Monday, February 18, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Buat Apa di Laut Mati


Di pintu masuk kawasan pantai Laut Mati

Berbaris melalui laluan yang disediakan

Makan-makan adalah antara aktiviti yang tidak pernah terlepas pandang bila berkelah

Begitulah orang berenang di Laut Mati. Terlentanglah. InsyaAllah tidak tenggelam. Airnya terlalu masin hingga manusia yang berat tidak tenggelam.


Sebuah keluarga sedang bermandi manda. Seperti di tepi laut biasa yang biasa kita jumpa di Malaysia



Laut Mati bagi penduduk Jordan adalah sebuah laut. Dari Amman mereka datang berduyun-duyun pada setiap hujung minggu. Pada hari kerja sekalipun tetap ramai juga orang berkunjung ke situ. Lebih-lebih lagi sekarang di Amman sedang sejuk. Ke Laut Mati mereka mencari tempat yang suhunya lebih tinggi. Mereka terasa panas di sini. Mereka datang berkeluarga. Mereka datang berpasangan bagi yang baru berumahtangga. Bagi orang Malaysia mungkin agak ganjil sedikit. Pasangan yang datang menyewa meja dan kerusi. Mereka memesan makanan dan minuman. Makanlah mereka di bawah sinaran cahaya matahari. Kepada orang Melayu rasanya tidak masuk akal. Itulah hakikat orang di negara sejuk. Matahari sangat-sangat berharga. Cahayanya dinanti setiap masa. Di cari jika boleh dijejak kaki. Panas tidak sama dengan sejuk. Panas meledakkan tenaga sedangkan sejuk mencengkam suasana.
Dalam perjalanan pulang saya melihat ramai keluarga yang berkelah di bawah pokok-pokok yang sederhana tingginya di tepi-tepi jalan. Mereka membakar daging. Makan bersama keluarga. Anak-anak berseronok berlari dan berkejar-kejaran. Ibu-ibu dan anak-anak kecil duduk di atas hamparan tikar dan alas lain yang dibawa. Mereka bukan musafir. Bukan dalam perjalanan jauh. Mereka menikmati cahaya matahari. Minikmati suhu yang tinggi. Mereka sengaja keluar dari rumah untuk makan-makan di luar rumah. Apa yang saya lihat di Laut Mati sama dengan apa yang pernah saya lihat di US dan Canada. Begitu juga di negara  Barat yang lain. Matahari adalah sesuatu yang selalu dinanti. Bermandikan cahaya matahari merupakan suatu pengalaman yang istimewa. Semua anugerah Allah banyak manfaatnya. Kita sahaja yang kadang-kadang terlalu memilih. Ada masanya semuanya tidak memberi makna.  Siang kita takut dengan matahari. Waktu malam pula tidak juga kita menikmati cahaya bulan. Tidak juga memandang bintang yang Allah jadikan berkelipan di angkasa. Itulah sebabnya kita lupa bahawa kita sebenarnya terlalu kecil di hadapan Allah. Di hadapan manusia kita merasa diri kita sangat besar.
Di tepian laut Mati itu sendiri ramai orang yang berenang-renangan. Mereka semuanya terlentang. Di Malaysia orang berenang dan menyelam. Terlentang dan terlungkup sama sahaja. Mereka menikmati air laut yang masin. Tidak di Laut Mati. Tiada siapa yang berani menyelam. Airnya terlalu masin. Semua orang berenang terlentang. Bergerak ke mana sekalipun dengan  terlentang. Oleh kerana airnya terlalu masin siapa sahaja yang berenang terlentang tidak mungkin tenggelam. Sentiasa terapung seperti pelampung. Gelombang tidak ada. Kecuali mungkin semasa ribut kuat. Maknanya jika seseorang itu terlentang di atas air ia tidak akan bergerak ke mana-mana jika dia tidak menggerakkan tangan dan kakinya. Statik. Kuasa Allah menjadikan air Laut Mati terlalu masin. Kerananya manusia perlu mengambil iktibar besar bahawa bukan kaum Nabi Luth a.s. sahaja yang mati, Laut Mati itu dimatikan fungsinya. Terlalu berbeza dengan tasik-tasik besar Amerika Utara yang fungsinya pelbagai. Malah banyak pelabuhan besar di tepian pantainya. Aiarnya pula tawar dan tidak pernah masin. Kuasa Allah menjadikan sesuatu dengan kun fayakun sahaja.
