Saturday, June 8, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Petra, Kota Purba Yang Menakjubkan

Melalui lorong sempit yang dinamakam Siq sudah cukup menakjubkan. Bertentang mata dengan Khazinah, binaan utama di Petra lagilah meningkat ke paras tinggi takjub perasaan. Rupanya di belakang Khazinah ada lagi yang banyak menakjubkan. Saya kongsikan bersama-sama entry kali ini. InsyaAllah pada 15 Jun nanti saya akan ziarah kali kedua ke Petra yang banyak sejarahnya. Ada lagi bahagian yang belum saya ziarahi.



Binaan ini besar. Betul-betul di belakang Khazinah.

Lihatlah betapa besar dan tersergamnya binaan yang diukir pada dinding gunung.

Tentulah manusia yang istimewa kecanggihan teknologinya.

Gunung setinggi itu ditarah dari atas ke bawah untuk membentuk sebuah khazanah sejarah.

Penuh dengan seni bukan kasar. Masih kekal seninya walaupun sudah melebihi 2,000 tahun lamanya.

Dilihat dari sisi lagilah mengasyikkan.

Sukar untuk menggambarkan. Ukiran itu terletak di puncak binaan.

Bukan sahaja besar dan tinggi. Panjang pula.

Di bahagian yang lain.

Mungkin bilik tempat tinggal atau kedai.

Seorang dari Malaysia dan seorang lagi dari Jordan. Gadis keturun Palestin.

Ukiran pada dinding gunung.

Berlatarbelakangkan sebuah tebukan pada dinding gunung.

Dilihat dari sisi lain.

Dilihat dari kawasan tengah Petra.

Di bawah langit yang membiru cerah.

Siapapun terpegun dengan hasil yang

Kawasan lapang ini tentu meriah pada zaman kegemilangannya.

Pedagang dari Barat dan Timur bertemu di sini. Sekarang pelancong dari seluruh dunia berhimpun di sini setiap masa.

Kaum Anbat memanfaatkan keberadaan gunung yang ada di sekeliling tempat mereka.

Arah mana sekalipun kita memandang, ada sahaja binaan pada dinding gunung.

Mereka berumah di dalam gunung. menakjubkan semua orang terkemudian.

Mereka duduk hingga di puncak gunung.

Hebat sungguh kemahiran mereka.

Tinggi atau payah bukan halangan kepada mereka.

Setinggi manapun tetap diusahakan.

Tidak ada tangga. Laluan yang ada di perut gunung.

Perkataan tidak dapat menggambarkan segala-galanya yang dapat dilihat.

Pintu-pintu besar ke dalam gunung.

Gunung yang tinggi menjadi mainan kepada mereka.


Setiap ruang dimanfaatkan.


Stadium atau mudarraj dilihat dari jauh. Masa tidak mencukupi. InsyaAllah pada 15 Jun 2013 nanti saya lihat dari dekat.

Jika sekarangpun terasa bahang meriahnya, ketika zamannya mungkin lebih lagi meriahnya.

Ukiran pada gunung itu sungguh kemas. Seolah-olahnya mereka memasukkan sebuah binaan ke dalam gunung.

Sebenarnya tinggalan ini mungkin menyeramkan kepada sesetengah orang.  Besar, luas, lapang, tinggi dan melebar. Tetapi sunyi dan sepi yang mengheningkan. Mungkin baik untuk berimajinasi.

Dengan izin Allah, batu yang keras dapat dibentuk menjadi penempatan yang istimewa ketika itu. Menjadi rebutan beberapa empayar. Rom dan Mesir.

Sukar untuk memahami terbinanya tamadun orang Anbat ini. Gunung  yang tinggi dimanfaatkan. Batu yang keras dijinakkan.

Kita tidak boleh banya bertanya kenapa dan mengapa. Jika kita kembali ke zaman itu, keadaan yang memberi mereka peluang untuk memanfaatkan gunung-gunung itu sehingga boleh tertegak sebuah empayar besar berzaman-zaman.

Waktu siangnya sangat ramai pelancong. Waktu malamnya sahaja sunyi dan sepi.

Tarahan pada gunung itu bukan sebarangan. Ada seninya yang tersendiri.  Kita hanya boleh berkata mengkagumkan. Ungkapan ringkas untuk  sebuah tamadun besar.

Hanya satu-satunya yang tersendiri dan menyendiri.

