Thursday, May 30, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Untuk Mengerti Yang Dimengerti



Setelah beberapa bulan di Amman, Jordan banyak juga dimengertikan mengenai Bahasa Arab. Semakin dipelajari semakinlah banyak hubungkaitnya dengan keindahan beragama Islam. Sejarah merakamkan bahawa agama Islam perlu dipelajari dalam bahasa asalnya iaitu Bahasa Arab. Mungkin ramai yang berfikir tentang hubungannya Bahasa Arab dengan agama Islam. Dalam sejarahnya tentu kita semua maklum. Islam dari Makkah al-Mukarammah. Rasulnya Muhammad SAW. Bahasanya Arab Quraisy. Maka siapapun yang ingin mendalami agama Islam wajiblah memahami Bahasa Arab. Terjemah? Boleh. Tetapi telah dibuktikan bahawa sesuatu bahasa itu tidak dapat diterjemahkan seratus peratus. Sebabnya banyak. Antaranya agama. Keduanya budaya. Ketiga cara berfikir. Keempat falsafah. Keenam tradisi. Jika begitu tidakkah bahasa lain juga mempunyai trait yang sama. Ciri-ciri bahasa yang sama. Jawabnya tidak. Rasanya hanya Bahasa Arab sahaja yang unik dalam banyak hal. Pada kali ini saya tidak bermaksud untuk membincangkan Bahasa Arab dari segi linguistik. Tidak juga dari segi morfologi. Tidak juga dari segi syntax dan sebagainya. Cukup sekadar memberi sedikit gambaran tentang akrabnya Bahasa Arab dengan sistem beragama. Tentunya Bahasa Arab. Bahasa agama Islam.
Banyak kali kami diberikan latihan membuat ayat. Memadankan ayat. Mengubah ayat untuk disesuaikan dengan gantinama (dhomir) yang berlainan jantina. Untuk makluman pembaca, gantinama dalam Bahasa Arab terbahagi kepada jantina jantan dan betina. Setiap satunya dibahagikan pula kepada seorang (mufrad), berdua (mathna) atau bertiga dan lebih (jamak). Ada 14 gantinama yang mesti diingat iaitu bagi orang ketiga dia lelaki (hua), dua orang lelaki (huma), ramai lelaki (hum). Dia perempuan (hia), dua orang perempuan (huma) dan ramai perempuan (hunna). Orang kedua pula anda lelaki (anta), anda berdua (antuma), anda ramai (antum), anda perempuan (anti), anda berdua (antuma) dan anda ramai (antunna). Orang pertama pula ana (lelaki dan perempuan) dan nahnu (juga untuk lelaki dan perempuan). Setiap gantinama membentuk struktur ayat yang tersendiri. Banyak latihan diperlukan kerana lain kalimah lain pula pembentukan ejaan dan ayatnya.
Dalam bahasa Malaysia, kita tidak pernah membincangkan tentang sesuatu perkatan dan hubungkaitnya dengan gender. Kita tidak tahu gender yang kita baca atau bincangkan kerana tidak ada petunjuk. Hanya apabila ada ciri-ciri wanita disebut baru kita mengerti bahawa manusia yang dibincangkan adalah wanita. Membaca sebuah cerita tidak membantu kita mengetahui siapa yang disindir. Atau diumpat. Atau dikeji. Dalam bahasa Arab sesuatu gantinama sudah memberi gambaran jelas siapa yang dimaksudkan. Siapa sahaja yang sifatnya manusia dirujuk dengan tepat. Syabbab umpamanya khusus untuk orang muda lelaki. Syabbah pula khusus untuk orang muda perempuan. Langsung tidak mungkin tercipta kekeliruan antara gender. Itu belum istilah-istilah khusus. Al-jazzar adalah penjual daging termasuk ayam dan ikan. Al-baqqal adalah peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan. Dalam istilah kita perkataan peniaga atau penjual dibawa ke mana-mana. Penjual kain, penjual buah, penjual sayur, penjual kuih dan sebagainya. Dalam Bahasa Arab yang berkaitan dengan budaya bangsa itu sendiri tercpta istilah-istilah khas untuk Bahasa Arab. Tidak ada dalam bahasa lain. Kelainannya terlalu banyak. Sebab itu mempelajari Bahasa Arab memberikan kelainannya yang tersendiri. Tidak banyak kit aberpusing-pusing untuk menerangkan sesuatu. Tanda baris fathah atau kasrah atau dhommah sudah cukup memberikan ertinya yang tersendiri.
 Kerana adanya perbezaan gender maka sukar untuk kita berkata-kata yang tidak menentu. Apabila kata-kata itu diistilahkan sebagai mengumpat maka dengan serta merta orang yang diumpat akan mengerti. Perkataan dan istilah yang digunakan sudah memberi petunjuk siapa yang dimaksudkan. Memahami semua ini tentu membangtu kit amenjadi pengamal agama Islam yang baik. Yang tulen. Terhindar dari mengumpat. Terelak dari menyindir. Tertahan dari memaki hamun tidak tentu fasal. Orang yang dimaksudkan sudah mengerti dengan sangat jelasnya. Maknanya Bahasa Arab memperisaikan penganut Islam dari melakukan yang terlarang. Membicarakan yang bukan hak. Malah tidak dibenarkan memikirkan yang bukan-bukan.  Yang tiada kaitannya dengan berbuat baik dan menolak kemungkaran. Sistem berbahasa itu mengawal keindahan agama Islam itu sendiri. Hidup agama, hiduplah bahasa. Bahawa bahasa yang mutlak sifatnya ialah al-Quran. Kalam Allah yang menjadi mukjizat. Membezakan antara kalam manusia yang lemah dan banyak cacat celanya.
Dalam budaya kita banyak yang bersalahan dengan budaya Arab atau budaya agama Islam. Islam melarang pergaulan bebas antara mereka yang bukan mahram. Begitu juga yang berlaina gender. Malangnya penjajahan fizikal British dan penjajahan minda menjadikan kita keliru dengan hak-hak yang Allah tentukan. Yang kita ikut ialah trend dan falsafah Barat. Kita tinggalkan budaya Islam dan falsafah pendidikan Islam. Maka kita merasa terbiasa dengan pergaulan bebas dan terbuka antara lelaki dan perempuan. Anak-anak muda akan merasa hairan jika kita memisahkan mereka dalam dua ruang yang berasingan. Walaupun pada hakikatnya kita masih mengekalkan hukum hakam antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dalam konteks yang lebih luas kita terkeluar dari garis panduan Islam. Kita ada sekolah lelaki sahaja. Ada pula sekolah untuk perempuan sahaja. Sekolah-sekolah itu pada asalnya sekolah mubaligh Kristian.  Kajian di negara Israel menunjukkan sekolah-sekolah satu gender lebih berjaya dari sekolah bercampur gender.
Dalam mempelajari Bahasa Arab kami selalu terperangkap dengan hukum hakam ini. Dalam Bahasa Malaysia ayat berikut tiada apa-apa salahnya:
Hanafi dan rakan-rakan sekelasnya dari SMK Seri Angkasa menghadiri majlis meraikan kejayaan Hashim.
Siapa rakan-rakan Hanafi. Lelaki atau perempuan. Jika kesemuanya lelaki tidak pula disebut begitu. Jika termasuk rakan perempuan juga tidak disebut dengan jelas. Dalam Bahasa Arab ayat yang samar maksudny atidak mungkin diterima sebagai ayat yang betul. Benar sintaksnya betul. Susunan strukturnya betul. Tetapi wujud keraguan antara lelaki dan perempuan. Jika kesemuanya lelaki majlis itu harus. Jika kesemuanya perempuan majlis itu juga harus. Apabila hadir lelaki dan perempuan yang bukan mahram maka majlis itu haram. Bukan itu sahaja, ayat yang dibina juga dikira salah kerana menyalahi hukum.
Nah, boleh pembaca fahami bahawa Bahasa Arab adalah bahasa agama. Bukan sekadar bahasa tanpa makna atau tanpa kaitannya dengan agama. Maksudnya untuk bercakap kena sedar hukumnya yang berkaitan. Untuk berfikir sekalipun kena ingat hukum yang mungkin berkaitan. Apatah lagi dalam tindakan. Gender menentukan hukum yang mungkin berkaitan. Pendek kata dalam Bahasa Arab terbina hukum hakam agama Islam. Maka menjadi unik untuk mempelajarinya. Untuk mengetahuinya. Bagi mereka yang menguasainya tentu banyak hal-hal agama yang berpaut pada kalimah dan struktur Bahasa Arab. Bahasa Arab dan agama Islam terpisah tiada. Cubalah untuk mempelajarinya untuk lebih memahami agama anutan kita sendiri. Agama lurus yang menunjukkan lurus ke arah yang lebih lurus. Siapa lagi jika bukan kita penganutnya yang menguasai Bahasa Arab. Jika tidak mahir sekalipun sekurang-kurangnya memahami semampu mungkin.

