Friday, June 28, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Berpindah Banyak Randahnya


Hanya tinggal beberapa jam lagi. Hari ini Jumaat 28 Jun 2013. InsyaAllah pagi esok saya akan berada di negara anbia. InsyaAllah bumi Mesir akan saya jejak pada pukul 6.30 pagi waktu Kaherah esok Sabtu 29 Jun 2013. Kembara berterusan selagi hayat masih ada. Banyak agenda hidup yang perlu dilestarikan untuk menambah nilai apa-apa yang bermanfaat. Kadang-kadang terpegun sendiri. Sejak berumah tangga Kaherah adalah perpindahan saya yang ke-20. Saya sendiri sejak berhenti sekolah hingga ke Mesir ini sudah 29 kali berpindah tempat tinggal. Alhamdulillah perpindahan yang berkali-kali  bukan kerana kesukaran hidup. Bukan juga kerana susah mencari nafkah. Bukan lari dari apa-apa masalah. Perpindahan kerana keperluan tugas. Kerana perkhidmatan yang panjang baktinya. Berpindah kerana kehidupan yang bertambah nilainya. Yang bertambah baiknya. Bagi yang baru belajar berpindah jangan rasa risau. Pindahlah kerana banyak pengalaman indah yang mengiringi setiap perpindahan. Walaupun pada lumrahnya ada juga pengalaman yang kurang manisnya, namun setiap perpindahan ada kenangannya yang tersendiri.
Di Malaysia saya pernah tinggal di beberapa negeri iaitu Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak. Bila banyak berpindah berlaku tambahan nilai hidup. Bertambah pengalaman sosial. Pengalaman budaya. Pengalaman nilai-nilai sosial. Pengalaman berjiran tetangga. Pengalaman kerjaya. Pengalaman membawa diri di kalangan orang-orang baru yang ada di sekeliling. Sebenarnya bahagia atau tidak apabila berpindah bergantung kepada diri kita sendiri. Di mana sekalipun kita hidup kita tetap bersama orang lain.  Yang namanya orang lain tentulah memiliki ciri-ciri dan trait yang berlainan. Ada yang sama dengan yang kita miliki. Banyak pula berlainan dari yang biasa. Maka kita belajar untuk menyesuaikan diri. Belajar untuk lulus bersama mereka. Tidak ganjil. Tidak kekok. Tidak gelabah dalam suasana baru. Suasana lain. Suasana yang menuntut kita mengubah banyak perkara tentang cara hidup. Apabila kita berasa selesa dengan sesuatu keadaan kita rasa kita tidak berupaya untuk mengubah diri supaya sesuai dengan sesuatu yang baru. Apabila kita berpindah kita terpaksa belajar untuk menyesuaikan diri. Jika tidak banyak berpindah banyaklah kita belajar untuk menyesuaikan diri. Apabila banyak berpindah maka kita berulang-ulang kali mempelajari sesuatu yang sentiasa baru.
Berpindah dalam negara hanya menyesuaikan diri dalam beberapa aspek hidup. Paling mencabar tentulah jiran tetangga. Jika jiran tetangga kita dalam kelas yang sama maka mudah kita menyesuaikan diri. Umpamanya guru berjiran dengan guru. Tetapi jika jiran tetangga berlainan taraf hidup kita perlu lebih berhemah dalam berjiran. Sebab itu dalam mencari jodoh umpamanya kita digalakkan mencari pasangan yang sama kufu. Mungkin sama tahap pendidikan. Sama tahap profesion. Sama jalan pemikiran. Manusia semuanya sama tetapi cara kita berfikir tidak sama. Kita mementingkan kebersihan umpamanya. Jiran kita mungkin tidak. Kita suka suasana damai. Jiran kita mungkin suka suasana gamat. Sebab itu sebelum memilih rumah lihat dulu bakal jiran yang akan bersama kita. Apabila hendak membeli atau membina rumah lagilah perlu banyak pertimbangan atau penyelidikan tentang jiran tetangga. Kita perlukan mereka sebagai saudara dekat. Sama-sama senang sama-sama susah. Bantu membantu. Tidak boleh yang jenis pentingkan diri sendiri. Kita susah jadinya. Kata sepakat tidak dapat dibuat. Susahnya tidak mahu ditolong. Susah kita tiada yang membantu. Hidup kita bukan selalunya senang belaka. Ada masanya datang susah yang Allah cubakan ke atas kita. Kadang-kadang jiranlah yang menjadi penawar. Saudara mara mungkin jauh di negeri lain.
Semasa bertugas dahulu saya pernah tinggal di USA selama 18 bulan. Duduk bersama isteri dan anak-anak ada pengalamnanya yang tersendiri. Saya kira banyak manisnya. Banyak indahnya.  Pengalaman berharga untuk anak-anak. Negara kedua selepas USA ialah Canada. Tiga bulan kursus pendek yang juga memberi banyak cerita indah. Di dua negara tersebut saya dapat mengecap winter yang sejuk, spring yang mewangi, summer yang cerah meghijau dan fall yang kuning memerah. Yang menyaksikan dedaun berguguran. Dalam iklim yang empat musimnya di negara yang siang itu banyak yang perlu dipelajari. Makan perlu disesuaikan. Pakaian berubah jenis dan tebalnya setiap musim. Begitu juga gaya hidup seharian yang banyak berubah. Kenangan itu banyak indahnya. Manisnya berpanjangan. Kenangan yang sukar diluput walaupun lama berpuluh tahun. Ada masanya diimbau semula. Imej-imej berlarian di mata dan perasaan. Terbayang salji putih yang timpa menimpa. Bebunga yang berbagai corak dan warnanya. Buah-buahan yang berbagai jenis dan rasanya. Puputan angin segar di musim luruh yang aduhai mencuit rasa.
Saya ke negara Jordan setelah bersara lebih 10 tahun. Masih galak untuk memperbaiki diri walaupun usia sebenarnya untuk direhatkan bagi orang lain. Mudah-mudahan menjadi motivasi kepada yang muda-muda. Khususnya anak cucu sendiri. Kepada pelajar-pelajar saya dahulu saya katakan bahawa ilmu tidak ada batas usia. Tiada batas sempadan negara. Tiada batas gender. Tiada batas profesion. Kepada orang biasa mereka selalu bertanya, belajar lagi nak buat apa. Soalan lumrah yang susah dijawab. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam. Konsep ini banyak silapnya. Semasa muda ilmu untuk memulakan kerjaya. Untuk memilih kerjaya yang terbaik. Setelah berkerjaya ilmu menjadi sumber untuk memperkayakan diri. Untuk memperluas skop agenda hidup. Untuk memperdalam luasnya ilmu. Untuk memperkasa diri. Untuk menyediakan diri menjadi pemimpin organisasi. Apabila sudah bersara ilmu tambahan tetap diperlukan. Banyak yang tidak kita ketahui. Banyak yang ingin kita dalami supaya kita mendapat sesuatu yang segar setiap masa. Yang lama kita pupuk dan sirami supaya tumbuh tunas-tunas ilmu dalam hidup kita. Yang baru menjadi baja dan penyegar dalam mengharungi sisa-sisa hidup yang masih berbaki. Firman Allah dalam al-Quran yang mafhumnya, sesungguhnya tidak sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.
Di Jordan pengalaman hidup saya istimewa juga. Suasana Arab. Iklimnya empat musim. Saya datang semasa winter yang mencengkam dan kini saya tinggalkan dalam suasana berganti dari spring ke summer. Teringin juga menikmati  suasana Ramadhan di Amman, Jordan. Nampaknya Ramadhan tahun ini saya di Kaherah, Mesir. InsyaAllah tunggulah nanti siri Bingkisan Dari Kaherah Mesir. Moga-moga saya ada kekuatan untuk terus menulis. Berkongsi pandangan mata. Detik perasaan. Pendengaran telinga. bauan dari hidung. Santapan-santapan rohani yang selalu merencahkan kehidupan menjadi lebih berwarna. Mengharumkan aroma. Barangkali yang paling saya rasa kehilangannya nanti ialah pepohon tin dan zaitun. Cukup banyak di Jordan. Antara dua jenis buah yang sangat banyak Allah wahyukan melalui al-Quran. Seminggu saya di Kaherah pada bulan Mac yang lalu saya terlalu rindukan pohon zaitun. Sekarang kesemua pepohon itu sedang berbuah. Buah tin sudah saya rasa yang segar. Buah zaitun masih memutik. Tidak dapat merasa yang tua. Cukup nanti sekadar makan yang sudah dijeruk. Buahnya lebat bergayutan. Hijau tirus. Tidak boleh dimakan mentah. Kelat dan pahit. Minyaknya terlalu banyak khasiatnya.
