Monday, December 30, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Islam dan Teknologi di Akhir Zaman

Orang lelaki yang bersolat Jumaat di masjid mendengar ayat al-Quran ini berulang-ulang setiap hari Jumaat. Allah berfirman yang mafhumnya:
Maka janganlah kamu semua mati kecuali kamu semua mati dalam Islam.
      (Al-Baqarah 2: 132)
Kita dilahirkan Islam kerana ibu dan bapa kita Islam. Alhamdulillah kita mempelajari manhaj Islam. Ilmu tentang Islam terlalu banyak. Yang kita ketahui hanya sedikit. Terlalu sedikit berbanding dengan air di lautan. Ayat pertama wahyu yang disampaikan oleh Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Bacalah, dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan.
                   (Al-Alaq 96:1)
Mereka yang terlebih dahulu menemui Allah sebelum kita tentu bergembira. Begitulah para anbia, para aulia, para suahada, dan ramai lagi yang sewaktu hidup mereka dahulu mereka sangat dekat dengan Allah. Para mufasirin menghuraikan bahawa wahyu pertama tersebut sebagai titik tolak kepada kelangsungan manusia yang dijadikan sebagai khalifah. Khusus untuk memakmurkan alam. Maka manusia belajar dan mempelajari apa sahaja yang perlu dengan menggunakan kepintaran akal yang Allah anugerahkan kepada manusia.

Intelek manusia perlu digunakan semaksimumnya. Berfikir dan menroka minda untuk menyelesaikan masalah manusia. Untuk membantu meringankan tugas manusia di mukabumi ini. Mencari jalan beribadat dalam segala hal. Kesemua aktiviti yang dilaksanakan kerana Allah. muslim dan negaranya telah melalui masa yang panjang. Pernah menebarkan keunggulan Islam ke merata dunia. Pada masa yang sama dilemahkan oleh kuasa Barat dan Yahudi. Banyak negara Islam yang dijajah fizikal dan mindanya. Begitu juga budayanya. Maka sedikit demi sedikit jatidiri Islamiayyah hilang ditelan masa. Anak-anak kita menjadi janggal dari agama. Saban tahun yang gagal bersyahadah semakin ramai. Penulis takut hendak meramalkan peratus yang tidak menunaikan solat. Walaupun pada waktu-waktunya masjid dan surau agak penuh namun yang berada di luar sana melebihi dari yang di dalam masjid atau surau.

Banyak peluang yang Allah berikan untuk menjadikan diri kita sebaik-baik kejadian. Sebaik-baik makhluk dari segi akhlaknya. Dari segi tingkah lakunya. Dari segi manfaat yang dapat disumbangkan kepada manusia lain. Atau makhluk lain. Manusia banyak melakukan kesilapan. Allah pula sentiasa memberi ruang kepada kita untuk bertaubat dan memperbaiki diri.  Mudah-mudahan kita semua mati dalam Islam. Dalam iman. Mati dalam redha Allah. Barangkali kita perlu melalukan yang lebih banyak dari kita lakukan sekarang.  Dakwah kita perlu berlipat kali ganda. Musuh-musuh yang nyata dan tidak nayata sentiasa memerangi Islam. Antaranya media hiburan yang tidak henti-hentinya menambah program untuk memerangkap minda anak-anak muda menjadi lalai agama. Memang itu kerja musuh Islam. Tetapi apabiila orang Islam sendiri berlumba-lumba mengendalikan program yang lebih hedonism maka seolah-olah sempurnalah kerja musuh Islam. Orang Islam sendiri menghancurkan iman orang Islam. Saudaranya sendiri. Darah dagingnya sendiri. Apa lagi yang tinggal. Syaitan dan iblis tertawa kegirangan.

Dunia semakin hampir ke penghujungnya. Kita seharusnya memacu diri ke garisan akhir. Semakin laju mendekati agama. Semakin banyak ilmu agama dan amalannya. Semakin baik dari segi akhlak.  Gangguan dari musuh yang sangat nyata semakin mengancam. Kita selalu menisbahkan musuh kita sebagai syaitan dan iblis. Kita selalu lupa gangguan manusia yang memakai akhlak syaitan dan iblis. Kita menganggap manusia bukan musuh nyata. Manusia ramai yang mencabar Islam dan mencabar iman. Paling besar tentulah hiburan yang melalaikan. Hedonism yang sudah sampai ke kemuncaknya. Hiburan realiti yang sudah tidak lagi boleh ditapis.  Tidak boleh dibendung. Hanya iman dan hanya iman yang dapat menangkisnya.  Ibu dan bapa, tanggungjawab anda berdua untuk membina tembok kukuh pada diri dan hati anak-anak anda. Bukan guru dan bukan orang lain. Jangan suka main serah-serah kepada orang lain. Ibarat kata bijak pandai, buat sendiri tanggung sendiri. Tidak boleh dipindahkan kepada orang lain.

Pengakhiran yang kita inginkan ialah Islam. Mati dalam Islam. Bila-bila sahaja dunia boleh kiamat. Allah Yang Maha Mengetahui, tanda-tandanya semakin banyak. Semakin menyerlah. Tanda-tanda besarnya sudah mula menampakkan diri. Sorotan kembali peristiwa 2013 menunjukkan berbagai kejadian yang dahulunya belum pernah berlaku.  Kita sangat khuatir  kerana ramai orang Islam yang  lemah dari segi agama. Kerana itu kita hilang sifat hadhari. Tidak memajukan diri. Mati dalam zon selesa yang kelihatan selamat tetapi pada hakikatnya palsu. Anak-anak kita  lemah kemahiran. Mereka lemah teknologi. Lemah cara berfikir. Tentu sahaja lemah dalam amal ibadat. Apa yang akan penulis catatkan berikut ini mungkin menjebak minda. Mungkin kita perlu membuat penilaian semula pendirian dan pandangan kita terhadap orang bukan Islam. Ada hal-hal yang mengganggu penulis. Suatu equation: Yang bukan Islam menerima Islam sebagai agama terbaik. Yang Islam mencari agama lain yang tidak diredhai oleh Allah. Malah seorang model yang bukan Islam memakai hijab cukup mencabar minda. Yang Islam masih tidak ada keberanian untuk mamakainya. Malu kepada manusia dan tidak terfikir malunya kepada Allah.

Kita kembali ke sekolah dan pendidikan. Apa sebenarnya yang kita hasilkan. Apakah natijah warganegara yag ingin kita tinggalkan sebagai pewaris agama dan bangsa. Sekarang ini yang kita lihat ialah buih-buih seperti yang diceritakan dalam hadith nabi. Banyak tetapi hanya gelembungan angin. Tiada isi. Tiada substance. Pecah apabila ditiup angin walaupun sepoi-sepoi bahasa. Mengikut arus yang tiada destinasi. Jurang kepandaian antara warganegara di negara maju dan di negara belum maju semakin besar. Di negara maju mereka meneroka segala bidang ilmu. Kerana itu mereka berada di dalam air, di daratan dan di angkasa.  Penerokaan dan penemuan bijak pandai mereka semakin tidak dapat diharmonikan oleh minda mereka sendiri. Alam ini memberikan jawapan-jawapan yang bukan dijadikan oleh akal manusia. Maka ramai antara pakar matematik, saintis, pakar fizik, pakar falak dan sebagainya menemui jawapan dari kajian mereka apabila mereka merujuk kepada al-Quran.