Melumur tanah liat hitam ke tubuh badan seperti suatu nikmat. Ramai yang mengatakan bahawa tanah liat Laut Mati boleh menyembuhkan penyakit kulit. Bagi yang sihat, tanah itu melicinkan kulit. Bagi yang menyapunya di seluruh muka jadilah tanah itu musk. Sesudah dilumur dibiarkan kering untuk seketika. Proses melumur perlukan bantuan orang lain untuk menyapu di bahagian belakang. Apabila sudah rata ke seluruh badan jadilah mereka seperti orang minyak yang heboh di Malaysia suatu ketika dahulu. Sehingga allahyarham Tan Sri P. Ramlee membuat filem Sumpah Orang Minyak. Masih ditayangkan di TV berulangkali. Tanah liat Laut Mati berwarna hitam apabila dilumur ke badan. Tanah itu mengandungi garam yang tinggi. Sesuai untuk mengubati berbagai penyakit kulit. Garam Laut Mati banyak dikomersilkan di Jordan dan ke seluruh dunia. Begitu juga sabun dan berbagai produk kecantikan. Mahal harganya.
Makan minum di tepian pantai Laut Mati seperti juga di mana-mana pantai di seluruh dunia. Seperti di Air Papan Mersing, Port Dickson, Batu Buruk dan di berbagai tempat di sepanjang pantai di Malaysia. Ramai yang berkampung di Pulau Sipadan Sabah atau Pulau Perhentian di Terengganu atau di pulau-pulau lain. Mereka yang berkeluarga lazimnya membawa makanan sendiri dari rumah. Namun ramai juga yang memesan makanan dari gerai yang disediakan di kawasan itu.  Rombongan yang bersama saya membawa berbagai makanan. Ada nasi lemak dan ada nasi goreng. Begitu juga buah dan roti. Makanlah kami sekenyang-kenyangnya. Seorang pensyarah kami terlalu menikmati sambal ikan bilis campur belacan yang dibawa. Dimakannya bersama roti dan nasi. Terlalu banyak ia memakannya. Melebihi orang Malaysia yang saya rasa kuat makan pedas. Malam itu apabila sampai di rumah, perutnya memulas. Alhamdulillah apabila dia minum susu, perutnya berhenti memulas. Pelajar dari Poland, Albania, Britain dan Sinagapura nampaknya tiada masalah memakan sambal.
Di tepi Laut Mati sebenarnya ramai orang hanya duduk bersantai sahaja. Menghilang penat bekerja. Atau mencari ilham. Atau mengenang masa lampau yang berjejak di tepian laut itu. Bagi pelancong bergambar menjadi suatu kemestian. Kenang-kenangan suatu ketika masa di suatu tempat yang jauh dari Malaysia. Gambar itu boleh diulang lihat pada waktu-waktu yang lain. Mengenang suatu perjalanan yang kadang-kadang seperti mimpi. Sebenarnya Allah telah mengatur segalanya dalam hidup kita. Kita tidak perasan dengan perjalanan masa. Kita tidak perasan dengan perubahan-perubahan yang berlaku. Kita hanya merancang. Perancangan Allah adalah mutlak. Semuanya milik Allah. Semoga kita dalam rahmatnya. Selain dari beristirahah dari kesibukan hidup aktiviti di tepian Laut Mati tidak terbatas. Ada antara orang Malaysia yang memungut batu kecil yang berbagai warna. Merah, kuning, putih, cokelat dan kehijau-hijauan. Kenang-kenangan untuk dibawa pulang nanti.
Berada di Laut Mati adalah seperti berada pada suatu zaman yang sendirinya melampaui zaman. Kejadian yang menimpa kaum Nabi Luth a.s. telah berlaku ribuan tahun. Al-Quran merakamkan peristiwa itu untuk rujukan kita sekarang. Supaya kita sentiasa dekat dengan Allah. Hanya Allah tempat bergantung. Laut Mati menjadi tanda besar kuasa Allah ke atas manusia yang ingkar. Ke Laut Mati bukan untuk menikmati keindahannya. Bukan untuk menjejak laknat Allah itu sahaja. Kita ambil pengajarannya. Manusia terlalu kerdil. Terlalu kecil. Terlalu seni. Tidak ada apa yang dapat manusia lakukan kecuali dengan izin Allah.  Kita wajib mengambil iktibar supaya kita sentisa berada di atas landasan jalan lurus yang tegak menuju akhirat tempat kita akan dikembalikan. Abadan abada.
Menziarahi Laut Mati memberi impak yang sayu. Di seberang Laut Mati adalah banjaran gunung-ganang sebuah negara yang duka dan lara. Negara Palestin yang berbalam di seberang Laut Mati menggamit jihad dan perjuangan besar untuk membebaskannya dari cengkaman Yahudi dan Barat. Mudah-mudahan Islam kembali kuat. Bertapak gagah untuk menegakkan kedaulatan Islam yang hak. InsyaAllah.



2 comments:

  1. Teringin untuk berkunjung sekali lagi bersama dengan family..Insyallah

    ReplyDelete
  2. Laut Mati sudah banyak berubah. Sudah banyak tempat dibangunkan. Ada hotel, resort dan berbagai kemudahan bagi yang berkemampuan hidup mewah. Pantainya juga sudah mudah dinikmati. Kemudahan pantai banyak disediakan. Lebih selesa berbanding dahulu.

    ReplyDelete