Monday, June 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Kembara Masa Mencari Wajah Diri

Alhamdulillah saya sudah berada selama enam bulan di Amman, Jordan. Enam bulan belum menjadikan saya fasih berbahasa Arab. Baru dapat sedikit-sedikit. InsyaAllah apa yang dapat memberi manfaat kepada diri. Saya tahu berbahasa Jawa, banjar, Melayu, Kebangsaan dan bahasa Inggeris. Bahasa Jawa kerana keluarga saya Jawa. Saya boleh berbahasa banjar sedikit kerana isteri saya orang Banjar. Bahasa Melayu kerana keperluan negara. Bahasa Inggeris kerana bahasa kedua di sekolah. Bertambah satu lagi dengan bahasa Arab. Kepentingannya tidak dapat dinafikan kerana ianya bahasa al-Quran, bahasa Syurga, bahasa Rasulullah dan bahasa agama Islam. Enam bulan di Jordan cukup mengesankan. Walaupun tidak lagi menguasai bahasa Arab, banyak pengajaran yang diserap untuk mengkayakan pengalaman, perasaan dan keindahan hidup berbahasa. InsyaAllah pada hari Sabtu 29 Jun 2013 saya akan berpindah ke Kaherah, Mesir. Di sana nanti bersama anak lelaki saya dan isterinya sementara mereka belum kembali ke Malaysia setelah menamatkan pengajian mereka di Jamiah al-Azhar. Lima tahun mereka di sana. Saya dan isteri akan datang menyambung kehadiran mereka. InsyaAllah nanti saya akan memperkasakan bahasa Arab saya sedaya yang mungkin. Agenda masa saya masih panjang dan banyak. Semoga Allah memberi saya ruang dan peluang untuk memanfaatkan masa.
Dalam hidup ini banyak jadual yang perlu kita sempurnakan. Jadual pula bersandar kepada masa. Masa pula banyak konotasinya. Kepada setengah orang masa sangat terhad. Kepada setengah yang lain masa terlalu banyak. Kita berada di sebelah mana? Kita adalah kita. Bergantung kepada kebijaksanaan kita menggunakan masa. Bagi yang arif menggunakan masa, 24 jam sehari semalam adalah terlalu banyak. Terlalu lama. Sebanyak 1,440 minit. 86,400 saat. Orang biasa-biasa banyak bercakap tentang hari, minggu dan bulan. Mungkin tahun. Bagi yang arif tentang masa mereka bercakap tentang saat dengan satu, dua, tiga atau empat titik perpuluhan. Atau lebih kecil lagi. Mereka bercakap tentang kejituan. Precision. Banyak hal yang ditentukan secara kritikal masanya. Sangat, sangat terperinci. Walaupun kepada orang kebanyakan saat itu pendek pada masa-masa tertentu saat dianggap sangat lama. Sesaat menanti seperti seribu tahun. Sesaat dalam ketakutan seperti masa tidak berganjak. Sesaat dalam rindu seperti masa tidak datang-datang waktunya. Dalam sukan Olimpik pelari pecut 100 meter hanya perlu mengurangkan mungkin 0.01 saat untuk memecahkan rekod dunia dan rekod Olimpik. Mereka yang berada di kapal angkasa perpuluhan saat sangat penting yang menentukan hidup atau mati dengan izin Allah.  
Orang yang sibuk tidak mencukupi masa yang Allah peruntukkan kepadanya. Malah tidurpun dikurang-kurangkan. Sebaliknya kepada orang yang asing dengan masa, banyak masanya terlalu terluang. Ramai orang membazirkan masa. Mereka tidak memberi nilai kepada masa. Masa yang terbuang tidak ditangisi. Kita selelu bercerita mengenai mengisi masa. Apa sebenarnya isi yang dianggap benar. Yang dianggap sahih. Yang dianggap berfaedah. Mari kita senaraikan mana yang mungkin bersesuaian:
1     Mencari ilmu
2     Membuat amal kebajikan
3     Membantu orang lain
4     Memberi sedekah dan derma
5     Memunaikan ibadat
6     Bekerja
7     Menasihat
8     Mengajar
9     Belajar
Berhibur tidaklah dikira sesuatu yang wajib. Bukan juga sunat jika tujuannya hanya untuk berhibur. Maka berhibur hanyalah untuk perintang waktu. Memperkasa pemikiran yang kadang-kadang menjadi lesu. Ketika itu fikiran perlukan sesuatu input untuk pulih dari menajdi jumud. Tepu. Tetapi jika hiburan menjadi agenda keutamaan maka masa menajdi tiada harganya. Manfaatnya tidak banyak. Dalam jangkapanjang ianya menjadi penghalang kepada kejayaan yang lebih besar. Yang lebih bermanfaat.  Mana lebih baik membaca dari berhibur? Dari bermain yang bermain-main konsepnya. Bukan bermain secara profesional. Atau bermenung tanpa berbuat apa-apa. Kita banyak membazir masa. Suka menunggu sesuatu datang bergolek. Menanti yang pipih datang melayang. Dalam keadaan sekarang semua itu sukar kemungkinannya berlaku. Kita hendaklah mencari yang tiada. Mendapatkan yang belum dimiliki. Menyelongkar khazanah ilmu dan kemahiran yang tersangat banyak. Sains dan teknologi memerlukan kita celik dalam banyak hal. Tidak lagi layak mengimbau masa lalu yang telah lama ditinggalkan teknologi. Barangkali akhlak yang perlu dikekalkan secara abadi. Sifatnya universal dan berpanjagan sepanjang zaman. Tidak basah dek hujan. Tidak lapuk dek basah. Zaman tidak mengubah sifat akhlak. Agama yang menentukannya. Allah yang mencantikkannya.  Usaha kita yang menjadikannya lestari kebaikannya. memuliakan kedudukan pemilik peribadinya.
