasan yang dahulunya tidak tenggelam kali ini keadaannya tidak selamat. Air bukan sekadar setengah atau semeter tetapi hingga hampir 10 meter atau mungkin lebih. Bukit kecil kelihatan tidak selamat sebagai tempat perlindungan. Mungkinkah kita perlu melihat semula budaya kita membuat bandar dan kampung di tanah rendah. Kita belajar dari pengalaman. Berpindahlah ke tempat tinggi bagi mereka yang mampu. Tetepi janganlah pula bukit dan gunung diratakan. Biarkan ianya tinggi dan kita belajar untuk hidup di tempat tinggi seperti di negara lain di hemispiar utara dan di negara Arab. Jika tidak musibah banjir mungkin berlaku setiap tahun dengan ketentuan Allah. Kita berusahalah berada di tempat yang selamat. Berserah sahaja tidak membantu menyelamatkan diri. 

Cuma kadang-kadang terlintas juga dalam pemikiran. Mengapa sewaktu bencana sebegitu hebatnya jentera kerajaan pusat tidak digerakkan sepenuhnya. Tidak proaktif. Tidak bergerak pantas. Adakah banyak agenda politik yang disembunyikan. Mengapa tidak agenda kemanusiaan yang diserlahkan. Agenda sesama agama. Sesama suku bangsa. Sesama keluarga. Saudara-mara kita ramai di Kelantan. Ahli keluarga kita yang seketurunan dan seagama. Entahlah. Allah Maha mengetahui segala-galanya. Pada firasat penulis banjir ini menandakan banyak berakhirnya apa yang sudah bermula. Apa yang telah berlaku. Penilaian kemanusiaan kita lemah kerana kita dibelenggu dengan emosi yang tidak wajar. Pengajaran yang panjang masanya untuk sembuh. Luka yang melukakan. 

Wednesday, December 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Rupa Bangsa Yang Rosak



Apabila sesuatu berlaku sebenarnya kita lebih banyak melihat symptomnya sahaja. Ramai anak-anak muda Melayu dan Islam telah lama kecundang dalam arus pembangunan negara. Sistem pendidikan yang ada seperti tidak berjaya memandaikan mereka. Kebestarian mereka tidak terlihat. Politik ketuanan juga tidak membawa mereka ke arah yang mewajarkan imej dan peribadi mulia. Jatidiri yang cuba dibangunkan hilang entah ke mana. Yang terlihat ialah anak-anak muda yang hilang arah. Jika kita masih trauma dengan berbagai gejala sosial, sekarang kita dipapar dan dikejutkan dengan gejala keganasan yang bertaraf melampau. Keganasan yang mencederakan dan mungkin boleh membunah jika tidak dibendung segera. Itu hanya gambaran luaran. Yang dapat dilihat dengan mata kasar. Apa sebenarnya yang mempengaruhi perlakuan ganas dan mengancam ketenteraman itu? What are the underlying factors? Di mana silapnya? Pendidikan? Politik? Sosial? Agama? Apa dan apa?

Sejak sekian lama kita percaya dengan Falsafah Pendidikan yang telah disusun untuk memberikan roh kepada anak-anak bakal warganegara. Sayangnya falsafah itu nampaknya tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Anak-anak kita memiliki jasmani tetapi semakin hilang dari segi emosi dan kecerdasannya, rohani dan intelek. Ironisnya saban tahun dikatakan prestasi akademik pendidikan semakin meningkat. Yang nyatanya akhlak anak-anak muda ini semakin luntur. Tidak ramai orang melihat tingkahlaku devian anak-anak muda ini secara saksama. Yang paling banyak ialah melabel atau menstereotaip.

1                   Mereka dari keluarga yang tidak stabil. Atau keluarga berpecah belah.
2                   Mereka kurang mendapat pendidikan agama.
3                   Guru kehilangan sentuhan ajaib mereka.
4                   Masyarakat bukan model terbaik.
5                   Mereka berpendidikan rendah.
6                   Mereka dari anak-anak golongan berpendapatan rendah.
7                   Mereka adalah cerminan penduduk luar bandar.
8                   Ibu dan bapa sudah hilang kawalan.

