Sunday, January 20, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Tempat Baru Hidup Baru


Sudah lima hari di Amman. Selasa 15 Januari 2013 saya jejakkan kaki di bumi anbia ini. Rasa lega. Hasrat yang bertahun-tahun Allah makbulkan jua. Mudah-mudahan segalanya mendapat bantuan Allah. Barakah  bumi anbia. Rasanya bukan calang-calang orang yang tahan suhu rendah di sini. Siangnya di bawah 10° dan malamnya 5°. Hari-hari pertama terasa benar sejuknya. Pasang pemanas udara untuk mengurangkan sejuk. Bukan untuk memanaskan rumah. Penghuni kekal memakai baju tebal. Tiga atau empat lapis. Pada waktu siang matahari memancar terik. Panas apabila kita berada di bawah pancarannya. Tanpa sedikitpun perlindungan. Tetapi apabila kita dilindungi bayang terasa sejuknya. Tidak kira terlindung bangunan atau pokok, sejuk tetap sejuk. Hanya di bawah pancaran matahari sahaja terasa panas. Itu pun jika tidak ada puputan atau deruan angin. Jika ada berlaku pula wind chill. Sejuk kerana angin. Maknanya suhu yang sudah rendah semakin rendahnya dek tiupan angin. 

Memakai baju sejuk dan berlapis-lapis menjadi suatu kemestian. Tidak boleh berlaku kecuaian. Mudarat boleh berlaku kepada kesihatan. Mandi dilarang sangat-sangat. Bukan kerana tiada air. Bukan kerana airnya sejuk. Mandi bertentangan dengan sejuk yang berlaku di persekitaran. Badan hendaklah dibiasakan dengan sejuk yang ada. Banyak mandi dikhuatiri mengakibatkan penyakit. Malah kadang-kadang ekstreme akibatnya. Pakai baju tebal. Kurangkan menggunakan air. Menjaga kesihatan. Maaflah sejak 15 Januari saya belum mandi lagi. Tidak terdaya menahan sejuk. Dulu saya hidupkan pemanas setiap malam. Sekarang jarang-jarang. Bila perlu sahaja. Bila tidur di bawah selimut segala sejuk hilang dengan sendiri. Bukan selimut biasa. Selimut kain nipis seperti di Malaysia boleh mati kesejukan. Selimut winter sangat tebal. Berada di bawahnya cepat panas. Haba terkumpul. Tidur berdua lebih cepat panasnya. Maaf. Realiti.

Dalam suasana yang sebegitu kehidupan berputar banyak darjahnya. Dari negara panas kami berada di negara yang sejuk. Dari tempat yang lembab kami berada di tempat yang kering udaranya. Pada beberapa hari yang awal angin cukup kencang. Kena pakai sarung kepala. Telinga sejuk dan kecut. Bila pakai sarung kepala terasa hangatnya. Sarung tangan kena pakai juga. Kaku jejari. Atau masukkan ke dalam poket jaket atau seluar. Bukan gaya. Sejuk. Tangan perlu panas. Tidak mungkin memakai baju berlengan pendek. Kemeja-T di dalam sekali. Pakai pull-over. Baju-T lengan panjang. Kemeja berlengan panjang. Baju lapis dalam lagi. Di luar barulah jaket. Jika angin kencang kulit menjadi kering. Mulalah menggerutu. Bintat merah-merah. Bagi yang tidak tahan tersa gatal pada kulit yang kering.

Pagi-pagi kena lumur dengan losyen intensive care. Manjakan kulit supaya kurang keringnya. Pada musim sejuk banyak karenah menjaga kulit dan tubuh badan. Baru perasan rupanya banyak jenama penjagaan kulit ada di seluruh dunia. Jenama yang sama. Bukan million tetapi billion dollar business. Harganya tidak banyak berbeza antara sebuah negara dengan negara yang lain. Nama wangnya berlainan tetapi nilai jenama itu hampir serupa di mana.mana. Di Jordan wangnya JD. Jordanian Dinar. Tidak UD. Urdunian Dinar. JD1 = RM5. Jangan risau tentang nilai pertukaran. Ok, sebiji kobis sebesar pinggan makan baru kira-kira RM3. Saya rasa masih sama dengan Malaysia.  Mungkin lebih murah. Yang lainya kobis di sini masih sangat segar. Baru dipetik dari pokok. Bahkan dari ladang. Masih dengan daun yang hijau. Selaput hijaunya masih melekat. Belum dibuang.  Jika tidak berkenderaan jenuh mengheretnya balik ke rumah. Begitu juga bunga kobis. Besar-besar belaka. Jenuh mencari yang kecil. Maklumlah makan berdua. Beli yang besar lama pula baru habis.

