Tuesday, July 23, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Sekolah Yang Tidak Ada Pandainya



Kita selalu bertemu dengan situasi begini:

1       Orang Malaysia. Warganegara. Usia emas. Tidak tahu berbahasa Malaysia.
2       Warganegara. Anak pasca merdeka. Tidak fasih berbahasa Malaysia.
3       Anak pasca merdeka  tidak tahu menghormati adat dan agama kaum yang lain.
4       Anak pasca merdeka menghina agama lain.
5       Anak pasca merdeka tidak tahu batas-batas kebebasan bersuara.

Mereka yang berada dalam senarai 1 menjadi warganegara dalam istilah jus soli. Kontrak sosial selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Lihatlah Perlembagaan Malaysia untuk memahaminya. Senarai 2 hingga 5 terdiri dari mereka yang bersekolah yang dinamakan sistem sekolah kebangsaan. Namanya sekolah kebangsaan tetapi berbahasa pengantar bahasa Melayu, Cina dan Tamil. Selepas sekolah kebangsaan terdapat pula sekolah menengah kebangsaan. Tetapi masih ada pula sekolah etnik Cina. Pada peringkat IPT keterasingan berlaku. Bahasa kebangsaan bukan lagi didokong. Banyak IPT swasta sama ada yang dibangunkan oleh individu, parti politik atau syarikat gergasi menggunakan bahasa Inggeris dalam modus operandinya.  Dalam sistem yang ada anak-anak warganegara belajar bahasa kebangsaan hanya di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Di sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, bahasa Kebangsaan hanya suatu subjek. Tidak merentasi semua kurukulum.

Saya ingin ke negara seberang. Apabila Belanda dikalahkan, Indonesia merdeka. Ketika panca sila diwujudkan rakyatnya di bawah satu keterikatan bangsa. Apabila sang saka merah putih dikibarkan, seluruh Indonesia menerima bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan. Siapapun mereka di Indonesia berbahasa Indonesia. Hanya ada satu sekolah yang berbahasa Indonesia. Nama menunjukkan etnik dan mungkin agama tetapi kesemua warganegara berbahasa Indonesia. Pergeseran tetap berlaku tetapi dapat dikurangkan. Dapat dipadam. Dapat ditiadakan. Antara rakyatnya yang berbagai latarbelakang ada keupayaan untuk memahami antara satu sama lain. Bahasa menyatukan mereka. Tidak perlu mengada-ngada. Tidak perlu banyak politiking. Yang dipentingkan ialah masa hadapan negara dan warganya. Bukan survival politik semata-mata.

Penyata Barnes dengan jelas mencadangkan hanya perlu ada satu jenis sekolah di Persekutuan Tanah Melayu dan bahasa Melayu adalah bahasa pengantarnya. Ramai yang membantah. Laporan Fenn-Wu pula menyusul. Menyokong cadangan Barnes. Datang pula Penyata Razak selepas Perikatan (gabungan UMNO, MCA dan MIC) memenangi pilihanraya pertama pada tahun 1955. Temponya berubah. Irama dan nadanya berubah. Penguasa ketika itu menolak dan beransur. Cadangan Barnes diterima dengan pindaan. Dijanjikan ianya akan dilaksanakan secara perlahan-lahan. Secara berperingkat-peringkat. Masa beredar. Gagasan Barnes kekal sebagai laporan. Setelah hampir 60 tahun semuanya mengecewakan. Kita berbeza sekolah. Kita berbeza bahasa. Kita berbeza aspirasi. Cadangan supaya semua anak-anak kita berada dalam satu sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan tinggal dalam sejarah. Kekal dalam penyata dan laporan. Orang Putih melihat ke hadapan. Orang kita melihat ke samping. Terlalu memikirkan orang di sebelah hingga lupa masa hadapan yang sewajarnya dibina.

Sekarang kita menghadapi saat cemas. Sewaktu situasi memihak kepada kita, kita lepaskan begitu sahaja. Sewaktu kita memiliki ruang, kita isi dengan agenda lain. Sekarang masalah sosial antara kaum meningkat negatifnya. Kita terlalu bertolak ansur kerana percaturan yang salah. Agenda bernegara seharusnya diasingkan dari agenda berpolitik. Diasingkan dari agenda sosial yang lain. Masa hadapan perlu dilihat dengan jelas. Tanpa syak wasangka. Tanpa kekangan-kekangan yang merugikan. Malaysia negara kita. Kita ingin kekal aman di dalamnya. Maka tanggungjawab semua orang untuk membina suatu sistem berkehidupan yang berpanjangan bentuknya. Kerana itu:

1       Kita perlu duduk lagi berkeliling meja bulat.
2       Buang sentimen kaum.
3       Buang sentimen agama.
4       Buang sentimen politik.
5       Buang sentimen majoriti dan minoriti.
6       Bina bangsa Malaysia yang satu.
7       Terasnya satu.
8       Matlamatnya satu.