Nah, di manakah kita dari segi al-Quran. Yang menghafaznya semakin kurang berbanding dengan ledakan umat Islam di seluruh dunia.  Kita tidak memiliki teknologi canggih. Untuk mengira bintang di langit kita hanya melawak dengan Abu Nawas mengira bulu seekor kambing. Berapa ramai anak-anak kita yang memahami tentang bintang, supernova dan planet. Ini bermakna kita semakin tertinggal jauh di belakang. Kita sibuk untuk mencari makan untuk mengenyangkan perut. Orang Barat sibuk mencari jawapan-jawapan misteri dalam minda mereka. Hal-hal kakiki dari segi agama. NASA umpamanya sentiasa di hadapan dalam penerokaan angkasa. Banyak ramalan dan perkiraan yang kadang-kadang sangat mengejutkan.  Umpamanya NASA membuat perkiraan bahawa dari trend pergerakan cakerawala yang ada besar kemungkinannya suatu hari nanti matahari terbit dari barat. Kita telah lama mendengarnya tetapi kita tidak mengkajinya.  Tidak menyelidik bagaimana kejadian seperti itu pasti akan berlaku dengan kuasa Allah. Untuk kita insafi. Kita ambil peringatan dan pengajaran. Supaya kita lebih dekat kepada Allah. Lebih menyerah diri. Lebih tunduk dan lebih lama sujudnya. Lebih mengingati Allah berbanding dari mengingat yang lain.

Ramai pakar-pakar dari Barat yang menginsafi adanya Yang Maha Kuasa mengadakan alam ini. Ramai juga antara mereka yang menerima Islam bersandarkan keinsafan itu. Berdasarkan kepada ilmu yang mereka miliki. Alhamdulillah ilmuan dan sarjana di Barat menerima Islam. Mereka menemui Islam. Mereka menemui Allah melalui ilmu mereka. Semakin mereka maju semakin ramai antara mereka yang memeluk Islam. Apakah anda berkongsi dengan fikiran saya?

Maknanya orang yang bukan Islam semakin ramai menerima Islam. Mudah-mudahan mereka mati dalam Islam. Lalu, lalu kita pula khuatir. Ramai umat Islam yang lari dari Islam. Maka mereka yang dahulunya Islam hilang Islamnya. Mengapa? Kejahilan yang memanjang. Teknologi yang hanya pintar digunakan tetapi tidak dimanfaatkan. Ibu dan bapa, nilai semula pendidikan Islam yang diberikan kepada anak-anak.  Guru-guru pula harus bertanya pada diri sendiri. Setakat mana dakwah anda kepada anak-anak didik anda. Pemimpin, bagaimana anda menjaga agama? Allahuakbar.

Saturday, December 28, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Hari Jumaat Yang Kembali Haknya

Penulis teringat sewaktu bertugas di Kuala Trengganu dari tahun 1969 hingga 1974. Cuti hujungh minggu ialah hari Jumaat dan Sabtu. Pada hari Jumaat adalah cuti sepenuhnya. Semua pejabat kerajaan, sekolah dan pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan yang lain ditutup. Hanya hospital, bomba, polis dan perkhidmatan kecemasan yang lain sentiasa dibuka. Hari Jumaat dipatuhi sebagai hari cuti. Kesemua premis perniagaan seperti bank juga ditutup. Hanya perniagaan yang memenuhi keperluan umum setiap masa seperti kedai makan dan gerai dibuka pada hari Jumaat. Walaupun perniagaan dan pentadbiran seperti terhenti tetapi kegiatan pelancongan tidak pernah surut. Sentiasa ada. Lagipun Negeri Terengganu menawarkan banyak peluang dan produk pelancongan kepada rakyat Malaysia atau kepada pelancong asing. Cuti pada hari Jumaat banyak pula nikmatnya. Begitu juga di Negeri Kelantan dan Kedah. Sekarang kita kembalikan hari Jumaat kepada haknya di Negeri Johor.

Dunia selalu berputar. Kita dahulu menerima Islam sepenunyya. Agama yang sempurna dan diredhai Allah. Tiada pilihan lain.  Namun kita terperangkap dengan pandangan yang tidak Islamik. Maka untuk menyaingi kemajuan dunia bukan Islam kita dituntut supaya selari dengan kehidupan mereka. Budaya mereka. Sistem mereka.  Tanpa mengikut mereka kita dianggap kolot.  Berzaman lamanya kita terpedaya dengan gagasan minda kita sendiri. Lalu hari yang mulia setiap minggu itu kita ketepikan dahulu. Kita ganti dengan hari lain yang bukan milik kita. Sorot semula sejarah beragama. Ada agama memuliakan hari Ahad. Ada pula yang memilih hari sebelumnya iaitu hari Sabtu untuk menjadi di hadapan. Islam datang memuliakan hari Jumaat. Ada perhimpunan mingguan yang memfardhukan semua lelaki Islam yang baligh dan mukalaf untuk hadir di masjid. Kita memuliakan penghulu hari dengan mendengar khutbah dan solat Jumaat berjemaah.

Datang fikiran-fikiran yang tidak terbendung dengan agama. Kita tidak selari dengan dunia. Semua orang lain bercuti pada hari Ahad. Kita pula pada hari Jumaat. Di negara Islam yang lain khususnya di negara-negara Arab perbezaan hanya pilihan dua hari yang dicutikan. Di Arab Saudi umpamanya cuti hujung minggu pada hari Khamis dan Jumaat. Sabtu dikira awal mingggu. Di negara Arab yang lain seperti Mesir hujung minggu bermakna pada hari Jumaat dan Sabtu. Ekonomi sesebuah negara bukan bergantung kepada hujung minggu mereka. Kesemuanya dengan izin Allah. Kita yang bercuti hujung minggu pada hari Ahad tidak juga terkehadapan bersama dengan negara-negara maju. Masih banyak kekurangan keupayaan memperkasakan ekonomi. Masih ramai yang tidak mampu untuk memiliki rumah. Itu sekadar satu contoh hakiki. Kit atelah tinggalkan lambing Islam. Kita memilih yang lain tetapi akhirnya kita tetap akur bahawa hari Jumaat perlu dihormati. Kita kembali ke pangkal jalan. Alhamdulillah.

Kelainan yang telah diciptakan pada hari Jumaat ialah petugas lelaki memakai pakaian kebangsaan. Siap bersamping dan bersongkok.  Mulai minggu hadapan hari Jumaat adalah cuti hujung minggu bersama dengan hari Sabtu. Selepas ini sukar untuk melihat petugas dan penjawat memakai baju kebangsaan. Mungkin pada majlis-majlis tertentu yang diatur supaya yang hadir memakai baju kebangsaan. Banyak pakaian kebangsaan yang berehat. Rasanya bukan membazir. Secara positifnya pakaian yang sama akan dipakai untuk berjemaah di masjid. Bukankah hari Jumaat adalah hari raya mingguan. Berpakaian cantik berwarna warni tentu menambahkan keceriaan pada hari cuti hujung minggu. Pergi awal ke masjid. Solat sunat seberapa banyak sebelum dan seleps solat Jumaaat. Membaca al-Quran sebanyak-banyaknya. Atau berzikir. Hari yang dinamakan cuti ini hanya cuti dari bekerja untuk makan gaji. Namun begitu ambillah peluang ini untuk berniaga dengan Allah. InsyaAllah tidak akan pernah rugi.