Wednesday, May 29, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Jarasy, Roman dan Iktibar Tamadun



Kawasan pergunungan  yang dipilih oleh orang Rom sebagai pusat peerintahannya di luar Italy.

Tempat ini yang bernama Jarasy sangat strategik dari segi laluan perdagangan.

Sangat sesuai untuk pembangunan sosio-politik-ekonomi.

Kawasan yang terrainnya tidak menentu ini dibangunkan sebagai negara kota yang selalu kita baca dalam buku sejarah.

Kami datang dengan sebuah bas besar Universiti Zarqa bersama-sama dengan pelajar-pelajar yang mengikuti kursus pelancongan.

Dari jarak kira-kira 400 meter, pintu gerbang Roman itu nampak tersergam besar.

Isteri saya bersama Suzane. Gadis keturunan Arab Jordan tetapi keluarganya menetap di Denmark.

Pensyarah bahasa Arab yang sudah berusia 69 tahun. Masih kuat dan gagah. Ustaz Dr. Mohamad Said

Seorang lagi pensyarah bahasa Arab. Ustazah Ala. Masih kosong.

Radio lama. Antik dan vintage. Kalau di Malaysia boleh dibeli. Radio menggunakan bateri. Menggunakan bateri seperti bateri kenderaan yang perlu dicas berjam-jam lamanya bila habis kuasanya.

Pintu gerbang bahagian selatan ini telah runtuh pada kurun ke-8 kerana gempa bumi yang sangat kuat. Ianya dibina semula dan sekarang diberi bantuan kewangan oleh UNESCO.

Lambang besarnya kuasa Rom di bumi Syam. Ribuan tahun masih boleh dilihat tinggalan sejarahnya. Iktibar kepada manusia bahawa yang kekal hanyalah Allah.

Bagi kami pakej belajar termasuk melancong ke tempat-tempat bersejarah yang banyak berselerak di seluruh negara Jordan. Sebulan sekali diadakan aktiviti melancong. Selainnya boleh diurus sendiri.

Kami berdua berasal dari sebuah kampung yang pada suatu ketika dahulu sangat terpencil antara Parit Sulong dan Simpang Lima, Batu Pahat. Kami tidak pernah bermimpi berada di sini. Tidak pernah berfikir dan tidak pernah berbincang untuk melancong sejauh ini. Masa dan agenda hidup menyampaikan kami di sini. Izin Allah untuk kami dapat melihat kebesaranNya. Begitulah kata orang tua-tua, banyak berjalan banyaklah pemandangan yang dapat dilihat. Dilihat dengan pandangan yang penuh dengan iman. Menginsafi kekerdilan diri.

Ruang bini dahulunya gereja Roman. Perhatikan lantainya. Corak dan susunannya kekal dari dahulu. Bukan orang sekarang yang membuatnya. Kita banyak meniru teknologi yang sudah ribuan tahun lamanya.

Ruang berhampiran pintu gerbang selatan ini dahulunya sebuah gelanggang yang menentukan hidup mati seorang gladiator.

Ruangnya luas memanjang. Di kanan dan kirinya terdapat teres tempat duduk penonton. Dari gelanggang inilah lahirnya padang bola sepak seperti sekarang. Sekarang orang hanya menentukan kalah menang. Menentukan maruah pasukan dan menentukan maruah negara. Pada zaman Rom maruah hanya ditebus dengan kemenangan atau menggadaikan nyawa. Mereka yang dilagakan adalah tawanan perang, pesalah-pesalah dan orang-orang yang rendah kedudukannya. Pada ketika-ketika yang lain mereka dilagakan dengan singa-sinnga yang sedia membaham mangsanya. Taraf manusia dibezakan antara yang memerintah atau yang diperintah.

Pada zaman kegemilangannya tempat ini tentulah ramai, meriah dan mewah. Kota yang penuh dengan kegemilangannya. Melihat tinggalannya sahaja sudah cukup menakjubkan.

Tiang-tiang Roman ini mendominasi rumah-rumah orang Melayu di Malaysia. Dari bandar hingga ke kampung-kampung. Di Jarasya ini saya menemui tiang Roman yang asli. Tiang-tiang yang mencipta tamadun. Tiang-tiang yang penuh dengan kegemilangannya yang tersendiri. Tiang-tiang seperti ini hanya wujud di Italy dan di bumi Syam.

Apabila kita melancong kita mencipta sejarah kita sendiri. Buat apa? Jawabnya entahlah. Mungkin kenangan yang memanjang. Mungkin iktibar dari kebesaran Allah jika kita ingin berfikir. Yang pentingnya kita berada di situ, di tempat itu. menjejak zaman lampau yang sudah berlalu.

Saya berada di tengah mudarraj. Tempat-tempat duduk di teres nampak jauh dan tinggi. Di mudarraj inilah orang-orang Rom mempersembahkankan kesenian mereka. Teater atau nyanyian atau tarian.

Di sebelah kiri adalah pentas VIP. Melihat kepada ruangnya kelompok ini tentu ramai. Berlegar di atas pentas itu pelayang-pelayang yang menghidangkan arak, anggur dan makanan lain.


Berlatarbelakangkan senibina Rom gambar ini merakamkan juga dua orang peniup nafiri. Bunyinya gempita. Meriah. Kembali ke zamannya yang tersendiri.

Di tengah Mudarraj. Amphitheatre besar yang berteknologi tinggi. Tidak ada mikrofon atau pembesar suara. Mudarraj sebesar hampir sebuah padang bolasepak ini mampu dinikmati oleh setiap yang hadir. Walaupun mereka duduk di tempat yang paling tinggi dan paling jauh, mereka masih boleh mendengar dengan jelas apa-apa yang diungkapkan dari tengah mudarraj ini. Tidak perlu menjerit atau bercakap dengan nada kuat. Percakapan biasa sudah memadai. Tingginya tamadun mencipt ateknologi alami.