Antara kita melantarkan berbagai pendapat dan berbagai pendekatan. Malangnya ramai antara kita hanya mampu melihat tetapi tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Mulut kita terkunci, lidah kita kelu dan tangan kita tidak mampu untuk mengangkat walaupun sebatang jari. Keadaan menjadi semakin kritis.

1                   Batas lelaki dan wanita seperti tiada hukumnya.
2                   Maksiat berleluasa.
3                   Yang arif tentang agama dikatakan dusta. Yang tidak arif tentang agama ramai pengikutnya.
4                   Dunia terlalu dipandang indah. Jalan ke akhirat selalu tercicir.

Suatu ketika dahulu orang Melayu/Muslim dikatakan memiliki berbagai sifat mulia. Ramai orang dari luar terpesona dengan sifat-sifat itu. Malah ada nukilan zaman yang memaklumkan bahawa penjajah alah dengan sikap berhati-hati orang Melayu. Sukar dipengaruhi. Jauh sekali menukar akidah dari Islam kepada Kristian. Beratus-ratus tahun mereka di sini namun mereka gagal dalam misi besar mereka itu. Apakah Melayu masih sinonim dengan:

1                   Lemah lembut. Sains dan teknologi menghakis sifat lembut. Yang kekal lembut mungkin lagu-lagu Melayu asli. Seni yang juga hilang keutamaannya.
2                   Berbudi bahasa. Sifat ini hilang kerana mereka keluar dari tradisi. Hormat-menghormati yang tidak lagi dipandang penting. Mereka tidak ada rasa nostalgik kepada warisan bangsa.
3                   Bertoleransi. Melayu baru yang cuba diusahakan menjadi mereka yang keluar dari sifat-sifat asalnya iaitu lemah lembut dan berbudi bahasa. Mereka jadi sibuk, kalut dan selalu buntu berfikir.
4                   Bersifat malu? Anak-anak Melayu sudah kehilangan kesemuanya. Terlalu sedikit yang malunya masih dikekalkan. Yang lain hilang rasa malu, sifat aib dan perasaan segannya hilang. Mereka membebaskan diri dari tradisi Melayu.
5                   Peramah. Di kampung mungkin ianya benar tetapi di bandar keadaan sudah berubah. Jiran tetangga tidak mesra. Berpapasan tetapi tiada sapa dan senyum. Semua urusan secara profesional. Mengikut prosedur. Mengikut piagam pelanggan. Ciri-ciri kemanusiaannya hilang dari perhatian.  Bahasa adalah nilai bangsa. Bahasa wajarlah menunjukkan roh bangsa. Istilah-istilah memenuhi keperluan teknologi tetapi kehilangan roh bangsa.

Maka yang terlihat ialah sisi negatif anak-anak muda yang hilang arah. Hilang harga diri. Hilang jatidiri. Hilang ciri-ciri Melayu/Islamnya. Mereka bertukar menjadi internasional. Bertukar gaya hidup. Bertukar nama. Bertukar gaya berpakaian. Bertukar gaya makan. Bertukar pemikiran. Mereka membuang sifat-sifat Melayu yang mereka warisi. Sifat-sifat yang so dear to their ancestors. Pada suatu sisi kita ambil pendekatan mudah untuk menyalahkan mereka. Mereka sudah di alam menjelang dewasa. Perlu membina kematangan. Benar, siapa role modelnya? Mari kita pandang sekeliling diri kita. Siapa yang layak menjadi role modelnya.

1                   Ibu dan bapa terlalu sibuk untuk menjadi role model. Mereka mampu menyediakan keperluan kewangan tetapi kurang dari segi keperluan kasih sayang. Kurang dari segi membina kemanusiaan di kalangan anak-anak mereka.
2                   Guru bukan role model tetap. Hanya di sekolah sahaja. Waktunya singkat. Guru juga seperti manusia lain. Kadang-kadang hilang sifat gurunya. Sama seperti orang dewasa lainnya.
3                   Pemimpin juga bukan role model yang khusus. Pemimpin dan anak muda tidak banyak bersemuka. Tidak ada eye contact. Tidak berinteraksi.