Jika dalam negara, saya berpindah dari sebuah negeri ke sebuah negeri sekarang saya berpindah dari sebuah negara ke sebuah negara. Seperti main-main. Tidak, serius sebenarnya. Pindah ke Mesir untuk menyambung visi yang belum tamat. Masih mengejar sinar dan warna yang bergemerlapan. Saya tidak mengejar pelangi. Pelangi melengkapkan santapan rohani. Menyegarkan perasaan yang cintakan kecantikan. Namun pelangi tiada zatnya. Tiada fizikalnya. Tidak dapat menjadi dalil bukti dimiliki. Kaherah hanya sejam setengah dari Amman. Perjalanan yang cukup sekadar memanaskan kerusi untuk sementara. Terasa terlalu dekat. Pengalaman yang baru. Amat baru. Berpindah negara mudah juga rupanya. Ke negara Arab yang lain budayanya. Sebuah negara Islam yang unggulnya masih banyak. Mudah-mudahan Allah permudahkan saya sewaktu di sana. Menganugerahkan saya apa yang saya hajati. Malaysia, izinkan saya berkelana dahulu. Saya akan kembali untuk terus berbakti kepadamu. InsyaAllah. Amin.

Thursday, June 27, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Jangan Biarkan Sampah Menjadi Sampah


Dalam cerita mengenai alam sekitar, kita selalu kaitkannya dengan pencemaran. Banyak punca pencemaran. Rasanya tidak ada yang tiada kaitannya dengan sifat buruk manusia. Ada sifat yang tidak disenghajakan tetapi natijahnya adalah pencemaran. Ada yang memang disengajakan kerana pendidikan tidak memberi kesan untuk menjadikan manusia perihatin tentang buruknya pencemaran. Pencemaran adalah istilah yang sangat besar. Sampah mungkin antara yang terkecil. Sifatnya secara terpencil adalah sangat kecil. Mungkin hanya puntung rokok. Mungkin juga secebis kertas. Atau secarik kain. Atau juga sekelopak bunga. Sehelai daun. Malah mungkin sehelai rambut. Juga mungkin debu yang sangat halus. Namun secara komulatif sampah yang kecil-kecil itu boleh menjadi masalah yang sangat besar. Pemandangan hilang cantiknya. Udara hilang segarnya. Suasana hilang serinya. Fitrah manusia bencikan semua yang kotor. Yang kotor dianggap hodoh. Kotor mengakibatkan penyakit. Kotor menakutkan orang-orang yang pembersih. Kotor menakutkan orang-orang yang cantik. Yang cintakan kecantikan. Yang cintakan kebersihan.
Kita selalu memandang mudah akan sampah di sekeliling kita. Tidak perihatin akan sampah yang kita lihat. Tidak menunjukkan sifat bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan. Keceriaan persekitaran. Peranan penting tentang sampah tentulah teletak di bahu orang dewasa. Bapa dan ibu orang pertama yang wajib bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka tentang pentingnya kebersihan. Memberi makna yang positif tentang kebersihan. Memberi nilai yang besar terhadap kebersihan. Bersih diberi nilai seni yang akhirnya membahagiakan. Kita perlu menterjemahkan kebersihan sebagai realiti. Bukan teori. Bukan retorik kata-kata yang tidak memberi erti. Kembara saya ke negara maju memberikan petunjuk nyata bahawa antara tanda sesebuah negara itu sudah maju ialah tentang sampahnya. Semakin maju sesebuah negara semakin sukar kita melihat sampah. Rasanya banyak kali saya minta maaf tentang hal ini. Di negara yang belum mencapai tahap negara maju sampah sangat ketara berserakan dan bertaburan. Tidak ramai yang tahu pentingnya melupuskan sampah. Pihak berwajib pula belum dapat menggariskan secara pasti bagaimana sampah perlu diurus. Berapa kali sampah perlu dipungut. Bila waktu paling sesuai untuk memungut sampah. Jadual memungut sampah yang efisien. Jadual yang efektif.
Saya telah ceritakan kisah sampah sewaktu di USA dahulu. Begitu juga di Jepun. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit tentang sampah di Amman, Jordan. Dari bulan Januari 2013 hingga bulan Mei 2013 saya tinggal di kawasan perumahan Abu Nuseir di Utara Amman. Di kawasan perumahan tentulah hanya terdapat sampah rumahtangga. Sampah dipungut setiap hari. Itupun melimpah-limpah pada masa-masa tertentu. Walau bagaimanapun sampah dipungut setiap hari tanpa kecuali. Jordan bukanlah negara sekaya Malaysia. Masih mampu menyediakan perkhidmatan penting dan perlu untuk rakyatnya. Pada musim sejuk dan awal musim bunga sampah memang banyak. Apabila musim semakin panas, sampah lebih terurus. Jadual memungut sampah semakin kerap. Terutamanya pada tempat-tempat yang sampahnya lebih kerap banyaknya. Agak ganjil bunyinya. Tidak mengapa. Sebelum akhir entry ini akan ada jawapannya. Jadual memungut sampah sangat penting. Di Batu Pahat, Johor umpamanya jadual memungut sampah tidak dapat dipastikan. Kadang-kadang beberapa hari sampah tidak dipungut. Tentu ada sebab yang sahih mengapa keadaan itu terjadi. Kami yang memandang sampah menjadi jijik. Baunya sangat menyentap hidung. Pemandangannya mencemarkan mata.
Kenapa kita sibuk dengan sampah. Kenapa pula sibuk dengan pencemaran. Allah mencipta manusia untuk memakmurkan alam. Manusia diberi tanggungjawab untuk mendatangkan kebaikan kepada persekitaran mereka. Mempergunakan segala yang Allah sediakan dengan sistem yang tidak mengakibatkan sampah. Tiada pencemaran. Kebersihan memberi ruang menambahkan mudahnya mencipta kesihatan. Menambahkan kebahagiaan sebagai manusia yang hidup berkelompok. Kebersihan mewujudkan suasana cantik. Cantik menggembirakan hati, perasaan dan psikologi. Cantik memberikan nilai seni yang halus mulus. Mereka yang dikelilingi dengan suasana cantik lebih ceria. Lebih sihat. Lebih gembira. Lebih sihat. Kebersihan menjana motivasi untuk lebih baik. Mencapai tahap yang lebih tinggi. Sewaktu saya di Rapat Setia, Ipoh dahulu anak-anak penduduk di situ ramai yang berjaya ke IPT. Sama ada di dalam negara atau di luar negara. Rapat Setia pada tahun-tahun 80an dahulu sangat bersih dan damai.  Anak-anak terbuka mindanya untuk  menjadi lebih berjaya. Suasana damai tiada galang gantinya dalam proses pembelajaran anak-anak.
Kebetulan pada bulan Jun 2013 ini kami ditempatkan di pangsapuri di jalan Utama Bandar Abu Nuseir. Di hadapan bangunan tempat tinggal kami terdapat beberapa tong sampah. Ini cerita benar. Realiti. Bahawa sampah hendaklah dipungut mengikut kekerapannya yang diperlukan. Tong sampah tidak melimpah-limpah. Masih ada ruang untuk membuang sampah berikutnya kerana sampah yang terdahulu sudah dipungut. Mulanya saya fikir sampah dipungut setiap hari. Maknanya sekali dalam sehari. Lama-lama kami perasaan bahawa sampah dipungut beberapa kali dalam sehari. Tengahari, petang dan malam. Selagi ada orang berniaga selagi itulah ada sampah. Maka selagi itulah sampah dipungut oleh pihak berkuasa. Rasanya bukan susah. Kosnya akan meningkat. Betul. Agih semula cukai pintu yang dikenakan. Membuang sampah dan membebaskan persekitaran dari sampah adalah asas kehidupan yang lebik bermakna. Jangan nafikan hal ini. Rakyat dan manusia perlukannya.
Pergilah ke Jepun. Debupun disapu. Setiap tempat dipastikan tiada sampah dalam bentuk apapun. Rakyat dari yang sekecil-kecilnya dididik untuk pandai mengurus sampah.
1        Sampah dibuang di bakul sampah atau tempat sampah.
2        Jangan buang sampah merata-rata. Jangan campak sesuka hati.
3        Bila nampak sampah (tidak kira di mana sekalipun), pungut dan buang ke dalam tomg sampah.
4        Kebersihan menjadi sebahagian dari kurikulum sekolah.
5        Pendidikan kebersihan diamalkan dan dimanfaatkan.
6        Tanam semangat cintakan kebersihan dan negara bersih.
7        Kaitkan kebersihan dengan pendidikan, pendidikan kesihatan, pelancongan, ekonomi dan imej negara. Imej penduduknya. Maruah bangsa. Nama baik manusianya.
