Friday, December 20, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bila Yang Haram Cuba Dihalalkan


Semua wanita dan lelaki yang bukan mahram adalah haram antara satu sama lain. Mereka menjadi halal apabila berlaku pernikahan. Tidak ada yang menghalalkan sebarang perhubungan tanpa nikah. Bila bernikah sahaja maka pasangan yang tersebut halal menghalalkan antara satu sama lain. Ibu bapa masing-masing menjadi mahram kepada pasangan masing-masing. Jika duda dan janda bernikah anak-anak mereka juga menjadi mahram antara satu sama lain. Namun anak-anak yang dibawa oleh pasangan masing-masing bukan mahram. Perhubungan mereka tidak halal kecuali bernikah juga. Rumit? Mungkin. Namun jika kita terus mengkajinya maka kita akan dengan mudah ditenangkan dengan nas al-Quran dan hadith-hadith yang berkenaan. Kita ditunjukkan jalan untuk memahami perintah dan larangan Allah. Semuanya mudah dan tidak ada yang sukar. Sikap kita menjadikan kesemuanya menjadi sukar. Kita mahukan kebebasan yang tidak terhingga. Batas-batas yang ditentukan hendak dilanggar. Peringatan diabaikan. Nasehat diketepikan. Cuba fahami agama. Kita dicipta dan dihidupkan dalam kerangka yang dipelihara Allah jika redha. Jika tidak kita terkeluar dari kerangka itu. Jalannya pula menuju azab yang pedih.

Hukum halal antara lelaki dan wanita ada syarat-syaratnya.
1                 Darah daging sendiri. Ibu kandung. Anak kandung. Cucu kandung. Datuk kandung. Dan seterusnya.
2                 Anak dan ibu bapa susuan.
3                 Pernikahan.

Yang halal menjadi halal dalam keadaan-keadaan di atas. Selain daripada yang tiga di atas tiada nas yang menghalalkannya. Kesemua yang bukan mahram adalah ajnabi. Halal nikah antara mereka. Walaupun begitu ada yang menjadi haram kerana telah menjadi mahram. Umpamanya anak tiri adalah haram dinikahi kerana telah menjadi mahram apabila ibunya dinikahi dan diduhkuli. Ibu mertua menjadi mahram selama-lamanya. Begitu juga bapa mertua. Mahram kerana hubungan kandung berbeza pula dengan keluarga susuan dan berlainan pula mahram kerana semenda. Tanyalah ustaz dan ustazah untuk mendapat pencerahannya yang sebenar. Usah hidup dalam kegelapan seumur hidup. Banyak cahaya di luar sana yang boleh menerangi hidup. Menerang pemikiran. Menerangi hati kita. tanpa pencerahan yang seperlunya kita selalu membuat andaian yang salah. Hanya yang mengetahui sahaja yang arif antara yang hak dan yang batil. Kerana itu jangan pula kita hanya berteka teki dalam hal hukum-hakam. Biar jelas dan muktamad. Kita pasti mana yang sebenar-benarnya hak.

Hidup kita beransur-ansur memerlu dan diperlukan. Apabila melepasi usia baligh timbul keinginan kerana naluri kejantinaan. Perlu diingat ianya adalah peredaran fisiologi yang fitrah. Hampir kesemua orang malaluinya tanpa kecuali. Iman dan didikan serta adat resam membudayakan kita supaya mengambil jalan yang norma dan mematuhi hukum-hakam agama. Mematuhi perintah dan laranganNya. Agama mengharuskan kita berkahwian. Ada masanya hukum itu berubah menjadi wajib jika itu adalah lebih baik bagi seseorang individu bagi menjaga imannya. Wajib kerana ia memiliki kemampuan zahir dan batin. Ia pula mungkin jenis yang mudah tergoda. Sebelum tergoda wajib baginya berkahwin. Biar syaitan menangis kerana gagal menggoda. Ada pula masanya hukum itu menjadi makruh dan haram apabila seseorang individu itu tiada kemampuan zahir dan batinnya. Menganiaya isterinya nanti. Yang halal menjadi haram jika diteruskan juga niat untuk berkahwin. Bernikah kahwin adalah mawaddah. Tetapi makan minum dan keperluan berkeluarga perlu pula disempurnakan.