Apa yang kita perhatikan ialah lahirnya sifat keras dan memberontak. Pada amnya persekitaran orang Melayu tidak kondusif lagi. Perhatikan senerio berikut:

1                   Pendapat anak-anak disanggah. Tidak didengar dan diberi penilaian yang adil.
2                   Di sekolah anak yang diam dikatakan yang baik. Suatu penilaian yang salah. Anak yang baik harus diberi ciri-ciri baru  iaitu berani bercakap, berani berhujjah tanpa emosi, berani mencuba, membuat eksperimen, membuat hipotesis, dibenarkan membuat kesilapan yang bukan fatal. Mereka diajar merancang, mengorganisasi, memantau, meimikir dan menanggung akibat.
3                   Di IPT anak-anak dibenarkan bersuara asalkan ada batas-batasnya. Tidak merosakkan harta benda, tidak menganggu ketenteraman awam dan tiada keganasan. Tentera dan polis boleh membantu untuk mendidik mereka.  Interpretasi perundangan istilah-istilah itu biarlah adil.


Dalam Bahasa Inggeris ada istilah yang dinamakan amuk. Orang Melayu sangat pendiam, suka berundur dari berhadapan dengan masalah tetapi menyimpan perasaan yang berat. Mungkin selama ini banyak yang terpendam di hati orang Melayu. Disalurkan kepada anak-anak secara tidak langsung. Keluhan ibu dan bapa menjadi keluhan anak-anak. Marah ibu dan bapa menjadi marah anak-anak. Ketidakmampuan juga mengganggu jalan berfikir. Sewajarnya sekarang ini suatu penyelidikan sosiologi dilakukan untuk melihat dari dalam apa sebenarnya yang melanda emosi dan rohani anak-anak muda Melayu. Mungkin juga jawapannya nanti menunjukkan kegagalan orang Melayu membangunkan keturunannya. Allahu a’lam. 

Sunday, December 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Firasat Seorang P Ramlee


Sudah lebih 40 tahun dia meninggalkan kita. Airmata di Kuala Lumpur lagu nyanyian Saloma, isterinya, menggambarkan kesedihan ramai warga Malaysia ketika itu. Hingga sekarang filem-filemnya tetap digemari. Merentasi generasi. Merentasi etnik warga Malaysia. Lagu-lagunya tetap diminati melalui Kelasik Nasional. Lagu Dendang Perantau umpamanya tetap berkumandang setiap menjelang Hari Raya. Dialah pelakon, penyanyi, pengarah, penulis skrip, penggubah, penyusun, pelawak, dramatis dan pemain sepak takraw di Kampung Siglap di Singapura. Mengimbau kembali filem-filemnya, penulis terpanggil untuk membuat suatu sorotan zaman. Adakah P Ramlee seorang genius? Atau adakah dia memiliki firasat zaman?

Pertama: Tikar Terbang

Penulis tidak dapat membayangkan bahawa lakonan P Ramlee dalam filem DoReMe menjadi realiti. Siapapun tidak pernah terfikir bahawa tikar terbang itu realiti sehinggalah Tragedi MH370 terjadi. Rasanya hampir keseluruhan rakyat Malaysia dan mungkin nusantara memahami lakonan P Ramlee dengan tikar terbangnya. Zam zam ala kazam. Sampailah mereka ke negara Pasir Berdengung. Rajanya bersemanyam di bawah sebatang pokok. Setelah hampir 40 tahun perginya P Ramlee, tikar cuba diterbangkan. Kenapa tidak kita ambil iktibar. Bahawa kita perlu mengangkat martabat bangsa dengan ilmunya. Dengan teknologinya. Mengapa tidak difikirkan pengangkutan yang senipis tikar boleh terbang. Melangkaui masalah kesesakan jalanraya, masalah parkir, masalah kos, masalah sosial, masalah alam sekitar dan masalah politikal.

Kita harus berfikir lebih jauh. Sultan boleh bersemanyam di bawah pokok. Yang penting bukan tempat. Bukan suasana. P Ramlee melambangkan bahawa yang penting ialah autoriti yang telus. Tanpa dinding dan tanpa bumbung. Tanpa tembok dan tanpa sekatan bilik-bilik yang memisahkan. Tanpa segrigasi dan tanpa segmentasi. Setiap orang boleh melihat dengan terus mata. Tidak perlu mencuri pandang. Tidak perlu membuat intaian. Sesiapa sahaja boleh melihat tanpa hadangan. Tanpa hijab buatan manusia. Pemerintah pula melaksanakan tanggungjawabnya seadanya. Dengan kapasiti yang tersedia. Tiada belanjawan defisit. Tiada belanjawan lebihan. Jalankan tanggungjawab seperti yang diperlukan. Malah realiti bawah pokok berlaku di Perak beberapa tahun yang lalu apabila sebuah kerajaan tumbang dan berlaku perebutan kuasa. Menteri Fasola sahaja yang bersembunyi di dalam gua. Menunggu buluh runcing menikam kakinya. Senjata yang paling dasar yang terdapat di sekeliling kita. Begitulah simplenya pemikiran P Ramlee.