Mari kita berfikir semula. Memberi penilaian semula. Memberi rasional yang wajar. Sampah mesti diurus secara profesional. Sampah tidak boleh diurus sambil lewa. Tidak boleh diurus secara biasa-biasa. Harus ada kebijaksanaan. Ada kemahuan tinggi untuk menghidupkan suasana tanpa sampah. Suasana bersih sebersih-bersihnya.
1        Tong sampah bertutup hendaklah disediakan di tempat-tempat yang strategik. Banyak dan sesuai.
2        Sampah yang dibuang dipastikan dibungkus sama ada dengan beg plastik, dengan kotak, dengan kain dan sebagainya.
3        Kajian hendaklah dibuat untuk mengenalpasti kuantiti sampah pada tempat-tempatnya yang tertentu.
4        Wujudkan pola pemungutan sampah supaya sampah dikutip dengan jadual yang bersesuaian. Maksudnya jangan benarkan sampah hingga berulat. Hingga berbau. Hingga dikerjakan anjing, kucing, kambing dan monyet.
5        Di kawasan peranginan seperti di tepi pantai sediakan tong sampah lebih banyak. Pemungutan sampah bukan pada hari kerja tetapi pada hujung minggu. Pengunjung membuang sampah pada hari Sabtu dan Ahad. Mereka tidak datang pada hari kerja. Kebijaksanaan diperlukan dalam hal ini.
6        Di kawasan yang kekerapan membuang sampah adalah lebih banyak, sampah hendaklah dipungut beberapa kali sehari. Umpamanya di kawasan gerai makanan sampah hendaklah dipungut sekurang-kurangnya empat kali sehari. Ya, empat kali sehari. Tengahari, petang, sebelum Isyak dan apabila mereka menutup perniagaan.
7        Begitu juga di kawasan pasar dan di pusat bandar. Kekerapan memungut sampah disesuaikan.
Sampah jangan dibiarkan menjadi sampah terus-terusan. Urus sampah itu supaya kita yang mengurusnya menjadi selesa. Menajdi lebih bahagia. Menjadi lebih sihat. Ingatlah kebersihan disukai orang. Bersih adalah lambang-lambang keindahan. Jangan pula lupa bahawa kebersihan adalah juga lambang iman pada diri Muslim. Sebenarnya bukan susah untuk bersih. Hanya perlu dididik supaya bertanggungjawab. Ibu dan bapa hendaklah memulakannya di rumah. Mereka berdua adalah guru pertama kepada anak-anak sehingga usia mereka tujuh tahun. Dismbung tugas itu oleh guru di sekolah. Dipantau oleh ahli masyarakat, pemimpin dan pihak berkuasa yang diberitanggungjawab mengurus sampah. Bukan sekadar secara perlu tetapi dengan lebih profesional. Indahnya dunia tanpa sampah.

Wednesday, June 26, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Tangga Naik dan Tangga Turun

Tangga adalah tangga. Walaupun sekarang banyak rumah yang tidak bertangga, kita masih faham makna tangga. Peranannya. Bentuknya. Dari tangga jadilah tetangga, rumah tangga atau berumahtangga. Bagi orang Jawa pula apabila disebut nonggo maknanya suka lama di rumah jiran. Lazimnya kerana suka banyak bercerita hal orang lain. Dalam istilah agama mengumpat. Dari zaman dahulu hingga sekarang tangga sinonim untuk naik dan turun. Naik kerana kita ingin ke atas. Berada di atas. Di puncak yang paling tinggi. Tangga juga untuk turun ke bawah. Naik dan turun adalah proses biasa dalam hidup. Naik untuk berada di atas dan turun untuk berada di bawah. Itu istilah biasa. Istilah biasa-biasa untuk makna biasa. Untuk orang yang biasa-biasa. Istilah yang maknanya hanya itu-itu sahaja. Terlalu literal. Lurus macam bendul. Jika kita ambil iktibar yang besar, tangga memberi erti yang berbagai. Kita boleh memberi makna yang jauh lebih besar. Lebih bernilai estetika. Kesan psikologi yang mendalam. Menjadikan kita pemikir supaya sesuatu yang mudah diberi erti yang mendalam jauh mendepani pemikiran basa-biasa.
Apa sebenarnya yang berada di atas hingga kita galak sangat untuk naik ke atas. Kepada orang biasa atas maknanya tinggi. Bagi yang lemah semangatnya atau yang cita-citanya rendah atau yang sememangnya tiada cita-cita, tinggi adalah sesuatu yang tidak perlu difikirkan. Biarlah tinggi terus dengan tingginya. Biarkan untuk orang-orang mampu menaiki tangganya untuk ke atas sana. Bayangkan kita hidup bersama orang kaya tetapi  kita tidak belajar dari prosesnya menjadi kaya. Tidak belajar dari apa yang dibuatnya untuk menjadi kaya. Kita berjiran dengan profesor tetapi tidak belajar caranya menjadi pandai. Menjadi terkenal. Membaca dengan banyak. Mempelbagaikan ilmu pengetahuan yang mungkin dipelajari. Kita tinggal bersama orang alim tetapi kita tidak mengikut jejaknya. Tidak mendalami agama sepertinya. Tidak beramal sepertinya. Kita hidup bersama ramai profesional tetapi kita sekadar kenal. Sekadar makan sedulang. Sekadar solat sesaf dengannya. Setakat bertegur sapa. Malang sungguh diri kita kerana dikelilingi oleh orang-orang yang hebat tetapi kita tetap tinggl dengan hidup tanpa apa-apa kehebatan.
Kepada orang-orang tersebut di atas tangga membawa mereka ke atas. Berada di atas. Memandang luas sekeliling mereka. Menggapai awan yang rendah. Memandang jauh dengan wawasan dunia dan akhirat. Menyumbang sebesar-besarnya kepada khalayak. Apabila kita bertemu ajal kita tinggalkan anak yang soleh, amal jariah yang berpanjangan dan ilmu yang bermanfaat.  Orang-orang yang berada di atas banyak peluangnya untuk meninggalkan kesemua itu. Anak-anaknya berilmu. Amal jariahnya banyak. Ilmunya ditinggalkan untuk orang kemudian. Kaya untuk diinfaqkan. Ilmu untuk dikongsikan. Anak-anak yang berilmu dididik untuk meneruskan legasi kebaikan keluarga. Tinggi dan atas selalu dikaitkan dengan sifat positif. Ianya merujuk kepada kejayaan, darjat, pangkat, keindahan dan panaroma hidup yang lebih luas. Santai dan melapangkan. Ada kaitannya dengan berumah besar dan cantik. Lengkap dengan keperluan banyak bilik dan ruang. Damai dan membahagiakan. Berkenderaan yang selesa sama ada untuk ke tempat dekat atau destinasi yang jauh. Sama ada untuk mencari ilmu, untuk beribadat atau untuk beramal kepada masyarakat. Kita elakkan erti negatif sifat tinggi. Elakkan bongkak, dengki, takbur atau iri tidak menentu.
Atas adalah tempat tinggi untuk orang-orang yang inginkan hal-hal yang besar manfaatnya. Menjadi orang-orang yang luar dari biasa-biasa. Banyak kelebihannya berbanding dengan orang lain. Mereka membina kehidupan yang boleh memberi manfaat besar kepada orang lain. Mari kita lihat tangga secara fizikalnya. Bentuknya mungkin lurus atau beringkat-tingkat atau bulat. Ada tangga kayu, konkrit atau dihias dengan karpet tebal. Ada yang luas dan ada yang sempit. Ada yang tinggi dan ada yang rendah. Yang pastinya ada anak tangga. Kita memijak anak tangga yang pertama sebelum anak tangga yang kedua, ketiga dan yang terakhir. Mungkin tangga itu bersambung ke tangga yang kedua, ketiga dan sebagainya. Terdapat pula tangga yang bergerak perlahan ke tingkat-tingkat yang berlainan di atas atau di bawah. Sekarang cuba lihat di bangunan yang tinggi. Ada tangga yang deras geraknya. Lif membawa penumpangnya sangat cepat ke tingkat-tingkat yang lebih tinggi menggunakan tangga. Boleh menggunakan tangga untuk kecemasan. Tidak mungkin setiap masa kita menggunakan tangga untuk naik ke tingkat 79 dan untuk turun dengan tangga dari tingkat itu. Tangga biasa untuk rumah yang bertiang. Rumah tanpa tiang tiada tangga. Di rumah yang bertingkat-tingkat tinggi tangga sudah bukan berfungsi seperti rumah rendah. Ada tangga deras yang digunakan.