Tinggalan sejarah silam terlalu banyak di Jordan. Antaranya yang terbesar ialah di Jarasy. Yang ada di sini ialah tinggalan tamadun Rom yang terbesar di luar Italy. Sesungguhnya bumi Syam sangat mengujakan dari segi sejarah. Bukan sahaja para anbia ramai hidup di sini bahkan tamadunnya sangat gemilang pada suatu masa dahulu. Sayangnya kegemilangan itu tidak berkekalan. Yang tinggal hanya bekas-bekasnya. Gempabumi kuat pada kurun ke-8 meranapkan kota-kota Roman, Yunani dan yang lain-lain. Tinggalan sejarah itu mengingatkan kita bahawa janji Allah adalah benar. Apabila sesuatu bangsa itu gagal mempertahankan akidahnya maka Allah gantikan dengan bangsa lain yang lebih baik. Begitulah kitaran fitrah manusia. Mereka yang beriman dekat dengan Allah. Mereka yang tidak tentulah ada balasan dahsyat menanti mereka. Di dunia lagi balasan itu sudah ditimpakan. Mereka tidak aman. Mereka gelisah. Mereka takut, bimbang, ragu, sangsi dan berbagai lagi perasaan. Ibarat makan tidak kenyang dan tidur tidak lena. Siang bermimpi dalam jaga. Malam takut bermimpi bila tidur. Akibatnya mereka merana perasaan kerana igauan sentiasa datang. Mereka yang tenang pula selamba makan dan mengantuk. Makan sedikit cukup kenyangnya. Tidur malam lenanya tersangat lama.
Sebelum Islam bertapak di bumi Syam berbagai tamadun telah berada di situ. Jika disebut namanya rasanya ramai antara kita yang tidak pernah mendengarnya. Pernah belajar tetap tidak ingat. Mendengar tetapi tidak memberika apa-apa erti. Malaysia jauh dari pusat sejarah dunia. Kita hanya mempelajarinya kerana hendak lulus periksa. Sejarah itu menjadi suatu dongeng kerana kita tidak berada bersama sejarah itu sendiri. Apabila saya berada di bumi anbia ini saya menjadi sangat teruja. Barulah saya akur dengan nama-nama bangsa terdahulu seperti Yunan (Greece), Rom (Italy), Anbat (Jordan), Babylon (Iraq), Hellenic (Greece), Firaun (Mesir). Itu belum Arab dan Yahudi. Saya telah ke Laut Mati, Petra, Jarasy, Arjeloun, Umu Qais dan Karak. Di bandaraya Amman ini sendiri banyak tinggalan sejarah. Anaranya Masjid Husain yang dibina pada zaman Sayyidina Umar. Bukit Husain. Dan Kota Rom di pusat bandar. Di luar kota terlalu banyak yang dinamakan sejarah seperti permakaman syuhada, makam nabi-nabi dan banyak lagi. Kali ini saya ingin memperkatakan tentang Kota Rom di Jarasy. Dikatakan kota Rom yang terbesar selepas kota-kota Roman di bandaraya Rome sendiri.
Kemanusiaan panjang sejarahnya. Sejak zaman Nabi Adam AS entah sudah berapa lama manusia memakmurkan bumi. Al-Quran mengandungi catatan sejarah yang Allah rakamkan. Tempat yang paling banyak disebut ialah Bumi Syam. Atau Syam sahaja. Tidak ada nabi atau Rasul yang Allah utuskan selain dari jazirah Arab.  Paling ramai di bumi Syam. Dulu Damsyik yang banyak disebut. Amman atau Jordan tidak disebut atau tercatat di mana-mana. Benarlah bahawa Rasul dan Nabi sebelum Rasulullah SAW diutuskan untuk kaumnya sendiri. Bila dikaji semula sejarah ada tinggalannya yang Allah sisakan supaya kita umat yang terkemudian dapat mengesan sejarah itu.  Membuat perbandingan. Mengambil iktibar dan pengajaran. Bangsa yang ingkar Allah gantikan dengan bangsa yang lebih baik. Satu persatu tamadun Rom di Jordan Allah musnahkan.     
Tinggalan sejarah yang bertaburan di seluruh Jordan adalah iktibar sejarah kemanusiaan. Kajian Arkeologi menunjukkan tamadun kemanusiaan di bumi Jordan sudah wujud sejak 18,000  tahun dahulu. Itu yang dapat dikaji secara saintifik. Jika dikaji tentang manusia itu sendiri, sudah tentu tiada angka sejarah yang dapat dirakamkan. Al-Quran merakamkan sejarah dalam konteks iktibar, bukan masa. Masa diandaikan berterusan, berulang dan timpa-menimpa. Kegemilangan zaman hanya suatu rakaman. Kita beruntung kerana Allah perlihatkan akan tanda-tanda kebesarannya. Tinggalan sejarah itu masih ada dengan izin Allah. Kehebatan orang zaman dahulu membina tamadun kekal hingga sekarang. Bukan setahun dua. Tetapi ribuan tahun. Ianya Allah kekalkan supaya ianya dapat dilihat untuk diambil iktibar. Bahawa yang kekal abadi hanya Allah. Yang lain-lain tanpa kecuali pasti musnah. Tiada siapapun makhluk yang dapat mempertahankannya. Di sisi Allah kesemua makhluk difitrahkan untuk mati. Untuk binasa. Menanti untuk dibangkitkan semula pada hari qiamat. Hari kebangkitan.
Malangnaya sebuah bangsa. Orang Jordan memiliki sejarah yang panjang. Sejarah yang agung. Berbagai kerajaan purba wujud di sini. Sebut apa sahaja. Ada sejarahnya di sini. Rom. Yunan. Hellenic. Mesir Purba. Anbat. Byzantine. Dan mungkin banyak lagi.  Bumi Syam ini bumi Rasul dan anbia. Di sini juga terakam sejarah kemanusiaan. Islam juga menguasai jazirah ini sejak dari zaman para sahabat. Begitu juga apabila Sallehuddin al-Ayyubi mengembalikan kegemilangan Islam setelah mengalahkan tentera salib pada kurun ke-13. Tanda-tanda kegemilangan Islam juga banyak. Kota binaan Sallehuddin di Ajloun, Karak dan di Mesir adalah manifestasi bahawa Islam telah menggantikan kehebatan Rom, Yunan, Anbat dan mungkin tentera Hulagu Khan, Jenghis Khan dan kaum Tartar yang meranapkan Bahgdad. Sayangnya sejarah Islam terhenti. Barat dan Yahudi merencanakan supaya sejarah Islam tiada geraknya. Tiada anjakan paradigma. Mereka menunjangi kehebatan sains dan teknologi yang telah dipelopori oleh ilmuan Islam. Hingga sekarang Jordan tidak dapat mendepankan kehebatan seperti zaman kegemilangan Islam di bumi Syam seperti dalam zaman Ma’awiyyah. Tidak juga seperti kegemilangan kerajaan Abasiyyah. Kadang-kadang apabila memandang tinggalan sejarah yang ada, hanya kesayuan yang tinggal. Sinarnya sudah tiada. Kecuali orang Islam kembali kepada tugasnya yang asasi iaiatu memakmurkan dunia. Menjadi khalifah seperti yang ditentukan Allah sewaktu Adam dicipta.




Thursday, May 23, 2013

Salam dari Amman Jordan: Menangani Pelajar Tidak Berminat Belajar


Seorang pendidik wanita ingin tahu cara terbaik memotivasi pelajar-pelajar yang tidak berminat untuk memandaikan diri. Paling meyulitkan ialah pelajar lelaki. Sayang, saya terdelet luahan perasaan yang ditanggungnya.
Senerio: Sebuah institusi teknikal dan vokasional
Kursus: Teknikal dan vokasional
Situasi: Pelajar tidak berminat untuk menjadi lebih baik
Fokus: Pelajar lelaki
Pendidik wanita: Sangat berminat untuk berbakti kepada pelajarnya
Latarbelakang pelajar: Akademiknya ala kadar