Dalam proses berkahwin ada yang berkahwin segera. Ada yang melalui proses yang panjang. Merisik, bertunang dan bernikah tentulah suatu proses yang memerlukan kesabaran peringkat tinggi. Tidak boleh tergesa-gesa. Banyak pertimbangan yang perlu dibuat. Ianya menguji iman di dada. Menguji adat sama ada lapuk atau tidak. Sama ada adat berlandaskan agama atau tidak. Sama ada adat diutamakan berbanding agama. Atau sesungguhnya kita melebihkan agama dari segala-galanya. Menyedari kedaifan kita maka kita kembalikan kesemuanya kepada Yang Maha Pencipta. Merisik adalah perlu kerana ditakuti orang yang dirisik adalah tunangan orang. Sudah ditempah orang lain. Sudah hampir menjadi isteri orang. Tentulah menjadi kesalahan merampas bakal milik saudara kita sendiri. Sebelum mendirikan rumahtangga diharuskan pula melihat bakal isteri. Untuk mempastikan kesesuaiannya dengan yang berhajat untuk memperisterikannya. Pada proses inilah agama kita selalu dikecundangkan kepada adat. Bertunang digalakkan tetapi majlis bertunang yang mengikutinya banyak bersalut dengan hal-hal yang dilarang.  Kita menutup mata dari melihat. Berdiam diri tanpa mahu memahami.

Pergilah ke mana-mana majlis pertunangan. Aduhai, bukan sahaja rombongan pihak lelaki yang hadir bahkan bakal menantu lelaki juga turut hadir.  Apa yang berlaku:
1                 Dia akan bersalaman dengan ibu tunangannya. Mungkin neneknya. Mungkin ibu saudaranya. Mungkin saudara mara perempuan yang lain.
2                 Gambar menjadi suatu event yang seperti wajib. Orang dahulu tidak adapun aktiviti itu.

Proses bergambar hukumnya terlarang kerana yang bertunangan belum ada status halal. Mana mungkin pasangan yang bertunangan berada bersama. Berdekat-dekatan. Ada pula yang berlebih-lebihan  sehingga bersentuhan dan berpegang-pegangan. Ada yang lain mencari lokasi penggambaran di luar rumah. Bukan mahram bang. Bukan mahram kak. Kesemuanya diperlihatkan di hadapan hadirin yang ramai. Saudara mara dan jiran tetangga. Begitu juga menjadi tontonan teman-teman yang diundang sama. Ketika larangan masih di persada kita sepatutnya menghormati larangan itu. Zaman berkurung. Belum waktunya halal. Bila kita semak, siapa yang menanggung dosanya. Kesemua kita yang hadir. Sama ada kita mengetahui hukum-hakam atau tidak. Agama dan hukum-hakamnya tidak pernah berubah. Ia kekal sepanjang masa. Tidak mungkin kita memandai-mandai untuk mengubahnya kerana kita bukan pakarnya.  Tidak mungkin kita boleh mengubahsuainya. Bukan kepakaran kita.

Dalam banyak hal ada pasangan yang bertunang mengadakan majlis pra-pernikahan. Dicari lokasi dalam negara dan di luar negara. Pergi bersama dan baliknya bersama. Kebanyakan masa bersama. Tidur di hotel yang sama. Dalam penerbangan yang sama. Duduk bersebelahan. Sentuh dan pegang seperti tidak ada larangan. Di mana kewajarannya. Usahlah kita menafikan agama kerana agama Islam adalah yang terbaik untuk kita. Tidak yang lebih baik. Telah disempurnakan Allah. Dijamin Allah sebagai satu-satunya agama yang diredhaiNya. Kita sudah dijanjikan untuk kembali kepadaNya. Kita akan menjawab kesemuanya di hadapan Allah nanti.  Dunia sudah semakin kacau. Seharusnya bukan kita yang menambah kacaunya. Kita masih berpeluang untuk memperbaiki diri kita dan keadaan di sekeliling kita.