Izin Allah untuk saya berada di sini. Pengalaman yang memuaskan mata dan perasaan. Lisan tidak mampu mengungkapkan  segala-galanya. Gambar-gambar hanya pegunan kaku tanpa nafas. Tulisanpun sekadar mampu memberikan gambaran melalui kata-kata yang mungkin benar pada dasarnya. Lain orang lain pula tafsirannya.


Petra yang indah. Di celah-celah gunung yang tersendiri indahnya. Apabila kita menemui sesuatu yang indah tiada kata yang dapat diungkapkan untuk menceritakannya. Tiada perkataan yang menyampaikan maksud selengkapnya. Tiada istilah yang dapat memberi gambaran tepat apa yang dilihat. Tiada ayat yang boleh memenuhi pesona. Kita hanya terfana. Terpesona sendirian. Tiada siapa yang dapat membantu kerana masing-masing juga tenggelam dalam pesona yang sama. Mata kita meniti dari satu objek ke satu objek yang lain. Dari satu titik ke satu titik yang lain. Dari satu aspek ke satu aspek yang lain. Kita tenggelam menelan zaman yang datang tiba-tiba di hadapan mata. Zaman yang dijejak dengan sedar bahawa suatu waktu dahulu ada orang yang lebih dahulu maju dan membangun. Binaan kita kerap runtuh tanpa gegaran.  Goyang tanpa angin. Hilang tanpa musnah. Bangunan di bandar purba Petra masih kukuh menongkat gunung. Masih dikagumi sebagai khazanah manusia terdahulu. Masih boleh dilihat walaupun telah ribuan tahun tertegaknya. Masih boleh diteroka tanpa rasa bimbang ianya akan runtuh. Orang dahulu membina fungsi dan manfaat jangka panjang. Orang sekarang rakus mengaut keuntungan. Tidak ada perpespektif zaman. Semuanya menjadi sementara sahaja.
Sejarah merakamkan bahawa tiada siapa yang dapat memberi gambaran tepat mengenai Petra. Ramai yang datang. Mata masing-masing melihatnya dari dekat. Banyak literatur yang dibaca. Namun tiada siapa yang dapat memberikan imej yang wajar. Bahawa sesuatu yang besar itu tidak dapat digambarkan besarnya. Bahawa sesuatu yang tinggi tidak dapat digambarkan tingginya. Bahawa sesuatu yang indah tidak ada lukisan yang dapat mengindahkannya. Tinggallah cubaan dan garapan mengikut persepsi yang terdaya. Mereka datang dan kembali membawa imej-imej yang sukar dilupakan. Pada waktu yang sama sukar digambarkan dengan lisan. Atau dengan perkataan. Bahkan puisi tidak dapat melunaskan rasa kagum melihatnya. Berulang-kali dijengah ianya tetap sama. Tegak kukuh melayan zamannya yang tersendiri. Ribuan tahun tetap indah untuk dijengah kembali oleh generasi demi generasi. Perjalanan selalunya menemukan kita kepada hal-hal yang baru. Kadang-kadang hal yang sama dan lama tetapi kita melihatnya dengan perspektif baru kerana tambahan ilmu yang kita garap dari masa ke semasa.
Begitulah Petra yang indah. Orang dahulu yang meninggalkan khazanahnya. Jejak berzaman tidak memudarkan tarikannya. Pelancong datang dengan rupa dan gaya. Dengan niat dan laku yang berbeza. Dari seluruh dunia mereka datang. Bertongkat dan berkuda.  Jauh dan dekat hanya jarak. Lama atau sekejap hanya masa. Semua yang datang kagum dan tercegat. Ada sesuatu yang tidak dapat dimengerti. Bagaimana binaan setinggi itu dapat dibina oleh orang dahulu. Kita selalu katakan kita sudah maju. Rasanya kita tidak mungkin dapat membina binaan seindah Petra. Sekukuh Petra. Apakah teknologi yang mereka gunakan. Ketinggian yang melebihi 40m tentulah bukan suatu tugas yang mudah. Dipanjat tinggi. Menarah gunung. Menebuk gunung. Membuat bilik dan kamar. Membuat hiasan dan mendudukinya. Sesungguhnya apabila Allah mengizinkan semuanya boleh dilakukan. Seluruh jasad dan roh manusia adalah milik Allah. Akal manusia dipergunakan untuk memanfaatkan manusia lain. Untuk mensyukuri rahmat Allah.