Yang berniaga tanpa menggaji orang lain tidak perlu bercuti. Dalam Islam cuti hanya pada waktu solat. Itu sahaja cuti yang ada. Pada waktu-waktu yang lain bekerjalah kerana Allah. Tetapi jika menggaji pembantu maka mereka perlukan cuti. Hanya sehari dalam seminggu. Hari untuk bersama keluarga. Yang lain bolehlah beribadat sejak dari sebelum solat Maghrib hari Khamis malam Jumaat hingga selepas solat Jumaat. Kita berhari raya untuk beribadat. Yang hendak berjalan atau bermajlis-majlisan sila teruskan. Cuma ingat. Buat semuanya kerana Allah.  Mencari KeredhaanNya. Elakkan dari sebarang maksiat. Apabila hendak melakukan sesuatu pastikan ada dalil yang mengharuskan atau membenarkannya. Tanyalah mereka yang alim agama. Mereka yang pakar dalam bidang agama. Yang dipercayai. Yang thiqah dalam bahasa Arab.

Mungkin pada peringkat awal banyak yang perlu diubahsuai. Almaklumlah sudah biasa dengan cuti pada hari Ahad. Bagi mereka yang berhasrat untuk mengadakan majlis pada hari Jumaat sila teruskan. Jangan risau. Syaratnya mulakan majlis lebih awal. Boleh mulakan jamuan dari pukul 9.00 pagi atau pada pukul 9.30 pagi. Tepat pada pukul 12.30 tengahari majlis hendaklah  ditangguhkan sementara. Semua orang lelaki sama ada petugas atau tetamu bergerak ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Sambung semula majlis pada pukul 2.00 petang. Mungkin hingga pukul 4.00 petang. Seperti biasa majlis berlangsung selama lima jam juga. Ada kebaikannya. Oleh kerana hari Jumaat maka berfikirlah ke arah yang Islamik. Yang syarie. Yang tidak mendekati maksiat. Apapun yang hendak dilakukan dalam majlis itu hendaklah yang dibenarkan dari segi hukumnya. Majlis nikah kahwin adalah majlis agama. Jamuan yang mengiringi juga bersandarkan agama. Kerana itu selalu pegang suruhan agama. Tolak larangan agama yang boleh mencacatkan majlis dari aspek agama.

Elok juga jadinya. Cuti hujung minggu yang barakah. Hari Jumaat penghulu hari. Diisi dengan aktiviti yang mencantikkan agama. Dilihat menyejukkan mata. Didengar menyejukkan telinga. Ada pandangan jauh. Berwawasan taqwa. Meningkatkan keterlibatan agama. Kita sudah lama selalu melebihkan adat. Apabila yang beradat tidak boleh diubah suai. Tidak boleh berkempromi. Kali ini tinggalkan adat. Pakai mana-mana yang tidak bercanggah dengan Islam. Baik pakaian. Baik makanan. Baik masa. Baik pengisian majlis. Baik pergaulan. Dan banyak lagi. Mana yang bercanggah tinggalkan dahulu. Pembaziran umpamanya. Cuba senaraikan mana yang membazir dan mana yang diperlukan. Perelokkan agenda yang wajib, sunat dan perlu. Majlis akad nikah perlu dijaga tatalakunya. Yang mengambik gambar umpamanya hendaklah menutup aurat. Kadang-kadang majlis akad nikah di masjid. Ramai jurugambar amatur yang tidak menutup aurat. Memakai seluar ketat. Baju ketat. Mereka tidak kenal masjid. Sayang. Cacat majlis itu. Masjid menjadi cacat.

Selamat kembali berhari Jumaat.  

Tuesday, December 24, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Makanan Yang Mempercukup

Sara hidup di neagra kita semakin meningkat kosnya. Yang di atas menarik ke atas. Yang di bawah terpijak hingga sukar hendak bangun. Maka semakin jauhlah antara dua pihak yang berhak berdekatan. Yang berhak bantu membantu. Bila perjuangan bukan pada yang hak maka banyak ketidakseimbangan dalam pelaksanaan kebaikan khalayak ramai. Dalam kelunakan melayari bahtera merdeka kita telah melupakan cerita lama yang indah. Bahawa suatu masa dahulu kita bersyukur memiliki jelapang padi yang mencukupi hasilnya untuk seluruh rakyat. Nostalgia apabila dikenang tempat-tempat padi menghijau. Tempa-tempat menguning. Di mana lagi padi yang berisi tunduk malu pada dirinya sendiri. Rupanya malu padi dijadikan alasan untuk tidak memberi perhatian kepadanya. Nama-nama seperti Sabak Bernam dan Sungai Krian tenggelam dalam srus pembangunan perkilangan.

Seorang bekas pembesar pernah berjanji bersunggguh-sungguh bahwa negerinya akan memperluaskan penanaman padi. Membuka semula sawah yang terbiar. Tanah yang tertinggal. Kita jadi hilang punca. Penulis pernah mengulas perkara ini. Tidak ada negara maju dalam dunia ini yang mengimport makanan. Tidak ada. Mereka menganggap bahawa makanan adalah sumber kekuatan dalaman. Tanpa makanan yang mencukupi sesebuah negara tidak merdeka sepenuhnya. Barangkali itulah sebabnya negara maju sangat yakin pada kedudukan mereka. Apabila makanan mencukupi kehidupan menjadi lebih selesa. Dengan redha Allah. dengan izinNya. Sehingga pembesar itu hilang dari persada politik arus perdana, janjinya juga hilang begitu sahaja. Penulis sangat khuatir kerana tidak ada seorang pemimpin yang bercakap dengan sesungguhnya ingin menambahkan sumber makanan. Sehari-harian yang kita dengar ialah pembangunan dan kemajuan. Bentuknya tidak dimaklumkan dengan segera. Rakyat banyak tidak  arif dengan apa yang ingin dipersembahkan. Hingga kadang-kadang banyak yang dipersembahkan tidak syarieyah. Tidak selari dengan konsep islamik.

Kita belajar geografi sejak dari sekolah kebangsaan. Di sekolah menengah begitu juga. Geografi bukan subjek yang popular di IPT. Jika ada yang mempelajarinya mungkin hanya bakal guru. Untuk menyampaikannya semula kepada anak-anak didiknya. Geografi seperti suatu bidang yang tidak dimengerti oleh kebanyakan orang. Di IPT ramai yang memilih geologi, metereologi, ukur tanah, pertanian, ekonomi dan mungkin perniagaan tani. Di mana letaknya kesungguhan untuk menambah sumber dan bekalan makanan. Rakyat semakin ramai. Bukan sahaja makanan tidak selesa kuantitinya kepada warganegara bahkan kita menyediakan pula makanan untuk pendatang dan bukan warganegara yang ramai bilangannya. Kita pengimport tegar beras dari negara jiran dan negara sahabat. Jika tidak pandai mengimbangkan akaun perdagangan antarabangsa maka import kita membatalkan eksport kita yang tidak sebesar yang kita harapkan. Secara hakikinya kita tidak banyak mengeksport. Banyak barangan eksport adalah milik kilang-kilang multi-nasional seperti Jepun, German, United Kingdom, Korea, Australia, Canada dan Amerika. Kilangnya di negara kita tetapi hasil eksportnya bukan milik kita.