Kita ambil iktibar. Orang yang memiliki tangga menggunakannya setiap masa untuk naik dan turun rumah. Tangga itu berada dalam minda walaupun dalam gelap malam yang gelita. Tidak perlu dilihat untuk ingat berapa anaknya. Tahu setakat mana tinggi kaki diangkat. Akan terpijak anak tangga yang dikehendaki. Maka kita selesa dengan tangga itu. Waktu siangnya mungkin kita duduk selesa mengambil angin atau berbual kosong dengan ahli keluarga dan jiran tetangga. Tidak mungkin hal itu berlaku di bangunan pencakar langit. Di bangunan yang tinggi-tinggi. Naik ke atas dengan deras kerana teknologi menyediakan tangga yang deras. Kerana suasana dan persekitaran perlukan kita bergerak deras. Kepada orang-orang yang berada di bangunan itu naik ke atas dengan pantas. Turun mereka untuk memenuhi keperluan. Naik semula menyambung tugas besar yang selalu dari atas ke bawah. Arahan dari atas. Perintah dari atas. Khabar dari atas. Pandangan jauh dari atas. Semua yang dari atas didongak. Diintai. Didengar. Kebanyakannya dipatuhi. Siapa yang memberi perintah. Memberi arahan. Membuat berita. Menyampaikan khabar. Tentunya orang besar. Orang terkenal. Orang yang ada kewibawaan dalam bidang mereka.
Siapa sebenarnya orang-orang yang di bawah tangga. Yang tangganya rendah. Sempit. Reput. Tidak berhias. Mereka diperintah. Disuruh arah. Malah kadang-kadang dipaksa rela. Kenapa. Sifat mereka rendah.  Berada di bawah. Dilihat kecil. Lemah. Tiada daya fizikal dan ilmu untuk bangun tinggi. Tiada kudrat jalan fikir yang boleh meninggikan diri. Maka kita perlu belajar. Perlu mendalami banyak ilmu dan kemahiran. Pendidikan menjadikan kita lebih baik dari berada di tampat yang rendah. Jika tidak di atas sekalipun kita masih boleh berada di pertengahan tangga. Masih ada peluang terlibat merancang. Memberi arahan kepada yang di bawah. Masih diangap tinggi oleh kebanyakan orang.  Kerana itu juga kita harus menilai semula tangga dan ertinya dalam keadaan sekarang. Ia untuk memberi erti yang sewajarnya supaya tangga itu membawa kita ke mercu pilihan kita sendiri. Tetapi tidak selamanya berada di bawah. InsyaAllah ilmu dapat membawa kita ke atas. Motivasi disesuaikan dengan masa dan keadaan. Dengan keperluan semasa dan akan datang. Buang semua pandangan haizat. Pandang ke bawah dengan keinsafan bahawa kita dahulunya dari bawah. Bawah bukan hina. Ianya tempat kita membina asas. Kita kembali turun ke bawah untuk kembali ke dasar. Tempat kekal kita di bawah. Atas pastinya hanya tempat sementara.  
Memang tangga ada fungsi turunnya. Walau bagaimanapun jangan terus-terusan turun kerana untuk naik nanti sudah hilang gagah tenaga yang diperlukan. Berhati-hatilah berhadapan dengan tangga. Dorongan naik cukup banyak. Dalam pada itu perangkap turunnya juga terlalu banyak. Tangga yang ada di hadapan kita direncanakan fungsinya. Naik atau turun ada fungsinya yang dihajatkan. Biar kita memanjat naik tetapi jangan sampai menggelongsor turun hingga tidak mampu untuk naik lagi. Naik mestilah berhati-hati. Berpaut pada yang perlu. Berpijak pada yang kukuh. Menghadapi gayat berada di tampat tinggi. Berfikir positif supaya tidak gagal berada di atas. Jika demikian ditakuti turun menjadi deras. Jaga puncak kerana anginya lebih banyak dan deras. Panasnya juga mungkin lebih terik kerana lapangnya suasana. Jangan pula lupa turun. Takut nanti diturunkan orang. InsyaAllah kita selamat di bawah naungan Allah.

Monday, June 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Kembara Masa Mencari Wajah Diri

Alhamdulillah saya sudah berada selama enam bulan di Amman, Jordan. Enam bulan belum menjadikan saya fasih berbahasa Arab. Baru dapat sedikit-sedikit. InsyaAllah apa yang dapat memberi manfaat kepada diri. Saya tahu berbahasa Jawa, banjar, Melayu, Kebangsaan dan bahasa Inggeris. Bahasa Jawa kerana keluarga saya Jawa. Saya boleh berbahasa banjar sedikit kerana isteri saya orang Banjar. Bahasa Melayu kerana keperluan negara. Bahasa Inggeris kerana bahasa kedua di sekolah. Bertambah satu lagi dengan bahasa Arab. Kepentingannya tidak dapat dinafikan kerana ianya bahasa al-Quran, bahasa Syurga, bahasa Rasulullah dan bahasa agama Islam. Enam bulan di Jordan cukup mengesankan. Walaupun tidak lagi menguasai bahasa Arab, banyak pengajaran yang diserap untuk mengkayakan pengalaman, perasaan dan keindahan hidup berbahasa. InsyaAllah pada hari Sabtu 29 Jun 2013 saya akan berpindah ke Kaherah, Mesir. Di sana nanti bersama anak lelaki saya dan isterinya sementara mereka belum kembali ke Malaysia setelah menamatkan pengajian mereka di Jamiah al-Azhar. Lima tahun mereka di sana. Saya dan isteri akan datang menyambung kehadiran mereka. InsyaAllah nanti saya akan memperkasakan bahasa Arab saya sedaya yang mungkin. Agenda masa saya masih panjang dan banyak. Semoga Allah memberi saya ruang dan peluang untuk memanfaatkan masa.
Dalam hidup ini banyak jadual yang perlu kita sempurnakan. Jadual pula bersandar kepada masa. Masa pula banyak konotasinya. Kepada setengah orang masa sangat terhad. Kepada setengah yang lain masa terlalu banyak. Kita berada di sebelah mana? Kita adalah kita. Bergantung kepada kebijaksanaan kita menggunakan masa. Bagi yang arif menggunakan masa, 24 jam sehari semalam adalah terlalu banyak. Terlalu lama. Sebanyak 1,440 minit. 86,400 saat. Orang biasa-biasa banyak bercakap tentang hari, minggu dan bulan. Mungkin tahun. Bagi yang arif tentang masa mereka bercakap tentang saat dengan satu, dua, tiga atau empat titik perpuluhan. Atau lebih kecil lagi. Mereka bercakap tentang kejituan. Precision. Banyak hal yang ditentukan secara kritikal masanya. Sangat, sangat terperinci. Walaupun kepada orang kebanyakan saat itu pendek pada masa-masa tertentu saat dianggap sangat lama. Sesaat menanti seperti seribu tahun. Sesaat dalam ketakutan seperti masa tidak berganjak. Sesaat dalam rindu seperti masa tidak datang-datang waktunya. Dalam sukan Olimpik pelari pecut 100 meter hanya perlu mengurangkan mungkin 0.01 saat untuk memecahkan rekod dunia dan rekod Olimpik. Mereka yang berada di kapal angkasa perpuluhan saat sangat penting yang menentukan hidup atau mati dengan izin Allah.  
Orang yang sibuk tidak mencukupi masa yang Allah peruntukkan kepadanya. Malah tidurpun dikurang-kurangkan. Sebaliknya kepada orang yang asing dengan masa, banyak masanya terlalu terluang. Ramai orang membazirkan masa. Mereka tidak memberi nilai kepada masa. Masa yang terbuang tidak ditangisi. Kita selelu bercerita mengenai mengisi masa. Apa sebenarnya isi yang dianggap benar. Yang dianggap sahih. Yang dianggap berfaedah. Mari kita senaraikan mana yang mungkin bersesuaian:
1     Mencari ilmu
2     Membuat amal kebajikan
3     Membantu orang lain
4     Memberi sedekah dan derma
5     Memunaikan ibadat
6     Bekerja
7     Menasihat
8     Mengajar
9     Belajar
Berhibur tidaklah dikira sesuatu yang wajib. Bukan juga sunat jika tujuannya hanya untuk berhibur. Maka berhibur hanyalah untuk perintang waktu. Memperkasa pemikiran yang kadang-kadang menjadi lesu. Ketika itu fikiran perlukan sesuatu input untuk pulih dari menajdi jumud. Tepu. Tetapi jika hiburan menjadi agenda keutamaan maka masa menajdi tiada harganya. Manfaatnya tidak banyak. Dalam jangkapanjang ianya menjadi penghalang kepada kejayaan yang lebih besar. Yang lebih bermanfaat.  Mana lebih baik membaca dari berhibur? Dari bermain yang bermain-main konsepnya. Bukan bermain secara profesional. Atau bermenung tanpa berbuat apa-apa. Kita banyak membazir masa. Suka menunggu sesuatu datang bergolek. Menanti yang pipih datang melayang. Dalam keadaan sekarang semua itu sukar kemungkinannya berlaku. Kita hendaklah mencari yang tiada. Mendapatkan yang belum dimiliki. Menyelongkar khazanah ilmu dan kemahiran yang tersangat banyak. Sains dan teknologi memerlukan kita celik dalam banyak hal. Tidak lagi layak mengimbau masa lalu yang telah lama ditinggalkan teknologi. Barangkali akhlak yang perlu dikekalkan secara abadi. Sifatnya universal dan berpanjagan sepanjang zaman. Tidak basah dek hujan. Tidak lapuk dek basah. Zaman tidak mengubah sifat akhlak. Agama yang menentukannya. Allah yang mencantikkannya.  Usaha kita yang menjadikannya lestari kebaikannya. memuliakan kedudukan pemilik peribadinya.