Menikmati makanan segar sangat mengujakan. Kentang masih segar, keras, besar, dan rangup. Belum jumpa kentang yang sudah lembek seperti di tanah air. Bawang merah juga begitu. Aduhai. Buah-buahan melambak-melambak. Teringat di USA dan Canada dahulu. Kedai buah melimpah-limpah dengan tuaiannya. Oren besar, mandarin, epal, pear, aprikot dan banyak lagi. Buah delima tidak ada yang kecil. Kadang-kadang jumpa yang kecil. Kebanyakannya besar-besar belaka. Saya pernah membeli delima besar di Parit Raja, Batu Pahat. Sebiji RM15. Maknanya JD3. Di Amman yang besar-besar saiznya baru JD1.5. sekilogram 2 biji. Maknanya RM7.50. Sebiji RM3.75 ringgit Malaysia. Bukan RM15. Sangat teruja memakan buah dan sayur.  Terasa berbaloi terbang dari jauh. Dari negara panas ke negara sejuk.

Hidup memang berubah coraknya. Siang lebih pendek dari malamnya. Isya’ pukul 8.25 malam seperti Malaysia juga.  Kerana suhu yang rendah mata cepat mengantuk. Biasalah pukul 8.45 sudah bam. Alhamdulillah boleh jaga dalam pukul 4.00 pagi. Keluar rumah pukul 7.30 pagi. Banyak masa untuk solat malam. Alhamdiulillah. Siang tidak pula tidur. Tidak ada masa hendak menonton TV. Ada lebih 750 rangkaian. Ada TV seluruh negara Arab sama ada yang di Timur Tengah atau yang di utara Afrika. Ada dari Korea, India, Paskiatan dan sudah tentu dari Eropah. Tidak terasa terasing sangat. Walau bagaimanapun ketagihan TV berkurangan dengan sendirinya. Tempat dan iklim boleh mengubah tabiat manusia. Barakah bumi anbia. Allahu Akbar!

Jadual makan paling berbeza. Kami balik dari universiti kira-kira pukul 2.00 petang. Sarapan paginya yang boleh tahan hingga ke tengahari. Selepas solat Zohor baru kami memasak. Pukul 3.00 kami makan. Malam tidak makan lagi. Lazimnya kami makan sekali sahaja sehari. Maksudnya makan nasi. Buah  dan roti kerap kami makan bila waktu senggang. Pada musim sejuk kerap laparnya. Ada sahaja yang hendak dimakan. Roti di sini lembut. Kena udara sejuk tidak menjadikan roti keras dan kaku. Lain benar dengan tepung kita. Bila dibuat lempeng sedapnya berganda. Jadual makan berubah. Jadual tidur berubah. Kebiasaan berubah. Jadual mandi dan membersihkan badan juga sangat berubah. Di negara yang beriklim sederhana banyak juga kebaikannya. Baju yang dipakai untuk tidur tidak pernah berbau. Walaupun berhari-hari. Pakailah setakat larat. Berulang setiap hari. Siapa hendak membasuh dalam sejuk. Hendak dijemur di mana kerana sejuk semuanya. Takut keringnya mengambil masa yang lama.    

Maaf. Lupa nak beritahu. Saya belajar bahasa Arab di Universiti Zarqa’. Sebuah universiti swasta. Di kelas asas terdapat dua orang guru. Pesara belaka. Mereka orang Palestin. Seorang mengajar dari segi menulis, membaca dan bercakap. Seorang lagi khusus untuk berbual sahaja. Selama sejam kami digalakkan bercakap. Bertanya dan menjawab. Atau memberi komen yang perlu. Universiti ini 45 minit perjalanan dari Abu Nuseir tempat tinggal kami. InsyaAllah untuk setahun atau dua ini saya menjadi penghuni Amman, Jordan. InsyaAllah boleh bercakap dalam bahasa Arab. Doa restu kami pohonkan.





3 comments:

  1. Salam tuan, alhamdulillah saya tumpang gembira atas semnagt belajar. Berdua dengan orang rumah ya?

    fg

    ReplyDelete
  2. wasalam. Tk atas semangat yg sata terima. InsyaAllah Allah permudahkan.

    ReplyDelete