Pengalaman menjadi pendidik mengajar saya beberapa perkara. Yang paling ketara ialah permasalahan pelajar datangnya dari rumah. Dari kedua ibu dan bapa. Beberapa situasi ini mungkin berlaku.
1        Ibu dan bapa tidak kisah tentang prestasi dan masa hadapan anaknya. Kepada mereka kilang banyak dan kerja banyak. Boleh hidup, boleh makan dan boleh seperti orang lain yang sekufu dengan mereka. Kaya, senang dan mewah tiada dalam kamus mereka.
2        Anak orang kaya yang terasa kemewahan yang mereka ada menjamin hidup mereka pada masa hadapan. Situasi ini berlaku apabila kemewahan melebihi keperluan untuk menjaga kemewahan itu.
3        Anak-anak yang tersalah arus laluan perjalanan hidup. Mereka berminat dengan kemewahan sementara, kegilaan sementara, keseronokan sementara. Kerana itu belajar dan menjadi pandai tidak terakam kuat dalam minda dan psikologi mereka.
Seorang guru yang berhadapan dengan situasai seperti itu selalu menemuai jalan buntu. Dalam zaman sekarang ini generation gap terlalu menghantui generasai terdahulu kerana teknologi melampaui kefahaman biasa. Percakapan dengan istilah yang asing. Cara dan sistem bekerja juga asing. Malah kehidupan yang tidak lagi mencerminkan tradisi dan keutuhan warisan bangsa. Kesemuanya menuntut suatu keterbukaan ibu bapa dan pendidik untuk melurut yang bengkok. Melembut yang keras. Menegakkan yang condong. Membangunkan yang rebah. Memotivasikan yang terhakis semangat juangnya. Kadang-kadang kita lihat bahawa kemajuan dan pembangunan fizikal  meninggalkan bekas-bekas yang terlalu superficial. Hanya di luar dan di kulitnya sahaja. Yang maju ialah fizikal yang nyata sahaja. Rohani dan psikologi kekal terbiar tanpa perkembangan dan pembangunannya. Apatah lagi jika anak-anak tidak dekat dengan Allah yang menciptanya. Malang jika solatnya tidak dijaga. Begitu juga puasanya. Zakat dan haji jauh lagi barangkali. Syahadat juga perlu diulang-ulang dan difahami maknanya. Tuntutannya. Dalam banyak perkara agama memberikan panduan untuk hidup yang lebih bermakna dan lebih lurus jalan fikir dan hidupnya.
Maka anak-anak yang kehausan dari segi rohani dan psikologi perlukan suatu usaha yang lebih gigih dan terancang untuk membantu mereka. Motivasi perlu dari dalam. Dari minda. Dari hati. Dari perasaan. Dari minat. Dari keinginan. Darinya dibentuk azam. Cita-cita. Matlamat yang realistk untuk dicapai dari satu fasa ke fasa yang lebih tinggi. Saya ingin cadangkan proses berikut:
1        Saya percaya setiap pelajar ada yang dianggap ketua kepada mereka yang lain. Seseorang yang lebih dituruti tingkah lakunya. Diikut cakapnya. Diekori pergerakannya. Cuba perhati betul-betul. Pasti individu itu wujud.
2        Setelah dikenalpasti pelajarnya, cuba selidiki latarbelakang seluruh kehidupannya: Ibu dan bapanya, adik beradiknya, tempat tinggalnya, pekerjaan ahli keluarganya, rakan-rakannya, kesukaan dan kebenciannya, hobinya, kekuatan dan kelemahannya, dan banyak lagi yang mungkin ada.
3        Setelah bersedia dengan kesemua senjata itu cuba pilih yang paling mudah. Contohnya ajak dia minum di kantin. Atau bawa makanan dan minuman ke bengkel. Atau minta dia bantu buat sesuatu seperti mengambil, membawa, menghantar, mengemas, menyusun, membersihkan sesuatu, memasukkan, menyimpan dan sebagainya.
4        Banyakkan senyum kepadanya. Murah dengan pujian supaya dia terasa dihargai. Banyak juga bertanya khabar. Tanya apa yang dia tidak tahu. Perlahan-lahan masukkan jarum motivasi dari yang kecil hingga yang besar.
5        Motivasi awal mungkin dengan memuji hasil kerjanya. Katakan hasil kerjanya lebih baik dari dahulu. Ada harapan untuk menjadi lebih baik. Untuk berjaya. Jangan terlalu banyak. Nanti dia mabuk dengan pujian. Prestasinya akan statik atau mengundur semula.
6        Catatkan setiap tindakan dari segi tarikh, tempat, tindakan, reaksi, tempat dan sebagainya. Untuk rujukan dan semakan bagi menyusun tindakan yang berikutnya. Suatu rekod sejarah yang boleh dikongsi dengan orang lain. Untuk mengatasi masalah pelajar yang lain pada waktu yang lain. Buku log penting dalam hal ini.
7        Boleh juga dipegang bahu pelajar itu sebab dia memakai baju atau overall. Maknanya bukan memegang tanpa lapik. Sentuhan yang lembut tetapi ada ketegasan boleh merubah reaksi dari liar kepada jinak.
8        Apabila ketua kepada pelajar-pelajar tersebut sudah mula dijinakkan, usahakan pula kepada yang dianggap timbalan ketua dan yang pada kedudukan tempat ketiga. Rasanya selepas tiga orang yang lain-lain akan tunduk menurut kata.

Ini hanya saranan yang berkemungkinan sahaja. Kejayaannya bersandar kepada izin Allah jua. Untuk itu pendidik juga harus melalui proses-prosesnya yang tersendiri. Saya ingin beralih kepada personaliti yang terlibat secara langsung kepada pelajar. Yang bersama pelajar pada kebanyakan masa. Personaliti itu ialah pendidik atau guru atau cikgu. Harus terbangun keserasian antara guru dan pelajar. Guru menjadi penggerak dan penjana kepada suatu fenomena kejayaan pelajar. Kerana itu:
1        Pendidik hendaklah menggunakan suaranya dengan betul.
2        Menggunakan bahasa tubuhnya dengan betul.
3        Mempelbagaikan mimik mukanya dengan secara yang pragmatik.
4        Menggunakan ungkapan , frasa dan kata-kata yang berpadanan dengan minat dan keupayaan pelajar.
5        Pamerkan keikhlasan setiap masa. Pada setiap tindakan dan layanan terhadap pelajar.
Suara adalah aset dan senjata dalam pengajaran dan pembelajaran. Besarkan suara. Jarakkan antara perkataan. Sebutan yang bertenaga. Jangan banyak bercakap kerana pelajar bosan. Pelajar yang tidak bermotivasi tidak suka mendengar apa-apa. Cukup setakat memberi arahan yang perlu. Tunjukkan cara yang betul semasa meronda mengawasi kerja mereka. Tunjukkan cara membuat latihan berperingkat-peringkat. Pecahkan sesuatu kemahiran kepada beberapa bahagian. Buat satu persatu. Pelajar akan merasakan bahawa tugas mereka sebenarnya senang. Minta maaf. Pendidik jangan banyak senyum dan ketawa. Mahalkan sedikit. Bercakap secara bersahaja. Seperti tiada reaksi. Jika perlu senyum cuba di tepi bibir mulut sahaja. Jangan dipanjang-panjangkan. Pandang pelajar dengan pandangan kosong tanpa apa-apa makna atau maksud. Sahaja pandang terus menembusi hati dan peraasaan mereka. InsyaAllah pelajar akan terasa sesuatu kelainannya.  Untuk lebih berjaya untuk menjinakkan pelajar pendidik pula hendaklah menjinakkan diri kepada Allah.  Sempurnakan semua perintah Allah dan tinggalkan laranganNya.  
1        Banyakkan solat sunat seperti tahajud, hajat, taubat dan sebagainya.
2        Banyakkan berdoa untuk memudahkan tugas mendidik, memudahkan pelajar menerima diri pendidik, didikannya dan manfaat umumnya.
3        Solat hajat pada masa-masa yang terluang seperti antara kelas mohon supaya dipermudahkan tugas mendidik.
4        Selalu mengadu kepada Allah. Mohon petunjukNya. Mohon bantuannya.
5        Bertanya kepada pendidik lain yang lebih arif, berminat dan banyak usaha.
6        Rujuk bahan-bahan ilmiah seperti jurnal, buku atau kertaskerja dari dalam atau luar negara.
Tidak ada jaminan bahawa sesuatu usaha itu akan berjaya dengan segera. Mungkin tidak berjaya langsung. Dalam keadaan seperti itu yakinlah bahawa usaha harus diteruskan. Mesti digandakan. Buang rasa bosan. Semakin galak mencari jalan. Menggembling idea. Apa yang boleh saya kongsikan ialah setiap pelajar secara psikologinya adalah berbeza. Mereka perlukan layanan berbeza. Tindakan yang berbeza. usaha yang berbeza. Maka pendidik yang perihatin tidak boleh hanya dengan satu jalan yang diborong  begitu sahaja. Strategi perlu disusun supaya setiap pelajar ada terapi yang berbeza. saya yakin jika usaha seperti itu dapat dilaksanakan maka natijah jangka pendek dan jangka panjangnya akan memeranjatkan diri pendidik itu sendiri. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah. Ambillah yang baik itu. Mudah-mudahan ada ganjarannya apabila anak-anak yang miskin harapan itu akhirnya menjadi kaya dengan kejayaan mereka pada masa hadapan. Jika tidak dengan kejayaan akademik sekalipun mereka akan berjaya dalam usaha lain apabila dalaman mereka sudah terbangun. Jiwa mereka sudah besar. semangat mereka sudah tinggi. Bantu mereka untuk terbang tinggi dengan azam dan cita-cita yang besar. InsyaAllah.