Ingat cerita Nabi Yusof a.s. di Mesir? Tujuh lembu kurus yang menelan tujuh lembu gemuk. Mesir dianugerahkan kemewahan pertanian oleh Allah SWT. Hasil melimpah ruah. Diwujudkan sistem penyimpanan bekalan makanan selagi makanan boleh disimpan. Tidak bermewah-mewah. Tanah yang ada diusahakan. Tujuh tahun berikutnya Mesir mengalami kemarau panjang. Tujuh tahun yang panjang. Kering, kontang dan panas memerit kulit. Alhamdulillah makanan yang terkumpul mencukupi untuk selama tujuh tahun. Moral ceritanya ialah:

1                 Sumber makanan hendaklah diperbanyakkan. Negara kita bukan self sufficient dari segi makanan. Banyak yang boleh menyebabkan bekalan terputus. Banjir, ribut, kemarau, gempa bumi, perang dan sebagainya. Itu belum masalah hubungan diplomatik antarabangsa.
2                 Stok makanan hendaklah mencukupi untuk jangkamsa yang panjang. Melebihi jangkaan biasa. Tujuh tahun mungkin terlalu lama. Mungkin 3 tahun memadai dengan izin Allah. Ini yang merisaukan. Banjir di Pantai Timur baru-baru ini seolah-olah memberi isyarat samar-samar bahawa bekalan makanan kita jauh dari mencukupi. Untuk persediaan banjir yang dijangka setiap hujung tahun kita tidak berkeupayaan menyediakannya. Itu untuk cerita seminggu atau dua minggu. Bagaimana jika berlarutan hingga beberapa bulan. Hingga beberapa tahun.
3                 Kita perlukan perancang masa hadapan yang benar-benar jempol. Tokoh yang jauh pemikirannya. Menjangkau berabad-abad lamanya.
4                 Cukupkan sumber makanan. Apabila perut sudah dijamin dengan makanan, barulah mata menjadi lebih cerah. Fikiran menjadi lebih ligat berfikir. Kitarannya membesar.

Kita tidak perlu berhenti membangun. Tidak perlu mengundurkan masa. Namun bekalan makanan hendaklah dipacu usahanya. Banyakkan sumber makanan.

1                 Buka balik sawah padi yang tertinggal.
2                 Tambahkan lagi kawasan menanam padi.
3                 Jangan benarkan sebarang pembinaan seperti bangunan kilang, rumah atau apa sahaja di atas tapak sawah.
4                 Gandakan penyelidikan untuk mendapatkan benih padi yang  berganda buahnya. Yang tidka mudah diserang serangga. Yang tidak mudah rosak pokok dan buahnya.
5                 Buat kajian di negara lain. Cambodia yang baru bangkit dari debu kehancuran sudah mampu mengeksport beras ke negara kita. Begitu juga Vietnam.

Kita sepatutnya malu kerana membeli makanan dari negara orang. Negara kita terletak di Khatulistiwa. Panas dan banyak hujan. Sangat sesuai untuk menanam padi. Tetapi kita terlalu banyak makan gula. Leka pula digula-gulakan. Kilang dan industri pembuatan menutup mata kita dari memandang yang tersirat. Yang mengancam masa hadapan kita. Tidak ada yang lebih baik dari cukup makan. Tiada yang lebih baik dari perut yang kenyang. Pergilah ke Amerika Utara, makanan berlambak-lambak. Ternakan diberi makanan yang terlalu lazat kerana sumber makanan terlalu banyak. Lembangan Mississippi menghasilkan beras yang disebut long grain and vitamine C added.   Warganegaranya tidak makan nasi. Beras dan nasi bukan makanan ruji kepada mereka. Namun demikian mereka mengusahakan penanaman padi. Malah dijadikan senjata dalam bentuk bantuan makanan. Mesti ada reciprocal gain darinya. Makanan menjadi sumber diplomatic maneuver.  Begitu juga Eropah, Jepun dan Korea. Kita masih terlalu lama bermimpi. Nyenyak yang tidak mahu dibangunkan.

Bagaimana dengan sumber makanan alternatif. Kita kena buat kajian baru. Tidak cukup dengan makan nasi sahaja. Mesti ada gantinya supaya kita banyak kusyen apabila jatuh terhempap. Kurang impaknya. Kurang sakitnya apabila kita memerlukan sesuatu untuk bergantung selalin dari beras dan nasi sahaja semata-mata. Orang Arab mithalnya makan roti atau makanan dari tepung. Mereka makan daging lembu, kambing dan ayam. Kentang jadi makanan yang mengenyangkan bagi orang Barat. Tidak kira apa bentuknya  kita mesti berusaha mempercukup sumber makanan untuk seluruh rakyat. Sebahagiannya untuk stok makanan. Sebahagian lagi untuk eksport.  Kadang-kadang penulis tidak begitu faham. Mungkin orang kita tidak lagi bijak politik. Atau tidak bijak ekonomi. Atau mungkin hal-hal yang simple bukan lagi agenda penting untuk difikirkan.

Di USA penulis menemui:
1                 Durian dari Thailand.
2                 Pisang tanduk dari Amerika Tengah.
3                 Cili api jeruk dari Filipina.
4                 Rebung tin dari Cina.
5                 Rambutan dari Thailand.

Di Canada penulis menemui:
1                 Durian dari Thailand.
2                 Kerepek pisang dari Filipina.

Di Jordan ditemui pula:
1                 Bihun dari Filipina.
2                 Ikan sadin masin dari India.
3                 Beras basmati dari India.
4                 Kicap dari Thailand.
5                 Kain ela dari Indonesia.
6                 Pinggan mangkuk dari Indonesia.
Di Mesir ditemui:
1                 Motorsikal dari Cina. Tidak ditemui Modenas umpamanya. Sesekali bertemu dengan kancil. Sesekali.
2                 Kicap dari Thailand.
3                 Bihun dari Thailand.
4                 Susu pekat manis dari German. Di negara kita hanya krimer dari minyak kelapa sawit.
5                 Beras basmati dari India.
6                 Beras dari Thailand.
7                 Santan kelapa dari Thailand.

Ada barangan dari Malaysia tetapi selected. Terlalu sedikit. Mungkin penulis salah tanggap. Mana barangan pengusaha Melayu? Barangan halal dari negara hab halal seperti yang selalu diuar-uarkan. Penulis lontarkan idea ini kepada pengusaha Muslim. Syarikat Muslim. Indivisu Muslim. Persatuan pengguna Muslim. NGO Muslim. Muslim Chamber of Commerce. Please wake-up. Get started. Open the door to the world. Get out of your small and crouded box. The world is abegging. Where is thy product?   

