Sebagai orang Islam kita mendengar azan. Banyak masa kita menunggu azan. Terutamanya ketika hendak berbuka puasa. Terasa lama menunggu kerana makanan dan minuman lama terhidang. Mungkin juga kita rindukan laungan azan. Ada masanya mencuba-cuba untuk azan. Menguji suara dan kekuatannya. Merdu juga mendengar suara sendiri. Tidak payah menunggu pujian orang lain. Puji itu tidak perlu. Yang penting memanggil orang lain untuk segera berjemaah. Masjid atau surau hanya tempat. Azan juga berkumandang di tempat lain yang melakukan solat berjemaah. Solat fardhu waktunya lima kali sehari semalam. Di Malaysia kita tidak mendengar azan lima kali sahaja. Kita mungkin mendengar melebihi lima kali. Saya biasa mendengar 30 kali sehari semalam.
Azan dari sebuah masjid 5
Surau 1 5
Surau 2 5
Surau 3 5
Surau 4 5
Asrama sekolah 5
Jumlah 30
Hakikat itu benar. 30 kali bukan kesalahan. Bukan dosa kerana menambah azan. Begitulah realiti di Malaysia. Setiap masjid dan surau memang berhak melaungkan azan lima kali sehari semalam. Lima waktu solat fardhu. Kita pula menetapkan supaya sesuatu kawasan tertentu, dalam garis bujur tertentu disamakan waktu solatnya. Bayangkan satu negeri seperti Perlis. Berapa banyak masjid dan surau. Waktu solat sama. Tetapi laungan azannya berbagai-bagai waktu. Ada yang tepat pada waktunya. Ada yang lewat sesaat atau dua saat. Ada yang lewat seminit atau dua minit. Jika kita boleh mendengar kesemuanya mungkin kita menjadi tidak berapa tenteram. Baru hendak menjawab azan rangkap pertama, terdengar lagi rangkap yang sama. Kita tamat menjawab rangkap pertama, ada lagi rangkap yang sama baru bermula, baru di tengah, baru hendak tamat. Ada 13 rangkap kesemuanya. Saya mendengarnya dari enam penjuru. Kita belum bercerita tentang variasi yang tidak menentu. Ada azan yang kuat dan ada yang perlahan. Ada yang merdu dan ada yang tidak. Ada yang lunak dan ada yang garau parau. Ada yang memanggil jemaah dan ada yang seperti menghalau jemaah. Ada yang panjang, mendayu dan sayu. Maaflah. Azan memanggil jemaah supaya datang dengan senang hati. Supaya datang rasa syahdu dan sayang kepada agama. Cintakan solat. Rasa dekat kepada Allah.
Apa isunya? Agama kita satu. Qiblat kit asatu. Azan kita sama rangkap dan kalimahnya. Waktu mulanya sama. Waktu solatnya sama. Perbuatan dan ucapannya sama. Ia memulakan solat fardhu lima kali sehari semalam. Solat pula adalah tiang agama. Kunci agama. Tanpanya agama menjadi tiada sempurna. Menunaikannya wajib. Meninggalkannya azab. Dianggap menzalimi diri kerana menampah azab di akhirat nanti. Azan pula didengar oleh sesiapa sahaja yang boleh mendengar. Malah orang yang sedang lena tidur masih mampu mendengar azan. Begitulah besarnya gegaran azan di sanubari muslim. Azan menjadi seruan yang kuat bukan sahaja pada zahirnya tetapi pada iman seseorang. Andainya azan itu sebagai dakwah maka ada sesuatu yang harus kita fikirkan bersama. Andaikan azan itu kita jadikan alat dakwah. Untuk didengar oleh orang Islam yang lemah imannya. Untuk didengar oleh orang yang bukan Islam. Waktu solat yang sama. Azan yang sama. Tetapi tidak ada tanda menunjukkan waktu yang sama. Tidak dengan suara yang sama. Tidak dengan irama yang sama. Tidak dengan intonasi yang sama. Tidak dengan kekuatan tenaga suara yang sama. Seolah-olah yang satu itu kita bezakan. Kita lainkan. Kita ciptakan ruang-ruang yang tidak sama. Adakah kita tidak bersatu. Kenapa yang satu kita lainkan.
Islam adalah agama syumul. Allah mengatur waktu solah dengan Maha BijaksanaNya. Waktu Subuh sewaktu kita terjaga dari mati pada malamnya. Waktu kita dihidupkan semula. Kita mensyukuri nikmat hidup dan mati itu. Sewaktu kita belum memulakan kerja atau kerjaya kita. Waktu Zohor semasa kita berehat. Waktu makan. Waktu memulihkan tenaga dan stamina. Solat seperti mengecas bateri tenaga. Waktu asar juga santai. Kita telah tamat bekerja pada hari itu. Semasa hendak pulang ke rumah. Atau jika perjalanan mudah kita solat di masjid atau surau atau mungkin juga di rumah. Solat Maghrib sewaktu kita lazimnya berada di rumah. Begitu juga solat Isya’. Solat Maghrib menjelang malam. Solat Isya’ menutup malam kita. Tidur untuk esoknya memulakan hidup baru. Membuka hari baru. Menemui sesuatu yang baru. Menghasilkan yang baru. Kerana esok lebih baik dari hari ini dan semalam. Turutan kebaikan yang semakin baik. Hari demi hari. Ditambah kebaikannya setiap hari.
