Thursday, December 19, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mengangkat Keluarga Angkat

Dalam kebiasaan kita, tedapat segelintir antara kita yang suka berkeluarga angkat. Yang muda diaku anak. Yang tua diaku bapa atau ibu. Ada pula kakak dan adik angkat. Abang dan adik angkat. Ada keluraga angkat. Hubungan ini dicipta dalam keadaan yang selalu tidak sesuai. Lazimnya tidak syarie. Tidak ada hubungan kekeluargaan. Tidak ada hubungan darah. Malah kebanyakannya melibatkan antara lelaki dan perempuan. Masalahnya  antara mereka bukan mahram. Akibatnya berlaku musibah. Mungkin maksiat. Berlaku pergaulan yang terlalu bebas atas dasar angkat-mengangkat. Apabila kita mendalami agama Islam kita terasa kejanggalannya. Ketidakwajarannya. Mana mungkin dibenarkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram bergaul bersama. Kadang-kadang terlalu bebas hingga berpegang-pegangan tangan tidak ada sekatan langsung. Berjabat tangan atau sentuh-menyentuh.

Cuba kembali ke pangkal hukum. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram hukumnya haram bercampur gaul. Terpandang sekali tidak senghaja. Kerana itu tiada masalah. Tetapi apabila berhadap-hadapan pada kebanyakan masa tentulah masalah kepada hukum. Kepada agama. Kepada iman. Bergaul pula dalam ruang yang sama. Rumah yang sama. Di sudut yang sama. Ada pula yang tinggal serumah dengan asbab nipis bahawa mereka adik-beradik angkat. Kenalan lama. Malah saudara mara yang bukan mahram dilihat seperti adik-beradik. Senario ini menjadi lumrah di kalangan orang Melayu yang memandang ringan akan ketetapan hukum. Islam tidak difahami hingga ke dasarnya. Banyak larangan yang dilunakkan atas dasar sudah menjadi kebiasaan. Sudah lumrah. Kesemua larangan dilanggar sewenang-wenangnya. Sudah tiada siapa yang disegani. Tiada yang ditakuti. Tiada yang dirujuk tentang halal dan haramnya. Apabila hukum diletak di tangan sendiri malanglah diri kerana mendekati kemungkaran.

Apa sebenarnya kewajaran berbapa angkat. Atau beribu angkat. Jika masih ada ibu, jagalah dia sepenuhnya. Kasihi dia kerana ibu hanya satu. Kita lahir darinya. Dia sudah wujud sejak kita lahir. Dia yang berhak diberi kasih sayang. Memindahkan kasih sayang kepada ibu atau bapa angkat seperti menafikan kewujudan ibu kandung sendiri. Tiba-tiba kita panggil seseorang itu ayah atau ibu. Mereka bukan ayah dan ibu kita. Jika anak angkat itu lelaki tentulah haram bersentuhan dengan ibu angkatnya. Begitulah sebaliknya. Haram anak angkat perempuan bersentuhan dengan bapa angkatnya. Kerana bukan mahram maka banyak perkara haram berlaku antara yang berkeluarga angkat. Sebab itu ada ibu angkat yang menyusukan anak angkatnya. Yang haram dapat dihalalkan apabila bersentuhan. Apabila anak angkat itu sudah remaja atau anak muda keadaan hukum wajib diutamakan.

Anak angkat dalam bentuk istilah tidak mengapa. Contohnya anak-anak yatim dijadikan anak angkat oleh seorang yang berharta. Situasinya hanya untuk memenuhi tuntutan pendidikan. Menjadikan anak-anak itu manusia. Mereka tidak bersama. Malah jarang-jarang bertemu.  NGO menjadikan sebuah sekolah sebagai anak angkat. Tiada langsung perhubungan peribadi. Wujud perhubungan professional dan bukan perhubungan peribadi. Dalam keadaan seperti itu organisasi ingin memenuhi tanggungjawab sosialnya. Tanggungjawab untuk membantu ahli masyarakat yang memerlukan. Begitu juga kes membiayai pengajian seseorang anak. Pengajian itu pula yang harus seperti di IPT. Tidak pula membiayai pengajian yang menjerumus ke arah maksiat.

