Monday, February 18, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Mana Produk Malaysia

Setiap hari akhbar dan TV kita menghidangkan cerita lunak kejayaan Malaysia di persada dunia. Kita dikehadapankan supaya dilihat hebat. Orang kampung angguk. Semua yang di TV adalah benar. Semua yang di akhbar juga benar belaka. Bila berada di luar negara saya kehilangan sesuatu yang saya sukar untuk mengerti. Kita orang Malaysia walaupun fleksibel dalam soal makan, namun masih terselit keghairahan untuk menikmati makanan Malaysia atau makanan serantau yang biasa kita makan. Laungan kejayaan negara tidak diselarikan dengan bukti yang nyata. Sebenarnya produk kita terlalu tradisi. Dipasarkan di pasaran tradisi. Cerita hub halal tidak dapat  membuah dan membuihkan eksport ke negara-negara yang perlukan makanan halal. Di Amman, Jordan umpamanya terlalu sedikit makanan dari Malaysia. Yang saya jumpa hanya bekas plastik Made in Malaysia. Makanan belum jumpa lagi.
Hari ini Sabtu 16 Februari 2013 saya ke Carrefour di Abu Nuseir. Satu barangan Malaysia tidak saya temui. Saya membeli suun Product  of Phillipines. Bihun Made in Thailand. Kicap manis Made in Thailand. Biskut Khong Guan Manufactured in Singapore. Tepung beras Made in Thailand. Ikan sadin beku dari India. Jika negara-negara jiran kita boleh mengeksport makanan sebegitu apa sudah jadi dengan industri kecil dan sederhana Malaysia. Slogan dan kempen tidak menghasilkan apa-apa jika usahanya tidak digandakan. Ramai antara usahawan kita berebut  memasarkan barangan masing-masing di dalam negara. Banyak yang perlu dilakukan untuk membawa barangan kita keluar negara. Keluar dari tradisi. Mungkin banyak barangan kita yang dieksport. Tetapi bukan barangan siap seperti makanan. Yang kita eksport ialah minyak kelapa sawit, perabot kayu getah, getah, sarung tangan, kondom (maaf). Minyak mentah juga eksport utama. Makanan? Ini masalah. Musykilah, kata orang Arab.
Pasaran tradisi kita ialah Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Korea dan Kesatuan Eropah. Kita lupa makanan halal yang sangat besar skopnya di negara-negara Islam dan bukan Islam. Di negara bukan Islam ramai orang Islam. Ramai juga orang bukan Islam yang memperakui bezanya makanan bersendikan Islam dengan yang bukan. Satu billion manusia di muka bumi ialah orang Islam.  Orang Islam di Malaysia yang kaya dengan sumber asli tidak memanfaatkan situasi. Industri kita masih terlalu di bawah ketiak pemimpin negara. Mereka yang arif tentang perdagangan antarabangsa tidak memimpin ahlinya untuk memperluaskan pasaran ke negara Islam. Suatu ironi jika yang megambil peluang ini adalah usahawan yang bukan Islam. Ada kemusykilan dari segi makna halal, suci dan toyyibah. Dari segi Islam. Bukan dari segi kesihatan. Sewaktu saya di US dahulu hal yang sama saya alami. Begitu juga di Canada. Makanan dari Malaysia terlalu tidak ada. Cili api dibotolkan dari Filipina. Rebung dari Cina. Nangka muda ditinkan dari Thailand. Itu tahun 1985. 28 tahun dahulu. Cucu saya yang pertama dan kedua sudah berada di tingkatan 5. Kerepek pisang tanduk saya temui di Toronto, Canada pada tahun 1990. Datangnya dari Filipina. Barangan makanan dari Malaysia belum bergerak dari pelabuhan. Belum diangkut melalui lori atau keretapi atau kapal. Belum keluar dari daerah tradisinya.