Suatu waktu dahulu tiada crane yang tinggi seperti untuk membina pencakar langit. Teknologi yang digunakan orang Anbat tentulah luarbiasa untuk membina khazanah senibina yang melampaui senibina Rom dan Yunani atau Mesir Kuno. Jawapan kepada keraguan pertanyaan terjawab juga. Rupanya binaan yang tinggi dan mengkagumkan itu hanya dibuat menggunakan tangan yang seni. Gunung yang tinggi didaki. Dari atas gunung itu dibentuk seninya. Ditarah dengan peralatan yang asasi. Kemungkinannya pisau panjang yang tajam. Maka jangkamasa yang panjang diperlukan untuk membentuk seninya. Kemungkinannya mereka yang mahir ramai bilangannya. Bukan seorang. Bukan dua. Tentulah ramai kerana empayar itu perlu ditegakkan dengan kadar segera. Untuk menguasai jazirah di sekelilingnya. Tinggi dan besar bukan masalah kerana orang dahulu memiliki pasukan mahir yang bukan kepalang ramai dan pandainya. Gunung dan batu bukan penghalang untuk membina yang terbaik untuk mereka. Natijahnya sungguh menakjubkan. Yang ditinggalkan kepada sejarah ialah suatu zaman gemilang yang menjadi silauan masa. Hilang dari tempat teratas kegemilangannya itu sendiri. Manusia hanya sedar akan kewujudannya sendiri. Jarang yang ingin kewujudannya disambung oleh generasi yang akan datang. Ramai yang hanya mabuk pada zamannya. Lupa zaman akan datang.
Begitulah Petra yang terletak di sebuah gunung. Yang terlindung dalam aman yang tersembunyi. Di situ kekuatan sebuah empayar dibina. Menguasai semenanjung Arab. Menguasai bumi Syam yang memang penuh sejarahnya. Berada di tengah-tengah kota purba Perta seperti sesuatu yang sangat ajaib. Pada ketika-ketikanya sangat menakjubkan. Luasnya memang sebuah negara kota. Jauhnya memenatkan. Cuma sebagai pengembara zaman kita kadang-kadang mempunyai persepsi tersendiri. Dalam sunyi kota yang ditinggalkan ada hiruk pikuk kemeriahan yang hidup kembali dalam visual mata. Dalam minda yang memikir. Waktu itu tidak ada batasnya. Siang dan malam Petra sibuk melayan perdagangannya. Memeriahkan keramaiannya. Siq lorong sempit yang mencelah gunung, mengalirkan kunjungan mereka yang bertali arus dari mana sahaja datangnya. Tahun demi tahun. Ratusan dan ribuan tahun berlalu. Di dunia ini tiada yang kekal abadi. Berubah dan berlaku perubahan. Antara paradigma dan paradigma. Antara paradox dan paradox.  Lihatlah keliling. Kesemuanya berubah. Membawa sama kita untuk turut berubah.
Tanpa melihat sekeliling dengan mata hati, kita gagal mengesan perubahan. Tanpa melihat dengan mata yang adil dan saksama, kita gagal menangani perubahan. Apabila kita tidak berubah maka kita menjadi yang terbuang. Dihilangkan dari senarai. Ditinggalkan pada aras yang rendah. Dicampak ke tepi kerana bukan lagi selari dengan yang hak. Begitulah kaum Anbat yang dihambat zaman. Pada ketikanya mereka ditawan oleh orang Rom. Kedaulatan mereka dimusnahkan. Walaupun kota mereka tidak dimusnahkan tetapi maruah dan harga diri mereka diranapkan. Sejarah Anbat sejarah Petra. Bumi Syam menyaksikan satu lagi tragedi bangsa dan kaum yang gagah. Gagal mengharungi zaman yang lebih panjang. Sekarang kita hanya memandang suatu tinggalan. Hanya mengenang suatu zaman. Hanya sejarah. Iktibarnya tentu utama. Iktibar manusia yang ditinggalkan sejarah. Sunyi. Sepi. Debu dan berdebu. Longlai. Dilihat manusia terkemudian berulang-ulang. Namun yang pergi tetap pergi. Sejarah tinggal sejarahnya. Mudah-mudahan kita mengambil iktibar dari segalanya.

No comments:

Post a Comment