Memenangkan majoriti mengenepikan yang minoriti. Memenangkan yang minoriti menjengkelkan yang majoriti. Kita buang persepsi itu.

1       Kita sayang Malaysia.
2       Kita hendak hidup lama termasuk anak dan cucu kita.
3       Malaysia milik bersama. Kecuali yang dilebihkan oleh perlembagaan. Dalam konteks peribumi.
4       Bina negara yang di dalamnya kita hidup bersama tanpa takut. Tanpa tergugat.

Pemimpin-pemimpin politik mainkanlah peranan anda. Kita harus membangunkan political will yang menjurus mencari kekuatan bernegara.  Kita tidak lagi boleh hanya fokus kepada kekuatan politik. Tidak juga kepada kekuatan sesuatu kaum sahaja. World view kita hendaklah besar dan cukup tinggi untuk merealisasikan Malaysia yang dicintai. World view kita hendaklah merentasi semua sempadan agama, kaum, politik, demografi dan sebagainya. Kita tidak perlu banyak irony. Banyak paradigm. Banyak paradox. Kita harus buang semua hijab. Semua halangan. Semua kekangan. Jika kita biarkan keadaan yang ada sekarang, kita akan tenggelam dalam sejarah. Gagal dalam kepelbagaian.

Kita harus kembali ke sekolah. Menyemak semula kurikulum dan kokurikulum yang digunapakai. Menyemak semula silibus yang dijanjikan merentasi semua subjek.

1       Sistem latihan keperguruan harus diperbaiki. Lahirkan guru yang memiliki world view dan bukan ethnic view sahaja. Kita tidak ada isu survival. Semua rakyat dilindungi.
2       Guru berwawasan negara. Bukan kaum dan bukan politik. Agama pula adalah teras masing-masing. Islam tetap agama persekutuan.
3       Matapelajaran sivik diperkukuhkan lagi. Topik perpaduan juga merentasi kurikulum.
4       Nisbah guru-pelajar harus dilihat semula. Bukan kelas dan subjek sahaja yang diambilkira. Hal-hal kenegaraan juga perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Guru mestilah berwajah guru, mendidik anak bangsa tanpa mengira apapun perbezaan yang wujud. Pelajar-pelajar adalah anak warganegara yang bakal kekal meneruskan legasi kita. Guru bertanggungjawab kepada generasi selepasnya untuk jangka panjang. Bukan setahun dua. Guru bukan setakat makan gaji. Ada tanggungjawab besar membangunkan warganegara yang bertanggungjawab. Mendidik mengikut acuan negara ini. Bukan sahaja untuk sekarang bahkan juga penting difikirkan untuk masa akan datang. Waktu yang menyaksikan nanti anak dan cucu kita sudah terlalu ramai. Jika tidak disediakan mekanisma untuk memandaikan mereka untuk bersosial dan berpolitik tentulah nanti kesemuanya akan hancur luluh begitu sahaja. Masa sudah semakin suntuk. Maslahah umum mesti diutamakan. Maslalah etnik diketepikan. Jika kita tidak kembali ke dasar semula kita akan hanyut lagi. Janji untuk mewujudkan sekolah yang satu sudah terlalu lama. Janji untuk mengagungkan hanya satu bahasa masih jauh dari sasaran.


Ke mana sebenarnya kita hendak dibawa? Jangan hanya lihat warganegara muda menghina lagu Negaraku. Kita diam apabila warganegara muda menghina agama lain. Kita sunyi melihat warganegara muda memainkan sentimen perkauman. Kita hanya pejam mata melihat warganegara muda menghina institusi raja yang sensitif kepada orang Melayu. Kembali kepada cara kita mendidik anak bangsa kita. Kembali ke sekolah. Di situlah lubuk pendidikan. Kita serahkan kembali kepada guru. 

No comments:

Post a Comment