Masa tetap berlalu mengikut fitrahnya. Dari saat ke minit. Menjangkau ke jam dan hari. Pergi ke minggu dan bulan. Sejarah menjadi tahun, dekad dan kurun. Hingga menjadi beradab-abad lamanya. Masa yang menepati keperluan sangatlah penting. The right timing. Berbuat sesuatu mendahului masa tidak berfaedah kerana tiada siapa yang mahukannya. Apa yang kita tawarkan belum diperlukan. Tiada siapa yang maklum. Maka terlalu cepat merugikan usaha. Apa yang kita jangka tidak menjadi. Kerana itu pendidikan perlu. Pendidikan itu pula berkerangka jangkapanjang. Ilmu yang diberi boleh dimanfaatkan dalam jangkapanjang. Maklum akan hal-hal yang berkemungkinan besar akan berlaku. Kemahiran membuat jangkaan atau ramalan adalah sesuatu yang perlu supaya  apabila masanya tiba kita tidak terkejut. Tidak terfana dengan perkara yang datang. Begitu juga apabila kita ketinggalan waktu.  Apabila kesemuanya sudah berlalu semua yang kita tawarkan tiada gunanya lagi. Orang lain sudah tidak memerlukannya lagi. Sudah lapuk. Sudah menjadi sejarah yang tidak mahu diulang lagi. Orang lain sudah memiliki yang lain. Yang lebih canggih. Yang lebih efisien dan lebih efektif.
Dalam hidup ini kita perlu mengagenda masa yang Allah berikan kepada kita. Rencanakan aktiviti yang bermanfaat. Mencari ilmu umpamanya tiada batas waktu. Tiada batas tempat. Tiada batas ruang. Tiada batas aspek dan tajuk. Apa sahaja yang bermanfaat perlu dipelajari. Kita perlu di hadapan. Perlu memiliki kebijaksanaan. Menjadikan diri kita di luar kebiasaan. Bukan seperti biasa yang  biasanya terlalu biasa-biassa. Masa yang banyak perlu dimanfaatkan untuk menimbun ilmu. Bukan harta semata-mata. Harta tanpa ilmu menjadikan harta itu tidak bermanfaat dari segi agama. Dari segi syarak. Takut digunakan ke arah yang tidak diredhai Allah. Jangan beralasan kita tiada masa. Tidak mungkin masa yang banyak selama 24 jam sehari hanya kita bazirkan begitu sahaja. Itu baru sehari. Jika usia kita berpuluh-puluh tahun tentulah nilai pembaziran itu terlalu banyak. Masa itu emas. Kita tahu emas mahal. Kenapa kita sukar memahami bahawa masa itu sebenarnya sangat mahal. Lebih mahal dari emas.  Demi masa manusia selalu berada dalam kerugian. Yang mendapat keuntungan adalah mereka yang menyedari pentingnya masa. Yang nasihat menasihati antara satu sama lain. Tentunya ke arah kebaikan. Ke arah yang lebih bermanfaat. Yang lebih positif.
Beramal kebajikan tentu payah kepada setengah orang. Dalam dunia seperti sekarang orang lebih banyak memikirkan keuntungan kewangan. Faedah fizikal. Lahiriah sahaja. Kita tidak fikirkan keuntungan nilai. Psikologi. Kepuasan. Pahala. Syurga. Tidak pula difikirkan tentang kemanusiaan. Silaturahim. Faedah bersama.  Tamadun. Budaya. Masa adalah sukatan yang menentukan apa yang di hadapan. Kita telah tinggalkan waktu lalu sebagai sejarah. Yang telah tiada tidak mungkin kembali ada. Muda menjadi tua. Cantik menjadi berkedut. Gagah menjadi lemah. Masa hadapan yang lebih perlu disasar untuk membangun ekonomi. Memandaikan sumber manusia. Memperkasa agama. Mempelajari yang tidak diketahui. Menyelidik. Membangunkan sumber insan. Meneroka dan mencari yang terbaik untuk masa hadapan yang dekat dan jauh. Tanpa agenda kita gagal mencapai yang terbaik. Tanpa acara tiada susunan tertib aktiviti yang bersinergi. Tanpa agenda kita mengabaikan diri sendiri.
Kembara kita merentas masa. Misi hidup kita bukan ada noktahnya. Berhenti hanya pada saat akhir usia ditamatkan Allah. Sebuah hadith yang mafhumnya, sekiranya esok berlaku hari qiamat, tanamlah benih yang ada di tangan kamu. Kepada orang biasa hal seperti itu tentulah dianggap seperti tidak berakal. Tetapi kepda orang yang bijaksana dalam agama agenda yang paling besar ialah memikirkan untuk memberi manfaat kepada orang lain walaupun diri sendiri tidak merasa nikmat hasil usahanya sendiri. Sebenarnya agenda besar bukan memikirkan diri. Yang difikirkan ialah orang lain. Mudah-mudahan kita semua berjiwa besar. Menyumbang semasa ada masa. Semasa ada waktu. Semasa ada peluang. Semasa ada agenda yang terluang. Misi dan kembara masa yang melangsungkan perjalanan keindahan ilmu. Ya Allah berkatilah ilmu yang Kau anugerahkan kepadaku. Manfaatkan ianya untuk orang-orang yang berada di sekelilingku. Amin.

Saturday, June 22, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Jejantas Untuk Orang Atas


Di New York saya tercari-cari bangunan Bangsa-Bangsa Bersatu. Lokasinya betul. Peta yang saya rujuk menunjukkan arah yang tepat. Namun banyak kali melalui jalan yang dicatatkan tidak juga menemui destinasi. Setelah beberapa kali dicuba, barulah bangunan itu ditemui. Rupanya bangunan itu di atas dataran yang lebih tinggi. Di sebelah kanan jalan yang saya lintasi berulang kali. Kerana saya berkenderaan, saya tidak letih berjalan berulang alik. Kenderaan yang membawa saya. Maksudnya setiap pengguna jalanraya menemui peluang dan haknya untuk menggunakan jalanraya tanpa apa-apa kepayahan. Orang di negara maju bukan sahaja fizikal negaranya dilihat maju. Bukan prasarana sahaja yang canggih. Pemikiran yang jauh terkehadapan juga perlu sama majunya. Memikirkan bagaimana semua orang tanpa mengira perbezaan kelas dan kasta dapat menikmati keselesaan dan kesejahteraan hidup. hatta pejalan kaki yang hanya memiliki dua kaki sekalipun diberi haknya yang selayaknya. Bukan keistimewaan tetapi hak yang wajar. Sebagai pengguna yang tidak berkedudukan tinggi mereka diberi pertimbangan yang banyak agar hidup mereka tidak mengazabkan. Benar mereka tidak berkemampuan tetapi tidak bermakna mereka tidak berhak menikmati yang terbaik dari orang-orang yang mereka pilih dan percayai dapat membela hidup mereka. Mereka bukan mahukan kemewahan. Yang perlu kepada mereka ialah kewajaran yang mungkin hanya sedikit. Difikir yang kecil tetapi bermanfaat besar.
1      Tiada jejantas untuk mereka. Jejantas adalah untuk orang yang berkenderaan. Mendaki bukit dan cerun meninggi lebih baik dengan kenderaan dan bukan dengan kedua kaki. Kaki itu pula kaki orang tua-tua, kanak-kanak, perempuan mengandung, orang kurang upaya dan mereka yang sakit. Di Malaysia mereka yang tersebut azab naik dan turun jejantas. Naiknya susah, turunnya menakutkan. Kekuatan kaki mereka sudah berkurangan. Kekuatan tangan juga meragukan. Saya melihat keadaan yang sama di Jordan. Orang bawahan tetap di bawah. Tidak dibawa naik menikmati yang selayaknya. Jejantas pejalan kaki di Malaysia sama dengan yang ada di Jordan.
