Tuesday, June 4, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Membudayakan Budaya



Hidup kita banyak pancawarnanya. Ramai orang yang mencari kepelbagaian cara hidup supaya sepanjang hayat mereka penuh dengan warna-warna yang bergemerlapan. Dalam pada itu ramai yang takut dengan kebosanan. Lalu yang mereka cari ialah hiburan. Tentulah hiburan yang ada batasnya. Batas-batas yang hak dan bukan yang batil. Kita bukan tidak boleh berbudaya tetapi budaya yang hak ialah yang menuntut ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Yakni budaya yang banyak batasnya. Menyanyilah tetapi dalam batas yang hak. Berbuatlah apa sahaja asalkan tidak mengundang dosa. Kesemua yang Allah ciptakan membawa keharusan dalam batas-batas yang syarie. Ada boleh dan ada tidaknya. Walaupun ada tentangan dalam keharusan tetapi bukti-bukti yang ada pada nas dan hadith menunjukkan bahawa hiburan ada keharusannya. Namun keharusan itu banyak batasnya. Bukan bebas dan lepas semahu-mahunya. Bukan tidak ada langsung sekatan hingga kesemuanya dikatakan boleh.
Kita banyak mempertimbangkan falsafah barat.  Individualism dan hak asasi barat kita ambil falsafahnya tanpa menggarap bahawa Islam adalah agama yang melebihi segala-galanya.  Tidak mengambil Islam seindah kesuciannya. Tidak diambil cantiknya seperti apa yang Allah gemari. Kita melihat barat sebagai teladan. Sedangkan kita tahu yang dari barat terlalu banyak yang menyalahi Islam.  Apabila kita dilunakkan dengan keindahan yang bukan hakiki maka kita terlalai. Kita menjadi terpegun dengan banyak yang bukan hak. Terpesona dengan yang sementara. Rasulullah tidak melarang berhibur yang hak. Pernah baginda membenarkan Aisyah menonton hiburan dari belakang baginda. Contohnya tarian yang menggambarkan kepahlawanan. Lelaki bersama lelaki sahaja. Tidak berlainan jantina. Jika kita ingin berbudaya kita boleh membudayakan amalan yang hak sahaja. Tiada unsur maksiat. Tiada unsur lagha. Tiada unsur fitnah. Tiada unsur pembaziran. Tiada unsur yang menunjukkan perlanggaran batasan yang digariskan agama. 
Membina budaya Islam bukan sukar asalkan kita membenarkan hati kita bahawa Islam itu sempurna ajarannya. Kita telah dilahirkan Islam. Kita telah menerima Islam. Kita telah mengamalkan adat budaya Islam. Cumanya kita suka menambah-nambah yang bukan Islam kepada Islam. Kita jadikannya Islam. Walhal ianya bukan Islam.   Akad nikah adalah syarie. Yang lain-lain yang mengiringinya banyak yang bukan Islam. Adat berinai rasanya amalan agama lain. Bersanding juga bukan Islam. Duduk berdua tidak ada masalahnya tetapi pengantin perempuan bukan mahram kepada sepupunya yang lelaki.  Bukan mahram kepada sahabat-sahabat lelaki suaminya.  Bukan mahram suadara mara yang semenda.  Siapa yang harus mengambil inisiatif untuk membetulkan kesemua kesilapan yang masih berterusan ini. Jika kita sebagai penganut dan pengamal Islam tidak berbuat sesuatu maka kesilapan itu semakin membesar. Adat itu dianggap Islamik. Yang Islamik sudah tidak diketahui sumber dan puncanya. Akhirya yang hak terketepi. Yang batil diserlahkan sebagai yang hak. Allahuakbar.
Pembangunan membudaya seharusnya mempertimbangkan hak-hak Islam. Adat Islam. Malangnya kita selalu membuat perbandingan yang salah. Kita selalu mengambil barat sebagai ukuran. Sebagai kayu ukur yang salah. Tilawah (membaca al-Quran) dikatakan untuk orang agama sahaja. Bukankah kita orang Islam. Kita tidak menganggap diri kita bukan orang beragama. Ketika kita mendengar al-Quran kita keluarkan diri kita dari sebagai orang yang layak mendengarnya. Kita tidak menganggap diri kita wajib mendengarnya dengan memahami maknanya. Dengan mengambil pengajarannya. Bahawa tilawah adalah amalan baik. Amalan yang membina akhlak mulia. Melembutkan hati dan perasaan. Merawat jiwa yang kacau. Sumber segala ilmu yang datangnya