Apabila kita nilai semula, budaya kita banyak masalahnya. Kadang-kadang saudara mara menumpangkan anak-anak mereka di rumah kita untuk memudahkannya bersekolah atau bekerja. Anak kita lelaki. Anak rakan kita perempuan. Bukan mahram. Di mana letaknya hukum dalam keadaan sebegitu. Mengutamakan persahabatan atau iman dan perintah atau larangan agama. Apabila adat menjadi kebiasaan ia menghijab hukum. Orang tidak lagi melihat kewajaran hukum. Yang dilihat ialah kemudahan (convenience) yang memudaratkan. Bagaimana jika ada yang sengaja mempelawa anak sahabat atau anak saudara maranya untuk tinggal bersama. Banyak pergaulan yang dilarang syarie. Sesuatu yang tidak halal kekal tidak halal kecuali berlaku nikah kahwin. Halal itupun kepada yang berhak sahaja. Isteri/suami, mertua dan anak-anak. Tidak juga dengan adik-beradik.

Masalah yang paling besar ialah mengenai abang angkat, kakak angkat dan adik angkat. Yang perempuan mencari abang angkat. Pastinya berlainan jantina? Di mana halalnya hubungan itu. Sampai bilapun tidak halal kecuali bernikah kahwin. Kakak angkat mencari adik angkat. Yang dicari bukan perempuan tetapi lelaki. Berjalan beriringan. Apabila ditanya jawapannya sangat mudah. Adik dan kakak angkat. Halal? Tentu tidak. Menjadi halal jika bernikah kahwin. Jika tidak ada ikatan  itu selamanya mereka mengamalkan yang haram. Yang bukan hak. Yang batil selamanya. Cuba pandang keliling, terlalu ramai orang yang terlibat. Dianggap lumrah. Biasa. Tidak ada yang luar biasa. Ramai yang melakukannya. Hukum tidak dibuat berdasarkan majoriti. Ianya konstan dalam kebanyakan hal. Lelaki dan perempuan adalah haram. Apabila menjadi menantu atau mertua secara automatik nikah menghalalkan perhubungan mereka. Tiada lagi apa-apa larangan dalam pergaulan antara mereka.

Banyak program IPT yang dipanggil khidmat masyarakat. MPP sebuah IPT menghantar serombongan mahasiswa dan mahasiswinya ke desa-desa yang jauh. Selama mungkin tiga hari mereka diletakkan di rumah keluarga angkat. Untuk menyelami hati nurani keluarga desa. Yang daif. Yang tidak termotivasi. Yang jauh dari berkeupayaan berfikir pada aras tinggi. Keluarga angkat itu ditarbiah untuk lebih mengetahui. Untuk lebih panjang jalan fikirnya. Boleh menjangkau sesuatu yang di luar kotak pemikiran biasa. Malangnya selama tiga hari itu pergaulan antara mahasiswa dan keluarga angkatnya menjadi janggal. Menyalahi hukum. Yang lelaki menjabat dan mencium tangan ibu angkatnya. Yang perempuan melakukannya terhadap bapa angkatnya. Di rumah yang sama ada anak perempuan dan anak lelaki yang sudah baligh. Pergaulan menjadi tiada pemisah antara halal dan haramnya. Tentulah hal seperti ini perlukan pembetulan. Kerja amal yang barakah. Bukan yang maksiat.

Kita perlu banyak menilai kedudukan kita. Sama ada kita berada di landasan yang benar atau tidak. Jika di landasan benar insyaAllah ada ganjarannya. Jika tidak tentulah dosa pula yang diundang. Tentulah mengetahui berbeza dengan tidak mengetahui. Kerana itu kita digesa supaya menjadikan diri kita sebagai orang—orang yang mengetahui. Pelajari apa yang tidak diketahui. Bertanya apa yang tidak difahami. Mengembara untuk melihat kebesaran Allah. InsyaAllah dalam kembara itulah kita banyak belajar. Memahami perintah Allah dengan lebih jelas. Memahami larangan Allah. Sebagai penganut agama yang dilihat tahap imannya maka kita bertanggungjawab untuk menjadikan diri kita sebagai umat terbaik. Lebih baik dari semua manusia yang lain. Lebih baik dari makhluk Allah yang lain. Lihat kembali landasan yang kita pijak sekarang. Mudah-mudahan landasan yang berada di hadapan kita sesungguhnya sangat lurus dan barakah sepanjang-panjangnya.

No comments:

Post a Comment