2      Sewajarnya pejalan kaki diberi hak istimewa untuk melintasi jalan dan simpang. Selagi ada orang melintas selagi itulah kenderaan tidak bergerak. Tidak melintas. Tidak melanggar.
3      Pejalan kaki diberikan hak melintas jalanraya pada bila-bila masa dan pada mana-mana tempat. Kenderaan lain berhenti untuk membenarkan pejalan kaki melintas.
4      Jika berlaku kemalangan melibatkan pejalan kaki maka kenderaanlah yang dipersalahkan. Pampasan kemalangan jalanraya sangat tinggi terutama jika melibatkan kanak-kanak. Itulah cara mendidik pemandu supaya tidak sewenangnya-wenangnya menyalahgunakan haknya tanpa memberi hak kepada orang lain.
5      Kanak-kanak sekolah bebas menyeberang jalanraya semasa turun dan naik bas sekolah. Ada isyarat empat penjuru bas sekolah supaya semua kenderaan berhenti memberi laluan. Kanak-kanak yang daif dididik menerima haknya sejak dari kecil. Orang dewasa dan pemerintah merancangkan hak itu kepada mereka.
6      Apabila pejalan kaki memijakkan kakinya di atas jalanraya semua kenderaan berhenti seperti mandatori. Dengan cara itu semua pemandu dididik supaya bertanggungjawab ke atas keselamatan orang lain. Tidak memandu laju. Awas dan siaga semasa memandu. Hak pejalan kaki ini saya lihat juga di Jordan dan di Mesir.
Itu cerita di negara maju. Di USA khususnya. Kita patut pergi ke arah itu. Yang kecil diberi haknya. Di negara membangun dan belum begitu maju kita selalu mengambil mudah. Banyak kesusahan ditimpakan ke atas orang yang memang sudah susah. Yang kedudukannya rendah. Jejantas pejalan kaki adalah manifestasi kelemahan ketara kepada pemikiran rendah yang belum kita bangunkan. Kita mengazab orang lemah. Mereka yang lemah semakin kita azabkan. Bukan sahaja pemandu di Malaysia tidak dimaksimumkan kemanusiaannya malah pemimpin juga tidak menterjemahkan kepimpinannya ke peringkat dasar. Membela dan memberi kelebihan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Kenderaan yang mudah dipandu, melintas dan mendaki cerun. Kita jadi kurang perihatin kepada yang dalam kelompok daif, tua, kanak-kanak, ibu mengandung, kurang upaya dan sakit. Kebanyakan masa pemimpin pergi ke pejabat tanpa berhenti di lampu isyarat. Tanpa berhenti semasa melintas simpang. Naik ke pejabat menggunakan lif. Anak-anak ke sekolah dengan kenderaan dari pintu rumah ke pingu pagar sekolah. Ibu dan bapanya yang tua diangkut dengan kenderaan. Rakyat ramai menjadi pejalan kaki. Naik dan turun jejantas bukan sekali atau dua kali sehari. Anak yang bersekolah di sebelah pagi dihantar dan diambil melalui jejantas. Yang bersekolah di sebelah tengahari juga menggunakan jejantas. Empat kali sehari. Belum lagi keperluan lain untuk menggunakannya. Boleh kita bayangkan kedaifan yang mendaifkan dan semakin menambah daif.
Pemimpin, orang kaya atau mereka yang bijaksana tidak mungkin mendekati jejantas itu. Apatah lagi berulang kali. Apa salahnya jejantas itu dibuang. Difikirkan kaedah yang lebih memudahkan. Terjemahkan kesusahan itu dengan memberi yang lebih baik. Pejalan kaki berjalan di jalanraya yang rata. Kenderaan yang diberi jejantas. Orang bawahan tidak perlu memanjat atau menuruni tangga. Persimpangan jalanraya ditinggikan untuk kenderaan. Memudah dan tidak membahayakan pejalan kaki.  Yang kecil diberi keutamaan. Yang besar ada keutamaannya yang tersendiri. Kosnya tinggi. Benar. Tetapi bukankah yang kaya membayar cukai? Fikirkan semula agihan cukai itu supaya hak-hak yang wajar diberi kepada haknya. Menjadi negara maju bukan memberikan mercutanda yang gah belaka. Rakyat di bawah yang paling daif sewajarnya diberikan yang terbaik kerana mereka rakyat sejati yang seluruh jiwa raga mereka untuk negara tercinta. Hak mereka untuk menerima yang terbaik. Pemimpin yang paling tinggi seharusnya memikirkan keperluan yang paling minimum untuk rakyatnya. Yang paling kecil untuk diberikan nilai besar. Yang paling halus untuk mensejehterakan mereka. Yang paling seni untuk menghidupkan semangat cintakan negara.
Pemimpin yang hebat ialah mereka yang memikirkan perkara besar dan perkara yang sekecil-kecilnya. Yang remeh temeh itu diterjemahkan sebagai keperluan bersepadu yang membahagiakan rakyat. Khidmat diperbanyakkan. Tanggungan ekonomi dikurangkan. Kebajikan difikirkan hingga ke akar umbi. Kesejahteraan dan kebajikan menjana pemikiran yang sejahtera. Memancarkan daya fikir yang memencar dan memancar. Banyak kemajuan lain dapat dijana hingga tiada yang terlepas dari perhatian, penyelidikan dan pengembangannya pada masa hadapan. Ayuhlah kita fikirkan yang kecil-kecil di bawah di samping mengangkat yang besar-besar ke persada dunia. Pemimpin akan menjadi besar jika dapat memikirkan yang sekecil-kecilnya keperluan rakyat. Ramai orang yang memikirkan yang besar-besar. Ramai pula yang tidak terlintaspun untuk memikirkan yang paling asas untuk orang lain. Fikirkan kedua-dua ekstreme. Tidak satu arah sahaja. Maju tetapi mengabaikan yang lain. Tinggi tetapi mengabaikan yang rendah. Besar tetapi mengabaikan yang kecil. Sayyidina Umar adalah khalifah besar. Masih memikul guni gandum untuk rakyat miskin yang memerlukannya. Digalas sendiri. Tidak menyuruh orang lain. Haknnya adalah hak orang yang memerlukan. Rasanya sukar mencari pemimpin seperti khalifah-khalifah besar yang kita ketahui. Jika kita dapat membuka mata dan minda banyak yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat di bawah. Apatah lagi jika kita membuka perasaan dan hati. Lebih banyak yang dapat kita bangunkan pemikiran yang melampaui masa hadapan yang lebih gemilang untuk ummah. InsyaAllah jika kita bersedia memikirkannya.

Friday, June 21, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Memustaidkan Minda dan Diri

Tiada siapa yang tahu apa yang kita inginkan. Yang kita harap. Yang kita cita-citakan. Tiada siapa yang tahu kecuali diri kita sendiri. Apabila kita yang empunya diri sendiri tidak tahu apa yang kita inginkan maka kita selalu berada dalam situasi sukar. Segala yang dibuat tidak banyak kenanya. Apa yang kita dapat tidak banyak manfaatnya. Apa yang kita cari tiada tajuknya. Tiada fizikal yang nyata. Malah kadang-kadang bayang-bayangnya pun kita tidak tahu. Bukan itu sahaja, kita menyusahkan orang lain. Gelisah kita tiada isyaratnya untuk dibantu. Gundah kita tiada pertolongan yang nyata. Marah kita tiada puncanya. Sedih kita tiada inti patinya. Orang lain menjadi susah. Mereka berada di sekeliling kita. Fitrah manusia memiliki rasa ingin untuk membantu. Jika untuk membantupun tidak boleh tentulah orang lain menjadi resah sama. Mungkin juga yang senang menjadi bertambah rumit. Kusutnya bertamba masai. Kelamnya bertambah kabut. Masalahnya tidak juga selesai. Keputusannya tiada.