Masa tetap berlalu mengikut fitrahnya. Dari saat ke minit. Menjangkau ke jam dan hari. Pergi ke minggu dan bulan. Sejarah menjadi tahun, dekad dan kurun. Hingga menjadi beradab-abad lamanya. Masa yang menepati keperluan sangatlah penting. The right timing. Berbuat sesuatu mendahului masa tidak berfaedah kerana tiada siapa yang mahukannya. Apa yang kita tawarkan belum diperlukan. Tiada siapa yang maklum. Maka terlalu cepat merugikan usaha. Apa yang kita jangka tidak menjadi. Kerana itu pendidikan perlu. Pendidikan itu pula berkerangka jangkapanjang. Ilmu yang diberi boleh dimanfaatkan dalam jangkapanjang. Maklum akan hal-hal yang berkemungkinan besar akan berlaku. Kemahiran membuat jangkaan atau ramalan adalah sesuatu yang perlu supaya  apabila masanya tiba kita tidak terkejut. Tidak terfana dengan perkara yang datang. Begitu juga apabila kita ketinggalan waktu.  Apabila kesemuanya sudah berlalu semua yang kita tawarkan tiada gunanya lagi. Orang lain sudah tidak memerlukannya lagi. Sudah lapuk. Sudah menjadi sejarah yang tidak mahu diulang lagi. Orang lain sudah memiliki yang lain. Yang lebih canggih. Yang lebih efisien dan lebih efektif.
Dalam hidup ini kita perlu mengagenda masa yang Allah berikan kepada kita. Rencanakan aktiviti yang bermanfaat. Mencari ilmu umpamanya tiada batas waktu. Tiada batas tempat. Tiada batas ruang. Tiada batas aspek dan tajuk. Apa sahaja yang bermanfaat perlu dipelajari. Kita perlu di hadapan. Perlu memiliki kebijaksanaan. Menjadikan diri kita di luar kebiasaan. Bukan seperti biasa yang  biasanya terlalu biasa-biassa. Masa yang banyak perlu dimanfaatkan untuk menimbun ilmu. Bukan harta semata-mata. Harta tanpa ilmu menjadikan harta itu tidak bermanfaat dari segi agama. Dari segi syarak. Takut digunakan ke arah yang tidak diredhai Allah. Jangan beralasan kita tiada masa. Tidak mungkin masa yang banyak selama 24 jam sehari hanya kita bazirkan begitu sahaja. Itu baru sehari. Jika usia kita berpuluh-puluh tahun tentulah nilai pembaziran itu terlalu banyak. Masa itu emas. Kita tahu emas mahal. Kenapa kita sukar memahami bahawa masa itu sebenarnya sangat mahal. Lebih mahal dari emas.  Demi masa manusia selalu berada dalam kerugian. Yang mendapat keuntungan adalah mereka yang menyedari pentingnya masa. Yang nasihat menasihati antara satu sama lain. Tentunya ke arah kebaikan. Ke arah yang lebih bermanfaat. Yang lebih positif.
Beramal kebajikan tentu payah kepada setengah orang. Dalam dunia seperti sekarang orang lebih banyak memikirkan keuntungan kewangan. Faedah fizikal. Lahiriah sahaja. Kita tidak fikirkan keuntungan nilai. Psikologi. Kepuasan. Pahala. Syurga. Tidak pula difikirkan tentang kemanusiaan. Silaturahim. Faedah bersama.  Tamadun. Budaya. Masa adalah sukatan yang menentukan apa yang di hadapan. Kita telah tinggalkan waktu lalu sebagai sejarah. Yang telah tiada tidak mungkin kembali ada. Muda menjadi tua. Cantik menjadi berkedut. Gagah menjadi lemah. Masa hadapan yang lebih perlu disasar untuk membangun ekonomi. Memandaikan sumber manusia. Memperkasa agama. Mempelajari yang tidak diketahui. Menyelidik. Membangunkan sumber insan. Meneroka dan mencari yang terbaik untuk masa hadapan yang dekat dan jauh. Tanpa agenda kita gagal mencapai yang terbaik. Tanpa acara tiada susunan tertib aktiviti yang bersinergi. Tanpa agenda kita mengabaikan diri sendiri.
Kembara kita merentas masa. Misi hidup kita bukan ada noktahnya. Berhenti hanya pada saat akhir usia ditamatkan Allah. Sebuah hadith yang mafhumnya, sekiranya esok berlaku hari qiamat, tanamlah benih yang ada di tangan kamu. Kepada orang biasa hal seperti itu tentulah dianggap seperti tidak berakal. Tetapi kepda orang yang bijaksana dalam agama agenda yang paling besar ialah memikirkan untuk memberi manfaat kepada orang lain walaupun diri sendiri tidak merasa nikmat hasil usahanya sendiri. Sebenarnya agenda besar bukan memikirkan diri. Yang difikirkan ialah orang lain. Mudah-mudahan kita semua berjiwa besar. Menyumbang semasa ada masa. Semasa ada waktu. Semasa ada peluang. Semasa ada agenda yang terluang. Misi dan kembara masa yang melangsungkan perjalanan keindahan ilmu. Ya Allah berkatilah ilmu yang Kau anugerahkan kepadaku. Manfaatkan ianya untuk orang-orang yang berada di sekelilingku. Amin.

No comments:

Post a Comment