Wednesday, December 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Rupa Bangsa Yang Rosak



Apabila sesuatu berlaku sebenarnya kita lebih banyak melihat symptomnya sahaja. Ramai anak-anak muda Melayu dan Islam telah lama kecundang dalam arus pembangunan negara. Sistem pendidikan yang ada seperti tidak berjaya memandaikan mereka. Kebestarian mereka tidak terlihat. Politik ketuanan juga tidak membawa mereka ke arah yang mewajarkan imej dan peribadi mulia. Jatidiri yang cuba dibangunkan hilang entah ke mana. Yang terlihat ialah anak-anak muda yang hilang arah. Jika kita masih trauma dengan berbagai gejala sosial, sekarang kita dipapar dan dikejutkan dengan gejala keganasan yang bertaraf melampau. Keganasan yang mencederakan dan mungkin boleh membunah jika tidak dibendung segera. Itu hanya gambaran luaran. Yang dapat dilihat dengan mata kasar. Apa sebenarnya yang mempengaruhi perlakuan ganas dan mengancam ketenteraman itu? What are the underlying factors? Di mana silapnya? Pendidikan? Politik? Sosial? Agama? Apa dan apa?

Sejak sekian lama kita percaya dengan Falsafah Pendidikan yang telah disusun untuk memberikan roh kepada anak-anak bakal warganegara. Sayangnya falsafah itu nampaknya tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Anak-anak kita memiliki jasmani tetapi semakin hilang dari segi emosi dan kecerdasannya, rohani dan intelek. Ironisnya saban tahun dikatakan prestasi akademik pendidikan semakin meningkat. Yang nyatanya akhlak anak-anak muda ini semakin luntur. Tidak ramai orang melihat tingkahlaku devian anak-anak muda ini secara saksama. Yang paling banyak ialah melabel atau menstereotaip.

1                   Mereka dari keluarga yang tidak stabil. Atau keluarga berpecah belah.
2                   Mereka kurang mendapat pendidikan agama.
3                   Guru kehilangan sentuhan ajaib mereka.
4                   Masyarakat bukan model terbaik.
5                   Mereka berpendidikan rendah.
6                   Mereka dari anak-anak golongan berpendapatan rendah.
7                   Mereka adalah cerminan penduduk luar bandar.
8                   Ibu dan bapa sudah hilang kawalan.

Antara kita melantarkan berbagai pendapat dan berbagai pendekatan. Malangnya ramai antara kita hanya mampu melihat tetapi tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Mulut kita terkunci, lidah kita kelu dan tangan kita tidak mampu untuk mengangkat walaupun sebatang jari. Keadaan menjadi semakin kritis.

1                   Batas lelaki dan wanita seperti tiada hukumnya.
2                   Maksiat berleluasa.
3                   Yang arif tentang agama dikatakan dusta. Yang tidak arif tentang agama ramai pengikutnya.
4                   Dunia terlalu dipandang indah. Jalan ke akhirat selalu tercicir.

Suatu ketika dahulu orang Melayu/Muslim dikatakan memiliki berbagai sifat mulia. Ramai orang dari luar terpesona dengan sifat-sifat itu. Malah ada nukilan zaman yang memaklumkan bahawa penjajah alah dengan sikap berhati-hati orang Melayu. Sukar dipengaruhi. Jauh sekali menukar akidah dari Islam kepada Kristian. Beratus-ratus tahun mereka di sini namun mereka gagal dalam misi besar mereka itu. Apakah Melayu masih sinonim dengan:

1                   Lemah lembut. Sains dan teknologi menghakis sifat lembut. Yang kekal lembut mungkin lagu-lagu Melayu asli. Seni yang juga hilang keutamaannya.
2                   Berbudi bahasa. Sifat ini hilang kerana mereka keluar dari tradisi. Hormat-menghormati yang tidak lagi dipandang penting. Mereka tidak ada rasa nostalgik kepada warisan bangsa.
3                   Bertoleransi. Melayu baru yang cuba diusahakan menjadi mereka yang keluar dari sifat-sifat asalnya iaitu lemah lembut dan berbudi bahasa. Mereka jadi sibuk, kalut dan selalu buntu berfikir.
4                   Bersifat malu? Anak-anak Melayu sudah kehilangan kesemuanya. Terlalu sedikit yang malunya masih dikekalkan. Yang lain hilang rasa malu, sifat aib dan perasaan segannya hilang. Mereka membebaskan diri dari tradisi Melayu.
5                   Peramah. Di kampung mungkin ianya benar tetapi di bandar keadaan sudah berubah. Jiran tetangga tidak mesra. Berpapasan tetapi tiada sapa dan senyum. Semua urusan secara profesional. Mengikut prosedur. Mengikut piagam pelanggan. Ciri-ciri kemanusiaannya hilang dari perhatian.  Bahasa adalah nilai bangsa. Bahasa wajarlah menunjukkan roh bangsa. Istilah-istilah memenuhi keperluan teknologi tetapi kehilangan roh bangsa.