Kedua: Orang Besar Yang Menjaga Kepentingan Diri Mereka Sahaja

Barangkali filem Musang Berjanggut melambangkan realiti masyarakat kita hari ini. Pertamanya, sukar mencari isteri sejati. Kedua, pembesar-pembesar negara yang lalai dan hanya mengejar kepentingan diri. Ketiga, penguasa yang menjaga kepentingan diri. Zaman banyak berubah. Mungkin musang berjanggut hanya dongengan. Tidak mungkin wujud dalam realiti. Yang mengusik jiwa kita ialah garapan P Ramlee memaparkannya di layar perak betapa lawak itu banyak mengenai realiti diri kita orang Melayu. Dari mereka yang berada di atas hingga mereka yang berada di aras yang paling bawah. Wanita yang bernama isteri sukar dicari. Kecerdasannya berfikir sangat luarbiasa. Bila dijumpai semua lelaki menjadi sasau silau terpukau melihat kecantikan rupa parasnya dan tingkah lakunya.

1                    Kecantikan datangnya dari dalam. Diserlahkan pada rupa wajah. Diwarnai dengan akhlak yang mulia.
2                    Ramai lelaki meminati milik orang lain sehingga lupa miliknya juga tidak banyak bezanya.
3                    Ramai orang ingin mendapatkan yang bukan hak dan tidak halal sedangkan dirinya berkecukupan dengan apa yang diperlukannya.

Dialog cantik ini sangat mengujakan:

Datuk nikah kahwin lupa siapa dirinya. Melanggar undang-undang dan larangan agama. Rasanya P Ramlee bukan menghina golongan agamawan tetapi yang cuba diketengahkan ialah sensitifnya kita tentang hukum-hakam agama. Namun kita masih tidak dapat menghindarkan diri dari maksiat dan melanggar perintah Allah. Pemegang kuasa tahu had kuasa yang ada pada mereka tetapi selalu melampaui batas itu. 

Puspawani: "Kanda-kanda, salah tak kalau lelaki masuk ke rumah perempuan ketika suaminya tiada di rumah?"
Datuk Nikah Kahwin: "Ooh! Salah besar tu." 
Puspawani: "Kalau gitu kanda ni salahlah?"
Datuk Nikah Kahwin: "Ya salah jugak. Tapi dinda jangan bimbang. Undang-undang kanda yang bikin. Kanda boleh ubah.” 

Bukan undang-undang yang diubah tetapi pelaksanaannya yang selalu diubah. Disesuaikan dengan siapa yang terlibat. Filem ini cukup tajam sindiriannya dalam lawak yang santai dan menghiburkan. Gula-gula yang bersalut pedas.


Ketiga: Hilangnya Sifat Usahawan

Dalam filem Tiga Abdul, Ismith Ulam Raja sangat kaya. Hartanya di dalam negara dan di luar negara. Sehingga waris-warisnya sendiripun tidak mengetahuinya. Pada waktu kritikal sahaja mereka diberi maklum tentang adanya harta itu. Itupun kepada yang berhak sahaja.

1                    Kekayaan perlulah diperolehi melalui usaha yang istiqamah. Tidak ada tipu muslihat dan menggunakan jalan-jalan pintas yang tidak wajar.
2                    Keadilan dalam faraid adalah untuk kesejahteraan dan kebahagian bersama semua ahli waris. Keadilan mesti ditegakkan walau dalam keadaan apa sekalipun.
3                    Semua keputusan mestilah dengan menggunakan ketenangan fikiran, berpandangan jauh dan memikirkan kesejahterana keluarga, keturunan dan ummah.