Dalam diri kita ada jasad dan perasaan. Rasanya jasad mudah diatur. Mudah diurus. Yang lebih sukar ialah mengurus perasaan. Padanya ada nafsu yang berkeinginan berbagai-bagai. Untuk mengawalnya
1        Pelajari apa yang tidak diketahui
2        Senaraikan apa lagi yang belum diketahui
3        Jadualkan apa yang diingini
4        Buat perancangan dari segi masa dan kos
5        Bulatkan hati. Kuatkan semangat. Laksanakan jadual mengikut tertibnya.
Perubahan tidak boleh dibuat mengikut sesuka perasaan. Perlu ada pertimbangan akal yang menasabah. Perubahan fikiran boleh diizinkan dalam keadaan tertentu. Tetapi tidak digalakkan dalam banyak keadaan. Kita hendaklah membuat perancangan yang sewajarnya dalam kehidupan kita sendiri. Membuat perancangan tentang apa yang kita perlukan dalam hidup kita. Kita tidak boleh
1        Melambatkan yang banyak kebaikannya
2        Mempercepatkan yang banyak buruknya
3        Membuat perubahan dalam masa yang singkat
4        Melibatkan kos yang tinggi di luar bajet
5        Melakukan sesuatu yang konsekuannya dijangka negatif
6        Melakukan sesuatu yang impak jangkapanjangnya merumitkan
7        Melakukan ketidakselarian dengan perundangan yang sedia ada
8        Melakukan perlanggaran hukum-hakam agama.
Sekadar contoh. Seorang pekerja pembersihan boleh dengan mudah menukar atal pembersihan yang digunakan asalkan tidak melanggar kontrak. Tetapi tidak mungkin dia boleh menukar jadual bekerja sesuka hati. Dirinya dan tugasnya ada kaitan dengan jadual organisasi, jadual perbandaran, jadual masyarakat sekeliling. Pejabat hendaklah dibersihkan sebelum ianya dibuka untuk memulakan aitivitinya. Bukan sewaktu aktivitinya sedang berjalan. Pegawai-pegawai yang bertugas terganggu. Pelanggan yang datang mendapatkan perkhidmatan juga terganggu. Lantai baru disapu. Debu dan sampah baru disapu. Bakul sampah baru hendak dikosongkan. Suasana menjadi tidak selesa. Sampah dengan sifat kotornya dibawa lalu lalang di hadapan pelannggan. Sampah yang mungkin berbau busuk mencemarkan udara di sekeliling. Kontraktor pembersihan seharusnya melibatkan orang-orang yang amanah tentang kebersihan. Tentang jadual kerja pejabat. Tentang pentingnya pembersihan itu sendiri. Pembersihan bukan sekadar membuang sampah dan debu. Ia melibatkan siatem kesihatan, keselesaan dan kenteraman psikologi. Sebab itu agama Islam mementingkan kebersihan. Kebersihan sebahagian penting dari iman.
Untuk melancong pula melakukan perubahan jadual sangatlah sukar dilakukan. Jadualnya sudah diatur dengan ketat. Lama dan lebih awal. Aturcaranya padat. Ada ketentuan awalnya dan ada ketentuan akhirnya yang kesemuanya melibatkan kos yang tinggi. Perubahan adalah kos. Perubahan yang sedikit sekalipun pasti melibatkan kos yang beribu ringgit kerana semasa melancong bukan kita seorang yang terlibat. Ia melibatkan kesemua ahli rombongan atau peserta. Sebab itu dalam jemaah, kita tidk boleh pentingkan diri. Tidak boleh nakal seorang. Lebih baik keluar dari jemaah dari melibatkan untuk menyusahkan orang lain yang tiada kena mengena dengan masalah diri kita sendiri. Perubahan ada jadualnya yang melibatkan banyak pertimbangan dari segi tempat menginap, pengangkutan, penerbangan, makan dan minum. Apabila jadual telah dipersetujui, bayaran biasanya dibuat segera. Jika tidak bayaran penuh, jumlah yang dipersetujui dimasukkan ke dalam akaun. Atau cara-cara bayaran yang dipersetujui. Tempahan-tempahan awal tidak memungkinkan perubahan. Mungkin sedikit perubahan yang melibatkan beberapa minit atau sejam dua. Tidak mungkin sehari dua. Hari mungkin diterjemahkan menjadi minggu dan bulan. Kesemuanya melibatkan waktu bertolak. Waktu kembali. Waktu lawatan.
Pada hakikatnya kita hendaklah mengetahui dengan pasti apa yang hendak kita buat. Apa yang kita inginkan sebenarnya. Meminta pada yang ada. Menuntut pada yang hak. Hasil yang akan kita perolehi diperincikan dengan sewajarnya. Andainya kita boleh membuat gambaran akan kesan sesuatu perubahan sama ada secara fizikal atau secara visual, banyak perubahan yang boleh dibuat dengan bijaksana. Akan tergambar rekabentuknya, warnanya, bahan yang digunakan, cuacanya, suhunya, jauh dan dekatnya. Akan tergambar pula kos yang bertambah. Masa yang terlibat. Apabila kesemua yang dirancang telah mustaid, ada satu lagi hal yang perlu diri kita pertimbangkan dengan saksama. Terimalah segalanya dengan redha. Itu perancangan kita. Pilihan kita. Sebahagian yang kita dapat memenuhi keperluan keinginan kita. Bentuknya mungkin berubah. Kebenaran melebihi dan melampaui hakikat yang dituntut. Allah menganugerahkan sesuatu yang paling sesuai dengan keperluan kita. Yang sesuai dengan fitrah kita. Kemampuan kita menerima dan menanggungnya. Kerana itu menerima perubahan kadang-kadang perlu. Kita merancang. Allah merancang. Sesungguynya perancang Allah melebihi segala-galanya.
Dalam sesuatu perkara yang berkisar di sekeliling kita banyak kekurangannya yang tidak memuaskan hati kita. Pada suatu hal kekurangan itu kerana kita tidak mengushakannya sehingga semaksimum mungkin. Cuba fikir lebih jauh. Siapa yang secara mutlak menentukan apa yang kita dapat. Apabila kita boleh akur bahawa segala-galanya ditentukan oleh Allah maka barulah kita boleh faham erti syukur. Erti memahami kuasa Allah. Bahawa Allah yang menentukan segala sesuatu. Kerana itu apa-apapun yang Allah tentukan untuk diri kita wajib diterima dengan senang hati. Redha mendamaikan perasaan. Menenangkan qalbu. Cuba buat skala kepuasan. Apa yang kita ada lebih baik dari kebanyakan orang. Pada masa yang sama ianya kurang dari sedikit orang. Dalam banyak hal kedudukan kita masih jauh lebih baik dari kebanyakan orang lain. Maknanya kita bukanlah berada di tahap yang hina dina. Bukan pula serba kekurangan. Kita berada dalam situasi selamat, senang dan menang dalam kehidupan yang singkat dan penuh cabaran ini.
Dalam misi hidup kita, seharusnya kita melakukan yang terbaik untuk diri kita. Belajar dari banyak kesilapan masa lalu. Apa-apapun supaya perancangan kita selalu mendekati kejituan kita hendaklah menghimpunkan pengalaman dan penyelidikan. Ramalan kadang-kadang memberikan panduan tertentu walaupun ramalan itu tidka saintifik. Cukup dengan pengalaman masa lalu. Sebagai panduan buatlah perancangan apa sahaja dengan
1        Perancangan yang jelas objektifnya
2        Menerima hal-hal sampingan yang Allah datangkan
3        Minda hendaklah terbuka
4        Fizikal yang didatangkan dari tenaga minda
5        Memperluas input dan output
6        Mengagenda masa
7        Mengagenda peluang
8        Membuka minda
9        Menerima kehadiran orang lain sebagai pelengkap dan pembantu
Mudah-mudahan ada faedah yang dapat digarap dalam hidup yang pendek tetapi banyak yang perlu dilakukan jika kita mengetahuinya. Semak diri kita seperlunya sebelum menyemak orang lain. Manfaatkan kekuatan yang ada pada diri. Memperkasakan kelemahan yang ada. Gabungannya memberikan sinergi yang memberikan faedah berganda pada masa hadapan. InsyaAllah.

Thursday, June 20, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Rasa Iri dan Ditirikan


Rasanya semua orang ada pengalaman yang banyak tidak selesanya. Terasa diri diabaikan. Terasa dipinggirkan. Terasa tidak memberi apa-apa makna lagi. Kadang-kdang ianya tidak disenghajakan. Kadang-kadang terjadi dengan tiba-tiba. Jika kita membuat penilaian yang saksama, sebenarnya ada keadaan yang dapat kita kawal dan ada keadaan yang tidak dapat kita kawal. Untuk yang boleh kita kawal, kita boleh melakukan sesuatu untuk mengelakkannya daripada terjadi. Atau boleh mengubah natijahnya walaupun bukan 100%. Atau boleh meminimumkan impaknya. Dalam keadaan lain ada keadaan yang memang di luar kawalan. Contohnya tegelincir. Hujan lebat secara tiba-tiba. Namun demikian keadaan yang tidak terkawal itu juga kadang-kadang boleh diatasi dengan mengambil langkah berjaga-jaga. Tempat yang licin dialas atau berjalan dengan berhati-hati. Hujan lebat diatasi dengan cara membawa payung dalam semua keadaan. Atau barangkali radio dan TV menyiarkan ramalan cuaca yang terperinci bukan selektif seperti sekarang ini. Jabatan Kajicuaca perlu membuat ramalan yang terperinci. Sangat terperinci hingga kita sentiasa lebih bersedia untuk berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu. Di negara beriklim sederhana atau sejuk, perincian ramalan cuaca menjadi suatu kemestian. Kerana itu rakyat di negara-negara tersebut berada dalam keadaan bersedia. Hanya dalam keadaan luarbiasa mengikut ketentuan Allah sahaja yang manusia tidak dapat berbuat apa-apa tanpa izinNya.