Tuesday, May 21, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Kaya Yang Mengkayakan


Siapa yang tidak hendak kaya. Hidup senang. Dalam kemewahan. Semua yang diperlukan dapat dimiliki. Tetapi tidak semua orang berada dalam situasi itu. Mereka yang mencapainya melalui banyak fasa kehidupan yang memeritkan. Hidup dalam kesengsaraan terlebih dahulu. Usaha pula tidak pernah putus asa. Sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki hidup. Sampai ketikanya Allah memakbulkan doa. Memberikan keberkatan rezeki. Allah amanahkan kepadanya rezzeki yang melimpah ruah. Ada dua ujian. Yang kaya itu bersyukur atau tidak? Yang kaya itu terus berusaha atau tidak? Dalam pada itu ke manakah pula rezekinya dibelanjakan? Dalam konteks inilah saya menjadi terkedu. Banyak berjalan melihat negara orang juga memang banyak memberikan input untuk berfikir. Untuk menerung diri. Muasabah diri. Saya panjangkan untuk renungan umat. Untuk bangsa saya. Untuk agama saya. Barangkali ramai orang kita di luar sana yang boleh menggembling tenaga ke arah itu. Ada saranan besar yang ingin saya gagaskan supaya banyak manfaatnya untuk generasi Islam pada masa akan datang. Generasi muda yang selalu diharapkan masa hadapannya.
Sekarang ini peluang meningkatkan diri dalam akademik dan kemahiran semakin terbuka luas. Walau bagaimanapun kadang-kadang sekatan dan cabaran kos mengakibatkan ramai yang berfikir dua laki atau bebarapa kali. Benar, ada bantuan kewangan dari pemerintah atau badan-badan yang diberi tanggungjawab. Masalahnya bantuan-bantuan itu bukan percuma. Hutang yang mengikat dan mungkin menyekat. Berhutang semasa belajar. Bayar apabila tamat belajar. Atau apabila sudah bekerja. Maka bertahun-tahun terasa beban hutang itu di atas bahu dan perasaan. Kejengkelan yang kekal lama. Keluarga bukan dalam golongan yang berkemampuan tinggi. Maka hendak tidak hendak hutang itu juga yang dikejar untuk ditanggung. Bagaimana, ya bagaimana jika kita berganjak sedikit untuk mengubah keadaan. Maksud saya kita sediakan sumber lain selain dari hutang. Dalam keadaan sekarang sebenarnya ramai ibu bapa yang mampu untk menyediakan makan dan minum. Yang sukarnya ialah membayar yuran pengajian, sewa rumah, tambang pengangkutan, penyediaan buku teks dan peralatan untuk belajar. Bagaimana jika ada sumber kewangan yang boleh membantu ke arah itu.
Di Jordan ini saya melihat suatu fenomena yang tidak ada di negara kita. Orang kaya yang mengkayakan diri mereka untuk membantu anak-anak muda yang ingin untuk meningkatkan diri dalam pelajaran. Dalam contoh pertama saya sajikan contoh orang kaya dari negara Cina. Cina Islam. Islam tulen. Bukan baru masuk Islam. Sejarah mencatatkan bahawa Islam telah sampai di negara Cina dalam zaman Sayyidina Uthman. Khalifah Islam yang ketiga. Maknanya orang Cina terlebih dahulu menerima Islam berbanding kita. Orang kaya yang saya maksudkan membiayai tiga orang pemuda Cina mendalami bahas Arab dan dijangkakan mengiuti kuliah Syariah sebelum mereka pulang untuk menjadi pendakwah di negara mereka. Ketiga-tiga pemuda ini dibiayai sepenuhnya. Termasuk makan dan minum. Malah setiap hujung minggu mereka dibawa keluar untuk dijamu dengan makanan yang lebih enak dari hari-hari biasa. Di restoran Cina yang ada di Amman umpamanya. Kepada pelajar-pelajar tersebut tiada langsung masalah kewangan. Semuanya ditanggung beres.
Dalam kes kedua pula ianya melibatkan orang Turki. Negara Turki hanya diselangi dengan negara Syria. Maknanya Turki adalah jiran dekat kepada negara Jordan. Pelajar Turki sangat ramai di Jordan. Mereka mengikuti berbagai bidang pengajian. Mungkin bahasa Arab, bahasa Inggeris, Syariah dan berbagai lagi. Ada jamaah (NGO) dari Turki yang menyediakan kemudahan kepada ramai pelajar Turki. Sebagai contoh, NGO yang terbabit membeli rumah-rumah tertentu di bandar-bandar besar di seluruh Jordan. Mungkin perkara yang sama di negara Islam atau negara lain yang menjadi tumpuan pelajar Turki. Pelajar-pelajar Turki berpeluang untuk tinggal di rumah-rumah tersebut mengikut keperluan mereka. Tempoh atau bilangan yang duduk bukan masalah. Kesemua mereka tinggal di rumah-rumah tersebut secara percuma. Sedikitpun mereka tidak perlu keluar wang untuk membayar sewa atau membayar elektrik atau air. Kesemuanya percuma. Tugas mereka belajar. Memandaikan diri. Kembali ke Turki menyumbang kepada masyarakat dan agama. Konsep bantuan yang berpanjangan. Konsep amal yang berpanjangan. Konsep tanggungjawab yan berpanjangan.
Bagaimana dengan orang Malaysia yang kaya dan mampu memnyumbang. Rasanya agak ramai yang boleh menggerakkan NGO seperti ini. Kita mulakan sesuatu yang rasional, bermanfaat dan berjangkapanjang. Ada NGO yang menggerakkan dana yang mungkin asalnya sedikit tetapi lama-lama jadi bukit. Ada beberapa kategori NGO yang ingin saya cadangkan.
1        Menyediakan rumah atau tempat tinggal yang bersesuaian
2        Menyediakan kemudahan pengangkutan pergi dan balik dari tempat pengajian sahaja
3        Menyediakan keperluan pembelajaran seperti buku teks dan rujukan tertentu
4        Menyediakan keperluan makan dan minum bagi yang benar-benar memerlukan
5        Menyediakan peruntukan yuran pengajian dari awal hinga tamat

Rasanya inilah pokok kesulitan bagi sesiapa yang ingin belajar. Yang ingin pandai. Yang ingin nanti dewasanya menyumbang. Masih ramai orang kita yang kadar kemampuannya di tahap yang rendah. NGO-NGO yang boleh memainkan peranan ke arah itu tentulah sangat dialu-alukan. Barangkali ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.
1        Pelajar yang terlibat terbuktikan memang sesunggunya hendak belajar, hendak memandaikan diri, ada cita-cita besar untuk masa hadapan dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan agamanya
2        Mereka datang dari keluarga yang terbukti keupayaannya terhad
3        Anak-anak muda ini diterapkan dengan tanggungjawab agama dan sosial supaya menjadi warganegara yang benar-benar bermanfaat