Sekarang ini ramai yang menyediakan pelamin semasa majlis bertunang. Ada banyak kejanggalan yang kita lihat. Antaranya:

1                 Yang bertunang bergambaran di atas pelamin. Kan belum masanya. Belum ada halalmuya. Belum ada kebanaran hukum dan hakamnya.
2                 Saudara mara turut juga bergambar bersama.
3                 Cincin disarung di atas pelamin. Apa yang kita lihat sebenarnya. Menyarung cincin tidak salah. Tidak berlawanan dengan hukum. Yang menyarungkannya adalah ibu atau kakak atau nenek bakal menantu lelaki. Yang menjadi masalahnya ialah kita selalu melanggar adat. Melanggar sopan agama. Yang bertunang di atas kerusi. Mungkin di atas pelamin. Yang menyarungkan cincin duduk di kaki wanita yang bertunang. Yang bertunang dimuliakan. Bakal ibu mertua atau kakak ipar atau bekal nenek menjadi hina duduk di bawah. Direndahkan statusnya. Hilang martabatnya.

Mari sama-sama kita perbaiki keadaan. Kita cari jalan penyelesaian yang terbaik. Jalan yang boleh membawa kita ke arah yang diredhai.

1                 Kita banyak melakukan kesalahan sebelum ini. Bayak larangan yang kita langgari. Tiba masanya kita bertaubat. Mengubah keadaan ke arah yang lebih baik. Tinggalkan amalan lama. Ambil yang selari dengan hukum-hakam. Mungkin dahulu kita terlalu jahil dengan larangan agama. Ambil peluang ini untuk mendapatkan keampunan Allah.
2                 Menikah semasa bertunang. Majlis bertunang kita ubahsuai. Jangan hanya bertunang semata-mata. Jika pasangan sudah tidak ada kesabaran maka bernikah adalah lebih baik. Jika ibu bapa tidak arif tentang perubahan perjalanan masa maka bernikah adalah lebih selamat untuk semua orang. Orang Arab umpamanya bertunang bermakna bernikah. Majlis resepsinya ditangguhkan mengikut persetujuan. Mungkin beberapa bulan atau mungkin beberapa tahun. Apabila bertunang dan bernikah kedua-duanya sudah sah sebagai suami isteri. Peganglah. Peluklah. Tiada lagi larangan apa-apa. Cuma segan dengan yang hadir sahaja. Jika semasa majlis resepsi yang isteri sudah mengandung tidak ada salahnya. Mereka sudah sah sebagai suami isteri. Jika sudah bersalin sekalipun tidak ada salahnya. Semuanya selamat. Keluarga selamat. Keturunan selamat. Agama selamat. Hendak menjenguk isteri tiada larangan. Menjenguk suami tiada larangan. Hendak duduk bersama tiada juga halangan. Kesemuanya sudah halal dan menghalalkan.
3                 Semasa menyarungkan cincin, yang menyarung dan yang menghulur jari manis duduklah sama tinggi atau sama rendah. Sama ada kedua-duanya di atas kerusi atau di atas pelamin atau duduk di lantai. Mungkin lebih baik yang disarungkan cincin duduk lebih rendah. Selepas disarungkan cincin cium tangan bakal emak mertua dari tempat yang rendah. Atau peluk dirinya. Merendah diri sebagai bakal anak. Sebagai bakal isteri.

Rasanya kita semua boleh melakukannya. Tidak ada kesukaran untuk mengubah ke arah paradigma agama. Yang penting kita belajar dari kesilapan. Kita belajar kerana belum tahu. Kita berkongsi kebaikan. Banyak kebaikan meninggalkan yang salah. Kita junjung dan kelek perintah agama. Kita nyahkan larangan Allah. Semoga perkahwinan mendapat barakah. Diredhai Allah. Dikurnaiakan keturunan yang soleh dan solehah. Banyaklah memohon daripada Allah. Sesungguhnya kita lemah. Cukuplah ketidakselarian agama yang selalu kita lakukan. Semoga Allah memelihara kita semua. Amin.

No comments:

Post a Comment