Banyak yang perlu kita lakukan untuk lebih menggerakkan ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Eksport dan import.  Usahawan kita perlu menceburkan diri dalam bidang ini. Trade mission kita di luar negara tentu sahaja berfungsi untuk menunjuk jalan. Bukan untuk makan angin. Mereka yang di dalam negara terkapai-kapai mencari arah. Balik-balik kita anjurkan pameran demi pameran. Untuk pasaran tempatan. Pasaran antarabangsa selalu terabai. Produk kita menjadi tepu dalam negara. Masing-masing berebut pasaran yang sama. Sudah sampai masanya ada yang membawa mereka keluar. Ada dana yang dihimpun untuk membawa mereka ke persada antarabangsa. Usaha ini adalah usaha besar. Perlukan komitmen besar. Malay Chamber of Commerce tentunya perlu di hadapan. Mendahului yang lain-lain kerana ini adalah tanggungjawab menyediakan makanan halal. Bukan sebarangan tugas dan misi.
Mengisi perut bukan kerja main-main. Yang perlu masuk ialah yang benar-benar dipastikan halal. Hukumnya. Prosesnya. Penyimpanannya. Bersih bukan sahaja yang nampak. Ia seni kebersihan. Pengurusan kebersihan mengikut syara’. Ditambah pula dengan maksud suci dari segala najis. Pakaian pekerjanya mematuhi standard antarabangsa. Standard kesihatan. Ia yakin dan meyakinkan. Itulah makanan yang dinamakan halalan toyyibah. Makanan yang menyegarkan tubuh badan. Menambahkan tenaga untuk membuat kebajikan. Makanan yang meningkatkan keupayaan berfikir. Makanan melengkapi segala keperluan seorang insan dalam tugasnya mengabdikan diri kepada Allah. Makanan disediakan kerana Allah. Kenyang dan keuntungan adalah iringan kepada usaha menyediakan makanan.  Memasarkannya. Memenuhi kehendak manusia. Memberi manfaat kepada kehidupan manusia dan kesejahteraan mereka. Untuk agama.
Pembangunan sewajarnya menyeluruh. Berintegrasi. Dana untuk pembangunan tidak boleh menghakis sumber yang sedia ada tanpa menambahkannya dengan kadar yang lebih banyak. Sektor eksport masih banyak ruang. Sangat banyak ruangnya untuk diambil peluang. Tunjukkan jalan kepada usahawan kita yang kebanyakannya masih teraba-raba mencari tapak. Lebarkan sayap dengan segera supaya usahawan yang berkaitan dengan makanan halal boleh terbang jauh dan tinggi. Ruang untuk mengisi keperluan dan kehendak makanan halal sangat terbuka luas. Yang diperlukan ialah ilmu dan belajar. Datangkan pakar dari negara Islam sendiri untuk memberi taklimat akan syandard yang perlu dipenuhi. Standard yang menepati keperluan makanan halal. Kadang-kadang saya tidak dapat membuat kepastian. Bagaimana negara-negara yang kita katakan terkebelakang dari kita dapat membawa produk halal mereka menembusi pasaran di negara Islam khususnya di Timur Tengah.
Thailand, Singapura, Filipina, Cina dan negara yang bukan diperintah oleh orang Islam berjaya membawa makanan halal mereka ke persada dunia Islam. Kita boleh belajar dari mereka. Belajar dari mereka. Belajar dari mereka. Bincang bersama. Kerjasama. Seminar. Ekspo. Pameran. Pertukaran maklumat. Strategic alliance. Zaman bercakap sudah tamat. Masa sudah tamat. Melaksanakan tindakan fardhu kifayah pula yang perlu ditingkatkan. Diperhebatkan. Jadilah juara yang lebih bermanfaat. Kesibukan kita mengurus persekitaran kita terlalu memakan ruang yang terlalu banyak. Ekonomi makanan yang penting terabai sesudah sekian lama. Cuba berhenti sejenak. Banyak lagi yang perlu kita buat berbanding dengan yang tidak kita buat sekarang. Pemimpin dan kepimpinan kita seharusnya melihat ruang ini dengan penuh teruja. Ada sumbangan mensejahterakan agama.

No comments:

Post a Comment