IPT kita terletak di kebanyakan bandar besar, ibu negeri dan ibu negara. Kita boleh mulakan dengan beberapa buah rumah dahulu. Sediakan kelengkapan yang asas sahaja. Dijaga dengan rapi. Diselenggara dengan baik. Ditambah bilangannya dari masa ke semasa. insyaAllah ianya akan memberkati rezeki kita bersama. Saham yang berjangkapanjang hingga ke akhirat. Sumbangan kita sebenarnya sangat kecil berbanding rezeki yang Allah anugerahkan kepada kita. Sekurang-kurangnya kita menginfaqkan harta kita ke arah yang sahih memenuhi syariat. Tidaklah kita ragu-ragu ke mana harta kita kita belanjakan. Kita belum banyak usaha ke arah yang sebegini. Mereka yang kaya banyak sumbangannya. Mereka yang kurang mampu sumbanglah seberapa yang ada. Yang penting kit agerakkan dana yang ada supaya kita merencana masa hadapan agama kita, bangsa kita dan generasi kita.
Selama ini kita serahkan kesemuanya kepada kerajaan. Sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri. Di Malaysia rasanya kesemua itu tidak banyak masalahnya. Cuma kita fikirkan kembali. Kita tidak mahu sesiapapun berhutang semasa belajar. Tidak mahu mereka berhutang selepas belajar. Tidak mahu mereka berhutang sesudah bekerja. Hutang adalah sesuatu yang tidak elok. Kita pula yang dewasa mengajar anak-anak berhutang. Menanggungnya bertahun-tahun. Mengganggu psikologi. Andainya ada dana yang dapat meringankan beban untuk belajar ini tentu banyak manfaatny apada masa hadapan. Kita didik anak-anak kita supaya mengembalikan diri meraka kepada masyarakat. Berbakti kepada masyarakat. Mereka datang dari maasyarakat. Dibiayai oleh masyarakat dan mereka dikembalikan kepada masyarakat. Ada keterikatan yang kuat antara mereka dan masyarakat mereka. Sayang mereka kepada masyrakat tentulah tinggi. Cinta mereka untuk menyumbang kepada masyarakat tentulah besar. Semangat mereka untuk menjadi berguna tentu berkobar-kobar.
Cubalah demi masa hadapan kita bersama. Anak-anak kita. Generasi kita. Warisan kita. InsyaAllah setiap penyumbang akan menjadi lebih kaya. Kaya rahmat. Kaya dengan redha Allah. Kaya pahala. Kaya dengan ketenangan hati. Perasaan lebih santai. Begitu juga di akhirat. Sahamnya melimpah ruah. Yang cantiknya generasi yang dibina akan menyambung usaha itu hingga tidak akan terputus baktinya. Alhamdulillah Allah akan memberkati kita semua.

Thursday, May 16, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Darah Warisan Yang Mengalir


Menjadi guru bukanlah profesion yang senang. Memandaikan anak-anak sendiri sangatlah banyak cabarannya. Inikan pula memandaikan anak-anak warganegara yang lain. Namun darah guru yang mengalir tidak tumpah ke tempat lain. Mengalir deras dalam tubuh anak-anak saya. Dari sembilan orang anak, tiga darinya sudah menjadi guru dalam kategori masing-masing. Yang sulung di sekolah menengah. Yang kedua di IPTS. Yang ketiga d politeknik. Yang lain memilih berbagai bidang profesional. Dua lagi yang belum berkerjaya. Pilihan mereka belum ada riaknya lagi. Dalam mendidik anak rasanya bahasa memainkan peranan penting. Menguasai bahasa menjadi medium hidup yang pastinya berjangka panjang. Memanglah bahasa lazimnya untuk berlisan. Berbicara dengan ungkapan dan perkataan. Bunyi-bunyi yang difahami oleh orang-orang yang di persekitaran. Walaupun begitu bahasa itu perlu disaring untuk mendapatkan inti patinya. Untuk digunakan sarinya. Bahasa yang keluar mengalir antara dua bibir tidak semudah meludah atau meneguk air. Dikeluarkan dengan berencana. Dibunyikan dengan irama. Didengarkan kepada orang supaya menjadi perantara.
Dalam mengejar kejayaan akdemik bahasa juga yang perlu diberi perhatian. Bahasa bukan selalunya lurus dan tegak. Bahasa sains ada lenggoknya yang tersendiri berbanding dengan matematik. Begitulah juga kesusteraan yang menuntut kemahiran berbahasa yang sangat tinggi. Maka susunan bahasa diperlukan untuk menyampaikan hasrat dan keinginan. Untuk memerintah dan mengarah. Untuk meminta dan memohon. Untuk menyelesaikan sesuatu yang perlu diluruskan. Yang perlu diuraikan. Yang perlukan keputusan yang menyelesaikan kekusutan masa dan diri. Urusan dan pentadbiran. Politk dan agama. Soasial dan budaya. Bahasa yang dikuasai memainkan peranannya yang tersendiri. Memberikan impak membaca dan berfikir. Merenung dan merencana. Mengubah paradigma dan membuang mitos yang mungkin tiada harganya. Kerana itu menguasai bahasa menjadi suatu keperluan kepada mereka yang kerjanya menggunakan bahasa. Siapapun kita tanpa bahasa yang betul dan baik impak tugas kita menjadi cair. Menjadi tiada sambutannya. Maksaud menjadi tidak sampai. Banyak yang tergantung tanpa tindak balas dari mereka yang kita jangka akan menyahut bahasa dan maksudnya itu.
Kebetulan saya pernah menjadi guru bahasa Melayu di sekolah menengah. Di poltenik dan di univrsiti saya menggunakan bahasa akademik. Gabungan pelbagai disiplin ilmu dari bahasa, geografi, pendidikan, ekonomi dan perniagaan serta agama mengizinkan saya menganyam bahasa dengan kepelbagaiannya. Maka anak-anak saya dibesarkan dengan kepelbagaian mereka masing-masing. Saya tatap perbezaan mereka. Saya senaraikan keunikan masing-masing. Bakat-bakat yang terlihat dan terpendam. Bila mereka dewasa maka mereka menyerlahkan kepelbagaian itu. Masing-masing manyerlahkan kelebihan masing-masing. Namun ada yang mengikat mereka. Bahasa. Yang menjadi guru tentulah terikat dengan bahasa. Menggunakan bahasa semaksimum mungkin. Untuk memberi impak kepada pemikiran dan pekerjaan. Yang menjadi jurutera juga perlu menguasai bahasa kerana bidang kerja itu perlukan bahasa teknikal bagi proses dan penambahbaikan sistem. Disampaikan kepada peers dan petugas-petugas di bawah. Laporan perlu dibuat bagi yang akan, yang sedang dan yang telah disempurnakan. Bahasa dan bahasa juga yang diperlukan. Bagi yang menjadi peguam tentu sahaja bahasa memetahkan bicara. Sedikit lencongan menjadi hujjah yang jika tidak dikuasai memudaratkan perbicaraan. Yang kalah menjadi menang. Yang menang menjadi kalah. Maka dalam apa bidang sekalipun bahasa memainkan peranannya yang tersendiri. Bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa menunjukkan budi bicra. Di situlah juga terhimpun akhlak yang mulia. Maka lihatlah bahasa kita, anak-anak kita, keluarga kita kerana bahasa itu lambang kita. Lambang keluarga kita. Lambang bangsa kita. Malah lambang agama kita.
Kemahiran berbahasa menerap kepada anak-anak saya. Ada yang berbakat menulis. Kebetulan isteri saya banyak urus tadbirnya mengurus rumah dan anak-anak. Mereka membesar dengan kepelbagaian pengalaman. Keluarga besar seperti saya (sembilan orang anak) memerlukan seorang isteri yang inovatif dan kreatif. Bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Sekarang barangkali untuk cucu-cucu yang 13 orang. Sedang menunggu beberapa orang lagi yang dijangka beberapa bulan lagi. Anak-anak yang melalui dakapan dan susuannya membesar dengan banyak pengalaman yang dihimpunkan dari hari pertama hingga mereka melangkah keluar dari rumah. Berkerjaya atau mendirikan rumahtangga. Ibu mereka yang pernah melepaskan sentuhan hati dan tangannya. Di rumah anak-anak ada sahaja yang disentuhnya. Susunaturnya, kekemasan, ketidakcukupan peralatan, kebersihannnya dan pelbagai lagi. Kadang-kadang sebelum menziarahi cucu-cucu, kami beri isyarat masa dan harinya. Maka jehuhlah cucu-cucu berkemas untuk dipersembahkan kepada neneknya. Datangnya memeriksa setiap sudut dan ruang. Jika ada yang tidak kena siap dengan syarahan panjang.
Ada masanya kami buat serang hendap. Tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumah anak. Terbeliak mata cucu-cucu. Hendak menelan air liur terasa payah kepada mereka. Apatah lagi apabila rumah mereka bersepah. Tiada kemasnya. Banyak kotornya. Berlongok pakaian. Peralatan makan minum yang tidak terurus. Banyak, banyak kelam kabutnya mereka terkejar tidak tahu yang mana hendak dibuat dahulu. Ada yang ke dapur. Ada yang ke bilik tidur. Ada yang ke ruang belajar. Itu belum lagi yang mencapai penyapu untuk menyapu di luar rumah. Belum lagi yang menyusun kasut. Bila kesemuanya sudah selesai barulah diberi panduan. Mengemas rumah bukan tunggu nenek datang. Rumah mesti tip-top sepanjang masa. Setiap ruang rumah ada fungsinya. Tidak boleh difungsikan dengan fungsi yang bukan hakiki. Bilik tidur bukan tempat makan. Ruang belajar bukan tempat bermain. Apabila semua ruang diberi haknya maka untuk menyusunaturnya kembali menjadi mudah. Mengemas menjadi mudah. Rasa kelam kabut tidak mungkin terjadi kerana yang hendak diurus tidak seberapa.
Photo: Blog mengemas rumah sekarang dah dibukukan! Boleh didapati di pesta buku pwtc, mph, popular dan stormreaders. Harga hanya rm20. Dapatkan naskhah anda segera. :)
Buku ini berharga RM20 senaskhah. Kertas cantik. Boleh didapati di kedai buku Popular dan MPH seluruh negara. Tataplah. InsyaAllah ada sumber ilham darinya.
Apabila anak kedua saya memulakan blog siri mengemas rumah, adik-adik yang lain menyambang sedaya yang ada. Ibu mereka menjadi pengkritik yang palin tegar. Akhirnya blog itu menjadi popular juga. Lahirlah senaskhah buah tangan yang comel diberi nama Mudahnya Mengemas Rumah. Buku terbitan Telaga Biru ini anak-anak saya dedikasikan kepada ibu mereka. Kami takut juga jika banyak yang tidak mencapai kualiti isteri saya. Alhamdulilah buku itu diberi sentuhan yang sangat profesional dari segi penerbitannya. Terkedu juga isteri saya menatapnya. Biasalah dari kacamata sumber inspirsi buku itu ada yang masih perlu ditambahbaik. Mungkin dalam edisi kedua nanti ada sentuhan-sentuhan lain. Mungkin juga ada sirinya yang lain dalam perancangan. Kami sentiasa memberi ruamg untuk anak-anak mencabar diri mereka. Cari yang tersembunyi. Keluarkan dan sebarkan. Hadiahkan kepada dunia. Saya teringat bahawa apabila kita tiada ada beberapa perkara yang kita tinggalkan dan besasr impaknya. Pertama anak-anak yang soleh dan solehah. Kedua ilmu yang bermanfaat. Ketiga sedeqah yang berpanjangan manfaatnya. InsyaAllah buku Mudahnya Mengemas Rumah akan menjadi ilmu yang berpanjangan.