Kerana tiada pertimbangan ramalan kita selalu melakukan aktiviti  tanpa mematuhi sepenuhnya jadual, agenda atau aturacara. Paling malang apabila keadaan itu mengakibatkan kita mengabaikan waktu solat. Di institut pengajian tinggi jadual belajar unpamanya tidak mengikut jadual solat. Anggapan ialah solat boleh dilakukan pada waktu-waktu lain. Jika kelas atau amali itu berlarutan hingga berjam-jam maka pelajar, pensyarah, pengajar dan juruteknik umpamanya tidak mempunyai jadual solat yang selari dengan jadual solat yang ditentukan Allah. Ada mesyuarat dari selepas Zohor hingga hampir solat Maghrib. Melalui waktu solat Asar. Kita di bawah kuasa Allah. Tetapi kita tidak menyedari bahawa Allah sentiasa mengawasi kita.  Waktu untuk bersama Allah telah ditentukan sejak azali. Kita mengabaikannya. Kita, manusia yang sangat kerdilnya di muka bumi ini. Sayangnya kita merasa besar di hadapan manusia lain. Kita merasa besar di tempat kerja. Di pejabat atau di tempat-tempat kita diberi tanggungjawab. Apabila kita tidak mengawal waktu maka hidup kita menjadi tanpa paduan lagi. Agenda hidup kita dahulukan. Agenda Allah kita kebelakangkan. Kita tahu agenda Allah lebih sangat tersangatlah pentingnya. Malangnya kebanyakan kita mengabaikan hal tersebut.
Alangkah baiknya dalam melaksanakan sesuatu aktiviti kita menghormati waktu.  Waktu solat yang paling utama dijaga. Waktu bertugas. Begitu juga waktu-waktu urusan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam banyak hal kita lebih mengutamakan agenda organisasi. Agenda kerjaya. Agenda yang melebihkan dunia. Apabila kita mengabaikan solat maka agenda akhirat terketepi. Kadang-kadang kita lebih pentingkan protokol manusia. Protokol adat. Protokol makan dan minum. Agenda solat berada di paras bawah. Sepatutnya semua acara manusia berdasarkan kepada agenda Allah. Waktu solat adalah penentu penjadualan aktiviti. Banyak masa kita di luar kawalan. Masalah? Mungkin. Walau bagaimanapun pengalaman menunjukkan bahawa kita boleh
1      Membuat jangkaan dengan mempelajarinya secara pengalaman dan saintifik
2      Mematuhi jadual
3      Hal-hal luar jangka diurus secara profesional
4      Perubahan diiringi dengan Pelan B, Pelan C atau pelan lain.
Pemimpin adalah pengurus. Insan yang dinamakan imam. Maaf bukan dalam solat sahaja kita ada imam. Imam bermaksud orang yang berada di hadapan. Memimpin orang lain. Bertanggungjawab atas kejayaan orang-orang yang dipimpinnya. Pemimpin tidak dilihat pada tubuh badannya. Atau wajahnya. Napoleon sangat kecil tubuhnya mengikut kebiasaan saiz orang putih. Hitler bermisai tebal yang unik. Rasulullah pula dikatakan sebagai insan yang bersaiz istimewa. Bersama orang yang lebih tinggi baginda dilihat tinggi.Pemimpin adalah pengurus. Insan yang dinamakan imam. Maaf bukan dalam solat sahaja kita ada imam. Imam bermaksud orang yang berada di hadapan. Memimpin orang lain. Bertanggungjawab atas kejayaan orang-orang yang dipimpinnya. Pemimpin tidak dilihat pada tubuh badannya. Atau wajahnya. Napoleon sangat kecil tubuhnya mengikut kebiasaan saiz orang putih. Hitler bermisai tebal yang unik. Rasulullah pula dikatakan sebagai insan yang bersaiz istimewa. Bersama sahabat yang lebih tinggi baginda dilihat tinggi. Bersama sahabat yang lebih rendah baginda dilihat rendah.   Ada iktibar di situ. Pemimpin hendaklah boleh ke tengah dan ke tepi. Bersama orang yang cerdik, pemimin menyerlahkan kepimpinannya. Bersama orang biasa pemimpin itu menurunkan dirinya menyelarikan dirinya dengan orang biasa. Bersama orang cerdik dia menonjol kerana orang cerdik melihat kepada kecerdikan. Kepada orang biasa dia boleh dilihat sebagai tidak meninggi. Sama seperti manusia lain. Kembali kepada firahnya sebagai manusia biasa.
Kelayakan akademik hanya untuk lulus periksa dan mendapat kedudukan graduan. Layak memohon sesuatu jawatan. Layak berkerjaya. Rasanya ramai (bukan semua dan bukan majoriti) orang bersetuju bahawa dalam kerjaya kelayakan akademik sudah tidak terpakai lagi. Pada kebanyakan masa ianya lapuk dan ketinggalan zaman. Teknologi terlalu deras meninggalkan kita. Apa yang kita pelajari dahulu sudah tinggal sisa-siasnya. Kecualilah agama , falsafah dan seni budaya. Itupun mungkin berubah dari segi perlaksanaannya. Bukan dasarnya. Bukan akidahnya. Kerana itu pemimpin akhirnya dilihat berdasarkan apa yang dihasilkannya. Manfaat tugasnya kepada agama, masyarakat, teknologi, pendidikan dan kepimpinannya itu sendiri. Orang banyak akan melihat kebijaksanaannya menangani dan menyelesaikan sesuatu masalah. Keperihatinannya untuk menyelesaikannya. Bagaimana ia berhadapan dengan situasi kritikal yang perlukan tindakan selamat, cepat, berkesan dan cekap. Jangan lupa kemahiran kepimpinannya secara profesional. Gabungan antara melaksanakan undang-undang dan kebijaksanaan kemanusiaannya. Ia harus siaga dalam keadaan seperti senang dan susah. Masalah disesesaikan sambil membuat keputusan yang ekonomikal tanpa mengundang masalah sampingan.
Maka pengalaman hendaklah disusun supaya ada himpunan kebaikan yang berkeutamaan. Kebaikan yang menambah kebaikan. Maksudnya pengalaman awal ditambah baik untuk yang kedua dan berikutnya. Apabila berlaku keadaan luarjangka buat penilaian jangkapendek dan penilaian jangkapanjang
1      Banyakkah lagi acara/agenda/proses/aktiviti yang belum dilaksanakan?
2      Adakah ianya penting/kurang penting/tidak penting?
3      Bolehkah diabaikan aktiviti yang kurang penting?
4      Semak masa. Banyakkah lagi masa yang berbaki?
5      Bolehkah aktiviti yang ada dipendekkan masa pelaksanaannya?
6      Bolehkah aktiviti-aktiviti itu disusun semula?
Dalam hal ini pemimpin hendaklah mengambilkira keseluruhan ruang pemikiran dan skop aktiviti yang perlu dilaksanakan. Yang penting ialah
1      Semua agenda dapat dilaksanakan.
2      Mendamaikan keresahan yang mungkin terbit dari kekalutan yang wujud.
3      Tidak ada keutamaan yang terabai.
4      Keselesaan semua yang terlibat dijaga dan terpelihara.
5      Jadual dipatuhi.
6      Agenda kita dengan Allah menjadi sangat utama apabila masa dan jadual dipatuhi.
Menjadi pemimpin adalah mudah. Memimpin tentulah lebih susah. Tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dengan saksama. Kepimpinan yang mendekatkan dirinya dan diri orang-orang yang dipimpinnya kepada Allah.  Oleh itu sama-samalah kita semak diri kita masing-masing. Mudah-mudahan kita adalah pemipin dalam skop diri kita sendiri. Persekitaran kita. Masyarakat kita. Kerjaya kita. Organisasi kita. Akhir sekali agama kita. InsyaAllah memudahkan segala-galanya untuk kita.