Friday, December 20, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bila Yang Haram Cuba Dihalalkan


Semua wanita dan lelaki yang bukan mahram adalah haram antara satu sama lain. Mereka menjadi halal apabila berlaku pernikahan. Tidak ada yang menghalalkan sebarang perhubungan tanpa nikah. Bila bernikah sahaja maka pasangan yang tersebut halal menghalalkan antara satu sama lain. Ibu bapa masing-masing menjadi mahram kepada pasangan masing-masing. Jika duda dan janda bernikah anak-anak mereka juga menjadi mahram antara satu sama lain. Namun anak-anak yang dibawa oleh pasangan masing-masing bukan mahram. Perhubungan mereka tidak halal kecuali bernikah juga. Rumit? Mungkin. Namun jika kita terus mengkajinya maka kita akan dengan mudah ditenangkan dengan nas al-Quran dan hadith-hadith yang berkenaan. Kita ditunjukkan jalan untuk memahami perintah dan larangan Allah. Semuanya mudah dan tidak ada yang sukar. Sikap kita menjadikan kesemuanya menjadi sukar. Kita mahukan kebebasan yang tidak terhingga. Batas-batas yang ditentukan hendak dilanggar. Peringatan diabaikan. Nasehat diketepikan. Cuba fahami agama. Kita dicipta dan dihidupkan dalam kerangka yang dipelihara Allah jika redha. Jika tidak kita terkeluar dari kerangka itu. Jalannya pula menuju azab yang pedih.

Hukum halal antara lelaki dan wanita ada syarat-syaratnya.
1                 Darah daging sendiri. Ibu kandung. Anak kandung. Cucu kandung. Datuk kandung. Dan seterusnya.
2                 Anak dan ibu bapa susuan.
3                 Pernikahan.

Yang halal menjadi halal dalam keadaan-keadaan di atas. Selain daripada yang tiga di atas tiada nas yang menghalalkannya. Kesemua yang bukan mahram adalah ajnabi. Halal nikah antara mereka. Walaupun begitu ada yang menjadi haram kerana telah menjadi mahram. Umpamanya anak tiri adalah haram dinikahi kerana telah menjadi mahram apabila ibunya dinikahi dan diduhkuli. Ibu mertua menjadi mahram selama-lamanya. Begitu juga bapa mertua. Mahram kerana hubungan kandung berbeza pula dengan keluarga susuan dan berlainan pula mahram kerana semenda. Tanyalah ustaz dan ustazah untuk mendapat pencerahannya yang sebenar. Usah hidup dalam kegelapan seumur hidup. Banyak cahaya di luar sana yang boleh menerangi hidup. Menerang pemikiran. Menerangi hati kita. tanpa pencerahan yang seperlunya kita selalu membuat andaian yang salah. Hanya yang mengetahui sahaja yang arif antara yang hak dan yang batil. Kerana itu jangan pula kita hanya berteka teki dalam hal hukum-hakam. Biar jelas dan muktamad. Kita pasti mana yang sebenar-benarnya hak.

Hidup kita beransur-ansur memerlu dan diperlukan. Apabila melepasi usia baligh timbul keinginan kerana naluri kejantinaan. Perlu diingat ianya adalah peredaran fisiologi yang fitrah. Hampir kesemua orang malaluinya tanpa kecuali. Iman dan didikan serta adat resam membudayakan kita supaya mengambil jalan yang norma dan mematuhi hukum-hakam agama. Mematuhi perintah dan laranganNya. Agama mengharuskan kita berkahwian. Ada masanya hukum itu berubah menjadi wajib jika itu adalah lebih baik bagi seseorang individu bagi menjaga imannya. Wajib kerana ia memiliki kemampuan zahir dan batin. Ia pula mungkin jenis yang mudah tergoda. Sebelum tergoda wajib baginya berkahwin. Biar syaitan menangis kerana gagal menggoda. Ada pula masanya hukum itu menjadi makruh dan haram apabila seseorang individu itu tiada kemampuan zahir dan batinnya. Menganiaya isterinya nanti. Yang halal menjadi haram jika diteruskan juga niat untuk berkahwin. Bernikah kahwin adalah mawaddah. Tetapi makan minum dan keperluan berkeluarga perlu pula disempurnakan.

Dalam proses berkahwin ada yang berkahwin segera. Ada yang melalui proses yang panjang. Merisik, bertunang dan bernikah tentulah suatu proses yang memerlukan kesabaran peringkat tinggi. Tidak boleh tergesa-gesa. Banyak pertimbangan yang perlu dibuat. Ianya menguji iman di dada. Menguji adat sama ada lapuk atau tidak. Sama ada adat berlandaskan agama atau tidak. Sama ada adat diutamakan berbanding agama. Atau sesungguhnya kita melebihkan agama dari segala-galanya. Menyedari kedaifan kita maka kita kembalikan kesemuanya kepada Yang Maha Pencipta. Merisik adalah perlu kerana ditakuti orang yang dirisik adalah tunangan orang. Sudah ditempah orang lain. Sudah hampir menjadi isteri orang. Tentulah menjadi kesalahan merampas bakal milik saudara kita sendiri. Sebelum mendirikan rumahtangga diharuskan pula melihat bakal isteri. Untuk mempastikan kesesuaiannya dengan yang berhajat untuk memperisterikannya. Pada proses inilah agama kita selalu dikecundangkan kepada adat. Bertunang digalakkan tetapi majlis bertunang yang mengikutinya banyak bersalut dengan hal-hal yang dilarang.  Kita menutup mata dari melihat. Berdiam diri tanpa mahu memahami.

Pergilah ke mana-mana majlis pertunangan. Aduhai, bukan sahaja rombongan pihak lelaki yang hadir bahkan bakal menantu lelaki juga turut hadir.  Apa yang berlaku:
1                 Dia akan bersalaman dengan ibu tunangannya. Mungkin neneknya. Mungkin ibu saudaranya. Mungkin saudara mara perempuan yang lain.
2                 Gambar menjadi suatu event yang seperti wajib. Orang dahulu tidak adapun aktiviti itu.

Proses bergambar hukumnya terlarang kerana yang bertunangan belum ada status halal. Mana mungkin pasangan yang bertunangan berada bersama. Berdekat-dekatan. Ada pula yang berlebih-lebihan  sehingga bersentuhan dan berpegang-pegangan. Ada yang lain mencari lokasi penggambaran di luar rumah. Bukan mahram bang. Bukan mahram kak. Kesemuanya diperlihatkan di hadapan hadirin yang ramai. Saudara mara dan jiran tetangga. Begitu juga menjadi tontonan teman-teman yang diundang sama. Ketika larangan masih di persada kita sepatutnya menghormati larangan itu. Zaman berkurung. Belum waktunya halal. Bila kita semak, siapa yang menanggung dosanya. Kesemua kita yang hadir. Sama ada kita mengetahui hukum-hakam atau tidak. Agama dan hukum-hakamnya tidak pernah berubah. Ia kekal sepanjang masa. Tidak mungkin kita memandai-mandai untuk mengubahnya kerana kita bukan pakarnya.  Tidak mungkin kita boleh mengubahsuainya. Bukan kepakaran kita.