Friday, May 10, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Kita Tidak Punya Hati


Mungkinkah hal ini terjadi. Bagaimana manusia tidak punya hati. Mari kita fikirkan sejenak. Cuba rasa. Dengar barangkali. Guna alat pengesan. Sebentar. Ada. Hati kita berada di tempatnya. Benar. Sahih. Di kiri dada kita. Kekal selalu di situ. Tetapi,  tetapi hati yang itu adalah fizikalnya. Substancenya. Yang boleh kita lihat. Boleh didengar. Dipegang. Dirasa dengan jari jemari kita. Pernah fikir. Milik siapakah hati itu. Siapa punya. Adakah kita berhak memiliki hati itu. Hanya sekeping. Kecil. Seperti tiada signifikannya pada tubuh. Namun begitu di situlah terhimpunnya seorang insan yang bernama manusia. Tanpa hati itu kita tiada. Tiada bererti kewujudannya. Hadirnya tidak ada yang menanti. Perginya tiada yang menangisi. Bersamanya tiada yang ambil peduli. Fikir lagi sejenak. Fikir dalam-dalam. Milik siapa hati itu. Ada masanya kita tiada berhati perut. Hati kita dicuri orang pada ketika yang lain. Rasanya cuba kita jawab sendiri. Kita hanya membawa hati. Jasad kita hanya tempat tumpangan. Kita hanya memegang amanah menjaga dan memelihara hati kita. Pada hakikatnya hati kita bukan milik kita.
Sewaktu kita menjadi anak hati kita milik ibu bapa kita. Hati ini untuk mereka  berdua. Hati kita membahagiakan mereka. Keluarga kita mahukan hati kita. Tidak mungkin ada manusia yang hatinya untuk dirinya seorang. Secara mutlak. Kita serahkan hati kita kepada kedua ibu dan bapa. Anak yang soleh dan solehah tidak pernah memikirkan dirinya lebih utama dari kedua ibu dan bapanya. Segala-galanya untuk mereka. Itulah jalan yang diredhai Allah. Anak yang tinggi martabatnya di sisi Allah. Sedari kecil kita dididik dengan teliti supaya celik adab. Supaya berdisiplin. Membawa obor keluarga. Mewarisia segala kebaikan keluarga. Kita dibesarkan menjadi celik akademik. Pandai urus diri. Berdikari. Mandiri. Kita keluar dari rumah yang merupakan sekolah pertama kita. Langkah kita dari rumah sudah dibekalkan dengan sebahagian dari peranan kita untuk menjdai ahli masyarakat yang berguna. Kita adalah duta keluarga kita. Kita adalah cerminan keluarga kita. Baik kita baiklah tanggapan orang tentang keluarga kita.
Apabila kita bercinta hati kita hilang dari badan. Dicuri orang. Kita pula merelakannya. Tidak pula kita membantah. Atau menolak. Tidak pernah ada orang membuat laporan polis yang hatinya dicuri orang. Bersama sendu diadukan kepada ibu. Kepada bapa. Mungkin kepada abang dan kakak. Hilangnya hati bukan sesuatu yang perlu dirisaukan. Malah diterima berita itu dengan ria. Banyak senyum dari pilu. Yang dicuri hatinya bertambah gembira. Yang mencuri bahagia sama. Keluarga mengira bicara menceriakan keluarga. Ketika hati dicuri orang hati itu tidak pula hilang jauh. Cuma berbunga-bunga. Bergemerlapan. Berbintang-bintang. Semakin pandai pencurinya semakin cantik hati kita jadinya. Semakin besar. Semakin bercabang-cabang bunganya. Pendek kata mereka yang dicuri hatinya adalah orang-orang yang paling gembira berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Dunia ini terlalu lama geraknya. Terlalu luas untk didakap. Semuanya indah belaka.
Apabila berumahtangga hati kita hilang lagi. Sudah milik pasangan kita. Kita tiada hak mutlak ke atas hati kita sendiri. Semua perbuatan dirujuk kepada pasangan. Setiap bicara bersusun bahasa. Setiap gerak berjadual masa. Tidur dan jaga ada masa. Berkerja ada agenda. Santainya ada bicara berdua.  Hati di dalam sudah dibahagi-bahagi. Yang tingglpun bukan milik kita. Hanya sedikit untuk diusap-usap selalu. Mengingatkan amanah yang masih banyak tertunda. Ketika itu rumah adalah rumah yang sebenarnya. Bukan lagi semak, sepah dan taburnya. Bukan lagi tinggal dan sepinya. Rumah sudah ada surinya. Maka suri itu selalu dirujuk sukanya. Diambil pandangannya. Ditanya hendaknya. Dilihat kebajikannya. Diimbas bahasa tubuhnya. Dihibur laranya. Ditari gendangnya. Susahnya disambut sandar. Senangnya ditawa senyum. Jauhnya dirindu. Dekatnya disayang. Beratnya diangkat. Ringannya dijinjing. Pasangan di sampig kanan atau kiri adalah temah hidup yang panjang waktunya. Dari dunia hingga ke akhirat.
Apabila kita beranak pinak hati kita hilang semakin jauh. Pasangan sudah mengundur sedikit memberi laluan kepada anak-anak yang bersusun setiap tahun. Hati kita diracik semakin kecil. Tanggungjawab semakin besar. Pendek kata hati yang dulunya satu sudah menjadi unit-unit kecil yang semakin mengecil. Yang dilihat besar hanya salutan pengalaman yang bertambah. Anak-anak adalah permata hati. Hati kita untuk mereka. Kecilnya kita beri sepenuh hati. Besarnya kita perhati. Kita jaga dengan hati-hati. Pergi dan baliknya semua kena hati yang uruskan. Tanpa hati kita, anak-anak kita hilang dari ingatan. Terpinggir dari tanggungjawab. Kerana itu ibu bapa yang hatinya diberikan kepada anak, menjadikan mereka hidup bahagia, yakin diri, stabil dan masa hadapanya seperti terancang. Beranak pinak bukan suatu yang mudah begitu. Perlu ada rencana masa hadapan mereka. Masa yang jauh itu dibahagikan berfasa-fasa supaya setiap satunya dicapai mengikut jadual.