Keempat: Pentingnya Amanah

Hari ini kita banyak membicarakan tentang perlunya amanah dalam kehidupan. Dalam filem Anak Bapak diketengahkan konsep ini. Seorang anak suka berjoli tetapi dia tidak mengusik harta ibu dan bapanya. Amanah itu dijalankan dengan sempurna. Dia hanya berjoli dengan haknya sahaja. Masih ramaikah wujudnnya anak jenis ini. Masih ramaikah lagi anak bangsa yang bersedia menjaga hak negaranya. Hak watannya. Hak bangsanya. Apabila berkawan dia tidak mengambil kesempatan. Tidak mengkhianati rakan dan taulan. Malah pemurah dan adil kepada orang-orang bawahannya. Kita menjajakan amanah tetapi sifat amanah tidak dimanifestasikan dalam kehidupan bersosial atau kehidupan berorganiasi. Suatu realiti yang menjengkelkan.

Kelima: Kepentingan Pertanian

P Ramlee telah menunjukkan jalan bagaimana pertanian sangat penting dalam kehidupan. Semua kita boleh melakukannya kerana orang kita memiliki tanah. Dalam filem Ahmad Albab P Ramlee memberikan gambaran betapa pentingnya pertanian untuk kehidupan kita. Perindustrian sebagai tambahan. Pertanian adalah dasar. Sumber makanan dan ekonomi. Kaedahnya atau mekanismanya sahaja yang perlu difikirkan. Jadikan pertanian berdaya saing dan berdaya maju. Sayang, negara kita yang maju dan subur tanahnya membiarkan tanah kosong tanpa usaha. Kita terlalu selesa ke pasar untuk membeli sayur. Tidak ke sekeliling rumah untuk memetik sayur tanaman sendiri. Dari tangan kita sendiri. Tanpa racun yang membahayakan.

Keenam: Akhlak Melayu/Islam

Filem Seniman Bujang Lapok pula sangat memberi tamparan kuat kepada sikap prejudis sebahagian dari kita. Suka hasad. Suka memperlekehkan orang lain. Mereka yang baru berusaha diperkecil-kecilkan usahanya. Yang baru belajar diberi cemuhan. Seorang pengawal berbangsa Sikh mengajar kita untuk:

1                    Berbudi bahasa sesama kita. Menghormati orang lain tanpa mengira kedudukan mereka. Santuni mereka walaupun mereka kelihatan tiada apa-apa yang signifikan untuk mereka sumbangkan kepada kita.
2                    Bantu orang lain yang sedang giat berusaha untuk maju. Paling kurang berikan sokongan moral. Beri motivasi. Jika boleh berikan panduan mengikut  pengalaman orang terdahulu yang telah berjaya.

“Lu pu satu. Macam mana you punya bangsa mau maju. Belum apa-apa sudah cakap macam-macam.” Pedas dialog ini. Tapi itulah realiti di sekeliling kita. Yang negatif mengatasi yang positif. P Ramlee juga bijak psikologi. Sebelum berkomunikasi beri pujian dahulu. Lazimnya manusia teruja apabila dipuji. Boleh menundukkan egonya. Dia akan tenggelam dalam pujian itu. Dalam bahasa biasa kita katakan, lambung dahulu sebelum kita berikan nasihat yang wajar. Sebelum kritik yang mebina. 


Kita semua tertawa menonton gelagat lawak P Ramlee dan rakan-rakannya. Kita lupa bahawa yang kita tertawakan mungkin terkena kepada antara sesama kita. Diri penulis dan sebahagian dari diri pembaca. Yang menjadi bahan lawaknya adalah kita sendiri. Begitulah halusnya garapan P Ramlee sehingga kita tidak menyedari bahawa lakonan itu adalah imbasan realiti masyarakat. Kita lupa bahawa apabila kita mentertawakan orang lain sebenarnya kita mungkin mentertawakan diri kita sendiri. Lawak itu ditujukan kepada kita. Kita menjadi badut-badut zaman. Tiada siapa menyangka P Ramlee telah menyatakan firasatnya bahawa itulah wajah masyarakatnya setelah 40 tahun ditinggalkannya. Dia tidak membadutkan dirinya. Dia melihat bayangan badut itu dalam masyarakatnya lama sebelum ianya terjadi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Semoga kita terkeluar dari menjadi badut akhir zaman. Semoga Allah memberkati kita semua.