Sewaktu solat berjemaah, taraf semua jemaah adalah sama. Imam sahaja yang di hadapan. Itupun taraf imam bukan mutlak. Boleh ditegur semasa menjadi imam. Dalam saf siapa sahaja boleh di saf pertama. Tidak kira pangkatnya. Tidak kira statusnya. Tidak kira kaya miskinnya. Tidak kira usianya asalkan mumayyiz, mukalaf dan baligh. Tidak kira darjatnya. Siapa yang datang dahulu duduklah di saf pertama. Itu haknya. Hak orang yang datang awal. Yang selalu diingatkan ialah setiap saf hendaklah lurus dan rapat. Tentang hal ini yang saya lihat sangat sukar dilaksanakan di Malaysia. Orang Islam di Malaysia suka membuat saf yang jarang-jarang. Memang syaitan mencelah sangat ramainya di dalam saf. Sangat renggang. Dalam satu saf mungkin lima orang lain boleh lagi untuk menyempurnakan saf itu. Selain daripada itu jemaah pula selalu tidak ambil peduli tentang lurusnya saf. Ada yang terkehadapan. Ada yang terkebelakang. Ada pula yang kakinya sebelah terkehadapan dan sebelah lagi terkebelakang. Itu belum yang kangkangnya besar. Bila sujud menjadikan saf itu sangat longgar. Minggu lalu saya menonton sebuah filem Arab di TV. Digambarkan bahawa Sayyida Umar dibunuh kerana umat Islam ketika itu mula longgar safnya. Waktu solat ketika itu saf yang di hadapan sangat longgar. Terutama yang betul-betul di belakang imam. Pembunuh tersebut menyelinap masuk memenuhi saf ketika orang lain sedang khusu’ solat. Para sahabat ketika itu sangat khusuk solatnya. Mereka tenggelam perasaan kerana berada di hadapan Allah. Umar dibunuh ketika sedang sujud. Ketika jemaah sedang khususk tunduk sepenuh hati menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Maka saf yang longgar memberi konsekuen yang memudaratkan.
Kenapakah azan berlainan saatnya? Bukankah waktu solat adalah sama? Kenapakah tidak disegerakkan pada satu waktu sahaja. Seorang muazin dalam satu kawasan yang sama waktunya. Mustahil? Nanti dulu. Sukar? Nanti dulu? Bagaimana? Kita jadikan kesemuanya positif. Mari kita mengembara dahulu ke tempat lain untuk mencari jalan terbaik. Kita boleh pinjam pengalaman orang lain. Pengalaman pertama di Nablus, Palestin. Azan yang tertelingkah bunyinya disegerakkan. Sudah dilaksanakan sejak lebih 40 tahun yang lalu. Pengalaman kedua di Amman, Jordan. Yang ini pengalaman primer saya sendiri. Saya tidak pinjam dari pengalaman orang lain. Di Amman menyegerakkan azan sudah berpuluh tahun juga. Pergilan ke masjid mana sekalipun, azan dikumandangkan oleh muazin yang sama. Suara itu. Alunan itu. Kelunakan dan keindahan yang sama. Tidak ada langsung sebarang perbezaan walau dalam bentuk apa sekalipun. Kita hanya mendengar satu azan. Satu waktu. Satu dalam banyak hal. Saya solat di dua buah masjid yang berlainan. Hairan juga. Kenapa suara muazinnya sama. Lenggok suaranya sama. Itulah ceritanya. Dalam satu kawasan azan disegerakkan. Disamakan waktunya. Muazinnya sama.
Bagaimana hal sebegitu dilaksanakan? Jawapannya sangat mudah. Kita ada jawapannya. Kita mahir menggunakannya. Tetapi kita tidak memanfaatkannya. Itu sahaja. Baiklah. Jawapannya ialah teknologi. Radio boleh. Telefon boleh. Kita bina sistem yang merangkaikan azan dari satu masjid ke seluruh masjid di kawasan yang sama waktunya. Iqamah berlainan. Azan sahaja yang disegerakkan. Ada teknologis yang mentadbir dan mengurusnya. Bukan susah. Petik suis sahaja. Bila sampai waktu petik suis. Pada saat yang ditentukan berkumandanglah azan di semua masjid dalam kawasan yang sama waktunya. Di kawasan lain pada saat di kawasan itu. Di masjid-masjid di kawasan yang sama muazinnya adalah orang yang sama. Di mana sekalipun kita solat suara muazin itulah yang kita dengar. Terasa benar Islam itu satu. Agama itu satu. Kiblat itu satu. Solat itu satu. Segala yang bentuknya satu terhimpun hanya dalam azan yang satu.
Pentadbir agama di peringkat persekutuan, negeri dan bandar boleh mulakan seuatu yang indah. Mungkin JAKIM boleh mendahului usaha dan penyelidikan. Perubahan teknologi dalam beribadat. Apa salahnya kita mengindahkan lagi cara kita beribadat. Yang penting tidak bercanggah dengan syariah. Teknologi dan Islam bukan berasingan. Kita manfaatkan teknologi yang ada. Teknologi bukan untuk saintis atau jurutera sahaja. Bukan untuk teknologis sahaja. InsyaAllah banyak manfaatnya.
No comments:
Post a Comment