Dalam banyak hal ada pasangan yang bertunang mengadakan majlis pra-pernikahan. Dicari lokasi dalam negara dan di luar negara. Pergi bersama dan baliknya bersama. Kebanyakan masa bersama. Tidur di hotel yang sama. Dalam penerbangan yang sama. Duduk bersebelahan. Sentuh dan pegang seperti tidak ada larangan. Di mana kewajarannya. Usahlah kita menafikan agama kerana agama Islam adalah yang terbaik untuk kita. Tidak yang lebih baik. Telah disempurnakan Allah. Dijamin Allah sebagai satu-satunya agama yang diredhaiNya. Kita sudah dijanjikan untuk kembali kepadaNya. Kita akan menjawab kesemuanya di hadapan Allah nanti.  Dunia sudah semakin kacau. Seharusnya bukan kita yang menambah kacaunya. Kita masih berpeluang untuk memperbaiki diri kita dan keadaan di sekeliling kita.

Sekarang ini ramai yang menyediakan pelamin semasa majlis bertunang. Ada banyak kejanggalan yang kita lihat. Antaranya:

1                 Yang bertunang bergambaran di atas pelamin. Kan belum masanya. Belum ada halalmuya. Belum ada kebanaran hukum dan hakamnya.
2                 Saudara mara turut juga bergambar bersama.
3                 Cincin disarung di atas pelamin. Apa yang kita lihat sebenarnya. Menyarung cincin tidak salah. Tidak berlawanan dengan hukum. Yang menyarungkannya adalah ibu atau kakak atau nenek bakal menantu lelaki. Yang menjadi masalahnya ialah kita selalu melanggar adat. Melanggar sopan agama. Yang bertunang di atas kerusi. Mungkin di atas pelamin. Yang menyarungkan cincin duduk di kaki wanita yang bertunang. Yang bertunang dimuliakan. Bakal ibu mertua atau kakak ipar atau bekal nenek menjadi hina duduk di bawah. Direndahkan statusnya. Hilang martabatnya.

Mari sama-sama kita perbaiki keadaan. Kita cari jalan penyelesaian yang terbaik. Jalan yang boleh membawa kita ke arah yang diredhai.

1                 Kita banyak melakukan kesalahan sebelum ini. Bayak larangan yang kita langgari. Tiba masanya kita bertaubat. Mengubah keadaan ke arah yang lebih baik. Tinggalkan amalan lama. Ambil yang selari dengan hukum-hakam. Mungkin dahulu kita terlalu jahil dengan larangan agama. Ambil peluang ini untuk mendapatkan keampunan Allah.
2                 Menikah semasa bertunang. Majlis bertunang kita ubahsuai. Jangan hanya bertunang semata-mata. Jika pasangan sudah tidak ada kesabaran maka bernikah adalah lebih baik. Jika ibu bapa tidak arif tentang perubahan perjalanan masa maka bernikah adalah lebih selamat untuk semua orang. Orang Arab umpamanya bertunang bermakna bernikah. Majlis resepsinya ditangguhkan mengikut persetujuan. Mungkin beberapa bulan atau mungkin beberapa tahun. Apabila bertunang dan bernikah kedua-duanya sudah sah sebagai suami isteri. Peganglah. Peluklah. Tiada lagi larangan apa-apa. Cuma segan dengan yang hadir sahaja. Jika semasa majlis resepsi yang isteri sudah mengandung tidak ada salahnya. Mereka sudah sah sebagai suami isteri. Jika sudah bersalin sekalipun tidak ada salahnya. Semuanya selamat. Keluarga selamat. Keturunan selamat. Agama selamat. Hendak menjenguk isteri tiada larangan. Menjenguk suami tiada larangan. Hendak duduk bersama tiada juga halangan. Kesemuanya sudah halal dan menghalalkan.
3                 Semasa menyarungkan cincin, yang menyarung dan yang menghulur jari manis duduklah sama tinggi atau sama rendah. Sama ada kedua-duanya di atas kerusi atau di atas pelamin atau duduk di lantai. Mungkin lebih baik yang disarungkan cincin duduk lebih rendah. Selepas disarungkan cincin cium tangan bakal emak mertua dari tempat yang rendah. Atau peluk dirinya. Merendah diri sebagai bakal anak. Sebagai bakal isteri.

Rasanya kita semua boleh melakukannya. Tidak ada kesukaran untuk mengubah ke arah paradigma agama. Yang penting kita belajar dari kesilapan. Kita belajar kerana belum tahu. Kita berkongsi kebaikan. Banyak kebaikan meninggalkan yang salah. Kita junjung dan kelek perintah agama. Kita nyahkan larangan Allah. Semoga perkahwinan mendapat barakah. Diredhai Allah. Dikurnaiakan keturunan yang soleh dan solehah. Banyaklah memohon daripada Allah. Sesungguhnya kita lemah. Cukuplah ketidakselarian agama yang selalu kita lakukan. Semoga Allah memelihara kita semua. Amin.

Thursday, December 19, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mengangkat Keluarga Angkat

Dalam kebiasaan kita, tedapat segelintir antara kita yang suka berkeluarga angkat. Yang muda diaku anak. Yang tua diaku bapa atau ibu. Ada pula kakak dan adik angkat. Abang dan adik angkat. Ada keluraga angkat. Hubungan ini dicipta dalam keadaan yang selalu tidak sesuai. Lazimnya tidak syarie. Tidak ada hubungan kekeluargaan. Tidak ada hubungan darah. Malah kebanyakannya melibatkan antara lelaki dan perempuan. Masalahnya  antara mereka bukan mahram. Akibatnya berlaku musibah. Mungkin maksiat. Berlaku pergaulan yang terlalu bebas atas dasar angkat-mengangkat. Apabila kita mendalami agama Islam kita terasa kejanggalannya. Ketidakwajarannya. Mana mungkin dibenarkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram bergaul bersama. Kadang-kadang terlalu bebas hingga berpegang-pegangan tangan tidak ada sekatan langsung. Berjabat tangan atau sentuh-menyentuh.

Cuba kembali ke pangkal hukum. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram hukumnya haram bercampur gaul. Terpandang sekali tidak senghaja. Kerana itu tiada masalah. Tetapi apabila berhadap-hadapan pada kebanyakan masa tentulah masalah kepada hukum. Kepada agama. Kepada iman. Bergaul pula dalam ruang yang sama. Rumah yang sama. Di sudut yang sama. Ada pula yang tinggal serumah dengan asbab nipis bahawa mereka adik-beradik angkat. Kenalan lama. Malah saudara mara yang bukan mahram dilihat seperti adik-beradik. Senario ini menjadi lumrah di kalangan orang Melayu yang memandang ringan akan ketetapan hukum. Islam tidak difahami hingga ke dasarnya. Banyak larangan yang dilunakkan atas dasar sudah menjadi kebiasaan. Sudah lumrah. Kesemua larangan dilanggar sewenang-wenangnya. Sudah tiada siapa yang disegani. Tiada yang ditakuti. Tiada yang dirujuk tentang halal dan haramnya. Apabila hukum diletak di tangan sendiri malanglah diri kerana mendekati kemungkaran.