Di kampung atau di taman kita berhati-hati. Rumah kita berjiran dengan tetangga. Hati kita milik mereka juga. Kita kongsi citarasa. Menjaga hak-hak jiran dan berjiran. Susah senang bersama menjaga keakraban. Di kejiranan kita, kita bukan orang asing. Masjid dan surau wajib dijengah. Jiran tetangga wajib dikenal. Mereka perlu dijengah juga. Ambil tahu hal persekitaran kerana kita bersama mereka. Senang dan susuh ada hubungan akrab bersama mereka. Kita tidak boleh memutlakkan hati kita untuk diri kita. Hanya untuk keluarga kita sahaja. Sebahagian besar hati kita milik jiran tetangga. Mereka perlu kelebihan kita. Mereka ingin berkongsi pengalaman kita. Mereka inginkan ilmu yang ada pada kita. Berkongsi hati membuahkan banyak hasil yang berbagai manfaatnya kepada jiran tetangga. Mana mungkin kita hidup tanpa berbaik dengan jiran tetangga. Berbanding dengan saudara mara, jiran tetangga lebih utama kerana mereka lebih dekat. Libih dulu datangnya. Lebih pantas bantunya.
Apabila kita bekerja hati kita untuk kerjaya. Untuk rakan sekerja. Tentunya juga untuk ketua yang menjaga. Kesemua tanggungjawab dilaksana mengikut jadual. Masa dan hari dijaga serapi mungkin. Jadual yang perlu disempurnakan. Hari-hari kita bukan sepi. Ada sahaja arahan dan rutin yang pasti beres pada masanya. Rantaian tugasan organisasi bergantung kepad kita. Kita menjadi rantaia penting tidak boleh putus. Mana-mana bahagian yang putus memungkinkan orang lain tersadai. Banyak kerja lain tersesak dalam prosesnya. Sebab itu hati kita bukan milik kita lagi. Ianya untuk kerjaya yang menjadi pilijan kita. Mungkin kerjaya yang dijodohkan untuk kita. Tanpa hati kerja kita tiada kualitinya. Kuantitinya juga terlalu sedikit. Apabila hati diberikan kepada kerjaya barulah produktiviti meningkat. Kualitinya terjamin. Bekerja sewajarnya kerana Allah. Hasilnya ialah untuk nagara. Untuk keluarga. Pekerja yang berkerjaya menggandakan usaha kerana ada matlamat jelas yang perlu dicapai pada fasa-fasa kehidupan. Maka kerana itu keikhlasan bekerja perlu ditanam bertunjang di hati kita.
Apabila kita naik pangkat hati kita lebih jauh hilangnya. Semakin sayup meninggalkan yang lama dan biasa-biasa. Kita tinggalkan rakan-rakan kerana tempat kita lebih tinggi di atas. Tugas dan tanggungjawab memimbun untuk disempurnakan. Hati kita semakin jauh. Milik kita tinggal terlalu sedikit. Malah hati kita sudah sukar disapa isteri. Anak-anak ruangnya semakin samar-samar. Pangkat dan kedudukan kadang-kadang menukar hati. Dari lembut menjadi kasar. Dari kecil menjadi besar. Dari kosong menjadi berisi dengan penuh pengalaman. Masa mematangkan diri. Tugas memperkayakan diri. Kepelbagaian tugas memperkayakan pengalaman yang dulunya terlalu sempit. Kita mula melihat ruang-ruang untuk berlegar. Membawa arah yang jelas. Memperbetul kedudukan. Membina wawasan yang mengufuk jauhnya. Itulah pangkat dan kedudukan. Perlukan hati kita untuk menjiwainya. Pangkat diterima dengan amanah. Ada pertayaan yang perlu dijawab di hadapan Allah nanti.
Apabila kita menjadi pemimpin hati kita sudah terlalu jauh dari tubuh badan kita. Pemimpin hanyalah jawatan. Kerusi dan meja pinjaman. Bilik pejabat yang orang sewakan. Kita diberi tempoh seketika memanaskan kerusi empuk yang hakikatnya bukan milik kita. Ia milik orang-orang yang berhak ke atasnya. Semua mereka meminjamkannya sebentar untuk kita. Kerusi itu amanah. Amanah besar untuk berbakti dan berjasa. Untuk menyumbang dan bukan untuk mengambil peluang. Apatah lagi untung. Memimpin bukan seperti pemandu. Destinasi pemimpin tiada hadnya. Tiada jangkawaktu yang tertentu. Yang penting ada bakti yang bertambah tingkatnya. Semua yang dipimpin berasa digerakkan ke hadapan. Membesar maju bersama taqwa. Fizikal yang diisi dengan rohani. Negara makmur dengan sentuhan agama. Rakyatnya patuh kepada perintah Allah dan RasulNya. Negara ditadbir bersendikan syariah. Semua pertimbangan hanya untuk Allah. Membina negara yang letaknya di bawah lidungan Allah. Amanah dan keadilan sentiasa dijulang. Nasihat dan meminta nasihat diberi nafas yang positif. Amamar maaruf dan nahi mungkar.  Ingatlah nanti perlu dijawab. Adakah kita pemimpin yang wajar dan adil.
Apabila kita toleh semula ke belakang kita sudah tidak melihat lagi hati kita. Kita mungkin sudah lupa di mana kita tinggalkannya. Kepada siapa kita  bahagikannya. Untuk siapa kita hulurkan. Masih bersisakah ianya. Kita jengah ke dalam. Yang kita rasa hanyalah kerangkanya. Tapaknya masih kukuh. Besarnya semakin mengganda. Hebatnya berlapis-lapis. Rupanya hati kita masih ada. Dibahagi tidak terpisah. Diberi bukan tinggal hanya sisanya sahaja. Dicampak kembali juga. Dibuang tetap bersama. Semakin hati itu dimanfaatkan semakin pula terlihat manfaatnya. Semakin banyak bakti dan sumbangan. Semakin sihat tubuh dan semangat. Semakin tinggi harapan. Tiada siapa yang rugi memberi hati. Hati itu bukan milik kita. Semu aorang berhak memiliki hati kita. Hanya hati yang baik terserlah cahayanya. Putihnya. Pancaran cahayanya. Terangnya menerangi. Putihnya memutihi. Terangnya menggemerlapkan orang lain. Tidak semua berkesempatan memiliki hati kita. Namun cukuplah kepada mereka yang sudi dan bersedia. Berkongsi hati rupanya fitrah kita manusia.  
Pada fitrahnya hati kita adalah milik kita. Pada hakikat kehidupan hati kita milik orang lain. Kita hilang hak untuk memutlakkannya sebagai milik kita yang tunggal. Kerana itu jagalah hati untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Gilap hati itu supaya sinarnya mnerangi orang lain. Besarkan hati supaya banyak yang sukar nmenjadi senang. Tinggikan hati supaya yang kecil menjadi besar dan menyerlah kepada orang lain. Berikanlah hati kita kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya supaya iany  menjadi hati yang mulia. Tulus. Ikhlas. Penuh dengan ihsan. insyaAllah.