Maka yang terlihat ialah sisi negatif anak-anak muda yang hilang arah. Hilang harga diri. Hilang jatidiri. Hilang ciri-ciri Melayu/Islamnya. Mereka bertukar menjadi internasional. Bertukar gaya hidup. Bertukar nama. Bertukar gaya berpakaian. Bertukar gaya makan. Bertukar pemikiran. Mereka membuang sifat-sifat Melayu yang mereka warisi. Sifat-sifat yang so dear to their ancestors. Pada suatu sisi kita ambil pendekatan mudah untuk menyalahkan mereka. Mereka sudah di alam menjelang dewasa. Perlu membina kematangan. Benar, siapa role modelnya? Mari kita pandang sekeliling diri kita. Siapa yang layak menjadi role modelnya.

1                   Ibu dan bapa terlalu sibuk untuk menjadi role model. Mereka mampu menyediakan keperluan kewangan tetapi kurang dari segi keperluan kasih sayang. Kurang dari segi membina kemanusiaan di kalangan anak-anak mereka.
2                   Guru bukan role model tetap. Hanya di sekolah sahaja. Waktunya singkat. Guru juga seperti manusia lain. Kadang-kadang hilang sifat gurunya. Sama seperti orang dewasa lainnya.
3                   Pemimpin juga bukan role model yang khusus. Pemimpin dan anak muda tidak banyak bersemuka. Tidak ada eye contact. Tidak berinteraksi.

Apa yang kita perhatikan ialah lahirnya sifat keras dan memberontak. Pada amnya persekitaran orang Melayu tidak kondusif lagi. Perhatikan senerio berikut:

1                   Pendapat anak-anak disanggah. Tidak didengar dan diberi penilaian yang adil.
2                   Di sekolah anak yang diam dikatakan yang baik. Suatu penilaian yang salah. Anak yang baik harus diberi ciri-ciri baru  iaitu berani bercakap, berani berhujjah tanpa emosi, berani mencuba, membuat eksperimen, membuat hipotesis, dibenarkan membuat kesilapan yang bukan fatal. Mereka diajar merancang, mengorganisasi, memantau, meimikir dan menanggung akibat.
3                   Di IPT anak-anak dibenarkan bersuara asalkan ada batas-batasnya. Tidak merosakkan harta benda, tidak menganggu ketenteraman awam dan tiada keganasan. Tentera dan polis boleh membantu untuk mendidik mereka.  Interpretasi perundangan istilah-istilah itu biarlah adil.


Dalam Bahasa Inggeris ada istilah yang dinamakan amuk. Orang Melayu sangat pendiam, suka berundur dari berhadapan dengan masalah tetapi menyimpan perasaan yang berat. Mungkin selama ini banyak yang terpendam di hati orang Melayu. Disalurkan kepada anak-anak secara tidak langsung. Keluhan ibu dan bapa menjadi keluhan anak-anak. Marah ibu dan bapa menjadi marah anak-anak. Ketidakmampuan juga mengganggu jalan berfikir. Sewajarnya sekarang ini suatu penyelidikan sosiologi dilakukan untuk melihat dari dalam apa sebenarnya yang melanda emosi dan rohani anak-anak muda Melayu. Mungkin juga jawapannya nanti menunjukkan kegagalan orang Melayu membangunkan keturunannya. Allahu a’lam. 

4 comments:

  1. Saya pernah bersekolah di kampung & bandar. Di kawasan bandar memang lebih liberal dari segi berkawan, percampuran kaum & percampuran gender. Tapi bukanlah bermaksud boleh semuanya. seks bebas boleh lebih teruk di kampung, Felda atau perkampungan nelayan. Di kota antara jiran tak setiap waktu berjumpa, kadang 3-4 hari atau hari minggu baru bersua, tapi perhubungan tu dihargai & dihormati. Di kampung ada saja yg bakal jadi bahan cerita, kurang keluar orang cakap, terlebih keluar pun org kata. Semakin ketat peraturan, semakin rebel manusia. Banyak perkara yang dilebihkan sangat. Adakah betul perhubungan gender perlu dibataskan dengan dinding yg begitu tegang. Atau perlu pengukuhan dalaman batas perhubungan, tidak kira sesama gender, berbeza gender, berbeza usia. Masa saya zaman universiti dulu, blok kediaman lelaki saya dengan blok wanita bersebelahan hanya berjarak kurang 50m, tanpa ada apa2 pagar atau penghadang, liberal? Tidak la bersidai pelajar lelaki & wanita, tapi kalau ada keperluan berhubung, berlaku secara harmoni sesuai dengan fitrah manusia yang sukakan keceriaan, bukanlah tegang semata. Malah blok lelaki menjadi pelindung blok wanita. Malangnya ada kes seksual pelajar masa itu berada di kolej kediaman wanita, yang berpagar dari kemasukan pelajar lelaki.

    ReplyDelete
  2. Kata2 ramai ustaz & ustazah begitu kontra dengan apa yang saya baca mengenai sirah muhammad. Kenapa pada zamannya tidak saja dikurung aisyah, malah boleh pula bebas berinteraksi dengan orang lain, jangan kata iman semasa berbeza, jika masa itu pun ada munafikun, fitnah juga tersebar. Malah antara sahabat, ali itu agak lemah sosial kerana tegang perasaan, menimbulkan masalah juga pada perkahwinannya. Umar itu walau kurang berfikir panjang dan garangnya tetapi begitu memuliakan tetamu. Waktu kecil yang harus diisikan keindahan keimanan, bersayang2, tetapi terus diasak dengan ketakutan, peraturan yang berlebihan. Ajaran muhammad yang meminta kita berada dalam unconditional love & unconditional respect, tidak kira sesama atau berlainan agama, kaum, gender atau fahaman, itu tidak diendahkan. Adakah menghalang muhammad dari berbakti kepada wanita, yahu di, menghina pulak tu di pasar madinah sehingga akhir hayatnya.

    ReplyDelete
  3. Kenapa asal islam tidaklah begitu banyak hukuman, selain panduan balas balik & kisas. Yang lain2 pun berbentuk panduan utk zakat, muamalat etc. Dalam pada kita sibuk buat peraturan & hukuman, tidakkah kita berfikir hukum itu milik Allah. Tidakkah lari akidah jika kita berasakan kita ini penghukum, pembuat peraturan2 yang menghukum, unconsciously tidak berasakan obsolute penghukum itu adalah Allah. Tidakkah kita dapat melihat hukum had yang besar itu adalah kerana melibatkan sosial & menyusahkan manusia lain, arak, zina, tuduh zina, curi. Tidaklah diminta jatuhkan hukuman sebab mengelat zakat, tidak bersolat jamaah atau berpuasa kecuali yang berhak seperti ibubapa boleh merotan jika cukup umur solatnya, tetapi bukanlah hukuman awam. Tidakkah berasa itu adalah bersifat dosa individu kepada Allah. Kenapa dirisaukan janji Allah tentang hukuman itu, kita pula yang sibuk hendak menghukum. Sedangkan hukum yang Allah kenalkan itu hanya berlaku sekali sekala, sebagai peringatan pada manusia, tu pun mungkin Allah bagi peluang, tapi dah berlaku berkali2.

    ReplyDelete
  4. Golongan perancang itu ada ahlinya. Muhammad dahulu telah menunjukkan pendapat abu bakar lebih diterima daripada umar yang meluru sahaja hukumnya. Tidak semua boleh saja jadi perancang. Kerana perancang itu berbeza corak fikirannya, observe nya berbeza, penilaian kebarangkalian, penilaian risiko dan sebagainya, bukanlah sekadar 'saya rasa' tanpa ada asas kukuh, atau hanya berdasar2 perkara didepan mata. Perancang itu kadang-kala, umpama hang nadim, berkata buat apa kita begitu complicated, berdiang manusia & senjata melawan todak, tak praktikal langsung, buat la kubu batang pisang. Tapi biasa la, memang dah typical melayu, hang nadim ni kena la difitnah, bunuh sebab rasa tercabar, sama je sampai sekarang. Sebaliknya planner juga kata kalau ada 10 hari utk tebang pokok, ambil 9 hari untuk mengasah kapak. Bagitu juga planner juga kata, lagi tinggi bangunan nak dibina, lagi kukuh asas yang perlu dibuat.

    Kadang kala jika kita bukan ahlinya, yang terbaik ialah DIAM.

    ReplyDelete