Apa sebenarnya kewajaran berbapa angkat. Atau beribu angkat. Jika masih ada ibu, jagalah dia sepenuhnya. Kasihi dia kerana ibu hanya satu. Kita lahir darinya. Dia sudah wujud sejak kita lahir. Dia yang berhak diberi kasih sayang. Memindahkan kasih sayang kepada ibu atau bapa angkat seperti menafikan kewujudan ibu kandung sendiri. Tiba-tiba kita panggil seseorang itu ayah atau ibu. Mereka bukan ayah dan ibu kita. Jika anak angkat itu lelaki tentulah haram bersentuhan dengan ibu angkatnya. Begitulah sebaliknya. Haram anak angkat perempuan bersentuhan dengan bapa angkatnya. Kerana bukan mahram maka banyak perkara haram berlaku antara yang berkeluarga angkat. Sebab itu ada ibu angkat yang menyusukan anak angkatnya. Yang haram dapat dihalalkan apabila bersentuhan. Apabila anak angkat itu sudah remaja atau anak muda keadaan hukum wajib diutamakan.

Anak angkat dalam bentuk istilah tidak mengapa. Contohnya anak-anak yatim dijadikan anak angkat oleh seorang yang berharta. Situasinya hanya untuk memenuhi tuntutan pendidikan. Menjadikan anak-anak itu manusia. Mereka tidak bersama. Malah jarang-jarang bertemu.  NGO menjadikan sebuah sekolah sebagai anak angkat. Tiada langsung perhubungan peribadi. Wujud perhubungan professional dan bukan perhubungan peribadi. Dalam keadaan seperti itu organisasi ingin memenuhi tanggungjawab sosialnya. Tanggungjawab untuk membantu ahli masyarakat yang memerlukan. Begitu juga kes membiayai pengajian seseorang anak. Pengajian itu pula yang harus seperti di IPT. Tidak pula membiayai pengajian yang menjerumus ke arah maksiat.

Apabila kita nilai semula, budaya kita banyak masalahnya. Kadang-kadang saudara mara menumpangkan anak-anak mereka di rumah kita untuk memudahkannya bersekolah atau bekerja. Anak kita lelaki. Anak rakan kita perempuan. Bukan mahram. Di mana letaknya hukum dalam keadaan sebegitu. Mengutamakan persahabatan atau iman dan perintah atau larangan agama. Apabila adat menjadi kebiasaan ia menghijab hukum. Orang tidak lagi melihat kewajaran hukum. Yang dilihat ialah kemudahan (convenience) yang memudaratkan. Bagaimana jika ada yang sengaja mempelawa anak sahabat atau anak saudara maranya untuk tinggal bersama. Banyak pergaulan yang dilarang syarie. Sesuatu yang tidak halal kekal tidak halal kecuali berlaku nikah kahwin. Halal itupun kepada yang berhak sahaja. Isteri/suami, mertua dan anak-anak. Tidak juga dengan adik-beradik.

Masalah yang paling besar ialah mengenai abang angkat, kakak angkat dan adik angkat. Yang perempuan mencari abang angkat. Pastinya berlainan jantina? Di mana halalnya hubungan itu. Sampai bilapun tidak halal kecuali bernikah kahwin. Kakak angkat mencari adik angkat. Yang dicari bukan perempuan tetapi lelaki. Berjalan beriringan. Apabila ditanya jawapannya sangat mudah. Adik dan kakak angkat. Halal? Tentu tidak. Menjadi halal jika bernikah kahwin. Jika tidak ada ikatan  itu selamanya mereka mengamalkan yang haram. Yang bukan hak. Yang batil selamanya. Cuba pandang keliling, terlalu ramai orang yang terlibat. Dianggap lumrah. Biasa. Tidak ada yang luar biasa. Ramai yang melakukannya. Hukum tidak dibuat berdasarkan majoriti. Ianya konstan dalam kebanyakan hal. Lelaki dan perempuan adalah haram. Apabila menjadi menantu atau mertua secara automatik nikah menghalalkan perhubungan mereka. Tiada lagi apa-apa larangan dalam pergaulan antara mereka.

Banyak program IPT yang dipanggil khidmat masyarakat. MPP sebuah IPT menghantar serombongan mahasiswa dan mahasiswinya ke desa-desa yang jauh. Selama mungkin tiga hari mereka diletakkan di rumah keluarga angkat. Untuk menyelami hati nurani keluarga desa. Yang daif. Yang tidak termotivasi. Yang jauh dari berkeupayaan berfikir pada aras tinggi. Keluarga angkat itu ditarbiah untuk lebih mengetahui. Untuk lebih panjang jalan fikirnya. Boleh menjangkau sesuatu yang di luar kotak pemikiran biasa. Malangnya selama tiga hari itu pergaulan antara mahasiswa dan keluarga angkatnya menjadi janggal. Menyalahi hukum. Yang lelaki menjabat dan mencium tangan ibu angkatnya. Yang perempuan melakukannya terhadap bapa angkatnya. Di rumah yang sama ada anak perempuan dan anak lelaki yang sudah baligh. Pergaulan menjadi tiada pemisah antara halal dan haramnya. Tentulah hal seperti ini perlukan pembetulan. Kerja amal yang barakah. Bukan yang maksiat.

Kita perlu banyak menilai kedudukan kita. Sama ada kita berada di landasan yang benar atau tidak. Jika di landasan benar insyaAllah ada ganjarannya. Jika tidak tentulah dosa pula yang diundang. Tentulah mengetahui berbeza dengan tidak mengetahui. Kerana itu kita digesa supaya menjadikan diri kita sebagai orang—orang yang mengetahui. Pelajari apa yang tidak diketahui. Bertanya apa yang tidak difahami. Mengembara untuk melihat kebesaran Allah. InsyaAllah dalam kembara itulah kita banyak belajar. Memahami perintah Allah dengan lebih jelas. Memahami larangan Allah. Sebagai penganut agama yang dilihat tahap imannya maka kita bertanggungjawab untuk menjadikan diri kita sebagai umat terbaik. Lebih baik dari semua manusia yang lain. Lebih baik dari makhluk Allah yang lain. Lihat kembali landasan yang kita pijak sekarang. Mudah-mudahan landasan yang berada di hadapan kita sesungguhnya sangat lurus dan barakah sepanjang-panjangnya.

Wednesday, December 18, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Ziarah Yang Sedikit Kewajarannya



Suatu senario yang biasa di hospital. Seorang pesakit dikelilingi oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Kadang-kadang sahabat kepada sahabat. Sahabat kepada saudara mara. Sahabat kepada ahli keluarga. Termasuk juga raka sekeluarga. Suasana meriah itu ditamba pula dengan khadiran kanak-kanak. Ruang katil tidak cukup menampung penziarah yang ramai. Melimpah ke ruang katil pesakit yang bersebelahan. Di hospital kerajaan jangkamasa dua jam sama ada pada waktu tengahari atau sebelah petang penuh dengan pengunjung. Kedengaran banyak pertanyaan. Ingin tahu kedudukan perkara. Anak-anak menangis kerana letih. Kerana lapar susu. Kerana kehausan. Riuh pula dengan anak-anak yang berkejar-kejaranan. Ramai yang berbual kerana bertemu rakan lama atau saudara yang lama tidak bertemu.