dari Allah. Hiburan realiti kadang-kadang dilihat dari suatu sudut yang sangat sempit. Memang menari pasangan suami dan isteri tidak salah. Tetapi, tetapi dan tetapi di tempat yang tertutup. Hendak berpakaian atau tidak berpakaian adalah hak suami isteri itu. Namun di hadapan khalayak nilai dan hukumnya sudah berubah. Sudah berbeza. Apabila dipertontonkan kepada khalayak umum bukankah  suami boleh dianggap dayus kerana mempertontonkan isterinya di hadapan umum. Tidak menutup aurat selengkapnya. Susuk tubuh yang terpamer tanpa hijab. Penggiat seni membuat anggapan yang sangat simple. Suami dan isteri apa salahnya. Yang salahnya ialah di hadapan penonton yang bukan berhak menontonya. Jika di hadapan ibu dan bapa kedua pasangan atau di hadapan anak-anak tidak ada salahnya kerana mereka adalah mahram. Jika begitu susahlah Islam kepada penggiat seni. Itulah tanggapan yang perlu dibetulkan. Islamkan seni. Jangan punahkan Islam. 
Akhlak islamiah adalah tanggungjawab kita semua. Bukan tanggunjawab orang agama sahaja. Bukan tanggungjawab mufti atau qadi sahaja. Bukan tanggungjawab ustaz sahaja. Biarlah kita menyerap budaya luar yang ada ciri-cir Islam. Diberi nilai Islam. Mengambil nafas Islam. Diislamkan bentuk dan natijahnya. Kita harus bijak beragama supaya agama menjadi dinding yang membatasi kita dari mengambil yang hak sahaja. Menahan yang bukan hak dari melintasi ruang-ruang kosong yang mudah diisi dengan godaan syaitan. Menjadi Islam tidak susah. Maka mematuhi ajarannya juga tidak susah. Yang susah ialah apabila kita cuba membandingkan amalan orang lain yang kita anggap lebih mudah. Kita tanggap sebagai lebih cantik.  Kita amal sebagai lebih meriah. Kita mengambil kesemuanya tanpa membatasi keharusannya. Tanpa haknya. Kita terpedaya dengan luarannya sahaja tanpa yang hakiki. Maka kita teronta-lonta membawa diri ke dalam ruang-ruang yang melencongkan kita dari jalan lurus yang hak. Lebih malang lagi apabila kita anggap kesemuanya itu sebagai yang perlu. Yang dimestikan ada. Yang dibanggakan sebagai yang mesti.
Memilih yang terbaik untuk budaya setempat menjadi suatu agenda yang perlu. Kita perlu mengambil yang terbaik dari sudut agama.  Dalam dunia yang semakin kacau budayanya ini kita harus membina kebijaksanaan memilih yang terbaik. Saya selalu sarankan bahawa semuanya bermula dari rumah. Dari ibu dan bapa. Kita kekurangan satu elemen dalam berkeluarga. Kita kurang atau terlalu sedikit ilmu keibubapaan. Kita selalu bersandar  kepada pengalaman ibu bapa kita mendidik kita. Sejarah yang kita ulang-ulangi walaupun bukan yang hak pada kebanyakan masa. Dunia yang kita rentasi sekarang tidak sama dengan dunia ibu dan bapa kita dahulu. Tidak akan sama juga dengan hidup yang bakal ditempuhi oleh anak cucu kita nanti. Kita ingin budaya yang hidup. Yang mengambil Islam sebagai tunjangnya. Melaluinya kita bina lapisan budaya yang berketahanan Islam. Batas-batas agama yang dijaga kesuciannya. Yang disanjung ketinggiannya. Kadang-kadang orang salah tanggap tentang budaya Islam. Cuba lihat senario berikut:
Solat
Membaca al-Quran
Mengkaji hadith
Menunaikan zakat, bersedekah, berderma, menyumbang harta benda
Menunaikan haji
Berjihad
Memberi nasihat
Mengajar dan belajar
Bersilaturrahim
Membantu yang memerlukan
Mencari rezeki yang halal
Memakan makanan yang halalan toyyibah
Mendidik anak-anak ke arah Islam
Dan, dan banyak lagi

Bukankah Islam itu cara hidup. Maka budaya Islam cukup memenuhi ruang hidup kita jika kita benar-benar tahu bahawa kita memiliki semua yang kita perlu.   Cuba mengaji dengan suara yang merdu tetapi bukan menyanyi. Mengaji ada ganjaran pahalanya. Menyanyi belum tahu lagi. Alangkah baiknya berbudaya Islam. Budaya yang membawa kita kepada yang lebih diredhai. Bukan yang mengundang bahaya ke jurang bahaya dosa.

No comments:

Post a Comment