Sesungguhnya budaya menziarahi pesakit kadang-kadang melebihi tuntutannya. Seorang isteri bekas menteri menceritakan tentang kejutan budaya yang dialaminya sewaktu mula berhijrah ke Malaysia. Mana mungkin seramai itu penziarah di hospital. Atas alasan apapun di negara lain seperti di Eropah dan Amerika mengunjungi pesakit di hospital bukan budaya utama. Hatta di negara Arab Islam menziarahi pesakit bukan secara besar-besaran. Di Malaysia ada rombongan menggunakan bas atau kereta yang banyak jumlahnya. Di negara lain menziarahi orang sakit dibuat ala kadar. Mungkin kita boleh menilai semula budaya kita. Dari satu sisi ianya amalan baik. Perihatin. Suka terlibat. Menunjukkan rasa ambil tahu. Merapatkan silaturrahim. Ukhwah.  Namun begitu dari sisi lain ianya bukan amalan yang terbaik. Ada adab Islamiyyah yang lebih bermanfaat semasa sessi menziarahi pesakit sama ada di hospital atau di rumah. Pada lazimnya:

1       Pesakit adalah sedang sakit. Fizikalnya lemah. Jiwanya lemah. Semangatnya rendah. Psikologinya terkesan. Kegembiraan lazimnya hilang dari diri dan perasaan pesakit. Maka berpada-padalah semasa menziarahi pesakit.
2       Ia perlu banyak berehat. Banyak tidur. Ubat yang dimakan mungkin menjadikan pesakit mengantuk. Ketika itu waktu menziarahinya perlu disingkatkan.
3       Ada masanya yang berjadual ia perlu menerima rawatan jururawat atau doktor. Ketika itu jika terlalu ramai penziarah memang keadaan menyulitkan. Ruang menjadi sesak. Hospital sudah bukan hospital lagi.
4       Ia mungkin perlu ke bilik air. Maklum sahajalah pesakit. Lambat. Lemah. Perlu banyak bantuan dari penjaganya atau jururawat.
5       Ia perlu bersendirian dengan orang yang terdekat seperti ibu atau isteri atau suami atau anak atau adik beradik. Sebab itu menjengah pesakit tidak boleh terlalu lama.
6       Ada masanya ia perlu mendedahkan aurat kepada mahramnya atau kepada jururawat atau kepada doktor bertugas. Jika diziarahi tentulah menyulitkan yang sakit dan yang menziarahinya.
7       Ia perlu makan seperlunya mengikut jadual yang telah ditentukan. Ketika diziahari makannya terganggu. Malu ada. Terganggu ada. Kasihan pesakit.
8       Jangan lupa. Penjaganya juga perlu rehat. Waktu malamnya dia kurang tidur. Siangnya membantu pesakit mana yang perlu. Jika penziarah terlalu ramai dan terlalu lama kasihan penjaganya. Mungkin dia juga sudah berumur. Dia juga menjadi kurang sihat.

Kerana itu penziarah perlu pula mengetahui bila waktu yang sesuai dan bila pula waktu yang tidak sesuai. Begitu juga adab ziarah yang perlu dijadikan panduan. Antaranya:

1       Jangan terlalu lama. Melebihi jangkamasa 15 minit sangat lama. Ramai lagi penziarah lain yang juga ingin berkesempatan menjengah pesakit.  Tujuan ziarah sudah mencukupi dalam masa yang singkat. Banyak yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Jangkamasa yang lama belum tentu banyak manfaatnya.
2       Yang penting ialah menemui pesakit secara peribadi. Menjabat tangannya. Bertentang mata dengannya. Mendengar suaranya. Mungkin sedikit ceritanya. Mungkin lama jika pesakit yang meminta penziarah berbuat demikian.
3       Bawalah hadiah yang sesuai seperti barang-barang yang menceriakan. Sejambak bunga umpamanya. Buah-buahan.
4       Datang dengan doa dan balik dengan doa. Doakan semoga Allah segera menyembuhkannya.
5       Tanya hal-hal yang ringan. Banyak bertanya tentang sakitnya mungkin menjadikannya sebak. Mungkin juga menjadikannya hiba. Ada masanya ia sudah jemu dengan pertanyaan yang sama dari orang yang berlainan. Berulang-ulang pertanyaan yang sama.
6       Bercakap secara perlahan. Selain untuk tidak mengganggu ketenteraman diri pesakit, penziarah yang lain tidak pula mahu diganggu. Pesakit yang berada di sebelah menyebelah apatah lagi. Mereka tidak mahu terganggu.
7       Tidak terlalu banyak bertanya dan bercakap. Pesakit bukan gemar bercakap semasa sakit. Keinginan untuk bercakap terhenti seketika. Sakit yang dirasa. Bersembang nantilah dahulu setelah sembuh dari penyakitnya. Bertanya bermacam-macam perkara hanya akan menjadikannya gelisah.
8       Jangan pula gelak ketawa. Tidak pula berbual dengan penziarah yang lain hingga mengganggu pesakit dan penziarah yang lain. Bolehlah mengusik pesakit tetapi tidak keterlaluan. Takut menyakitkan hati atau menyentuh perasaan.
9       Jangan menghalang pesakit lain yang sedang berehat. Jangan duduk di birai katil pesakit lain. Mengganggu ketenteramannya. Pesakit lain ada penziarah mereka sendiri.
10  Jangan mengganggu petugas hospital. Ada sahaja yang perlu mereka lakukan. Mungkin berkemas. Mungkin mengurus pesakit.
11  Jangan bawa orang yang sedang sakit seperti selsema, batuk atau penyakit yang mudah berjangkit. Kita ke hospital untuk menziarahi pesakit bukan untuk menambahkan penyakit lain. Tidak juga menjangkitkan penyakit kepada penziarah lain.
12  Jangan bawa anak-anak kecil kerana sistem ketahanan diri mereka belum kuat. Ditakuti mereka terjangkit berbagai penyakit yang tidak sepatutnya terkena kepada mereka.
13  Jangan bawa makanan yang bukan-bukan dari rumah. Ahli keluarganya yang mengetahui apa yang boleh dimakan dan apa yang dilarang. Penziarah tidak tahu alahan pesakit. Atau keperluan pesakit yang sebenarnya.
14  Tentu dilarang membawa berita yang mengejutkan. Berita yang negatif. Berita yang menyedihkan.
15  Jangan juga memandai-mandai mencadangkan ubat-ubatan yang belum tentu mujarrab tanpa kebenaran doktor. Membahayakan pesakit.


Pesakit hendaklah dilayan sebagai pesakit. Ketika itu ia perlu layanan istimewa. Layanan sepenuhnya. Ia perlukan perhatian yang sekecil-kecilnya. Ada ketikanya pesakit menjadi anak-anak kecil. Bukan manja tetapi keperluan nalurinya yang sangat tinggi. Seolah-olahnya dia memerlukan orang lain boleh membaca apa yang ada dalam fikirannya. Dia mungkin tidak mahu meminta atau menyuruh-nyuruh. Yang menjaganya perlu maklum apa kehendaknya pada ketika-ketika tertentu.  Kebiasaan yang orang lain tidak tahu kecuali orang-orang yang terdekat sahaja. Kita boleh mendoakannya dari jauh. Solat hajat untuknya. Bacakan al-Quran dan pahalanya disedekahkan kepadanya. Ceritakan kebaikannhya kepada orang lain. Ajak orang lain mengaminkan doa untuknya. InsyaAllah kita boleh membentuk budaya yang lebih segar pada masa hadapan.